Wednesday, June 16, 2010

eucralipse 22


“Awak nak ke mana, Eury?”

Soalan Kerk membuatkan aku terpana seketika. Aku rasakan soalannya itu tak masuk akal untuk diutarakan pada saat-saat genting sebegini.

“Ikut awak!” Jawabku sambil menyelitkan tanganku di celah lengannya yang sasa.

Wajah Kerk serius. Tubuhnya tetap kaku seperti tadi.

“Ada apa-apa yang tak kena ke, Kerk?” Kerk diam, menjarakkan diri dariku sedikit. Dia mengubah posisinya. Dia kini berdiri mengadapku. Menatap wajahku dalam keadaan diam. Aku mengerutkan dahi.

Ada sesuatu yang tak kena ni! Tapi apa?

“Awak tak akan berlawan, Eury!” Kerk menamatkan teka-teki yang bermain dalam kepalaku.

Mereka yang lain sudah bergerak ke tingkat bawah istana. Meninggalkan Egart yang masih menunggu Kerk menjawab segala kemusykilanku.

“Kenapa tidak?”

“Awak tak akan berlawan, Eury!” Ayat yang sama diulang oleh Kerk. Kali ini lebih tegas.

Ya, memang ada yang tak kena! Ada sesuatu yang hilang dari dalam penerangannya tadi. Aku fikirkan Kerk terlupa untuk menyebut perananku dalam peperangan ini. Atau aku yang terlepas dengar. Tetapi ternyata dia memang sengaja untuk mengecualikan aku dari menyertai peperangan ini. Apa yang membuatkan dia terfikir yang dia boleh menghalang aku dari membuat sesuatu yang menjadi keinginanku?

“Eury, saya nak awak duduk di istana bersama-sama ayahanda bonda awak dan saya!” Suara Kerk kedengaran tegas seolah-olah dia sedang memberikan arahan kepadaku.

“Apa yang membuatkan awak fikir saya akan ikut cakap awak?” Selarku keras.

“Eury, Kerk tentu punya alasannya tersendiri...” Kata ayahanda perlahan. Bonda memandangku. Meminta aku memikirkan rasional arahan dari Kerk. Raja Eries dan Permaisuri Xera sekadar memerhatikan. Namun aku pasti mereka sependapat dengan puteranya. Tumpuanku kembali pada wajah Kerk.

“Kerk, saya puteri tunggal Eucralipse. Saya bakal pemimpin Eucralipse. Jadi adalah sewajarnya saya berada di posisi hadapan sekali untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah jajahan saya. Ya, saya tahu saya tak sehebat awak dalam bertarung tapi saya telah diberi pelajaran dan latihan yang secukupnya. Saya yakin saya boleh membantu awak dan yang lain-lain!”

Wajah Kerk berubah. Berkerut-kerut seperti sedang menahan kesakitan... kepedihan...

“Eury, perkara terakhir yang saya akan buat adalah menyakiti awak atau mendedahkan diri awak pada sebaran bentuk ancaman. Beberapa hari lepas, saya telah menyakiti awak! 12 tahun saya ambil masa untuk merancang supaya saya boleh menyakiti awak secara emosi dan fizikal. Bila saya tahu kebenarannya, saya menyesal. Sangat, sangat menyesal... Dan saya akan menyesali perbuatan saya itu untuk seumur hidup saya!”

Kedua-dua belah bahuku dipegang kejap oleh Kerk. Anak matanya yang berwarna ungu mencari sepasang anak mataku yang kehijauan.

“Saya tak akan izinkan sesiapa atau apapun menyakiti awak lagi!” Ikrar Kerk bersungguh-sungguh. Rambutku diusapnya dengan penuh kasih sayang.

“Kerk...”

“Saya langsung tak berniat nak memperkecilkan kebolehan atau kuasa awak... Tapi... Saya terpaksa tinggalkan awak bersama-sama ayahanda dan bonda serta yang lain-lain di sini. Saya harap awak dapat menjaga keselamatan mereka. Kalau nak diikutkan, tugas awak lebih berat berbananding tugas saya dan yang lain-lain di luar sana. Semua yang berlindung di istana adalah di bawahtanggungjawab awak; ayahanda dan bonda awak, ayahanda dan bonda saya, pekerja-pekerja istana serta rakyat jelata. Mereka semua memerlukan jaminan keselamatan daripada awak, Eury!”

Aku terus memasang telinga.

“Saya kenal benar dengan sikap Raja Eriel. Dendamnya terhadap keluarganya sendiri telah menguasai diri bertahun-tahun lamanya. Dia akan menggunakan apa juga cara untuk menamatkan nyawa setiap seorang keturunan Eucris. Jadi salah seorang dari kita perlu berada di sini untuk menjaga keselamatan keluarga kita.”

Aku diam. Mengakui kebenaran kata-kata Kerk. Sememangnya Kerk seorang yang teliti dan berpandangan jauh. Aku semakin mengagumi bakat kepimpinan Kerk.

“Sebahagian daripada tentera Eucralipse akan berkawal di kawasan istana. Yang lain akan berlawan di medan pertempuran. Kami seboleh mungkin akan cuba menjauhkan mereka dari mendekati kawasan istana dan awak, Eury...”

Maksud ayat terakhir Kerk sukar aku fahami.

“Maksud awak?”

Kerk mengusap rambutku. Perlahan. Penuh kasih-sayang.

“Bagi Raja Eriel, kejayaan serangan ini adalah apabila setiap seorang Eucris mati dan kerajaan Eucralipse dijatuhkan. Berlainan pula dengan Rexo dan Esmet. Mereka hanya akan berpuas hati jika sekiranya mereka dapat menguasai kesemua Oc-cra yang ada. Oc-cra awak dan saya.”

Aku terkejut mendengarnya. Menguasai Oc-cra Kerk bererti...

“Mereka mungkin akan bunuh awak!” Ujarku hampir terjerit.

“Mereka tak akan dapat bunuh saya, Eury! Kalau pun perkara itu terjadi...”

Jari telunjuk aku letakkan ke bibir merah milik Kerk. Enggan mendengar kata-kata Kerk lagi. Kerk segera mengalihkan jariku untuk meneruskan ayatnya.

“Bukan mudah untuk menguasai Oc-cra milik orang lain dalam masa yang singkat.... Ianya mengambil masa. Pengambilalihan kuasa...”

Aku mendengus lantas bertindak memotong kata-kata Kerk.

“Sudah! Saya tak mahu dengar lagi! Tak ada apa-apa yang akan terjadi pada awak. Jadi tak perlu terangkan fasal pengambilalihan kuasa atau apa-apa tu lagi pada saya!” Tegasku. Otakku gagal memproses atau membayangkan sebarang situasi yang memisahkan kami berdua.

Aku tak mungkin punya kehidupan tanpa Kerk!

“Saya cuma cakap kalau ia terjadi...”

“Bawa saya bersama... atau tinggal di istana bersama-sama saya! Jadi kita tak perlu risau semua tu! Dua Oc-cra lebih baik dari satu Oc-cra bukan? Biar yang lain ambil tugas awak di medan pertempuran tu!” Emosi sudah menguasai diriku kini. Bukan lagi rasionaliti.

“Eury...” Panggil Kerk lembut. Belakang tapak tangannya menyentuh lembut pipiku.

“Tak ada apa-apa akan terjadi. Awak jangan risau, okey?”

Aku mengangguk. Sedikit lega mendengar keyakinan dalam kata-katanya.

“Tapi, seandainya perkara sebaliknya yang berlaku...”

Aku pandang Kerk seraya menggelengkan kepala.

“Ini cuma langkah persediaan, Eury...”

Aku mengangguk seraya membenarkan Kerk meneruskan ayatnya.

“Sekiranya kami gagal menewaskan Rexo dan orang-orangnya, saya mahu awak dan Ellisa bawa semua yang ada di istana ini ke kubu perlindungan terakhir Eucralipse di Gunung Ocre. Ada laluan rahsia di bawah tanah yang digali di bawah gudang penyimpanan makanan istana. Ellisa akan bantu awak untuk mengesan tempatnya. Tak perlu bimbang. Awak dan yang lain-lain hanya perlu ikut laluan tersebut sehingga sampai ke kubu perlindungan. Di situ semuanya ada; makanan, senjata, pakaian. Tapi ianya tak akan bertahan lama kerana kamu semua dalam jumlah yang ramai. Sebelum kehabisan makanan atau sebelum Rexo tahu berkenaan kubu tersebut, saya mahu awak dan Eucris yang lain minta bantuan dan perlindungan dari Kerajaan Athamas di sebelah barat Eucralipse. Saya pasti mereka akan memberikan bantuan memandangkan Eucralipse banyak membantu mereka dulu.” Terang Kerk, bukan sahaja kepadaku, tetapi kepada seluruh keluarga kami.

Kerk kembali memandangku.

“Itu usaha terakhir yang kita...”

Belum sempat aku menjawab, telingaku menangkap bunyi yang menggerunkan.

*************

Rexo dan Esmet memerhatikan satu persatu kapal yang membawa tentera mereka berlabuh di pesisiran pantai Eucralipse. Menelaus menghampiri mereka.

“Bahagikan tentera kita, Menelaus!” Arah Rexo.

“Ya, baiklah! Tapi... Ada sesuatu yang perlu kau tahu!”

“Apa dia?”

“Raja Eriel enggan turut serta dalam rancangan kau ini. Dia sudah ada perancangannya sendiri!”

Rexo ketawa. Esmet di sisinya cuma diam. Tumpuannya bukan di situ lagi.

“Biarkan dia. Apapun yang dilakukannya akan membawa kemusnahan ke atas Eucralipse. Kemusnahan Eucralipse bererti kemenangan bagi aku!” Ujar Rexo angkuh.

“Baiklah, kalau dah itu kata kau... Aku nak pergi bahagikan tentera kita!”

Menelaus berlalu pergi. Rexo menoleh ke arah Esmet yang sedang memejamkan matanya.

“Kenapa Esmet? Ada sesuatu yang mengganggu kau?”

Esmet diam. Membisu buat seketika. Tidak lama kemudian, Esmet membuka mata.

“Kerk ada di samping Eury.” Kata Esmet tanpa nada. Pandangan dibuang jauh ke hadapan. Namun tiada apa-apa yang terfokus di matanya. Seolah-olah dia sedang merenung kosong ke hadapan.

“Macam mana...”

“Saya dapat rasa kekuatan Oc-cra mereka...” Jawab Esmet tanpa menunggu ayahandanya menyudahkan pertanyaannya.

“Eury tahu kita dah sampai...”

“Hmm... Ayahanda harap benar dapat beri mereka kejutan...” Kata Rexo sinis.

Rexo mendapatkan barisan tentera-tenteranya.

“Siap sedia semuanya! Kita akan bertolak sekarang!”

*************

Kerk segera memeluk tubuhku yang kaku tanpa perasaan. Membisikkan keyakinan di telinga. Cuba menenangkanku. Sangkaannya, aku ketakutan bila memikirkan tugas berat yang diamanahkan kepadaku. Sehinggalah dia mendengar apa yang aku dengar. Dan lihat apa yang aku lihat.

Mereka yang ada di dewan mengadap cuma berpandangan sesama sendiri lantas mengangkat bahu. Ternyata mereka tidak mendengar dan melihat apa yang aku dan Kerk dengar serta lihat. Ia sesuatu di luar batasan pancaindera mereka.

Aku pantas memejamkan mata. 'Menghadirkan' diriku nun jauh di pesisiran pantai Eucralipse. Aku ingin melihat mereka dengan lebih jelas. Bukan sekadar bayangan sahaja. Tindakan ini menuntut tumpuan dan tenaga yang lebih daripada diriku. Ini adalah kali perama aku cuba membaca minda orang yang beribu-ribu batu dariku. Kerk pantas menggenggam tanganku. Ingin berkongsi apa yang akan aku lihat sebentar nanti.

Aku kini berdiri di kalangan mereka...

“Mereka dah tiba...” Ayat pertamaku mencuri tumpuan semua yang ada di situ.

“Siapa?” Soal ayahanda walaupun dia sudah dapat mengagak siapa yang aku maksudkan.

“Rexo, Esmet, Raja Eriel dan tentera-tentera mereka!”

Suasana menjadi hening seketika sebelum berubah menjadi kecoh. Altrun berlari turun ke bawah menyiapkan tentera-tentera kami.

Tumpuanku kembali pada Rexo dan orang-orangnya. Cuba membaca apa yang ada dalam fikiran Rexo.

“Rexo memecahkan tentera-tenteranya kepada beberapa bahagian. Pengikut Rexo seramai 8 ribu orang akan menyerang bahagian barat Eucralipse. Mereka akan diketuai oleh Hemes dan Dayes. Tentera Segi seramai 8 ribu orang yang diketuai oleh Menelaus akan menyerang bahagian timur Eucralipse. Bakinya seramai 9 ribu orang akan bersama-sama Rexo menuju ke istana kita. Rexo yakin mereka dapat menakluk seluruh tanah jajahan Eucralipse dalam masa dua hari.”

Aku beralih pada Esmet. Fikiran Esmet lebih mudah berbanding dengan fikiran Rexo yang sarat dengan agenda-agenda keji untuk menawan kami. Namun dinding minda Esmet lebih kukuh berbanding ayahandanya. Dia seakan-akan tahu bahawa aku sedang cuba menceroboh masuk ke dalam fikirannya. Maka dia sedaya-upaya cuba menyahkan aku dari mindanya.

“Esmet dalam keadaan tenang. Dia yakin akan kemenangannya dengan adanya Oc-cra Pemusnah. Dia berharap dapat bertarung dengan Kerk. Dia mahu Kerk mati di tangannya memandangkan Kerk perampas kebahagiaannya.”

“Huh! Saya sahut cabarannya!” Bisikan Kerk kedengaran keras di telingaku. Aku tahu, Kerk juga sudah tidak sabar untuk menamatkan riwayat hidup Esmet yang dianggap sebagai tidak mengenang budi itu.

Menelaus aku 'hampiri'.

“Menelaus bersedia menerima apa sahaja arahan Rexo, termasuklah arahan membunuh Raja Eriel bila semua ini berakhir. Jaminan Rexo membuatkan kesetiaan Meneluas sudah beralih pada Rexo.”

“Pengkhianat!” Kutuk Kerk.

Ada seseorang di kalangan tentera Dark City yang menarik perhatianku. Walaupun dia mengenakan baju besi serta topi besi yang menutupi sebahagian dari wajahnya, namun aku dengan mudah dapat mengecamnya.

“Q-ra...” Kata Kerk sebaik sahaja imej Q-ra terlayar di pandangannya. Mendengar nama tersebut, Egart serta-merta memberi perhatian kepada kami.

“Q-ra berada di kalangan tentera Dark City. Menyamar sebagai lelaki. Dia tahu Menelaus tak akan benarkan dia untuk turut serta dalam peperangan ini. Dia terlalu ingin membunuh Kerk. Dia berpendapat yang Kerk telah mempermainkan perasaannya.”

Mataku memandang Egart yang berdiri di sisi Ellisa.

“Q-ra juga memasang niat untuk membunuh kau, Egart!”

Wajah Kerk redup. Egart pula melemparkan pandangan kosong. Aku tahu mereka membesar bersama-sama. Hubungan antara mereka sangat rapat. Bagi mereka, Q-ra seumpama adik; manja, disayangi, saling melindungi. Namun cinta tanpa balasan Q-ra kepada Kerk membuatkan hubungan Q-ra dan Kerk agak renggang setelah mereka meningkat dewasa.

Aku menjejaki Raja Eriel pula. Dia berada jauh dari tempat Rexo dan Esmet. Ada sedikit kekeliruan pada dirinya. Keliru dengan keputusannya untuk menyerang keluarga dan negara yang pernah disayanginya suatu ketika dahulu. Namun kekeliruan tersebut dilitupi dengan dendam yang sudah berakar-umbi sejak sekian lama. Wajah Ria, isterinya bermain-main di ruang minda Raja Eriel. Membakar api dendam di hatinya.

“Raja Eriel enggan menurut arahan Rexo. Dia dan tentera dari Dark City akan bergerak berasingan dari Rexo dan orang-orangnya.”

Aku buka mata. Pandangan kearahkan kepada ayahanda dan bonda.

“Raja Eriel tak akan pulang selagi matlamatnya tidak tercapai. Dia mahu menamatkan riwayat ayahanda dan bonda dengan tangannya sendiri...”

Ayahanda dan bonda menggenggam tangan antara satu sama lain. Ada riak takut, kesal serta nekad terpancar di wajah mereka.

“Tak terkecuali, Eury...” Sambungku perlahan. Kerk menggosok-gosok lenganku. Aku pandang matanya yang redup.

“Saya tak akan biarkan semua itu terjadi!” Janji Kerk. Aku mengangguk. Tahu Kerk akan menunaikan janjinya yang satu itu.

“Berapa ramai tentera Dark City yang dibawa oleh Raja Eriel?” Soal Altrun. Entah bila dia masuk kembali ke dewan mengadap itu.

“Lebih kurang 5 ribu orang.” Jawab Kerk bagi pihakku.

Wajah Altrun berubah. Dia tersenyum lebar.

“Cuma 30 ribu orang? Kita tak ada masalah untuk menewaskan mereka. Tentera Eucralipse yang terlatih sahaja ada 50 ribu orang. Askar pelatih kita ada 30 ribu orang. Mengalahkan 30 ribu orang tentera yang tidak punya senjata canggih, bukan satu masalah bagi kita, tuanku!”

“Kita tak boleh terlalu yakin, Altrun!”

“Saya setuju dengan pendapat, tuanku!” Sokong Kerk.

Ketika itulah ada terlihat sesuatu yang tadinya terlindung dari pandanganku. Sesuatu yang baru muncul dari balik kabus pagi dan debu pasir pantai yang tebal.

Hentakan kaki mereka mendebarkan dada, membingitkan telingan. Tubuhku serta-merta menggigil.

Perlahan-lahan imej mereka semakin jelas di pandanganku. Mereka muncul dalam keadaan berbaris. Bergerak serentak dan beriringan. Mereka kelihatan serupa sahaja. Bertubuh hitam, berketinggian mencecah dua kaki, bertubuh sasa tanpa mengenakan baju besi, tidak membawa sebarang senjata. Mata mereka berwarna merah dan hanya memandang ke hadapan. Aku anggarkan mereka mempunyai kekuatan seperti 10 orang tentera kami atau lebih dari itu. Aku cuba baca fikiran mereka tetapi... Fikiran mereka kosong! Mereka seolah-olah jasad tanpa roh! Di belakang mereka, ada seorang tentera yang lebih besar dan tegap berbanding tentera-tentera Dewa Kegelapan yang lain. Mungkin itu ketua mereka. Wajahnya penuh dengan rasa marah dan benci.

“Tentera Dewa Kegelapan...”

“Kenapa dengan tentera Dewa Kegelapan?” Soal Raja Eries pelik. Masing-masing menumpukan perhatian kepadaku.

Kerk kembali memegang tanganku. Cuba berkongsi apa yang aku 'lihat'. Tapi aku memilih untuk tidak berkongsi imej tersebut dengan Kerk. Aku rasa itu adalah yang terbaik buat dirinya. Entah mengapa...

Kerk pelik dengan tindakanku. Dengan menggunakan isyarat mata, Kerk menyuruh aku menjelaskan tindakanku itu. Namun sekali lagi aku memilih untuk mendiamkan diri.

“Esmet dan Rexo dah berjaya menyeru kebangkitan tentera-tentera Dewa Kegelapan.” Ujarku.

Sekali kali keadaan dalam dewan mengadap menjadi hening. Memerangi tentera biasa bukan perkara luar biasa. Tentera-tentera kami sudah cukup terlatih untuk perkara itu. Tetapi, berperang dengan tentera kegelapan adalah sesuatu yang baru. Tiada sesiapa yang pernah berlawan dengan mereka. Pada mereka, tentera serta Dewa Kegelapan itu sendiri hanyalah sekadar mitos yang dikarang dalam kitab sejarah tua kami!

“Berapa ramai?” Soal Kerk dengan rasa tidak puas hati.

“100 ribu... orang... kalau mereka boleh dikategorikan sebagai orang...” Jawabku perlahan. Tubuhku tidak lagi menggigil. Ada sesuatu yang lebih menakutkan dari rasa takutku tadi.

Masing-masing mempamerkan wajah cemas dan takut. Ya, mereka berhak dan perlu untuk berasa takut. Berabad-abad lamanya, tentera Dewa Kegelapan tidak pernah dikalahkan oleh sesiapapun. Membawa kerosakan ke mana sahaja mereka pergi. Mujur mereka tidak pernah sampai ke Eucralipse. Sebelum Dewa Kegelapan dihapuskan oleh Rexo, Dewa Kegelapan telah menidurkan mereka. Sehinggalah sekarang... Aku tertanya-tanya usia sebenar Rexo. Anggaranku, usia Rexo sudah melebihi seabad lamanya.

“Bagaimana rupa mereka?” Soal Altrun.

“Jangan perkecilkan kebolehan mereka. Mereka bertindak secara berkumpulan. Dan tindakan mereka hampir serupa.” Itu sahaja yang boleh aku katakan kepada Altrun untuk disampaikan pada tentera-tentera kami. Semakin sedikit mereka tahu, semakin baik. Aku tak mahu mereka masuk dalam medan pertempuran dalam keadaan takut.

“Eury, saya perlu tengok mereka...” Pinta Kerk. Aku mengalah. Tapi hanya sekilas sahaja gambaran aku berikan pada mereka. Degup jantung Kerk mula tidak menentu.

“Awak tak perlu pergi, Kerk!” Bisikku. Kerk pantas mengeleng.

“Saya tak takut! Tapi kenapa awak rahsiakan dari Altrun?”

“Imej mereka sahaja akan menimbulkan rasa gerun pada tentera kita. Saya tak mahu mereka panik. Lagipun saya dah tahu macam mana nak kalahkan mereka!”

Mata ungu Kerk bersinar.

“Macam mana?”

“Mereka diketuai oleh Jeto. Ada tujuh lapisan tentera Dewa Kegelapan yang mengelilingi Jeto di bahagian tengah. Lapisan paling luar adalah yang paling lemah. Mereka masih boleh dicederakan oleh senjata tajam. Semakin dalam lapisan tersebut, semakin kuat tenaga yang dimiliki oleh tentera tersebut. Jeto juga adalah kunci segalanya kerana Jetolah yang mengawal segala tindakan serta segala-galanya berkenaan tentera tersebut. Mereka bertindak mengikut kemahuan Jeto. Matlamat Jeto adalah matlamat mereka juga.” Terangku masih dalam keadaan berbisik.

“Maksudnya, membunuh Jeto samalah seperti membunuh kesemua tentera Dewa Kegelapan tu?”

“Ya!”

Seketika kemudian aku lihat Kerk mengerutkan dahinya.

“Siapa pula yang menentukan matlamat Jeto?” Soalnya.

“Orang yang menyeru dan menghidupkannya; Esmet!”

Kerk menganggukkan kepala beberapa kali. Mula memahami sesuatu.

“Kalau macam tu, saya akan bunuh Jeto dulu sebelum bunuh Esmet!” Dengan penuh yakin, Kerk menuturkan rancangannya.

Membunuh Jeto bukanlah semudah yang disangkakan. Kekuatan setiap satu lapisan yang diwakili oleh berpuluh ribu tentera Dewa Kegelapan amat menakutkanku. Tetapi, aku tak mahu membunuh keyakinan Kerk. Lalu aku diamkan hal tersebut.

“Awak tahu yang saya sebolehnya tak mahu awak menyertai peperangan ini, kan...”

Kerk menatap mataku dalam-dalam. Meminta pengertian dariku.

“Eury, saya kalau boleh pun tak nak berpisah dengan awak. Tapi mereka di bawah sana memerlukan saya...”

Kami melemparkan pandangan ke bawah. Memerhatikan tentera-tentera yang sudah berbaris di hadapan kawasan istana. Menunggu arahan diberikan sebelum bertindak.

“Seperti yang saya katakan tadi, perkara terakhir yang saya akan lakukan adalah meletakkan diri awak dalam keadaan merbahaya. Sebahagian daripada diri saya ada pada awak. Sebahagian daripada diri awak ada pada saya. Tanpa awak, tak akan ada ertinya untuk saya terus bernafas lagi! Jadi, tolonglah... Walau apapun yang terjadi, tolong jangan pergi ke medan perang ni. Janji dengan saya!”

Anak mata Kerk mengunci pandanganku. Mendesak aku untuk berjanji. Tapi, mampukah aku berjanji dan mematuhinya seandainya keadaan Kerk dan tentera-tentera kami dalam keadaan bahaya? Tidakkah Kerk tahu bahawa duniaku juga akan kosong dan tak bererti tanpa kehadirannya?

Dengan berat hati, aku mengangguk jua akhirnya. Kerk menyambut reaksiku dengan senyuman.

“Dah tiba masa untuk pergi Kerk!” Panggil Egart membuatkan aku terasa sedih. Aku sebolehnya tak mahu melepaskan Kerk pergi. Bukan kerana aku tak yakin pada dirinya tapi aku dapat rasakan yang aku tak akan menemuinya lagi...

Kerk berpaling pada Egart, mengangguk sebelum mengucup ubun-ubunku. Lama dan hangat. Kemudian dia menatap wajahku, anak mataku. Jauh hingga ke dasarnya.

“Ingat pesanan saya?” Soal Kerk lembut. Aku mengangguk sambil menahan sendu.

Setitis air mataku jatuh jua akhirnya. Mengeras di pipi sebelum jatuh. Namun sempat disambut oleh Kerk. Air mataku dipegang dengan hujung jari telunjuk dan ibu jarinya. Ia berwarna hijau muda seperti warna anak mataku. Dan ianya bersinar di bawah cahaya mentari yang terbit.

“Eury, saya suka lihat air mata awak... Cantik... Tapi ini adalah kali terakhir saya nak awak menangis. Saya tak mahu awak menangis lagi. Faham?”

Aku mengangguk.

Dikeluarkannya sapu tangan berwarna putih dari poket pakaiannya. Sapu tangan yang pernah aku berikan padanya ketika dia cedera dibelasah oleh Egart sewaktu pertama kali menjadi pelajar Akademi Eucralipse. Dikesatnya air mataku.

Kerk tersenyum lalu membawa tubuhku ke dalam pelukannya.

“Eury, saya mencintai awak... lebih daripada apa yang saya sangkakan...”

Pelukan dilonggarkan. Bibirnya mencari bibirku. Kucupannya berbeza dari sebelumnya... Dan perbezaan itu hampir membuatkan air mataku menitis sekali lagi. Tetapi aku berjaya menahannya dari mengalir. Setidak-tidaknya bukan di hadapan Kerk...

Beberapa saat kemudian, Kerk meleraikan pelukan kami. Memandangku sekilas. Memberikan senyuman hangat. Dan pantas berjalan ke arah Egart yang sudah bersedia untuk menyarungkan baju besi di tubuh Kerk. Kerk enggan menoleh ke belakang lagi. Tidak ke menoleh ke arah ayahanda bondanya, apatah lagi aku.

Riak wajah Kerk yang tadinya hangat berubah menjadi kosong. Riak wajahnya berubah menjadi sesuatu yang menakutkan. Dia seperti sudah kehilangan jiwanya.

Dan derapan tapak kaki tentera Rexo semakin kuat di pendengaranku...

9 comments:

epy elina said...

hhoohoh...
crta smkin mnarik...x sbr nak bca next n3.....
hrp2 kerk x pe2x....
n mrka dpt kalahkan rexo n esmet....

Anonymous said...

semakin berdebar ngan citer nie..... rse wkt2 bace tadi
x ckup nafas dh....
congrat 2 eury athena...

Ai said...

huhuhu.. suspen giler,harap sngt2 kerk n yg lain x ape2.. (mata aku dh berair nih..)

smbung ag.. kak eury.. ^_^

Anonymous said...

wowh... berdebar2 membaca n3 ni...

jgn pisahkan Kerk n Eury plzzz...

xsbar menunggu...

tzaraz said...

huwaaaa!!! camna aku leh ter'miss' eps 22 ni?....

sedih plak aku bila kerk nak gi perang...

eury! jgn plak kau wat kerk x balik tau...mau aku yg meraung nanti...hehe

Anonymous said...

bestnya cta nie.. truja sgt... x sbr nk tgu smbungn.. jgn la bg kerk mati ek.. x mau la..

Anonymous said...

bestnya cta nie.. truja sgt... x sbr nk tgu smbungn.. jgn la bg kerk mati ek.. x mau la..

Anonymous said...

bestnya cta nie.. truja sgt... x sbr nk tgu smbungn.. jgn la bg kerk mati ek.. x mau la..

Anonymous said...

la...... ble nk smbg.....
x sabo dh nie......

Followers