Saturday, February 18, 2012

The Cold World 10


Next To Nothing


Cinta.

Di sini, di Haven, perkataan cinta diulang-sebut setiap hari. Cinta menjadi topik utama dalam setiap perbualan para penghuni Haven.

Namun, aku tak pasti sama ada mereka tahu apa itu cinta. Bagaimana rasa mencintai dan bagaimana pula rasanya dicintai...


Sayap hitam Riku menguncup ke hadapan; mendakap kemas tubuhku. Sayap Riku sudah menjadi ‘dinding’ yang memisahkan kami dari dunia luar. Dalam dunia kecil ciptaan Riku itu hanya ada aku dan dia. Dalam ruangan sempit dan hangat itu aku dengan mudahnya memahami sesuatu.

Aku mahukan Riku lebih dari segalanya yang ada di dunia ini.

Kalau boleh...

Aku gigit hujung lidah. Cuba menyedarkan diri betapa bahayanya keadaan aku ketika ini.

Tapi...

Kalau boleh...

Aku mahu berada dalam keadaan begini selamanya...

Keadaan di mana Riku sentiasa di sisiku.

Kami masih berada di udara. Berpusing-pusing dan terbang entah ke mana. Riku yang menjadi penunjuk arah dan aku pula langsung tak berminat untuk mengetahui di mana kami berada ketika itu atau ke mana destinasi kami yang seterusnya.

Riku menatap lembut wajahku.

“Aku mahu kau ingat saat ini, Harumi... Setiap detik yang kita lalui sekarang ini...”

Jemari runcing Riku membelai rambutku dan kemudian memintal-mintal hujung rambutku itu.

“Kerana ini adalah masa-masa kita bersama. Kelak, hanya ada masa kau dan masa aku. Waktu itu, aku mahu kau kenang masa-masa kita bersama ini.”

Aku lupa setiap satu apa yang keluar dari mulut Riku setiap sahaja perkataan tersebut masuk ke telinga.

Yang aku ingat dan ingin aku adalah merakam wajah Riku yang kacak; rambut Riku yang sedikit panjang dan tajam hujungnya, kening Riku yang lebat, pandangan mata Riku yang hangat, hidung Riku yang mancung, bibir Riku yang...

Yang sedang bergerak ke dahiku...?

Riku mengucup lama dahiku.

Apabila kucupan Riku beralih dari dahiku, sayap Riku juga turut bergerak ke belakang badannya. Melenyapkan tabir yang memisahkan kami dari alam sekeliling kami.

“Wah...!” Itu sahaja perkataan yang dapat dikeluarkan oleh bibirku.

Alam di sekelilingku sangat indah. Segalanya berubah sama sekali.

“Kita di mana?”

“Masih di Haven.”

Kepalaku menggeleng tanpa sedar. Ini bukan dunia Haven yang aku diami.

Aku lihat banyak debunga dandelion yang bercahaya berterbangan mengikut arah tiupan angin. Ia kelihatan seperti lampu-lampu kecil menerangi langit malam.

Bunga-bunga di pokok berbunga mekar. Berwarna-warni serta mengeluarkan bau yang wangi. Meliang-liuk mengikut arah tiupan angin seperti penari yang menari mengikut irama. Bunga-bunga liar tumbuh merata di rumput.

Unggas berbunyi... tidak! Unggas-unggas menyanyi riang dan bergembira bersama kelompoknya.

Air di sungai dan tasik berkilauan bagaikan permata disinari cahaya.

Haven tak begini. Haven dunianya cantik tetapi kaku, tak berseri, statik, dan membosankan. Dingin. Namun Haven yang aku lihat sekarang sangat cantik dan ‘hidup’. Serta hangat.

“Seperti yang dijangkakan.” Suara Riku sangat, sangat perlahan. Terlalu perlahan sehingga aku menyangka aku berkhayal.

“Itu bangunan tempat kita belajar. Perpustakaan. Lapangan memanah. The Hive.” Aku menyebut satu persatu tempat-tempat yang aku lihat di bawah sana. Tempat-tempat itu semua masih berada di tempatnya namun dalam keadaan yang berbeza.

Anak mataku mengecil dan kemudian membesar semula.

“Tapi pemandangan ini...”

Ayatku terbantutu tatkala melihat kesemua angel berhenti dari melakukan apa jua aktiviti lantas memandang keadaan sekeliling dengan wajah cemas.

Eh... Kenapa?

Tidak sukakah mereka melihat Haven dalam keadaan sebegini?

“Haven dari sisi yang tak pernah dilihat oleh kebanyakan mereka yang tinggal di Haven.”

Pandangan mata Riku ‘melekat’ pada wajahku sekali lagi. Kali ini ada sedikit riak gusar terpamer pada wajahnya.

Debunga dandelion yang tadinya berselerak di udara berkumpul. Berkumpul mengelilingi kami. Sebelum sempat menarik nafas, dandelion tersebut meluru ke arah kami. Ketika itulah aku dapat melihat dengan jelas bahawa debunga dandelion itu bukanlah debunga seperti yang aku sangkakan. Sebaliknya ia adalah jutaan fairy pengawal yang lengkap bersenjata.

Nafasku tersekat-sekat ketika itu.

Jari-jemariku dan Riku bertaut kemas kini.

@~@~@~@~

Undang-undang di Haven dibuat oleh badan berkuasa yang juga memerintah Haven; Dewa-Dewi.

Setelah setiap undang-undang dibuat, ia akan ‘dilakarkan’ di bumi Haven.

“Riku?”

“Sekarang cuma ada masa kau. Dan masa aku.”

Jutaan fairy pengawal mula melayan kami seperti pesalah, mengerumuni kami dan membentuk sangkar di sekeliling kami. Tiada tempat untuk kami melarikan diri. Wajah serius dan pandangan tajam mereka membuatkan aku diburu ketakutan.

“Riku...”

Riku hanya mengerling ke arah mereka. Tidak! Dia mengerling ke arah salah seorang Fairy yang sedikit berbeza berbanding fairy-fairy yang lain. Mungkin dia adalah ketua fairy pengawal ini. Mereka berpandangan dan aku seakan dapat melihat Riku menganggukkan kepala.

Fairy di bahagian barat mula terbang bergerak ke arah barat Haven. Yang lain mengikut. Aku terpinga-pinga. Apa yang Riku dan ketua fairy pengawal katakan dalam kebisuan mereka? Fairy yang terbang ini, mereka hendak ke mana?

Riku menarik tanganku. Mengajak aku terbang bersama-samanya.

“Kita hendak ke mana?”

Riku tidak menjawab. Mengunci mulut dan hanya mengikut arah fairy-fairy tersebut terbang, masih dalam bentuk sangkar yang mengurungi kami.

“Aduh!” Hujung sayapku terasa panas.

Riku yang sudah terkedepan sedikit mendapatkanku.

“Hati-hati! Mungkin kau fikir fairy pengawal ini kecil, tak punya kekuatan seperti angel tapi percayalah cakap aku, mereka boleh mencederakan kau tanpa kau sedari.”

Riku memaut bahuku.

“Cahaya yang mereka keluarkan adalah haba yang boleh mencederakan kau. Itu salah satu cara mereka untuk menyeksa atau mencederakan tahanan mereka. Kau kena berhati-hati dan jaga jarak kau dengan mereka.”

Aku mula teringat akan sesuatu. Ya, aku pernah baca yang fairy diciptakan mengikut keperluan dan tugas mereka di Haven. Setiap kumpulan Fairy adalah berbeza dari segi fizikal, kekuatan, personalitinya berbanding fairy dari kumpulan yang lain. Walaupun pada zahirnya mereka kelihatan sama sahaja namun hakikatnya mereka sangat berbeza. Sebagai contoh, fairy yang aku jumpa sebentar tadi ketika aku belajar terbang adalah lebih sopan dan tinggi empatinya berbanding fairy-fairy yang sedang mengiringi ini.

“Kau akan terbang samaku sekarang.”

Aku mengangguk. Kami terbang semula bersama-sama fairy pengawal yang lain. Di bawah sana, angel-angel khusyuk memandang ke atas; memandang sangkar atau lebih tepat lagi dipanggil penjara fairy pengawal yang bercahaya dan hangat terbang melintasi ruang udara Haven. Sebaik sahaja melihat kelibat kami di dalamnya, mereka mula berbisik sesama sendiri.

“Riku...”

“Hmm?”

“Bila kau cakap tentang tahanan tadi, adakah kau maksudkan kau dan aku adalah tahanan fairy pengawal sekarang?”

Aku menatap mata Riku yang redup.

“Ya...”

Bawah mulutku jatuh.

“Maafkan aku...”

Walaupun aku tak mengerti sepenuhnya mengapa Riku mengulang ayat itu berkali-kali, namun ketika ini aku mula memahaminya sedikit demi sedikit.

Angel-angel yang semakin sayup kelihatan mula mencipta teori dan spekulasi sendiri. Alam Haven bagaikan syurga tempat tinggal yang diingini oleh setiap makhluk.

@~@~@~@~

Di Haven, setiap kesalahan akan ‘dibicarakan’ oleh alam...

Bila alam sudah membicarakannya, tidak akan ada sesiapa yang akan terlepas dari mengetahuinya...

Perjalanan kami berakhir sebaik sahaja kami tiba di bangunan yang sangat besar dan kelihatan gah berbanding dengan bangunan yang pernah aku lihat di Haven. Bangunan itu diperbuat daripada batu yang lutsinar. Kristal? Ya! Sebahagian besar bangunan ini dibuat dari kristal. Sebahagian lagi dari batu-batu yang cantik ukirannya.

Haven sudah berganjak ke subuh. Cahaya matahari yang mula menyinari, membenarkan aku menilai bangunan ini dengan lebih baik.

Bangunan yang tersergam indah di hadapanku kini dibina di dalam taman indah yang terapung di udara. Tergantung tanpa ada tali yang menggantunginya atau tiang yang menyokong di bahagian bawahnya. Ia terapung tinggi di udara, di sebalik kepulan awan yang besar dan tebal. Aku serta-merta tahu yang tempat yang cantik ini bukan tempat yang selalu dikunjungi oleh para angel.

Tempat apa sebenarnya ini?

Tempat ini cantik dan kelihatan mewah. Segalanya dibina dengan penuh teliti dan tinggi hasil seninya. Segalanya nampak berlebihan di sini. Bangunannya, hiasannya, landskap tamannya. Sesiapapun yang mendiami bangunan ini pastinya dia buan sebarang orang. Seseorang yang lebih tinggi darjatnya dari angel dan fairy, pastinya.

“Istana Kristal. Bangunan ini dinamakan sebagai Istana Kristal.” Riku menjawab salah satu persoalan yang ada dalam kepalaku.

Kami mendarat betul-betul di hadapan pintu masuk istana yang besar itu. Seorang lelaki, angel membuka pintu. Ketua fairy pengawal segera mendapatkan lelaki tersebut. Sayapnya berwarna kehijauan. Rambutnya berwarna perang cerah dan dipotong pendek. Dia langsung tidak tersenyum. Langsung tidak mesra. Mereka berbual dengan nada yang rendah. Fairy pengawal yang lain masih mengawasi aku dan Riku.

Seketika kemudian aku nampak sebuah buku berwarna merah kulitnya sudah berada di tapak tangan lelaki tersebut. Buku tu muncul secara tiba-tiba. Bagaikan menggunakan kuasa magis. Sumpah! Mataku langsung tak berkelip dan aku tengok buku itu muncul dalam sekelip mata di tangannya. Aku melebarkan mulut yang sudah sedia ternganga.

Lelaki itu menulis sesuatu di dalam buku tersebut. Fairy ketua pengawal mengarahkan anak buahnya beredar. Mereka bergerak ke sisi kanan laluan pejalan kaki. Berbaris dan menunggu arahan seterusnya.

Angel bersayap kehijauan itu berjalan ke arah kami. Dia memandang aku sekilas sebelum memandang lama ke arah Riku.

“Tanaka.”

Kepala aku kalih ke kanan. Riku kenal dengan angel ini?

“Gembira dapat bertemu lagi. Cuma aku tak sangka akan bertemu kau dalam keadaan begini.” Balas angel yang bernama Tanaka itu.

Tanaka menghulurkan tangan kanannya. Mempersilakan kami untuk masuk. Aku berjalan di sisi Riku. Terlalu hampir, sesekali bahuku berlaga dengan lengan Riku. Berjalan melepasi dari satu ruang ke satu ruang yang lain yang setiap satunya dihias dengan cantik dengan perabot mewah.

Semakin jauh aku berjalan, aku semakin terasa adanya kekurangan di Istana Kristal. Istana itu sarat dengan isinya namun dalam keadaan yang sama kelihatan kosong. Kosong tanpa penghuni. Yang aku lihat hanya ada kami, tiga orang angel berjalan di dalam istana tersebut. Sesekali kami akan bertembung dengan fairy yang menjaga kawasan istana. Namun fairy yang bersaiz tapak tangan tak mungkin boleh memenuhkan ruang Istana Kristal yang besar walaupun mereka dalam kuantiti yang ramai.

Tanaka, akhirnya menolak dua keping pintu kayu yang tiga kali ganda tingginya dari kami. Dia mempersilakan kami masuk sebelum beredar meninggalkan kami.

Aku terpinga-pinga sekali lagi.

Ruangan luas tempat aku berdiri kini tak ubah seperti dewan tempat berkumpulnya orang-orang penting atau tempat mengadakan keramaian. Di bahagian utara ruangan tersebut, diletakkan sebuah kerusi, atau lebih tepat lagi takhta emas yang diukir.

Tanpa sedar kakiku sudah membawaku ke tengah dewan.

Kejap!

Takhta?

Kalau takhta, maksudnya raja.

Raja. Haven. Istana Kristal.

Dewa?

“Hanya orang yang tertentu sahaja yang dibenarkan berjumpa dengan mereka. Orang yang benar-benar penting ataupun orang yang benar-benar tak penting di Haven.”

“Jadi saya harap, kalau kamu berpeluang bertemu dengan mereka, kamu tergolong dalam kumpulan yang pertama; orang yang penting di Haven. Sebab orang yang tak berkepentingan dalam Haven bukan golongan yang boleh hidup lama dalam Haven.”


Suara Cikgu Kato terdengar-dengar di telinga.

“Maksudnya kalau angel biasa macam kita ni tak berpeluang la nak jumpa Dewi-dewi, ek?”

“Aku nak sangat la tengok mereka! Nak tengok istana mereka juga! Mesti hebat, kan?”

“Kau cuma ada 2 pilihan. Sama ada jadi angel terbaik di Haven atau kau langgar aje mana-mana peraturan yang dah dibuat. Automatik kau akan dapat tengok mereka dan istana mereka. Faham?”

Perbualan rakan sekelas mula menujah gegendang telinga.

Aku bukan angel yang bagus.

Jadi, peraturan apa yang aku dah langgar sehingga aku dibawa ke sini?

Telingaku pantas menangkap bunyi angin menderu. Berdesup seperti dilanggar oleh sesuatu yang keras. Dan bunyi sayap yang sedang bergerak. Bunyinya semakin jelas.

“Maafkan aku, Harumi! Tapi aku betul-betul cintakan kau! Dan aku terpaksa buat begini!”

Riku menarikku ke arahnya. Bibirnya mencari bibirku sekali lagi.

Segalanya berlaku dengan pantas. Mungkin dalam masa kurang sesaat.

Pintu bahagian utara dewan dibuka.

Aku dapat rasa ada tiupan angin yang kuat masuk dari pintu tersebut. Menerpa ke arah kami.

Seterusnya aku lihat Riku sudah tercampak di dinding sebelah barat dewan.

Mataku berkelip. Dan Riku sudah berada di sisiku semula. Memelukku kemas.

“Apa yang cuba kau lakukan, Dewa Riku??!!!”

Dewa Riku?

Followers