Thursday, September 29, 2011

Katakan Dengan Indah Part 7



Survival

Gelap.

Tiada apa yang kelihatan. Tiada sesiapa yang kelihatan. Cuma aku. Di bawah lampu sorot yang entah di mana letaknya, cuma ada aku.

Seorang.

Keseorangan.

Aku mencangkung. Kedua-dua belah tanganku memeluk kaki. Dagu aku letakkan di antara kepala lutut.

Aku takut.

“Kami dah keluarkan semua dari perutnya. Mujur banyak yang dah dimuntahkan.”

Bunyi derap langkah memaksa aku untuk berpaling.

“Kita patut berterima kasih pada-Nya. And her life saver.”

Malam yang gelap dan sunyi sudah berakhir dengan ketibaan sang mentari. Suasana gelap mulai cerah.

“Luka di pergelangan agak teruk... Tapi tersasar dari nadi.”

Bunyi derap tersebut semakin kuat. Bayangan kabur mulai jelas di penglihatanku.

Kuda?

Seseorang menunggang kuda berwarna putih. Berpakaian bangsawan seperti dalam cerita-cerita dongeng yang pernah dibacakan padaku. Tali kekang kuda ditarik sebaik sahaja tiba di hadapanku. Kepala aku dongakkan. Cuba melihat wajah si penunggang. Namun hampa. Cahaya matahari yang menyilaukan mata membantutkan hasratku.

“Kau menunggu seseorang?”

Suara itu memukauku. Bagaikan nyanyian indah di telingaku. Aku tenang mendengarnya.

“Aku menunggu seseorang boleh mengatakannya dalam nada yang terindah.”

Entah kenapa aku seperti boleh nampak senyuman terukir di bibirnya.

“Aku dah datang. Bukankah aku orang yang aku tunggu?”

Suaranya membuatkan aku khayal. Siapa dia?

“Adakah aku pernah bertemu dengan kau?”

“Mungkin!”

“Kalau aku pernah jumpa kau, mustahil aku tak ingat.”

Tawa kecil tercetus dari bibirnya.

“Aku nak jumpa kau!”

“Kau hanya perlu cari aku.”

“Macam mana aku nak cari kau? Di mana aku nak cari kau?”

“Buka mata kau. Pandang dan lihat aku dengan mata hati kau.”

Tali kekang digerakkan.

“Jangan pergi!” Suaraku bagaikan tersekat di kerongkong. Dan laranganku sedikitpun tidak terkesan di hatinya.

Kuda putih memecut laju membawa pergi lelaki itu.

“I need to speak with her parents. Where are they?”

Suara kanak-kanak ketawa keriangan menarik perhatianku. Keadaan sekelilingku sudah berubah. Aku berada di taman permainan ketika ini. Gelongsor berbentuk kereta api dicat dengan warna merah, hijau dan kuning. Jongkang-jongket coklat terang. Satu dari tiga buaian yang ada di situ sudah patah besinya. Ada dua bangku diletakkan di bawah sepohon pokok rendang.

Ini taman permainan yang selalu aku kunjungi ketika aku masih kecil.

Seorang kanak-kanak lelaki ketawa ketika menuruni papan gelongsor yang dicat warna kuning air. Wanita awal 30-an menyambut kanak-kanak itu di hujung papan gelongsor. Sebuah ciuman dihadiahkan di pipi kanak-kanak tersebut. Sepasang kembar mengukir senyuman lebar setiap kali buaian mereka ‘terbang’ di udara. Ibu dan ayah mereka tetap setia menghayun buaian untuk mereka.

Sesuatu yang sejuk mengalir di tangan kananku.

“Dah cair...” Suara itu seperti berbisik di telingaku.

Pandanganku jatuh ke bawah. Ada sebatang aiskrim di tanganku. Seperti katanya, aiskrim itu sudah cair di bawah mentari petang. Tiada tanda-tanda aku menjamah aiskrim berwarna pelangi tersebut.

Aku tak suka aiskrim perisa ni!

Siapa yang belikan aku aiskrim ni?

“Mana mama awak?”

Mataku meliar mencari. Mama?

Aku manarik nafas lega sebaik sahaja terpandang mama.

“Itu!” Jari telunjuk aku luruskan.

“Saya datang dengan ayah. Itu ayah saya.”

Kata-kata budak lelaki berwajah comel itu tidak kuhiraukan. Mama mencuri tumpuanku.

Dengan jarak lebih kurang 200 meter dariku, dapat kulihat dengan jelas wajah cerah mama berubah menjadi merah padam. Ada air mata di pipi mama. Nada suara mama tinggi mengatakan sesuatu. Adakah mama sedang marah? Mama marah pada siapa?

Pandanganku beralih. Seorang lelaki berkumis berdiri di hadapan mama, aku pandang tepat-tepat. Ni bukan papa! Aku tak pernah lihat lelaki ini. Seperti mama, riak wajah tegang. Mereka bergaduh tentang sesuatu. Kehendak mereka berbeza. Entah mengapa, aku tak suka melihat lelaki itu bersama mama. Aku mahu mama pergi jauh dari lelaki itu.

Aiskrim di tangan aku campakkan ke tanah.

“Mama!” Suara kecilku yang nyaring membingitkan telingaku sendiri.

Mama mengesat air mata dengan tangannya.

“Mama! Reen nak balik!”

Lelaki itu memegang bahu mama. Seperti sedang memujuk mama.

“MAMA!!”

Air mata jatuh ke pipiku.

“Kenapa harapkan orang yang tak sayang kita?”

Keningku berkerut mendengar ayat yang keluar dari mulut kecil itu.

“Saya tak akan tinggalkan awak.”

Aku tersentak dari lenaku. Kelopak mata kubuka. Berkelip-kelip menahan cahaya yang masuk ke retina mata.

Putih. Biru air.

Badan terasa lemah. Aku di mana?

Kotak memori berputar mengingati kejadian demi kejadian yang berlaku sebelum aku terlantar di katil hospital.

Air. Basah. Busuk. Pengetua.

Bunyi bising dari bilik mama dan papa... dan...

Kepala yang terasa berdenyut-denyut segera aku picit dengan hujung jari.

Ada sesuatu yang bergerak bersama-sama dengan tanganku.

Apa ni?

Tapak tangan aku balikkan. Anak mataku mengekori tiub jernih hingga ke pangkalnya. Beg berisi air tersangkut di sebelah katil. Dan bila mataku jatuh ke bawah, aku bingkas bangun. Duduk. Mahu menanggalkan baju yang tersarung di tubuhku.

Satu sut warna merah jambu.

Aku benci warna merah jambu!

“Reen?”

Mak Azah menerpa ke arahku. Memelukku erat. Esak tangisnya pecah di belakang tubuhku.

“Kenapa jadi macam ni, Reen? Kamu dah tak sayang Mak Azah lagi ke?”

Mak Azah mengucup dahi dan pipiku. Membelai rambutku. Mengusap tubuhku. Hanya pada Mak Azah aku dapat menumpang kasih.

Bunyi kasut tumit tinggi menghentam lantai wad, meleraikan pelukan kami.

Mama.

PANGG!

Aku tergamam. Mak Azah juga terkedu.

“Bodoh!” Rasa perit di pipi aku menyedarkan aku tentang hakikat yang sekian lama tidak mahu aku akui. Aku tak bermakna apa-apa pada mama. Worthless...

“Sekali lagi kamu buat kerja bodoh ni, mama sendiri yang akan bunuh kamu!”

Mama berpaling. Mengatur langkah ke pintu. Mahu meninggalkan aku seperti selalu. Dan seperti selalu juga, aku lebih lama dapat memandang belakang tubuhnya berbanding wajahnya.

Mama. Papa. Mereka tak sayang aku.

Betul ke? Betul ke mereka tak sayang aku? Kalau begitu keadaannya, kenapa aku dilahirkan ke dunia? Bukankah aku dilahirkan atas dasar penyatuan dua hati yang saling mencintai?

Atau aku ni anak...

Anak...

Anak apa?

Suara papa dan mama bergema-gema dalam kepalaku. Namun tiada satu perkataan pun yang dapat aku fahami.

Kepala terasa seperti mahu pecah. Terlalu sakit. Ada sesuatu yang aku lupa. Tapi apa?

Sepasang tangan membelai tubuhku. Rasa sakit beransur pergi.

“Reen... Jangan salah faham. Mama Reen bukan marahkan Reen. Cuma dia terlalu kecewa dengan tindakan Reen. ” Pujuk Mak Azah.

“Dia memang tak sayangkan saya, Mak Azah. Tak perlu la Mak Azah pujuk saya lagi.”

“Reen...”

“Saya letih, Mak Azah...” Tubuh aku rebahkan ke katil.

Terlalu letih sebenarnya... bernafas terasa seperti suatu beban padaku.

Mata aku pejamkan rapat-rapat.

@~@~@~@~

“Mak Azah?”

Mak Azah berhenti menghiris epal.

“Ada apa, Reen?”

“Ada tak sesiapa yang lawat saya selain Mak Azah... err... mama? Seseorang yang tak dikenali ke...”

Entah mengapa aku seperti dapat merasakan aura kehadiran seseorang di wad persendirianku ini setelah seminggu aku di sini.

Wajah Mak Azah kelihatan keliru.

“Setahu Mak Azah tak ada. Tak ada yang Mak Azah tak kenal.”

Aku menghela nafas.

“Kenapa tak ada kawan-kawan saya yang datang melawat? Anna? Donna? Lian? Tok Tok?”

“Mama Reen suruh Mak Azah beritahu kawan-kawan Reen yang Reen ikut Datuk dan Datin bercuti kemudian diserang gastrik dan dimasukkan ke hospital.”

Aku tersenyum sinis. Bercuti? Gastrik? Tak akan mama nak beritahu semua orang yang aku gagal dalam cubaan bunuh diri, kan? Malu la dia! Nampak sangat la kepincangan keluarga kami.

Aku mengengsot ke hujung katil.

“Kamu nak ke mana?” Cemas Mak Azah bertanya.

“Balik! Lagi lama saya kat sini, lagi sakit saya rasa.”

@~@~@~@~

“Betul ke ni, Reen? Muka kamu pucat sangat. Apa kata kamu berehat aje di rumah?” Soal Pak Samad.

Wajah yang terbias di cermin bedak kompak aku tatap sekali lagi. Putih. Pucat.

“Dari saya tak buat apa-apa, fikir yang bukan-bukan kat rumah tu, lebih baik saya ke sekolah Pak Samad.” Jawabku.

Jawapanku membisukan Pak Samad. Segenap tenaga aku kumpulkan untuk melangkah keluar dari kereta. Pak Samad mengangguk sebelum berlalu pergi.

Bangunan sekolah aku pandang lama sebelum langkah kuatur satu persatu. Hari ni hari Isnin. Jam di tangan menunjukkan pukul 7.45 pagi. Mesti semua orang dok terperuk dalam dewan besar sekolah. Perhimpunan.

Papp!!

“Awak datang... Akhirnya...”

Aku berkerut. Seorang budak lelaki muncul di hadapanku. Entah dari mana dia...

“Dari mana saya datang?”

Dia senyum.

“Dari atas.” Tangannya menghala ke atas... pokok?

Macam mana dia boleh tahu apa yang ada dalam kepala aku? Mind reader?

“Mind reader? Erk... Saya tak ada kebolehan macam tu. Saya hanya perlu baca riak wajah awak.”

Aku hanya memandang budak lelaki yang berkemeja pink, bertali leher maroon dan berseluar putih itu. Lelaki pakai baju pink? Pink? Aku benci pink!

Aku pernah jumpa dia ke sebelum ni? Soalan itu berlegar-legar di kepalaku sewaktu kakiku melangkah ke dewan. Budak lelaki itu memintasku.

“Saya rasa cikgu-cikgu kat sekolah ni ‘berminat’ sangat dengan barang-barang yang awak bawa ni.”

Earphone di telingaku ditanggalkan. Handphone ditarik lembut dari tanganku. Entah kenapa aku langsung tak membantah tindakan budak lelaki itu.

“Apa kata saya simpankan untuk awak.”

Simpan... kan?

“Anyway, thanks for coming!”

Mata dikenyitkan. Dan dia terus beredar dari situ.

Jap! Siapa budak lelaki tu?



*** Finally, n3 ni siap! Fuh, walaupun lambat dari jangkaan.
*** ‘Jap’ adalah salah satu perkataan favourite eury dlm perbualan seharian. Haha...

Sunday, September 18, 2011

Katakan Dengan Indah Part 6


Papp!!!

Meja di bilik pengetua aku tepuk sekuat hati.

Sepuluh pasang mata buntang memandangku. Ada yang mengurut dada gara-gara terkejut dengan tindakanku.

“Cikgu bergurau, kan?” Soalku perlahan, cuba mengawal api kemarahan yang mula mendidih di dalam hati.

“Kamu rasa saya bergurau ke?” Suara sengau Cikgu Roslan, pengetua sekolah membuatkan aku hampir ketawa. Namun apabila soalanku dibalas dengan soalan semula menimbulkan rasa bengang di hatiku.

Aku mendengus.

“Cuba cikgu tengok saya!”

Sekali lagi sepuluh pasang mata memandangku. Atas. Bawah. Atas. Bawah. Memandang baju sekolahku yang hampir kering di tubuh. Warna putih baju kurung sudah bertukar bertukar menjadi coklat kehitaman. Itu belum cerita lagi rambut dan muka aku yang dah rasa macam dah pakai masker. Bau memang tak dapat cerita. Dalam kepala aku sibuk fikir berapa banyak kali aku patut mandi untuk hilangkan bau ini, berapa banyak hair treatment yang aku patut lalui untuk dapat rambut aku yang dulu. Mungkin aku patut pergi spa, sauna untuk hilangkan gatal-gatal yang dah mula menyerang kulit tubuhku.

Bau busuk dari pakaianku membuatkan ibu jari dan jari telunjuk tak lekang dari berada di batang hidung masing-masing. Cuba menyekat bau yang tak menyenangkan itu dari disedut masuk ke ruang rongga mereka.

“Kenapa saya pula kena denda? Padahal saya adalah mangsa dalam kes ini! Mereka sengaja curah air busuk itu pada saya!”

“Cuba tuan tengok ni!”

Kamera digital di tangan Cikgu Sufian bertukar tangan.

“Habis tanaman pelajar-pelajar saya rosak dan mati akibat dilanyak. Sia-sia sahaja usaha kami beberapa bulan kebelakangan ini.” Sebagai guru penasihat Kelab Petani Muda, Cikgu Sufian tidak mahu kalah terhadap tuduhan yang aku lemparkan kepada anak-anak didiknya.

“Entah-entah pelajar ini sengaja merosakkan tanaman mereka. Siapa yang tak kenal dengan Qaireen Hafiya, pelajar bermasalah yang selalu menghuru-harakan sekolah kita ini!” Tuduh Cikgu Sufian.

“Cikgu, memang saya jahat tapi sejahat-jahat saya, saya tak kacau orang kalau orang tak kacau saya!” Bidasku.

Cikgu Roslan masih meneliti gambar yang ditunjukkan oleh Cikgu Sufian,

“Hmm... Teruk kerosakan ini. Nampak gaya macam dilanyak lembu!”

“Lembu? Hehe...” Tawa kecil berirama membuatkan tahap kebengangan aku memuncak.

Oi, oi! Siapa yang dikatakan lembu ni? Aku ke? Hampeh!

“Err... Air apa yang dimandikan pada Qaireen?”

“Air yang tersangat la busuk baunya!” Jawabku pantas.

“Err... Tu air baja.” Pelajar berbadan kurus melidi yang berdiri tak jauh dari aku mencelah. Dia menundukkan kepala apabila pandangannya bertembung dengan pandanganku.

“Baja?”

“Err... Sebenarnya, kami angkut baja tahi lembu dengan baldi tu. Lepas tu kami angkat air pun dengan baldi tu. Kiranya, air tu air baja tahi lembu.” Budak bernama Ismail itu sedaya-upaya mengelak dari bertentang mata denganku.

Tahi lembu? Patutlah busuk!

Aku tersentap.

Lembu?

“Nampak gaya macam dilanyak lembu!”

Aku bukan lembu la!

Siapa? Siapa yang berani mandikan aku dengan air baja tu?!

Aku pandang satu-persatu wajah lapan orang pelajar yang berbaris di dinding dalam bilik pengetua. Yang mana satu? Yang mana satu agaknya orang yang berani simbah aku dengan air busuk tu?

“Kamu nampak siapa yang simbah kamu?”

Aku perhatikan lagi wajah-wajah di hadapanku. Mencari wajah nakal, gaya orang yang suka pedajal orang. Tapi semuanya berwajah polos. Muka budak-budak skema aje!

“Tak nampak.”

“Hah! Jadi kamu tak boleh la tuduh mereka.”

“Tapi saya pasti salah seorang daripada mereka yang buat. Tak akan la baldi tu terbang sendiri kat saya, kan?”

Tumpuan Cikgu Roslan beralih pada lapan orang pelajar Kelab Petani Muda.

“Kamu ke yang simbah Qaireen?” Soalan itu diajukan pada setiap seorang dan semuanya menjawab tidak.

“Budak-budak saya hanya ada lapan orang aje, tuan. Saya kenal setiap seorang dari mereka. Saya percaya cakap mereka.”

Cikgu Roslan menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya perlahan-lahan.

“Kamu nampak Qaireen lanyak tanaman kamu?” Soal Cikgu Roslan lagi.

“Nampak, cikgu!” Serentak mereka menjawab.

“Kalau begitu... Qaireen Hafiya, hukuman community service tu kekal ke atas kamu!”

“What?!”

“Jangan risau, saya akan siasat siapa yang mandikan kamu.”

“Tapi...”

“Muktamad!”

Bagai terdengar-dengar bunyi ketukan tukul ke meja hakim di mahkamah.

Matilah aku...

@~@~@~@~

Buka sahaja pintu bilik pengetua, muka Lian, Tok Tok, Donna dan Anna tersembul di hadapanku. Hampir sahaja tubuh mereka tersembam di kakiku. Ni mesti kes curi-curi dengar tadi ni...

Mereka melangkah setapak ke belakang. Telunjuk Donna dan Lian mencucuk batang hidung. Tok Tok pantas menyiku mereka. Tangan Donna dan Lian jatuh ke sisi tubuh semula.

“Macam mana?”

“Pengetua cakap apa?”

“Aku dengar Cikgu Sufian tuduh kau yang bukan-bukan, kan?”

“Siapa yang simbah kau dengan air baja tu?”

“Kau kena denda juga ke?”

Soalan demi soalan diajukan padaku. Menagih jawapan dariku. Wajah tertunggu-tunggu kawan-kawanku aku pandang. Mengingatkan peristiwa yang berlaku beberapa minit tadi membuatkan nafasku terasa tersekat-sekat.

Gila! Memang gila!

“Tak ada sesiapa yang mengaku mandikan aku dengan air tahi lembu.”

“Lembu?”

“Syhh...!” Riak marah Anna buat Tok Tok terdiam.

“Sambung cerita. Kena denda?”

Aku mendengus.

“Aku kena 20 jam community service.”

Community service macam mana tu?” Soal Anna.

“Biar aku teka. Kau kena tanam sayur mereka balik?” Lian cuba meneka.

Aku angguk.

“Dan buat apa sahaja kerja-kerja kebajikan yang diarahkan oleh pengetua?” Lambat-lambat Donna menyusun ayatnya.

“Lebih kurang la!” Jawabku dengan gigi terketap.

“Hukuman yang menakutkan...” Komen Tok Tok.

“Hanya kerana rosakkan tanaman mereka, kau kena hukuman tu?”

Aku angguk.

“Teruk sangat ke?”

“Teruk macam kena lanyak lembu.” Laju aku menjawab.

“Tapi aku bukan lembu. Kaki aku kaki manusia. Bukan kaki lembu. Sebab aku memang bukan lembu!” Sambungku dalam satu nafas.

“Err... Tak ada sesiapa kata kau lembu, Reen!”

Suara gelak kecil mengejek-ejekku di bilik pengetua tadi terngiang-ngiang di telinga.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Menyabarkan diri yang sudah mendidih ke tahap takat didih besi.

“Mana korang? Kenapa korang biarkan aku jalan sorang-sorang sampai ke bangunan belakang? Tak fasal-fasal aku pergi lanyak tanaman diorang!” Marahku.

“Wei, kita orang elok aje tengah bersidang kat kantin. Rehat, kan? Biasalah, makan sambil top-up gosip-gosip hangat ni. Sedar-sedar aje kau dah hilang. Aku ingatkan kau naik kelas. Kau kan tak minat bab gosip-gosip ni.” Lian membela diri.

“Yang peliknya, macam mana kau boleh berjalan tanpa tak sedar? Macam orang mamai pula gayanya.”

“Aku tengah fikir sesuatu.”

“Sesuatu seperti?”

“Sesuatu seperti yang kau tak perlu tahu.”

Here she goes again... and again.” Sungut Donna.

Rasa sakit masih berbuku dalam hati.

“Aku tak peduli macam mana atau berapa lama masa yang perlu kau orang ambil, yang penting aku nak tahu siapa yang mandikan aku tu! Selagi tak tahu, selagi tu la aku tak puas hati!”

“Seminggu. Nope! Tiga hari. Bagi kami tiga hari untuk cari budak tu!”

“Dah la! Aku nak balik. Mandi!”

Tak sabar rasanya nak berendam dalam bath tub.

@~@~@~@~

“Mengejutkan.”

Itu perkataan pertama yang aku ucapkan sebaik sahaja keluar dari perut kereta. Kereta mama dan papa menjalar di garaj bukan satu pemandangan yang biasa di mataku.

“Bila mereka balik?”

“Pagi tadi. Lepas Reen ke sekolah.” Jawab Pak Samad. Pak Samad mula membersihkan kesan kotor di tempat duduk belakang kereta, tempat yang aku duduki sebentar tadi. Aku segera teringat yang aku juga perlu membersihkan diriku.

Sebaik sahaja pintu masuk aku buka, jeritan mama dan papa menampar cuping telingaku.

“Ini bukan sesuatu yang mengejutkan.” Kataku pada diri sendiri.

Buah butir yang diperkatakan oleh mereka semakin jelas di pendengaranku ketika anak tangga aku panjat untuk ke bilikku. Kalaulah ada jalan lain ke bilikku...

“Perempuan tu perempuan simpanan awak, kan?! Sedarlah sikit. Awak tu dah ada anak isteri!” Jeritan mama dah macam orang kena histeria.

“Apa yang awak sibukkan? Saya lelaki! Saya boleh kahwin lebih dari seorang! Kalau saya ada skandal pun, apa salahnya?!”

“Salah! Saya ni siapa? Tunggul?”

What about you? Anak ikan awak pun nampaknya dah bertukar. Kenapa? Budak lelaki hari tu tak cukup hebat ke?”

Daun pintu dan dinding konkrit yang memisahkan bilik utama dan tempat di mana aku berdiri gagal menghalang suara mereka dari sampai ke telingaku.

“Bercakap dengan awak memang menyakitkan hati!”

“Sakit hati? Saya lagi sakit hati! Setiap kali saya balik rumah ni, tengok budak tu, saya jadi sakit hati! Kalau tak kerana mak ayah, masyarakat sekeliling...”

Bosan. Sungguh membosankan. Diorang ni tak letih ke bergaduh. Aku yang mendengarnya pun letih. Dan sakit hati.

“Awak nak ceraikan? Itu yang awak nak cakap? Jadi kenapa awak tak ceraikan saya lagi?” Suara mama naik satu tangga lagi. Kali ini suaranya sedikit serak dan tersekat-sekat. Mungkin mama menangis.

Enggan mendengar lagi bicara mereka, aku bergerak menuju ke bilik. Berendam dalam tub lagi bagus dari dengar mereka berperang.

“Qaireen Hafiya!”

Langkahku terhenti.

Kepalaku segera berpaling ke arah bilik utama. Daun pintu berwarna putih masih tertutup rapat.

Tapi aku dapat mendengar dengan jelas suara papa memanggil namaku tadi.

“Qaireen Hafiya... Budak tu jadi bukti kecurangan awak!”

Langkah kakiku terhenti sekali lagi.

Apa maksud papa?

Pertengkaran mama dan papa mula menarik minatku. Tanpa dipaksa, pendengaranku menjadi semakin peka tika itu.

“Awak masih meragui dia?”

“Ya! Give me one good reason that I shouldn’t have!

For God sake, she’s your....

“Is she?”

Hatiku berdetak kencang.

Dan ayat demi ayat yang berlumba-lumba masuk ke gegendang telingaku kini terasa menyentap-nyentap jantungku. Kaki yang tadinya kuat menampung tubuh berubah menjadi lembik. Tanganku segera mencari dinding untuk menahan diri dari terjelepuk di situ.

BOHONG!

Itu semua bohong!

Itu semua bohong, kan?!

Aku berlari ke bilik. Pintu bilik aku hempas sekuat hati. Gigi menggelatuk, berlaga sesama sendiri. Sesaat kemudian aku tersedar yang aku sedang menggigil di kala ini.

“Is she?”

Kenapa papa bertanyakan soalan itu? Air mata sudah mengalir deras di pipi.

“Is she?”

Dan ayat yang dikeluarkan selepas itu... betul ke?

Tidak!

Suara papa berulang-tayang dalam mindaku.

Aku tak dengar!

Sungguh aku tak dengar!

“Is she?”

“DIAM!!”

Air mata aku kesat.

Bodoh! Kenapa aku tak boleh berhenti menangis ni?!!!

Aku tak dengar apa-apa!

Aku tak dengar bila mama cakap papa ada perempuan simpanan. Aku tak dengar tuduhan papa yang mengatakan mama ada skandal dengan lelaki muda. Aku tak dengar bila mama menuntut cerai dari papa. Aku tak dengar apa yang papa tuturkan selepas itu.

Aku tak dengar semua itu!

Sumpah, aku tak dengar!

Suara papa bergema lagi di mindaku. Kali ini seperti mengejek-ejekku.

“Diam! Aku tak nak dengar semua tu!”

Aku tak pasti pada siapa harus aku jerit ayat itu. Mungkin pada papa dan mama yang tak pernah jemu bertengkar setiap kali bertemu. Mungkin pada sikap ketidakprihatinan mereka terhadap perasaanku bila mana mereka memilih untuk bergaduh dengan lantang di bilik mereka tanpa menghiraukan sesiapapun yang mendengarnya.

Mungkin aku patut marah kotak memoriku yang tak jemu-jemu mengulang setiap baris kata yang diucapkan oleh papa dan mama.

“Is she mine?!”

Tolong...

Tolong jangan ulang lagi ayat tu!

Ayat itu bergema lagi di telinga sehinggakan kepalaku terasa sakit mendengarnya. Berkali-kali diulang lantas mencipta satu irama lagu yang mempersendaku.

“Jangan! Berhenti! Tolong berhenti!”

Tanpa belas, suara itu terus mengejekku.

Butang ‘on’ radio aku tekan. ‘Volume’ aku tetapkan ke tahap yang paling tinggi.

Please...
Please... Forgive me...

Air mata aku kesat dengan belakang tapak tangan. Laci meja solek aku tarik. Botol berisi pil berwarna putih aku bawa keluar.

But I won’t be home again...

Isi botol aku tonggang ke tapak tangan. Dan aku sumbat ke dalam mulut.

Maybe someday you’ll look up
And barely conscious
You’ll say to no one
Isn’t something missing?

Enjin kereta menderam dari garaj kereta tak aku pedulikan.

Hujung kemeja papa aku tarik. Tangan kiriku memeluk erat teddy bear berwarna putih.

“Papa, main dengan Reen...”

Tanganku ditepis kasar. Tenaga dewasa papa membuatkan tubuh kecilku sedikit terlayang lalu jatuh ke lantai. Tubuh terasa sakit. Dan aku mula menangis.

“Aku sibuk! Pergi main dengan orang lain.”

Umur aku lima tahun masa itu. Aku patut dah sedar layanan papa mula berbeza tika itu.

Aku mula khayal. Tangan aku terpegang sesuatu yang tajam dari dalam laci.

“Papa, cikgu suruh Reen buat persembahan piano masa majlis penyampaian hadiah nanti. Papa datang,kan?”

Papa hanya menjeling sebelum meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga.

You won’t cry for my absence
I know

Aku selalu dengar bunyi bising dari bilik mama dan papa. Papa selalu pulang lewat malam. Jalannya tak teratur. Bicaranya merapu entah apa-apa. Ada sekali aku nampak muka dan badan mama lebam-lebam. Dan mama, sedikit demi sedikit mulai berubah menjadi dingin layanannya terhadapku.

You forgot me long ago

Aku mula ditinggalkan. Keseorangan di rumah besar ini.

Am I that unimportant?

Pandanganku semakin kabur dek air mata.

Kepala terasa semakin berat. Bunyi yang ada di sekelilingku semakin menjauh.

Am I so insignificant?

Kalau ini ertinya hidup bagiku, Aku tak nak hidup lagi dalam dunia yang penuh kepura-puraan dan kesunyian ini.

Putera berkuda seperti dalam cerita-cerita dongeng tak akan muncul untuk selamatkan aku dari kesedihan seperti yang aku impikan di usia kecilku.

Isn’t someone missing me?

Slash...!

Cecair merah terasa hangat mengalir ke hujung jari sebelum jatuh mengotori permaidani.

Even though I’m the sacrifice
You won’t try for me, not now
Though I’d die to know you love me
I’m all alone

Tamatkan penderitaan aku ini...

Aku jatuh ke permukaan yang tidak rata. Bukan di lantai. Aku pasti akan hal itu.

Isn’t someone missing me?

“Hafiya!”

Pisau di tangan terasa dirampas. Sesuatu menekan kuat pergelangan tanganku.

“Kau kata kau dah lama tunggu aku! Sekarang aku dah datang! Don’t you want to see me? Open your eyes!

Hafiya... tak ada sesiapa panggil aku Hafiya.

Aku cuba untuk melawan kantuk yang memberatkan kelopak mata. Namun semuanya sia-sia.

Don’t you dare do that!” Jeritan itu tenggelam timbul di tepi telingaku. Rasa perit di pipi semakin tak terasa.

“Hafiya!” Suara itu menemani duniaku yang semakin gelap.

Dunia mula terasa sunyi. Tenang. Seperti yang aku harapkan.

Isn’t someone missing me?


I miss my blog...


Assalammualaikum. Selamat sejahtera. Salam 1 Malaysia. Kiranya masih belum terlewat untuk eury ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.


Fuhh.... lama giler rasanya tak menconteng kat sini. Rindu rasanya. Rindu blog ni. rindu menconteng. Rindu bercerita. Rindu menunggu komen pembaca. Rindu membaca komen para pembaca yang pelbagai reaksi dan warnanya. Eury rindu kipas-susah-mati yang sentiasa menyuntik semangat untuk terus menulis.

Pertama-tamanya, trimas a lot pada kipas-susah-mati, blog-walker, pengunjung2 yang setia mengunjungi blog eury walaupun dah lama tak update. Pada shouter2 kat shoutbox pun terima kasih eury ucapkan kerana rajin melontarkan rasa hati anda. Tak lupa pada kipas-susah-mati yang rajin bertanya dan add eury di ym dan facebook ( eury tak pernah ada twitter, myspace, friendster @ lain2. kalo jumpa yg pakai id eury tu, confirm klon eury tu).

Rutin eury kebelakangan ini agak memenatkan. Atau mungkin eury yang belum terbiasa dengan kebiasaan baru ni. rutin baru ni sedikit sebanyak menyekat eury dari menulis. Kalau nak post n3 2-3 hari sekali macam masa tulis ad+iz dulu memang tak mampu la. Waktu menulis ad+iz dulu, jam masa ditentukan oleh eury sendiri. Orang makan eury menulis. Orang bersosial, eury tidur. Orang tidur, eury menulis. Tapi sekarang dah kena ikut jam masa orang di sekeliling.

Gara-gara tak update blog, x balas komen2, ada yang kata eury sombong. Erk... terluka hatiku... huhu... eury tak sombong. Pemalu dan pendiam adalah. Kalau orang kata eury sombong sebab tak balas mesej, komen, x update blog, tak adil la macam tu. eury memang sedaya upaya balas komen, mesej orang bila berkesempatan. Kadang2 ada yang tegur masa update status kat facebook, ajak chat, eury x de masalah nak chat dengan mereka. Kalo kena gayanya, masanya, eury akan balas. Kalo xde tu mungkin eury terlepas pandang. Kalo update n3 tu susah la sket sebab kena mengarang dalam masa yang singkat. Baru nak amik mood dah diburu dengan tuntutan hidup. Oleh itu eury susun 10 jari untuk mohon maaf. Tanpa kipas-susah-mati siapalah eury athena...

Kalo ada yang kata eury sombong sebab tak nak bagi details fsl diri eury, tu x betul juga. Eury akui ada yang tanya ttg nama, umur, lokasi kat mana, alamat, no hp tapi eury minta maaf byk2 sebab tak boleh bagi. Details yang eury boleh bagi cuma nama pena, url facebook, url blog, id yahoo. Bukan menyombong diri, berlagak high profile ke apa, cuma eury nak minta pengertian dari semua kipas-susah-mati agar details yang itu jadi simpanan eury sendiri. eury minta maaf. Eury memang jenis low-profile. Mungkin tak sampai seru lagi untuk dikenali ramai. insyaAllah, mungkin suatu hari nanti.

Tentang update kat blog, insyaAllah, dgn izin Allah, eury kat cuba update sekerap mungkin cite Katakan dengan Indah... harap2 Katakan Dengan Indah boleh jadi macam AD+IZ... The Cold World pun eury akan mula post n3 pertama dlm masa terdekat ni. cite ni lebih kurang macam cite Eucralipse. Harap semua cite2 eury menepati citarasa semua yang membaca.

Kalo ada yang terbabas, terlama lak tak update tu, eury dahului dengan perkataan maaf ya...

Lastly, trimas pada semua yang menyokong eury....

LOL ~ lots of love, eury athena.... :)

Followers