Thursday, January 26, 2012

The Cold World 9





A Night To Be Remembered

“Aku boleh buat!”

“Percaya pada diri kau sendiri...”

Suara Riku tenggelam timbul, datang dan pergi bersama deruan angin yang semakin kencang. Wajah Riku yang tadinya terlukis di kabus tebal turut pergi dibawa angin tersebut.

Aku pandang ke bawah. Hanya kepulan awan tebal yang kelihatan. Menyukarkan aku untuk menganggarkan ketinggian tebing tersebut, menyukarkan aku untuk mengjangkakan kecederaan yang akan aku alami sekiranya percubaanku gagal.

Kalaupun cubaan aku ini tak berjaya, sekurang-kurangnya aku tak perlu menyusahkan Riku lagi...

Aku melangkah setapak ke hadapan. Melangkaui hujung tebing yang curam. Dan sesaat kemudian tubuhku sudah melayang, jatuh bebas menjunam menuju ke dasar tebing. Angin menderu di telinga. Tekanan udara menyebabkan telingaku bingar. Aku memandang sayapku. Kedua-dua belah bahu aku gerakkan. Namun sayapku tetap tidak bergerak.

Mataku pejamkan. Bersedia menjangkakan sesuatu yang buruk yang akan berlaku padaku.

Tak apa, aku dah bersedia...

Apapun yang terjadi, aku sudah bersedia...

Terjunan itu terasa semakin perlahan. Satu. Dua. Tiga. Empat. Lima.

Eh?

Bukan sepatutnya aku dah sampai ke dasar tebing ni ke?

Bukan ke sepatutnya tubuhku sudah terhempas ke batu-batu tajam di bawah tebing ini?

“Hoi! Kau tidur ke?”

Suara kecil di tepi telinga jelas kedengaran walaupun terpaksa berlawan dengan bunyi angin. Mata aku celikkan.

Siapa pulak ni?

Rambutnya berwarna kecoklatan, panjang dan disanggul. Matanya besar dan bulat. Hidung kecilnya agak mancung. Bibir nipisnya kemerahan. Tubuhnya kecil. Sekecil tapak tanganku. Sayapnya pipih; nipis dan tampak rapuh seperti kepak rama-rama. Tubuhnya dibaluti baju gaun separas lutut. Dia sangat comel. Dan tubuhnya memancarkan cahaya ke mana jua dia pergi.

Aku tak sangka berpeluang untuk bertemu dengan fairy. Fairy di Haven adalah makhluk yang pemalu. Mereka jarang muncul di hadapan makhluk lain.

“Fairy...” Kataku dalam senyuman. Masih terpegun dengan kecantikan fairy tersebut. Dia secantik angel walaupun bertubuh kecil.

“Kami bimbang kalau-kalau kau cuba buat sesuatu yang tak sepatutnya.”

“Kami?” Aku menoleh ke sisi. Sekurang-kurangnya ada sepuluh fairy yang berada di hujung kiri dan kanan sayapku. Wajah bercahaya mereka terlukis kebimbangan.

Oh, rupanya mereka yang menahan aku dari jatuh. Mereka terbang, membawa aku ke atas semula.

“Aku cuba terbang...”

“Tapi tak berjaya?” Suara halus itu mempersonakan.

“Ya.”

Suara-suara halus ketawa kedengaran.

Ahh... Memang memalukan! Makhluk kecil dan nampak lemah ni pun mampu terbang...

“Jangan salah faham. Kami tak ada niat untuk ketawakan kau...” Kata fairy di sayap kiriku. Bentuk badan, warna, kepak, pakaian dan penampilan mereka hampir sama kesemuanya. Cuma wajah mereka sahaja yang berbeza.

“Err... Biar aku betulkan ayat tu! Kami bukan ketawakan kau, angel. Kami hanya teringat kisah kami dulu.” Ujar fairy di sebelah kananku pula.

Wajahku ceria semula.

“Apa maksud kamu?” Tanyaku tanpa sabar.

“Dulu kami pun macam kau. Fairy makhluk yang kecil. Kami diibaratkan seperti kumpulan sokongan, kuli di Haven. Walaupun tugas kami kecil berbanding tugas para angel dan dewa, tapi kami bangga dengan sumbangan yang kami berikan. Kerana tanpa kami, kelancaran hidup di Haven akan terjejas dan angel dan dewa tak dapat hidup dengan selesa.”

“Kamu semua tak patut rasa rendah diri. Semua makhluk ada kelemahan dan kekuatan masing-masing. Cuba tengok aku! Aku angel. Besar, nampak kuat berbanding dengan kamu semua. Tapi hakikatnya aku tak boleh terbang dan sedang diselamatkan oleh kamu semua sekarang.” Satu persatu wajah fairy aku pandang. Mereka berpandangan sesama sendiri. Berfikir sejenak dan kemudian mengangguk sesama sendiri. Wajah mereka cerah semula.

“Betul! Kita semua kekurangan dan kelebihan. Sekarang, mari kami bantu kau untuk terbang.” Kata fairy yang berada di bawah sayap kananku.

Wajahku muram kini. Tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri. Aku masih berada tinggi di udara, diampu oleh para fairy yang comel dan baik hati. Angin malam yang sejuk terasa menyucuk hingga ke tulang.

“Bertahun lamanya aku cuba untuk terbang. Guru-guru, kawan-kawan, malah trainer yang terbaik pernah mengajar aku untuk terbang, tapi hasilnya masih begini.”

Kesemua fairy di sekelilingku tersenyum kini.

“Semuanya permainan minda. Asalkan kau yakin dan percaya pada kemampuan diri, semuanya dapat ditangani dengan mudah. Sekarang pejamkan mata kau.”

Aku akur.

“Rasakan gerakan angin. Arah tiupan angin.”

Angin bertiup melepasiku. Datang dan pergi. Bertiup dari arah timur dan terus ke barat.

“Terbang mengikut arah angin adalah lebih mudah kerana kau seperti ‘meminjam’ tenaga angin untuk bergerak. Jika kau terbang melawan arah angin, kau kena mengeluarkan tenaga yang lebih. Apapun, kau kena bijak memanipulasi angin dan tenaga kau.”

Aku mengangguk faham.

“Sekarang cuba gerakkan sayap kau.”

Aku cuba menuruti arahan itu tetapi seperti selalu, sayapku tetap kaku.

“Tak boleh.” Keluhku.

“Pusatkan tumpuan kau. Salurkan kekuatan kau ke sayap kau.”

Akur dengan arahannya. Mengumpul kekuatan ke sayapku. Tanpa sedar aku berpeluh dalam kedinginan malam.

Tanpa disangka-sangka, ada gerakan di belakang badanku. Semakin lama semakin kuat. Aku segera membuka mata. Kesemua fairy, 12 fairy semuanya, berada di hadapanku. Tidak lagi memegang sayapku seperti tadi. Tidak lagi mengampu aku di udara.

Aku ‘terapung’ di udara tanpa bantuan sesiapa.

Aku menguatkan gerakan sayapku. Ke atas dan ke bawah.

“Aku boleh terbang!” Jeritku kegirangan. Kesemua fairy ketawa dan bertepuk tangan melihat telatahku. Ternyata mereka turut bangga dapat membantuku untuk terbang.

“Aku boleh terbang!!!”

Aku terbang ke depan dan ke belakang. Ke atas dan ke bawah. Sukar untuk aku ungkapkan perasaan apabila dapat terbang bebas dengan sayapku sendiri. Sangat, sangat gembira. Sedikit sedih. Teruja...

Aku meluru ke arah 12 fairy yang membantuku tadi. Mereka hampir tertolak ke belakang akibat gerakan sayapku yang hampir mengenai mereka.

“Ah, maaf!”

“Tak mengapa. Mungkin kau terlalu teruja, angel yang cantik!”

Aku tersenyum seraya menatap wajah mereka satu-persatu.

“Terima kasih. Terima kasih banyak-banyak! Tanpa pertolongan kamu semua mungkin aku sudah mati tadi. Tanpa pertolongan kamu semua mungkin aku tak akan boleh terbang seperti ini.”

“Sama-sama, angel bersayap putih. Kami harap kau akan jadi angel yang paling bersinar dan berjasa di Haven.” Seperti mula-mula kami bertemu tadi, wakil fairy akan bercakap dengan menggunakan kata ganti nama diri ‘kami’, bukannya kata ganti diri aku atau saya.

“Nama saya Harumi. Kamu semua boleh panggil saya Harumi.”

12 fairy berpandangan sesama sendiri. Mereka mula berbisik-bisik sesama sendiri.

“Harumi?”

“Namanya Harumi?”

“Dia angel!”

“Dia bersayap putih.”

“Dia angel yang bersayap putih!”

“Tapi dia tak boleh terbang.”

“Tapi sekarang dia dah pun boleh terbang!”

“Aku tak percaya.”

“Aku tak rasa takut dengan dia!”

“Aku pun!”

“Ini memang sesuatu yang tak disangka-sangka.”

“Mungkinkah dia orangnya?”

“Dia kata tadi trainernya adalah trainer yang terbaik di Haven, kan? Bukankah trainer yang terbaik di Haven adalah Riku?”

11 fairy mengangguk bagaikan burung belatuk.

Dahiku berkerut. Cuba menangkap butir yang dikatakan oleh mereka. Cuba memahami apa yang sedang berlaku ketika itu. Mereka nampak terkejut, sedikit pelik dan... gembira? Kenapa nama Riku disebut-sebut?

“Apa yang dah berlaku, fairy?” Soalku.

“HARUMI!!” Suara garau yang menjerit membuatkan kesemua fairy bertebaran pergi dari sisiku dan terus hilang dari pandangan dalam sekelip mata.

“Nanti! Jangan pergi!” Ternyata tegahanku sia-sia.

“Harumi!”

“Riku?”

Suara Riku kedengaran jauh di bawahku. Apa yang dibuat oleh Riku di dasar tebing?

Riku terbang laju ke arahku. Menerpa ke arahku.

“Aku nampak kau terjun dari tebing. Aku cari kau di bawah sana. Tapi tak jumpa. Mujur aku nampak cahaya sayap kau.” Riku bercakap laju dalam keadaan cemas. Agak sukar untuk menangkap perkataan-perkataan yang diucapkannya.

“Kenapa kau buat macam tu? Kau sepatutnya abaikan sahaja apa yang aku cakap tempoh hari. Paling mudah kalau kau terus membenci aku dan jauhkan diri dari aku. Apapun yang berlaku, jangan bahayakan diri kau! Pedulikan aku!” Suara Riku bernada berang ketika itu.

Riku meraup wajahnya.

“Kau tak apa-apa, kan?”

Tanpa menunggu jawapanku, Riku terus menelek setiap inci tubuhku. Mukaku, tanganku, badanku dan segala yang dapat dilihatnya dengan berbekalkan cahaya sayapku dan rembulan.

“Tak! Aku tak apa-apa! Mujur ada fairy yang membantu aku tadi.”

“Nasib baik. Eh? Fairy?”

“Ya.” Jawabku bersungguh-sungguh.

“Fairy makhluk pemalu. Mereka jarang menunjukkan diri. Mereka misteri, sukar difahami. Emosi mereka tak stabil memandangkan mereka kecil dan mengalami inferior.

“Tidak! Mereka sangat baik. Mereka sangat kecil dan cantik!” Sayapku bergerak-gerak dengan pantas selaras dengan kesungguhanku menerangkan kedudukan sebenar pada Riku.

Mata Riku membulat saat itu.

“Harumi... Kau dah boleh terbang?”

Riku yang baru tersedar yang aku tidak berpijak di tanah, memandang aku atas dan bawah. Kemudian ke atas semula. Mencari wajahku untuk sebuah kepastian. Tak cukup dengan itu, Riku terbang mengelilingiku. Melihat sebuah kebenaran.

“Ya! Aku dah boleh terbang dengan bantuan fairy tadi.”

Bibir Riku bergetar. Mengumam sesuatu tanpa aku fahami. Mata Riku jauh memandang ke hadapan; melepasi diriku.

“Kau betul-betul macam yang aku sangkakan, Harumi... Cuma aku tak sangka kau akan dapat menguasai semua ini dalam masa yang singkat.” Suara Riku senada sahaja bunyinya. Dan dia memalingkan wajahnya dariku.

Apa pula salah aku kali ini?

Suasana hening buat beberapa ketika. Hanya angin yang berbicara mengisi ruang antara kami.

“Harumi...”

Belakang tapak tanganku tiba-tiba dielus lembut oleh Riku. Wajah Riku tidak serius lagi. Wajahnya kelihatan mesra ketika memanggil namaku.

“Ya?” Bergetar suaraku menjawab.

Melihat wajah Riku dalam kesamaran malam bersama tiupan angin yang membelai rambutnya sangat berlainan pada malam ini. Lirikan matanya, riak wajahnya, intonasi suaranya, malah segala-galanya tentang dia menggetarkan jiwaku pada saat ini.

“Aku tak benci Sora. Kami tak bergaduh. Dia tak buat apa-apa kesalahan padaku tapi... Ada sesuatu yang membelenggu kami. Kami tak betah lagi berpandangan. Berbual mesra seperti dulu pun kami tak mampu. Ianya sesuatu yang sukar untuk diterangkan dan difahami. Aku sendiri pun tak faham apa yang aku rasa ni.”

Entah mengapa suara Miyuki terngiang-ngiang pula di telinga.

“Aku dah berjanji dengan diriku sendiri yang aku akan bawa kau ke suatu tempat apabila kau sudah boleh terbang. Bolehkah kau membantu aku untuk menunaikannya?”

“Huh?”

“Sudikah kau mengikutiku, wahai angel bersayap putih?”

Aku hanya perlu mengerdipkan kelopak mata. Kerna Riku sudah masak dengan perangaiku. Aku percayakan lebih dari aku percayakan diriku sendiri. Mustahil Riku akan berbuat sesuatu yang akan mendatangkan kesusahan pada diriku.

Riku tersenyum manis lantas terbang, melonjak tinggi di udara. Terbang bebas di udara; ke atas, ke bawah, ke kiri dan ke kanan; menukar bentuk kepulan awan yang dilaluinya. Tawa Riku sayup-sayup kedengaran ditelan dek bunyi angin, menggoda aku untuk menurutinya.

Aku tersenyum sendiri. Mengalah pada diri sendiri bahawa aku tak mampu menolak tarikan daripadanya.

Tanpa menunggu walau sesaat, aku melonjakkan diri ke atas. Mengikuti jejak yang ditinggalkan oeh Riku.

@~@~@~@~

Kaze menundukkan kepalanya. Dewa Dai memandang Kaze dengan wajah serius, tanpa emosi.

“Riku?”

“Kebelakangan ini dia nampak ‘sibuk’ sehingga ponteng kelas. Dengarnya dia bergaduh dengan traineenya juga. Dia banyak termenung dan kurang bercakap.” Ujar Kaze dalam keadaan tunduk.

“HAHAHA!”

Tawa Dewa Dai menggegarkan bilik yang luas itu. Laporan Kaze bagaikan lawak lucu di telinga Dewa Dai. Dia menepuk-nepuk tangannya demi menzahirkan kegembiraan di hatinya. Kaze takut-takut mengangkat wajahnya. Mengintai telatah Dewa Dai yang hampir terlompat dari kerusinya dari balik juraian rambutnya.

“Budak tu tentu dah naik gila gara-gara membunuh angel-angel di Haven!”

“Mungkin...” Tambah Kaze perlahan.

“Dewa-Dewi Berkuasa sudah mula hilang kepercayaan padanya. Nama kau sudah mula disebut-sebut di sidang meja Dewa-Dewi. Menggantikan tempat Riku adalah mustahil. Menjadi orang kanan, orang kepercayaan Dewa-Dewi adalah tempat yang tertinggi untuk angel seperti kau.” Kata Dewa Dai dalam saki-baki tawanya. Dia bangun dari duduknya. Berjalan menghampiri Kaze. Mengerling wajah Kaze dengan ekor matanya.

“Bila sampai masanya, kau akan dapat ganjarannya.”

Sukar untuk menafikan kegembiraan pada wajah Kaze pada saat itu.

“Terus perhatikan Riku.”

Dewa Dai meninggalkan bilik itu dengan tawa yang tak bertepi.

@~@~@~@~

“Kau okey?”

Aku tetap mengangguk walaupun sedikit mengah. Perjalanan ke destinasi yang dirahsiakan oleh Riku itu sangat jauh dan tinggi. Sayapku yang baru menjalankan tugasnya agak keletihan kini.

Riku terbang ke arahku. Memaut tubuhku dan dibawanya aku terbang bersamanya.

“Aku lupa. Tak pernah ada angel yang pernah datang sini lagi. Tempat ini memang terlalu tinggi untuk para angel.”

Aku cuma mampu mengangguk. Tekanan udara semakin rendah dan aku semakin sukar untuk bernafas. Pautan Riku di bahuku semakin erat. Riku meluncur laju di udara dengan lincah dan lembut serta penuh gaya. Ah, sukar untuk menerangkannya. Apa yang boleh aku katakan, aku tak pernah lihat mana-mana angel terbang sepertinya.

“Rehatkan badan kau. Kalau perlu pejamkan mata kau. Biar aku yang bawa kau ke situ.”

Aku akur namun sukar untuk aku pejamkan mata tatkala melihat persekitaran baru di sekelilingku. Dari balik awan-awan tebal aku dapat melihat taman menghijau yang berada di puncak batuan menjunjung tingginya ke langit. Letihku lenyap saat itu. Sesak di dadaku pergi saat itu.

“Cantik...”

“Ya. Sebab tu aku nak bawa kau ke mari.”

Kami mendarat di atas rumput yang menghijau. Bunga-bunga liar yang berwarna-warni tumbuh di merata tempat. Rama-rama terbang bebas menyedut madu. Burung-burung berkicauan girang tanpa mengendahkan kelam malam. Semua yang ada di sini cantik dan sempurna. Tempat ini bagaikan taman impian. Di sini bagaikan syurga kecil di Haven. Cuma ada satu kekurangan di situ. Cahaya bulan berselindung di balik mega.

Sepohon pokok besar berkilauan di hujung taman segera menarik minatku. Aku menoleh ke arah Riku sambil tersenyum. Aku, tanpa sedar, terbang ke pohon tersebut. Kedinginan malam bertukar menjadi sangat saat aku menghampiri pokok tersebut. Pokok itu bagaikan alat pemanas di waktu malam.

Pokok tersebut sangat besar. Batangnya mungkin sepuluh kali ganda besar pemelukku. Dahannya menjulang ke atas. Daunnya merimbun di setiap dahan dan ranting. Pada pohon tersebut bergantung bergayut bebola kristal lutsinar. Bebola kristal itulah yang mengeluarkan cahaya ungu berkilauan yang aku lihat tadi.

“Ini pokok apa?” Tanyaku pada diri sendiri.

Sebiji bebola kristal aku raih dengan tangan.

Ehh...?

Aku nampak manusia dalam bebola ni!

Satu. Dua. Dua orang!

Seorang lelaki. Seorang perempuan. Dan mereka bergerak-gerak la.

Adakah mereka...

“Salah satu pasangan yang berjaya disatukan oleh para angel dari Haven.” Kata Riku. Entah bila kala dia tiba di sisiku.

Keterujaanku semakin memuncak.

“Wah! Maksudnya kalau saya dapat satukan pasangan manusia, mereka juga akan dikurung, diletakkan dalam bebola kristal dan digantung di sini?!”

Riku ketawa.

“Mereka tak dikurung, Harumi. Hanya imej mereka sahaja yang diambil dan diletakkan di sini. Dari sini kita akan memantau perkembangan hubungan mereka.”

“Ooo... Tengok! Kebanyakan mereka mempunyai latar belakang yang hampir serupa la!”

Keterangan mengenai pasangan dicatatkan diukir di bawah bebola kristal.

“Ya. Ia semacam satu keegoan bagi setiap angel untuk mencari dan memadankan manusia lelaki yang kacak, kaya, bijak dan berlatar belakang yang baik dengan manusia perempuan yang cantik, kaya, bijak dan berlatar belakang yang hampir serupa dengan bakal pasangannya. Pada mereka, persamaan itulah keserasian. Namun, berbanding keserasian, sebenarnya mereka lebih mengutamakan kecantikan dan kesempurnaan luaran sahaja.” Terang Riku.

Aku tercengang mendengar penerangan Riku.

“Kesemua manusia tanpa mengira paras rupa, harta-benda, tahap kepintaran, dan sebagainya berhak mencintai dan dicintai. Semua manusia layak merasai dan menikmati apa itu cinta. Yang penting adalah hubungan jiwa dan hati mereka. Ingat tu, Harumi!” Tekan Riku.

“Ya, aku akan ingat! Tapi adakah pasangan tersebut akan bertahan lama dan hidup bahagia?” Soalku. Menunding bebola pasangan yang mempunyai ciri-ciri hampir serupa itu.

“Ya, tapi sebahagian besarnya tidak. Kesempurnaan dirinya serta pasangan akan membuatkan ego mereka bertambah. Mereka akan jadi tamak dan besar diri. Dan akhirnya mereka akan membinasakan diri sendiri dan pasangan.”

Pandangan Riku lembut ke arahku.

“Pasangan sepatutnya saling melengkapi.”

Tiba-tiba wajah Riku berubah menjadi muram.

“Tapi, bilangan pasangan yang dapat disatukan sudah semakin merosot. Ramai yang berpisah setelah beberapa tahun bersama. Cahaya dan haba yang dikeluarkan oleh Pohon Cinta sudah tidak seperti dahulu.” Keluh Riku.

“Aku berjanji aku akan jadi angel yang bagus! Aku akan temukan manusia dengan pasangannya tanpa mengira latar belakang mereka. Aku akan temukan mereka dengan pasangan sehati dan sejiwa mereka. Aku akan jadi angel yang paling cantik dan cemerlang di Haven! Aku akan buktikan pada kau dan semua orang di Haven!” Jeritku penuh semangat.

Riku ketawa.

“Kau tak perlu buktikan pada aku, Harumi! Kerana sentiasa akan jadi angel yang paling cantik dan bijak di mata aku.”

Aku berpuas hati mendengar pujian Riku.

“Maafkan aku! Aku terpaksa buat begini!”

Semuanya berlaku dengan pantas.

Riku menolak kuat aku ke hujung tebing taman tersebut.

Aku hilang imbangan badan lalu tergelincir jatuh dari tebing tersebut. Menjunam menuju ke bawah.

Mungkin kerana tidak bersedia atau panik, sayapku langsung tidak bergerak.

Aku nampak Riku turut terjun dari terbing tersebut. Mengikutiku.

Riku mengembangkan sayapnya. Terbang menjunam menujuku.

Riku menghulurkan tangan tatkala hampir tiba denganku.

Pipiku dikepung oleh dengan kedua-dua belah tapak tangannya.

Kami bertatapan seketika.

Riku mendekatkan wajah kami.

“Maafkan aku tapi...”

Bibir Riku mengucup lembut bibirku.

“Aku cintakan kau, Harumi...”


*** erk, apa mslh shoutbox ni, ek? Sapa tau mn nk dpt shoutbox free angkat jari! tlg tgglkan komen n link, plz...
*** dh tkr perkataan memagut... :)


Monday, January 16, 2012

The Cold World 8



The Other Side

Di Haven, ada dua perkara penting yang perlu dikuasai oleh setiap angel sebelum memulakan tugas mereka di dunia manusia; ilmu memanah dan anatomi tubuh manusia. Kedua-duanya sama penting dalam tugas angel untuk menyebarkan cinta ke setiap pelosok dunia.

Tetapi...

Untuk menguasai kedua-dua ilmu tersebut bukannya mudah.

“Sora!” Jerit Cikgu Taiga.

Sora melangkah ke depan. Busur di tangan diangkat.

Sapp...!

Anak panah Sora bergerak sepantas kilat menuju tepat ke papan sasaran yang diletakkan jauh di hujung lapangan sasar.

“Bagus, Sora! Kamu boleh menyertai latihan untuk jarak 20 kilometer esok.” Puji Cikgu Taiga.

“Terima kasih, cikgu!” Senyum Sora sampai ke telinga.

“Miyuki!”

Miyuki mengambil anak panah dari bekasnya.

Mengikut peraturan memanah angel, kami hanya diberi masa kurang dua saat untuk melancarkan anak panah. Masa bermula saat anak panah dikeluarkan dari bekasnya. Dua saat untuk mengeluarkan anak panah, melaraskan ke busur, menghalakan ke sasaran, dan melepaskannya. Sebelum dua saat itu berlalu, anak panah perlu sampai ke sasarannya bagi memastikan ramuan cinta yang terkandung dalam setiap bilah anak panah tidak hilang kemujarabannya.

Anak panah Miyuki melekat di tengah papan sasaran yang direka khas menyerupai hati manusia.

“Kamu sebagus Sora, Miyuki!” Puji Cikgu Taiga dengan segaris senyuman.

“Yoi...!”

Dalam kelas anatomi manusia yang dipelajari oleh angel Kelas 3, mereka diberi penekanan dan perincian yang teliti tentang organ hati dan jantung manusia, berbanding dengan organ-organ yang lain. Ini kerana angel perlu tahu dengan jelas sasaran anak panah pada satu titik kecil di hati manusia. Titik yang cukup kecil untuk dilihat dengan mata kasar manusia. Kecuaian angel akan menyebabkan manusia mati serta-merta jika sekiranya anak panah mengenai organ penting manusia seperti jantung. Air ramuan cinta akan tersebar di dalam hati manusia, menghantar isyarat ke otak dan hormon dalam badan manusia akan memainkan peranan selepas itu. Walau bagaimanapun, air ramuan cinta tidak berkesan ke atas angel atau para dewa. Ia hanya senjata yang akan mencederakan kami.

“Lulus!”

“Harumi!”

Aku melangkah ke depan. Suara angel berbisik dan ketawa sinis dalam nada terendah berpusu-pusu masuk ke telinga. Mengikir keyakinanku yang sedia nipis. Entah mengapa tumpuanku teralih pada peristiwa semalam.

“Harumi?”

Aku tersenyum simpul lantas menundukkan kepala. Pujian Miyuki sudah aku terima. Kini aku menunggu pujian Riku pula.

“Apa pendapat Senior Riku? Cantikkan Harumi?”

Riku menjeling tajam ke arah Miyuki. Wajahnya serius.

“Miyuki, aku rasa kau dah cukup lama kat sini.”

“Ya, betul tu. tapi saya nak dengar dulu pendapat Senior Riku tentang hasil solekan saya...”

“BALIK!!”

Mendengar intonasi suara Riku, Miyuki tak tunggu lama lagi. Selesai mencampakkan semua yang dibawa ke dalam beg, Miyuki menghampiriku di muka pintu seraya berbisik.

“Aku balik dulu. Yang kau pakai ni aku ambil esok aje.”

“Maaf. Selalunya dia tak macam tu.”

Miyuki membesarkan mata. Sukar untuk percaya kataku. Riku memang selalu serius dengan semua orang. Malah ada yang mengatakan Riku sombong. Tapi bagiku, Riku adalah sebaliknya.

Riku menghampiriku, masih dengan wajah masam.

“Kalau ada begitu banyak masa, kenapa kau tak habiskan masa-masa kau dengan berlatih, Harumi!” Riku menjerit di tepi telingaku. Aku terkejut. Tersentap. Reaksi marahnya tak ubah seperti kali pertama kami bertemu dulu.

“Kau suka bersolek, pakai baju cantik-cantik macam ni? Ha? Suka, ke?” Dia menarik-narik hujung lengan bajuku.

“Kalau kau ada banyak masa, kalau kau dah tak perlukan waktu tidur kau lagi, berhenti beralasan dan habiskan waktu malam kau dengan berlatih dan belajar seperti angel yang lain!!”

Aku cuba bertahan tapi di luar jangkaanku, air mataku sudah bertali arus di pipi. Dimarahi dan diejek oleh sesiapapun tidak sesedih di marahi oleh Riku.

“Kau tahu tak aku dah bosan mencipta alasan pada guru-guru tentang prestasi kau yang lembap tu?Kau fikir aku tak ada perkara lain yang perlu difikirkan? Memang menyusahkan!”

Riku menumbuk dinding terus terbang meninggalkan The Hive. Riku tak pulang malam itu. Aku tak ingat bila aku terlena dalam kelopak bunga Ran. Aku juga tak ingat bila aku berhenti menangis. Satu yang aku pasti, Riku tiada menemaniku sepanjang malam seperti malam-malam sebelum ini.

“Haru, buat yang terbaik!” Jerit Miyuki, cuba menyuntik semangat padaku sekaligus mematikan ingatanku pada Riku.

Anak panah yang aku lepaskan mendarat tidak jauh dari tempat aku berdiri. Cikgu Taiga mendengus. Penonton di belakangku ketawa.

“Mengecewakan seperti biasa!” Komen Cikgu Taiga.

“Kelas tamat!”

Satu demi satu angel bersurai pergi dari situ.

“Tak apa, Haru! Cuba berlatih lagi.”

“Riku marahkan aku, Miyuki. Dia hilang sampai sekarang. Dia tak temankan aku malam tadi. Aku takut!”

Miyuki memeluk bahuku.

“Haru, sesekali angel memang akan bergaduh dengan pasangan masing-masing. Walaupun kau rasa aku dan Sora rapat, dah kenal lama dan hampir sama dalam semua aspek, tapi sekali-sekala kami bergaduh. Macam tu juga dengan pasangan angel yang lain.”

“Sebab kau ketinggalan dalam kelas?”

“Bukan!”

“Sebab dia anggap kau menyusahkankan?”

“Bukan!”

“Habis, kenapa?”

“Haru, kadang-kadang ada benda yang kita mahu tapi kita tak boleh mendapatkannya. Sesuatu yang perlu dikawal dan akhirnya menimbulkan rasa marah, geram, tak puas hati terhadap sesuatu. Kami bergaduh sebab itu. bukan sebab tiada persefahaman.”

“Aku tak faham.”

“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dikatakan dan difahami. Aku sendiri masih tercari-cari jawapannya.”

Miyuki meninjau keadaan sekeliling sebelum menepuk dahinya.

“Aku kena pergi. Ada kelas! Kau...”

“Tak apa! Aku nak berlatih lagi.”

Miyuki terkejut mendengar jawapanku.

“Haru, kau tak boleh terlalu letih. Kau pernah pitam dulu, ingat lagi? Lagipun kau tak boleh berlatih tanpa pengawasan sesiapa.”

“Aku tak akan berganjak dari sini selagi anak panah aku tak berada di sana!” Tegasku seraya menuding ke tengah papan sasar.

“Haru, kebolehan memanah untuk jarak 20 km tu hanya dapat dicapai selepas beberapa tahun berlatih. Mustahil untuk berjaya dalam masa terdekat ni! Kalau terus-menerus berlatih kau akan memudaratkan kesihatan diri kau sendiri.”

“Aku tak peduli. Apapun yang terjadi pada diriku, aku tak peduli. Asalkan Riku berhenti marah padaku, tak benci aku, aku sanggup lakukan apapun!”

Anak panah aku capai. Aku laraskan ke busur sebelum melepaskannya.

“Haru...”

@~@~@~@~

“Senior Riku!!!”

Miyuki cuba terbang sepantas mungkin, membelah langit malam demi mengejar Riku. Namun itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Ternyata kebolehan Riku untuk terbang tak terbanding dek kemampuannya.

“Senior Riku!!” Jeritnya lagi dalam mengah.

Riku memperlahankan kelajuannya namun masih enggan menoleh untuk memandang Miyuki.

“Senior Riku! Senior memang nak biarkan Harumi terus buat begitu ke?” Soal Miyuki sebaik sahaja tiba di belakang Riku.

“Maksud kau?” Soal Riku senada.

“Saya tak faham apa yang membuatkan Senior marah sangat pada Harumi. Dia langsung tak bersalah. Dia tak melanggar mana-mana peraturan di Haven. Dia hanya jadi model saya. Salah ke perbuatan dia tu? Kalaupun salah, Senior patut marahkan saya, hukum saya, bukan dia!”

“Kau tak berhak untuk mempersoalkan tindakan aku!”

“Jadi Senior memang setuju dengan apa yang dilakukannya sekarang? Senior memang dah tak nak bertolak-ansur dengan Harumi lagi? Senior memang nak dia dilayan dan berkelakuan macam angel-angel yang lain?”

Riku mengetap gigi.

“Boleh tak kau berterus-terang?”

“Harumi dah berada di sana lebih 18 jam. Senior ingat lagi tak yang Harumi pernah pitam bila dia cuba berlagak macam angel yang lain? Walaupun keinginan dan cita-citanya tinggi, walaupun kita seboleh mungkin tak mahu membezakannya dengan angel yang lain, tapi kita berdua tahu yang Harumi memang berbeza dari angel yang lain terutama dari segi kemampuan.”

“Aku masih tak faham apa yang cuba kau sampaikan!” Ada nada bengang dalam suara Riku saat itu.

“Saya tak tahu apa yang jadi semalam. Yang pasti Senior dalam keadaan marah semasa saya tinggalkan The Hive semalam. Saya juga tak tahu apa yang Senior katakan pada Harumi semalam. Yang pastinya kata-kata tersebut memang ‘menyuntik’ semangat Harumi sekarang. Terima kasihlah saya ucapkan pada Senior!”

Riku mendengus.

“Aku tak masa untuk layan angel yang suka jaga tepi kain orang!” Rungut Riku sebelum memecut laju meninggalkan Miyuki.

“Harumi mungkin akan mati disebabkan kata-kata Senior semalam!!” Jerit Miyuki. Riku berhenti lantas berpaling dengan wajah keliru.

“Apa maksud kau?”

“Apa yang Senior katakan pada Harumi semalam? Apa yang Senior dah buat sehinggakan Harumi tak berhenti-henti memanah sejak pagi tadi?”

Sayap Riku berhenti bergerak. Beberapa saat kemudian kakinya sudah berada di tanah. Miyuki mengekori Riku.

“A.. Apa? Memanah?” Soal Riku antara dengar dan tidak.

Tangan Riku mencengkam kuat bahu Miyuki. Menggoncang-goncang tubuh Miyuki.

“Apa yang aku katakan pada dia?! Kenapa dia buat macam tu?! Kenapa kau tak suruh dia berhenti?!!”

“Kalaulah saya boleh pujuk dia... Kulit tangannya dah melecet. Tulang-tulang tangan dah hampir patah kerana asyik menarik tali busur. Tubuhnya dah menggigil dek kesejukan. Badannya semakin lemah namun dia tetap tak mahu berhenti.” Jauh bunyi suara Miyuki tika itu.

Tangan Riku jatuh ke sisi tubuh. Matanya memandang jauh ke hadapan.

Harumi...

Kau patut belajar hidup sendirian sekarang...

Harumi...

Sepatutnya kau tak payah lagi ambil peduli tentang aku, terutamanya selepas apa yang berlaku malam tadi!

“Kalau perkara ni berterusan, saya tak tahu apa...”

Dan Riku sudah kembali terbang sebelum sempat Miyuki menghabiskan ayatnya. Tempat pertama yang ditujunya adalah lapangan memanah. Puas dia meninjau sana-sini namun Harumi tidak kelihatan di mana-mana. Yang ada hanyalah berpuluh-puluh ribu anak panah di hampir setiap inci kawasan tersebut.

“Harumi... Dah berapa banyak tenaga yang kau habiskan untuk semua ni? Adakah kau cuba bunuh diri kau?”

Pandangan Riku tertumpu pada papan sasaran di hujung padang tersebut. Lebih 20 batang anak panah melekat di papan tersebut. Salah satunya memanah di dalam bulatan merah di bahagian tengah papan tersebut. Mata Riku membulat. Dia tersenyum. Hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Namun bila memikirkan kehilangan Harumi, dia kembali panik dan mula terbang semula untuk meneruskan pencariannya.

@~@~@~@~

Hampir seluruh Haven sudah dikitarinya. Tiada sesiapa yang bertemu Harumi. Tiada sesiapa yang tahu di mana dia berada tika itu. Riku mula panik. Fikirannya bercelaru. Dan satu-persatu perkataan yang keluar dari mulutnya malam tadi bergema-gema di gegendang telinga, mula terasa menghambat diri.

“Kalau ada begitu banyak masa, kenapa kau tak habiskan masa-masa kau dengan berlatih, Harumi!”

“Kalau kau ada banyak masa, kalau kau dah tak perlukan waktu tidur kau lagi, berhenti beralasan dan habiskan waktu malam kau dengan berlatih dan belajar seperti angel yang lain!!”

“Kau tahu tak aku dah bosan mencipta alasan pada guru-guru tentang prestasi kau yang lembap tu?Kau fikir aku tak ada perkara lain yang perlu difikirkan? Memang menyusahkan!”

Aku tak sepatutnya berkata begitu... Kalau aku di tempat Harumi, aku juga akan sedih dan kecewa...

“Harumi!!!” Jerit Riku sebaik sahaja tiba di padang rumput, tempat mereka sering menghabiskan masa bersama-sama. Tempat terakhir dalam misi pencariannya.

Setiap sudut dicarinya. Setiap pokok dan semak dibongkarinya. Namun Harumi masih hilang tanpa jejak. Saat dia mendongak cuba menghilangkan lenguh di leher itulah dia terpandang akan sesusuk tubuh yang berada di puncak tebing tinggi dan curam di bukit berhampiran. Sangat jauh namun jelas di matanya.

“Harumi? Apa yang dibuatnya di situ?” Soalnya sendirian.

Bila tubuh kecil itu mendepakan tangan dan mula jatuh dari tebing, tubuhnya membeku seperti ais. Setiap titik darah dalam badan seakan berhenti mengalir. Setiap angggota tubuhnya bagaikan sudah dikunci pergerakannya. Matanya tak berkelip dari memandang puncak tebing. Berharap dia tersilap pandang. Berdoa apa yang sedang difikirkannya tidak benar-benar berlaku.

Riku mengheret kakinya. Mahu ke tebing tersebut untuk mencari Harumi.

“Haru...”

Kaki diseret.

“Harumi...” Sayap ditumbuknya beberapa kali.

Argh...! Kenapa dengan kaki dan sayapku? Kenapa kedua-duanya tak boleh bergerak?

“Harumi!” Gema suaranya sepi tanpa jawapan.

“ARGH...!” Riku menjerit lantang, cuba mengumpul tenaga mahu membebaskan diri dari kekejangan yang dialaminya. Sebaik sahaja dia berjaya berbuat demikian, dia terus melonjak ke udara dan terbang ke tebing tersebut.

“Harumi... Harumi...”

*** sowi sbb lmbt update... sowi 1 000 000 000 000x... huhu

Followers