Tuesday, November 13, 2012

The Cold World 15


Without You

Tiada sesiapa yang mengetahui asal kewujudan Dewa-Dewi.

Dewa-dewi berkahwin sesama mereka untuk meneruskan kesinambungan keturunan mereka.

Angel dijadikan dari kelopak bunga Ran, bunga yang hanya wujud di Haven.

Angel dihidupkan dengan kasih sayang Dewa-Dewi dan mengambil semangat cinta seluruh manusia di Bumi.

Fairy dijadikan daripada titisan embun yang pertama di hujung rumput pada setiap pagi.

Fairy mendapat tenaga dari sinaran matahari.


“Riku…” Panggil Dewa Chiyo ketika Riku bersiap di biliknya. Matanya tertancap pada pintu kayu. Telinganya cuba menangkap bunyi pergerakan di dalam Istana Kristal. Sebentar kemudian dia menghembuskan nafas lega. Dewa Dai sudah berada jauh dari kawasan istana. Mungkin dia sudah dalam perjalanan ke Dewan Bicara ketika ini. Mereka boleh berbual dengan tenang.

“Ya.”

Menatap Riku kembali, Dewa Chiyo jatuh pada baju yang berada di lantai istana. Kemudian pada baju yang sedang dikenakan pada tubuh Riku. Dahinya berkerut. Apa yang sedang dilihatnya kini bukan suatu kebiasaan untuk dilakukan.

“Kamu…”

Riku menunggu Dewa Chiyo meneruskan katanya. Tapi Dewa Chiyo memilih untuk tidak bertanya.

“Kamu dah masuk ke dalam bilik tu, kan?” Dengan pantas Dewa Chiyo mengalih tajuk bicara.

Riku merenung Dewa Chiyo buat seketika. Mengangguk bila mengerti maksud Dewa Chiyo.

“Beberapa tahun sebelum kamu lahir, Tirai Masa meramalkan kedatangan Zaman Kegelapan. Hanya boleh diselamatkan oleh Si Sayap Hitam, Kurogane. Hanya itu sahaja yang diberikan. Ramalan sebegitu sudah tentu la menimbulkan kekecohan di Haven. Bila kamu lahir, kamu menjadi sumber ketenangan pada para dewa. Walaupun tidak tahu bagaimana Zaman Kegelapan akan berlaku, dari mana puncanya, tapi sekurang-kurangnya kami tahu yang kamu bakal menyelamatkan kami dan Haven. Seluruh tumpuan pada kamu.”

“…”

“Kamu banyak menghabiskan masa kamu di bilik tu sewaktu kamu kecil dulu. Belajar bagaimana kuasa kamu berfungsi. Membuat banding beza antara kuasa kamu dan Tirai Masa. Mencari satu keyakinan dalam kekaburan. Dewa Arashi selalu menemani kamu.”

Riku berhenti membetulkan pakaiannya. Tangan di sisi tubuh digenggam.

“Tapi akhirnya Dewa Arashi mati di tangan saya! Adakah itu caranya saya untuk menyelamatkan Haven, wahai Dewa Chiyo? Dengan membunuh ayahanda yang menyanjung dan menyayangi saya sepenuh hati?!” Sinis Riku melontarkan rasa hatinya.

Dewa Chiyo berjalan menghampiri Riku. Bahu Riku ditepuk beberapa kali.

“Kamu terlalu muda ketika itu, Riku. Kamu masih belum mahir mentafsirkan ramalan yang kamu terima.”

“Benar ke? Saya sepatutnya boleh mengelak perkara itu dari berlaku. Tapi saya terlalu bodoh. Saya memilih untuk ‘menyelesaikan’ masalah dengan menghapuskan puncanya. Sepatutnya saya kena ‘mengubati’ puncanya. Bukankah itu yang sepatutnya seseorang yang boleh melihat masa depan lakukan?”

“Riku, kuasa yang kamu miliki terlalu ‘kuat’ dalam masa yang sama terlalu sensitif. Setiap satu yang berada di sekeliling kita berubah. Tiada apa yang statik. Sedikit perubahan membawa impak yang besar terhadap ramalan yang ‘datang’ kepada kamu.”

“Sudah tiba masanya untuk kamu menerima takdir kamu, Kurogane!”

“Tapi takdir ini terlalu berat, Dewa Chiyo. Saya kehilangan kasih sayang ayahanda malah bonda turut membenci saya! Hari tu… Pada hari tu, saya bukan sahaja membunuh ayahanda saya sahaja. Pada hari malang itu, saya turut membunuh kehidupan bonda saya.” Rintihan Riku meruntun hati Dewa Chiyo.

“Tak boleh ke saya menyelamatkan Haven tanpa membunuh ayahanda? Bertahun-tahun saya mengambil masa untuk memahami tindakan ayahanda. Malah selama itu juga saya memikirkan sama ada tindakan saya itu betul atau tidak. Ternyata saya masih belum menemui alasan untuk berlapang dada dengan apa yang saya lakukan. Kalau la masa boleh diundur…”

Dewa Chiyo duduk di hadapan Riku. Menatap wajah Riku yang muram.

“Riku, apa sebenarnya yang kamu nampak ketika itu? Kamu tak pernah ‘tunjukkan’ pada aku apa yang kamu nampak ketika itu. Ketika dibicarakan pun, kamu enggan cakap apa-apa, apatah lagi membela diri. Kamu hanya berdiam diri dan menerima sahaja dewa-dewi yang lain menentukan takdir hidup kamu.”

Riku menggelengkan kepalanya.

“Kamu boleh percaya aku, Riku. Kamu tahu tentang perkara itu, kan?”

Riku merenung kosong ke hadapan. Dewa Chiyo bersandar di kerusinya sambil memejamkan matanya. Bersedia untuk ‘melihat’ ramalan dari Riku.

“Ianya sangat mengelirukan. Saya lihat ayahanda…”

Dewa Chiyo membuka matanya. Sedikit kecewa kerana Riku memilih untuk bercerita daripada ‘menunjukkan’ apa yang ‘dilihatnya’. Dia berharap benar untuk melihat, mendengar dan merasai apa yang dialami oleh Riku itu. Apapun dia bersyukur kerana akhirnya Riku mahu bercerita sesuatu yang bertahun-tahun disembunyikannya.

“…membunuh…”

Dewa Chiyo ternganga.

“Tak mungkin! Dewa Arashi sangat penyayang. Sentiasa mendahulukan yang lain berbanding dirinya. Sifat yang turut kamu warisi.”

“Ya. Saya tahu ianya mustahil untuk dipercayai. Tapi itu yang saya ‘lihat’.”

“Siapa yang dibunuhnya, Riku?”

Riku terdiam seketika. Mengenang kembali hari kejadian yang telah bertahun ditinggalkannya. Sesuatu yang sedaya-upaya dilupakannya.

“Pagi tu saya baru aje selesai bermain catur dengan ayahanda sambil membincangkan hal ehwal di Haven.  Dalam perjalanan balik ke bilik, saya mendapat bayangan ramalan itu.”

Riku berjeda. Dewa Chiyo tetap sabar menanti.

“Tangan ayahanda berlumuran darah. Kemudian saya nampak tubuh seorang gadis berlumuran darah di lantai. Gadis kecil berusia lebih kurang 8 tahun yang tak pernah saya temui apatah kenal pada tika itu. Tetapi bayangannya yang muncul sekilas pandang itu menimbulkan rasa yang tidak saya fahami. ”

 “Kemudian?”

“Saya nampak bayangan ayahanda menikam bertalu-talu...” Suara Riku kedengaran jauh dan perlahan.

“Siapa? Siapa yang dibunuhnya?”

Riku mengelengkan kepala.

“Hanya itu yang saya nampak.”

“Oohh…” Dewa Chiyo kembali tersandar di kerusi. Cuba mencari rasionaliti tindakan Dewa Arashi yang tidak pernah sempat dilakukannya. Kenapa? Bukankah Dewa Arashi tahu malah faham benar larangan membunuh di Haven? Bukankah dia yang menguatkuasakan undang-undang tersebut? Kenapa?

“Saya rasa saya patut menyelamatkan gadis itu. Bukan! Saya rasa bertanggungjwab untuk menyelamatkan nyawa gadis itu. Untuk mengelakkan pembunuhan berdarah yang pertama di Haven, saya mengambil keputusan untuk membunuh ayahanda saya.”

Riku menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya perlahan-lahan. Rasa sayu menyelubungi hati.

“Saya masih ingat lagi betapa hangatnya darah merah yang mengalir dari tubuh ayahanda. Katanya dia percaya pada saya. Walaupun dia tak faham kenapa saya mengambil tindakan itu, tapi dia tahu saya melakukannya atas sebab-musabab yang munasabah. Ayahanda tersenyum dan mangkat di atas riba saya.”

Dewa Chiyo mengangguk. Dia tahu Dewa Arashi sudah memaafkan puteranya. Walaupun seluruh Haven menunding jari pada Riku, baginya Riku melakukan apa yang patut dilakukannya.

“Siapa gadis itu, Riku?” Riku memandang tepat ke mata Dewa Chiyo. Dia jadi berminat mengetahui gerangan gadis tersebut . Gadis yang membuatkan Riku terasa perlu untuk dilindungi. Mungkinkah…

“Harumi.”

Dewa Chiyo ternganga sekali lagi. Bibirnya bergerak namun tiada suara kedengaran.

“Ha… Harumi?”

Mungkinkah… Kepala digelengkan. Tak mungkin…! Tak kan Dewa Arashi mahu membunuh Harumi? Tapi kenapa?

 “Kenapa? Kenapa perlu membunuh Harumi? Ada sebab ke Harumi patut dibunuh?”

“Saya tak tahu.”

Dewa Chiyo mendengus. Memang sukar menjadi Riku. Dibebankan dengan tanggungjawab yang berat, kuasa yang mengelirukan, malah dia terpaksa mengorbankan orang-orang yang disayanginya. Dalam diam, Dewa Chiyo menyalahkan dirinya sendiri. bukankah dia mempunyai kuasa untuk membaca ramalan Riku? Maka dialah orang yang paling rapat, orang yang boleh menasihati Riku sebelum Riku mengambil apa-apa tindakan. Argh! Kalau la dia dapat menghapuskan halangan ciptaan Riku terhadap ramalan yang diterimanya…

“Satu hari saya ternampak Harumi sewaktu menjalani ‘hukuman’ saya. Harumi berbeza dengan angel-angel yang lain. Dia tak boleh terbang. Dia tak pandai memanah. Dia lemah. Dia tak pintar. Dia degil. Dia manja. Dia kuat merajuk. Dia makan. Dia tidur. Membesar di Istana Kristal yang dipenuhi dengan kemewahan dan dikelilingi kesempurnaan, dia buat saya berfikir ‘angel jenis apa dia ni?’ Tiada apa yang bagus atau istimewa tentang Harumi. Dia bagi saya banyak sebab untuk membencinya.”

Dewa Chiyo terus memandang wajah Riku. Sudah banyak beban yang ditanggung oleh lelaki itu meskipun usianya tidak sampai suku dari usianya.

“Saya bingung. Kenapa saya perlu melindungi Harumi, malah membunuh ayahanda saya semata-mata untuk memastikan angel yang lembap, bodoh, cuai, 'cacat' seperti Harumi terus hidup? Berbaloikah apa yang saya lakukan? Soalan itu terus-menerus mengasak fikiran saya.”

“Dan apa kata hati kamu?”

“Hati saya... Langsung tak punya alasan untuk membencinya. Untuk itu sy membenci diri saya sendiri buat seketika.”

“Dan akhirnya?”

“Saya hanya boleh memandang Harumi sahaja.”

Dan melupakan sekalian yang ada di Haven, sambung Dewa Chiyo dalam hati.

“Mungkin yang lain menganggap Harumi menyusahkan. Tak istimewa. Tapi pada saya dia adalah segalanya.Saya tiada pilihan selain menyayangi dan melindunginya. Walaupun saya sepatutnya membenci, tapi hati saya memilih untuk menyayanginya. Walaupun saya sepatutnya mendendaminya, tetapi segenap inci tubuh saya memilih untuk melindungi.”

Dewa Chiyo mengangguk. Bukan hanya kerana dia sudah mendengar apa yang mahu didengarinya, tetapi dia juga begitu. Kerana Harumi adalah Harumi maka dia tidak punya pilihan selain menyayangi dan melindunginya. Rasanya, jika nyawanya jadi taruhan pun dia sanggup asalkan Harumi selamat. Kerana Harumi punya keistimewaannya tersendiri.

“Kamu cintakan dia.” Kesimpulan yang dibuat oleh Dewa Chiyo menghantar rasa perit di hati Riku. Kelat senyumannya.

“Dewa Dai merasakan kasih, sayang, cinta akan buat para dewa dan angel rasa ‘terikat’, hilang pertimbangan terutama apabila melibatkan orang yang disayangi. Dia sedaya-upaya, malah berjaya menyakinkan Dewa-Dewi bahawa cinta, kasih, dan sayang tidak perlu dimiliki oleh Dewa-Dewi, angel dan fairy.”

“Hmm, macam mana dia boleh berfikiran begitu, masih menjadi tanda-tanya padaku.” Rungut Dewa Chiyo. Seketika kemudian tumpuannya kembali pada Riku yang sedang membuang pandang ke luar tingkap. Riak wajah Riku kosong tanpa perasaan. Yang ada di hadapannya itu hanyalah jasad Riku. Tanpa jiwa.

“Kenapa kamu ‘hantar’ dia ke Bumi?”

Kalau kamu tak boleh ‘hidup’ tanpanya, kenapa kamu hantar dia ke Bumi?

Senyuman Riku lenyap dari bibir.

“Dewa Chiyo tahukan Dewa Dai menugaskan saya untuk menghapuskan angel yang tidak berpotensi.”

“Ya. Itu salah satu caranya untuk menyeksa kamu. ‘Kesakitan’ yang kamu rasakan adalah kepuasan baginya. Selain itu, ia juga salah satu rancangan yang difikirkan yang terbaik untuk masa depan Haven.”

“Angel pertama yang harus saya hantar ke Cold World adalah Harumi.”

Bibir Dewa Chiyo bergerak-grak namun tiada perkataan yang mampu diucapkannya. Fikirannya bercelaru dengan pelbagai andaian dan dalam masa yang sama memikirkan cara untuk mengelak sekiranya perkara tersebut terjadi. Tak kan lah… Tidak! Tiada sesiapa yang tahu!

“Saya perlu selamatkan Harumi. Kerana kemusnahan bermula di Haven, maka saya hantar dia ke Bumi supaya dia boleh hidup lebih lama lagi.”

“Semuanya tentang dia sekarang, bukan?”

Riku diam. Mengakui dalam kebisuannya.

“Tapi mampukah kamu terus hidup tanpa sebahagian dari diri kamu?”

Riku mendengus.

“Itu masalah yang perlu saya atasi sendiri.”

Dewa Chiyo mengerling pada pakaian yang bertaburan di lantai.

“Aku aku akan bertanya apa-apa. Kerana aku tahu kamu lebih tahu apa yang kamu lakukan.”

“Terima kasih atas pengertian itu, Dewa Chiyo.”

Dewa Chiyo hanya tersenyum. Berharap apa pun jua tindakan yang diambil oleh Riku akan memberikan impak yang baik kepada Haven, Dewa-Dewi, angel, fairy, Bumi dan seluruh manusia.

“Kita patut bertolak Dewan Sidang sekarang. Nampaknya Dewa-Dewi yang ‘sudah lama tidur’ tu sudah mula mengamuk. Mungkin marah apabila dikejutkan dari ‘lena’ mereka yang panjang.”

Mengakui kebenaran kata-kata Dewa Chiyo, Riku segera memperkemaskan pakaian khas yang dikenakannya.

“Dewa Chiyo!”

“Ya?” Dewa Chiyo berhenti melangkah. Serentak itu ramalan yang diberikan oleh Riku muncul di hadapannya. Jika tadi dia sekadar bercerita dengan perkataan, kali ini Riku memilih untuk ‘menunjukkan’ apa yang dilihat dalam ramalannya.

Dia mengamati gambaran yang diberikan. Diamatinya imej tersebut. Dari tingkap Istana Kristal, kelihatan Dewi Iva meninjau secara sembunyi-sembunyi ke luar. Tiada sesiapa yang kelihatan di laluan keluar masuk menuju ke pintu gerbang di bawah Istana Kristal. Yang ada hanyalah pohon-pohon hijau yang ditanam dan dibentuk untuk menceriakan suasana landskap istana. Langit senja Haven berwarna merah keorenan seperti berduka untuk menggambarkan perasaan Dewi Iva ketika itu.

Ketika Dewa Chiyo mahu mengabaikan apa yang dilihatnya, ketika dia mahu bertanya kepada Riku apa kepentingan ramalan yang diterimanya itulah Dewa Chiyo ‘ternampak’ dua orang fairy mengiringi Harumi berjalan menyusuri laluan pejalan kaki menuju ke pintu gerbang. Kejap! Adakah ini… kejadian sebelum Harumi dibawa ke Maze of Mind? Sebelum Harumi turun ke Bumi? Adakah Riku melihat kejadian ini? Atau mungkin Dewi Iva mengubah fikiran untuk tidak berbuat demikian?

Wajah ingin tahu Riku dipandang oleh Dewa Chiyo. Tentu sudah berhari-hari ramalan ini bermain dalam fikiran Riku. Mencari kewajaran Dewa Iva yang disangka membenci Harumi

Dewa Iva memerhatikan kelibat Harumi dan fairy-fairy tersebut sehingga mereka hilang ditelan kepulan awan. Ramalan tersebut berhenti di situ.

Berkelip-kelip mata Dewa Chiyo. Oleh kerana perkara itu di luar pengetahuannya, maka dia agak terkejut apabila Riku mengajukan kemusykilannya.

“Dewa Chiyo, kenapa agaknya ya Dewi Iva pandang Harumi dengan pandangan sedih dan sayu begitu? Dan kesal. Ya, saya pasti rasa kesal jelas kelihatan pada wajahnya.”

Dewa Chiyo terkedu. Berdetak-detak hatinya ketika itu.

“Aku tak tahu.”

“Saya pasti kisah ini dah lama berlaku. Mungkin sebelum saya lahir. Atau mungkin sebelum Harumi wujud?”

“Entah la. Haha… Kamu patut tanya Dewi Iva kerana dia yang ada dalam ramalan kamu. Bukan aku.”

Kecewa terukir pada wajah Riku.

“Saya fikir mungkin Dewa Chiyo tahu memandangkan Dewa Chiyo baik dengan Dewa Iva dan dah lama tinggal di istana bersama.”

Dewa Chiyo melarik senyuman.

“Maaf. Aku tak dapat membantu.”

Dewa Chiyo melebarkan sayapnya. Bersedia untuk terbang dari balkoni di bilik Riku.

“Harumi tak punya ibu bapa, kan Dewa Chiyo? Dia dilahirkan oleh kelopak bunga Ran, kan? Dia wujud hasil kuasa cinta dan kasih sayang oleh para Dewa-Dewi, kan?”

Hampir sahaja Dewa Chiyo jatuh tersembam di balkoni kristal sebaik sahaja mendengar pertanyaan Riku. Memilih untuk tidak menjawab, Dewa Chiyo terus terbang sepantas yang mungkin.

Adakah sudah tiba masanya?

Tidak!

Itu bukan rahsianya. Dia hanya kebetulan mengetahui rahsia tersebut. Dan dia menjaga rahsia tersebut dengan nyawanya. Dia telah menetapkan pendiriannya bertahun-tahun lamanya. Jika rahsia itu harus diketahui, biarlah yang empunya rahsia yang membuka mulut.

Bukan dia!

@~@~@~@

Riku teragak-agak untuk membuka pintu kayu yang sarat dengan ukiran erbut. Entah berapa lama dia berdiri di situ. Menunggu dan terus menunggu masa yang sesuai untuk masuk ke Dewan Sidang Dewa-Dewi.

Dari tempat dia berdiri dia dapat mendengar dengan jelas suara-suara mereka berbual bertanya khabar, bertukar-tukar pandangan malah membuat pelbagai spekulasi mengapa perhimpunan sebegitu diadakan. Biasanya, hanya Dewa-Dewi Utama sahaja yang kerap bersidang untuk membincangkan hal ehwal di Haven. Kesemua Dewa-Dewi hanya berkumpul setahun sekali sahaja untuk membincangkan perkara-perkara yang penting. Perkara yang memerlukan persetujuan secara kolektif dari mereka. Persidangan mendadak seperti sekarang hanya diadakan jika terdapat masalah yang tak diduga timbul. Dipanggil secara tiba-tiba membuatkan mereka, dan sesetengah berang. Kebanyakan mereka sudah ‘terlalu tua’ untuk menerima kejutan yang tak terduga seperti itu.

“Kenapa tak masuk?”

“Kerana saya tahu apa yang akan berlaku maka saya takut untuk masuk.”

Dewa Chiyo tersengih. Riku yang dikenalinya sangat berkeyakinannya. Mungkinkah Harumi sudah membawa sebahagian dari keyakinannya juga? Tapi… apa agaknya yang Riku nampak, yang akan berlaku sebentar nanti?

“Suka atau tidak, kamu tetap kena hadapi saat ini, bukan?”

Riku mengangguk.

Dan mengangguk sekali tatkala tangan Dewa Chiyo melekat di daun pintu yang tingginya tiga kali ganda dari ketinggian mereka.

Daun pintu ditolak dan terbuka.

Riku terpaksa mengangkat tapak tangannya untuk melindungi matanya dari silau cahaya dari dalam Dewan Sidang tersebut. Dia hampir terlupa, Dewa-Dewi yang berkumpul dalam jumlah yang besar akan menghasilkan cahaya, simbol kebersatuan hati mereka. Tanda kekuatan mereka bila bersama.

Seisi dewan yang tadinya hingar-bingar berubah menjadi sunyi. Sepi.

Semua mata tertumpu pada Riku. Beberapa saat kemudian keadaan kembali bising.

“Itu Dewa Riku, kan?”

“Yang membunuh Dewa Arashi tu ke?”

“Kenapa dia ada di sini?”

“Aku sangka dia dah ‘dibuang’ semua Dewa-Dewi.”

“Bukankah dia ada kuasa meramal?”

“Ada kuasa pun tak guna kalau tak boleh mengelak kematian ayahandanya sendiri. Malah dia sendiri yang membunuh?”

Enggan menghiraukan suara-suara tersebut, Riku bergerak ke kerusinya.

“Selamat kembali, Dewa Riku.” Sapa kerusi tersebut sebaik sahaja Riku melabuhkan punggungnya.

Thursday, October 18, 2012

The Cold World 14



Bumi : A Whole New World

Papp!

Aku jatuh di atas sesuatu yang keras dan tidak rata. Seluruh tubuh terasa sakit. Ah, teruk betul perjalanan ke bumi. Adakah semua angel yang turun ke bumi harus melalui jalan yang sama setiap kali turun ke bumi? Jika ya, ini adalah kali pertama dan kali terakhir untuk aku ke sini. Tak sanggup rasanya nak menanggung rasa sakit yang sama.

Apapun benda yang ada di bawahku, ianya  bergerak-gerak. Turut bergoyang adalah tubuhku. Gempa bumi? Serentak itu kelopak mata terpejam, aku buka.

Di bawah tindihan tubuhku adalah seorang lelaki berkulit cerah dan kacak. Mata bundar dan bulu matanya yang lebat dan lentik memukau pandangan. Seperti aku, dia juga kelihatan bingung dengan kehadiran aku di situ, pada waktu ini.

Eh?

Aku di bumi sekarang, kan?

Tapi...

Kenapa...

Aku terkedu seketika. Tidak tahu aku patut gembira atau berduka ketika ini. Namun reaksi spontanku mengambil alih kemusykilan di hati.

"Wow!!" Ucapku seraya bertepuk tangan. Rasa teruja dan gembira sukar aku bendung.

Namun kegembiraanku tadi seperti direntap apabila aku menyedari sesuatu. Aku tidak boleh mendengar jeritan suaraku sendiri. Bukankah aku sudah menjerit sekuat hati sebentar tadi? Tapi kenapa aku tak dengar apa-apa?

Aku cuba bercakap malah menjerit sekali lagi. Tetap aku tiada bunyi yang dapat ditangkap oleh gegendang telingaku.

Lelaki yang wajahnya kurang lima inci dari mukaku menutup telinga dengan kedua-dua belah tangannya. Seolah-olah ingin 'melindungi' telinganya dari mendengar bunyi yang kuat. Bunyi yang menyakitkan telinganya. Mungkin bunyi yang tidak menyenangkan untuk didengar. Mataku terkebil-kebil manakala otakku ligat berfikir. Mungkinkah dia dapat mendengar suaraku? Tetapi aku tidak dapat mendengar suaraku sendiri?

Beberapa saat kemudiannya aku memasang telinga. Namun kehampaan aku bertambah. Dunia di sekelilingku sunyi sekali. Tiada sebarang bunyi yang aku dapat dengari. Tiada bunyi angin sedangkan rasa dingin terasa mencengkam hingga ke tulang hitamku tika bertiup. Hatta bunyi jantungku sendiripun tidak kedengaran walhal degupannya sudah lari dari ritma asal. Tidak juga mendengar bebelan lelaki di bawah tubuh ini.

Lelaki itu tanpa berlengah menolak aku dari terus menindih tubuhnya. Dia bingkas bangun dari sofa tiga tempat duduk itu, langsung tidak peduli pada aku yang dah terjelepok jatuh di lantai. Mengambil beberapa langkah ke belakang, dia memandang aku seperti ancaman yang boleh mencederakannya.

Sesuatu jatuh dari genggamanku. Bergolek di hadapan mataku. Pil pemberian Dewa Chiyo. Rupanya aku menggenggam pil tersebut sejak dari tadi lagi.

Lelaki yang berdiri di hadapanku itu mula mundar-mandir. Namun dia menghadkan jarak tertentu antara kami. Mengekalkan jarak selamat antara kami, mulutnya terus terkumat-kamit, memuntahkan segala yang terlintas di fikirannya. Wajahnya kemerahan. Mungkin akibat marah. Tangannya terawang-awang ke hadapan ketika bercakap menunjukkan betapa bersungguhnya dia ketika itu.

Aku tak dapat mendengarnya...

Aku tidak dapat mendengar suaranya...

Aku dah jumpa dia tapi aku tidak dapat mendengar suaranya...

Aku dah jumpa dia tetapi dia tidak dapat mendengar bicaraku kerana suaraku menyakitkan telinganya...

Mana mungkin aku bercakap sedangkan aku sendiri tidak boleh mendengar apa yang aku katakan...

Kerana hakikat yang menyakitkan itu, kerana aku angel yang lemah, aku menangis teresak-esak di lantai. Dan aku menyakinkan diriku sekali lagi bahawa 'mimpi' ini terlalu indah untuk menjadi realiti. Mana mungkin Dewa Dai menjadi sebegitu pemurah dengan angel yang dibencinya? Bukankah aku sedang menjalani hukuman kerana menyintai seorang dewa?

Jika menyintai menjadi satu kesalahan besar yang tidak boleh dimaafkan, bolehkah sesiapa bayangkan dunia jenis apa yang sedang angel, dewa dan fairy diami di Haven? Yang pastinya, bukan dunia yang selamat untuk didiami.

Sekali lagi lelaki yang tadinya mundar-mandir melekatkan kedua-dua belah tangannya ke cuping telinga. Wajahnya berkerut-kerut seperti sedang menanggung kesakitan yang teramat sangat. Tubuhnya terbaring di lantai. Sedaya-upaya dia mengecilkan badannya, mungkin cuba mengurangkan kesakitan yang menyerang tubuhnya. Aku mulai panik.

Menyedari aku menjadi punca kesengsaraannya, aku paksa diri untuk berhenti menangis. Sebagai manusia, sudah tentu dia lemah dalam banyak perkara. Sedangkan aku angel, berlainan upaya berbanding dia.

Kalau begini, macam mana aku nak selesaikan urusanku di bumi? Dewa Dai memang sengaja melengah-lengahkan aku di bumi, kan? Dia tak mahu aku 'selamat'kan Riku. Ya, itu tujuannya berbuat begini. Apa-apapun Dewa Dai mahu menang dalam permainannya.

"Angel kecil, pil ini akan membantu kamu ketika berada di bumi. Moga pil ini akan mempercepatkan urusan kamu di sana."

Pil merah di hadapanku, aku capai.

"Tapi setiap pilihan ada kesan baik dan buruknya. Jadi kamu harus sentiasa bersedia."

Aku merenung pil di atas tapak tangan. Cuba meneka apa yang mampu dilakukan oleh pil sekecil ini.

Kenangan bersama Dewa Chiyo menerpa di ingatan lagi.

"Kalau saya makan pil ini, apa akan jadi pada saya? Saya boleh kembali ke Haven kembali tak? Saya akan bertemu dengan Riku kembali, kan?"

Soalanku mengundang senyuman nipis di bibir Dewa Chiyo.

"Jangan fikurkan tentang orang lain, Harumi. Bukankah kamu sepatutnya bimbangkan diri kamu sendiri terlebih dahulu?" ujar lembut. Dewa Chiyo memaut bahuku. Merapatkan tubuhnya ke tubuhku. Aura kebapaan terserlah dari tingkah-laku dan layanannya terhadapku.

"Kamu tahu Harumi, kamu sangat beruntung. Walaupun kamu rasa rendah diri pada angel yang lain, hakikatnya kamu lebih baik dari mereka. Haven bukan satu-satunya pilihan yang kamu ada."

"Saya tak faham, Dewa Chiyo."

Dewa Chiyo tersenyum lagi sambil mengusap ubun-ubunku.

"Kamu akan tahu nanti, Harumi."

Dewa Chiyo mengeluh. Perlahan sahaja bunyinya.

"Terima kasih kerana hadir dalam dunia ni, Harumi. Kehadiran kamu buat dunia 'bersinar'."

Bayangan Dewa Chiyo lenyap sekelip mata. Diganti pula dengan wajah lelaki yang sedang mengerang kesakitan di hadapanku.

Ah, persetankan apa sahaja akibat memakan pil ini! Aku di bumi sekarang ini. Berseorangan. Aku yang harus menentukan pilihan dalam hidupku ini.

Lelaki itu aku pandang lagi. Ada sesuatu dari sinar matanya. Sesuatu yang membuatkan aku ingin mengerti akan dirinya.

Aku nak dengar suara lelaki ini!

Aku nak bercakap dengan lelaki ini!

Aku nak memahami lelaki ini!

Pil di tangan aku genggam dengan kuat. Mengumpul segala kekuatan. Bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan aku hadapi.

Aku nekad.

Genggaman aku buka. Pil aku ambil dan aku masukkan ke dalam mulut. Dan aku telan.

Untuk seketika semua yang akan di sekelilingku berpusing, berputar-putar tanpa henti. Lelaki itu, perabot di rumahnya, kerusi, meja, almari, kertas-kertas, hiasan-hiasan di dinding, semuanya terapung dari lantai dan berpusing-pusing seperti tepung dalam mangkuk yang dikacau dengan senduk. Seperti puting beliung yang berputar ke mana sahaja mengikuti arah angin dan membawa pergi semua yang berhampiran dengannya. Hanya aku yang kekal di tempatku. Memerhatikan kejadian aneh tersebut di hadapan mataku dengan rasa tidak percaya. Tidak lama kemudian telingaku pula terasa sakit. Bunyi kuat yang menerobos masuk tanpa amaran membuatkan aku terkejut dan spontan, aku menjerit ketakutan. Tangan aku letak pada telinga. Namun ternyata semuanya itu hanyalah perbuatan yang sia-sia. Tiada apa yang berubah. Bunyi itu tidak berhenti atau berkurangan kekuatannya.

Pil apa yang diberikan oleh Dewa Chiyo?

Tak kan Dewa Chiyo pun terlibat dalam konspirasi Dewa Dai untuk melenyapkan kewujudanku?

Kepala aku gelengkan.

Tidak!

Dewa Chiyo tak mungkin mengkhianatiku. Dia seperti bapaku. Dia begitu penyayang dan berjiwa murni. Aku boleh rasa kemurnian hatinya. Mana mungkin dia terlibat! Apapun yang dirancang dalam kepala Dewa Dai, rancangan itu bertentangam dengan moral Dewa Chiyo.

Kepala terasa pening. Dada terasa semakin sempit. Seperti mahu pecah. Nafas terasa tersekat-sekat. Kelopak mata memberat dan segalanya beransur-ansur hilang dari pandangan.

@~@~@~@~

"Riku..."

Riku masih sibuk menelaah. Buku yang dibacanya kini lebih tebal dari buku sebelum ini. Rasa buku-buku di perpustakaan sudah habis dibacanya. Buku ini rasanya bukan dari perpustakaan akademi kerana aku tak nampak sebarang tanda pengenalan perpustakaan pada buku tersebut.

"Riku..." Panggilku sekali lagi. Masih cuba menarik perhatian Riku.

"Ya." Mata Riku tetap terpaku pada helaian buku yang terbuka. Bagai tiada apa yang boleh menggangu konsentrasinya pada ketika itu.

"Kenapa kau suka sangat membaca? Tak rasa bosan ke?"

Riku menggeleng. Membaca lagi.

"Untuk menambah ilmu kita harus membaca. Membaca juga membolehkan kita untuk jadi orang yang hebat."

"Tapi kau memang sudah sedia hebat Riku! Kau lulus dengan cemerlang semua ujian teori dan praktikal. Kau pemanah terbaik di Haven. Kau yang paling kuat. Kau yang paling rasional ketika membuat keputusan. Kau yang paling cekap berlawan. Kau juga mempunyai gerak hati yang bagus."

Riku menutup buku berkulit tebal itu. Mengalihkan pandangan ke arahku. Bergetar rasa hati bila mata kami bertentangan buat seketika.

"Tapi itu semua tak cukup." Wajah Riku terlalu serius untuk waktu santai kami di bukit di mana kami sering menghabiskan masa.


"Masih tak cukup?"

"Tak."

Ketika itu aku fikir Riku terlalu tamak dan ego kerana dia mahu tahu dan menguasai semua perkara. Setiap orang mempunyai kelemahan. Adakah dia mahu 'lari' hakikat itu? Namun seketika kemudian aku menyingkirkan andaianku itu. Kebelakangan ini Riku nampak resah dan sibuk. Riku juga lebih banyak berdiam diri apabila bersama aku. Hanya sekadar memerhatikan kebodohan dan sikap cuaiku menjalani rutin harian dan latihan tambahan untukkku dengan segaris senyuman tanpa keinginan untuk menyertai aku seperti selalu. Sesekali dia merenung aku sehingga rasa gerun membuatkan badanku sedikit menggigil. Adakalanya dia termenung kosong memerhatikan bukit-bukau yang kehijauan.
Riku menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembuskannya keluar dengan cepat.

"Untuk melindungi kau, aku harus jadi yang paling hebat di Haven." Perlahan sahaja dia menuturkan jawapannya. Terkelip-kelip kelopak mataku memandang Riku. Seperti selalu Riku seboleh mungkin merahsiakan apa yang diketahuinya, perkara yang dirasakannya akan menyesakkan fikiranku.

"Kerana kau terlalu bodoh, naif dan cuai. Susah betul nak jaga kau ni!"

"Kau..." Tanganku hanya mampu memukul angin. Riku sudah terbang melayang di udara bersama tawanya. Dia mengejek-ejek aku dari atas sana. Aku ketap gigi.

"Mentang-mentang la aku tak boleh terbang... Nanti, bila aku dah pandai terbang, jaga kau!" Amaranku membuatkan gelak Riku bertambah lantang.

Kurang asam...

Riku terbang ke kiri kanan sepantas kilat. Meninggalkan kepulan awan yang sudah berubah dari bentuk asalnya. Dia menjerit seolah-olah dia sedang berseronok dengan apa yang dilakukannya.

Dalam sekelip mata, dia sudah duduk berhampiran dengan tempat di mana aku berdiri. Wajahku masam. Muncung sedepa ke depan. Riku tidak mengendahkan rajukku sebaliknya terus sahaja menarik tanganku ke bawah. Aku terduduk di sebelahnya. Secara paksa pastinya.

"Kau adalah satu-satunya 'beban' yang sanggup aku galas." Aku terkedu mendengar ayat puitis Riku. Rajukku bagai dibawa pergi bersama-sama angin petang yang bertiup.

Riku memang pandai mengubah mood aku. Riku memang pandai mengindahkan perasaanku.

Jari Riku menunding ke atas. Ke langit. Melihat diriku yang lebih berminat untuk memandang wajahnya berbanding mendongak ke langit, Riku menolak dan mengarahkan wajahku ke langit. Memaksa aku melihat kepulan awan yang sudah bertukar menjadi bentuk wajahku sedang tersenyum. Ada sejambak bunga di sebelah 'wajahku' itu. Bunga yang tidak pernah aku lihat di Haven. Buat seketika aku terpegun melihat hasil kreativitinya.

"Benda tu tak akan tahan lama." Ujarnya. Aku segera faham maksud kata-katanya. Kepulan awan tersebut akan hilang bentuknya dan lenyap bila angin bertiup kelak.

"Tapi harap-harap ingatan terhadapnya akan bertahan lama la."

Pandangan mata kami bersatu lagi. Riku merenung jauh ke dalam anak mataku. Seperti sedang menghantar mesej hatinya ke dalam hatiku. Jantungku seperti sudah tidak mampu lagi menanggung debaran yang semakin menggila ini.

Wajah Riku yang manis berubah menjadi masam secara tiba-tiba. Dengan sepenuh jiwa, dengan sekuat hati, dia menjerit.

"Aku tak susah-payah jaga kau untuk tengok kau mati macam ni. BANGUN!!!"

Kelopak mataku terbuka serta-merta. Aku bukan lagi di Haven. Malah tiada Riku di sebelahku. Rasa hampa menggasak di hati

Tap. Tap. Tap.

Air sejuk yang menitik di pipi aku kesat.

Air apa pulak ni?

Aku mendongak. Siling yang berada betul-betul di atas kepalaku berlubang. Erk, aku jatuh dari atas itu ke? Patutlah satu badanku terasa sakit.

Seorang lelaki terbaring tidak jauh dariku.

Eh, laki ni....

Belakang kepala aku raba.

Aduh... Sakitnya kepala aku! Apa yang dah jadi tadi?

Aku pandang sekeliling. Hui, bersepahnya rumah ni! Macam dipukul ribut aje gamaknya. Sesuatu terasa memukul di belakang tubuh.

Err... Ni tali apa pula ni?

Aku perhatikan tali tersebut dari hujung ke hujung yang satu lagi. Hujung diikat pada benda berpusing yang melekat pada siling. Untuk apa tali ni?

Angin dingin bertiup sekaligus membuatkan aku terlupa apa yang aku fikirkan. Aku segera berpeluk tubuh. Angin di sini lebih sejuk berbanding Haven. Aku merapatkan diri pada lelaki tersebut. Sekadar mahu meminjam haba dari tubuhnya. Namun aku hanya mengeluh hampa seketika kemudian. Walaupun duduk tidak jauh dari lelaki yang terbaring menelangkup itu, namun haba dari tubuhnya langsung tidak membantu menghangatkan tubuhku. Dia sendiri sedingin salji.

Siapa ni?!!!

Burr... Sejuk!!

Dia ni mamalia ke reptilia?

Angin malam bertiup lagi. Kali ini lebih kuat dan sejuk berbanding sebelumnya.

"Burr... Sejuknya!"

Gigiku menggelatuk. Menggigil kesejukan. Kaki dan tanganku mungkin sudah sama suhunya dengan ais. Aku segera berdiri. Berlari setempat, melompat, berbuat apa sahaja untuk menghasilkan haba namun tidak bertahan lama. Rasa sejuk mencengkam hingga ke sumsum tulang. Aku mungkin tidak dapat bertahan lama kalau berterusan begini. Angel memang tidak tahan sejuk. Langsung tidak boleh bertoleransi dengan kesejukan.

Sesuatu yang terang menangkap ekor mataku. Telingaku menangkap bunyi benda terbakar. Tumpuan aku alihkan. Api? Haba. Ya, bagus! Haba!

Aku berlari ke tong sampah aluminium yang tingginya tidak lebih dari paras lututku. Duduk terlalu rapat dengan tong berisi api di dalam sehingga ibu jari kakiku bertemu dengan badan tong sampah tersebut. Cuba  mendapatkan sebanyak mungkin haba yang dihasilkan. Sesuatu terlintas di dikiranku. Rasa sejuk yang aku rasakan kini berlainan benar pula kedinginannya. Mungkin perubahan cuaca, dari Haven ke bumi, membuatkan aku terasa begini.

Buat seketika aku berasa lega. Walaupun masih terasa dingin itu masih terasa tetapi tidaklah seteruk tadi. Gigi berhenti menggelatuk. Kelopak mata memberat. Memberi isyarat untuk direhatkan. Namun aku terpaksa membatalkan hasrat untuk tidur.

Apapun yang berada di dasar tong sampah tersebut, ianya sudah mula kehabisan. Api semakin mengecil dan bila-bila masa sahaja akan padam seandainya angin bertiup lagi nanti. Aku segera bangun. Berlari ke sana-sini. Dari satu ruangan ke satu ruangan yang lain. Besar juga rumah dia ni. Walaupun habis aku bongkar semua yang ada di dalam rumah itu, namun aku gagal menemui apa-apapun kerana aku tidak tahu apa yang harus aku cari sebenarnya. Di Haven, kami tidak menyalakan api. Kami beroleh kehangatan dari cinta dan kasih sayang pasangan manusia yang kami satukan.

Ah, dalam beberapa ketika lagi aku akan bertarung dengan kesejukan semula. Aku kena lakukan sesuatu agar api itu tidak padam.

Lelaki yang berada di ruangan yang sama denganku itu langsung tidak membantu walaupun sudah beberapa kali aku menggoyangkan badannya. Malah dia tetap terbaring kaku walaupun beberapa kali aku tersepak kakinya ketika mencari kayu tadi. Entah bila akan sedarkan diri. Ke dia ni sebenarnya dah... Dah... Ish, tak akan la kot...

Kekecewaan itu membuatkan aku mencampakkan apa yang ada di genggaman tangan ke pendiang api. Kertas putih mula merengkot. Bucu kertas bertukar warna. Dari warna putih ke warna coklat tua, kemudian ke warna hitam sebelum terbakar.

Eh, boleh terbakar la!

Dengan rasa riang-ria, aku mengumpul semua kertas aku temui dan membawanya ke tong tersebut. Sambil menyanyi irama yang entah apa bunyinya, kertas-kertas itu aku campakkan ke dasar api.

Gerakan dan erangan di belakang tubuh membuatkan aku menoleh.

Lelaki itu mengangkat tubuh. Duduk sambil memegang kepalanya. Kemudian dia duduk diam berteleku seperti bingung. Kebingungannya bertambah sebaik sahaja melihat keadaan rumah yang bersepah.

Matanya membulat sebaik sahaja melihat diriku. Duduk yang tadinya santai, diperkemaskan.

"Hei, siapa kau ni ha? Pencuri ke?"

Aku hampir melompat akibat terlalu suka. Aku berlari mendapatkannya, mahu memegang tangannya. Mahu berkongsi kegembiraan dan memastikan aku bukan sekadar bermimpi. Namun dia lebih cepat mengelak dan menjauhkan diri dariku.

Hei, aku dah boleh dengar suara dia la! Boleh dengar dengan jelas. Malah aku faham apa yang dikatakan. Sangkaku kami akan punya jurang bahasa. Ish, macam mana aku boleh yak perasan. Bukankah tadi aku mendengar bunyi angin, bunyi api yang memamah kertas.

Lelaki itu buat muka tidak percaya. Mulutnya mengomel. Mungkin menyangkakan aku tidak cukup akal gara-gara tindakan di kawalanki itu.

Wajahku kelat. Pencuri dia kata aku ni? Helo, tak kan perempuan cantik, jujur, baik hati, bersopan-santun seperti aku ni ada rupa macam pencuri? Penghinaan kelas apa ni!

Matanya liar lagi meneliti keadaan sekeliling. Melihat perabot rumah yang tunggang terbalik. Melihat perhiasan kaca yang sudah berderai di lantai. Anehnya, ruangan lain tidak kelam-kabut keadaannya seperti di ruangan ini. Kalau bersepah pun sebab tangan aku yang menyelongkar tadi.

"Apa yang kau dah buat dengan rumah aku?"

Dia bangun. Sedikit terhuyung-hayang dia cuba menstabilkan diri. Mungkin 'puting beliung' di dalam rumahnya tadi membuatkan dia begitu. Dipandanhnya lagi keadaan sekeliling. Angin yang bertiup membuatkan dia mendongak ke atas.

"Eh?"

Berpusing-pusing tubuhnya memerhatikan lubang yang lebih kurang berdiameter tubuhku di siling, betul-betul di atas kepalanya.

"Macam mana siling rumah aku boleh berlubang?"

Dia menggelengkan kepala beberapa kali. Kembali memandangku.

"Macam mana kau masuk? Bukan ke pintu rumah aku berkunci? Kau..." Masih tidak berpuas hati di bertanya lagi. Kali ini di melangkah ke arahku. Merapatkan jarak antara kami.

Menyorotkan pandangannya ke tubuhku. Ke atas. Ke bawah. Ke atas. Kemudian ke bawah semula. Dan pandangan tidak berganjak dari kakiku lagi. Dia kaku di tempatnya. Sesuatu di kakiku menarik perhatiannya. Aku tunduk. Menyedari lebihan kertas yang masih belum kubakar.

Matanya menuruti satu demi satu kertas tersebut sebelum dia berlari ke tong sampah.

Sebatang pensel kayu diambil lantas dikuisnya baki kertas putih yang masih belum dimakan api.

"Yaaahh! Kau bakar ‘nyawa’ aku!"


*** ~ Other than sorry, I have no say ~

Followers