Thursday, December 9, 2010

eucralipse 27


Kuda yang aku tunggang berlari laju menuju ke tengah padang. Tiada apa yang aku fikirkan saat itu. Tiada ketakutan. Tiada strategi. Tiada jangkaan. Tiada apa-apa. Fikiranku seolah-olah kosong. Yang ada hanya matlamat untuk menyelamatkan Kerk. Itu sahaja.

Belakang leher kuda aku usap perlahan. Meminjamkan kuasa Oc-cra padanya agar kuda ini dapat berlari sekencang angin kepada Kerk. Ketika melintasi tentera Rexo, aku sempat melibaskan pedangku. Membunuh atau mencederakan sesiapa sahaja yang berhampiran denganku. Mereka kelihatan terpinga-pinga melihat teman seperjuangan tiba-tiba rebah dan mati tanpa dapat melihat siapa penyerangnya.

Setibanya di luar lapisan tentera Dewa Kegelapan, aku melompat masuk ke tengah lapisan tersebut. Mataku terus menangkap susuk tubuh Kerk di tanah. Tompok-tompok darah berada pada hampir keseluruhan pakaiannya menyuntik rasa sedih dan sakit di hatiku.

“Kerk!”

Suaraku menarik perhatian Esmet dan Rexo. Mereka memandang aku dengan pandangan yang pelik. Ternyata kehadiranku mengejutkan mereka.

“Eury! Keluar juga kau dari istana tu, ya!” Sinis ayat Esmet. Matanya dilirikkan pada Jetto. Aku lihat Jetto menundukkan kepalanya sebelum tubuhnya menjadi kaku seperti patung. Matanya memandang kosong ke hadapan. Jetto seperti berada di dunianya sendiri. Barisan tentera Dewa Kegelapan berpaling serentak ke arahku dan mula mengepung aku dan Kerk. Bulatan yang dibentuk oleh mereka semakin mengecil. Mereka sudah bersedia untuk menyerang.

Saat itu barulah aku mengerti dengan tindak-tanduk Jetto tadi. Dia menghantar mesej ke minda setiap tenteranya untuk menghapuskan aku dan Kerk!

Aku segera berlari mendapatkan Kerk. Sepantas kilat tubuh Kerk aku peluk erat sebelum melompat dan melambung tinggi dari tanah yang sudah aku lembut dan lenturkan strukturnya. Tentera Dewa Kegelapan mendongak memandang kami dengan pandangan kecewa. Jeritan keberangan Esmet membuatkan tentera-tentera Dewa Kegelapan di lapisan ketujuh dan keenam terpelanting ke belakang.

Kami mendarat jauh betul-betul di atas kuda yang aku tunggangi tadi. Aku dudukkan Kerk di hadapanku sebelum menarik tali kekang kuda dan mengarahkannya meninggalkan padang rumput tersebut. Kerk mengerang kesakitan.

“Bertahan Kerk...” Bisikku ke telinganya.

Kerk aku papah ke bawah sebatang pokok, di pinggir padang rumput. Kerk bersandar lesu di perdu pokok. Memandang lemah ke arahku. Sapu tangan aku keluarkan. Luka-luka di tubuh Kerk aku kesat dengan cermat. Takut perbuatanku akan mengundang kesakitan padanya lagi.

Kerk masih memerhatikanku. Pandangannya hampir sama seperti pandangan Esmet dan Rexo tadi.

“Awak tak patut berada di sini! Terus-terang saya katakan yang saya kecewa dengan kemampuan awak untuk memahami mesej arahan saya...” Perli Kerk dengan wajah yang berkerut. Aku mengesan nada marah dan kesal dalam kata-katanya. Namun, aku tetap gembira. Sekurang-kurangnya, Kerk masih bertenaga untuk berbuat demikian. 'Melihat' keadaan Kerk dari jendela istana tadi memang seperti tiada harapan untuk diselamatkan lagi. Jika aku terlambat beberapa saat, alamat melayanglah nyawa Kerk.

Aku mula mengoyakkan sapu tanganku. Kemudian aku keluarkan pula kain dan ubat yang aku bawa. Aku balut luka di tapak tangan Kerk yang agak dalam. Luka di ubun-ubun sehingga ke dahi. Luka di betis. Membalut bahu kiri yang terkehel. Ah, terlalu banyak bahagian tubuhnya yang cedera. Walau bagaimanapun, Kerk tidak lagi selemah tadi. Mungkin kedudukan Kerk yang jauh dari Esmet menyebabkan Kerk cepat sembuh dari kecederaannya.

“Eury...” Panggilnya bila dilihatnya aku masih lagi tidak bersuara.

“Saya akan anggap itu sebagai ucapan terima kasih dari awak.”

Tangan Kerk menangkap tanganku yang sibuk merawat lukanya.

“Awak tahu tak tindakan awak tadi merbahaya? Sekarang pun nyawa awak dalam bahaya! Saya nak awak tinggalkan tempat ni sekarang juga. Saya akan cari orang untuk melindungi awak ke Gunung Ocre. Kalau perlu, biar saya sendiri yang hantar awak ke sana!” Marah Kerk.

“Kerk, saya tak mahu ke sana! Awak masih tak nampak lagi ke? Saya ada peluang untuk melarikan diri tadi, saya ada banyak masa untuk menyembunyikan diri sejak malam semalam, tapi saya memilih untuk terus tinggal di sini. Ini negara saya! Saya ada hak untuk melindunginya sehingga nafas saya terhenti!”

“Eury...”

“Saya percaya saya boleh melakukan sesuatu untuk mengalahkan Rexo, Esmet dan semua musuh kita. Ini!”

Rantai Oc-cra aku bawa ke pandangan mata.

“Untuk apa Oc-cra ini diperturunkan kepada kita? Untuk apa saya dipilih untuk memilikinya kalau saya lari dan tidak menggunakannya?”

Kerk menghela nafas. Panjang dan berat. Tiada apa yang keluar dari mulutnya. Dia tunduk memeriksa kecederaannya. Aku tahu, dia sedar apa yang aku perkatakan tadi adalah benar.

“Kerk, saya tahu awak cintakan saya... Saya tahu awak buat begitu untuk melindungi saya tapi ini pilihan saya. Saya nak berlawan dengan mereka bersama-sama awak dan yang lain-lain. Kalah atau menang bukan persoalannya. Yang penting kita berusaha. Dan bersama. Awak fikir saya boleh lari ke Gunung Ocre dengan tenang ke lepas saya 'lihat' keadaan awak yang teruk dicederakan oleh orang-orang Rexo serta Esmet? Awak ingat saya boleh hidup aman di tempat baru tanpa kehadiran awak dan ingatan buruk berkenaan awak di medan perang?”

Aku mengeluh sambil mengeleng perlahan. Aku puas hati. Sekurang-kurangnya aku sudah pun katakan apa yang berbuku di hatiku. Bagaimana penerimaan Kerk, itu terpulang padanya.

“Jadi rasanya tiada apa yang boleh saya lakukan untuk ubah keputusan awak tu, kan?”

“Ya! Itu betul!”

Dari ekor mata, aku lihat Kerk mengangkat kening lalu melempar pandangan jauh ke hujung padang rumput. Tentera Dewa Kegelapan kelihatan terpinga-pinga di tempat mereka. Masih menunggu arahan seterusnya dari Jetto.

“Terima kasih...” Ucap Kerk dalam diam. Kepalaku beralih ke arahnya. Kerk memandangku. Kali ini wajahnya lebih lembut. Tidak setegang tadi.

“Walaupun ianya sesuatu yang memalukan... err...maksud saya, diselamatkan oleh seorang puteri boleh menjatuhkan maruah saya sebagai satria... err...dan situasi yang luar biasa tapi apapun... terima kasih! Awak memang puteri yang berani.”

Aku tersenyum.

“Kiranya marah sebab ego jatuh la ye?”

“Bukan! Sebab bimbang keselamatan awak la!” Nafinya.

“Bagaimana dengan keadaan awak? Boleh ke awak berlawan lagi? Awak nampak...teruk...”

Kerk mengangkat keningnya.

“Jangan risau. Saya pernah cedera lagi teruk dari ini. Saya seorang tentera, ketua perang di Dark City. Saya dilatih dengan teruk oleh Menelaus dan pernah berlawan dengan pelbagai jenis orang. Ini tiada apa bagi saya.”

Apa reaksi Kerk seandainya dia tahu Menelaus sudah terbujur kaku di padang rumput sana? Apapun, Menelaus itu tetap gurunya, dan seseorang yang rapat dengannya.

Kerk mengambil tanganku. Sangkanya reaksiku sebengitu gara-gara bimbang akan keadaan dirinya.

“Eury, saya tak apa-apa. Jadi awak tak perlu risau. Keadaan saya lebih baik dari tadi. Tadi... Bila berhadapan dengan Esmet, saya tak tahu kenapa...saya rasa lemah sangat.” Adu Kerk. Suaranya kedengaran jauh. Seperti cuba mengimbas kembali apa yang berlaku ke atasnya di padang rumput sana sebentar tadi.

“Esmet pusat kuasa jahat sekarang. Kita pula elemen kuasa baik. Menghampirinya akan membuatkan kita rasa lemah. Mungkin itu puncanya.”

Kerk menganggukkan kepala. Tanda faham. Kami berpandangan seketika.

“Apa strategi kita?” Soal Kerk. Aku tersenyum mendengar penerimaan Kerk terhadap penyertaanku dalam misinya.

“Mula-mula kita hapuskan Jetto. Asalkan Jetto lenyap, tenteranya yang lain turut akan mati bersamanya. Kemudian Esmet. Esmet ancaman besar buat kita kerana dia boleh menghidupkan Jetto dengan Oc-cranya. Yang terakhir, Rexo. Saya tak nampak dia boleh jadi ancaman besar pada kita. Jangan bimbang tentang tentera Rexo yang lain. Raja Eriel dan tenteranya boleh uruskan.” Terangku.

Kerk menoleh ke arahku sebaik sahaja nama Raja Eriel aku sebut.

“Ayahanda ada di sini?” Terketar-ketar bibir Kerk menyoalku. Terkejut. Aku dapat rasakan bahawa Kerk masih tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan Raja Eriel, lelaki yang dianggapnya sebagai ayahanda selama lebih sedekad. Terutamanya selepas dia mengambil keputusan untuk mengkhianati Raja Eriel dengan melarikan aku dari Dark City dan memihak pada Eucralipse.

Bahu Kerk aku usap perlahan.

“Jangan bimbang! Raja Eriel dah pun tahu perkara yang sebenarnya. Pasti dia boleh menjustifikasikan tindakan awak tu. Dia ke sini pun kerana ingin menebus dosa-dosanya serta menghapuskan pembunuh isterinya.”

Kerk tunduk.

“Saya harap saya diberi kesempatan untuk memohon maaf darinya. Bagi saya, dia tetap ayahanda saya walaupun kami tak punya pertalian darah.”

Kerk semakin dibuai rasa. Aku tak mahu dia berkeadaan seperti itu. Dia perlu fokus terhadap peperangan yang kami tinggalkan sebentar tadi.

“Fokus, Kerk! Masa kita semakin singkat. Istana saya mungkin akan berubah menjadi debu dalam masa beberapa minit lagi!”

Kerk mengalihkan pandangannya ke arah istana Eucralipse. Tentera-tentera Dewa Kegelapan sedang asyik membaling batu-batuan besar ke arah istana. Tembok-tembok dan dinding istana runtuh akibat dibedil. Debu semakin tebal di udara. Aku tahu, ini salah satu strategi Rexo dan Esmet untuk mengumpan aku dan Kerk keluar dari tempat persembunyian kami dan berlawan dengan mereka. Rasa lega serta-merta menerpa di hati sebaik sahaja mengingatkan diri bahawa istana tersebut telahpun dikosongkan. Mengikut perkiraanku, mereka sudah patut sampai ke Gunung Ocre sekarang.

“Kita kena pergi sekarang!”

Belakang kuda aku panjat.

“Eury, tentera-tentera Dewa Kegelapan tak mungkin membiarkan saya membunuh Jetto begitu dengan mudah. Jetto diibaratkan seperti jantung. Nyawa mereka. Sebagai 'kaki' dan 'tangan' kepada Jetto, mereka akan sedaya-upaya melindungi Jetto.”

“Jangan bimbang! Saya akan buatkan tentera-tentera Dewa Kegelapan itu 'sibuk'. Awak hanya tumpukan perhatian pada Jetto.”

“Bagaimana?”

“Tentu ada caranya. Saya akan fikirkan dalam perjalanan ke sana nanti.”

“Awak terlalu yakin. Tak takut?” Duga Kerk.

“Tak!” Jawabku pendek.

Kerk memegang tanganku. Digenggamnya erat.

“Itu yang menakutkan saya. Keberanian dan keyakinan awak tu mungkin akan membuatkan awak melakukan sesuatu yang di luar kemampuan awak...”

Aku menunduk. Lalu mendekatkan wajahku ke wajahnya.

“Percaya pada saya. Saya akan jaga awak. Dan awak akan jaga saya, kan?”

Kerk mengangguk. Mengucup pipiku dengan pantas.

“Mari kita tamatkan peperangan ini!”

Kerk terbang di udara. Dan aku segera mengarahkan kudaku berlari semula ke tengah padang rumput. Melintasi Ellisa yang sudahpun menyertai Egart, aku tahu kebimbanganku terhadapnya langsung tidak berasas. Ternyata Altrun mendidik Ellisa dengan baik. Sebagai anak bangsawan, Ellisa bukan sahaja mempunyai budi pekerti yang baik malah memiliki kemahiran menggunakan senjata yang agak hebat.

Aku mendongak ke atas. Kerk mengisyaratkanku agar berhati-hati sebaik sahaja kami menghampiri tentera Dewa Kegelapan. Aku angguk lantas mendepakan tangan. Tenaga aku kumpulkan, lalu aku salurkan ke tangan. Satu kuasa tolakan terhasil lantas menolak jatuh tentera Dewa Kegelapan yang berada di kiri dan kananku. Aku terus pergi ke bahagian tengah. Kerk sudahpun berada di situ. Berhadapan dengan Jetto. Kerk sudah mula menyerang Jetto. Menggunakan segala kuasa dan kemahiran yang ada padanya untuk menghapuskan Jetto.

Seperti yang dijangkakan, Jetto mengarahkan tentera-tenteranya untuk membantunya menghapuskan Kerk. Aku menolak tentera Dewa Kegelapan dengan kuasaku. Mereka terpelanting ke belakang lalu menimpa rakan mereka yang lain. Esmet dan Rexo terkejut melihat kemampuanku. Kerk mengasak Jetto dengan serangan demi serangan. Dengan kekuatan yang ada, Kerk dengan mudah dapat menguasai pertarungan mereka. Tanpa puluhan ribu tenteranya, Jetto seperti kehilangan 'taringnya'.

“Esmet! Jetto!” Jerit Rexo.

Jari Rexo menunding ke arah Kerk yang sudah mula menyerang Jetto. Esmet menurut telunjuk ayahandanya. Wajahnya berubah menjadi berang sebaik sahaja memahami maksud ayahandanya. Seandainya Jetto dihapuskan, tentera-tentera Dewa Kegelapan turut musnah dan mereka tidak akan punya kekuatan ketenteraan yang cukup kuat untuk menakluki Eucralipse. Tentera Dewa Kegelapan mula menyerangku setelah menerima arahan minda dari Jetto.

Esmet bergegas berlari ke arah Kerk namun dia tercampak ke belakang sebaik saaja melanggar tembok lutsinarku. Enggan berputus asa, Esmet menumbuk, menendang malah menghayunkan senjatanya ke tembok lutsinar tersebut. Namun ianya sia-sia. Rexo yang turut membantu Esmet terpaksa berputih mata dengan kegagalan mereka.

Senyuman mekar di bibirku. Tembok tersebut kukuh seperti tadi. Kuasaku juga tidak terjejas. Setakat ini aku langsung tidak terasa terbeban untuk memastikan tembok tersebut utuh di tempatnya dan dalam masa yang masa berlawan dengan tentera Dewa Kegelapan yang tak terkira bilangannya itu. Matlamatku saat ini hanyalah satu; memastikan tentera-tentera ini 'sibuk' sehinggalah Kerk dapat menghapuskan Jetto.

Pedang di kedua-dua belah tangan aku hayunkan ke kiri dan kanan. Aku terpaksa melompat untuk memenggal batang leher tentera-tentera Dewa Kegelapan yang mengepungiku memandangkan ketinggian mereka hampir dua meter. Sebaik sahaja mereka jatuh, rakan mereka yang lain akan menggantikan tempat tersebut. Aku melompat ke tengah. Meninggalkan tempat yang sudah bersepah dengan tubuh kaku para tentera tersebut. Mereka bergerak ke kiri dan ke kanan. Memberi ruang untuk aku berpijak sebelum mengepung dan mula menyerangku semula. Aku berpusing 360 darjah. Semakin lama semakin laju. Seperti gasing. Memancung semua yang ada di sekelilingku.

Esmet naik berang apabila semua usahanya untuk menyelamatkan Jetto gagal. Dia berjalan gagah ke arahku. Tentera Dewa Kegelapan berhenti menyerang. Memberi laluan kepada Esmet. Esmet mencekak batang leherku sebaik sahaja aku jejak ke tanah. Mengangkatku tinggi sehingga aku terpaksa menundukkan kepala untuk melihat dirinya.

“Ini semua angkara kau bukan? Mengkagumkan!”

Aku tersengih. Mengejek dirinya.

“Kenapa? Kau nak mengaku kalah pada seorang perempuan?” Cabarku.

Esmet mendengus.

“Kau tak akan menang, Esmet!”

Ketawa Esmet pecah saat itu juga. Tubuhku dilepaskan jatuh ke tanah. Aku mengaduh kesakitan.

“Ye ke? Tapi kau belum lihat lagi kemampuan aku.” Kata Esmet dengan angkuh.

Bibir yang meleret ke atas kembali pada tempat asalnya. Apa sebenarnya kuasa Esmet?

“Mari aku tunjukkan pada kau!”

Esmet memaksa aku berdiri. Dicengkamnya rahangku dengan jari-jemarinya yang kasar. Memaksa aku memandang wajahnya. Mata Esmet menikam mataku. Ya, matanya! Belum sempat aku memejamkan mata, mataku terlebih dahulu sudah di'buta'kan oleh matanya. Aku hanya nampak Esmet. Aku hanya nampak apa yang ada di dalam anak matanya. Aku nampak Kerk dibunuh dengan kejam. Aku nampak Eucralipse hancur seolah-olah kerajaan kami tidak pernah wujud. Aku nampak Eucris dan rakyat jelata bergelimpangan mati di merata tempat. Tiada bunyi lain kedengaran selain suara Esmet. Aku nampak aku diseksa lantaran enggan menuruti kemahuan Esmet.

“Kau lihat. Betapa mudahnya kami menumpaskan kamu semua. Simpan tenaga kau. Menyerah kalah sahajalah!”

Aku ingin sekali melawan tetapi seluruh tubuhku seperti sudah lumpuh. Aku langsung tidak dapat menggerakkan mana-mana anggota badan sekalipun untuk mengerdipkan mata!

Ya, inilah kuasa Esmet! Dia mempunyai mata syaitan. Mata yang memukau dan akhirnya akan membunuh mangsanya. Aku dengan mudahnya menuruti perintah Esmet.

Tentera Dewa Kegelapan segera berlari ke arah Kerk sebaik sahaja tembok di sekeliling Kerk runtuh. Kerk menendang Jetto sekuat hati ke tanah. Esmet mencampakkan aku ke tepi. Menyertai tenteranya yang lain untuk membunuh Kerk.

'Bunuh dia, Kerk! Bunuh dia sekarang!'

Slash!

Pedang Kerk melibas leher Jetto. Kepala Jetto tercampak berhampiran dengan kakiku. Darah merah gelap, hampir kehitaman, memancut keluar dari leher Jetto. Tubuh Jetto jatuh tersembam ke tanah. Suasana diam seketika. Seketika kemudian kedengaran bunyi dentuman demi dentuman menghentam tanah, sekaligus menggegarkan bumi Eucralipse. Satu persatu tubuh tentera Dewa Kegelapan jatuh ke tanah sebelum semuanya bertukar menjadi kepingan-kepingan tanah kering dan terbakar. Rexo dan Esmet berpusing-pusing melihat kehancuran tentera mereka dengan rasa tidak percaya.

Aku berdiri. Aku dan Kerk berbalas pandangan dan senyuman melihat kejayaan pertama kami.

Anak mata Kerk liar mencari sesuatu.

“Sekarang giliran kau, Esmet!”

Serentak itu tubuh Kerk dan Esmet terbang di udara.

Dan Rexo pula menyerangku.

Pedang kami berempat bergeseran dan bunyinya menguasai suasana. Kerk kelihatan tenang menangani setiap serangan dari Esmet. Ternyata latihan dan pengalaman yang dimiliki membuatkan Kerk bijak membaca gerakan Esmet. Berbeza dengan Esmet yang kelihatan gelojoh menyerang demi menamatkan pertarungan mereka.

Kebolehanku membaca memori Rexo memberi banyak kelebihan padaku dalam menangani Rexo. Melalui memorinya, aku mempelajari gaya serangannya serta taktik-taktiknya yang lain. Justeru itu, agak mudah bagiku untuk menjangkakan tindakan Rexo dan menepis serangannya. Kelicikan serangan Rexo memaksa aku untuk sentiasa dalam keadaan bersedia. Untuk membunuh Rexo, aku perlu mencari peluang untuk menyerangnya. Bukan sekadar menepis dan mengelak dari mengenai mata pedangnya sahaja.

Berdasarkan penilaianku, Kerk akan memenangi pertarungan ini dengan mudah sehinggalah pertarungan mereka tiba ke kemuncaknya. Apabila pedang Kerk dan Esmet bersilang...

Esmet menahan pedang Kerk dari mengenai batang lehernya dengan pedangnya. Kerk, dengan kedua-dua belah tangan, menolak pedangnya dekat ke tubuh Esmet. Saat itulah mata mereka beradu dan dalam sekelip mata tubuh Kerk kaku di udara sebelum ditendang jatuh ke tanah.

Mulutku melopong memandang Kerk dan Esmet. Serentak itu Rexo menepis jatuh pedang di tanganku. Hujung pedangnya berada di leherku.

Esmet berdiri gagah di sisi Kerk yang terbaring. Sebelah kakinya memijak tubuh Kerk yang dalam kesakitan. Nafasku turun naik dengan laju. Menahan amarah di hati. Esmet mengangkat keningnya padaku.

“Ini kepakaran aku, ingat tak?” Sinis dia menuturkan ayatnya. Dan dia terus membelasah Kerk. Rexo di sisiku hanya tersengih melihat Kerk mengerang.

Kepakaran Esmet?

Kepakaran Esmet adalah permainan mindanya. Mindanya boleh mempengaruhi fizikal dan mental mangsa. Permainan minda. Bagaimana untuk mengatasi kuasa minda Esmet?

Ya! Dengan kuasa minda juga! Aku segera memejamkan mata.

'Kerk! Awak dengar tak suara saya?'

Diam. Tiada balasan terhadap suara mindaku.

'Kerk! Bangun Kerk! Awak tak boleh kalah macam tu aje!'

Telepati antara kami adalah usaha terakhir aku untuk menyelamatkan Kerk dari dibunuh oleh Esmet. Namun kebisuan Kerk membuatkan usaha ini sia-sia.

'Kerk, saya tahu awak boleh dengar suara saya. Kerk... Jawab panggilan saya...'

Tubuh Kerk masih kaku di atas tanah. Hanya membiarkan Esmet melakukan semahu hatinya. Mata Kerk memandang tepat ke mata Esmet. Ya, itulah puncanya! Mata. Semuanya bermula dengan mata.

Di saat aku hampir berputus asa, sayup-sayup aku terdengar suara minda Kerk.

'Eury...'

'Bangun, Kerk! Awak berpuluh kali ganda lebih hebat dari Esmet. Satu-satunya kelebihan yang ada pada Esmet adalah permainan mindanya. Awak berada dalam permainan mindanya sekarang. Lawan dia, Kerk! Lawan!'

'Saya tak berdaya. Saya tak boleh buat apa-apapun. Badan saya tak boleh bergerak.'

'Yakin pada diri awak sendiri. Nafikan setiap kata-kata dari mindanya. Jangan dengar! Hanya dengar kata saya sahaja.'

'Susah. Suara mindanya terlalu kuat.'

'Tapi awak boleh dengar suara saya, kan?'

'Ya!'

Itu petanda baik. Berbeza dengan keadaan aku yang langsung tidak mendengar sebarang bunyi pun kecuali suara Esmet semasa dikuasai oleh Esmet tadi.

'Itu petanda baik, Kerk! Sekarang, cuba fokus dan dengar suara saya sahaja. Abaikan suara Esmet.'

'Saya cuba.'

'Okey. Saya akan bercakap tanpa henti supaya awak hanya akan boleh dengar suara saya sahaja.'

'Okey.'

'Dengar sini. Semua yang disogokkan oleh minda Esmet itu semuanya bohong belaka. Ayahanda dan bonda awak selamat di Gunung Ocre. Begitu juga dengan ayahanda dan bonda kita. Mereka masih tidak dapat mengesan kedudukan kubu kita di Gunung Ocre tu. Kalaupun mereka tahu, mereka tak punya tentera yang cukup untuk menawan Eucris di sana. Jetto dah mati. Begitu juga dengan tentera Dewa Kegelapan yang lain. Mereka semua dah jadi debu. Awak bukan pengkhianat! Jangan percaya kata Esmet. Awak tak mengkhianati ayahanda awak sendiri. Awak hanya mencari kebenaran dan secara kebetulan kebenaran tidak memihak pada Raja Eriel yang awak sebagai ayahanda selama ini.'

Aku meninjau keadaan Kerk. Aku nampak jari-jemari Kerk bergerak-gerak. Kerk dah mula bebas dari 'sumpahan' Esmet sedikit demi sedikit. Bagus! Aku kena teruskan bercakap.

Aku 'dengar' Esmet mereka-reka cerita tentang kehidupannya sebagai putera Segi.

'Esmet bohong! Segi tak perlukan putera palsu dan kejam seperti Esmet. Mereka perlukan awak. Selama ini pun rakyat tak pernah memuliakan Esmet kerana sikapnya yang tidak adil dan tidak berperikemanusiaan. Permaisuri Xera tak pernah melupakan awak, Kerk! Baginya awak tak pernah mati sekalipun beratus kali dia disogokkan dengan cerita kematian awak. Esmet tak pernah sedetik pun dapat menggantikan tempat awak di hatinya. Raja Eries sentiasa rindu saat-saat manis antara dirinya dan awak. Mereka tak pernah marah ataupun bencikan awak kerana menyertai pemberontakan Raja Eriel. Mereka menantikan kedatangan awak di Gunung Ocre. Jadi, bangun! Mari kita tamatkan riwayat hidup Esmet dan Rexo. Kita akan bina semula Eucralipse. kita bina hidup baru yang berpaksikan kuasa baik.'

'Ya, saya kena lawan Esmet. Saya kena tamatkan pertarungan ini.'

'Bagus! Tindakan pertama yang awak harus lakukan adalah pejamkan mata awak. Tutup laluan utama untuk Esmet menguasai awak.'

Aku 'lihat' Kerk memejamkan matanya. Aku menarik nafas lega.

'Nyahkan Esmet dari minda awak.'

Kerk mengangguk.

'Fokus!'

'Baik...'

'Sekarang saya nak awak bangun dan lawan Esmet.'

Dahi Kerk berkerut.

'Dengan mata tertutup? Macam mana? Saya tak boleh lawan dia dalam keadaan buta!'

Pedang di tangan digenggam erat.

'Kalau awka buka mata, dia akan cuba pengaruhi awak lagi. Kuasanya pada mata, Kerk!'

'Tapi...'

'Awak percaya pada saya, Kerk?'

'Ya! Dengan nyawa saya.'

'Jadi terus pejamkan mata awak. Mulai sekarang awak akan melihat Esmet seperti mana apa yang saya melihat. Kita akan lihat dengan mata hati kita. Asalkan kita bersatu hati, awak akan melihatnya.'

Kerk terdiam. Membenarkan orang lain melihat apa yang aku lihat tanpa menyentuhnya; aku tak pernah cuba melakukannya. Kerana masa untuk aku memahami dan menguasai Oc-cra sangat terhad. Tapi aku harus mencubanya. Aku tumpukan perhatian. Mengumpulkan seluruh tenaga di mindaku. Memancarkan apa yang aku 'lihat' kepada Kerk.

'Saya dah nampak! Eury, saya boleh lihat apa yang awak lihat!'

'Bangun dan tamatkan riwayatnya!'
Jeritanku bergema di minda aku sendiri.

Kerk melompat bangun dan terus menyerang Esmet yang masih terbeliak matanya gara-gara terkejut. Rexo turut memandang pelik dengan kebangkitan Kerk. Sangkanya Kerk sudah sampai ke penghujung nyawanya.

Tubuhku menggigil. Aku tahu aku tak boleh bertahan lama dalam keadaan begini. Aku berdoa agar Kerk dapat mengalahkan Esmet dalam masa yang singkat.

Perlawanan kali ini menyaksikan ketangkasan Kerk berbanding tadi. Dia sama sekali tidak memberi peluang Esmet untuk menyerangnya.

Slash!

Rusuk Esmet berdarah sebaik sahaja mengenai pedang Kerk. Wajah Esmet berkerut menahan sakit. Kerk terus menumbuk dadanya dan menendangnya hingga rebah.

Slash!

“Arrrgghhhhhhh....!” Jeritan Esmet menggegarkan bumi Eucralipse. Darah memancut keluar dari kedua-dua belah matanya. Mata Esmet telah dibutakan dek hujung mata pedang Kerk. Serentak itu aku dan Kerk membuka mata kami. Aku mengangguk pada Kerk. Kerk mengangkat tinggi pedangnya dan dengan pantas mata pedangnya 'menyembelih' leher Esmet. Esmet mengelepar di atas tanah dan perlahan-lahan tubuhnya menjadi kaku. Kerk tunduk. Menarik Oc-cra dari leher Esmet, melambung dan memotong Oc-cra tersebut di udara dengan pedangnya. Oc-cra Pemusnah bertukar menjadi debu dalam masa sesaat.

SLASH!!!

Jantung terasa seperti berhenti berdegup. Dalam keadaan cemas aku mencari Rexo yang sudah hilang di sisiku. Saat itu juga mataku mencari Kerk pula. Mata Kerk terbeliak memandangku. Mulutnya ternganga seperti ingin mengatakan sesuatu namun tiada sepatah perkataan pun yang lahir dari mulutnya. Dan tubuh Kerk jatuh ke tanah. Darahnya membuatkan rumput hijau berubah warna. Tubuh Kerk menggigil. Matanya masih memandangku. Di belakang Kerk, Rexo mengangkat pedangnya yang sudah dibasahi dengan darah merah Kerk.

“Kerk...!”

Aku berlari mendapatkan Kerk. Kepala Kerk aku angkat perlahan-lahan dan aku letakkan di riba. Saat itu juga tapak tanganku dibasahi dengan darahnya. Tanganku meraba-raba tubuhnya, mencari dari mana datangnya darah tersebut. Dan aku menemui luka yang panjang dan dalam di belakang badan Kerk. Sama panjangnya dengan pedang di tangan Rexo.

“Kerk...” Panggilku perlahan. Air mata sudah membasahi pipi. Mengalir jatuh ke wajah pucat Kerk. Kerk mengangkat tangannya. Namun tangannya jatuh sebelum sempat mengesat air mataku. Aku meraung kecil di situ. Bibir Kerk terkumat-kamit. Telinga aku dekatkan ke mulutnya.

“Bunuh...Rexo...Darahnya...darah Dewa Kegelapan...Dia boleh hidupkan...Jetto semula...”

Aku mengangguk perlahan. Wajah Kerk kabur di mataku. Air mata yang bertakung aku kesat dengan tapak tangan. Rexo menghiris tapak tangannya dengan pedang di tangan. Darah Kerk di pedangnya, serta darah dari tangannya jatuh ke tubuh kaku Jetto. Aku enggan menunggu untuk melihat apa yang akan terjadi pada tubuh Jetto. Kerk aku letakkan tanah. Pedang Kerk aku capai dan aku terus berlari mendapatkan Rexo.

Kemarahan dan dendam yang menguasai diri menyebabkan pertimbanganku kurang rasional. Aku menyerang Rexo bertalu-talu tanpa strategi tertentu serta melakukan kesilapan demi kesilapan sehingga pedang Rexo dapat mencederakanku beberapa kali dengan mudah.

“Jangan buang masa, Eury! Kamu tak setanding dengan beta. Beta cadangkan agar kamu pergi menangisi kematian kekasih kamu di sana.”

Pedang aku libas ke tubuhnya.

“Kerk belum mati lagi! Dia tak akan mati!”

Rexo ketawa berdekah-dekah.

“Jangan bohong diri sendiri! Kamu tahu betapa betapa teruknya lukanya. Dan darahku sedang meracuni darahnya sekarang!”

Aku cuba menenangkan diri. Rasa marah dan sedih tak akan membantu aku saat ini. Tetapi untuk berlagak tenang pada saat ini juga adalah sesuatu yang mustahil apatah lagi apabila mengenangkan Kerk yang tinggal nyawa-nyawa ikan di sana.

“Kita boleh berkerjasama, kamu tahu...” Tawar Rexo.

“Saya lebih rela mati dengan cara bermaruah begini!”

Pedang kami berlaga lagi.

“Mati bermaruah? Bukan. Ini adalah mati secara tragis...”

Pedangku tepis jatuh. Sekali lagi mata pedangnya berada di leherku.

Aku pejamkan mata. Mengumpul kekuatan dalamanku untuk melawan Rexo. Kedua-dua belah tapak tanganku melekap di dada Rexo dan aku tolaknya sekuat hati ke belakang.

Zapp!

Sebatang anak panah menembusi dada Rexo. Rexo memegang dadanya. Serta-merta mataku mencari gerangan sang pemanah. Raja Eriel muncul beberapa meter dari belakang Rexo. Ada rasa puas hati tergambar di wajahnya.

“Itu hadiah dari aku dan isteriku!” kata Raja Eriel.

Dan aku terus melompat mengambil pedangku dan memenggal kepalanya. Kepala Rexo terpelanting jauh dari kami. Darah merah gelap, hampir berwarna hitam, membuak-buak keluar dari lehernya.

“Terima kasih. Dendam beta dah terbalas sekarang.” Segaris senyuman aku berikan padanya.

“Mana Kerk?”

Senyumanku mati saat itu juga.

Kerk...

5 comments:

epy elina said...

wah....
akhrnya esmet an rexo mati jg....
tp...
x nak kerk mati....
nak epy ending....

Anonymous said...

tak sabarnyeee nak tunggu episod yg seterusnye....siries best, eury!

oc-cra tuh kan ade magic (or whateva u call it)...tolong la jangan bagi kerk mati....please3...

Anonymous said...

wa...dari pukul lapan pagi dah terpacak depan lappie tunggu eury upload...janji nak upload arini...yeyey,esmet n rexo da mati...eury,nak epi ending.x mo kerk mati...
~SAK~

tzaraz said...

euryyy!!!...uwaaaaa..kerk aku!
nangis nih!

Anonymous said...

Awesome posting. Benar-benar menikmati membaca posting blog Anda.

Followers