Sunday, December 20, 2009

eucralipse 12



Rei membuang pandangan tanpa arah. Kicauan burung-burung yang hinggap di dahan pokok berhampiran memeriahkan suasana yang sunyi di situ. Memandang wajah Farriel dari sisi membuatkan aku tenang. Terasa luruh seluruh kerinduan yang aku tanggung semenjak berpisah dengannya semalam.

“Eury, apa definisi bahagia pada awak?” Soal Rei tanpa kuduga. Aku termangu-mangu sendirian mendengar pertanyaannya.

“Kenapa awak tanya?” Soalku kembali.

“Saja...”

“Bahagia... Hmm... Bahagia bermaksud... makan cukup, minum cukup, pakai cukup, ada kawan-kawan yang baik, saya dapat apa yang saya mahukan, Eucralipse aman tanpa perang...”

“Aman...” Rei tersengih. Riak wajahnya sukar untuk kubaca maksudnya. Seperti berasa takjub mendengar sebaris perkataan itu. Apa, tidak pernahkah dia mendengar perkataan tersebut?

”Apa pendapat awak tentang keadilan?”

Aku garu kepala. Soalan Rei bertambah pelik. Apa kena dengan Rei hari ni?

“Tiada diskriminasi.”

“Kalau awak jadi pemerintah nanti, adakah awak akan menindas golongan bawahan? Menidakkan hak mereka? Adakah awak akan menghukum mereka tanpa memberi mereka peluang untuk membela diri?”

Hampir bertaut keningku mendengar soalan-soalan Rei.

“Hei! Saya bukan orang jenis yang macam tu! Awak kenal saya...”

Rei menoleh ke arahku. Tersenyum. Manis. Hilang rasa sebal yang baru bertapak di hati. Dan pasti aku akan merindui senyumannya malam nanti, sebaik sahaja pertemuan kami berakhir untuk hari ini.

“Saya harap awak bukan jenis pemimpin yang sebegitu. Saya tahu awak bukan begitu!” Ayat itu bukan sekadar ayat pernyataan. Lebih kepada ayat untuk menyakinkan diriku, mungkin juga dirinya sendiri, berkenaan jenis pemimpin yang akan aku tonjolkan apabila aku menjadi pemerintah Eucralipse kelak.

Aku diam. Rei sukar aku baca apa yang bergolak di fikirannya. Terkadang aku berasakan hanya jasadnya di sini sedangkan mindanya menerawang jauh entah ke mana. Adakalanya aku berasakan aku sudah mengenali dirinya namun adakalanya Rei seperti lelaki asing yang langsung tidak aku kenali. Rei lelaki misteri. Walaupun sudah hampir sebulan aku mengenalinya, Rei tetap kekal sebagai lelaki misteri. Dia langsung tidak berminat untuk berbicara berkenaan dirinya. Apa yang membuatkan dia teruja adalah perkara lain selain mengenai dirinya.

“Saya ada satu berita yang tak berapa gembira dan satu berita gembira untuk awak. Yang mana satu yang awak nak dengar dulu?”

Rei tersenyum. Anak matanya yang berwarna ungu muda bersinar setiap kali dia berbuat demikian. Mengasyikkan. Anak matanya, pandangannya, senyumannya, layanannya... Pendek kata, segala-galanya tentang Rei menarik diriku untuk mendekatinya. Bagaikan wujud dua medan magnet yang berbeza di antara kami berdua. Saling menarik.

“Saya nak dengar yang tak berapa gembira dulu.” Pintanya.

Aku menghela nafas.

“Cerita tentang pertengkaran dan pergaduhan kita dengan Esmet dah sampai ke pengetahuan ayahanda saya. Seperti yang dijangkakan, Esmet yang bermulut lebar mengalahkan tempayan tu memang tak pernah gagal melaporkan semua aktiviti saya pada ayahanda dan bonda. Ayahanda saya naik berang. Jadi, ayahanda saya 'berminat' nak bertemu dengan awak secara peribadi di istana!”

Rei angkat kening. Senyumannya bertambah lebar sebaik sahaja aku menghabiskan ayatku. Aku kehairanan. Bukankah dia sepatutnya berasa takut? Atau sekurang-kurangnya berasa cuak?

“Awak tak takut?”

Dia menggelengkan kepala.

“Tak! Saya lebih takut kehilangan awak. Tanpa awak, saya tak boleh buat apa-apa, sekalipun bernafas!”

Separuh diriku sudah berada di awangan. Tapi... Ada 'rahsia' di sebalik kata-kata manisnya itu tadi. Dan perubahan pada riak wajahnya terkesan olehku.

Rei menggumam tanpa dapat kutangkap buah butir bicaranya.

“Apa yang awak kata?” Soalku. Ingin tahu.

Wajah Rei yang tadinya bengis berubah menjadi ceria sebaik sahaja menyedari tingkah-lakunya berada di dalam pemerhatianku. Segaris senyuman dihadiahkan padaku.

“Tak ada apa-apa! Apa berita yang satu lagi?” Pantas Rei mengalihkan topik perbualan.

“Ooo...” Aku kecewa kerana gagal mentafsirkan apa yang tersirat di fikiran Rei. Letak punggung aku perbetulkan.

“Awak secara rasminya dijemput ke majlis hari lahir Ellisa!” Dengan nada teruja aku menyampaikan berita tersebut. Berbanding majlis hari lahirku, aku lebih teruja untuk meraikan majlis hari lahir Ellisa. Kerana majlis hari lahir Ellisa lebih meriah, kurang protokol, jumlah pengawal yang mengekoriku juga sedikit. Dan yang paling aku suka, aku dibenarkan untuk menentukan mereka yang hadir. Satu-satunya yang aku minta adalah malam tanpa Esmet. Mungkin aku sudah terlalu rimas dengan kehadiran Esmet di sisi. Malah namanya pun aku enggan dengari. Lagipun aku tak mahu Esmet bergaduh dengan Rei lagi seandainya mereka bertembung di rumah Ellisa nanti.

Kad empat segi berwarna hitam aku luhurkan kepada Rei. Kad jemputan rasmi dengan lambang Kerajaan Eucralipse di setiap bucunya. Rei pantas menyambutnya. Namun seketika kemudian dia membalik-baliknya kad tersebut dengan rasa kehairanan.

“Kenapa koson...” Katanya mati di situ sebaik sahaja alat pengesan yang terletak di bucu kad tersebut mula menjalankan tugasnya. Jarum halus menusuk ibu jari Rei. Mengambil sampel darah Rei. Seketika kemudian, satu demi satu huruf berwarna keemasan muncul di atas kad jemputan tersebut. Peta ke rumah Ellisa turut terlukis di hujung sisi kanan kad.

“Wow...” Itu sahaja kata yang lahir dari mulut Rei.

“Teknologi terbaru bahagian pertahanan. Cara selamat untuk menyampaikan mesej dan melindungi mesej dari jatuh ke tangan musuh. Tanpa padanan nama dan sampel darah dalam rekod mereka, kad yang mengandungi mesej hanyalah sekadar kad biasa.” Terangku tanpa diminta.

“Menakjubkan!”

“Masih di peringkat penyelidikan. Masih memerlukan kajian mendalam berkenaan batasan teknologi ni... Jadi, macam mana? Awak berminat?”

Rei membulatkan anak matanya.

“Sudah tentu! Saya langsung tak terfikir akan wujud teknologi canggih sebegini!”

Aku ketawa kecil.

“Saya maksudkan majlis hari lahir Ellisa. Awak berminat untuk datang?”

Rei menganggukkan kepalanya beberapa kali.

“Sudah pasti!”

Matanya masih tidak lepas dari menelek kad berwarna hitam di tangannya itu. Pada hematku, Rei masih teruja dengan kemampuan saintis di bahagian penyelidikan unit pertahanan Eucralipse sehinggakan segala kata-kataku disambut dengan anggukan kecil sahaja.

“Jadi, awak sudah bersedia?”

“Untuk apa?” Soalnya sambil mengangkat wajah. Kembali memandang wajahnku.

“Masuk istana. Jumpa dengan ayahanda saya!”

“Bila?”

“Sekarang!”

“Hah?”

Aku ketawa lagi. Wajah Rei sewaktu terkejut lebih kacak rupa-rupanya!

**************

Istana yang berada di puncak gunung yang berbatu itu hingar-bingar dengan suara-suara penghuninya. Namun dengan tidak semena-mena, keadaan menjadi sunyi sepi.

“Wah! Tengok siapa yang datang melawat aku hari ini!” Suara Rexo bergema di segenap ruang.

Semua mata tertumpu pada Esmet, Dayes dan Hemes yang berdiri di pintu masuk markas persembunyian Rexo dan orang-orangnya. Pengikut-pengikut Rexo memberi laluan buat Esmet dan kawan-kawan untuk mendekati Rexo yang sedang berehat di tempatnya.

“Esmet, anakku...” Panggil Rexo. Tangan didepakannya sebaik sahaja Esmet mendekati 'takhta'nya. Mahu memeluk anak lelakinya yang satu itu. Esmet tetap tegak tak beriak. Langsung tidak berminat untuk mendakap ayah kandungnya.

“Aku datang sebab ada perkara yang ingin aku tanyakan!” Kata Esmet. Sekalian pengikut Rexo diam. Memasang telinga. Rexo mengarahkan Esmet duduk di sebelahnya. Esmet akur. Namun ada jarak tertentu yang dikekalkan antara tubuhnya dan Rexo.

“Aku sedia menjawab segala soalan kau.”

Esmet memandang wajah Rexo yang berparut itu.

“Dari kecil, aku sering bermimpi... Mimpi yang sama... Ada seorang lelaki.... tanpa aku nampak rupanya... bercerita... mengingatkan aku, memberi keyakinan padaku bahawa aku akan menjadi penakluk yang agung... kerana aku telah terpilih untuk menakluk Segi dan Eucralipse... menyatukan dua kerajaan di bawah telunjukku...”

Rexo melebarkan senyuman sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Itu adalah sesuatu yang aku ceritakan berulang-ulang kali pada kau sebelum kau kuhantar ke Segi sebagai ganti putera mereka. Walaupun kau lupa kisah silam kau seiring dengan masa yang beredar, namun dalam minda bawah sedar kau dan ikatan yang erat antara kita akan membuatkan kau mengingatinya.”

“Tapi aku memang sudah dianggap sebagai putera di Segi. Aku bakal dikahwinkan dengan Eury sekaligus akan mengangkat aku menjadi raja di Eucralipse. Bukankah semuanya di bawah kawalanku?”

Rexo menatap Esmet. Pengikutnya yang lain diam. Membiarkan kedua-dua beranak tersebut berbicara tentang hala tuju perjuangan mereka.

“Esmet, kita tak boleh berpuas hati selagi semuanya belum berada di dalam genggaman kita. Sikap berfoya-foya dan keyakinan kau yang melulu akan menjatuhkan kau suatu hari nanti. Boleh kau bayangkan apa akan terjadi jikalau identiti kau terbongkar? Boleh kau berkata dengan pasti bahawa hati Eury milik kau?”

Esmet terdiam. Menimbang-nimbang kata-kata Rexo.

“Ya! Aku telah mengabaikan kemungkinan itu! Tapi kau akan bantu aku untuk menjayakan semua ini, kan? Kau ayahandaku! Kau harus membantu aku! Lagipun, kau sudah lama mengimpikan menguasai dua buah kerajaan itu!”

“Dengan bantuan aku dan orang-orangku, kita akan menakluki Segi dan Eucralipse. Kau dan aku akan menjadi raja baru untuk kerajaan baru yang kita bentuk!”

Esmet memandang Rexo. Bersinar-sinar anak mata Esmet mendengar janji dari mulut ayahandanya.

“Ayahanda...”

“Puteraku...”

Rexo dan Esmet berpelukan. Melepaskan rindu dendam yang tersimpan sejak sekian lama. Mengeratkan serta mengakui pertalian darah yang mereka miliki. Seketika kemudian, Rexo melepaskan pelukannya. Berdiri mengadap pengikutnya yang berpuluh ribu bilangannya sambil memeluk bahu Esmet dari sisi.

“Wahai pengikutku sekalian! Dengan ini, aku mengisytiharkan Esmet, puteraku, adalah pemerintah kedua tertinggi dalam pergerakan kita. Selain aku, kamu semua harus menghormatinya dan mendengar segala arahannya! Dayes dan Hemes aku lantik menjadi penjaga keselamatan Esmet!”

Sekalian yang ada di situ melutut seraya menundukkan kepala mereka. Rexo mengerling ke arah Esmet. Wajah Esmet ditatapnya dengan senyuman. Dengan adanya penyertaan Esmet, dia yakin, dia dan orang-orangnya akan dapat menakluki Segi.

”Apa yang perlu aku buat, wahai ayahandaku?” Soalan Esmet disambut dengan ketawa yang berdekah-dekah oleh Rexo.

“Kamu akan tahu nanti, Esmet...”

**************

”Maaf tuanku, Permaisuri Eurika sedang menunggu kedatangan tuanku di bilik tetamu! Silakan...” Penuh sopan-santun dayang istana menuturkan kata-katanya.

Permaisuri Xera bangun. Berjalan membontoti dua orang dayang istana Eucralipse manakala dayang-dayangnya mengikut dari belakang.

Tiba di koridor istana, derap kaki yang berlari membuatka Permaisuri Xera menoleh ke belakang. Segera mata Permaisuri Xera menangkap sesusuk tubuh lelaki yang masuk ke istana bersama-sama Eury. Kakinya terasa bagaikan dipaku di situ. Entah mengapa, dia jadi berminat untuk terus memerhatikan budak lelaki itu.

”Hai, Permaisuri Xera! Nak jumpa bonda ke? Eury nak bawa Rei jumpa ayahanda kejap. Lepas Eury jumpa ayahanda, Eury akan datang borak-borak dengan Permaisuri Xera, okey?” Tegur Eury.

Permaisuri Xera mengangguk. Dan ketika Eury melepasi dirinya bersama budak lelaki tersebut, sesuatu yang tak diduga terjadi. Tatkala tangannya secara tidak sengaja bersentuhan dengan tangan budak lelaki tersebut, ada rasa hangat menyelinap masuk ke sekeping hatinya.

**************

“Baru-baru ni, Puteri Eury telah berkenalan dengan seorang pelajar bernama Reizu dari Akademi Eucralipse. Seorang budak lelaki yang didakwa oleh Puteri Eury sebagai penyelamatnya. Beta tak boleh benarkan Puteri Eury beta berkawan dengan sesiapa sahaja. Lagipun Puteri Eury sudah beta tunangkan dengan Putera Esmet. Beta takut Putera Esmet akan salah faham dengan keakraban mereka berdua nanti.” Luah Raja Esqandar. Semua yang ada di ruang mengadap itu terdiam. Memikirkan kewajaran kata-kata raja mereka.

“Jadi beta mahu Reizu dikeluarkan dari akademi dan dilarang sama sekali dari bertemu dengan puteri beta!”

Seisi dewan bergema dengan suara-suara para pembesar. Berbincang sesama sendiri berkenaan perintah yang baru dikeluarkan.

Cronus melutut dan menundukkan kepalanya di hadapan Raja Esqandar. Seketika kemudian, dia bangun semula.

“Tuanku, izinkan saya berkata-kata.”

Raja Esqandar memandang seraut wajah Cronus, salah seorang pengajar Eury di istana.

“Silakan Cronus!”

“Pada pendapat saya, teman baru Puteri Eury wajar diberi penghargaan atas jasanya menyelamatkan Puteri Eury di hutan tempoh hari.”

“Tapi beta sangsi dengan latar belakangnya. Entah mengapa, beta rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan Rei.”

Arena menundukkan kepala sebagai tanda hormat sebelum menyampaikan pendapatnya.

“Pada pendapat saya, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Puteri Eury kelihatan ceria dan bersemangat untuk mempelajari sesuatu. Daya ingatan, ketahanan fizikal dan mentalnya juga semakin meningkat. Menurut pengawal peribadi Eury, pelajar akademi yang bernama Reizu itu banyak membantu Puteri Eury dalam hal ini. Puteri Eury juga sudah mula memahami kuasa yang dimilikinya.” Raja Esqandar berasa terkejut sebaik sahaja mendengar penerangan Arena.

Seketika kemudian, Raja Esqandar melurut-lurut hujung dagunya dengan jari. Dia kenal dengan puterinya yang satu itu. Degil dan sukar mendengar kata orang. Semuanya dibangkang dan harus mengikut caranya. Justeru itu, dia agak terkejut mendengar apa yang dilaporka oleh Arena sebentar tadi. Dalam masa yang sama, dia semakin teruja untuk bertemu dengan lelaki yang bernama Reizu itu.

“Jadi, apa cadangan kamu? Apa yang patut beta buat pada budak lelaki itu?”

“Saya cadangkan agar Reizu dibenarkan terus untuk berkawan dengan Puteri Eury sehingga Puteri Eury selesai mempelajari segala ilmu yang harus diketahui oleh bakal pemerintah Eucralipse.” Arena menerangkan pendapatnya.

“Tentang keselamatannya? Macam mana dengan asal-usul budak tersebut?” Soal Raja Esqandar gusar.

“Saya akan arahkan agar Puteri Eury dikawal dengan lebih ketat. Kami juga akan menubuhkan satu badan khas untuk menyiasat asal-usul Reizu.” Altrun, sebagai ketua tentera di bahagian pertahanan dan keselamatan Eucralipse, memberi jaminannya.

“Kalau begitu saranan dan jaminan kamu, beta setuju!”

Pintu besar dewan mengadap dibuka dengan kuat dari luar secara tiba-tiba. Seraut wajah ceria menerpa masuk.

“Ayahanda, Eury bawakan Rei, penyelamat Eury!”

Semua yang hadir enggan mengalihkan pandangan mereka pada seraut wajah lelaki yang menggenggam erat tangan kiri Eury.

1 comments:

tzaraz said...

aduhh eury..kau brenti part2 suspen nih! sambung cepat k.

Followers