Saturday, June 13, 2009

eucralipse 4


“Eury! Ko kat mana?”

Jeritan Ellisa lantang sekali sampai burung-burung yang hinggap kat dahan pokok pun bertempiaran terbang. Dari sebalik batu besar itu aku dapat lihat Ellisa dan empat orang dayangku sibuk mencariku di sekitar Taman Oys. Aku ketawa sendirian. Kiranya aku la pemenang dalam permainan ini. Seperti petang-petang sebelum ini, aku la orang yang paling lambat ditemui oleh Ellisa dan dayang-dayangku. Sebaik sahaja Ellisa lalu di tepi batu itu, aku segera muncul di hadapannya.

“Hah! Aku menang lagi, kan?” Sergahku.

“Eury! Terkejut aku...!” Marah Ellisa sambil mengurut-ngurut dadanya. Terkejut la tu... Aku ketawa kecil. Ellisa sudah berumur 18 tahun tapi perangainya masih kebudak-budakan seperti aku.

“Ko main tipu lagi, kan?” Soalnya garang. Jari telunjuknya yang dihalakan ke muka, aku tepis perlahan. Aku ketawa kecil.

“Maksud ko, aku guna kuasa aku?” Aku menggelengkan kepala. Tidakkah Ellisa tahu yang aku masih belum pandai menggunakan apa-apapun kelebihan yang ada pada diriku? Ellisa masih merenungku tajam. Masih tidak puas hati denganku.

“Ko yang tak pandai baca gerak geri aku...”

Muka Ellisa masih masam. Mungkin dia masih tidak percaya dengan kata-kataku. Aku menarik rambutnya yang diikat dua. Ellisa menjerit lantas mengejarku. Dan akhirnya kami berguling di atas rumput sambil ketawa.

“Tuan puteri, sudah tiba masa untuk pulang ke istana...” Kata salah seorang dayangku setelah tunduk memberi hormat. Aku mengeluh. Tak sampai sejam aku bermain di sini. Aku nak berada lama di taman ni...

“Ya, tuan puteri. Tuan puteri perlu membuat persiapan untuk majlis malam ni...” Sambung dayangku yang seorang lagi. Aku mengangkat tangan, mengisyaratkan kepada dayangku bahawa aku sudah tidak mahu dengar lagi bebelan mereka.

“Balik la Eury... Dah hampir malam ni. Ko kan orang yang diraikan. Mestilah bersiap awal!”

“Ko datang tak malam ni?” Aku menyoal dalam nada bosan.

“Tentulah... Ada seseorang yang perlu aku lihat malam ini!” Kata Ellisa sambil membuat riak nakal. Aku kenyit mata. Rasanya aku tahu sapa yang perlu dilihat olehnya. Egart...

“Kalo setakat tengok baik tak payah! Cakap aje la ko suka pada dia...”

“Aku... Aku tak berani! Dia macam suka pada ko aje. Kalo jumpa mesti nama ko yang disebutnya dulu.”

“Hmm... Seperti yang aku jangkakan ko memang tak berani! Dia suka pada ko sebenarnya. Kalo tak, tak kan dia asyik jeling kat ko aje!”

“Puteri...” Desak dayangku.

“Okey! Aku balik dulu la ek! Jumpa malam ni!” Mata kiri ku kenyitkan. Ellisa masih menggaru-garu kepalanya. Mungkin memikirkan kata-kataku tadi.

**************

Pesta meraikan ulang tahunku yang ke-16 disambut dengan meriah. Seluruh penduduk di Planet Eucralipse dijemput ke istana, menyambut dan meraikanku. Istana dihias dengan begitu cantik. Pelbagai makanan dihidangkan. Pelbagai acara diadakan. Anehnya, aku berasa kesunyian di tengah-tengah kesibukan mereka. Seperti ada sesuatu yang tidak lengkap.

Ayahanda dan bonda begitu sibuk melayan Raja Eries dan Permaisuri Xera dari Planet Segi. Macam la mereka tak pernah datang ke istana. Cakapnya pula semuanya berkaitan negara, rakyat, jajahan, kekayaan, ketenteraan... Huh! Bosan!

“Jemput makan, Eries, Xera! Jangan segan-segan. Kita bukan orang lain. Kita kan bakal berbesan...” Bonda mempelawa.

“Ya, ya! Kamu pun makan la...” Ujar Permaisuri Xera. Minuman dalam goblet dihirup perlan, sedikit demi sedikit. Protokol minum dalam istana. Peraturan, peraturan dan peraturan… Bosan!

“Cantik betul puteri kamu, Eurika. Sesuai benar benar dengan putera kami, Esmet...” Puji Permaisuri Xera. Matanya tak lepas-lepas memandang ke arahku.

Aku menunduk sedikit, dan pamer senyuman plastik. Tanda berterima kasih. Dalam hati... Uwekks...! Nak muntah aku dengar kata-kata itu. Aku pandang Esmet yang duduk betul-betul di sebelahku. Esmet mengenyitkan mata dan tersenyum nakal. Aku muncungkan mulut. Buku lima ku tunjukkan ke arahnya. Meluatnya aku dengan perangai si Esmet ni! Dah la tak hensem. Badan cikeding. Tak ubah macam badan ular yang aku jumpa kat dalam hutan! Bercakap macam orang tak ada otak aje. Nama aje dah 24 tahun tapi perangai macam budak-budak. Belajar pun tak abis-abis! Boleh dia memerintah Segi dan Eucralipse kelak? Aku pelik. Kenapa Esmet tak segagah Raja Eries dan sepintar Permaisuri Xera? Muka Esmet pun langsung tak sama dengan ibu bapanya.

“Bila umur Eury dah 18 tahun bolehlah kita mula membuat persiapan untuk menyatukan Esmet dan Eury!” Usul Raja Eries. Ayahanda mengangguk kepala cuma.

Fuh... Berapi telinga aku mendengar kata-kata bonda. Aku rasa nak campak aje bebola ikan dalam pinggan kat muka Esmet yang miang campur gatal tu. Biar padan muka dia! Ada ke patut dia main tendang-tendang kaki. Bila Esmet cuba pegang tangan aku dari bawah meja, cepat-cepat aku tendang kakinya. Mengaduh kesakitan dia. Padan muka ko! Sapa suruh menggatal? Nasib baik tak ada sapa yang sedar tindakan kami tu.

Aku tahu yang ayahanda dan bonda memang dah lama merancang untuk meluaskan lagi jajahan takluk Eucralipse. Sebelum ni pahlawan kami dah berjaya takluk beberapa buah planet kecil. Sekarang ayahanda begitu berminat untuk menakluki Planet Segi milik Raja Eries pula. Maka perkahwinan antara aku dan Esmet telah dirancang sejak kami kecil. Aku memang tentang habis-habisan la perkahwinan politik ni... Tapi apa aje la daya aku. Apapun, buat permulaan, aku harus keluar dari situasi yang menyesakkan nafas ni dulu!

“Bonda, Eury nak naik ke atas sekejap. Panas!” Bisikku pada bonda. Bonda menganggukkan kepala. Ayahanda pandang semacam padaku. Ahh... Lantaklah! Dari dulu lagi ayahanda dan bonda tahu yang ku memang tak suka dijodohkan dengan Esmet. Dua orang dayang yang cuba mengikut segera ku halang.

“Beta pergi kejap aje! Layan Putera Esmet makan.” Perintahku. Dua dayang tersebut mengangguk faham dan mula bertanyakan Esmet akan keperluannya. Dari riak muka Esmet aku tahu dia kecewa dengan tindakanku. Esmet yang memang sentiasa mahukan perhatian dariku. Sungguk membosankan...

Sampai di bilik aku terus menebeng di tepi koridor. Melepaskan nafas lega kerana dapat keluar dari situasi yang membosankan tadi. Memerhatikan langit malam. Pandangan ku lemparkan pula ke bawah. Eucralipse terang benderang dengan obor-obor api dan lampu-lampu berwarna-warni yang dipasang di setiap rumah dan di sepanjang jalan ke istana menarik perhatianku. Memang dari kecil aku suka melihat cahaya berwarna-warni. Ah... Tapi mengapa serasaku ada pemandangan lebih indah yang pernah ku lihat? Munkin sekadar dalam mimpi-mimpiku?

Tiba-tiba aku teringatkan Ellisa. Aku pasti dia masih memerhatikan Kerk dari jauh. Ellisa memang pemalu orangnya. Dia lebih rela memendam perasaan dari meluahkan perasaan hatinya. Hmm... Apa kata aku cuba tengok apa yang dah jadi pada Ellisa. Aku pejam mata. Cuba memusatkan tumpuan dan melihat apa yang berlaku di tingkat bawah istana. Cuba 'menghadirkan' diri secara maya di sana. Nampaknya semua pasangan sudah membanjiri pentas tarian. Aku cuba mencari-cari Ellisa.

Eh, itu Esmet kan? Dia menari dengan siapa tu? Dengan Sephyl?! Huh,dasar lelaki buaya... Ini ke bakal suami yang ayahanda dan bonda nak bagi pada aku? Tak ingin aku. Bagi free pun aku tak nak! Ish, aku kan nak tengok Ellisa. Apa pulak dosa aku kena tengok si Esmet tu! Ha... Itu dia Ellisa! Ellisa sedang menari dengan seseorang. Siapa ya?

“Egart!” Jeritku sendirian apabila terpandangkan pasangan Ellisa. Wah... Dapat juga Ellisa menari dengan Egart. Senyuman Ellisa semakin galak apabila Egart membisikkan sesuatu kepadanya. Aku tersenyum. Memang sudah ku jangka, Egart sudah lama menaruh hati pada Ellisa. Mereka sememangnya pasangan secocok. Akhirnya dapat juga Ellisa mengatasi ketakutannya itu... Ketakutan untuk mendekati Egart.

Kepalaku mula pening. Ternyata aku masih bijak menggunakan kelebihan yang ada pada diriku. Aku buka mata perlahan-lahan. Cuba merehatkan minda dan... Sepasang anak mata tajam memandang ke arahku. Anak mata berwarna ungunya benar-benar menarik... dan menggoda... Eh, tapi ni mata sapa?

********************

Bulat mataku apabila anak mataku terfokus pada objek di hadapanku. Aku gosok mataku berkali-kali. Biar betul! Seorang lelaki bertopeng sedang asyik memandangku dengan jarak kurang tiga inci. Yang peliknya dia tidak berpijak di lantai istana sepertiku. Tiada juga tali atau sebarang objek yang menyokong tubuhnya dan dia dalam keadaan terbalik. Maksud aku kakinya di atas manakala kepalanya di bawah. Adakah dia terapung di udara?!

Anak matanya yang berwarna ungu jernih benar-benar membuatkanku terpana. Cantiknya... Kami tertatapan agak lama. Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Sapa laki ni? Entah-entah dia ni orang jahat tak? Kalo tak kenapa tiba-tiba aje dia muncul kat depan aku? Tapi serasanya aku pernah melihat lelaki ni...

“Selamat ulangtahun...” ujarnya sambil tersenyum sebelum menjauhiku.

Aaa... Bahasa pelik yang dia cakap... Topeng yang dipakainya... Sah! Inilah dia lelaki yang menyelamatkanku tempoh hari.

“Sapa awak?”

Tiada jawapan darinya. Lelaki itu tidak menghiraukan aku. Dia terus pergi. Dia… terbang, kah? Entah kenapa aku seperti lalai dengan keadaan diriku. Apa yang aku tahu aku mahu mengejarnya. Dan tanpa sedar aku sudah terjatuh dari balkoni istana..

“Ahh! Tolong!!” Jeritku sekuat hati. Namun bunyi muzik yang kuat dari tingkat bawah tak mungkin dapat ku tandingi. Aku pejam mata. Cuba membayangkan perkara yang terburuk yang bakal aku alami. Paling kurang pun aku akan hanya patah kaki atau tangan. Paling teruk aku akan… mati?

Tiba-tiba aku rasakan seperti aku terjatuh atas sesuatu yang agak keras. Namun aku tidak dapat merasakan ada bahagian badanku sakit langsung. Sudah lumpuhkah aku?

Perlahan-lahan aku membuka mata. Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati aku berada dalam pelukan lelaki itu. Kiranya lelaki ini yang menyambutku tadi... Aku menarik nafas lega. Namun seketika kemudian jantungku kembali berdegup kencang apabila mendapati yang kami sudah ’terbang’ jauh di atas bumbung istana. Tanpa disedari, bahu lelaki itu ku paut erat. Takut!

“Turunkan saya! Awak nak bawa saya ke mana?”

Aku memukul-mukul dadanya. Namun dia seperti tidak menghiraukan tindakanku itu. Pekak ke laki ni? Atau dia tak faham bahasa? Lagipun tadi dia bercakap bahasa pelik dengan aku. Orang ni memang giler...

“Turunkan saya! Awak tau tak yang awak dah melakukan kesalahan besar sebab melarikan puteri negara ini? Awak boleh dikenakan hukuman mati. Kalo awak bernasib baik awak hanya akan dipenjara seumur hidup! Itupun kalo saya maafkan kesalahan awak!”

Lelaki itu tersenyum. Kedua-dua belah tangannya diangkat separas bahu. Dan aku? Aku melayang jatuh ke bawah dan... Bukk! Adoi...! Sakitnya! Aku cuba gerakkan semua anggota badan. Fuh! Nasib baik tak ade yang patah. Isk, tinggi gak aku jatuh! Mujur tanah dan rumput ni tiba-tiba jadi lembut macam tilam. Giler punya lelaki! Sapa sebenarnya dia tu? Dah la tiba-tiba aje muncul. Pastu berani dia wat macam ni kat aku...

Bila aku cuba nak pegang tangan kiriku yang terasa sakit barulah aku perasan ada sesuatu dalam genggamanku. Aku pantas mendongak ke atas. Mencari lelaki misteri itu semula. Tapi dia sudah hilang entah ke mana...

*********************

“Kamu dari mana?” Soal Raja Eriel sebaik sahaja Kerk memasuki kamarnya.

Kerk tergamam. Langsung tidak menyangka ayahandanya berada di situ. Dia segera menundukkan badannya.

“Saya berlatih di dewan tadi.”

Raja Eriel menganggukkan kepala. Percaya dengan jawapan Kerk. Kerk tak pernah berbohong dengannya. Kerk tarik nafas lega.

“Tempoh untuk menakluk Eucralipse mungkin mengambil masa yang panjang dari apa yang kita jangkakan. Rexo dan orang-orangnya semakin kuat. Mungkin mereka akan mengganggu rancangan kita. Dua hari lepas, mereka menyerang hendap pinggir Eucralipse. Hapuskan mereka terlebih dahulu...”

“Baik ayahanda!”

“Berehatlah…”

Raja Eriel menepuk-nepuk bahu Kerk sebelum berlalu. Kerk berjalan ke tingkap. Sayup-sayup kelihatan percikan bunga api dari Eucralipse. Kemudian Euristar di dada langit diperhatikan. Seumur hidupnya inilah pertama kali dia melihat Euristar bersinar seterang ini. Malah bintang-bintang di sekitarnya juga lebih banyak daripada hari-hari lain.

“Kebetulankah?”

Tatkala tangannya meraba pangkal lehernya, dia terasa seperti nafasnya tersekat. Mana dia?


2 comments:

Daniera said...

makin best.. em tak sabarnyer.. :)

Anonymous said...

mesti rantai kerk yang tiggal kat
tangan eury tu kn?
kerk tu mmg dah suka kat eury ke
dia just nak jlnkan misi yang
ayah dia suruh tu?
lagi 1..kuasa pe yang eury tu ada
sbnrny?
hehehehe....
sambung la cepat....
makin mnarik cite ni...

~lizarazu~

Followers