Thursday, March 11, 2010

24 hours? Give Me More...Please...


Assalammualaikum...

Lama dah eury tak beramah-mesra, cakap2 kosong dgn kipas-susah-mati kat sini... selalu dapat post 1 entry je... itupun once in a blue moon... pastu ‘hilang’... perkataan faveret kawanku... ahaks... (ku pinjam gelakmu ‘batu’)...

Okey... lately eury busy sket. Macam2 jadi, problems here and there, mmg busy untk menulis. Cuaca skrg pun tak menentu jadi penyakit cepat aje menyerang eury esp demam, pening, dll... antara menulis & mereka, eury pilih mereka sebab mereka sebahagian dari eury. apa punya ayat la kan... tapi itulah hakikatnya. komitmen yg lain lagi... so, kena la ikut priority and seniority (kalo berkenaan)... hehe...

Kadang-kadang jealous gak dengan penulis enovel dan penulis2 novel yang lain. Diorang boleh aje tulis 2-3 enovel, cerpen sekaligus... macam norhayati berahim (slh sorg penulis novel yg eury layan novelnya) boleh tulis sampai 4-5 buah novel dalam masa setahun. Padahal mereka juga ada komitmen yg lain2... tapi eury... hmm... susah nak cakap tu... kadang2 nak siapkan 1 entri pun sampai seminggu @ lebih. Itupun kena curi masa tdo di waktu malam. Tapi kalo dah ‘kepak’ (bhs swak, rsnya mcm ni ejaannya) sangat, memang tdo terus la...

Mmg ada 2 cerpen pending dlm laptop... yg satu tu fsl valentine. Kononnya nak post sempena valentine tapi tak dapat disiapkan. So mungkin utk valentine tahun depan pulak kot! insyaallah eury akan cuba siapkan cerpen yg lg satu tu pulak masa cuti sek nanti and post kat blog... wat masa ni eucralipse je la dulu eury pulun kasi habis. Saat cinta bicara (SCB) mmg eury nak sambung tapi masih kena cari masa dan mood dulu. Harap-harap korang semua maafkanlah eury, ek...

Okey, fasal ad+iz... eury dah hantar 1st draf ke Kaki Novel. Tapi masih belum dapat feedback apa2 dari mereka. Maybe diorang pun sibuk promosi new novels kan... don’t blame them... salahkan eury... dari hujung tahun lepas lagi KN push eury untuk siapkan ad+iz so that maybe diorang boleh publishkan this year, awal tahun. Tapi eury tak dapat siapkan dan hantar waktu yang sepatutnya. Jadi, tu la yang jadi lambat tu... utk itu, eury mohon maaf jutaan lemon lagi dari semua kipas-susah-mati ad+iz... ada rezeki, muncul la 1st ‘baby’ eury tu kat pasaran, insyaallah... apa-apa perkembangan ad+iz akan eury khabar2kan pada korang semua... don’t worry k...

Untuk yg bertanya, lagu ost BOF tu tajuknya bcoz i’m stupid by SS501... kalo acoustic version nyanyian kim hyun joong...

p/s : tak suka kerk gak! Sweet-liar... percaya @ x, idea wat cite eucralipse bermula dgn scene pergaduhan antara 2 insan bercinta ; kerk & eury... kemudian baru eury fikirkan jln cite utk sblm & slps pergaduhan tu... pelik kan?

Wassalam...

Wednesday, March 10, 2010

eucralipse 17


“Kamu telah mengecewakan ayahanda.”

Kata-kata Raja Eriel seolah-olah bergema-gema di dalam kepala Kerk. Entah mengapa secara tiba-tiba dia teringat peristiwa perbalahan antara dirinya dan ayahandanya. Menimbulkan satu tekanan di kepala. Antara Eury dan ayahandanya, dia semakin bingung dengan keutamaan dalam hidupnya.

“Eury...”

Eury menoleh ke arahnya. Dan seperti ketika selalu, jantungnya berdetak kencang setiap kali dia berduaan bersama Eury. Malah malam ini degupan jantungnya lebih kencang. Adakalanya dia terasa sesak nafas melihat keanggunan Eury pada malam ini. Eury tak ubah seperti bayangan bidadari yang muncul dalam mimpinya!

Eury tersenyum. Cantik dan manis. Hampir dia terlupa dengan apa yang mahu diperkatakannya.

“Err... Permintaan awak saya dah tunaikan. Apa kata kalau awak tunaikan permintaan saya pula.”

“Apa permintaan awak?”

“Ikut saya!”

Ya! Mungkin ada caranya untuk aku menebus segala kesalahan yang telah aku lakukan. Mungkin dengan cara ini, ayahanda akan memaafkan aku dan memberikan kepercayaannya kepadaku kembali.

Kerk terus menarik tangan Eury supaya mengikut langkahnya.

**************

Lingkaran cahaya yang mengiringi kami semenjak tadi semakin pudar dan akhirnya hilang begitu sahaja. Kami semakin jauh meninggalkan Eucralipse. Aku tak tahu ke mana Rei ingin membawa aku pergi, namun aku meletakkan sepenuh harapan padanya. Kerana padaku, Rei begitu menyayangi dan mencintaiku. Dia tak mungkin tergamak melakukan sesuatu yang akan mendatangkan kemudaratan kepadaku.

Semakin jauh berjalan, pemandangan di sekelilingku juga turut berubah. Dari bangunan-bangunan tersergam indah di Eucralipse, bertukar menjadi rumah-rumah kampung. Kemudian pokok-pokok hutan yang besar dan agak menakutkan bila dipandang pada waktu malam sebegini. Seterusnya kami melalui satu denai dan melepasi satu tembok yang bermeter-meter tebal dan tingginya. Akhirnya aku mendapati aku sedang berdiri di tanah gersang. Tak banyak pokok rendang yang tumbuh di kawasan sekitarnya. Bangunan-bangunan yang ada kelihatan usang, diperbuat daripada tanah liat dan kayu dengan teknologi yang jauh lebih mundur berbanding di Eucralipse.

Rei berjalan beberapa langkah di depanku manakala aku pula melangkah lambat-lambat untuk melihat pemandangan yang tidak pernah kulihat ini. Mereka yang kami temui di sepanjang jalan menundukkan kepala pada Kerk dan merenung tajam ke arahku. Mereka memakai pakaian yang buruk dan koyak-rabak. Mereka hidup dalam keadaan daif.

Aku tertanya-tanya sendirian. Kami berada di mana? Rasanya kami masih berada di Eucralipse, tetapi mengapa mereka tak menecapi kemajuan sepertimana kami di Eucralipse?

“Rei, kita di mana?”

“Dark City!”

Aku menelan air liur. Aku tak sepatutnya ke sini. Kalau ayahanda dan bonda tahu, tentu teruk aku dimarahinya.

“Apa yang kita buat di sini? Kalau ayahanda dan bonda saya tah tentu dia akan marah saya. Saya nak balik!”

Rei diam dan terus berjalan.

“Kita nak ke mana sebenarnya, Rei?”

Rei menundingkan telunjuknya ke arah sebuah bangunan yang nampak gah berbanding yang lain. Bentuknya seperti sebuah istana kecil yang usang. Rei mencengkam lenganku sebaik sahaja kami masuk ke istana tersebut. Mengheret tubuhku agar mengikutinya.

“Rei, sakitlah!”

Rei tak mempedulikan rengekanku. Kami berdiri seketika di hadapan pintu kayu besar berwarna coklat tua itu. Mendengar perbualan yang tembus memasuki gegendang telingaku. Bila dirasakan masanya telah tiba, Rei menolak pintu tersebut dengan sekuat tenaganya. Lalu diheretnya aku masuk ke dalam dewan yang dipenuhi manusia itu.

“Bagaimana kalau sekiranya tuanku dihadiahkan sesuatu yang berharga dari Eucralipse?!”

Semua yang ada di istana itu memandang ke arah kami dengan wajah terkejut dan takjub. Ada juga yang beriak puas hati dan bangga bila terlihat aku di sisi Rei. Mengapa?

Lelaki berwajah sedih dalam bayanganku, memandang Rei dengan rasa ingin tahu. Dua orang yang diikat dan melutut di hadapannya, diarahkan supaya beralih ke tepi. Seorang perempuan yang cantik parasnya serta seorang lelaki... Nanti dulu! Bukankah dia Egart? Macam mana Egart boleh sampai ke Dark City ni?

Lelaki yang dipanggil 'tuanku' oleh Rei sebentar tadi bangun dari singgahsananya.

“Apa maksud kamu, Kerk? Berani kamu tunjukkan muka di hadapan beta setelah kamu ingkar arahan beta!” Kata lelaki itu dalam nada garang dan sinis.

“Saya tidak pulang dengan tangan kosong ayahanda!”

Ayahanda? Bukankah ayah Rei sudah mati? Adakah ayahanda Rei ini memerintah Dark City? Maksudnya... Rei adalah musuh kepada Eucralipse? Aku mengelengkan kepala. Aku tak percaya!

“Saya bawakan sesuatu yang berharga dari Eucralipse buat ayahanda; Puteri Eury!”



Rei beralih ke tepi. Membenarkan lelaki yang dipanggilnya ayahanda itu melihatku, sebelum mencengkam lenganku lalu dihumbannya aku ke hadapan ayahandanya. Aku jatuh tersemban ke lantai. Hampir sahaja mencium hujung kaki ayahanda Rei.

Sekalian yang ada di ruangan itu bertepuk tangan dan bersorak gembira. Mereka mencaci hina aku dan keturunanku. Mentertawakanku seolah-olah aku adalah pelawak. Perasaan marah kerana diperlakukan sebegitu meluap-luap dalam dada. Aku segera mengangkat wajahku. Memandang lelaki yang ketawa terbahak-bahak di hadapanku ini dan kemudian aku pandang pula Rei dengan ekor mataku. Cuba meminta penjelasan terhadap apa yang berlaku. Rei memandangku dengan pandangan yang dingin dan penuh angkuh. Batang leherku dicekik oleh ayahanda Rei lalu diangkatnya aku agar dia dapat menentang anak mataku. Nafas yang kuhirup disekat dari masuk ke rongga paru-paru.

“Ini rupanya Eury...!” Katanya sebelum mencampakkan aku ke bawah semula. Seluruh tubuhku terasa sakit. Udara yang mendadak masuk ke rongga sebaik sahaja batang leherku bebas dari cengkaman tangan ayahanda Rei membuatkan aku terbatuk-batuk. Aku terbaring di lantai sambil mengerang kesakitan. Dua orang pengawal segera mendapatkanku. Memaksa aku berdiri dan memegang kejap lenganku. Aku cuba meronta untuk membebaskan diri. Namun rasa terkejut dengan situasi yang dihadapkan kepadaku ini serta tenaga yang tidak seberapa membuatkan usahaku sia-sia belaka.

“Apa semua ni, Rei? Kenapa lelaki tu panggil awak Kerk? Siapa dia? Kenapa awak bawa saya ke sini?” Soalku bertalu-talu.

Rei mengerling ke arahku. Wajahnya tetap tidak beriak. Langsung tidak menghiraukan pertanyaanku. Ayahanda Rei menuruni satu persatu anak tangga sambil mengunci pandangannya ke wajahku. Berdiri sama paras di lantai istana.

“Siapa sangka, Puteri Eury dari kerajaan Eucralipse yang disegani, begitu mudah sekali masuk ke perangkap musuhnya secara sukarela! Tak payah guna senjata. Tak payah guna kekerasan! Kamu memang hebat, Kerk!”

Lelaki itu mengelilingiku sambil merenungku dengan tajam. Seolah-olah aku adalah 'barang' berharga yang baru ditemuinya.

“Bagus Kerk...! Kamu baru sahaja buktikan bahawa kesetiaan kamu terhadap ayahanda dan Dark City tidak perlu diragui lagi!” Puji lelaki itu.

Rei menundukkan kepalanya. Menerima pujian dari ayahandanya.

“Terima kasih ayahanda. Saya cuma buat apa yang sepatutnya saya lakukan untuk mendapatkan kepercayaan ayahanda semula. Tetapi, sebetulnya saya ada permintaan sebagai pertukaran terhadap penyerahan Eury ini. Rasanya, sebagai seseorang yang sudah bersusah-payah menyamar, mencuri maklumat serta orang yang berjaya memperdayakan Eury untuk datang ke Dark City, saya berhak untuk membuat lebih daripada satu permintaan, kan?”

Lelaki itu mengurut-urut dagunya.

“Permintaan? Katakanlah apa permintaan kamu itu...”

Rei diam sejenak sambil memandang Egart dan perempuan di sebelahnya. Rei menarik nafas dalam-dalam sebelum menyusun kata-katanya.

“Pertama, saya minta hukuman yang dijatuhkan ke atas Egart dan Q-ra ditarik balik. Kalau ada orang yang patut dihukum, sayalah orangnya kerana mereka ingkar terhadap perintah ayahanda atas arahan saya. Justeru itu, saya mohon budi bicara ayahanda untuk memaafkan mereka!”

Aku lihat ayahanda Rei berfikir sejenak.

“Baiklah! Ayahanda maafkan mereka berdua.”

Lelaki itu memberi isyarat tangan. Pengawal yang mengawal pergerakan Egart dan perempuan bernama Q-ra itu segera melepaskan mereka. Senyuman terukir pada wajah kelegaan mereka.

“Apa pula permintaan kamu yang kedua?”

Rei menatap sepasang mata milik ayahandanya.

“Saya mahu Eury diletakkan di bawah tanggungjawab saya memandangkan saya yang membawanya ke sini. Sebarang tindakan yang dikenakan ke atasnya harus dimaklumkan kepada saya dulu!”

Suasana di dalam bilik itu berdegung dengan suara-suara para pembesar dan yang lain-lain. Dahi ayahanda Rei berkerut mendengar permintaan kedua Rei. Aku sendiri tertanya-tanya apa rasionalnya permintaannya itu.

“Tapi mengapa?”

“Kerana Eury tawanan saya...”

“Tidak!” Pintas ayahanda Rei. Rei berhenti dari meneruskan kata-katanya.

“Ayahanda tak rasa permintaan kamu itu relevan! Jadi ayahanda tak dapat tunaikan permintaan kamu itu kerana Eury sudah jadi sebahagian dari agenda kita untuk menawan Eucralipse. Dia milik Dark City mulai sekarang. Tugas kamu ke atas dirinya sudah tamat sebaik sahaja kamu melangkah masuk dan menyerahkan Eury sebentar tadi. Nasib Eury tertakluk pada majlis tertinggi Dark City mulai sekarang. Faham, Kerk?”

“Faham, ayahanda!” Jawab Rei dengan wajah hampa.

“Bawa dia pergi!” Perintah ayahanda Rei sambil mengisyaratkan sesuatu dengan menggunakan tangannya.

“Kau nak bawa aku ke mana? Lepaskan aku! Rei! Egart! Tolong lepaskan aku!” Jeritanku tidak bersahut. Masing-masing hanya tersenyum sinis kepadaku.

Apa sebenarnya yang terjadi?

Dalam kekeliruan, aku ditarik dengan kasar meninggalkan ruangan tersebut oleh pengawal. Membontoti Rei ke tempat yang tidak aku ketahui.

**************

Aku dibawa masuk oleh ke sebuah bangunan usang, kotor dan berbau busuk. Menyusuri sel-sel penjara yang menempatkan beberapa orang banduan yang tingkah-lakunya menakutkanku. Rei tetap berlagak tenang dan dingin seperti tadi. Berbeza benar dengan sikap Rei yang kukenali di Eucralipse beberapa bulan yang lalu. Aku berasakan seolah-olah mengenali dua orangg yang berbeza dengan wajah yang sama. Rei... Dan Kerk...

Rei membuka sebuah sel penjara yang terletak di hujung bangunan. Sel penjara yang agak jauh terpisah dari sel-sel yang menempatkan para banduan di Dark City. Ditolaknya aku masuk ke dalam. Pengawal yang tadinya mengawasi setiap gerak-geriku, beredar sebaik sahaja menerima arahan dari Rei. Tinggal kami berdua sahaja tika itu.

“Apa sebenarnya yang berlaku Rei? Kenapa tiba-tiba kita ke Dark City? Siapa lelaki yang panggil ayahanda tadi tu? Siapa kau yang sebenarnya?”

Diam.

“Rei!” Jeritku. Cuba menarik perhatiannya untuk menjawab.

“Nama aku bukan Rei! Rei hanya nama samaranku di Eucralipse. Rei hanya sebaris nama untuk memperbodohkan kau, Puteri Eury! Nama aku Kerk! Mulai hari ni, nama aku Kerk. Rei dah mati!!” Tempik Rei. Aku terduduk di lantai yang berdebu akibat terkejut dengan nada suaranya yang tinggi. Tak pernah sesiapapun bertempik kepadaku seperti apa yang dilakukan oleh Rei itu.

Rei dah mati!

Kata-kata Rei bergema-gema dalam kepalaku.

Rei dah mati!

Rei dah mati!


Ya, Rei memang dah mati. Yang berdiri di hadapanku ini, walau apapun namanya, dia adalah lelaki yang memperdayaku untuk datang menyerah diri ke Dark City dengan kata-kata cinta palsunya. Lelaki yang membenarkan maruahku dan seluruh kerajaan Eucralipse diinjak-injak di hadapan seluruh warga Dark City.

Hatiku terasa sakit. Tanpa sedar, air mataku mengalir. Ditipu, diperbodohkan, dikasari dan dihina di hadapan seluruh warga Dark City tadi menyakitkan hatiku. Namun tidak cukup untuk membuatkan air mataku mengalir. Tapi jeritan Rei, penafian Rei terhadap kata-kata cintanya beberapa jam lalu benar-benar membuatkan hatiku robek. Apatah lagi untuk memprogramkan semula mindaku bahawa Rei sudah 'mati'. Yang ada sekarang hanyalah... Kerk yang dingin, kejam, tanpa perasaan dan penuh dengan rasa dendam.

“Jadi apa kata kita mulakan semula perkenalan kita?”

Aku diam. Tenggelam dalam senduku.

“Nama aku Kerk. Yang tadi tu ayahandaku, Raja Eriel...”

“Kenapa kau bawa aku ke sini? Kenapa kau culik aku?”

“Sebagai memenuhi perintah Raja Eucralipse!”

Keningku hampir bertaut. Kehairanan mendengar jawapan Kerk.

“Maksud kau, ayahanda aku, Raja Esqandar yang arahkan kau untuk menculik aku?”

“Maksud aku raja Eucralipse yang sebenar.”

“Raja Eucralipse yang sebenar adalah ayahanda aku, Raja Esqandar!”

Kerk mencengkam kuat pergelangan tanganku.

“Tidak! Bagi kami, Raja Eriel adalah raja yang paling layak memerintah Eucralipse!”

Aku menyentap tanganku. Air mata di pipi aku kesat.

“Itu kali terakhir kau sentuh aku! Orang-orang di Eucralipse tentu sibuk mencari aku sekarang. Beberapa jam dari sekarang, mereka akan dapat mengesan aku di sini, membebaskan aku, serta menangkap kau dan konco-konco kau!” Marahku.

Kerk hanya ketawa berdekah-dekah.

“Kenapa kau ketawa?” Soalku berang.

“Pasukan yang mencari kau tentu sudah 'tidur lena' sekarang. Orang-orang kami dah pun hapuskan mereka sejam yang lalu. Nampaknya, kau akan tinggal lama di sini...”

Aku mendengus marah. Tidak tahu mahu percaya atau tidak kata-kata Kerk. Tapi sukar untuk aku tidak mempercayainya memandangkan dia memang licik dalam menjalankan misi rahsianya.

“Kau kejam!”

“Tak! Keturunan Eucris lagi kejam!”

“Buktikan!” Cabarku.

“Kau tahu tak mereka yang tinggal di Dark City ini adalah sebahagian daripada rakyat Eucralipse dulu?”

Aku mengelengkan kepala. Mindaku berserabut dan lebih berminat memikirkan jalan untuk membebaskan diri dari penjara ini.

“Ya, kami sebahagian daripada Eucralipse dulu sebelum kami dibuang di sini atas kesalahan yang tidak kami lakukan. Bagi kami, raja yang kami iktiraf dalam hati adalah Raja Eriel. Bukannya Raja Esqandar.”

“Kesalahan apa?” Soalku.

“Memberontak dan cubaan menggulingkan kerajaan. Ayahanda kau menuduh ayahandaku sebagai ketua kepada pemberontakan itu. Dan mereka yang menyebelahi ayahandaku dianggap sebagai pengikutnya.”

Aku tersengih.

“Memang itupun yang sedang kau lakukan sekarang. Jadi rasanya hukuman yang dikenakan pada kamu sekarang memang wajar!” Sinis aku menyindir.

“Kau memang tak berhati perut. Sama seperti keturunan kau yang lain.”

“Terserah pada penilaian kau! Yang pastinya, kami tak mungkin menghukum tanpa bukti...”

Kerk merenungku tajam.

“Sejak kecil aku diasuh untuk membenci Eucris dan semua yang ada di Eucralipse. Termasuklah kau. Matlamat kami di sini hanyalah satu; iaitu menakluki Eucralipse sekaligus menebus kembali maruah kami yang telah difitnah. Kami mahumenuntut bela atas segala kekejaman yang telah pemerintah Eucralipse lakukan ke atas kami.”

“Jadi, ini adalah peperangan antara ayahanda kau dan aku?”

“Peperangan ayahanda aku bererti peperangan aku juga!”

Kerk mula bercerita tentang apa yang berlaku sehingga mereka terhumban di Dark City. Kenapa aku berasa ada yang tidak kena dengan perjalanan sejarah yang diceritakan oleh Kerk? Seperti ada sesuatu yang hilang, yang tidak lengkap.

“Kau dengar bunyi bising-bising di luar sana? Kau tahu mengapa mereka begitu gembira dengan kedatangan kau ke sini?”

Aku diam. Hanya memandang kosong ke arah Kerk.

“Kerana kedatangan kau mengubat sebahagian kecil marah, dendam mereka terhadap ketidakadilan Eucralipse terhadap kami!”

“Apa maksud kau bila kau minta untuk bertanggungjawab terhadap aku tadi?” Soalku penuh minat.

Kerk mengukir senyuman sinis.

“Kenapa? Kau fikir aku belas dengan diri kau?”

“Mungkin!”

“Tidak, sama sekali! Kau mungkin tak tahu yang aku juga punya minat yang sama seperti datuk kau dulu!”

“Aku tak faham!”

“Datuk kau, Raja Theseu ada kuasa untuk bunuh kami jika disabitkan kesalahan. Tapi dia buang kami di sini. Kenapa? Sebab dia suka tengok para pesalah mati secara perlahan-lahan dan menderita. Jadi, aku juga nak tahu bagaimana rasanya menjadi seseorang yang berkuasa dan biarkan kau mati perlahan-lahan. Kau akan jadi bahan eksperimenku. Melainkan kau menyertai kami untuk menawan Eucralipse...”

“Kau menyuruh aku mengkhianati kaum keluarga, rakyat dan negaraku sendiri?”

“Ya! Kemudian kita akan sama-sama membina sebuah kerajaan baru yang jauh lebih baik dengan apa yang ada sekarang!”

“Pergi mati dengan cita-cita kau itu!”

“Kau ada banyak masa untuk memikirkan tawaranku di sini. Mungkin kau akan berubah fikiran nanti...”

Kerk tersengih sambil menarik pergelangan tanganku ke dinding batu. Terdapat tumbuhan menjalar yang tumbuh meliar di dinding tersebut. Kerk mendekatkan tanganku pada tumbuhan tersebut. Secara automatik, tumbuhan tersebut melilit di kedua-dua bela tanganku. Mengikat aku di situ.

“Lebih baik kau bunuh sahaja aku!”

“Tak semudah itu untuk mati, Eury!”

Kerk berjalan meninggalkanku. Tiba di pintu, dia berpaling ke belakang. Memandangku.

“Oh, ya! Aku lupa nak ingatan kau. Jangan pernah cuba untuk lakukan perkara-perkara bodoh. Jangan sesekali cuba menggigit, merentap atau berbuat apa sahaja pada tumbuhan itu.”

Aku pandang akar tumbuhan hijau yang halus dan sedang melilit tanganku itu.

“Yang melilit di tangan kau itu adalah tumbuhan liar yang beracun. Ia mungkin nampak halus dan kecil tapi sebenarnya ia menyembunyikan kekuatannya di sebalik penampilannya yang sebegitu. Ia akan mengeluarkan durinya yang beracun sebagai senjata pertahanan jika kau cuba sebaik sahaja yang memasang niat untuk melarikan diri. Jangan risau, racun tumbuhan ini tak akan membunuh kau secara terus. Tapi ia akan membunuh kau secara senyap dan perlahan-lahan.”

Kerk meninggalkanku sebaik sahaja selesai penerangannya. Aku terduduk di lantai. Menangisi nasibku dan 'kematian Rei'.

**************

“Raja Esqandar, Permaisuri Eurika, Putera Esmet minta kebenaran untuk masuk mengadap...” Ujar pengawal sebaik sahaja pintu kamar dibuka.

Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika yang tadinya leka berbual, berpandangan sesama sendiri.

“Tak apa. Benarkan Putera Esmet masuk!” Arah Permaisuri Eurika.

Pengawal menganggukkan kepala seraya mempersilakan Esmet masuk. Esmet melangkah masuk ke kamar itu. Menundukkan badan tanda hormat sebelum berdiri tegak semula memandang Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika.

“Boleh saya bertemu dengan Eury?”

Permintaan Esmet membuatkan Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika terkejut.

“Esmet, bukankah kamu bersama Eury di majlis Ellisa?” Soal Raja Eriel cemas.

“Betul tu, Esmet! Bukankah kamu ada bersama Eury... Dari sini kami nampak Eucristar bersinar bila Oc-cra milik kamu berdua bersatu...” Ujar Permaisuri Eurika pula.

Esmet menganggukkan kepala. Mengerti situasi yang berlaku ketika itu.

“Memang Eury bersama saya tadi. Tapi kami berpisah sebelum majlis Ellisa berakhir sebab saya ada beberapa urusan untuk diselesaikan. Saya ingatkan dia dah pulang ke istana memandangkan dah larut malam. Tapi rasanya mungkin dia bermalam di rumah Ellisa...” Bohong Esmet.

Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika menarik nafas lega.

“Kamu buat kami rasa cemas.”

“Maafkan saya sebab bertindak melulu. Sepatutnya saya mencari dia di rumah Ellisa terlebih dahulu sebelum ke sini. Tak apalah! Saya minta diri dulu. Maaf kerana mengganggu tuanku berdua.”

Esmet segera meminta diri. Dayes dan Hemes segera mendapatkan Esmet sebaik sahaja Esmet keluar dari kamar tersebut.

“Esmet, aku dah tanya orang di istana. Aku dah pun orang ke rumah Ellisa. Eury tak ada di sana dan juga di istana ini. Aku syak dia mungkin bersama Kerk!”

Esmet merengus dengan wajah bengis.

“Mari kita pergi!

**************

Menelaus menerpa masuk ke bilik yang terletak di bahagian belakang istana. Rasa sejuk yang teramat segera menggigit kulit tubuhnya. Tanpa sedar dia berpeluk tubuh. Cuba mengumpul haba dalam badan.

Sebaik sahaja terlihat akan tubuh Raja Eriel yang sedang khusyuk berteleku memerhatikan tubuh kaku isterinya, Menelaus segera menapak ke bahagian tengah bilik.

“Eriel! Aku dengar Kerk berjaya meloloskan diri ke Eucralipse! Dan anak aku, Q-ra dijatuhkan hukuman mati? Apa yang sebenarnya terjadi ni?” Tanya Menelaus berang.

Raja Eriel yang tadinya melutut, berdiri. Memandang Menelaus dengan rasa pelik. Seketika kemudian wajahnya berubah menjadi tenang semula.

“Hei, kawan! Maklumat yang kau terima tu dah ketinggalan zaman la...”

Menelaus menaikkan keningnya.

“Memang aku jatuhkan hukuman bunuh ke atas Q-ra dan Egart kerana membebaskan Kerk tanpa kebenaran aku, tapi hukuman tu aku dah pun tarik balik bila Kerk bawa balik Eury ke istana ini.”

Menelaus ternganga.

“Kerk bawa balik Eury? Puteri Eury dari Eucralipse?”

Raja Eriel menganggukkan kepala. Senyuman tak lekang dari bibirnya.

“Kerk dah berjaya memperdayakan Eury. Oc-cra mereka dah pun bersatu tadi. Walaupun kita tak tahu sejauh mana penyatuan kedua-dua Oc-cra itu, tapi aku yakin Oc-cra mereka sudah mula berinteraksi antara satu sama lain. Tentu banyak manfaatnya bila dua buah Oc-cra sudah berada di tangan kita.”

Menelaus menggosok-gosok janggutnya yang panjang.

“Kau rasa, ada kemungkinan tak yang Eury tu dah mempengaruhi Kerk? Yelah, kau sendiri yang kata, bila Oc-cra bersatu, pemilik yang kuat akan mengawal pemilik Oc-cra yang lemah. Siapa tahu, mungkin mereka ada rancangan lain? Mungkin mereka pulang ke Dark City untuk menjalankan rancangan mereka itu!”

“Tak mungkin! Aku kenal Kerk. Semangatnya kental. Tak mungkin semudah itu untuk memperdayakannya.” Nafi Raja Eriel.

“Ya, aku tahu Kerk bukan lelaki yang lemah. Tapi... Kau yakin Kerk langsung tak ada perasaan terhadap Eury? Kita tak boleh sangkal kemungkinan itu, kan? Dan kita tak boleh ambil sebarang risiko. Apa kata kita uji kesetiaan Kerk?” Cadang Menelaus.

“Untuk apa?”

“Untuk mengetahui di pihak mana Kerk berada.”

“Bagaimana?” Soal Raja Eriel. Mula termakan dengan kata-kata Menelaus.

“Hanya ada satu cara sahaja...”

Menelaus mula mengemukankan cadangannya. Dalam diam, dia tersenyum sendirian. Dia tahu sedikit sebanyak pendirian Kerk sudah goyah bila dia mengenali Eury. Kerk akan mengingkari perintah Raja Eriel demi Eury. Raja Eriel akan marah dan menghukum mati Kerk. Dan pada saat itu, dia akan mengambil Oc-cra milik Kerk dan memusnahkannya. Kemudian dia akan menculik Eury untuk dipersembahkan kepada Rexo. Bila Oc-cra milik Esmet dan Eury disatukan, apa yang diimpikan bersama Rexo akan menjadi kenyataan.

**************

Kerk terus menarik rantai besi yang mengikat pergelangan tanganku. Memaksa aku menyusuri lorong sempit dan kelam yang hanya diterangi beberapa buah obor api yang tergantung di dinding. Badanku yang sakit-sakit membuatkan langkahku menjadi lambat. Seorang pengawal setia membontotiku dari belakang. Menusuk belantan kayu di tubuhku setiap kali aku berjalan dengan lambat.

Di hujung lorong tersebut, aku terlihat cahaya yang sangat terang serta bunyi bising. Semakin lama, semakin kuat bunyi suara-suara yang aku dengari. Sebaik sahaja aku melangkah keluar dari terowong gelap itu, aku disambut dengan sorakan dan tepukan. Mata yang terpaksa aku tutup akibat cahaya yang menyilaukan mata, aku buka perlahan-lahan. Aku membuang pandang ke arah keadaan di sekelilingku. Aku mendapati aku berdiri di tengah-tengah gelanggang yang berbentuk bulatan. Lantainya pasir yang kasar dan tajam. Dan aku boleh melihat langit yang biru dengan jelas tatkala aku mendongakkan kepala. Terdapat binaan diperbuat daripada kayu yang dibina bertingkat-tingkat di sekeliling gelanggang tersebut dan ia dipenuhi dengan warga Dark City. Berteriak dengan wajah teruja. Seperti sedang menantikan sesuatu yang menarik berlaku di gelanggang tersebut. Di bahagian tengah binaan tersebut, terdapat tempat khas yang menempatkan Raja Eriel dan orang-orang penting di Dark City.

Kerk menghampiriku. Membuka rantai besi yang berpuluh kilogram beratnya di tanganku.

“Kenapa kita ke sini?” Soalku sedikit menggigil. Aku enggan membayangkan perkara buruk yang mungkin akan berlaku sebentar nanti.

“Aku tak tahu.” Ringkas jawapan Kerk. Tapi aku tahu, jawapannya itu benar. Kerk bergerak ke tepi gelanggang. Berdiri di sebelah Egart dan barisan lelaki-lelaki bertubuh gagah yang lain. Mungkin mereka adalah pahlawan di Dark City.

Dalam keadaan bingung, aku memandang rakyat Dark City yang teruja dengan kehadiranku. Ada sesetengah dari mereka yang memandangku dengan perasaan benci dan marah. Dan akhirnya pandanganku melekat pada Raja Eriel yang sudah bangun dari takhtanya. Dia mengangkat tangan. Mengarahkan supaya rakyatnya diam sebelum memulakan bicaranya.

“Hari ini merupakan hari kemenangan bagi kita semua di Dark City kerana Kerk, pahlawan terkuat di Dark City telah berjaya mambawa Puteri Eury dari kerajaan Eucralipse ke sini tanpa mengeluarkan setitik peluh pun. Atas kebijaksanaan Kerk, Puteri Eury datang menyerahkan nyawanya kepada kita. Ucapan tahniah patut diberikan kepada anakanda beta, Kerk!”

Kerk aku lihat menundukkan kepalanya atas pujian yang diberikan kepadanya. Sorakan bergema sekali lagi.

“Seperti yang kita tahu, Eucralipse adalah sebuah kerajaan yang hebat yang mana ia diterajui oleh keturunan Eucris yang bijaksana dan kuat. Suatu ketika dahulu, semua orang fikir adalah mustahil untuk menakluki Eucralipse dengan jumlah tentera kita yang sedikit. Tetapi hari ini, dengan berdirinya Puteri Eury, pewaris tunggal kerajaan Eucralipse di hadapan kita, beta dengan yakinnya mengatakan bahawa Eucris dan Eucralipse bukanlah sebuah kerajaan yang kebal. Dengan kebijaksanaan Kerk dan Egart, kita sudah pun berjaya memperdayakan Puteri Eury dan mencuri beberapa maklumat penting untuk memudahkan kita menawan Eucralipse!”

“Raja Eriel! Tak payah berbasa-basi! Apa sebenarnya niat kau 'mempamerkan' aku di hadapan rakyat kau ni? Menghina aku dan...” Pintasku lantang.

“Sabar dulu, Puteri Eury! Kau terlalu cepat marah dan bertindak tanpa usul periksa. Sama seperti datuk kau...”

“Dan sama seperti kau juga, kan?”

Raja Eriel sedikit tersentak mendengar tempelakku. Mukanya berubah menjadi merah dan serius. Tiada lagi riak gembira dan angkuh sepertimana sewaktu dia mengumumkan 'penangkapan' aku pada warga Dark City sebentar tadi.

“Egart!” Panggil Raja Eriel.

Seperti dapat membaca minda Raja Eriel, Egart bergerak dari tempatnya. Egart menarik salah satu bilah pedang yang tersusun berhampiran dengan tempat duduknya. Seperti aku, Kerk turut mengerutkan dahinya tanda kehairanan. Masih belum dapat membaca apa yang dirancangkan oleh Raja Eriel pada saat itu. Dan tanpa disangka-sangka, Egart mencampakkan pedang di tangannya kepadaku. Mujur aku dapat menangkap pedang yang bergerak laju itu. Pedang di tangan aku pegang dengan seribu tanda tanya di kepala.

Raja Eriel memandang tajam ke arah Kerk.

“Kerk, ini masanya kamu tunjukkan kesetiaan kamu yang tidak berbelah-bagi kepada kami semua. Kau tahu apa yag patut kau lakukann, kan?”

Kerk kelihatan terkejut dengan kata-kata Raja Eriel. Namun sebaik sahaja mula memahami kata-kata ayahandanya, dia kelihatan tenang dan bersedia menurut arahan ayahandanya. Dia melangkah menghampiriku di tengah gelanggang.

Raja Eriel memandang warga Dark City yang masih ternanti-nanti apa yang akan terjadi sebentar nanti.

“Seperti yang semua maklum, Kerk paling suka bertarung. Menguji kekuatannya serta belajar dari pihak lawannya. Dan Kerk beruntung kerana hari ini dia berpeluang untuk berlawan dengan seseorang yang bukan calang-calang orangnya!”

Aku mula rasa tak sedap hati. Kerk sudah mengeluarkan pedang miliknya dari sarung. Raja Eriel yang tersenyum sinis aku pandang semula. Meminta kepastian.

“Sekejap lagi kita akan menyaksikan pertarungan antara Puteri Eury dan Kerk!”

Aku terasa seperti ada sebiji batu besar menghempap kepalaku.

“Perlawanan ini adalah perlawanan kalah-mati! Salah seorang; sama ada Kerk atau Puteri Eury perlu mati untuk mengisytiharkan siapa pemenang bagi perlawanan ini!”

Aku hampir pitam mendengar pengumuman Raja Eriel.


Followers