Saturday, April 14, 2012

The Cold World 11



Di Haven, ada satu peraturan yang sangat ketat...

Kami dilarang bercinta...

Aneh, bukan?

Tiga orang asing berdiri di pentas yang tingginya satu anak tangga sahaja dengan paras lantai di mana aku berdiri.

Dua lelaki. Seorang perempuan. Wajah mereka seakan-akan sama.

Tidak!

Wajah mereka tidak serupa. Kesempurnaan yang ada pada wajah mereka yang membuatkan mereka kelihatan serupa di mataku.

Dewa Dai. Dewa Chiyo. Dewi Iva.

Tak syak lagi, itulah tiga dewa berkuasa yang disebut-sebut di dalam buku-buku di akademi.

Eh...! Mereka kelihatan tak jauh beza umurnya dari aku. Mungkin 5 hingga 8 tahun lebih tua dari aku. Aku sangkakan mereka sudah tua, sangat-sangat tua..

Kiranya aku memang benar-benar berada dalam kesusahan sekarang. Aku dengan yakin sekali berfikir yang mereka tak mungkin akan membazirkan masa mereka untuk bertemu aku melainkan aku telah melakukan sesuatu yang ‘menarik’ sehingga seluruh perhatian diberikan padaku, kini.

Di depan sekali, yang paling hampir dengan aku dan Riku, adalah dewa yang berwajah bengis. Dewa yang menyebabkan Riu tercampak ke sudut ruang dengan hanya memandang tajam ke arah Riku. Satu-satunya dewa yang bersuara sebentar tadi, memanggil Riku dengan gelaran dewa. Pandangannya beralih padaku pula. Tenungan matanya seperti mahu melenyapkan aku pada saat ini juga.

Dewa berwajah masam itu jika diukur dari pelbagai segi sekalipun pasti melebihi dari jangkaan. Sukar untuk menemui kecacatannya. Sempurna dari segi wajah dan anggota tubuh badannya yang lain. Berbanding yang lain, dewa ini kelihatan lebih kuat, berkeyakinan, berkuasa dan berwibawa. Pakaian di tubuhnya berwarna hitam. Sayapnya mempunyai tiga warna terang; merah, kuning dan hijau yang membentuk corak abstrak yang memeningkan kepalaku apabila cuba kufahami. Berselirat sana-sini.

Di sebelah dewa tersebut, berdiri seorang dewi yang sukar aku gambarkan cantik dan sempurnanya dia.

Dewi Iva.

Adakah perkataan yang boleh menerangkan sifat seseorang selain cantik, jelita, rupawan? Rambutnya coklat gelap, beralun-alun hingga ke paras pinggang. Sayapnya berwarna pelangi. Sangat cantik. Dengan hanya berpakaian ringkas; gaun putih gading, potongan leher bentuk V, tanpa lengan, dia berjaya menenggelamkan segala kekaguman aku terhadap Istana Kristal seawal kedatanganku tadi. Dewi ini tinggi lampai dan kurus. Wajahnya tirus, hidung mancung, bibir merah merekah. Kalau adapun kekurangan yang dapat aku kesan adalah pandangan mata bundarnya yang redup dan sesekali kelihatan redup seperti terkilan kerana gagal memandang sesuatu yang mahu dipandang.

Apa yang aku merepek ni? Dah tentu-tentunya orang yang nak dipandang ada depan matanya. Okey, sila lupakan teori merepek aku tadi ~

Yang nyata dewi ini berdiri terlalu hampir dengan dewa berpakaian hitam tadi, namun tidak pula sehingga menyentuhnya. Memandang dengan penuh teliti setiap pergerakan sang dewa. Enggan terlepas pandang walaupun sesaat. Aura kasih sayang jelas terpancar dari perbuatannya.

Dia mencintai dewa tersebut dengan sepenuh hatinya.

Itu rumusan yang dapat aku fikirkan.

Yang pastinya, dewi langsung tidak menoleh hatta menggerakkan bola matanya walaupun sekali sejak dia tiba di sini tadi. Aku umpama tidak wujud walaupun aku hanya beberapa langkah sahaja di hadapannya. Mungkin dia tak suka kedatangan aku. Yelah, siapalah aku,kan? Cuma seorang angel. Bukan angel yang bagus pulak tu. Mengapa mesti dia menyakitkan mata, menyusahkan diri untuk menoleh dan memandangku. Mungkin dia benar-benar membenci diriku.

Tapi....

Bolehkah seseorang membenci seseorang yang lain pada pertemuan pertama?

Sudah tentu boleh!

Bukankah aku yang menyebabkan dewa kesayangannya menjadi marah dan ketenteraman Istana Kristal tercemar?

Pandangan aku beralih pada dewa yang ketiga, dewa yang berdiri terkebelakang sedikit dari dua orang dewa-dewi tadi. Dewa ini berwajah tenang dan ceria berbanding kedua-dua dewa-dewi yang berwajah tegang. Rambutnya pendek, berwarna ungu terang dan tegak ke atas. Sayapnya juga berwarna ungu tetapi tidak seterang warna rambutnya serta beberapa warna lain seperti merah dan kuning. Ketika dia melihat aku buat pertama kalinya tadi, bibirnya tersungging ke atas. Wajahnya mesra. Matanya galak memandangku seoalh-olah kami berdua adalah kenalan lama yang sudah lama tidak bersua muka. Beberapa saat kemudian, wajahnya berubah menjadi keliru; memandang aku dan Dewi Iva silih berganti. Mungkin dia juga berasa hairan dengan reaksi Dewi Iva.

Yelah, kalau nak marah, kenapa tak bertempik sahaja macam dewa kesayangannya tadi? Ini tidak. Dia hanya berdiri di sebelah dewa tersebut, membatukan diri serta sedaya upaya menyahkan kehadiran aku di situ, kalaupun bukan secara fizikal, mungkin dalam mindanya.

Dewi yang cantik tetapi berperangai aneh.

Apapun, bukankah semua dewa-dewi di hadapan aku ini berperangai aneh??

Dewa bengis yang cuba menelan aku dengan renungan matanya.

Dewi cantik yang membenci aku dengan ‘caranya yang tersendiri’.

Dewa ceria yang melihat aku seperti seseorang yang dikenalinya walhal ini kali pertama kami bertemu!

Tetapi...

Dewa yang paling aneh sekali, sudah pastinya Riku, dewa yang baru aku tahu statusnya.

Dewa Riku.

Riku yang berkejaran denganku di padang rumput ‘kami’...

Riku yang memujuk tangisku...

Riku yang menyediakan makanan untukku setiap hari...

Riku yang menemaniku saban hari...

Riku yang tersenyum....

Riku itu adalah Dewa Riku.

Mengapa agaknya Riku menyamar sebagai angel?

Berapa ramai yang tahu identiti Riku sebagai Dewa?

Riku masih merenung tajam mata dewa di hadapannya.

“Apa yang cuba kau lakukan, Dewa Riku?” Soal dewa berwajah bengis itu garang.

“Saya mahu kedudukan saya semula, Dewa Dai!”

Oh, dewa bengis itu bernama Dewa Dai. Jadi dewa berwajah mesra itu sudah pastinya Dewa Chiyo.

Aku kira Riku sudah mengabaikan panggilan ‘tuan’ sebagai panggilan hormat dari segi kedudukan pangkat serta umur memandangkan dia dan Dewa Dai berada dalam golongan yang sama.

Dewa Dai ketawa besar. Bergegar segenap ruang dewan dengan tawa yang sengaja dibuat-buat. Dewi Iva masih tetap di posisinya. Dewa Dai pula langsung tidak membantah tindakan Dewi Iva yang berdiri terlalu dekat dengannya.

“Bertahun aku memujuk kau. Kenapa sekarang?”

“Saya lihat sistem pemerintahan Haven sudah tidak sekukuh dulu lagi. Peranan Dewa-Dewi Berkuasa sudah tidak segemilang dulu, undang-undang semakin melalut dan merepek, dan golongan bawahan mempersoalkan kesinambungan kewujudan kita.” Kata Riku dengan penuh yakin.

“Tak mudah nak menyakinkan mereka untuk mengembalikan kedudukan kau.”

“Saya masih saya!”

“Selepas kau melakukan kesilapan yang menjadi kesalahan terbesar dalam sejarah Haven, kau minta supaya dikeluarkan dari Istana Kristal, dilucutkan gelaran dewa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menebus kesalahan kau. Aku tak rasa Dewa-Dewi yang lain akan ambil mudah permintaan kau kali ini setelah kau mengecewakan mereka berkali-kali.”

“Saya tetap mahukan kedudukan saya semula! Dua kerusi di Meja Sidang Utama Dewa-Dewi masih milik saya. Ini buktinya!”

Riku mengeluarkan plat berukir keemasan sebesar tapak tangannya dari kocek. Ukirannya sama seperti ukiran di pintu gerbang istana, di dinding-dinding malah di kepala takhta yang berada tak jauh dariku. Dewa Dai tertunduk melihat plat tersebut. Dia tersenyum kelat dan kembali memandang Riku.

“Apa yang membuatkan kau mahu kembali, Riku?”

“Angel ini buat saya mahu kembali ke sini.”

Dewa Dai tersengih, seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

Dewa Dai ketawa lagi. kali ini disertai dengan tepukan tangan. Dewa Chiyo dan Dewi Iva masih mendengar tanpa mahu ikut campur.

“Alasan yang ‘sangat kuat’ untuk kembali ke istana. Hahaha...!” Perlinya. Gelak Dewa Dai seperti mahu meruntuhkan tembok-tembok Istana Kristal.

Dewa Dai menuruni pentas lantas berjalan ke arah kami. Mengelilingi kami tanpa melepaskan pandangannya pada kami.

“Saya rasa Haven memerlukan saya saat ini. Banyak peraturan yang sudah ketinggalan zaman yang patut dikaji semula. Sistem pentadbiran Haven juga semakin lemah.” Sambung Riku.

“Adakah budak perempuan ini begitu berharga buat kau?” Dewa Dai mengangkat tangan tinggi di udara, seperti mahu menolakku.

Tindakan refleks Dewa Chiyo dan Riku segera menarik perhatianku. Riku mengecilkan matanya. Memandang tanpa arah ke hadapan. Dewa Chiyo pula membesarkan mata sambil menggelengkan kepala pada Riku.

Tidak seperti sebelum ini, Riku tidak berbuat apa-apa untuk melindungi aku. Dia hanya membiarkan aku menerima nasibku. Mataku pejamkan. Menunggu dan menunggu. Namun tiada apa yang berlaku.

Aku membuka kelopak mataku. Wajah Dewa Dai aku lihat kosong. Kemudian dalam keadaan tertanya-tanya pula.

Sekali lagi Dewa Chiyo menggelengkan kepala pada Riku. Seperti sedang melarang Riku dari melakukan sesuatu di luar kemahuannya. Dewa Dai berwajah keliru secara tiba-tiba.

“Tidak! Perempuan bodoh ini hanya sebagai alat untuk aku memprovokasi semua Dewa-Dewi termasuklah Dewa Dai sendiri. Dia langsung tak berharga buat saya!”

Tubuh aku menggigil saat itu.

Kata-kata Riku sangat jelas di telingaku. Dan kata-kata itu datang dari hatinya.

Perempuan bodoh.

Hanya sebagai alat.

Tak berharga.

Itu rupanya tanggapan sebenar Riku terhadap aku.

Ah, mengapa aku harus terkejut? Bukankah aneh untuk dewa serba sempurna sepertinya untuk menyukai aku, angel yang tidak berkebolehan ini?

Air mata aku tahan dari jatuh ke pipi. Kekuatan tubuh aku kumpul. Aku tak mahu jatuh di hadapan para dewa yang sedang mempermainkan aku!

Dewa Chiyo menggelengkan kepala lagi. Kali ini jelas terlukis garisan kekesalan di wajahnya. Dewi Iva hanya menelan air liur di posisinya, masih membelakangkan aku.

“Angel perempuan ini mempergunakan saya. Mungkin kerana dia mengetahui identiti saya yang sebenar... Jadi dia menggoda saya, cuba melompat kelas angel dengan bantuan saya. ”

Hah? Kenapa jadi begini pula?

“Tapi perempuan ini buat kau mahu kembali ke istana....”

“Ya! Saya fikir kenapa harus ada angel sebegini, langsung tak tahu peraturan di Haven malah mempergunakan orang lain untuk kepentingan diri. Jadi saya fikir Haven perlukan saya.”

Dewa Dai silang tangan.

“Oh, begitu rupanya... Jadi dia akan dihukum.” Ada rasa tidak percaya dalam suara Dewa Dai. Rasa tidak puas hati terukir pada wajah.

“Ya! Dia harus dihukum atas kesalahannya. Saya minta dia dikenakan hukuman yang setimpal!” Sokong Riku.

Wajah Riku aku pandang. Sukar untuk aku baca riak wajah Riku saat ini, apatah lagi untuk menduga apa yang bermain di fikiran dan hatinya saat ini. Dia bukan Riku yang aku kenali.

Mungkin dia hanyalah Dewa Riku yang menyamar sebagai Riku.

“Aku mahu kau ingat saat ini. Saat-saat kita bersama.”

Entah mengapa kata-kata Riku saat itu kedengaran begitu tulus dari hatinya.

Serta-merta aku terasa rindu pada ‘Riku’ku...

“Chiyo?”

Dewa Chiyo melangkah ke depan.

“Sebaiknya kita berbincang dengan lebih lanjut lagi mengenai perkara ini. Nampaknya perkara ini bukan seperti yang kita sangkakan.” Ujar Dewa Chiyo.

“Dan angel ini?”

“Kita tempatkan dia di penjara buat seketika.”

Dewa Dai nampak berpuas hati dengan cadangan Dewa Chiyo.

Sebaik sahaja Dewa Dai selesai mengangguk, sekumpulan Fairy pengawal terbang masuk dan mengeliling aku. aku tak ingat bila kalanya Dewa Dai atau sesiapa memanggil mereka masuk. Mungkin mereka memang ada di luar sejak tadi, mendengar perbualan di dalam dewan dan masuk sebaik sahaja diperlukan.

Riku menjauhiku. Langsung tidak memandangku.

“Mari pergi!”

Arah salah seorang fairy tersebut. Hujung senjata yang dipegang mengenai tubuhku. Entah mengapa, luka di tubuh tidak lagi terasa sakit. Tiada sesiapa yang menoleh apatah lagi membela aku lagi.

Dan aku tahu aku berseorangan di sini kini. Tak diperlukan...

@~@~@~@~

Jendela kecil berjeriji aku pandang tanpa jemu. Hanya jendela itu yang membenarkan aku untuk meneka putaran masa. Malam sudah berganjak ke siang. Siang sudah bertukar menjadi malam. Sudah dua hari berlalu. Tiada sebarang berita aku dengar atau terima semenjak aku dibawa masuk ke penjara ini. Tiada sesiapa yang melawatku. Hatta fairy yang mengawal sepanjang masa di luar sel penjara pun enggan berkomunikasi denganku.

“Helo!”

Sapaan itu mengejutkan aku dari lamunan. Dulang-dulang makanan ditolak ke tepi dengan kaki. Aku mendongak. Seorang angel dalam pakaian putih bersih. Ada kotak sederhana besar di tangan kirinya.

Siapa pulak ni?

“Kau makan?” Soalnya tidak percaya. Hanya aku angel yang makan di Haven. Tentunya pelik fenomena ini bagi dia.

“Nampaknya kau perlu makan... tapi... kau langsung tak berselera untuk makan.” Angel perempuan itu membuat kesimpulan sendiri.

Makanan yang dihidangkan... Hmm, aku sendiri tak tahu macam mana nak menggambarkannya. Tiada sesiapa yang makan di sini jadi tiada sesiapa yang tahu apa yang boleh dimakan atau bagaimana untuk menyediakannya. Jadi, makanan dihidangkan memang tak menyelerakan. Apapun, aku tak fikir aku punya selera untuk makan.

“Aku Kina. Aku diarahkan untuk merawat kau.”

“Nama aku Harumi.”

“Aku tahu!”

Kina melutut di depanku. Mengeluarkan peralatan dan ubat-ubatan dari kotak yang dibawa. Dia mula merawat luka yang ditinggalkan oleh fairy pengawal semalam.

“Macam mana...”

“Walaupun aku tak berminat tapi Dewa Riku ada bercerita tentang kau. Lagipun kau dah popular di Haven dalam masa semalaman.”

“Oh, Riku...”

“Riku? Tak sangka kau berani panggil dia tanpa gelarannya. Kau fikir kau siapa, angel lembap? Kau ingat kau rapat sangat dengan Riku?” Marah Kina.

Ya, Riku adalah Dewa Riku kini, di sini.

“Maaf. Maksud aku Dewa Riku.”

Kina cuma angkat kening. Aura dingin menyelubungi aku. Kina membenci aku.

“Dewa Riku selalu datang ke tempat aku untuk dirawat. Cedera. Dan dia selalu bercerita tentang punca kecederaannya. Nama kau muncul setiap kali dia bercerita. Memang menyusahkan.”

Owh, nampaknya aku memang selalu menyusahkan Riku. Rasanya lebih lima kali Riku cedera disebabkan kecuaian dan kebodohan aku. Mungkin dia dah tak tahan dengan aku lagi dan mahu ‘melepaskan’ aku sekarang. Seperti yang dibuatnya semalam.

“Saya... Saya memang banyak menyusahkan Dewa Riku...”

Kina sudah selesai merawatku. Duduk memandangku dengan wajah serius.

“Baguslah kalau kau dah sedar. Jangan ganggu dia. Jangan hampiri dia lagi.”

Kina bangun setelah selesai mengemaskan barang-barangnya.

“Kina!”

Kina berhenti melangkah.

“Di mana Dewa Riku sekarang? Dia okey, kan? Dia dalam keadaan baik-baik saja, kan?”

Kina berjeda seketika.

“Nasibnya akan ditentukan oleh Majlis Kehakiman Dewa-Dewi.”

“Dia tak akan dikenakan hukuman yang teruk, kan? Bukankah dia Dewa seperti mereka semua?” Soalku tidak sabar.

“Aku tak pasti tentang itu semua... lagi...” Lambat-lambat Kina menuturkan ayatnya. Kerisauan jela terpancar di wajahnya.

Aku telan air liur. Riku...

BAMM..!

Pintu jeriji besi dihempaskan sekuat hati oleh Kina. Meninggalkan aku dengan kekesalan dan kesedihan yang menggunung dihati. Kepalaku sarat memikirkan cara untuk menyelamatkan nyawa Riku. Tika ini, aku sanggup melakukan apa sahaja, dihukum dengan hukuman berat sekalipun hukuman mati asalkan Riku diberi kemaafan dan dikembalikan kedudukan asalnya.

Apa sahaja demi Riku...

Bukankah aku yang memulakan musibah ini, maka seharusnya aku jugalah yang patut menamatkannya.

Kepala mula terasa berat. Kesan dari mataku yang tidak dapat terpejam walau sekelumit waktu pun. Tubuh pula semakin lemah kerana tidak menjamah makanan.

Kelopak mata semakin berat.

Kata Riku, tidur adalah penamat pada hari-hari yang membosankanku di Hive Land. Aku beruntung kerana berkeupayaan untuk tidur, tak seperti angel-angel lain yang menjalani hari-hari mereka tanpa berhenti. Katanya lagi, sebaik sahaja aku bangun dari tidur, hari baru akan bermula. Hari yang lebih ceria selepas segala penat lelah, kesedihan dan kegagalan semalam menjadi kenangan dan sejarah pada hari baruku.

Tetapi ternyata hari-hariku tetap sama seperti semalam, kelmarin, dan hari sebelumnya... Dan mungkin hari-hari yang mendatang...

Aku hanya akan mendatangkan kesusahan pada orang di sekelilingku terutama orang yang aku sayang...

Mataku terpejam juga akhirnya. Lenaku dihiasi mimpi. Seperti selalu, aku tak pernah keseorangan. Sentiasa akan ada seseorang menggenggam erat jemariku untuk mengharungi warna mimpi yang pelbagai.

Riku...

@~@~@~@~

“Riku...”

Riku berdiri kaku di dinding batu. Mata yang tadinya menala ke langit malam dari jendela kecil di bilik, dipejam rapat-rapat. Langsung tak mengendahkan tetamu yang datang ke biliknya itu.

“Saya mohon agar tidak diganggu.”

“Aku cuma nak tanya sesuatu.”

“Apa dia?”

“Kau memang nak perkara ni berakhir begini?”

“Ya!”

Keluhan berat kedengaran.

“Riku! Kau tahu kan kesannya?”

“Ya.” Mata Riku masih melekat di langit.

Suasana bungkam beberapa ketika.

“Berbaloi ke, Riku?”

“Pada saya, ya!”

“Riku!”

“Maaf, saya nak sendirian.”

Keluhan berat kedengaran lagi. Bunyi pintu ditutup memulakan irama sepi di bilik itu semula.

@~@~@~@~

Hujung kaki terasa disepak.

“Bangun!”

Aku tak tahu berapa lama aku tertidur. Yang pasti mentari masih bersembunyi di balik langit malam. Fairy pengawal muncul di hadapan mata. Aku bingkas bangun. Terkejut dengan kedatangan fairy pengawal awal pagi. Sebaik sahaja aku terpandangkan sesusuk tubuh yang berdiri di hujung kaki, aku tergamam.

“Selamat pagi, Harumi!”


*** Sungguh, mmg byk godaan, cubaan yg mgganggu tumpuan

Followers