Monday, September 29, 2008

Cinta Kau dan Aku 2

Sejak peristiwa dekat KFC tu, aku seolah-olah melancarkan perang dingin dengan Amir. Kami tak pernah bercakap pun walaupun sekelas dan selalu berselisih bahu. Setakat jeling-jeling je. Sampai nak juling biji mata aku ni. Ceh, berlagak! Aku ramai kawan la kat sekolah ni. Tak heran lah kalo tak kawan dengan ko! Tapi susah gak sebab budak Amir ni dah jadi kawan baik Shafiq. Shafiq plak member aku. Kalo kawan baik Shafiq maksudnya aku tak dapat mengelak daripadanya. Pergi mana pun dengan Shafiq. Rimasnya...

Azira plak macam dah kena ‘guna-guna’ aje. Asyik angaukan si mangkuk tue. Cute la, berkarisma la, ada gaya la... Macam-macam la. Mana ada Amir kat situ lah dia nak menyibuk. Apa Amir wat mesti dia nak amik tau. Isk isk isk... Ada gak orang minat kat budak tak berapa nak betul tue. Yang tensionnya, aku dan Humaira’. Asyik kena dengar cerita Azira tentang Amir. Ada yang fakta, ada gak yang outa...

Diam-diam aku turut memerhatikan Amir. Walaupun aku berkali-kali cuba ku nafikan namun akhirnya aku mengakui kata-kata Azira. Amir memang cute, berpenampilan kemas dan menarik. Dia duduk di barisan belakang sekali dalam kelas. Betul-betul kat sudut kelas. Mengambil tempat Fauzi yang berpindah ke Terengganu. Dia masuk kira-kira sebulan lepas, masa aku cuti demam campak selama 2 minggu. Patutlah aku tak perasan dia ni ada kat kelas. Kalo budak-budak lain wat bising masa cikgu tak ada, dia lebih suka diam dan membaca. Macam-macam buku dia baca. Agaknya dia memang budak nerd kot. Aku rasa dah hampir sekerat library sekolah tu buku-buku yang dah dibacanya. Cikgu Rokiah merangkap guru yang bertanggungjawab menjaga library sekolah bukan main suka lagi dengan Amir ni. Maklumlah tak ramai budak yang suka membaca. Oleh kerana terlalu suka, Amir dilantiknya menjadi pustakawan. Shafiq pun bukan main suka lagi, maklumlah bertambah lagi geng baju pink dia...

Masuk pertengahan tahun, satu rombakan besar-besaran diadakan oleh cikgu-cikgu sekolah. Katanya nak meningkatkan prestasi pelajar-pelajar. Yang lemah akan diasingkan ke satu kelas supaya boleh diberikan tumpuan khas. Aku memang tak perlu risau sebab tempat aku memang di kelas pertama, budak elit mestilah di kelas elit kan...Tapi yang merisaukan aku, Cikgu Mariam, guru kelasku turut berura-ura nak mengubah kedudukan kami di dalam kelas. Kami akan ditempatkan secara berpasangan di dalam kelas supaya tidak bising dan lebih produktif.Erk...Boleh caya ke?

“Anis, kamu duduk di sebelah Amir di barisan tengah. Azira, kamu duduk barisan depan sekali. Senang saya nak ketuk kepala kamu kalo kamu tidur dalam kelas saya. Shafiq, kamu di sebelah Humaira’. Suria, kamu dan Shahril pula duduk di sana.”

Bukk! Bagai ada batu besar yang menghempap bahuku. Budak-budak kelas aku mula sibuk berpindah ke tempat baru. Aku lihat ada yang gembira, ada gak yang sedih dengan kedudukan meja yang baru. Maklumlah dah serasi dengan teman-teman di sebelah-menyebelah. Aku? Napa plak aku kena duduk sebelah di mangkuk tu? Huhu!!! TAK NAK!!!

“Cikgu, saya tak nak duduk kat sana...”

Kata-kata protesku terhenti setakat itu bila terpandangkan muka Cikgu Mariam yang mencuka dan garang mengalah singa lapar tak makan seminggu tu. Lambat-lambat aku kemas buku-buku dan berpindah duduk di tempat baru. Amir wat tak reti aje dengan keadaan kelas yang agak sibuk apabila masing-masing memindahkan barang-barang ke tempat baru. Buku di tangannya terus dibaca. Chicken Soup For Teenage Souls. Erm…Aku pun suka baca buku macam ni. Pinjam boleh? Sekali dia jawab, boleh blah… Padan muka aku! Baik tak payah tanya. Siap berkemas, aku duduk termenung di tempat baru. Lebih tepat aku termenung di sebelah, Amir Faiesal, musuhku. Apalah malang nasibku...

*******************************************************************************

“Bestnya ko Anis. Dapat duduk sebelah dia. Kalo aku la, bahagianya hidup... Dapat tengok dia hari-hari. Ini cikgu letak aku depan sekali. Jangankan nak tengok, nak jeling dia pun tak dapat!” ujar Azira engan nada sedih.

“Banyak lah ko punya best. Ko bukan tak tau yang aku tak geng dengan dia. Sengal betullah!” Kertas kosong di hadapan aku conteng sepenuh hati.

“Nasib aku pun malang gak... Si Shafiq Gorilla tu duduk sebelah aku. Alamatnya kuruslah aku makan hati dengan perangai dia. Dah la suka pukul-pukul orang. Mulut laser plak tu...Hai lah nasib badan...”

Aku memaut bahu Humaira’ dan Azira. Kiranya bukan aku seorang aje la yang tak senang hati dengan perubahan di kelas kami itu. Selama ni pun memang kami tak pernah berenggang. Ke mana sahaja bertiga. Duduk pun berderet bertiga dalam kelas. Hatta ke bilik air pun bertiga.

“Anis, janji dengan aku yang ko akan report semua yang Amir wat kat aku setiap hari. Aku nak tau segala apa yang dia wat tau.” Aku mengangguk kepala. Kalo tak kerana Azira, tak ingin aku tengok Amir tu. Nak aje aku buat tirai supaya aku tak payah tengok muka dia hari-hari.

“Anis, ko tolonglah warning si Gorilla tu supaya tak pukul dan buli aku. Shafiq tu takut sikit dengan ko. Lagipun ko selalu belanja dia makan, mesti ikut cakap ko punya!” Muka sedih Humaira’ aku pandang. Sebuah senyuman manis ku hadiahkan kepadanya dan Azira. Meyakinkan mereka bahawa semuanya akan baik-baik sahaja. Betul ke?

*******************************************************************************

“Each of you get a copy and do the exercise now. We will be discussing it at the end of the class!”

Wargh!!! Aku menguap besar. Ha, barulah aku sedar kelebihan duduk di barisan tengah ni. Apa aku nak buat pun cikgu tak perasan sangat. Mata aku ni memang tak boleh dengar suara Teacher Faridah. Asal dengar je suara dia mesti mata aku jadi layu. Subjek yang paling aku tak suka ialah Bahasa Inggeris. Wargh!!! Eh, mana kertas yang Teacher Faridah bagi tadi? Apasal tak sampai-sampai lagi kat aku ni? Lembabnya orang depan ni pass. Tak sarapan pagi apa... Aku tengok Amir di sebelah tekun membuat latihan. Uiks...! macam mana dia boleh dapat tapi aku tak dapat?

“Woi, Amir! Mana paper saya?”

Dia wat derkk aje...Ui, pekak ke apa dia ni? Aku panggil lagi dan lagi. Tak dengar ke buat-buat tak dengar ni? Kali ini kaki kerusinya ku sepak. Amir berpaling dengan muka merah. Marah la tu...Hehe... Orang kulit cerah, senang la nak detect bila dia marah.

“Woi, apa main sepak-sepak ni? Kasar giler la pompuan ni!”

“Awak yang pekak badak! Panggil baik-baik tak nak dengar. Mana kertas saya?”

“Kalo nak kertas, minta baik-baik sikit. Kita ni beradat.”

Eh, pandai plak cakap fasal adat. Dia macam la baik dan ikut adat sangat. Ko nak ikut adat apa? Adat Pepatih ke Adat Temenggung? Aku prefer Adat Pepatih sebab menangkan pompuan...

“Cepat lah bagi kertas tu! Nanti habis masa BI plak!”

“Cakap dengan penuh sopan-santun dulu. Baru saya bagi. Cakap, En. Amir sayang, boleh tak tolong bagi kertas tu pada saya...”

Amir sayang? Uwekks... Tunggu kucing bertanduk la baru aku cakap macam tu dekat dia. Kertas di tangannya segera aku rampas. Amir mengepal penumbuk. Nak tumbuk aku plak ke? Ha, cubalah kalo berani... Aku jerit kuat-kuat nanti. Pandanganku jatuh pada kertas di tangan. Alamak latihan grammar! Bencinya... Benci-benci pun aku dapat gak abiskan latihan 30 soalan tu on time. Bukan susah pun, bulatkan aje ikut suka. Hehe...

“Question number 8. Anis, what is the answer?”

Teacher Faridah ni memang suka lah panggil nama aku. Macam tau-tau je aku tak suka BI dan lemah BI apatah lagi bab-bab grammar ni. Alamak apa jawapan dia ni?

“ Aaa... the answer is....the answer is...”

“C. Was reading.” Amir berpaling dan berbisik padaku. Baik gak dia ni, tolong aku bagi jawapan. Betul kot jawapan dia ni. Dia pun memang Teacher Faridah selalu puji. Maklumlah, selalu dapat A dalam subjek BI ni.

“What is the answer, Anis? Hurry up!”

“C. Was reading!” Konfiden je jawapan aku.

“Was reading? Wrong! How could you put ‘was reading’ there. It is present tense not past yet…” Pot pet pot pet Teacher Faridah membebel. Adoi, pedih telinga aku! Amir tersengih-sengih aje. Dia sengaja bagi aku jawapan salah. Nanti ko! Ada ubi ada batas, bila-bila nanti aku balas!

“Anis, I want you to do exercises on page 23 in the text book and pass to me tomorrow. You need extra exercises.”

Alamak…! Dapat plak lagi keje tambahan. Ini semua fasal si badigol, Amir Faiesal....Fuh, sabar Anis! Kamu sedang diuji oleh Allah.

*******************************************************************************

“Buka latihan math yang saya bagi semalam. Saya nak bincang!” Arah Cikgu Mariam. Masing-masing patuh dengan arahannya. Cikgu Mariam ni garang tau. Tak pernah nak senyum dengan pelajar. Tapi dia cikgu yang bagus. Sapa-sapa yang dia ajar mesti score A punyalah. Dan dia cukup pantang kalo orang tak wat keje dia. Kalo tak birat tangan dirotan, mungkin akan tumbuh la sayap pada buku latihan kami... Silap-silap masuk longkang kat luar kelas kami ni.

“Alamak! Tak siap lagi...”

Amir merungut sendirian tapi telinga lintah aku ni dengar. Anis, peluang ko dah datang! Hahaha... Ada ubi ada batas, masa ni la aku nak balas... Hahaha... Dah naik tanduk aku dah ni! Seperti yang aku jangkakan, Amir berpaling ke arahku. Nak minta simpati aku la tu. Ni mesti nak salin jawapan aku ni...

“Anis, pinjam buku awak. Saya nak salin jawapan...”

Buku latihan segera kuhulurkan kepadanya. Sepantas kilat Amir menyambut dan mula menyalin jawapan yang tertera. Aku tersenyum sendiri. Kejap lagi siap la ko!! Tau la ko langit tu tinggi ke rendah, mendung ke cerah... Tau la ko sapa dia Anyss Sophyllya ni... Gadis pujaan dan disukai ramai di daerah ini tau! Huwargh wargh...

“Amir, tunjukkan jalan pengiraan soalan no 12 di white board.”

Dengan konfiden je Amir tulis jawapan dari buku Shukri di papan putih. Mesti dia ingat buku yang dia amik dari aku tadi tu, buku aku. Padahal aku dah wat ‘pakatan murni’ dengan si Shukri tadi. Shukri yang memang aku tau ada hati dengan aku menurut aje bila aku minta buku dia. Buat pengetahuan semua, Shukri pelajar paling cuai dan slow dalam subjek math kat kelas kami. Kadang-kadang 7-3 pun dia jawab 5... 4 x 5 pun dia boleh jawab 45. Banyak berangan kot? Aku senyum lagi.

“Salah. Dari atas sampai bawah, semua salah. Bawa sini buku kamu!” Cikgu Mariam mengamati jawapan-jawapan Amir dalam buku latihannya. Pastinya banyak jawapan yang salah dari betul. Dan seperti yang kami jangka, buku latihan Amir terbang dan terus masuk dalam longkang.

“Kamu ni tak serius masa wat latihan. Soalan punya senang pun kamu tak dapat buat? Pergi duduk!”

Sempat Amir menghadiahkan aku jelingan mautnya sebelum duduk kembali di tempatnya. Hehehe.... Aku tak kisah. Janji dendam aku terbalas.

*******************************************************************************

“Dia dapat 97 dalam ujian BI. Markah math dia plak 53 aje. Bila cikgu tak ada dia sambung baca buku cita yang semalam tu...” Hobi sampingan dia plak menyakitkan hati aku. Asyik cari jalan nak mengenakan aku! Nak aje aku sambung macam tu tapi tak sampai hati la plak. Nanti kecik plak hati kawan aku ni...

Itu aje yang aku laporkan pada Azira. Ringkas dan padat. Itu pun Azira berminat nak tahu. Tak faham aku orang sakit angau ni! Ada sekali tu Azira minta aku skodengkan pen jenis apa dia selalu pakai, kasut saiz berapa la, entah apa-apa lagi lah yang tak masuk akal. Pening aku dibuatnya. Agak-agaknya, dia nak tak tahu bila si Amir tu pergi toilet, bila dia korek hidung... Hehe...

“Wah, dia pandai BI ek! Tapi kureng pandai math. Apapun dia tetap hensem dan jadi pujaan hatiku.” Uweks... Nak muntah mendengarnya. Hensem tapi perangai macam hantu wat pe. Teringat plak peristiwa buku latihan mathnya yang bersayap dikerjakan oleh Cikgu Mariam. Tak fasal-fasal kena beli buku baru.

“Tapi kesian aku tengok masa Cikgu Mariam baling buku dia tu. Nak menangis aku tengok dia kutip buku tu.”

Aku segera angkat bahu dan pandang tempat lain. Kalo la Azira tau yang aku punca buku Amir bersayap... Humaira’ aku tengok monyok semacam je. Selalunya dia lah yang paling ceria. Bila aku tanya, dia mengeleng aje. Shafiq buli dia kot!

*******************************************************************************

Satu. Dua. Tiga. Empat. Lima. Enam. Tujuh. Lapan. Sembilan. Sepuluh. Sepuluh kali rotan diterima oleh Amir dari Cikgu Mariam. Semuanya gara-gara aku yang sengaja ‘mencicirkan’ surat cinta Hidayah yang aku jumpa pagi tadi di bawah meja Cikgu Mariam. Yang si Hidayah tu pun satu, simpan la elok-elok surat tu kat celah-celah buku si Amir. Baru la tak tercicir.

Sebentar tadi, ketika Hidayah bersama-sama dipanggil di hadapan kelas, Amir sedikit pun tidak membantah atau membenarkan apa yang dibicarakan oleh Cikgu Mariam. Dia cuma menganggukkan kepala tanda faham apabila Cikgu Mariam bagi warning supaya jangan bercinta masa bersekolah. Selebihnya, Hidayah yang beria-ia meminta maaf dan membela bahawa Amir tidak bersalah dalam hal itu. Menurut Hidayah, surat-surat cintanya Amir tak pernah balas pun. Hidayah ni kira SS @ syok sendiri la. Selepas dirotan sepuluh kali, Hidayah diminta tidak mengulangi perbuatannya dan disuruh kembali ke kelasnya.

Ada budak-budak dalam kelas yang tersengih-sengih dengan nasib yang menimpa Amir. Aku? Ketawa riang dalam hati. Rasa bahagia bila dapat mengenakan Amir. Azira pula aku lihat bergenang air matanya. Yela... Pujaan hatinya diintai orang... Silap-silap putih mata!

Amir langsung tak ceria hari tu. Kalo selalu tu, ada aje modal dia nak mengusik dan membuli aku tapi hari ni dia cuma diam aje. Diam sediam-diamnya. Bila Shafiq ajak dia makan, dia wat bodoh aje. Bila Shukri tanya dia soalan latihan BI, dia cuma mengelengkan kepala. Aku langsung dia tak pandang. Dia tau ke aku yang sabotaj dia? Dia marah aku ke ek? Terdetik satu rasa yang sukar difahami dalam hatiku. Apa dia ye? Kesian kot... Tak pun rasa bersalah...

*******************************************************************************

“Ko lukis gambar apa tu?”

Berus cat warna air aku letak di tepi meja. Shima dan Aliah dok melongo tepi meja, aku pandang. Mereka berdua kulihat terteleng-teleng kepala, cuba memahami apa yang aku lukis. Tangan aku ni memang keras sikit kalo nak melukis gambar pemandangan. Ye la, bakat melukis aku memang tak ada...

“Gambar pemandangan tepi pantai, macam yang cikgu suruh!” Jawabku.

Berkerut-kerut muka Shima dan Aliah aku tengok. Aku tau la lukisan aku tak cantik. Tak berapa jadi pun pemandangan yang aku lukis. Tapi tak payah lah berkerut macam tu sekali. Amir menoleh. Melihat lukisan aku. Sibuk aje mamat ni!

“Betul ke pantai tu? Macam tempat pelupusan sampah aje saya tengok!”

Ei, mamat ni! Kalo ko tak bersuara satu hari, tak kan ada orang cakap ko bisu la. Asal bercakap aje menyakitkan hati aku. Asal hati aku sakit aje ko bercakap. Banyak tau dosa ko dengan aku. Entah bila nak minta maaf agaknya...

“Orang bodoh dan tak pandai menilai hasil seni je yang kata macam tu. Ni lukisan abstrak. Orang bermata batu macam awak memang la tak kan faham!”

“Apalah lukisan yang boleh awak buat, cik Anis oi! Tangan awak tu tangan kayu!”

Shima dan Aliah mula menjauh. Malas nak masuk campur. Memang satu kelas dah tahu yang aku dan Amir ni asyik berperang. Tak pernah nak berdamai. Ada yang kata ‘jodoh’ kami kuat. Jodoh? Gilo apo? Chill... Umur aku baru 17 tahun.

Aku segera mengemaskan peralatan lukisan dan cat air di atas meja. Dari melayan mamat yang terlepas dari asylum Tampoi tu, baik ler aku berkemas. Lukisan aku pun dah siap. Buruk pun buruk la...Janji hantar kan... Lepas satu beban. Dari dia yang dari tadi tak sudah-sudah melakar, apa ke hal?

“Ops...Hujan setempat plak! Sori ekk...” Kaki yang semut-semut @ kebas membuatkan aku tak stabil berdiri. Ketidakseimbangan aku berdiri menyebabkan berlaku sesuatu di luar jangkaanku.

Amir bingkas bangun dari tempatnya. Tangannya mengesat-ngesat rambut dan baju sekolahnya yang dah basah dek warna air aku. Baju sekolahnya dah bertukar menjadi warna keruh, sekeruh riak wajahnya.

“Awak memang sengaja curah air tu kan!”

“Saya tak sengaja la...Dah air ni nak tertumpah, awak terima je la qada’ dan qadar Allah ni...”

Aku pantas berlalu dengan senyuman puas. Memang aku tak sengaja menumpahkan lebihan warna air tu tadi tapi bila mengenangkan perangai dia yang ‘busuk’ tu, aku tak rasa menyesal pun kotorkan baju pinknya. Tiba-tiba lenganku dicengkam kuat.

“Lepaslah! Sakit tau...”

“Minta maaf dulu. Baru saya lepaskan!”

“Tak mahu! Mati hidup balik pun saya tak mahu minta maaf dari awak. Saya benci awak!”

Kakinya aku pijak kuat. Serentak itu aku merentap lenganku dan segera berlalu dari situ. Amir yang masih mengaduh cuma mampu melihatku pergi. Uweks...Sengaja aku jelirkan lidah. Biar dia bertambah geram dan marah...Hehe...

0 comments:

Followers