Sunday, October 10, 2010

eucralipse 24


“SERANG....!!!!”

Aku cuba menenangkan diri dari memikirkan perkara-perkara buruk yang mungkin akan berlaku. Berdoa dan berharap semuanya akan kembali seperti biasa. Seboleh mungkin aku cuba mengelak dari mengambil tahu apa yang bakal berlaku selepas Kerk mengeluarkan isyarat melancarkan serangan. Tetapi aku mendapati diriku, tanpa sedar, sudah berada di bawah sana. Di padang rumput di mana peperangan sedang berlangsung. Melihat, mendengar dan merasai segala yang berlaku dengan kebolehanku untuk 'menghadirkan' diri secara maya jauh dari tempat jasadku berada. Kerk adalah tumpuan utamaku.

Kerk memecut laju kudanya ke hadapan. Di belakangnya tentera berkuda Eucralipse. Yang lain berlari dengan membawa pedang, perisai, dan senjata tajam yang lain. Hanya pasukan pemanah di bawah arahan Altrun yang masih setia di tempat mereka. Aku gagal mengesan kedudukan Egart.

Tentera pelatih yang berkawal di perkarangan istana tampak teruja sekaligus kecewa. Teruja untuk menyertai rakan-rakan mereka yang lain berjuang menentang Rexo dan orang-orangnya. Kecewa kerana mereka diberi tugas untuk menjaga istana dan melindungi keluarga diraja Eucris serta rakyat Eucralipse.

Kira-kira beberapa puluh meter untuk sampai kepada tentera Rexo, Kerk berhenti secara tiba-tiba. Tentera Eucralipse di belakangnya juga turut berhenti. Reaksi Kerk membuatkan tentera Rexo yang diketuai oleh Menelaus terkejut. Mereka memperlahankan tunggangnya atau larian mereka; berpandangan sesama sendiri dengan wajah kehairanan. Teragak-agak untuk terus menyerang atau sebaliknya. Aku seperti dapat melihat kerutan di dahi Menelaus dari atas kudanya.

Ayahanda dan bonda berpegangan tangan. Bonda memeluk ayahanda dari tepi. Menyorokkan wajahnya di dada ayahanda. Seolah-olah enggan menyaksikan apa yang berlaku di bawah sana. Raja Eries dan Permaisuri Xera hanya mampu memandang cemas dari jendela. Mulut masing-masing terkumat-kamit, berdoa akan kesejahteraan anak mereka dan kemenangan berada di pihak kami.

Hanya bunyi jantungku yang kedengaran waktu itu...

Tumpuanku kembali pada Kerk. Kerk kelihatan tenang. Ada segaris senyuman di bibirnya tatkala melihat reaksi tentera Rexo. Gading putih Ephant, binatang liar yang hidup di hutan Eucralipse, ditiup kuat. Cukup kuat sehinggakan telinga kami yang berlindung di balik dinding istana ini terasa bingit. Serentak itu, kedengaran bunyi gegaran. Seperti ada sesuatu yang akan runtuh.

Tentera Rexo semakin hairan dengan situasi ini. Mereka masih gagal membaca rancangan tentera kami. Segaris lagi kerutan terlukis di dahi Menelaus, sebelum garisan-garisan di situ hilang dan mulutnya terbuka luas. Dia berpaling ke belakang, mengadap pasukan tenteranya.

“Berundur! Berundur! Ianya perangkap!!”

Jeritan Menelaus membuatkan tentera-tenteranya cemas. Namun mereka tetap akur dengan arahan tersebut. Belum sempat mereka berundur, tanah yang mereka pijak runtuh dan membentuk lubang yang besar di tengah-tengah padang rumput tersebut, menyebabkan Menelaus dan tentera-tenteranya jatuh ke dalam lubang tersebut. Sebahagian tentera Rexo yang lain bertebaran keluar dari posisi mereka untuk menyelamatkan diri.

Sekali lagi gading Ephant ditiup. Kali ini, dari sebalik pokok-pokok dan semak-samun di kiri dan kanan padang rumput, muncul tentera Eucralipse. Pasukan yang diketuai oleh Egart ini terus mengepung dan menyerang pasukan lawan. Ternyata tentera-tentera Rexo terkejut dengan kehadiran mereka. Kejutan tersebut memberikan kelebihan pada kami menghapuskan pertahanan di bahagian sisi mereka.

“Pasukan pemanah, ambil sasaran masing-masing!” Giliran Altrun pula mengeluarkan arahan. Pasukan pemanah menarik busur masing-masing seraya menghalakan anak panah ke arah musuh. Pasukan pemanah yang berdiri di batuan rendah menetapkan sasaran mereka ke arah tentera Rexo yang sudah terperangkap di dalam lubang. Pasukan pemanah di batuan tinggi pula menumpukan sasaran mereka kepada tentera Rexo di seberang lubang besar.

“Sekarang!!”

Anak panah dilepaskan ke udara. Suara-suara kesakitan kedengaran tatkala anak panah menusuk ke tubuh mereka. Kejayaan awal membuatkan sekalian yang ada di dewan mengadap bersorak girang. Ellisa terlompat-lompat kegembiraan. Aku hanya tersenyum nipis apabila dipeluk oleh Ellisa. Enggan terlalu dibuai rasa gembira yang keterlaluan. Bagiku, peperangan sebenar belum bermula lagi.

Tentera Rexo yang sudah bangkit dari rasa terkejut mereka mula melancarkan serangan. Menelaus mengerahkan tenteranya untuk menyerang balas. Mereka yang terselamat dari serangan pasukan pemanah mula mendaki naik dari lubang perangkap. Menyerang tentera-tentera kami. Beberapa orang askar kami terkorban di hujung senjata mereka.

“Bergerak ke sisi!” Arahan Kerk pada pasukan di belakangnya membuatkan perhatianku kembali kepada Kerk. Cuba memahami strategi Kerk.

Pasukan berkuda berpecah dan bergerak ke tepi untuk menyerang tentera Rexo yang lain. Egart melibaskan pedangnya pada tentera Rexo yang menyerangnya sebelum bergabung Kerk di seberang sana. Di sana aku lihat mereka membentuk dua pasukan. Satu pasukan kecil, dalam lingkungan 100 hingga 150 orang, menyertai pasukan Kerk dan Egart. Mereka memecut laju kuda masing-masing. Bergerak seiringan. Kerk dan Egart sentiasa berada di tengah-tengah kumpulan tersebut. Tentera di hadapan, kiri, kanan dan belakang Kerk dan Egart bertindak sebagai pelindung mereka berdua. Mencederakan, membunuh atau berbuat apa sahaja kepada tentera musuh yang menghalang perjalanan mereka untuk terus maju ke hadapan.

Baki tentera Eucralipse yang lain maju ke hadapan bagi menggantikan pasukan berkuda kami, iaitu di tengah padang rumput, untuk menghapuskan setiap satu musuh yang datang sebelum mereka menghampiri istana Eucralipse. Ryun, pembantu kanan Altrun di bahagian pertahanan kini menjadi ketua mereka.

“Arghhh...!!” Suara kesakitan itu menarik perhatianku. Menelaus rebah ke tanah dengan anak panah tertusuk di dada kirinya. Dan aku 'lihat' Altrun menepuk bahu salah seorang dari anak buahnya. Beberapa orang tentera Rexo yang menyaksikan kejadian tersebut berubah menjadi bengis. Dendam yang membuak terhadap pembunuh ketua mereka, membuatkan mereka bertindak melulu dengan menyerang tentera kami dengan kejam. Tindakan mereka dikawal oleh emosi sepenuhnya. Situasi ini memberi membuatkan tentera kami dapat membunuh mereka dengan mudah memandangkan mereka mengabaikan keadaan sekeliling dan hanya menumpukan perhatian untuk membalas dendam.

Nun jauh di utara padang rumput, aku dapat melihat seperti adanya satu laluan khas untuk dilalui oleh Kerk dan pasukannya untuk terus berhadapan dengan tentera Dewa Kegelapan. Aku mula memahami tindakan Kerk. Kerk tak mahu menunggu lama lagi di tempatnya. Dia mahu terus ke 'pusat peperangan' yang sebenar. Kerk enggan mengambil risiko dengan membiarkan tentera Eucralipse berhadapan dengan tentera Dewa Kegelapan. Kerk jelas dengan kekuatan dan kelemahan tenteranya.

“Pengkhianat!!!” Jeritan nyaring itu membuatkan aku memberi perhatian lebih kepada Kerk. Serentak itu aku 'melihat' Kerk diterkam lalu jatuh dari kudanya. Kuda putih Kerk terkejut lalu lari tanpa arah. Egart terus berjuang walaupun menyedari kejadian yang menimpa Kerk. Dia tahu Kerk mampu mengalahkan seorang penyerangnya itu.

Kerk yang tersemban ke tanah, bangun lalu mengesat darah di hujung bibir. Si penyerang mungkin sempat menumbuk Kerk tadi. Si penyerang bangun dengan susah-payah dalam baju besinya. Perlahan-lahan aku dapat mengecam gerangan sang penyerang.

“Kau pengkhianat!” Tempiknya sekali lagi. Menekankan perkataan 'pengkhianat' dengan nada keras.

“Q-ra!” Panggil Kerk sebaik sahaja dia mula mengecam si penyerang. Egart berpaling seketika, memandang ke arah Kerk dan Egart, tatkala mendengar nama itu meluncur dari bibir Kerk. Seketika kemudian, dia kembali menumpukan perhatian pada pertarungannya.

Q-ra menghunuskan pedangnya ke batang leher Kerk. Riak terkejut jelas terpamer di wajah Kerk. Seketika kemudian wajahnya menjadi redup.

“Q-ra...”

“Aku bukan lagi Q-ra yang kau kenal! Dan aku menyesal mengenali kau, Kerk, atau sesiapapun nama kau sekarang!”

“Kau tak faham...” Kerk masih cuba menjelaskan keadaan sebenar. Namun Q-ra lebih pantas memintas katanya.

“Apa yang lebih teruk selain mengkhianati keluarga, kawan-kawan, guru, raja, kekasih dan negara sendiri, Kerk? Sanggup kau mengkhianati Raja Eriel, ayahanda kau sendiri?!”

Kerk cuba mengutip pedangnya yang tercampak ke tanah ketika jatuh tadi. Namun Q-ra enggan membenarkan Kerk berbuat demikian. Mata pedang diletakkan betul-betul di atas kulit leher Kerk. Dia nekad. Cuma ada dua situasi. Sama ada dia atau Kerk yang akan mati pada hari itu.

“Raja Eriel bukan ayahanda aku! Hidup aku selama ini adalah satu kepalsuan. Aku hidup dalam cerita rekaan Raja Eriel. Raja Eriel sendiri hidup dalam 'cerita rekaan'nya. Kalau dia tahu hakikat sebenar, dia tentu tak berada di medan peperangan ini dengan membunuh satu persatu rakyatnya.”

Q-ra mengelengkan kepala. Enggan menerima apa jua kata yang keluar dari mulut Kerk. Dia dan Kerk seperti berjalan dalam mengelilingi satu bulatan kecil lutsinar kini.

“Lupakan Raja Eriel dan yang lain-lain! Aku! Mari kita bercakap tentang aku, Q-ra! Kenapa kau khianat pada aku? Bukankah aku kekasih kau?”

Q-ra menyeka air mata di hujung mata dengan belakang tapak tangannya. Aku dapat merasakan kepedihan dalam suaranya, hatinya. Kepalanya sarat dengan memori-memori indah antara dirinya dan Kerk. Tidak ketinggalan, Egart. Baginya Kerk adalah segala-galanya.

“Aku... Aku...” Kerk gagal mencari perkataan yang sesuai pada saat itu. Dia langsung tak pernah menyangka Q-ra punya hati padanya. Padanya Q-ra hanyalah sekadar teman dan adik. Baginya, hati dan perasaannya dimiliki oleh seseorang, walaupun pada ketika itu dia belum menemuiku. Dan bila aku hadir dalam hidupnya, tempatku di hatinya sudah tersedia. Aku hanya perlu 'duduk' di takhta hati yang sudah diperuntukkannya untukku.

“Aku cintakan kau, Kerk! Dan aku sanggup buat apa sahaja demi kau, sekalipun mengingkari ayahku. Kenapa kau tak pernah sedar akan kenyataan itu?”

Kerk mengusap-usap kepalanya. Bingung.

“Aku tak pernah anggap kau lebih dari kawan atau adik. Kita membesar bersama-sama. Kita rapat. Kau kawan aku ketika aku susah dan senang.”

“Ini semua sebab Eury, bukan?!” Jerkah Q-ra dalam tangisan yang semakin mendayu.

“Ini bukan salah Eury! Bukan salah sesiapapun! Cerita aku dan Eury dah bermula sebelum cerita antara kita dikarang. Seperti yang aku katakan, sebahagian besar dari jalan cerita hidup aku adalah pembohongan. Aku hidup dalam pembohongan. Dan aku menjalani hidup itu dengan baik sehingga aku hampir-hampir membunuh tunang aku sendiri! Sehingga aku hampir-hampir membunuh setiap orang yang hampir dengan hatiku sebelum aku hilang ingatan!” Nafi Kerk bersungguh-sungguh.

Q-ra tersentak mendengar kata-kata Kerk. Kebingungan.

“Apa maksud kau? Tunang? Siapa tunang kau?”

“Eury tunang aku. Aku Rhyss, Putera Segi yang sebenar. Orang yang aku panggil ayahanda selama ini yang mereka jalan hidupku selepas aku hilang ingatan. Orang yang kau angkat sebagai ketua dan raja kau kini, Rexo, yang bertanggungjawab atas nasib malang yang menimpa aku kini!”

“Kerk...” Lidah Q-ra kelu.

“Maafkan aku, Q-ra... Kekeliruan ini memang mengejutkan. Aku sendiri susah untuk menerimanya. Mujur ada Eury. Dia yang buat aku dapat 'melihat' apa yang patut aku lihat. Dia juga yang membolehkan aku ingat apa yang sepatutnya aku ingat.”

Q-ra menjauhkan pedangnya dari Kerk. Seperti berfikir-fikir tentang sesuatu. Mungkin tentang kebenaran yang dihadapkan oleh Kerk padanya. Seketika kemudian, dia kembali meletakkan pedang ke batang leher Kerk. Kerk jelas enggan berlawan dengan Q-ra, sekalipun untuk mempertahankan dirinya. Dia berharap Q-ra akan dapat memaafkan dirinya dan berundur dari medan peperangan tersebut.

“Apapun alasannya, aku tak boleh berpaling lagi. Aku tak mungkin hidup dengan melihat kau di samping Eury! Dan secara jelasnya, aku tak mungkin dapat memaksa kau untuk menyintai aku. Jadi, aku dah tak ada sebab lagi untuk hidup!”

“Q-ra, kau tahu aku lebih kuat dari kau, kan? Dan Oc-cra menguatkan lagi segala kelebihan aku tu.”

“Aku tak peduli!”

Q-ra memulakan serangannya. Kerk menepis libasan pedang Q-ra dengan tangan kosong. Ternyata Kerk pantas mengelak dan bijak membaca serangan demi serangan Q-ra. Namun Kerk tidak sesekali menyerang balas. Hanya mengelak dan terus mengelak. Sehinggalah Q-ra mendapat peluang untuk menendang Kerk jatuh ke tanah. Q-ra mengangkat tinggi pedangnya. Bersedia untuk menusuk dada Kerk dengan sepenuh tenaganya.

“Kerk!” Jerit Egart sebelum Q-ra rebah menindih badan Kerk. Ada lembing panjang menikam menembusi dada Q-ra dari tepi. Kerk bangun lantas meriba tubuh Q-ra yang sudah menggigil menahan kesakitan yang teramat. Egart turun dari kudanya lalu mendapatkan Kerk dan Q-ra, lantas membantu Kerk mencabut keluar lembing yang menikam Q-ra.

“Maafkan aku, Q-ra! Aku terpaksa...” Ujar Egart. Egart melutut dan menggenggam tangan Q-ra. Darah pekat mengalir membasahi pakaian Q-ra dan Kerk.

Q-ra tersenyum lemah.

“Aku tak salahkan kau, Egart! Apapun, terima kasih kerana menghadiahkan aku 'kematian' ini. Memang aku sengaja mencarinya denga menyertai peperangan ini. Tak guna rasanya untuk aku terus hidup tanpa kau sebagai kawan dan Kerk sebagai kekasihku. Argh...!”

Wajah Q-ra berkerut menahan sakit. Kerk memejam rapat matanya. Tidak sanggup melihat penderitaan Q-ra.

“Pergi dapatkan bantuan, Egart!” Arah Kerk. Namun Q-ra segera menggenggam tangan Egart. Menghalang Egart dari berlalu pergi.

“Tak perlu, Egart! Aku dapat rasakan yang kematian semakin hampir denganku. Biarkan aku pergi dengan tenang, dengan ditemani Egart dan Kerk kesayanganku...”

“Q-ra...”

Bibir pucat Q-ra menguntum senyuman nipis.

“Egart...” Q-ra memandang ke arah Egart.

“Kerk...” Dialihkan pandangan ke arah Kerk pula.

Kerk dan Egart sabar menanti bicara Q-ra yang seterusnya.

“Maafkan aku...”

Dan Q-ra terkulai layu di riba Kerk.

“Q-ra...” Panggil Kerk lirih. Egart menundukkan wajah. Turut bersedih dengan kematian Q-ra. Mereka meratapi kematian Q-ra dalam diam. Seketika kemudian Egart bangun dan naik ke belakang kudanya.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk meratap, Kerk! Lihat di hadapan kau! Kita ada tugas yang belum selesai!” Tegur Egart.

Kerk mengangkat wajahnya. Memerhatikan keadaan sekeliling. Mula kembali ke dunia nyata. Kerk membaringkan mayat Q-ra di atas tanah sebelum menutup wajah Q-ra dengan kain yang mantel yang dipakai oleh Q-ra.

Egart menghulurkan tali kekang kuda milik Kerk. Kerk mengutip pedangnya sebelum naik ke belakang kuda.

Tentera Eucralipse masih berjuang sehingga ke titisan darah terakhir mereka. Tentera Eucralipse semakin berkurangan di medan peperangan. Seorang demi seorang tentera Eucralipse cedera dan dibunuh. Tentera yang mengiringi Kerk dan Egart juga sudah berkurangan ketika mereka hampir tiba di bahagian paling utara padang rumput, iaitu beberapa meter dari lapisan pertama tentera Dewa Kegelapan.

Padang rumput sudah 'dibanjiri' dengan mayat-mayat tentera Eucralipse dan Rexo. Rasa sayu menusuk terus ke dalam hatiku. Kerk kelihatan lebih tabah dalam menghadapi situasi ini.

Seperti sebelumnya, tentera Eucralipse kaget sebaik sahaja melihat tentera Dewa Kegelapan secara berhadapan. Namun itu tidak menghalang mereka dari menyerang. Salah seorang tentera Dewa Kegelapan dengan mudahnya menghayunkan tangannya sehingga menyebabkan tentera kami tercampak sejauh sebatu. Tentera kami yang lain cuba mencederakan mereka dengan menghayun pedang dan senjata ke tubuh mereka. Ada rasa sakit tergambar di wajah mereka namun mereka tidak berdarah. Kulit dan daging yang terpisah dek terkena senjata tajam, bercantum kembali dalam masa yang singkat. Mereka kembali bertenaga seolah-olah mereka langsung tidak pernah dicederakan. Kurang dari 30 saat, sebahagian besar tentera di bawah pimpinan Kerk yang masih berbaki, mati di tangan mereka. Kerk dan Egart sendiri sudah cedera di beberapa bahagian tubuh yang tidak dilindungi pakaian besi mereka.

“Aku tak ada pilihan lain, Egart! Kita tak akan dapat melepasi halangan ni dengan mudah. Orang-orang kita pula semakin berkurangan.” Ujar Kerk dalam nafas yang mengah. Kedua-dua belah tangannya memegang pedang, masih cuba mencederakan dan mencari kelemahan tentera Dewa Kegelapan walaupun ianya ternyata satu usaha yang sia-sia.

“Jadi, apa cadangan kau?” Soal Egart yang berdiri di belakang Kerk. seperti Kerk, dia juga masih belum berputus harap. Masih berharap dapat menemui jalan untuk menghapuskan tentera bertubuh gelap tersebut.

“Kau kekalkan kedudukan kau dan yang lain-lain di sini!”

“Dan kau?” Soal Egart dengan dahi berkerut.

“Aku akan terbang terus ke bahagian tengah! Aku harus dapatkan Jetto untuk hapuskan semua tentera Dewa Kegelapan!”

Mataku membuntang.

“TIDAK!!!” Kataku perlahan di tepi jendela. Terlalu bahaya untuk Kerk berbuat demikian. Kerk tidak tahu kekuatan sebenar tentera Dewa Kegelapan. Aku mula kesal dengan tindakanku menghalang Kerk dari melihat wajah sebenar mereka.

Seperti diriku, Egart juga tidak bersetuju dengan rancangan Kerk.

“Ianya terlalu bahaya, Kerk! Kau tak tahu apa yang bakal kau tempuhi di sana. Mereka semakin kuat dari satu lapisan ke satu lapisan yang lain.”

“Seseorang perlu menghentikan semua ini! Kau fikir berapa ramai tentera yang akan bertahan sehingga ke lapisan ketujuh sebelum bertemu dengan Jetto? Berapa lama pula masa yang kita ada? Kita hanya dapat mengelak serangan mereka, bukan membunuh mereka. Dan tentera kita dah ramai yang terkorban dan cedera. Aku pasti tentera kita di seberang sana pun tak seberapa bilangannya yang tinggal.”

Egart diam. Berfikir sambil mengelak serangan fizikal tentera Dewa Kegelapan.

“Biar aku pergi dengan kau! Kau cedera. Dan kau akan semakin lemah bila mendekati pusat kuasa kejahatan di tengah sana. Kau dah lupa?” Kata Egart, cuba berkompromi.

“Tidak! Aku tak lupa. Tapi pendirian aku tetap sama. Kau akan tetap di sini. Aku serahkan tentera kita ke tangan kau. Tunggu isyarat dari aku. Sebaik sahaja kau dengar isyarat aku, aku nak kau lari dan bawa yang lain-lain ke tempat selamat!”

Egart berpaling memandang Kerk.

“Kerk...”

“Kita berhadapan dengan musuh yang tidak kita kenali, Egart! Kita tak arif dengan kekuatan dan kelemahan mereka. Kalau ada yang harus terkorban atau dikorbankan untuk mengalahkan mereka, biarlah aku jadi orangnya...”

Kakiku longlai. Aku segera berpaut pada bingkai jendela. Memahami akan maksud kata-kata Kerk.

Egart membuka mulut untuk membantah namun hasratnya terbantut sebaik sahaja melihat Kerk sudah tiada di belakangnya. Kerk menjadikan salah seorang tentera Dewa Kegelapan sebagai platformnya untuk melompat setinggi mungkin sebelum terbang melepasi mereka.

Dengan tubuh yang sedikit menggigil, aku bergerak pantas melintasi dewan mengadap. Menuju ke arah deretan pedang kebesaran keluargaku.

Aku tak boleh terus-menerus menunggu di sini. Aku mungkin tak sebagus Kerk, Egart atau tentera pelatih kami sekalipun. Tapi itu tak bermakna aku tak boleh berjuang untuk sesuatu atau seseorang yang aku sayangi. Aku percaya, tentu ada sesuatu yang boleh aku lakukan sekalipun sumbangannya kecil. Ini soal tanah jajahanku. Tempat tinggal aku. Keluargaku. Dan cintaku. Tak akan semudah itu aku mahu lepaskan semua yang aku sayangi. Tidak! Aku mesti selamatkan Kerk! Aku mesti bantu dia untuk menang dalam peperangan ini! Ketakutan yang menjadi halangan terbesar dalam diriku, aku tolak jauh-jauh.

Mereka yang ada di situ terkejut dengan tindakanku. Mereka kurang mengerti dengan reaksiku memandangkan mereka tidak tahu, tidak melihat dan tidak mendengar secara terperinci apa yang berlaku di bawah sana. Jadi reaksi itu kelihatan wajar pada pertimbanganku.

“Nak ke mana Eury? Apa yang kamu nak buat dengan pedang tu?” Soal bonda dalam nada cemas sebaik sahaja dia melihat aku menarik pedang yang diperturunkan padaku dari sarungnya.

Belum sempat aku menjawab, aku terdengar bunyi jeritan, bunyi benda pecah dan jatuh, serta bunyi pedang ditusuk ke tubuh.

PANGG!!

Pintu dewan mengadap ditendang kasar dari luar. Semua yang ada di situ tergamam dengan mata terbeliak memandang ke arah pintu.

“Selamat bertemu kembali, keluarga diraja Eucris!”


*** Erk...! Scene berperang memang susah utk diterangkan, ditulis... dan dibayangkan...

Monday, October 4, 2010

eucralipse 23


Tentera-tentera Eucralipse sudah berada di posisi masing-masing. Altrun dan kumpulan pemanahnya berada di atas batuan tinggi dengan busur dan anak panah di tangan. Mereka berada dalam keadaan bersedia. Mata masing-masing merenung tajam ke arah hujung dataran lapang di hadapan mereka. Semakin hampir tentera Rexo dengan mereka, semakin membara semangat di hati mereka untuk menghapuskan setiap satu ancaman yang dibawa oleh Rexo.

Di bahagian bawah, di dataran hijau, tentera berpedang berbaris dalam keadaan bersedia. Di hadapan mereka, tentera berkuda yang diketuai oleh Kerk dan Esmet. Seperti yang lain, Kerk turut memandang tajam ke arah tentera-tentera Rexo. Menimbang-nimbang kekuatan dan kelemahan mereka. Mencari-cari peluang untuk melepasi barisan tentera Rexo untuk sampai kepada tentera Dewa Kegelapan, sebelum membunuh Jeto, ketua kepada semua tentera Dewa Kegelapan.

Tentera Rexo berkawad dalam barisan masing-masing semakin mara di dataran rumput hijau beberapa ratus kilometer dari istana Eucralipse. Setiap satu daripada mereka memakai pakai besi dengan lambang kerajaan Rexo dan topi besi. Dua barisan di hadapan merupakan pemanah. Anak panah di busur mereka kelihatan bersinar dan seperti direka khas untuk menembusi tubuh musuh mereka. Di belakang pasukan pemanah adalah pasukan tentera berpedang dan kemudiannya pasukan berkuda.

Dari kejauhan, kedengaran bunyi pedang bergeser, bunyi dentuman berselang-seli dengan suara jeritan kesakitan. Para tentera di kubu-kubu di sekeliling tanah jajahan Eucralipse sudah memulakan pertempuran mereka.

Tentera Rexo berhenti sebaik sahaja tiba di tengah dataran rumput. Tentera Eucralipse hanya memerhatikan gerak-geri mereka dengan teliti. Bunyi derapan kaki yang kuat membuatkan mereka berpandangan sesama sendiri. Dari sebalik kabus pagi yang tebal, muncul tentera-tentera Dewa Kegelapan yang besar dan sasa. Berjalan dan akhirnya berhenti di belakang tentera Rexo. Memandang tajam ke arah tentera Eucralipse dengan mata mereka yang merah. Keadaan fizikal dan jumlah mereka yang ramai membuatkan tentera-tentera Eucralipse gementar. Walaupun ketakutan mereka tidak terluah di mulut, namun sinar keberanian di mata masing-masing jelas kelihatan semakin pudar.

Menyedari keadaan tenteranya yang sudah hilang keyakinan untuk menang, Kerk menarik tali kekang pada kuda putih yang ditunggangnya. Mengarahkan kudanya melangkah beberapa tapak ke hadapan sebelum berhenti dan berpusing mengadap kesemua bala tentera Eucralipse. Dipandangnya satu persatu wajah para tenteranya. Rasa sakit di tubuh terasa hilang. Dia harus kuat demi tentera-tenteranya.

“Dengar sini semua! Mereka mungkin ramai dan nampak kuat! Tetapi tak semestinya mereka akan menang! Mereka tak ada semangat dan keazaman yang kuat seperti kita! Ini Eucralipse! Ini tanah kita! Tempat tinggal kita! Keluarga kita! Harta kita! Kita mesti pertahankannya!” Jeritan Kerk bergema dari tempatnya. Meniupkan kembali semangat dalam diri tentera-tenteranya. Mereka kembali tegak dan bersedia. Menungu arahan dari Kerk untuk memulakan pertempuran dengan tentera Rexo.

“Tentera Eucralipse, adakah kamu sanggup berjuang demi Eucralipse?!” Soal Kerk lantang.

“YA...!!” Sorak tentera

“Adakah kamu sanggup mati untuk Eucralipse?!!”

“YA...!!!”

“Kalau macam tu, mari kita hapuskan Rexo dan orang-orangnya!!”

Kali ini sorakan tentera-tentera Eucralipse lebih kuat dan bersemangat berbanding tadi. Wajah mereka bersinar garang seperti cahaya mentari yang sudah menampakkan dirinya.

Kerk memusingkan kudanya mengadap tentera-tentera Rexo. Egart sudah bersedia di tempatnya; di sebelah Kerk walau dalam apa jua keadaan. Seperti yang telah dijanjikannya pada Eury.

Kerk berpaling pada Egart.

“Egart...”

“Jangan risau, Kerk! Aku akan bantu kau untuk sampai ke tempat Jetto, Rexo dan Esmet!”

Kerk mengangguk. Puas hati.

“Sedia, Euris!”

Tentera Eucralipse bersorak dengan penuh semangat.

Kerk menurunkan topi besi yang dipakainya. Menutupi keseluruhan kepalanya kecuali matanya. Kerk menarik pedang diraja Eucralipse dari sarungnya. Mengangkat pedang itu tinggi di udara. Isyarat memulakan peperangan.

“SERANG...!!!!”

****************

Detik demi detik aku habiskan dengan memandang kosong ke hujung dataran luas di bawah kawasan istana Eucralipse. Kedudukan istana Eucralipse yang didirikan di atas bukit memberikanku pandangan yang jelas berkenaan apa yang berlaku di bawah sana. Menanti kedatangan musuh yang tidak diundang membuatkan jantungku berdegup kencang. Fikiranku sarat dengan pelbagai persoalan. Menimbang-nimbang potensi kemenangan di pihak kami. Walaupun berat, tapi harus aku akui bahawa kemungkinan kami untuk menang adalah sangat tipis. Sangat-sangat tipis. Dari memori Rexo, aku sudah 'lihat' kemampuan tenteranya. Mereka berpengalaman dan berhati kering. Aku juga sudah 'melihat' kemampuan tentera Dewa Kegelapan. Mereka lebih dari apa yang aku sangkakan. Meskipun fizikal mereka hampir sama, tapi kebolehan mereka berbeza, mengikut kehendak Jetto, ketua mereka. Selain dari kebal dari senjata tajam, sukar untuk aku bayangkan dalam bentuk nyata kebolehan mereka tersebut. Sukar untuk membayangkan tubuh tegap setinggi dua kaki untuk terbang di udara dengan sayap seperti burung helang yang tumbuh di belakang badan mereka. Sukar juga untuk memikirkan bagaimana tubuh mereka yang gelap itu boleh mengeluarkan api yang boleh membakar apa-apa sahaja berhampiran mereka. Selain itu, setiap seorang dari mereka punya kemahiran berlawan menggunakan senjata yang mengkagumkan.

Argh...!! Dengan cara apa aku dapat membantu mereka jika aku hanya bersembunyi di dalam istana ini?!

Aku perhatikan Kerk yang sedang mengkordinasi dan memeriksa keadaan tentera kami dari jendela istana. Memikirkan kehadiran tentera Dewa Kegelapan, aku kecut perut. Aku tahu Rexo mempunyai kelebihan di situ. Merahsiakan kekuatan tentera Dewa Kegelapan dari pengetahuan tentera Eucralipse menyebabkan hatiku resah. Dari satu sudut, mereka akan bersemangat dan terus berjuang untuk menang. Aku tak mahu mereka berasa gerun dan panik untuk bertempur. Dari satu sudut yang lain pula, ia seperti mempertaruhkan nyawa para tenteraku memandangkan mereka tidak mengetahui dengan siapa mereka akan berperang.

Kerk sudah bersedia di atas kudanya. Egart sentiasa berada di sisinya; melindungi Kerk dari sebarang ancaman dngan nyawanya. Itu janjinya padaku. Kerk, atau Egart, atau sesiapa sahaja, aku sebolehnya tak mahu sesiapapun terkorban. Tubuhku menjadi kaku secara tiba-tiba tatkala melihat keprihatinan Egart terhadap Kerk. Bibir Kerk pucat. Tangannya melekap di rusuk kanan. Bukankah itu bahagian rusuk Kerk yang cedera sewaktu kami bertarung di Dark City?

Adakah...

“Saya tak akan biarkan awak disakiti lagi...”

“Saya nak tebus salah saya pada awak...”


Pandangan mata Kerk, genggaman tangan Kerk yang erat dan hangat, kesungguhan dalam setiap kata-katanya...

TIDAK!!!

Mindaku cuba menafikan gerak hati.

Kerk cedera dalam pertarungan kami. Aku pasti yang badannya turut cedera ketika dibelasah oleh pengawal penjara Dark City ketika dia melepaskan aku...

Spontan aku meraba tubuh badanku. Aku sihat. Segar. Langsung tak ada rasa sakit di mana-mana walhal sebelum ini tulang-temulangku seperti mahu bercerai dari badan. Keadaan tubuhku sama seperti sebelum aku ke Dark City... Yang mana ia adalah sesuatu yang mustahil memandangkan aku didera teruk sepanjang tiga hari berada di Dark City. Suara-suara mereka yang ada di dewan mengadap terasa semakin menjauh.

“Saya tak akan biarkan awak disakiti lagi...”

Pelukan erat Kerk setelah dia tahu kebenaran tentang dirinya bermain di mindaku...

“Saya cintakan awak, Eury... Lebih dari apa yang saya dan awak boleh bayangkan... Untuk awak, saya sanggup buat apa sahaja...”

Aku terduduk.

“Eury! Eury! Kenapa ni?” Suara cemas Ellisa mengembalikan diriku ke alam nyata. Mujur hanya Ellisa yang menyedari keadaanku. Yang lain masih berbincang secara serius tentang sesuatu.

“Kerk...” Suaraku serak. Tidak jelas untuk didengar sekalipun di telingaku sendiri.

“Kenapa dengan Kerk, Eury?”

“Aku tak tahu... Aku tak tahu Kerk ada kuasa untuk alihkan kesakitan... Dia... Dia ambil semua kesakitan aku!”

Ellisa mendengar kataku dengan wajah berkerut. Tidak mengerti sepenuhnya maksud kata-kataku. Dia menjadi lebih cemas apabila tubuhku rebah di sudut dinding. Dadaku terasa seperti mahu pecah. Mulutku mengeluarkan bunyi pelik. Bunyi tangisan tetapi tangisanku itu seperti tersekat-sekat. Rasa sedih, takut, ngeri bersatu apabila aku menyedari sesuatu yang lebih serius dari ayat terakhirku pada Ellisa tadi.

Kerk kini membawa beban ketidakseimbangan kuasa jahat dan baik di dunia kami berseorangan... Beban yang dahulunya aku tanggung berseorangan sebelum dia 'mengenali' siapa dirinya yang sebenar. Beban yang sepatutnya kami galas bersama. Beban itu akan semakin bertambah setiap kali Kerk melangkah untuk menghampiri Esmet. Esmet bagaikan paksi dunia kejahatan yang kuat. Dan dia akan menyerap semua tenaga kebaikan yang ada pada Kerk. Apa kesudahan pada diri Kerk bila semua tenaganya telah diserap?

Mati.......?

Aku segera bangun.

Kerk tak boleh bertarung! Dia terlalu lemah untuk menghadapi semua ini! Penyertaan Kerk di medan perang, dalam keadaan lemah, sama seperti membunuh diri!

“Aku mesti halang Kerk! Dia tak boleh bertarung!”

“Dah terlambat...”

Saat itu juga aku terdengar jeritan Kerk dari bawah.

“SERANG....!!!!”
Tubuhku serta-merta longai.

*** Sowi sbb lama x upload n3... my big apologies, of coz go to tzaraz...sowi sis...

Followers