Monday, May 17, 2010

eucralipse 20


Segalanya gelap. Hitam. Aku terbaring kaku. Langsung tidak boleh bergerak walaupun hanya sekadar menggerakkan jari-jemari ataupun membuka kelopak mata. Aku tahu aku belum mati lagi. Kerana rasa sakit yang menjalar ke segenap inci tubuhku meyakinkanku bahawa aku masih hidup lagi. Kematian tak sepatutnya sesakit ini... pada perkiraanku, kematian sepatutnya lebih mudah... tidak menyakitkan... dan tenang...

Aku tak tahu di mana aku berbaring. Tapi tempat aku berbaring ini sangat hangat... dan menyenangkan. Rambutku diusap perlahan-lahan. Sesekali tubuhku turut dibelai dengan penuh kasih sayang. Siapapun membelaiku kini, ia membuatkan aku rasa selamat dan disayangi, sekaligus mengurangkan kesakitanku.

Dan suara-suara yang kudengar menambahkan keyakinanku bahawa aku belum mati...lagi...

“Lepaskan Eury, Rei! Atau patut ke aku panggil kau Kerk?”

Suara lembut dan keanak-anakan itu biasa ku dengar sehari-hari. Menemaniku ke mana sahaja aku pergi. Sentiasa bersedia memberi pendapatnya yang lucu namun adakalanya bernas isinya. Suara itu kedengaran tegas ketika ini. Nada yang jarang digunakan oleh seseorang bernama Ellisa.

“Apa yang kau berdua dah buat pada Eury? Cepat lepaskan dia, Kerk!”

“Tidak! Itu sesuatu yang tak dapat aku lakukan, bukan hari dan bukan untuk selama-lamanya!” Suara Kerk berada di tepi telingaku.

Pelukan di tubuhku dieratkan. Aku cuba menjerit agar Kerk melonggarkan pelukannya namun aku tidak mampu untuk bersuara. Ada gerakan di belakang tubuh Kerk. Aku teringatkan Egart. Ya, Egart ada bersama kami tadi.

“Egart, kita tak akan berlawan... Mereka bukan musuh kita lagi dan mereka terlalu ramai... Kau tahu aku tak akan tinggalkan Eury dalam keadaan begini...” Kerk seolah-olah berbisik pada Egart.

Seluruh tubuhku terasa sakit dan lemah. Seperti tenagaku diserap keluar. Seolah-olah seluruh kudratku dikerah untuk membuat sesuatu. Tapi... Sesuatu seperti apa?

“Lepaskan Eury sebelum aku arahkan orang-orangku menggunakan kekerasan ke atas kau!” Suara Ellisa lebih keras ketika ini. Aku terdengar ada bunyi bising dari arah hadapanku. Seperti gerakan... atau geseran... Ya, bunyi geseran pedang dan sarungnya. Bukan seorang. Yang pastinya bukan seorang yang sedang mengeluarkan pedang dari sarung ketika ini. Ramai. Seperti sepasukan tentera. Sukar aku mengagak berapa orang tentera yang dibawa oleh Ellisa ketika ini.

“Dia di bawah jagaan aku. Aku yang bertanggungjawab ke atas dia sekarang!” Kerk kembali bersuara lantang. Dia bercakap dengan Ellisa sekarang.

Tawa sinis yang halus Ellisa menampar gegendang telingaku.

“Bertanggungjawab? Dengan memperdayakan Eury dan menyeksanya di Dark City?”

“Itu semua sebab salah faham, Ellisa! Kalau aku tahu perkara sebenar, aku tak akan lakukan perkara sebodoh itu.”

Aku cuba bersuara. Sekuat mungkin. Namun tenaga yang tersimpan dalam badan seakan mahu mengkhianatiku.

“Ellisa...”

“Huh! Kau memang bodoh...” Ellisa terus mengutuk perbuatan Kerk. Seperti tidak mendengar panggilanku tadi.

Aku cuba memanggilnya lagi.

“Ellisa...! Kerk...!”

“Eury?!” Sesuatu menerpa ke arahku. Aku masih dalam pelukan Kerk.

“Eury! Kau tak apa-apa?” Suara Ellisa kedengaran betul-betul di tepi telingaku.

“Eury... Sayang...” Suara Kerk berada di sebelah kananku.

“Boleh tak kau lepaskan dia? Aku kawan dia. Aku tak mungkin menyakiti Eury seperti mana apa yang kau lakukan!” Pinta Ellisa kasar.

Aku gagahkan diri untuk membuka mata. Dengan segala kepayahan, memberikan fokus keadaan di sekelilingku. Aku sudah berada dalam dakapan Ellisa sekarang. Ellisa menangis dan matanya penuh dengan kebencian saat dia mengalihkan pandangan ke arah Kerk dan Egart. Kerk melutut di tepiku. Enggan meninggalkan diriku. Egart berdiri di belakangnya. Sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mengelilingi kami, sejumlah kecil tentera terlatih dengan pedang dan perisai di tangan. Masing-masing memakai baju besi.

“Aku minta maaf, Eury! Aku sepatut dapat mengagak di mana kau berada... Maafkan aku kerana gagal menggunakan kebolehanku dengan baik...” Ujar Ellisa dalam tangisan.

“Ellisa... Kerk berada di pihak kita!”

“Eury, dia...”

“Aku cintakan dia, Ellisa!”

“Apa? Kau dah gila? Jatuh cinta dengan musuh...” Suara Ellisa melengking di telingaku.

Ellisa tak mungkin akan faham kerana dia tak tahu apa yang aku dak Kerk tahu. Begitu juga dengan Egart yang masih tertanya-tanya perubahan diri Kerk. Aku tahu aku perlu berbuat sesuatu untuk memberitahu mereka tentang kedudukan hal sebenar.

Aku mencapai tangan Ellisa. Tangan Kerk masih dalam genggamanku sejak tadi, aku genggam seerat mungkin. Dan kemudian aku memusatkan tumpuanku. Membuka 'laluan' memori Kerk supaya dapat dilihat oleh Ellisa.

“Eury... Apa...” Mata Ellisa merenung kosong ke hadapan. Melopong dan keliru. Aku tahu Ellisa berada dalam keadaan keliru kerana dia sedang melihat memori Kerk sekarang.

“Kenapa Ellisa?” Pantas Egart menyoal. Ternyata dia cemas melihat wajah Ellisa yang kosong tanpa riak. Aku tahu Egart sangat mengambil berat tentang Ellisa. Dia cuba menafikan kehendak hatinya tetapi aku tahu dia mencintai Ellisa.

“Eury... Macam mana... Siapa... Oo...” Ellisa sudah mula dapat 'menangkap' apa yang ditunjukkan kepadanya apabila dia 'melihat' aku bermain dengan Kerk semasa kecil dalam bayangan tersebut.

“Egart...!” Panggil Kerk perlahan. Dihulurkan tangan kanannya ke arah Egart. Dalam keadaan ragu-ragu, Egart hulurkan juga tangannya.

“Kerk...?”

“Kau dan Eury...?” Seperti Ellisa, Egart juga terkejut dengan apa yang dilihatnya.

Aku melepaskan tangan Ellisa sebaik sahaja menunjukkan padanya perbualan antara aku dan Kerk sebelum dia datang tadi.

“Sekarang kau fahamkan, Ellisa, Egart...”

Mereka mengangguk serentak. Namun aku dapat melihat terdapat banyak tanda tanya di dalam kepala masing-masing. Kesakitan di tubuhku kembali menyerang. Genggaman Kerk tidak lagi dapat meredakan kesakitanku.

“Tapi Esmet ada rantai...” Ellisa gagal meneruskan ayatnya sebaik sahaja Kerk mengeluarkan Oc-cra dari dalam bajunya.

“Oc-cra!”

Aku mengangguk.

“Ya, Kerk pemilik Oc-cra yang ketiga...”

Oc-cra Kerk aku pegang dan batunya bersinar di tanganku. Aku baca tulisan kuno Eucris ada di situ.

“Oc-cra Pelindung... Oc-cra yang diberikan oleh datuk dan ayahanda aku kepada Segi untuk melindungi negara mereka. Tapi Oc-cra Pelindung tak dapat menjalankan tugasnya memandangkan Kerk telah diculik.”

Ellisa dan Egart kelihatan bingung untuk beberapa ketika. Cuba mentafsir cerita yang aku sampaikan.

“Oc-cra Hijau... Milik aku. Pelengkap Oc-cra Pelindung milik Kerk.” Sambungku lemah.

Dan ternyata Oc-craku bersinar lebih terang dari Oc-cra Kerk dan Esmet.

“Tapi... Esmet?”

“Esmet... entah macam mana dipelihara oleh Raja Eries dan Permaisuri Xerauntuk mengisi kekosongan dan peranan Kerk di Segi, itu andaian aku... Dan aku sendiri tak pasti dari mana dia dapat rantai dia tu!” Terangku.

Ellisa dan Egart bertanyakan sesuatu kepada Kerk berkenaan sejarah hidupnya. Kerk dengan penuh sabar menerangkan kepada mereka. Perlahan-lahan suasana yang tadinya tegang menjadi harmoni semula. Melihat mereka boleh berbual seperti selalu tanpa meninggikan suara menerbitkan rasa lega dan bahagia di hatiku.

Aku sudah tidak mampu lagi menahan rasa sakit yang menjalar di setiap inci tubuhku. Segalanya nampak berputar-putar mengelilingiku. Udara yang aku sedut terasa semakin nipis dan hal ini membuatkan aku tercungap-cungap.

Dan segalanya kembali gelap. Namun kali ini lebih menakutkan. Tiada sebarang bunyi yang kedengaran. Tiada rasa sakit. Tiada rasa menyucuk di tubuh. Langsung tidak ada apa-apa rasa. Seolah-olah aku sudah...

... mati...

**************

Kerk memangku tubuh Eury. Ellisa yang cemas mula menangis. Egart pula mengarahkan tentera yang tadinya mengeliling mereka supaya beredar, menjauhi kawasan tersebut buat seketika.

Kerk menampar pipi Eury. Kiri dan kanan.

“Eury! Bangun Eury! Jangan takutkan saya...!” Ujar Kerk cemas.

Ellisa melutut di tepi Eury. Memandang tanpa arah dengan mata yang berkaca. Diam di tempatnya buat beberapa ketika. Cuba mengingati sesuatu dari memori Kerk yang ditunjukkan oleh Eury kepadanya sebentar tadi. Seketika kemudian Ellisa segera memeriksa tubuh Eury.

“Dalam pertarungan tu, Eury cedera, kan?” Soal Ellisa kepada Kerk. Nada suaranya kembali tinggi seperti tadi.

“Ya! Tapi aku tak rasa kecederaannya boleh jadi sebegini teruk...” Jawab Kerk perlahan. Rasa bersalahnya menggunung tika itu.

Ellisa mengetap gigi tatkala terlihat kesan lebam dan luka di tubuh Eury. Tangannya mengepal penumbuk. Berkira-kira untuk melepaskan amarahnya ke tubuh Kerk.

“Ellisa, aku tak tahu hal sebenar ketika itu... Aku keliru... Apapun, kecederaan Eury memang disebabkan aku! Maafkan aku...” Akui Kerk. Memandang Ellisa dengan wajah bersalah sebelum kembali mengamati Eury yang terbaring lemah di ribanya.

“Macam mana kalau Eury sakit disebabkan Oc-cra? Aku dengar Oc-cra boleh beri impak yang besar kepada pemiliknya.” Soalan Egart membuatkan Ellisa terkesima seketika. Keningnya hampir bertaut hanya kerana sebaris soalan Egart. Matanya memandang Egart tetapi fikirannya melayang memikirkan kemungkinan perkara itu terjadi.

Ellisa mendekati Kerk.

“Dalam memori kau tadi, aku nampak kau dan Raja Eriel mengadakan pakatan dengan Rexo, bukan?”

“Ya! Bilangan tentera kami tidak cukup untuk menyerang Eucralipse.” Jawab Kerk.

“Aku juga nampak kau diculik dan hampir-hampir dibunuh oleh seorang lelaki ketika kau masih kecil.”

“Ya! Tapi apa kaitannya dengan keadaan Eury sekarang?”

Ellisa merenung kosong ke arah Kerk. Cuba mengingati lagi.

“Lelaki tu... Lelaki tu ada tanda... Tanda yang menunjukkan dia adalah orang Rexo...”

“Maksud kau, Kerk diculik oleh orang-orang Rexo? Kiranya semua ini rancangan Rexo?”

Ellisa memandang Egart yang sudah berada di sisinya.

“Ya!” Jawab Ellisa.

“Kau yakin?”

“Siapa lagi? Cuba kau fikir, macam mana Dewa Kegelapan boleh hancur sedangkan tentera-tenteranya hanya ditidurkan?”

Diam.

“Menurut ayah aku, Rexo adalah salah seorang orang kanan Dewa Kegelapan. Bertahun-tahun dia menghambakan dirinya. Mendapatkan kepercayaan Dewan Kegelapan dan dalam masa yang sama menyiasat kelemahannya. Setelah mengetahui kelemahan Dewa Kegelapan, Rexo bunuh Dewa Kegelapan dan menidurkan tentera-tenteranya untuk kepentingannya pada masa hadapan. Satu-satunya kepentingan Rexo yang aku nampak adalah dia ingin menguasai seluruh alam semesta ini. Rexo sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai apa yang dihajatkannya. Maka aku tanpa sangsi menyatakan semua ini angkara Rexo!” Jelas Ellisa panjang lebar.

Egart menongkat dagu memikirkan kata-kata Ellisa. Kerk pula berfikir tanpa mengalihkan pandangannya dari wajah Eury yang pucat. Egart memetik jarinya.

“Nanti dulu! Aku baru teringat, Esmet dah bekerjasama dengan Rexo sekarang! Malah Esmet memanggil Rexo dengan panggilan ayahanda.”

“Apa? Esmet panggil Rexo ayahanda?”

“Ya, itu yang aku dengar semasa kami berbincang dulu...” Akui Egart.

Ellisa mengeluh perlahan.

“Rexo memang bijak! Lebih daripada apa yang kita sangkakan! Dia tahu pemilik Oc-cra mempunyai kuasa yang lebih daripada orang kebanyakan, maka dia memanfaatkannya. Sekarang aku tahu kenapa dia memerlukan Esmet dan Kerk dalam misinya...” Egart menyambung bicaranya.

Muka Ellisa berubah menjadi pucat. Menyedari hal itu, Egart menyentuh bahu Ellisa.

“Kenapa Ellisa?

“Egart, Kerk... Kau tak nampak ke?”

Egart dan Kerk berpandangan sesama sendiri. Sejurus selepas itu, mereka menggelengkan kepala. Gagal meneka apa yang ada dalam fikiran Ellisa.

“Ini memang kerana Oc-cra! Eury jadi macam ni kerana Oc-cra yang ditakdirkan untuknya!”

“Maksud kau?” Soal Kerk dengan dahi berkerut.

“Esmet juga pemilik Oc-cra, Kerk! Dan sekarang Esmet dah menyertai kuasa jahat... Kau pula masih keliru untuk memihak kepada siapa!”

“Aku masih tak faham, Ellisa!”

“Batu dari Euristar asalnya diciptakan sepasang; Oc-cra Pelindung dan Hijau. Oc-cra Pelindung akan melindungi seluruh alam dari kuasa kejahatan. Oc-cra Hijau pula penguatnya. Penyokong. Entah macam mana, Oc-cra Pemusnah tercipta yang mana ia mempunyai keinginan untuk memusnahkan apa sahaja. Menjadi lawan kepada Oc-cra Pelindung. Oc-cra Hijau bersifat neutral. Ia sepatutnya memihak kepada Oc-cra Pelindung. Namun selepas Oc-cra Pemusnah tercipta, ia bergantung kepada pemiliknya. Jika pemiliknya sukakan kedamaian, maka ia akan berpihak kepada Oc-cra Pelindung. Begitulah sebaliknya.”

Ellisa terdiam seketika sebelum menyambung penerangannya.

“Ini semua tentang keseimbangan. Semua yang ada di dunia kita ni perlukan keseimbangan; kuasa jahat dan baik. Pemilik Oc-cra yang mempunyai keinginan yang kuat akan menguasai yang lemah. Dalam kes kau dan Eury, dulu kau menjadi pelindung di Segi. Kemudian, setelah kau diculik, kau hilang arah dan lupa. Kau mula memihak kepada kemusnahan dan kuasa jahat. Keinginan kau untuk membalas dendam dan menakluk Eucralipse sangat kuat. Keinginan Eury pula sebaliknya. Eury masih dalam kesamaran, masih belajar dalam mengenal siapa dirinya yang sebenar. Eury masih keliru. Dan yang paling teruknya, Eury sudah tidak mampu untuk memikul bebanan yang diletakkan di bahunya. Esmet pula sudah menjadi kuasa jahat. Dan dia semakin kuat ketika ini setelah dia mengakui takdirnya. Dia semakin bijak menggunakan semua kuasa yang dimilikinya untuk mencapai matlamatnya. Sedar atau tidak, kau dan Esmet sedang menyerap segala tenaga dan kuasa milik Eury sekarang untuk mencapai matlamat kau dan matlamat Esmet. Eury pula masih cuba bertahan untuk mengembalikan keseimbangan kuasa jahat dan baik. Sama ada kau sedar atau tidak, kau sedang membunuh Eury sekarang, Kerk!”

“Tidak!!” Jerit Kerk.

Egart dan Ellisa terkejut mendengar suara lantang Kerk tersebut.

“Aku tak mungkin menjadi sebab kematian Eury! Aku cintakan dia! Ellisa, apa yang patut aku lakukan untuk buat Eury kembali seperti biasa? Beritahu aku apa yang patut aku buat supaya aku boleh lihat Eury pulih?!!” Desak Kerk sambil menggoncang bahu Ellisa.

“Aku... Aku tak tahu, Kerk!”

“Kau seharusnya tahu, Ellisa!”

Ellisa terdiam. Tiada jawapan bagi soalan yang ditanya oleh Kerk dalam kepalanya.

Nafas Eury tersekat-sekat. Degupan jantungnya yang tidak sekata dan lemah membuatkan Kerk semakin panik dan terdesak.

“Ellisa! Aku perlukan jawapan!”

Badan Ellisa bergegar akibat digoncang oleh Kerk.

“Aku tak tahu, Kerk! Kau sendiri kena cari jawapannya! Keinginan kau, matlamat kau, pegangan kau, kepercayaan kau... Mungkin kau perlu mengubahnya. Aku tak tahu bagaimana tapi itu sahaja yang boleh aku katakan... Kau perlu memihak kepada kuasa kebaikan semula... Supaya beban yang ditanggung oleh Eury berkurangan...”

Kerk mengusap wajah Eury perlahan-lahan. Penuh kasih sayang.

“Eury...” Ujarnya lirih.

**************

Aku tahu aku bermimpi ketika ini. Aku yakin benar aku sedang bermimpi. Semua yang aku lihat sangat indah dan mempersonakan. Aku tak akan pernah bertemu dengan tempat secantik ini.

Mata aku tala ke bawah. Memerhatikan pakaian yang kupakai pada ketika ini. Gaun berwarna merah dan kuning dipotong menyerupai kelopak bunga separas lutut tersarung kemas di tubuhku. Kainnya sangat lembut membuatkan aku tertanya-tanya ia diperbuat daripada apa. Rambutku yang melepasi bahu dibiarkan lepas bebas ditiup angin. Terdapat dua sayap kecil yang hampir lutsinar di belakangku. Bergerak ke aas dan ke bawah dengan pantas. Menjadikan kasut berbentuk daun di kaki kehilangan fungsinya memandangkan aku bergerak menggunakan sayap kini, bukan lagi kaki.

Sungai yang mengalir deras berhampiran dengan tempat aku berdiri, aku hampiri. Terdesak melihat imejku di situ. Tertanya ia tidak menghampakan. Airnya yang jernih memantulkan imejku. Aku didandan cantik seperti puteri kelopak bunga yang sering aku gambarkan dalam kotak fikiran semasa kecil.

Rumput hijau terasa berkilauan di bawah Eucristar. Bunga-bunga liar yang berwarna-warni dan berbau harum tumbuh melata di atasnya. Sesekali bayu bertiup perlahan. Menghasilkan melodi indah yang tak mungkin dapat dikeluarkan oleh mana-mana alat muzik di dunia.

Kerk berdiri di sisiku tanpa aku sedari dari mana datangnya. Kelihatan kacak dan gagah seperti selalu dalam pakaian kesatrianya. Bibirnya tak lekang mengukir senyuman. Membangkitkan segala rasa di hatiku. Sepasang anak matanya langsung tidak beralih dari menatap mataku. Tanpa sebarang gerakan mahupun kata-kata, Kerk mencuri seluruh tumpuanku. Dan hatiku.

Kerk melengkapkan mimpi yang sempurna ini...

“Eury...”

“Mimpi ni terlalu sempurna, Kerk... Mana mungkin...”
Telunjuk Kerk melekat di bibirku.

“Tak mungkin akan sempurna tanpa awak, Eury...”

“Saya hanya akan rasa sempurna dengan kehadiran awak, Kerk...”

“Eury, saya bersumpah dengan nyawa saya yang saya akan melindungi awak dari segala bahaya dan kesakitan yang ada dalam dunia ini.”

“Tapi...” Aku cuba membantah namun Kerk lebih cepat 'mendiamkan' mulutku dengan bibirnya.

“Saya cintakan awak, Eury...”

Kata-kata Kerk membuatkan aku tak sedap hati. Asalnya aku ingin berbuat sesuatu untuk bertanya maksud ayatnya itu, tetapi perkara lain pula yang berlaku. Tanpa dirancang, kelopakku terbuka luas. Cahaya api yang menikam terus ke anak mata membuatkan mataku pedih. Aku terpaksa memejamkan mataku kembali dan kemudian membukanya perlahan-lahan.

Aku tak mahu mimpi itu berakhir kerana ia terlalu indah... Tetapi aku sudah pun berada di alam nyata.

Aku bangun dan sedar bahawa aku tertidur di dada Kerk yang bidang. Aku berasa lain. Berbeza. Tidak seperti selalu. Atau keadaan sebelum aku jatuh pengsan tadi. Aku rasa bebas. Ringan. Dan ceria. Rasa sakit yang tadinya membelenggu diriku sudah hilang sepenuhnya. Rasa sakit dibelasah sepanjang berada di Dark City juga lenyap begitu sahaja. Aneh!

Suasana masih gelap dan sunyi. Hanya kedengaran bunyi api membakar kayu-kayu kering. Ellisa aku lihat berbual perlahan dengan Egart tidak jauh dari tempat aku dan Kerk berehat.

Aku lemparkan pandangan ke sudut lain. Keadaan sekelilingku tidak lagi seperti tadi. Aku sudah berada di tanah jajahan Eucralipse. Mungkin beberapa kilometer dari tembok besar yang memisahkan Eucralipse dan Dark City. Tentera-tentera yang datang bersama-sama Ellisa tadi bergilir-gilir mengawal keadaan.

Pergerakanku membuatkan Kerk terjaga dari tidurnya. Kerk membuka mata. Aku menjangkakan Kerk akan terus memanggil namaku, memelukku erat sebagai tanda syukur setelah aku pengsan tidak sedarkan diri tadi. Namun ia tidak berlaku seperti yang aku jangkakan. Kerk tersentak dan serentak itu wajahnya berkerut-kerut seolah-olah dia menanggung kesakitan yang amat sangat. Kemudian wajahnya kembali ceria ketika memandang diriku, menghilangkan terus rasa gusar di hatiku.

“Eury, awak sedar juga akhirnya! Macam mana keadaan awak?”

Belum sempat menjawab, kami diterpa oleh Ellisa dan Egart dengan wajah cemas.

“Eury, kau tak apa-apa?” Soal Ellisa bimbang.

“Tak! Aku tak apa-apa. Aku rasa ringan. Ceria dan bertenaga.”

“Dah tak sakit macam tadi?”

Aku geleng. Masing-masing mengerutkan wajah.

“Eury, kau asyik pengsan dan sedar beberapa kali tadi.”

“Ya, kami syak tubuh kau dah tak mampu nak tampung dan mengimbangi kuasa baik dan jahat. Sebab tu kau rasa lemah dan tak bertenaga.” Egart pula menyambung kata-kata Ellisa.

“Eury, jangan tipu semata-mata nak legakan hati kami...” Kerk memberi amaran kepadaku.

“Kerk, saya betul-betul dah sihat! Saya langsung tak rasa sakit. Egart, Ellisa, aku tak tipu la! Aku tak tahu apa yang korang dah buat pad akuu tapi aku memang rasa segar-bugar sekarang. Macam aku baru aje bangun dari rehat yang panjang!”

“Betul ni?”

Aku angguk.

“Tak tipu?”

Aku anggukkan kepala lagi.

“Baguslah! Sekurang-kurangnya satu masalah kita dah selesai.”

“Apa maksud kau, Ellisa?” Perkataan masalah membuatkan aku segera menyoal Ellisa kembali.

“Aku sempat berbual dengan Egart masa kau pengsan tadi...” Ellisa menoleh ke arah Egart. Meminta Egart menyambung penjelasannya.

“Raja Eriel mengamuk sakan bila dapat tahu yang Kerk bawa lari kau. Masa aku keluar untuk mencari kau dan Kerk, Raja Eriel tengah berura-ura nak berjumpa dengan Rexo dan mendesak Rexo untuk mempercepatkan serangan ke atas Euralipse...”

“Kami percaya yang orang-orang Rexo dan Raja Eriel sedang menuju ke Eucralipse sekarang!”

Udara di sekelilingku terasa seperti diambil pergi. Kerk mengusap-usap bahuku. Meminta aku bertenang. Aku berhenti bernafas untuk beberapa saat sebelum aku kembali memenuhkan udara dalam paru-paruku.

“Kita perlu segera balik ke Eucralipse, Eury! Kita dah tak banyak masa lagi!”

“Ya! Untuk menghentikan serangan mungkin sudah terlambat. Kita perlu maklumkan kerajaan Eucralipse tentang serangan ini! Tentera Eucralipse perlukan strategi baru untuk kalahkan mereka!” Egart menyokong Ellisa.

Kerk di sisiku masih diam membisu aku renung. Riak wajahnya nampak menakutkan. Aku percaya rasa bersalah membuatkan wajahnya sedemikian rupa.

“Maafkan saya, Eury... Sebahagian daripada beban kesalahan dan malapetaka yang menimpa ini terletak di bahu saya.”

Aku segera memeluk Kerk. Menenangkannya.

“Awak tak bersalah. Awak tak pernah bersalah dan tak akan jadi pesalah dalam hal ini. In semua permainan dan taktik kotor Rexo. Kita mangsanya... Ingat tu! Faham?”

Kerk mengangguk di belakang bahuku.

“Saya akan tebus semula semua kesalahan saya! Saya akan berjuang untuk selamatkan Eucralipse dan betulkan keadaan seperti biasa!”

“Kita semua akan selamatkan Eucralipse, Kerk!” Aku membetulkan ayat Kerk.

Bahu Kerk aku tepuk beberapa kali sebelum bangun mengadap Ellisa dan Egart.

“Kita akan bertolak ke Eucralipse sekarang!”

**************

Raja Eries dan Permaisuri Xera menerpa ke arah Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika dalam keadaan cemas.

“Kami cuba datang secepat mungkin, Eurika, Esqandar! Kami rasa kami patut beri amaran pada kamu semua!”

Melihat keadaan Raja Eries dan Permaisuri Xera yang tidak terurus, Permaisuri Eurika segera mengarahkan beberapa dayang istana menyiapkan bilik dan pakaian bersih untuk mereka. Raja Esqandar pula mengarahkan semua pembesar dan pengawal yang ada supaya meninggalkan dewan mengadap tersebut bagi membolehkan mereka berbual dengan lebih bebas.

“Kenapa Eries, Xera? Apa yang dah jadi ni?”

Wajah Raja Eries dan Permaisuri Xera suram. Pakaian mereka tak terurus dan kotor seolah-olah mereka melalui satu perjalanan yang sukar.

“Kami terpaksa datang ke sini senyap-senyap. Orang-orang Esmet ada di mana-mana sahaja. Memerhatikan gerak-geri kami. Walaupun secara dasarnya Segi masih tanah jajahan kami namun Segi sudah pun berada di bawah kekuasaan Esmet dan orang-orangnya.” Ujar Raja Eries cemas.

“Ya! Esmet dah melampau-lampau sekarang! Dia dah salah gunakan kuasa yang kami berikan padanya. Kami datang ni pun nak beri amaran pada kamu berdua!” Permaisuri pula menyambung bicara.

“Nanti... Nanti dulu! Kenapa orang-orang Esmet harus mengawasi kamu berdua? Amaran? Amaran tentang apa?” Soal Raja Esqandar.

Raja Eries dan Permaisuri berpandangan sesama sendiri sebelum memandang Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika. Raja Eries mengeluh berat sebelum menarik nafas dalam-dalam. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan dan bersedia untuk bercerita.

“Esmet sekarang dah bersekongkol dengan Rexo. Mereka ingin menakluki Eucralipse dan Segi...”

“Bukankah Esmet itu putera kamu? Macam mana dia boleh bekerjasama dengan pemberontak pula?” Berkerut-kerut wajah Raja Esqandar saat bertanyakan soalan tersebut.

“Esmet bukan putera kami, Esqandar, Eurika... Esmet cuma anak angkat yang kami pelihara untuk menggantikan putera kami yang hilang...”

“Maksud kamu...”

“Dalam serangan Rexo 12 tahun yang lalu, Rhyss hilang dari jagaan kami... Ketika itu aku dan orang-orangku sedang memburu Rexo dan orang-orangnya di hutan... Keadaan yang sunyi ketika tu, Rexo dan orang-orangnya langsung tak kelihatan... Kami fikir kami dah berjaya mengalahkan mereka dan menghalau mereka dari Segi. Dalam keadaan huru-hara tu, tanpa kami sedar Rhyss dah hilang dari kumpulan kami.”

Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika berpandangan sesama sendiri dengan wajah yang terkejut.

“Merata-rata aku mencari Rhyss, tapi tetap tak berjumpa. Tarikh pertabalan Putera Segi semakin hampir... Pertunangan antara puteri kamu dan putera kami... Dan yang paling teruk, Rhyss hilang bersama-sama rantai Oc-cra pemberian Raja Theseu... Rantai yang telah kita persetujui untuk satukan ketika Eury dan Rhyss berkahwin kelak! Terlalu banyak yang aku perlu pertaruhkan, jadi aku rahsiakan kehilangan Esmet. Hanya orang-orang kepercayaan aku sahaja yang mengetahuinya.”

“Dan Esmet?”

“Dalam pencarian itu, kami secara tak sengaja bertemu dengan Esmet. Dia mengingatkan aku kepada Rhyss. Maka aku ambil dia sebagai anak angkat... atau lebih tepatnya, Esmet aku didik menjadi Putera Segi yang baru bagi menggantikan Rhyss. Maka dia dinamakan Rhyss-Esmet.”

Raja Eries berjeda seketika. Menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung ceritanya.

“Esmet, seperti yang kamu kenali, memang berbeza berbanding Rhyss. Esmet terpaksa belajar dari bawah tentang segala-galanya. Itu membuatkan dia sentiasa memberontak. Esmet juga degil, kurang pertimbangan, tak serius dalam kerjanya, suka berseronok-ronok, sukar dikawal. Esmet selalu berbalah dengan kami gara-gara sikapnya itu. ”

“Kelmarin, Esmet dengan wajah bongkaknya datang ke istana kami untuk memberi kami amaran. Katanya, dia dan ayahandanya...

“Ayahanda?”

“Rexo adalah ayahanda Esmet...”

“Rexo? Macam mana...” Permaisuri Eurika yang masih terkejut tidak apat menghabiskan katanya.

“Kami sendiri tak pasti bagaimana semua ni boleh terjadi, Eurika... Tapi kami dapat rasakan yang semua ini angkara Rexo. Dia yang merancang semua ini dari mula. Serangan di Eucralipse. Serangan di Segi. Kehilangan Rhyss dan kemunculan Esmet yang secara tiba-tiba di Segi... Semuanya seperti dirancang dengan teliti!”

“Isteri Eriel, Ria, turut mati ketika serangan Eucralipse... Dan Eriel menyalahkan kami... Mungkin ada kaitannya...”

“Aku musykil, macam mana Esmet boleh ada rantai Oc-cra? Kamu kata rantai Oc-cra hilang bersama-sama Rhyss...”

Raja Eries mengangguk lemah.

“Ya, Oc-cra dah hilang bersama-sama Rhyss. Sewaktu aku jumpa Esmet, dia memang memakai rantai Oc-cra tu. Aku tak tahu macam mana, tapi memang dia memakai Oc-cra tu sejak pertama kali aku berjumpa dengannya!”

Suasana diam.

“Tadi kamu cakap Esmet memberi kamu amaran? Amaran berkenaan apa?”

“Rexo dan Esmet dah bergabung tenaga. Mereka akan menyeru kebangkitan tentera-tentera Dewa Kegelapan. Mereka akan menyerang Eucralipse dan Segi!”

“Menyerang... Eucralipse?”

Esqandar terduduk di takhtanya. Menongkat kepala memikirkan nasib keluarga dan negaranya.

“Lebih malang lagi, Esmet mengaku yang Rexo menculik Rhyss. Esmet bersumpah untuk membunuh Rhyss sebelum kami dapat menemui Rhyss! Itu maknanya Rhyss, putera kami masih hidup tapi kami mungkin tak akan dapat menemuinya!” Tangisan Permaisuri Xera berlagu lagi.

“Kejam seperti ayahandanya!” Kutuk Permaisuri Eurika.

“Sabarlah, Xera...”

“Dah la Eury hilang... Rhyss diculik dan entah di mana... Kita semakin hilang keseimbangan...” Ujar Raja Esqandar perlahan. Kesal.

Raja Eries mengalihkan pandangan ke arah Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika. Permaisuri Xera automatik berhenti menangis.

“Eury hilang?” Soal Permaisuri Xera dengan mata terbeliak.

“Ya, kemungkinan diculik ketika majlis hari lahir Ellisa. Dah masuk tiga pasukan kami hantar untuk cari dia. Sampai sekarang tak jumpa lagi.”

Permaisuri Xera menggenggam tangan Permaisuri Eurika.

“Maafkan kami, Esqandar, Eurika... Kami tak tahu...”

“Kami pun baru dapat tahu perkara ni. Altrun rahsiakan daripada kami. Sangkanya Eury cuma pergi berhibur dengan kawan-kawannya... rupa-rupanya...”

“Kami minta maaf... Kami bersimpati dengan kehilangan Eury. Dan kami juga ingin meminta maaf kerana telah menipu kamu selama ini. Kami langsung tak menyangka perkara akan jadi seperti ini... Maafkan kami, Esqandar, Eurika...”

Permaisuri Eurika pantas memaut Permaisuri Xera dan mereka tenggelam dalam tangisan masing-masing. Raja Esqandar pula sekadar menepuk-nepuk bahu Raja Eries yang berwajah duka.

“Semua yang dah jadi. Tak perlu kita ungkit-ungkit lagi. Sekarang ni kita perlu buat persediaan untuk menghadapi Rexo dan Esmet! Dalam pada itu, kita akan cuba mencari Eury dan Rhyss...”

“Eries, Xera, berlindunglah di sini sehingga keadaan aman kembali...”

“Terima kasih, Esqandar... Budi kamu tak terbalas dek kami...”

Serentak itu pintu dewan dibuka.

“Eury!!”

**************

“Eury!!”

Empat suara memanggil namaku, nyaring, sebaik sahaja aku membuka pintu dewan mengadap. Aku berpaling ke belakang. Memerhatikan dua susuk tubuh yang berada di tengah-tengah sekumpulan pengawal istana.

“Jangan apa-apakan mereka...” Amaranku terhadap ketua pengawal berbaur rayuan. Ketua pengawal mengangguk tanda mengerti. Aku memandang ke arahnya sekali lagi buat kali terakhir sebelum melangkah masuk. Dia tersenyum. Mesra. Separuh nyawaku tertinggal di situ. Separuh nyawaku tertinggal bersamanya ketika aku masuk ke dewan.

Ayahanda, bonda, Raja Eries dan Permaisuri Xera memandangku dengan rasa tidak percaya. Ayahanda dan bonda pantas menerpa ke arahku. Bonda mendepakan tangannya lantas memelukku. Seerat mungkin.

Ellisa yang tadinya mengekor di belakangku, menyisih ke sudut dewan. Memberi sedikit privasi kepada kami sekeluarga. Begitu dengan Raja Eries dan Permaisuri Xera. Apapun alasan yang menyebabkan Raja Eries dan Permaisuri Xera ada di sini, aku rasa bersyukur sangat dengan keberadaan mereka di istanaku pada ketika ini.

“Bonda...!”

“Eury! Kamu ke mana? Bonda risau... Kamu... Kamu hilang macam tu sahaja!” Kata bonda putus-putus akibat menangis di belakang badanku. Baju yang aku pakai basah dek air matanya. Tangisan gembira dan syukur bergema di ruangan itu.

“Eury minta maaf, bonda... Eury...” Aku hilang kata-kata. Aku betul-betul tak tahu apa yang perlu aku katakan. Apapun jawapan yang aku berikan, ianya akan mendatangkan kesan terhadap Kerk dan Egart yang berada di luar dewan ini. Positif atau negatif.

Pelukan dileraikan. Kini aku didakap oleh ayahanda pula. Hangat dan penuh kasih sayang, sebelum aku kembali berada dalam dakapan bonda.

“Apa sebenarnya yang jadi, Eury? Siapa yang culik kamu?”

“Rei dan Egart, kan? Ellisa kata Rei dan Egart hilang malam yang sama dengan kamu!” Bonda pula melontarkan soalannya.

“Siapa Rei dan Egart tu? Orang suruhan Esmet dan Rexo juga ke?” Raja Eries pula bertanya.

Aku menarik nafas. Menyedari betapa sukarnya situasi aku sekarang untuk membersihka semula nama dan reputasi Kerk dan Egart di mata ayahanda dan bonda. Aku juga kurang pasti sama ada Raja Eries dan Permaisuri Xera akan percaya ceritaku nanti berkenaan siapa Kerk yang sebenarnya. Apapun, aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya mereka sudah tahu bahawa Esmet kini bukan lagi berada di pihak kami. Esmet kini sudah menyertai Rexo dan rancangan jahatnya.

“Ayahanda, bonda...” Panggilku lembut seraya memandang wajah ayahanda dan bondaku yang sudah tidak sabar-sabar mendengar peneranganku.

“Raja Eries, Permaisuri Xera...” Pandanganku jatuh pada wajah Raja Eries dan Permaisuri Xera pula.

“Sebenarnya berlaku salah faham di sini. Memang Eury diculik tapi kemudiannya Eury diselamatkan... Semuanya kerana ada kekeliruan...” Ayat permulaanku, entah mengapa, agak pelik dan sedikit lucu bunyinya di telingaku sendiri. Dalam masa tiga hari, macam-macam yang berlaku. Aku diculik, diseksa bagai banduan, diselamatkan dan dibawa pulang ke istana oleh orang yang sama.

“Ayahanda tak berapa faham dengan penerangan kamu. Tapi, ayahanda akan pastikan yang penculik itu akan dihukum dengan hukuman yang berat!”

“Ayahanda, perkara ni tak semudah yang kita sangkakan... Sebelum kita mengambil apa-apa tindakan, boleh tak ayahanda dan bonda dengar dulu penjelasan Eury?”

Ayahanda dan bondaku terdiam sebelum mengangguk dan menunggu aku memulakan bicara.

“Memang Rei yang menculik Eury... tapi... Eury yang ikut dia... err... lebih kurang macam tu la!”Sekali lagi ayatku kedengaran aneh.

“Ayahanda tak faham!”

“Bonda tak mengerti!”

“Ya! Kami juga kurang mengerti...”

“Memang cerita ni susah nak faham sikit. Rei atau Kerk dari Dark City menyamar datang ke Eucralipse untuk mencuri maklumat dan akhirnya mengumpan saya untuk pergi ke Dark City.”

“Pengkhianat!” Bonda melabel perbuatan Kerk dan Egart. Rasa pedih menyerang ulu hati. Betapa mudahnya menyakiti hatiku; hanya dengan melabel Kerk dengan sesuatu yang bersifat negatif.

“Egart juga begitu, menyamar dan datang belajar ke Akademi Eucralipse untuk mendapatkan maklumat bagi melunaskan hasrat Raja Eriel untuk mengambilalih tampuk pemerintahan Eucralipse dari ayahanda. Katanya ayahanda tak layak untuk memerintah Eucralipse memandangkan dia putera sulung Raja Theseu. Dia juga mendakwa yang ayahanda seorang raja yang zalim kerana membunuh isterinya, Ria. Ayahanda tak layak menggantikan tempatnya...” Aku kembali bersuara.

Ayahanda memandangku dengan wajah yang terkejut.

“Raja Eriel... Raja Eriel dalang semua ini? Jadi, kamu tahu...”

“Ya, Eury dah tahu yang Raja Eriel tu pakcik Eury, kekanda ayahanda. Eury juga dah tahu apa yang menyebabkan dia bangkit untuk menggulingkan kerajaan kita. Cuma Eury tak percaya itu cerita yang sebenarnya. Eury rasa ada yang tak kena dengan cerita versi Raja Eriel tu.”

“Jadi, kamu diculik oleh Raja Eriel? Rei atau Kerk dan Egart tu orang suruhannya?” Bonda bertanya. Membuat kesimpulan terhadap ceritaku.

“Secara teorinya, ya! Tapi lepas Kerk sedar yang apa yang dilakukannya tidak betul, dia membebaskan Eury malah membawa Eury pulang ke Eucralipse.”

“Huh! Boleh ke kita percaya pada dia? Entah-entah ini sebahagian daripada rancangan dia!” Selar ayahanda.

“Kita patut kerahkan Altrun untuk cari dan bunuh dia dan semua pengikutnya! Kita tak boleh ambil risiko lagi!” Tokok bonda berang.

Aku tersentak mendengar kata-kata ayahanda dan bonda.

“Kerk dan Egart dah insaf dengan perbuatan mereka, ayahanda, bonda... Mereka tak perlu dihukum atas kekeliruan mereka!”

“Baiklah. Kita lupakan soal mereka dulu. Lagipun kita ada masalah serius sekarang. Esmet, tunang kamu, dah menyertai Rexo dan mereka mengatur rancangan untuk menakluk Eucralipse dan Segi...”

“Esmet tak mungkin jadi tunang Eury kalau Rhyss tak diculik oleh Rexo!” Balasku dalam nada yang mendatar.

Empat pasang mata meloot memandangku. Terkejut mendengar kata-kataku.

“Eury... Kamu... dah tahu?” Permaisuri Xera menekup mulutnya.

“Eury dah tahu hampir keseluruhan cerita sebenar. Dan Eury juga tahu Eury sepatutnya bertunang dengan Putera Rhyss dari Segi!”

Suasana bungkam lagi. Wajah Raja Eries dan Permaisuri Xera tampak sayu. Mungkin terkenangkan putera mereka. Ayahanda dan bonda berpaling ke arah lain. Enggan melihat kesedihan mereka. Aku teragak-agak namun aku sedar yang aku perlu memanfaatkan peluang yang ada. Masa yang kami ada semakin suntuk.

Ya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk memberitahu mereka...

“Ayahanda... Bonda... Ada perkara yang Eury nak beritahu...”

Ayahanda dan bonda kembali memandangku.

“Raja Eries, Permaisuri Xera, Eury ada kejutan buat tuanku berdua...”

Raja Eries dan Permaisuri Xera memandangku dengan wajah terkejut dan sedikit kebingungan. Mungkin terkjut apabila aku secara tiba-tiba menyebut nama mereka. Aku pasti yang mereka langsung tidak dapat menjangkakan apa yang akan aku 'persembahkan' kepada mereka sebentar nanti.

“Eury tak tahu apa helah ciptaan Rexo... tapi...”

Aku segera melangkah ke pintu masuk lantas membukanya. Kerk dan Egart serentak memandang ke arahku. Aku mengangguk lalu mempersilakan mereka berdua masuk ke dewan mengadap. Pengawal-pengawal yang berada di luar dewan seakan berat hati untuk melepaskan 'penculik'ku itu masuk tanpa sebarang kawalan. Setelah aku yakinkan, mereka terpaksa akur dengan keputusanku.

“Kami ada di sini kalau ada apa-apa perkara tak diingini berlaku...” Pesannya sebelum kami berlalu. Aku sekadar mendiamkan diri kerana aku tahu semua itu tidak akan berlaku. Kerk dan Egart sudah berada di pihak kami kini.

Aku menggenggam erat tangan kanan Kerk. Egart mengekori kami dari belakang. Agak tercengang-cengang melihat dewan tersebut yang pada perkiraanku 'terlalu mewah' perhiasannya berbanding apa-apapun yang pernah dilihat olehnya. Kerk kelihatan lebih tenang berbanding Egart. Ini kali kedua Kerk datang ke sini. Namun aku lihat Kerk agak gugup tatkala menyedari pandangan tajam ayahanda dan bondaku serta keadaan tegang di dalam dewan.

Ayahanda dan bonda serta-merta bangun dari takhta mereka dengan muka yang merah. Memandang Kerk dan Egart dengan pandangan marah dan benci seolah-olah aura kehadiran mereka boleh membunuh semua yang ada di situ. Raja Eries dan Permaisuri Xera kelihatan berwaspada. Empat pasang mata memandang tajam ke arah jari-jemari aku dan Kerk yang bertaut.

Aku dan Kerk berhenti melangkah sebaik sahaja tiba di tengah-tengah dewan. Egart berdiri kaku beberapa langkah di belakang kami. Tangan Kerk erat mengenggam tanganku, mengambil-alih perananku sebentar tadi. Pandangan Egart mula liar mengitari sekeliling dewan. Ellisa yang berdiri di sudut dewan turut berasa cemas.

“Eury! Apa yang kamu buat dengan penculik ini? Kenapa kamu berpegangan tangan?” Ayahanda meluru ke sayap kanan dewan. Menarik keluar salah satu pedang kebesaran Eucralipse dari tempatnya.

“Ayahanda, dengar...”

Ayahandaku memilih untuk tidak mempedulikan suaraku. Melangkah gagah ke tempat aku dan Kerk berdiri namun berhenti beberapa tapak di hadapan kami. Pedang masih terhunus di tangannya.

“Pengawal! Pengawal!” Jeritan ayahanda menyebabkan semua pengawal yang ada di luar bergegas merempuh pintu masuk. Dalam masa beberapa saat sahaja, para pengawal istana sudah memenuhi ruangan dewan, mengelilingi aku, Kerk dan Egart. Bersedia menerima arahan raja mereka dengan senjata di tangan masing-masing, sekaligus membuatkan masa yang aku ada bertambah singkat.

Aku berdiri di hadapan Kerk. Berdiri terlalu hampir dengannya. Mengitari Kerk untuk memastikan tiada sesiapa atau apapun yang boleh melukainya. Dan Kerk turut mengambil tindakan yang sama, sedaya-upaya cuba memastikan aku sentiasa berada di belakangnya. Egart mula menilai kekuatan dan kelemahan para pengawal yang mengelilinginya. Mencari-cari peluang kemenangan sekiranya mereka menggunakan kekerasan.

Ayahanda, bonda, Raja Eries, Permaisuri Xera, dan sekalian yang ada kelihatan terkejut dan keliru melihat reaksiku melindungi Kerk. Ellisa dan Egart bertukar-tukar pandangan yang mengandungi mesej tertentu. Mungkin mengatur strategi untuk menyelamatkan diri mereka dan juga kami; walaupun idea itu kedengaran mustahil ketika ini.

Aku mengelengkan kepala kepada ayahandaku. Mengisyaratkan agar ayahandaku tidak mengeluarkan sebarang arahan tanpa persetujuanku. Menghantar isyarat bahawa dia perlu mencederaan aku terlebih dahulu sebelum dia dapat mengapa-apakan Kerk.

“Eury?!” Panggil ayahanda, yang kedengaran seperti pertanyaan berbanding panggilan di telingaku.

“Kerk adalah Putera Rhyss!!!” Jeritku sekuat hati. Cuba menarik perhatian semua yang ada di situ.

Sekali lagi suasana menjadi bungkam. Tiada sesiapa yang berani bersuara. Mereka meragui kebenaran kata-kataku.

“Kerk atau Rei adalah Putera Rhyss, putera Raja Eries dan Permaisuri Xera yang diculik kira-kira 12 tahun yang lalu. Oc-cra Pelindung menjadi buktinya!”

Kerk mengeluarkan rantai Oc-cra dari dalam bajunya. Menunjukkan tulisan kuno Eucralipse di belakang Oc-cranya kepada ayahanda, bonda, Raja Eries dan Permaisuri Xera. 'Pelindung'. Itu yang tertulis di situ. Dan aku pasti Oc-cra milik Esmet tidak ada tulisan sebegitu.

Suasana masih lagi hening. Tiada sesiapa yang mahu atau mampu bersuara...

“Rhyss...!!!”

... sehinggalah jeritan nyaring Permaisuri Xera kedengaran dan tangisannya pecah.

**************

Kesemua tumpuan diberikan kepada tiga orang yang berdiri di tengah dewan mengadap. Raja Eries, Permaisuri Xera dan Kerk yang tadinya kelihatan canggung dan hanya berpandangan sesama sendiri, mula merapati antara satu sama lain. Permaisuri Xera masih menangis namun sudah dapat mengawal sendunya itu. Raja Eries dan Permaisuri Xera merenung tajam ke arah Kerk dengan mata yang berkaca. Seketika kemudian, Kerk sudah berada dalam pelukan ayahanda dan bondanya.

Sekalian yang ada di dalam dewan terdiam dan sekadar menjadi pemerhati. Para pengawal istana sudah menyisih ke tepi. Sebahagiannya sudah keluar dari situ setelah diarahkan.

“Bonda tahu... Bonda sentiasa yakin yang kamu masih hidup lagi!” Ngongoi Permaisuri Xera ketika memeluk Kerk.

“Bonda...” Panggil Kerk sayu. Perkataan 'bonda' kedengaran janggaldi telingaku. Mungkin ini kali pertama dia memanggil seseorang dengan panggilan tersebut. Dan itu adalah kali pertama aku lihat Kerk menangis.

“Kali pertama Eury bawa kamu ke sini... kali pertama bonda jumpa dengan kamu, bonda tahu... bonda dapat rasakan yang kamu adalah Rhyss...!” Ujar Permaisuri Xera.

Permaisuri Xera mengucup hampir keseluruhan wajah Kerk. Memeluknya erat sekali lagi sebelum melepaskan pelukannya perlahan-lahan. Dia memandang Raja Eries di sisinya. Seakan memberi peluang Raja Eries untuk mendakap putera mereka yang sudah lama terpisah dari mereka itu.

Raja Eries, tanpa menunggu walau sedetik pun, terus mengambil tempat Permaisuri Xera. Memeluk dan mencium putera tunggalnya beberapa kali. Beberapa ketika kemudian, dia meleraikan pelukannya. Memandang sayu ke arah Kerk.

“Rhyss... Ayahanda minta maaf... Kalaulah ayahanda jaga kamu betul-betul... Kalaulah ayahanda tak berputus asa untuk mencari kamu... kamu...” Raja Eries menggelengkan kepalanya beberapa kali. Gagal meneruskan ayatnya apabila rasa sedih dan kesal menguasai diri. Air mata berjuraian jatuh menuruni pipi.

“Ayahanda... Semuanya dah pun terjadi! Tak guna untuk disesalkan pun...” Pujuk Kerk.

Kerk kembali dalam pelukan Raja Eries dan Permaisuri Xera.

Ayahanda dan bondaku mengesat air mata. Egart dan Ellisa sekadar menjadi pemerhati di situ turut merasai kesedihan Kerk dan keluarganya.

Tepukan di bahu menyebabkan aku menoleh.

“Macam mana kamu boleh kenal... er... tahu dia adalah Rhyss?”

“Eury baca memorinya...”

“Baca memori?”

“Ya! Eury ada kebolehan untuk membaca apa yang tersimpan dalam memori seseorang. Namun ianya tak boleh dipercayai seratus-peratus kerana adakalanya memori seseorang sangat bergantung kepada apa yang dilihat, didengar, dibayangkan oleh individu tersebut.”

“Oh... Menarik!” Kata ayahanda sambil bertepuk tangan, sekaligus menarik perhatian Kerk, Raja Eries dan Permaisuri Xera.

“Ayahanda, dah tiba masanya untuk Eury tahu tentang segala-galanya. Apa sebenarnya yang berlaku?”

6 comments:

tzaraz said...

eury!!!...haaaaa....
rasa sangat puas baca N3 ini.
terasa lengkap dah bila semua kekeliruan tentang kerk/rei terjawab.
please! please! please...post next n3 secepat mungkin.

Anonymous said...

oohhhh tidak!!!! nape tergantung lg??? x saba nk tau ni...makin suspen plak cite ni....eury, plez post next n3 cepat2...

eija said...

akhir nya.. ad jugak n3..
cpt sbg xsbr nk taw ksh slanjut nya..
cite nie mkin mnarik.. saya suka..

Ai said...

yup.. semua dh tau sape rei.. go kak eury..

next n3 post cpt2 skt ek.. ^_^

Anonymous said...

AMIE

eury!!!!!...haaaaa.....SAMBUNGx9.... please cepat....nak tau apa ending die please...please..please...jgn biarkan ia tergantung lagi...tolonglah....;p

epy elina said...

hohohoh...
crta smkin best....
next n3 please....

Followers