Sunday, September 27, 2009

eucralipse 9


Esmet meneguk rakus air dari gelasnya. Pujuk rayu dan belaian manja pelayan perempuan di kiri dan kanannya langsung tak dihiraukan. Malah dia menepis makanan yang cuba disuapkan oleh pelayan tersebut. Ditolaknya kedua-duanya ke tepi. Esmet bangun. Memandang tajam satu persatu wajah kawannya; Dayes dan Hemes.

“Berani betul si Rei tu rapat dengan Eury! Berani betul dia nak melawan aku!!” Gelas di tanga dicampakkan ke suatu sudut. Pecah.

“Esmet, aku rasa kau perlu lakukan sesuatu. Dalam kejadian siang tadi, nampak sangat Eury menyebelahi Rei berbanding kau, tunangnya...”

Esmet tajam memandang Dayes.

“Ya, betul kata Dayes! Lebih baik kau bertindak sebelum terlewat. Jangan sampai Eury dan Eucralipse jatuh ke tangan budak hingusan tu, sudah la...!” Kata Hemes menambahkan bengkak di hati Esmet.

“Kau ingat aku sebodoh itu? Aku lebih bijak dari itu. Tahu la Eury nasib dirinya malam ni. Aku yakin Raja Esqandar tak kan biarkan anaknya mencalarkan maruahnya!”

Dayes dan Hemes mengangguk sesama sendiri.

“Jadi, apa rancangan kau?” Soal Hemes pada Esmet. Esmet senyum.

“Apapun yang kau rancangkan, kau harus mengambil kira kekuatan Rei. Waktu dia bertarung dengan Egart tempoh hari, aku lihat dia tak kurang hebatnya!”

“Hemes... Dayes... Semua orang ada kelemahan. Dan kita akan cari kelemahan Rei tu... Itu tugas kamu berdua untuk menyiasat semua tentang Rei. Faham?”

Hemes dan Dayes mengangguk lagi.

“Malam ni, aku tak nak fikir apa-apa. Aku cuma mahu berseronok. Ada kau nampak Sephyl di mana-mana?” Mata Esmet liar menyelongkar segenap isi ruang. Mencari gadis bernama Sephyl.

“Aku tak rasa dia ada di sini malam ni!” Jawab Dayes.

“Kau tahukan hanya Sephyl yang pandai melayan aku...”

Dayes dan Hemes yang sudah mengerti maksud kata-kata Esmet, segera mengarahkan pengawal Esmet untuk mencari Sephyl.

“Jangan pulang selagi tak jumpa!” Pesan mereka pada pengawal tersebut.

Mereka kembali menikmati minuman sambil menikmati rentak muzik dan keindahan malam yang semakin larut.

“Rasa-rasanya Eury sedang menerima hukuman sekarang...” Ujar Esmet antara dengar dan tidak.

Esmet tersenyum sebelum 'membebaskan' tawanya. Membayangkan wajah Eury yang sedang dikenakan hukuman.

“Itulah kelebihan menjadi menantu pilihan!”

Tawa Esmet kedengaran lagi. Kali ini disertai oleh Dayes dan Hemes.

**************
Ayahanda selesa duduk di takhtanya. Bonda di sebelah kiri, hanya sekadar pemerhati. Seperti biasa. Mujur tiada pembesar dipanggil mengadap di balai pengadapan tengah-tengah malam ini.

“Boleh anakanda Eury terangkan kepada Ayahanda dan Bonda apa yang jadi siang tadi?”

Aku hela nafas. Ayahanda dah tahu ke? Sapa yang bermulut murai menyampaikan?

“Tak ada...”

“Jangan bohong, Eury...! Kami diberitahu Esmet...”

“Esmet? Balik-balik Esmet! Percaya sangat semua kata-kata Esmet tu!” Lantang aku menyuarakan rasa tak puas hati.

“Eury! Jaga adab kamu! Kamu sedang bercakap dengan raja Eucralipse ni kan!” Tegur Bonda lantang.

Aku terasa kerdil serta-merta. Melilau mencari 'ayahku' di kamar empat segi itu. Tiada! Yang bergelar ayahku sudah mati sejak majlis pertabalan raja bertahun-tahun yang lalu. Yang ada cuma Raja Esqandar, pemerintah Eucralipse. Dan aku, Eury, bakal penggantinya... tanpa rela...

“Para pembesar, rakyat jelata, musuh-musuh... Semuanya sedang memerhatikan kita... Kamu, ayahanda, bonda dan semua kerabat diraja. Menilai kelayakan kita. Mencari kelemahan kita. Mengumpul dan menjaja kebaikan keburukan kita. Menjadi pemerintah bukan suatu pilihan. Tetapi suatu kewajiban. Satu tanggungjawab yang diwarisi mengikut aliran darah keturunan. Banyak manapun kamu membenci kehidupan sebegini, walau banyak manapun ayahanda benci melihat kamu memaksa diri kamu untuk memenuhi segala kelayakan menjadi bakal pemerintah, ini sudah jadi sebahagian dari takdir hidup kita... Berhenti melawan takdir. Belajar terima apa yang sudah disuratkan untuk kita...”

Kebenaran itu pahit. Tapi itu memang kenyataan. Maka, aku sudah habis modal untuk melawan kata-kata Ayahanda. Aku benci situasi sebegini!

“Menurut Esmet, ada pelajar baru yang membelasahnya di perpustakaan diraja gara-gara dia bersama dengan kamu. Siapa pelajar tu? Kamu kenal dia dan asal-usulnya?” Soalan dan pernyataan Ayahanda menaikkan semula suhu amarahku. Jelas, Esmet memutarbelitkan fakta. Memang bijak. Sebagaimana bijaknya Esmet menyembunyikan warna sebenar dirinya dari pengetahuan Ayahanda dan Bonda aku serta dari pengetahuan Raja Eries dan Permaisuri Xera.

“Ayahanda pelik, macam mana budak tu boleh masuk perpustakaan diraja sedangkan hanya orang tertentu dibenarkan masuk.” Tambah Ayahanda lagi.

“Nama dia Reizu. Dan dia masuk bersama-sama Eury! Dan apa yang diceritakan oleh Esmet itu tak benar sama sekali!!”

Ayahanda dan Bonda terkejut.

“Jadi, kamu kenal dia? Bagaimana?” Soal Bonda.

“Dia pernah bantu Eury ketika diserang...”

“Diserang?! Sapa yang menyerang? Di mana?”

Aku gigit hujung bibir. Dah terlepas cakap...

“Di mana Eury? Ini hal serius. Melibatkan hal keselamatan dan pertahanan Eucralipse! Di mana?”

“Di pinggir hutan. Berdekatan sempadan Eucralipse dan Dark City.” Terpaksa juga aku menjawab.

Wajah Ayahanda dan Bonda sudah merah. Marah.

“Itu kawasan larangan! Bonda dah berkali-kali mengingatkan kamu supaya tidak ke situ. Kamu tahukan, itu kawasan buangan para banduan. Kenapa kamu tak henti-henti melanggar perintah kami, Eury?!” Aku pejam mata. Menahan bunyi suara lantang Bonda yang menerjah ke telinga.

Diam.

“Siapa penyerangnya? Di mana pengawal kamu ketika itu?” Ayahanda mengambil giliran menyoal.

“Rexo dan orang-orangnya. Pengawal Eury dah tewas. Dan Rei datang membantu.” Jelasku.

“Seorang diri?”

Aku mengangguk.

“Hebat!” Riak kagum terpancar di wajah Ayahanda.

“Budak Rei tu harus berhenti dari Akademi!”

“Tapi mengapa? Ini ke cara membalas budi orang yang telah menyelamatkan nyawa bakal pemerintah Eucralipse? Lagipun dia punya kebolehan, pengetahuan dan potensi untuk menjadi pahlawan yang hebat!” Bantahku.

Ayahanda tersenyum. Sinis.

”Eury, dia cuma rakyat biasa. Tak mungkin dia dapat menandingi kehebatan golongan diraja! Ayahanda tak mahu dengar cerita dia bergaduh dengan Esmet lagi. Kita mesti jaga hati Esmet. Dia tunang kamu, tetamu terhormat di Eucralipse... Oleh itu, dia harus diberhentikan dari Akademi!”

Macam la Esmet sorang aje ada hati!

“Jangan memperkecilkan Rei! Eury tahu tahap kebolehan Rei. Dan dia lebih hebat dari Esmet!”

Suasana tegang. Namun tiada sesiapa yang bersuara buat seketika.

“Apapun, kita berbalik pada hal tadi. Ayahanda nak tahu mengapa Rei pukul Esmet?”

Aku tergelak. Sumbang kerana tiada yang lucu.

“Sebenarnya, Esmet yang membelasah Rei bila nampak kami belajar bersama. Malah Esmet cuba membunuhkan Rei. Ini buktinya!”

Aku angkat tapak tangan. Ingin menunjukkan luka dek pedang yang dihayunkan Esmet. Ayahanda dan Bonda menunjukkan minat untuk melihat bukti 'keganasan' Esmet. Namun tapak tanganku yang cantik dan lembut tanpa kesan darah dan parut setelah diubati oleh Rei membuatkan Ayahanda dan Bonda meragui ceritaku.

“Eury... Bonda tahu kamu langsung tak berminat atau suka dengan Esmet. Tapi dia jodoh kamu. Dia yang memiliki pasangan kepada rantai kamu. Jodoh kamu sudah ditetapkan sebelum kelahiran kamu lagi. Itu hakikatnya. Maka kamu harus belajar mencintai Esmet. Belajar menghormati Esmet. Suka atau tidak, dia tunang kamu.”

Dengar nama dia pun aku dah meluat!

“Bagaimana dengan Esmet? Mengapa dia tak belajar menghormati Eury dan kawan-kawan Eury? Ayahanda dan Bonda patut siasat kegiatan Esmet di luar. Esmet bukan datang ke Eucralipse untuk mengenali Eury semata-mata. Naluri Eury mengatakan yang Esmet punya agenda tersendiri. Menakluk Eucralipse, mungkin!”

Tawa Ayahanda berdekah-dekah.

“Perlu apa Esmet menakluk Eucralipse? Bukankah Eucralipse akan menjadi miliknya juga setelah dia berkahwin dengan kamu... Imaginasi kamu terlalu tinggi, Eury!”

“Makanya Ayahanda dan Bonda perlu siasat untuk mengetahui imaginasi Eury berasas atau tidak!”

Ayahanda dan bonda hanya mengelengkan kepala. Sungguh aku buntu untuk meyakinkan mereka tentang apapun berkenaan keburukan Esmet.

“Sudah la... Ayahanda dan Bonda nak balik berehat. Semuanya sudah jelas. Kamu perlu belajar menyayangi Esmet. Dan Rei perlu berhenti dari Akademi Eucralipse!”

“Rei akan terus belajar di Akademi!” Bantahku.

“Rei kekal belajar di Akademi TAPI kamu perlu layan Esmet dengan baik!” Tawar Ayahanda.

Aku angkat kening. Berfikir.

“Setuju!”

Ayahanda dan Bonda tersenyum senang. Ahh...! Aku berbaik dengan Esmet? Mustahil!

“Satu lagi... Budak Rei tu... Bawa dia berjumpa Ayahanda. Mungkin kami patut 'berkenalan'...” Kata Ayahanda sebelum keluar dari kamar itu.

Aku senyum girang seraya mengangguk. Sepanjang berada dalam kamar ini, hanya sebaris ayat Ayahanda itu yang masuk akal bagiku.

**************
Kerk bermeditasi di atas batu besar itu. Memusat dan mengumpulkankan tumpuan serta tenaga dalaman. Itu rutin hariannya setiap malam. Dia tidak mahu hilang fokus. Dia mahu sentiasa bersedia tatkala diarahkan untuk menyerang Eucralipse kelak.

Telinga terasa geli. Terasa seperti ada sesuatu yang halus 'berjalan-jalan' di telinga. Dengan mata yang masih terpejam, dia menangkap tangan tersebut sebelum membawa empunya tangan ke hadapan.

Q-ra meringankan badan. Mengikut rentak 'permainan' Kerk sebelum jatuh melutut ke tanah. Rambut panjangnya diperbetulkan ikatannya kembali. Dia berdiri mengadap Kerk sambil tersenyum menggoda. Kerk buka mata. Berdiri dan terjun ke tanah.

“Kau gagal sekali lagi!” Ejek Kerk.

“Tapi aku tak pernah putus asa. Suatu hari nanti, aku pasti akan membuatkan kau terkejut.”

Kerk sekadar memandang Q-ra yang tersenyum manis. Di sini, di daerah yang dipenuhi dengan dendam dan amarah ini, Q-ra anak kepada Menelaus, merupakan satu-satunya 'puteri cantik' yang menjadi kegilaan lelaki seusia Kerk. Rata-rata lelaki tersebut mencemburui Kerk kerana Kerk murid kesayangan Menelaus. Lantaran itu, Kerk punya banyak masa untuk bersama Q-ra.
“Mana ayah kau?” Tanpa perasaan Kerk bertanya.

“Tak pernahkah kau teringin untuk menghabiskan masa bersama aku? Kau tahukan, betapa ramainya lelaki di luar sana yang menggilai aku. Dan kau harus tahu, aku hanya berminat dengan kau!” Q-ra menuturkan ayat itu dengan cara yang paling menggoda. Sengaja dia melarikan jemarinya yang runcing ke tubuh sasa Kerk. Kerk masih tetap begitu. Tegak. Tenang. Tanpa perasaan.

“Aku bukan mereka. Kau sendiri tahu yang aku tak berminat dengan kau! Selain melihat Eucralipse hancur, aku tak punya keinginan lain!”

Kerk membuat beberapa gerakan yang diajarkan oleh Menelaus. Q-ra berpeluk tubuh.

“Selepas Eucralipse musnah, adakah kau akan ada keinginan terhadapku?”

“Aku tak pasti. Mungkin ya! Mungkin tidak!”

Q-ra merapatkan tubuhnya ke tubuh Kerk. Sengaja dia menggeselkan bahagian dadanya ke tubuh Kerk. Cuba menggoda lagi.

“Untuk kebarangkalian yang sedikit itu, aku sanggup membantu kau untuk menakluk Eucralipse... walaupun ayahku melarang aku turut serta dalam misi itu... Kerana aku hidup untuk kau! ”

Q-ra meninggalkan Kerk di situ. Kerk sekadar memerhati susuk tubuh Q-ra yang semakin hilang ditelan kegelapan.

“Kerana aku hidup untuk kau!”

Kerk menarik pedang dari sarungnya.

“Hiiyarkk!”

Bumm! Sebatang pokok tumbang di sisi.

4 comments:

tzaraz said...

kerk & rei..hmmm..org sama kot

aqilah said...

akak pun mengandaikan yg kerk dan rei org yg sama. biarlah eury dgn rei (kerk).hehehehehe.............pandai2 aje.

Anonymous said...

best la episode ni...:thumbup: buat eury...


mrs.jojie

Anonymous said...

Eury, Teja ada kirim email buat Eury. Eury dah baca?

Tun Teja, Istana Badarsila

Followers