Monday, January 16, 2012

The Cold World 8



The Other Side

Di Haven, ada dua perkara penting yang perlu dikuasai oleh setiap angel sebelum memulakan tugas mereka di dunia manusia; ilmu memanah dan anatomi tubuh manusia. Kedua-duanya sama penting dalam tugas angel untuk menyebarkan cinta ke setiap pelosok dunia.

Tetapi...

Untuk menguasai kedua-dua ilmu tersebut bukannya mudah.

“Sora!” Jerit Cikgu Taiga.

Sora melangkah ke depan. Busur di tangan diangkat.

Sapp...!

Anak panah Sora bergerak sepantas kilat menuju tepat ke papan sasaran yang diletakkan jauh di hujung lapangan sasar.

“Bagus, Sora! Kamu boleh menyertai latihan untuk jarak 20 kilometer esok.” Puji Cikgu Taiga.

“Terima kasih, cikgu!” Senyum Sora sampai ke telinga.

“Miyuki!”

Miyuki mengambil anak panah dari bekasnya.

Mengikut peraturan memanah angel, kami hanya diberi masa kurang dua saat untuk melancarkan anak panah. Masa bermula saat anak panah dikeluarkan dari bekasnya. Dua saat untuk mengeluarkan anak panah, melaraskan ke busur, menghalakan ke sasaran, dan melepaskannya. Sebelum dua saat itu berlalu, anak panah perlu sampai ke sasarannya bagi memastikan ramuan cinta yang terkandung dalam setiap bilah anak panah tidak hilang kemujarabannya.

Anak panah Miyuki melekat di tengah papan sasaran yang direka khas menyerupai hati manusia.

“Kamu sebagus Sora, Miyuki!” Puji Cikgu Taiga dengan segaris senyuman.

“Yoi...!”

Dalam kelas anatomi manusia yang dipelajari oleh angel Kelas 3, mereka diberi penekanan dan perincian yang teliti tentang organ hati dan jantung manusia, berbanding dengan organ-organ yang lain. Ini kerana angel perlu tahu dengan jelas sasaran anak panah pada satu titik kecil di hati manusia. Titik yang cukup kecil untuk dilihat dengan mata kasar manusia. Kecuaian angel akan menyebabkan manusia mati serta-merta jika sekiranya anak panah mengenai organ penting manusia seperti jantung. Air ramuan cinta akan tersebar di dalam hati manusia, menghantar isyarat ke otak dan hormon dalam badan manusia akan memainkan peranan selepas itu. Walau bagaimanapun, air ramuan cinta tidak berkesan ke atas angel atau para dewa. Ia hanya senjata yang akan mencederakan kami.

“Lulus!”

“Harumi!”

Aku melangkah ke depan. Suara angel berbisik dan ketawa sinis dalam nada terendah berpusu-pusu masuk ke telinga. Mengikir keyakinanku yang sedia nipis. Entah mengapa tumpuanku teralih pada peristiwa semalam.

“Harumi?”

Aku tersenyum simpul lantas menundukkan kepala. Pujian Miyuki sudah aku terima. Kini aku menunggu pujian Riku pula.

“Apa pendapat Senior Riku? Cantikkan Harumi?”

Riku menjeling tajam ke arah Miyuki. Wajahnya serius.

“Miyuki, aku rasa kau dah cukup lama kat sini.”

“Ya, betul tu. tapi saya nak dengar dulu pendapat Senior Riku tentang hasil solekan saya...”

“BALIK!!”

Mendengar intonasi suara Riku, Miyuki tak tunggu lama lagi. Selesai mencampakkan semua yang dibawa ke dalam beg, Miyuki menghampiriku di muka pintu seraya berbisik.

“Aku balik dulu. Yang kau pakai ni aku ambil esok aje.”

“Maaf. Selalunya dia tak macam tu.”

Miyuki membesarkan mata. Sukar untuk percaya kataku. Riku memang selalu serius dengan semua orang. Malah ada yang mengatakan Riku sombong. Tapi bagiku, Riku adalah sebaliknya.

Riku menghampiriku, masih dengan wajah masam.

“Kalau ada begitu banyak masa, kenapa kau tak habiskan masa-masa kau dengan berlatih, Harumi!” Riku menjerit di tepi telingaku. Aku terkejut. Tersentap. Reaksi marahnya tak ubah seperti kali pertama kami bertemu dulu.

“Kau suka bersolek, pakai baju cantik-cantik macam ni? Ha? Suka, ke?” Dia menarik-narik hujung lengan bajuku.

“Kalau kau ada banyak masa, kalau kau dah tak perlukan waktu tidur kau lagi, berhenti beralasan dan habiskan waktu malam kau dengan berlatih dan belajar seperti angel yang lain!!”

Aku cuba bertahan tapi di luar jangkaanku, air mataku sudah bertali arus di pipi. Dimarahi dan diejek oleh sesiapapun tidak sesedih di marahi oleh Riku.

“Kau tahu tak aku dah bosan mencipta alasan pada guru-guru tentang prestasi kau yang lembap tu?Kau fikir aku tak ada perkara lain yang perlu difikirkan? Memang menyusahkan!”

Riku menumbuk dinding terus terbang meninggalkan The Hive. Riku tak pulang malam itu. Aku tak ingat bila aku terlena dalam kelopak bunga Ran. Aku juga tak ingat bila aku berhenti menangis. Satu yang aku pasti, Riku tiada menemaniku sepanjang malam seperti malam-malam sebelum ini.

“Haru, buat yang terbaik!” Jerit Miyuki, cuba menyuntik semangat padaku sekaligus mematikan ingatanku pada Riku.

Anak panah yang aku lepaskan mendarat tidak jauh dari tempat aku berdiri. Cikgu Taiga mendengus. Penonton di belakangku ketawa.

“Mengecewakan seperti biasa!” Komen Cikgu Taiga.

“Kelas tamat!”

Satu demi satu angel bersurai pergi dari situ.

“Tak apa, Haru! Cuba berlatih lagi.”

“Riku marahkan aku, Miyuki. Dia hilang sampai sekarang. Dia tak temankan aku malam tadi. Aku takut!”

Miyuki memeluk bahuku.

“Haru, sesekali angel memang akan bergaduh dengan pasangan masing-masing. Walaupun kau rasa aku dan Sora rapat, dah kenal lama dan hampir sama dalam semua aspek, tapi sekali-sekala kami bergaduh. Macam tu juga dengan pasangan angel yang lain.”

“Sebab kau ketinggalan dalam kelas?”

“Bukan!”

“Sebab dia anggap kau menyusahkankan?”

“Bukan!”

“Habis, kenapa?”

“Haru, kadang-kadang ada benda yang kita mahu tapi kita tak boleh mendapatkannya. Sesuatu yang perlu dikawal dan akhirnya menimbulkan rasa marah, geram, tak puas hati terhadap sesuatu. Kami bergaduh sebab itu. bukan sebab tiada persefahaman.”

“Aku tak faham.”

“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dikatakan dan difahami. Aku sendiri masih tercari-cari jawapannya.”

Miyuki meninjau keadaan sekeliling sebelum menepuk dahinya.

“Aku kena pergi. Ada kelas! Kau...”

“Tak apa! Aku nak berlatih lagi.”

Miyuki terkejut mendengar jawapanku.

“Haru, kau tak boleh terlalu letih. Kau pernah pitam dulu, ingat lagi? Lagipun kau tak boleh berlatih tanpa pengawasan sesiapa.”

“Aku tak akan berganjak dari sini selagi anak panah aku tak berada di sana!” Tegasku seraya menuding ke tengah papan sasar.

“Haru, kebolehan memanah untuk jarak 20 km tu hanya dapat dicapai selepas beberapa tahun berlatih. Mustahil untuk berjaya dalam masa terdekat ni! Kalau terus-menerus berlatih kau akan memudaratkan kesihatan diri kau sendiri.”

“Aku tak peduli. Apapun yang terjadi pada diriku, aku tak peduli. Asalkan Riku berhenti marah padaku, tak benci aku, aku sanggup lakukan apapun!”

Anak panah aku capai. Aku laraskan ke busur sebelum melepaskannya.

“Haru...”

@~@~@~@~

“Senior Riku!!!”

Miyuki cuba terbang sepantas mungkin, membelah langit malam demi mengejar Riku. Namun itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Ternyata kebolehan Riku untuk terbang tak terbanding dek kemampuannya.

“Senior Riku!!” Jeritnya lagi dalam mengah.

Riku memperlahankan kelajuannya namun masih enggan menoleh untuk memandang Miyuki.

“Senior Riku! Senior memang nak biarkan Harumi terus buat begitu ke?” Soal Miyuki sebaik sahaja tiba di belakang Riku.

“Maksud kau?” Soal Riku senada.

“Saya tak faham apa yang membuatkan Senior marah sangat pada Harumi. Dia langsung tak bersalah. Dia tak melanggar mana-mana peraturan di Haven. Dia hanya jadi model saya. Salah ke perbuatan dia tu? Kalaupun salah, Senior patut marahkan saya, hukum saya, bukan dia!”

“Kau tak berhak untuk mempersoalkan tindakan aku!”

“Jadi Senior memang setuju dengan apa yang dilakukannya sekarang? Senior memang dah tak nak bertolak-ansur dengan Harumi lagi? Senior memang nak dia dilayan dan berkelakuan macam angel-angel yang lain?”

Riku mengetap gigi.

“Boleh tak kau berterus-terang?”

“Harumi dah berada di sana lebih 18 jam. Senior ingat lagi tak yang Harumi pernah pitam bila dia cuba berlagak macam angel yang lain? Walaupun keinginan dan cita-citanya tinggi, walaupun kita seboleh mungkin tak mahu membezakannya dengan angel yang lain, tapi kita berdua tahu yang Harumi memang berbeza dari angel yang lain terutama dari segi kemampuan.”

“Aku masih tak faham apa yang cuba kau sampaikan!” Ada nada bengang dalam suara Riku saat itu.

“Saya tak tahu apa yang jadi semalam. Yang pasti Senior dalam keadaan marah semasa saya tinggalkan The Hive semalam. Saya juga tak tahu apa yang Senior katakan pada Harumi semalam. Yang pastinya kata-kata tersebut memang ‘menyuntik’ semangat Harumi sekarang. Terima kasihlah saya ucapkan pada Senior!”

Riku mendengus.

“Aku tak masa untuk layan angel yang suka jaga tepi kain orang!” Rungut Riku sebelum memecut laju meninggalkan Miyuki.

“Harumi mungkin akan mati disebabkan kata-kata Senior semalam!!” Jerit Miyuki. Riku berhenti lantas berpaling dengan wajah keliru.

“Apa maksud kau?”

“Apa yang Senior katakan pada Harumi semalam? Apa yang Senior dah buat sehinggakan Harumi tak berhenti-henti memanah sejak pagi tadi?”

Sayap Riku berhenti bergerak. Beberapa saat kemudian kakinya sudah berada di tanah. Miyuki mengekori Riku.

“A.. Apa? Memanah?” Soal Riku antara dengar dan tidak.

Tangan Riku mencengkam kuat bahu Miyuki. Menggoncang-goncang tubuh Miyuki.

“Apa yang aku katakan pada dia?! Kenapa dia buat macam tu?! Kenapa kau tak suruh dia berhenti?!!”

“Kalaulah saya boleh pujuk dia... Kulit tangannya dah melecet. Tulang-tulang tangan dah hampir patah kerana asyik menarik tali busur. Tubuhnya dah menggigil dek kesejukan. Badannya semakin lemah namun dia tetap tak mahu berhenti.” Jauh bunyi suara Miyuki tika itu.

Tangan Riku jatuh ke sisi tubuh. Matanya memandang jauh ke hadapan.

Harumi...

Kau patut belajar hidup sendirian sekarang...

Harumi...

Sepatutnya kau tak payah lagi ambil peduli tentang aku, terutamanya selepas apa yang berlaku malam tadi!

“Kalau perkara ni berterusan, saya tak tahu apa...”

Dan Riku sudah kembali terbang sebelum sempat Miyuki menghabiskan ayatnya. Tempat pertama yang ditujunya adalah lapangan memanah. Puas dia meninjau sana-sini namun Harumi tidak kelihatan di mana-mana. Yang ada hanyalah berpuluh-puluh ribu anak panah di hampir setiap inci kawasan tersebut.

“Harumi... Dah berapa banyak tenaga yang kau habiskan untuk semua ni? Adakah kau cuba bunuh diri kau?”

Pandangan Riku tertumpu pada papan sasaran di hujung padang tersebut. Lebih 20 batang anak panah melekat di papan tersebut. Salah satunya memanah di dalam bulatan merah di bahagian tengah papan tersebut. Mata Riku membulat. Dia tersenyum. Hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Namun bila memikirkan kehilangan Harumi, dia kembali panik dan mula terbang semula untuk meneruskan pencariannya.

@~@~@~@~

Hampir seluruh Haven sudah dikitarinya. Tiada sesiapa yang bertemu Harumi. Tiada sesiapa yang tahu di mana dia berada tika itu. Riku mula panik. Fikirannya bercelaru. Dan satu-persatu perkataan yang keluar dari mulutnya malam tadi bergema-gema di gegendang telinga, mula terasa menghambat diri.

“Kalau ada begitu banyak masa, kenapa kau tak habiskan masa-masa kau dengan berlatih, Harumi!”

“Kalau kau ada banyak masa, kalau kau dah tak perlukan waktu tidur kau lagi, berhenti beralasan dan habiskan waktu malam kau dengan berlatih dan belajar seperti angel yang lain!!”

“Kau tahu tak aku dah bosan mencipta alasan pada guru-guru tentang prestasi kau yang lembap tu?Kau fikir aku tak ada perkara lain yang perlu difikirkan? Memang menyusahkan!”

Aku tak sepatutnya berkata begitu... Kalau aku di tempat Harumi, aku juga akan sedih dan kecewa...

“Harumi!!!” Jerit Riku sebaik sahaja tiba di padang rumput, tempat mereka sering menghabiskan masa bersama-sama. Tempat terakhir dalam misi pencariannya.

Setiap sudut dicarinya. Setiap pokok dan semak dibongkarinya. Namun Harumi masih hilang tanpa jejak. Saat dia mendongak cuba menghilangkan lenguh di leher itulah dia terpandang akan sesusuk tubuh yang berada di puncak tebing tinggi dan curam di bukit berhampiran. Sangat jauh namun jelas di matanya.

“Harumi? Apa yang dibuatnya di situ?” Soalnya sendirian.

Bila tubuh kecil itu mendepakan tangan dan mula jatuh dari tebing, tubuhnya membeku seperti ais. Setiap titik darah dalam badan seakan berhenti mengalir. Setiap angggota tubuhnya bagaikan sudah dikunci pergerakannya. Matanya tak berkelip dari memandang puncak tebing. Berharap dia tersilap pandang. Berdoa apa yang sedang difikirkannya tidak benar-benar berlaku.

Riku mengheret kakinya. Mahu ke tebing tersebut untuk mencari Harumi.

“Haru...”

Kaki diseret.

“Harumi...” Sayap ditumbuknya beberapa kali.

Argh...! Kenapa dengan kaki dan sayapku? Kenapa kedua-duanya tak boleh bergerak?

“Harumi!” Gema suaranya sepi tanpa jawapan.

“ARGH...!” Riku menjerit lantang, cuba mengumpul tenaga mahu membebaskan diri dari kekejangan yang dialaminya. Sebaik sahaja dia berjaya berbuat demikian, dia terus melonjak ke udara dan terbang ke tebing tersebut.

“Harumi... Harumi...”

*** sowi sbb lmbt update... sowi 1 000 000 000 000x... huhu

7 comments:

Anonymous said...

best..nk lg pleaseee:)
-alom-

tzaraz said...

aiseh!!.. takkan harumi bunuh diri kot? ke dia nak cuba terbang..?? tanpa sayap??!!

eury.. dimaafkan.. hehehe

Anonymous said...

nak lagiiiiiiii...pleaseeeeeee...
aiyokkkk xsbr nk tau ap jd...
eury cptttt upload cpter br..huhu

liana said...

welcome back eury!...
xpe..anytime we always feel free to read your story...

Brilyante Onyx said...

wow!citer nie mmg membuatkan org jdi tertanya2 tertunggu2..klu bleh cptlh buat en3 bru

Misa♥Meow 美咲ニャー said...

alamak ape dh jdi kt Harumi? D: dan npe lak Riku tiba2x kejang TT-TT smbung cepadd~ :"D *cemas dh ni x sbar na bce seterusnyaa*

Anonymous said...

wow..makin menarik cerita nie..best..x sabar tgu en3 seterusnya..thanks eury..cayok!

Followers