Saturday, December 18, 2010

eucralipse 28 (end)


Semuanya tamat begitu sahaja pada hari itu...

Jetto mati di tangan Kerk. Kepalanya putus dipenggal oleh Kerk. Tubuhnya yang berwarna hitam mengeras sebelum berubah menjadi debu. Kematian Jetto disusuli dengan kematian kesemua tentera-tentera Dewa Kegelapan yang mana mereka berada di bawah pengaruh minda Jetto. Tubuh mereka rebah ke tanah, berubah menjadi berkeping-keping seperti tanah kering sebelum terbakar.

Esmet turut mati di hujung pedang Kerk setelah permainan mindanya gagal memperdayakan kami. Oc-cra Pemusnah di lehernya dihancurkan oleh Kerk. Awan gelap di langit berarak pergi sebaik sahaja Oc-cranya menjadi debu. Petanda terlepasnya kami dari cengkaman kuasa kejahatan.

Kematian Esmet membuatkan Rexo berang. Rexo telah melukakan dirinya sebelum melibas Kerk dengan pedangnya. Dengan bantuan Raja Eriel, aku telah membunuh Rexo sebelum dia sempat menghidupkan Jetto dengan darah Dewa Kegelapan yang mengalir dalam tubuhnya. Tubuh Rexo dan Esmet kami campak ke laut bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang buruk berlaku. Tubuh mereka bersemadi di situ.

Lima ribu tentera Rexo menjadi orang tawanan kami dengan mudah. Kehilangan pucuk pimpinan membuatkan mereka hilang arah tujuan.

Peperangan itu tamat di situ...

Kami namakan peristiwa tersebut sebagai Perang Merah, dicatat dan ditanda dalam buku sejarah juga dengan warna merah kerana ia menyaksikan bumi Eucralipse bermandikan darah.

Seramai 77 120 orang tentera kami terkorban di medan perang kerang mempertahankan Eucralipse. Mayat mereka kami kuburkan di kawasan khas di pinggir Eucralipse. Nama-nama mereka kami ukir di atas tugu peringatan. Baki tentera seramai 2 880 orang yang terselamat telah kami beri penghormatan serta ganjaran atas jasa-jasa mereka.

Egart patah beberapa tulang rusuk dan kaki dalam perang tersebut. Luka dan parut di tubuhnya melebihi bilangan jari untuk dikira. Sebatang gigi depan Egart patah ketika berlawan dengan salah seorang tentera Dewa Kegelapan. Wajah Egart tampak 'lucu' terutama ketika dia tersenyum menampakkan ruang kosong di barisan giginya. Walau bagaimanapun sayang Ellisa terhadap Egart tetap tidak berbelah bahagi. Mereka berkahwin sebaik sahaja Egart pulih dari kecederaannya, iaitu kira-kira 4 bulan selepas tamatnya Perang Merah, lebih awal dari apa yang kami jangkakan. Tidak lama kemudian Egart dianugerahkan pingat Pahlawan Terulung oleh ayahandaku dan dilantik sebagai Ketua Tentera yang baru bagi menggantikan Altrun yang telah bersara.

Ayahanda dengan murah hatinya telah menghadiahkan kawasan yang dahulunya digelar Dark City dan kawasan di timur Eucralipse kepada Raja Eriel. Raja Eriel membina sebuah istana kecil sebagai kediamannya di situ. Di dalamnya pula dibina sebuah taman yang indah sebagai tempat persemadian isterinya. Raja Eriel dengan sukarelanya mengajar anak-anak bangsawan serta sesiapa sahaja yang berminat untuk bermain senjata.

Lima tahun berlalu dalam sekelip mata. Eucralipse sudah pulih sepenuhnya dari kerosakan dan kesedihan yang ditinggalkan oleh Perang Merah. Kerajaan Eucralipse kembali menjadi kuasa terkuat dan digeruni seperti dahulu.

“Ada yang tak kena dengan cerita ni!” Satu suara menyampuk. Ceritaku terhenti. Mata bulat berwarna ungu jernih di hadapanku terkebil-kebil. Bibir merahnya yang kecil sedikit ke hadapan. Merajuk barangkali.

“Apa yang tak kena, Mizu?” Suara Ouna yang nyaring pula menyoal. Mizu menjeling marah ke arah Ouna. Ouna mencemikkan muka.

Aku menunggu jawapan Mizu. Begitu juga dengan Ouna.

“Semua orang ada kesudahan cerita mereka selepas Perang Merah berlaku tetapi tak diceritakan pun apa yang jadi pada pemilik Oc-cra Pelindung dan Hijau. Apa yang jadi pada mereka setelah pemilik Oc-cra Pelindung cedera? Tak akan la mereka ghaib begitu sahaja. Sebab tu la saya rasa cerita ni tak lengkap!”

Aku tersenyum mendengar jawapan Mizu. Dia memang kanak-kanak yang bijak. Walaupun baru berusia 4 tahun namun jelas kelihatan sifat kepimpinan dan kecerdikan akalnya. Ouna menggaru kepalanya.

“Ya, Ouna pun perasan tentang hal itu...”

Aku tersenyum lantas ingatanku mengimbas kembali kejadian pada hari 'itu' dan bersedia mengungkapkannya dengan kata-kata.

Pedang yang berlumuran dengan darah Rexo aku campak jauh-jauh. Langkah kakiku longlai menuju ke arah Kerk. Di sisinya aku terduduk. Kepalanya aku bawa ke pangkuan.

Pertempuran antara Eucralipse dan Rexo sudah tamat. Yang tinggal hanya pertarungan yang berlangsung dalam tubuh Kerk. Antara darahnya dan darah Rexo yang sedang meracuninya. 'Hadiah' terakhir Rexo sebelum nyawanya aku tamatkan.

Tubuh Kerk menggeletar. Dadanya berombak kencang. Nafasnya pendek-pendek dan kelihatan begitu payah sekali. Bibirnya pucat tidak berdarah. Warna tubuhnya sudah kebiruan. Darah merah bertompok hitam mengalir dari luka di belakang badannya. Matanya memandang sayu ke mataku.

“Kerk... Kita dah menang...”

Kerk tersenyum mendengar suara serakku. Dia cuba membalas kataku namun kudratnya tidak mengizinkan. Dia hanya mampu menggerakkan kepalanya sedikit; mengangguk. Senyuman nipis dihadiahkan buatku. Itupun begitu payah untuk diukirkannya. Tangisanku semakin rancak. Darah Rexo sudah sebati dengan darah Kerk. Memamah sistem pertahanan dirinya. Membunuh Kerk dalam diam dari dalam.

Tubuh Kerk aku peluk erat.

Tolong... Tolong jangan ambil Kerk dariku...

Tanpa Kerk...

TIDAK! Aku tak boleh fikir apa yang akan terjadi tanpa Kerk di sisiku...

Aku tak pernah mahukan apapun... Seumur hidup aku, aku tak pernah berasa adanya kekurangan... Bila Kerk muncul, aku hanya mahukan dia di setiap siang dan malamku, di setiap tawa dan hibaku...

Hanya dia...

Suasana hening membuatkan aku berasa aneh seketika. Terasa seperti tiada apa yang hidup dan bergerak ketika itu walaupun angin. Awan yang cerah berubah menjadi menjadi mendung serta-merta. Kegelapan menyelubungi bumi Eucralipse saat ini.

Mataku segera mencari wajah Kerk.

Tubuh Kerk kaku dan dingin dalam dakapanku. Pelukan aku renggangkan. Kelopak mata Kerk tertutup rapat. Bibirnya kering dan lebih pucat berbanding tadi. Seluruh tubuhnya berubah menjadi pucat dan dingin.

“Kerk! Awak tak boleh mati! Bukankah awak berjanji untuk menjaga saya?”

Tubuh Kerk aku goncang sekuat mungkin.

“Kerk! Bangun!”

Setitik demi setitik air mataku jatuh, mengeras di pipi sebelum jatuh ke muka Kerk. Titisan jernih berwarna hijau itu cair di kulit Kerk dan membasahi wajahnya. Kerk masih berkeadaan seperti tadi.

“Tidak!!!” Jeritku.

“Kerk! Jangan tinggalkan saya! Tolong jangan tinggalkan saya! Awak ada berjanji bukan, lepas perang ni tamat kita akan hidup bahagia bersama. Kotakan janji awak!”

Aku sudah seperti hilang akal. Menumbuk dan memukul-mukul dada dingin Kerk. Berharap ianya jantungnya kembali berdegup.

“Anakandaku...”

Pedang di tangan jatuh ke tangan. Raja Eriel melangkah lesu ke arahku sebelum terduduk di sisi Kerk. Memeriksa denyut jantung di dada Kerk. Merasai ketiadaan helaan nafas di hidung Kerk. Raja Eriel memejamkan matanya. Tangisan sedihnya berlangsung dalam sepi.

Di belakang Raja Eriel, kelihatan Ellisa memapah Egart menuju ke arah kami. Tergambar kesedihan pada wajah mereka.

Aku memandang kosong ke hadapan. Sekosong fikiranku kini.

“Dua buah Oc-cra lebih kuat dari sebuah Oc-cra.”

“Oc-cra punya banyak kelebihan yang tak tercapai dek akal kita.”

“Sebaik sahaja seseorang dapat menguasai Oc-cra seterusnya bergabung menjadi satu, Oc-cra akan menjadi sumber kekuatan dirinya.”

Kata-kata tersebut berulang-tayang di mindaku.

“Mungkin dah tiba masanya untuk tuan puteri membaca Kitab Oc-cra.”

“Bila pemilik Oc-cra mati, pemilik Oc-cra yang lain boleh mengambilalih kuasa Oc-cranya...”

“Isi Kitab Oc-cra hanya boleh diketahui oleh pemilik Oc-cra. Berkurun lamanya amanah itu patik pegang, kini Oc-cra sudah menemui tuannya. Tugas patik sudah selesai. Tanggungjawab tuan puteri pula untuk menyampaikannya kepada pemilik Oc-cra yang seterusnya.”

“Saya tak tahu pun awak boleh mengambilalih kesakitan orang lain.”

“Dua buah Oc-cra lebih kuat dari sebuah Oc-cra.”

“Menguasai Oc-cra dalam masa yang singkat sememangnya tugas yang berat. Patik akui perkara tersebut. Namun patik yakin tuan puteri boleh melakukannya dengan bantuan Kitab Oc-cra.”


“Apapun yang jadi, saya akan sentiasa di hadapan. Melindungi awak dari segala bahaya.”

“Saya cintakan awak, Eury... Lebih dari apa yang awak bayangkan... Lebih dari apa yang saya jangkakan...”


Saya pun cintakan awak, Kerk...

Oleh sebab itu, saya tak akan mengalah...


Baju Kerk aku koyakkan. Mencari rantai Oc-cra di dadanya dan meragutnya hingga putus. Kemudian giliran Oc-cra milikku pula.

“Apa yang kamu buat ni, Eury?”

Soalan Raja Eriel kubiarkan sepi tanpa jawapan. Kedua-dua Oc-cra aku lambung ke udara. Ianya terapung dan kemudiannya ligat berpusing di udara. Mulut Raja Eriel melopong melihat fenomena tersebut. Mata aku pejamkan. Memusatkan perhatian.

Secara jujurnya, aku tak tahu apa yang sedang aku lakukan ini. Aku hanya mengikut gerak hati dengan harapan Kerk akan hidup semula.

Pusingan kedua-dua Oc-cra menghasilkan satu cahaya terang, menyinari tubuh Kerk. Aku sentuh setiap luka pada tubuh Kerk. Darah pada luka berhenti mengalir. Luka-luka tersebut mengecil dan akhirnya hilang begitu sahaja. Perlahan-lahan wajah pucat Kerk kembali menjadi merah.

Tenaga yang terasa seperti diserap keluar membuatkan aku rebah di atas tubuh Kerk. Tubuhku terasa lesu tidak bermaya. Kedua-dua Oc-cra sudah jatuh di sisiku.

“Eury!” Raja Eriel menggoncang tubuhku.

“Eury! Kau okey ke?” Ellisa menerpa kepadaku. Membantu aku untuk duduk.

“Eury, kau... nampak pucat...”

Tanpa menghiraukan rasa sakit yang menyucuk tubuh, aku segera memberikan perhatian pada Kerk. Kerk kelihatan seperti sedang tidur nyenyak. Bezanya, tiada gerakan di dada Kerk. Dalam erti kata lain, Kerk masih tidak bernafas. Kerk sudah mati...

Mungkin aku dah terlambat...

Mungkin aku dah gagal untuk selamatkan Kerk...

Aku memeluk Kerk dan menangis lagi. Ellisa mengusap belakang tubuhku. Lama kami berkeadaan begitu. Cukup lama sehingga Ellisa berhenti menenangkan diriku. Mungkin tangannya sudah letih mengusap tubuh dan membelai rambutku.

Ada sesuatu yang hangat menyentuh pipiku. Menangkap sebutir air mata yang jatuh dari pipiku.

“Air mata awak jernih dan cantik. Tapi itu tak bermakna saya suka lihat air mata awak.”

Kepala yang kubenamkan di dada Kerk, aku angkat.

“Kerk?!”

Senyuman lemah Kerk menyambutku.

Raja Eriel, Ellisa dan Egart mengucap syukur. Dengan susah-payah, Kerk bangun dan duduk di hadapanku. Mataku masih buntang memandangnya. Masih tidak percaya dengan keajaiban yang berlaku di hadapan mataku kini.

“Eury, jangan besarkan lagi mata tu! Menakutkan la!”

Aku diam. Gagal memberi reaksi terhadap katanya.

“Eury! Saya hidup lagi la. Saya belum jadi hantu lagi tau!”

Kerk mencubit pipiku. Sakitnya mengembalikan aku ke dunia realiti.

“Kerk! Awak hidup! Saya berjaya!”

Tiada apa yang boleh aku lakukan pada saat itu selain memeluknya. Senyuman dan tawa silih berganti di bibirku sehinggakan aku terasa seperti akalku sudah hilang entah ke mana.

Kerk meleraikan pelukannya.

“Terima kasih kerana...”

Ayat Kerk tergantung di situ bila jari telunjukku melekat di bibirnya.

“Tak perlu ucapkan terima kasih. Awak akan buat perkara yang sama jika awak berada di tempat saya.”

Kerk tersenyum lagi lalu mengucup bibirku.

“Jadi mereka hidup bahagia untuk selamanya?”

“Ya, Ouna.”

Ouna bertepuk tangan. Gembira dengan pengakhiran cerita tersebut.

“Tapi, bonda...”

Pandanganku beralih pada Mizu. Memang susah nak puaskan hati puteraku yang seorang ini. Rasa ingin tahunya begitu tinggi.

“Bonda tak pernah sebut pun nama pemilik Oc-cra tu. Bonda cuma sebut pemilik Oc-cra Pelindung. Pemilik Oc-cra Hijau. Entah-entah mereka tu tak wujud tak? Cerita bonda tu hanya sekadar mitos, tak berasas sama sekali.”

Sepasang tangan dari belakang tubuhku hinggap di kepala Mizu. Mizu mengaduh kesakitan. Dengan muka mencuka dia memandang ke atas untuk melihat siapa yang mengetuk kepalanya.

“Ayahanda!”

“Raja Rhyss!”

Mizu dan Ouna pantas berdiri dan menunduk hormat. Melihat nenda-nendanya berdiri di belakang Kerk, Mizu dan Ouna menunduk hormat sekali lagi.

“Berani kamu tuduh bonda kamu mereka-reka cerita?” Suara garau dan serius Kerk membuatkan Mizu dan Ouna kecut perut. Mereka tunduk memandang rumput. Terketar-ketar kaki mereka menahan rasa takut. Ayahanda dan bondaku hanya ketawa melihat mereka. Raja Eries dan Permaisuri Xera hanya mengelengkan kepala melihat telatah cucunya.

“Mizu cuma bertanya. Ayahanda juga yang kata rasa ingin tahu itu adalah 'perasa' penting dalam mendapatkan ilmu. Keraguan pula adalah 'penghalang' yang mungkin juga 'petunjuk' ke jalan yang benar. Cerita bonda menimbulkan keraguan. Mizu syak ada butiran yang tak diceritakan oleh bonda. Jadi salahkah Mizu bertanya, ayahanda?”

Kerk berdehem. Ini bukan kali pertama kepetahan Mizu membuatkan kami hilang kata-kata.

Aku segera berdiri di sebelah Kerk. Menepuk-nepuk lengannya. Menghantar isyarat agar menutup mulut. Bagiku, Mizu masih terlalu kecil memahami kesemua cerita tentang Oc-cra dan sejarah kami. Biarlah pengetahuannya mengenai hal tersebut sejajar dengan peningkatan umurnya.

Kerk melutut di hadapan Mizu. Menyamakan aras matanya dengan Mizu. Pandangan mereka bertemu. Tangan Kerk memegang kedua-dua belah bahu Mizu.

“Mizu, kamu perlu belajar untuk berusaha keras dan bersabar untuk mendapatkan sesuatu. Sudah! Ayahanda tengok kamu dah lama sangat berehat. Sekarang ayahanda mahu kamu sambung berlatih menggunakan pedang dengan Ouna.”

Kerk mencampakkan pedang yang diperbuat daripada kayu kepada Mizu dan Ouna. Mereka pantas menyambutnya dengan wajah yang berkerut. Mizu menghunus pedang kayunya ke arah pedang kayu Ouna.

“Tengok! Mizu boleh mengalahkan Ouna dalam masa beberapa saat sahaja. Tak ada cabaran langsung!”

“Benarkah begitu, Putera Mizu?”

Egart dan Ellisa mampir ke arah kami. Ouna sudah berlari-lari anak mendapatkan Ellisa lantas memeluk Ellisa. Mulut kecilnya terkumat-kamit mengadu kenakalan Mizu pada Ellisa.

“Err... Betul! Dia berlawan macam perempuan!”

“Mungkin putera patut bertoleransi dengan Ouna. Seperti kata putera sebentar tadi, Ouna memang seorang perempuan. Walaupun ada semangat kepahlawanan dalam dirinya, namun dia tak dapat lari dari memiliki kelembutan seorang perempuan.”

Mizu berfikir seketika. Memandang Ouna yang bersembunyi di sebalik tubuh Ellisa dan kemudian memandang Egart semula. Dia melemparkan senyuman pada Egart.

“Saya dah faham sekarang! Mulai hari ini, saya akan layan Ouna seperti seorang budak perempuan yang punya sifat kepahlawanan.”

Kami hampir tertawa mendengar kata-kata Mizu. Mizu tunduk hormat kepada kami sebelum berlalu mendapatkan Ouna.

“Mizu!”

Mizu berpaling. Memandang Kerk dengan mata yang bersinar.

“Ayahanda rasa kamu lupa akan sesuatu.”

Mizu mengerutkan dahinya.

“Apa dia, ayahanda?”

Kerk membuka genggaman tangannya. Dua utas rantai Oc-cra kelihatan di situ.

“Bukankah kamu berjanji untuk menjaganya?”

“Ya. Maafkan saya, ayahanda! Saya berjanji tidak akan menanggalkanya lagi selepas ini.” Janji Mizu bersungguh-sungguh.

Selepas dua tahun Mizu dilahirkan, aku dan Kerk mendapat tahu bahawa Mizu adalah pemilik Oc-cra kami yang seterusnya. Walaupun agak aneh memandangkan mengikut sejarah seorang pemilik Oc-cra hanya boleh menguasai satu Oc-cra, namun Oc-cra Pelindung dan Oc-cra Hijau 'memberikan kerjasama' yang baik dengan Mizu setakat ini. Perkembangan Mizu dan Oc-cra tersebut berada di bawah pemerhatian dan penyelidikan kami buat masa ini.

“Melainkan?” Kerk cuba menduga ingatan Mizu.

“Melainkan saya jumpa seseorang yang boleh menguasainya seperti mana saya menggunakannya.”

“Bagus! Nah, sekarang ambil 'amanah' kamu ini kembali.”

Mizu tidak berjalan mendapatkan Kerk untuk mendapatkan Oc-cra di tangan Kerk, sebaliknya dia hanya menghulurkan tapak tangannya ke arah Kerk. Kedua-dua Oc-cra terapung di atas tapak tangan Kerk dan bergerak ke tapak tangan Mizu. Mizu mengenakan rantai tersebut ke lehernya sebelum berlari mendapatkan Ouna.

“Ouna, saya minta maaf. Awak masih nak berkawan dengan saya?”

Tangan dihulurkan pada Ouna. Teragak-agak Ouna menyambutnya. Sebentar kemudian aku lihat Mizu sudah berlari ke tengah taman bersama-sama Ouna.

“Putera Mizu akan jadi putera yang bijak satu hari nanti.” Puji Egart.

“Ya, jika kau tak terlalu berprotokol dengannya. Layan dia seperti kawan kau, Egart. Seperti mana kau berkawan denganku. Tetapi didiklah dia seperti anak atau anak didik kau yang terdiri dari kalangan rakyat biasa. Dia perlu banyak pengalaman serta diasah ketajaman mindanya untuk jadi raja yang bijak. Dia juga perlu kenal erti kesusahan untuk jadi raja yang adil.” Balas Kerk.

“Ooo... Aku tak ada masalah. Cuma ayahanda dan bonda kau mungkin akan susah hati melihat cucu kesayangan mereka dibuli oleh aku.”

Kerk dan Egart berbalas pandangan sebelum memandang ayahanda dan bondaku serta ayahanda dan bonda Kerk yang sudah duduk di tepi taman untuk menikmati hidangan petang mereka. Kerk ketawa kecil sebaik sahaja memahami maksud Egart. Nenda-nenda Mizu begitu menyayangi Mizu yang comel serta bijak. Apatah lagi dia merupakan satu-satunya pewaris takhta yang aku dan Kerk duduki sekarang ni.

“Mizu! Awak main tipu!”

Suara Ouna sayup-sayup kedengaran dari tengah taman. Mizu menjelirkan lidah. Berlari selaju yang mungkin sebaik sahaja Ouna mula mengejar. Sesi kejar-mengejar kemudiannya bertukar menjadi perlawanan pedang kayu pula. Egart dan Ellisa cuma ketawa melihat gelagat mereka tanpa minat untuk menghentikan 'pergaduhan kecil' Mizu dan Ouna.

Sepasang tangan melingkar di pinggangku. Kerk merapatkan mukanya ke pipiku.

“Terima kasih kerana menghadiahkan saya kebahagiaan ini. Semua ini tak mungkin dapat saya kecapi tanpa awak.” Bisik Kerk.

“Terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup saya. Tanpa kehadiran awak, tentunya saya masih tercari-cari sekeping hati saya yang dah awak curi semasa kita kecil dahulu.”

Mata kami bertatapan. Sebuah kucupan singgah di pipiku.

“Saya cintakan awak!”

“Saya juga.”

Kami bertatapan sekali lagi sebelum melemparkan pandangan ke hadapan; ke arah Mizu dan jajahan Eucralipse.

~ tamat ~

**** Eury ~ telah diingatkan utk buat Kerk hidup :))... TQ krn sudi baca cite eucralipse :)) Pada mulanya eucralipse sekadar cite ’lepas geram’ eury. Yelah, kdg2 bosan berpijak di bumi nyata, mahu ada kuasa utk merubah sesuatu. Alhamdulillah ada yang membaca dan minta ia disambung...Finally, eucralipse abis juga wpun ambil ms yg sangat lama... mana yang terkurang harap dimaafkan dan dikomen utk diperbaiki... TQs...

Thursday, December 9, 2010

eucralipse 27


Kuda yang aku tunggang berlari laju menuju ke tengah padang. Tiada apa yang aku fikirkan saat itu. Tiada ketakutan. Tiada strategi. Tiada jangkaan. Tiada apa-apa. Fikiranku seolah-olah kosong. Yang ada hanya matlamat untuk menyelamatkan Kerk. Itu sahaja.

Belakang leher kuda aku usap perlahan. Meminjamkan kuasa Oc-cra padanya agar kuda ini dapat berlari sekencang angin kepada Kerk. Ketika melintasi tentera Rexo, aku sempat melibaskan pedangku. Membunuh atau mencederakan sesiapa sahaja yang berhampiran denganku. Mereka kelihatan terpinga-pinga melihat teman seperjuangan tiba-tiba rebah dan mati tanpa dapat melihat siapa penyerangnya.

Setibanya di luar lapisan tentera Dewa Kegelapan, aku melompat masuk ke tengah lapisan tersebut. Mataku terus menangkap susuk tubuh Kerk di tanah. Tompok-tompok darah berada pada hampir keseluruhan pakaiannya menyuntik rasa sedih dan sakit di hatiku.

“Kerk!”

Suaraku menarik perhatian Esmet dan Rexo. Mereka memandang aku dengan pandangan yang pelik. Ternyata kehadiranku mengejutkan mereka.

“Eury! Keluar juga kau dari istana tu, ya!” Sinis ayat Esmet. Matanya dilirikkan pada Jetto. Aku lihat Jetto menundukkan kepalanya sebelum tubuhnya menjadi kaku seperti patung. Matanya memandang kosong ke hadapan. Jetto seperti berada di dunianya sendiri. Barisan tentera Dewa Kegelapan berpaling serentak ke arahku dan mula mengepung aku dan Kerk. Bulatan yang dibentuk oleh mereka semakin mengecil. Mereka sudah bersedia untuk menyerang.

Saat itu barulah aku mengerti dengan tindak-tanduk Jetto tadi. Dia menghantar mesej ke minda setiap tenteranya untuk menghapuskan aku dan Kerk!

Aku segera berlari mendapatkan Kerk. Sepantas kilat tubuh Kerk aku peluk erat sebelum melompat dan melambung tinggi dari tanah yang sudah aku lembut dan lenturkan strukturnya. Tentera Dewa Kegelapan mendongak memandang kami dengan pandangan kecewa. Jeritan keberangan Esmet membuatkan tentera-tentera Dewa Kegelapan di lapisan ketujuh dan keenam terpelanting ke belakang.

Kami mendarat jauh betul-betul di atas kuda yang aku tunggangi tadi. Aku dudukkan Kerk di hadapanku sebelum menarik tali kekang kuda dan mengarahkannya meninggalkan padang rumput tersebut. Kerk mengerang kesakitan.

“Bertahan Kerk...” Bisikku ke telinganya.

Kerk aku papah ke bawah sebatang pokok, di pinggir padang rumput. Kerk bersandar lesu di perdu pokok. Memandang lemah ke arahku. Sapu tangan aku keluarkan. Luka-luka di tubuh Kerk aku kesat dengan cermat. Takut perbuatanku akan mengundang kesakitan padanya lagi.

Kerk masih memerhatikanku. Pandangannya hampir sama seperti pandangan Esmet dan Rexo tadi.

“Awak tak patut berada di sini! Terus-terang saya katakan yang saya kecewa dengan kemampuan awak untuk memahami mesej arahan saya...” Perli Kerk dengan wajah yang berkerut. Aku mengesan nada marah dan kesal dalam kata-katanya. Namun, aku tetap gembira. Sekurang-kurangnya, Kerk masih bertenaga untuk berbuat demikian. 'Melihat' keadaan Kerk dari jendela istana tadi memang seperti tiada harapan untuk diselamatkan lagi. Jika aku terlambat beberapa saat, alamat melayanglah nyawa Kerk.

Aku mula mengoyakkan sapu tanganku. Kemudian aku keluarkan pula kain dan ubat yang aku bawa. Aku balut luka di tapak tangan Kerk yang agak dalam. Luka di ubun-ubun sehingga ke dahi. Luka di betis. Membalut bahu kiri yang terkehel. Ah, terlalu banyak bahagian tubuhnya yang cedera. Walau bagaimanapun, Kerk tidak lagi selemah tadi. Mungkin kedudukan Kerk yang jauh dari Esmet menyebabkan Kerk cepat sembuh dari kecederaannya.

“Eury...” Panggilnya bila dilihatnya aku masih lagi tidak bersuara.

“Saya akan anggap itu sebagai ucapan terima kasih dari awak.”

Tangan Kerk menangkap tanganku yang sibuk merawat lukanya.

“Awak tahu tak tindakan awak tadi merbahaya? Sekarang pun nyawa awak dalam bahaya! Saya nak awak tinggalkan tempat ni sekarang juga. Saya akan cari orang untuk melindungi awak ke Gunung Ocre. Kalau perlu, biar saya sendiri yang hantar awak ke sana!” Marah Kerk.

“Kerk, saya tak mahu ke sana! Awak masih tak nampak lagi ke? Saya ada peluang untuk melarikan diri tadi, saya ada banyak masa untuk menyembunyikan diri sejak malam semalam, tapi saya memilih untuk terus tinggal di sini. Ini negara saya! Saya ada hak untuk melindunginya sehingga nafas saya terhenti!”

“Eury...”

“Saya percaya saya boleh melakukan sesuatu untuk mengalahkan Rexo, Esmet dan semua musuh kita. Ini!”

Rantai Oc-cra aku bawa ke pandangan mata.

“Untuk apa Oc-cra ini diperturunkan kepada kita? Untuk apa saya dipilih untuk memilikinya kalau saya lari dan tidak menggunakannya?”

Kerk menghela nafas. Panjang dan berat. Tiada apa yang keluar dari mulutnya. Dia tunduk memeriksa kecederaannya. Aku tahu, dia sedar apa yang aku perkatakan tadi adalah benar.

“Kerk, saya tahu awak cintakan saya... Saya tahu awak buat begitu untuk melindungi saya tapi ini pilihan saya. Saya nak berlawan dengan mereka bersama-sama awak dan yang lain-lain. Kalah atau menang bukan persoalannya. Yang penting kita berusaha. Dan bersama. Awak fikir saya boleh lari ke Gunung Ocre dengan tenang ke lepas saya 'lihat' keadaan awak yang teruk dicederakan oleh orang-orang Rexo serta Esmet? Awak ingat saya boleh hidup aman di tempat baru tanpa kehadiran awak dan ingatan buruk berkenaan awak di medan perang?”

Aku mengeluh sambil mengeleng perlahan. Aku puas hati. Sekurang-kurangnya aku sudah pun katakan apa yang berbuku di hatiku. Bagaimana penerimaan Kerk, itu terpulang padanya.

“Jadi rasanya tiada apa yang boleh saya lakukan untuk ubah keputusan awak tu, kan?”

“Ya! Itu betul!”

Dari ekor mata, aku lihat Kerk mengangkat kening lalu melempar pandangan jauh ke hujung padang rumput. Tentera Dewa Kegelapan kelihatan terpinga-pinga di tempat mereka. Masih menunggu arahan seterusnya dari Jetto.

“Terima kasih...” Ucap Kerk dalam diam. Kepalaku beralih ke arahnya. Kerk memandangku. Kali ini wajahnya lebih lembut. Tidak setegang tadi.

“Walaupun ianya sesuatu yang memalukan... err...maksud saya, diselamatkan oleh seorang puteri boleh menjatuhkan maruah saya sebagai satria... err...dan situasi yang luar biasa tapi apapun... terima kasih! Awak memang puteri yang berani.”

Aku tersenyum.

“Kiranya marah sebab ego jatuh la ye?”

“Bukan! Sebab bimbang keselamatan awak la!” Nafinya.

“Bagaimana dengan keadaan awak? Boleh ke awak berlawan lagi? Awak nampak...teruk...”

Kerk mengangkat keningnya.

“Jangan risau. Saya pernah cedera lagi teruk dari ini. Saya seorang tentera, ketua perang di Dark City. Saya dilatih dengan teruk oleh Menelaus dan pernah berlawan dengan pelbagai jenis orang. Ini tiada apa bagi saya.”

Apa reaksi Kerk seandainya dia tahu Menelaus sudah terbujur kaku di padang rumput sana? Apapun, Menelaus itu tetap gurunya, dan seseorang yang rapat dengannya.

Kerk mengambil tanganku. Sangkanya reaksiku sebengitu gara-gara bimbang akan keadaan dirinya.

“Eury, saya tak apa-apa. Jadi awak tak perlu risau. Keadaan saya lebih baik dari tadi. Tadi... Bila berhadapan dengan Esmet, saya tak tahu kenapa...saya rasa lemah sangat.” Adu Kerk. Suaranya kedengaran jauh. Seperti cuba mengimbas kembali apa yang berlaku ke atasnya di padang rumput sana sebentar tadi.

“Esmet pusat kuasa jahat sekarang. Kita pula elemen kuasa baik. Menghampirinya akan membuatkan kita rasa lemah. Mungkin itu puncanya.”

Kerk menganggukkan kepala. Tanda faham. Kami berpandangan seketika.

“Apa strategi kita?” Soal Kerk. Aku tersenyum mendengar penerimaan Kerk terhadap penyertaanku dalam misinya.

“Mula-mula kita hapuskan Jetto. Asalkan Jetto lenyap, tenteranya yang lain turut akan mati bersamanya. Kemudian Esmet. Esmet ancaman besar buat kita kerana dia boleh menghidupkan Jetto dengan Oc-cranya. Yang terakhir, Rexo. Saya tak nampak dia boleh jadi ancaman besar pada kita. Jangan bimbang tentang tentera Rexo yang lain. Raja Eriel dan tenteranya boleh uruskan.” Terangku.

Kerk menoleh ke arahku sebaik sahaja nama Raja Eriel aku sebut.

“Ayahanda ada di sini?” Terketar-ketar bibir Kerk menyoalku. Terkejut. Aku dapat rasakan bahawa Kerk masih tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan Raja Eriel, lelaki yang dianggapnya sebagai ayahanda selama lebih sedekad. Terutamanya selepas dia mengambil keputusan untuk mengkhianati Raja Eriel dengan melarikan aku dari Dark City dan memihak pada Eucralipse.

Bahu Kerk aku usap perlahan.

“Jangan bimbang! Raja Eriel dah pun tahu perkara yang sebenarnya. Pasti dia boleh menjustifikasikan tindakan awak tu. Dia ke sini pun kerana ingin menebus dosa-dosanya serta menghapuskan pembunuh isterinya.”

Kerk tunduk.

“Saya harap saya diberi kesempatan untuk memohon maaf darinya. Bagi saya, dia tetap ayahanda saya walaupun kami tak punya pertalian darah.”

Kerk semakin dibuai rasa. Aku tak mahu dia berkeadaan seperti itu. Dia perlu fokus terhadap peperangan yang kami tinggalkan sebentar tadi.

“Fokus, Kerk! Masa kita semakin singkat. Istana saya mungkin akan berubah menjadi debu dalam masa beberapa minit lagi!”

Kerk mengalihkan pandangannya ke arah istana Eucralipse. Tentera-tentera Dewa Kegelapan sedang asyik membaling batu-batuan besar ke arah istana. Tembok-tembok dan dinding istana runtuh akibat dibedil. Debu semakin tebal di udara. Aku tahu, ini salah satu strategi Rexo dan Esmet untuk mengumpan aku dan Kerk keluar dari tempat persembunyian kami dan berlawan dengan mereka. Rasa lega serta-merta menerpa di hati sebaik sahaja mengingatkan diri bahawa istana tersebut telahpun dikosongkan. Mengikut perkiraanku, mereka sudah patut sampai ke Gunung Ocre sekarang.

“Kita kena pergi sekarang!”

Belakang kuda aku panjat.

“Eury, tentera-tentera Dewa Kegelapan tak mungkin membiarkan saya membunuh Jetto begitu dengan mudah. Jetto diibaratkan seperti jantung. Nyawa mereka. Sebagai 'kaki' dan 'tangan' kepada Jetto, mereka akan sedaya-upaya melindungi Jetto.”

“Jangan bimbang! Saya akan buatkan tentera-tentera Dewa Kegelapan itu 'sibuk'. Awak hanya tumpukan perhatian pada Jetto.”

“Bagaimana?”

“Tentu ada caranya. Saya akan fikirkan dalam perjalanan ke sana nanti.”

“Awak terlalu yakin. Tak takut?” Duga Kerk.

“Tak!” Jawabku pendek.

Kerk memegang tanganku. Digenggamnya erat.

“Itu yang menakutkan saya. Keberanian dan keyakinan awak tu mungkin akan membuatkan awak melakukan sesuatu yang di luar kemampuan awak...”

Aku menunduk. Lalu mendekatkan wajahku ke wajahnya.

“Percaya pada saya. Saya akan jaga awak. Dan awak akan jaga saya, kan?”

Kerk mengangguk. Mengucup pipiku dengan pantas.

“Mari kita tamatkan peperangan ini!”

Kerk terbang di udara. Dan aku segera mengarahkan kudaku berlari semula ke tengah padang rumput. Melintasi Ellisa yang sudahpun menyertai Egart, aku tahu kebimbanganku terhadapnya langsung tidak berasas. Ternyata Altrun mendidik Ellisa dengan baik. Sebagai anak bangsawan, Ellisa bukan sahaja mempunyai budi pekerti yang baik malah memiliki kemahiran menggunakan senjata yang agak hebat.

Aku mendongak ke atas. Kerk mengisyaratkanku agar berhati-hati sebaik sahaja kami menghampiri tentera Dewa Kegelapan. Aku angguk lantas mendepakan tangan. Tenaga aku kumpulkan, lalu aku salurkan ke tangan. Satu kuasa tolakan terhasil lantas menolak jatuh tentera Dewa Kegelapan yang berada di kiri dan kananku. Aku terus pergi ke bahagian tengah. Kerk sudahpun berada di situ. Berhadapan dengan Jetto. Kerk sudah mula menyerang Jetto. Menggunakan segala kuasa dan kemahiran yang ada padanya untuk menghapuskan Jetto.

Seperti yang dijangkakan, Jetto mengarahkan tentera-tenteranya untuk membantunya menghapuskan Kerk. Aku menolak tentera Dewa Kegelapan dengan kuasaku. Mereka terpelanting ke belakang lalu menimpa rakan mereka yang lain. Esmet dan Rexo terkejut melihat kemampuanku. Kerk mengasak Jetto dengan serangan demi serangan. Dengan kekuatan yang ada, Kerk dengan mudah dapat menguasai pertarungan mereka. Tanpa puluhan ribu tenteranya, Jetto seperti kehilangan 'taringnya'.

“Esmet! Jetto!” Jerit Rexo.

Jari Rexo menunding ke arah Kerk yang sudah mula menyerang Jetto. Esmet menurut telunjuk ayahandanya. Wajahnya berubah menjadi berang sebaik sahaja memahami maksud ayahandanya. Seandainya Jetto dihapuskan, tentera-tentera Dewa Kegelapan turut musnah dan mereka tidak akan punya kekuatan ketenteraan yang cukup kuat untuk menakluki Eucralipse. Tentera Dewa Kegelapan mula menyerangku setelah menerima arahan minda dari Jetto.

Esmet bergegas berlari ke arah Kerk namun dia tercampak ke belakang sebaik saaja melanggar tembok lutsinarku. Enggan berputus asa, Esmet menumbuk, menendang malah menghayunkan senjatanya ke tembok lutsinar tersebut. Namun ianya sia-sia. Rexo yang turut membantu Esmet terpaksa berputih mata dengan kegagalan mereka.

Senyuman mekar di bibirku. Tembok tersebut kukuh seperti tadi. Kuasaku juga tidak terjejas. Setakat ini aku langsung tidak terasa terbeban untuk memastikan tembok tersebut utuh di tempatnya dan dalam masa yang masa berlawan dengan tentera Dewa Kegelapan yang tak terkira bilangannya itu. Matlamatku saat ini hanyalah satu; memastikan tentera-tentera ini 'sibuk' sehinggalah Kerk dapat menghapuskan Jetto.

Pedang di kedua-dua belah tangan aku hayunkan ke kiri dan kanan. Aku terpaksa melompat untuk memenggal batang leher tentera-tentera Dewa Kegelapan yang mengepungiku memandangkan ketinggian mereka hampir dua meter. Sebaik sahaja mereka jatuh, rakan mereka yang lain akan menggantikan tempat tersebut. Aku melompat ke tengah. Meninggalkan tempat yang sudah bersepah dengan tubuh kaku para tentera tersebut. Mereka bergerak ke kiri dan ke kanan. Memberi ruang untuk aku berpijak sebelum mengepung dan mula menyerangku semula. Aku berpusing 360 darjah. Semakin lama semakin laju. Seperti gasing. Memancung semua yang ada di sekelilingku.

Esmet naik berang apabila semua usahanya untuk menyelamatkan Jetto gagal. Dia berjalan gagah ke arahku. Tentera Dewa Kegelapan berhenti menyerang. Memberi laluan kepada Esmet. Esmet mencekak batang leherku sebaik sahaja aku jejak ke tanah. Mengangkatku tinggi sehingga aku terpaksa menundukkan kepala untuk melihat dirinya.

“Ini semua angkara kau bukan? Mengkagumkan!”

Aku tersengih. Mengejek dirinya.

“Kenapa? Kau nak mengaku kalah pada seorang perempuan?” Cabarku.

Esmet mendengus.

“Kau tak akan menang, Esmet!”

Ketawa Esmet pecah saat itu juga. Tubuhku dilepaskan jatuh ke tanah. Aku mengaduh kesakitan.

“Ye ke? Tapi kau belum lihat lagi kemampuan aku.” Kata Esmet dengan angkuh.

Bibir yang meleret ke atas kembali pada tempat asalnya. Apa sebenarnya kuasa Esmet?

“Mari aku tunjukkan pada kau!”

Esmet memaksa aku berdiri. Dicengkamnya rahangku dengan jari-jemarinya yang kasar. Memaksa aku memandang wajahnya. Mata Esmet menikam mataku. Ya, matanya! Belum sempat aku memejamkan mata, mataku terlebih dahulu sudah di'buta'kan oleh matanya. Aku hanya nampak Esmet. Aku hanya nampak apa yang ada di dalam anak matanya. Aku nampak Kerk dibunuh dengan kejam. Aku nampak Eucralipse hancur seolah-olah kerajaan kami tidak pernah wujud. Aku nampak Eucris dan rakyat jelata bergelimpangan mati di merata tempat. Tiada bunyi lain kedengaran selain suara Esmet. Aku nampak aku diseksa lantaran enggan menuruti kemahuan Esmet.

“Kau lihat. Betapa mudahnya kami menumpaskan kamu semua. Simpan tenaga kau. Menyerah kalah sahajalah!”

Aku ingin sekali melawan tetapi seluruh tubuhku seperti sudah lumpuh. Aku langsung tidak dapat menggerakkan mana-mana anggota badan sekalipun untuk mengerdipkan mata!

Ya, inilah kuasa Esmet! Dia mempunyai mata syaitan. Mata yang memukau dan akhirnya akan membunuh mangsanya. Aku dengan mudahnya menuruti perintah Esmet.

Tentera Dewa Kegelapan segera berlari ke arah Kerk sebaik sahaja tembok di sekeliling Kerk runtuh. Kerk menendang Jetto sekuat hati ke tanah. Esmet mencampakkan aku ke tepi. Menyertai tenteranya yang lain untuk membunuh Kerk.

'Bunuh dia, Kerk! Bunuh dia sekarang!'

Slash!

Pedang Kerk melibas leher Jetto. Kepala Jetto tercampak berhampiran dengan kakiku. Darah merah gelap, hampir kehitaman, memancut keluar dari leher Jetto. Tubuh Jetto jatuh tersembam ke tanah. Suasana diam seketika. Seketika kemudian kedengaran bunyi dentuman demi dentuman menghentam tanah, sekaligus menggegarkan bumi Eucralipse. Satu persatu tubuh tentera Dewa Kegelapan jatuh ke tanah sebelum semuanya bertukar menjadi kepingan-kepingan tanah kering dan terbakar. Rexo dan Esmet berpusing-pusing melihat kehancuran tentera mereka dengan rasa tidak percaya.

Aku berdiri. Aku dan Kerk berbalas pandangan dan senyuman melihat kejayaan pertama kami.

Anak mata Kerk liar mencari sesuatu.

“Sekarang giliran kau, Esmet!”

Serentak itu tubuh Kerk dan Esmet terbang di udara.

Dan Rexo pula menyerangku.

Pedang kami berempat bergeseran dan bunyinya menguasai suasana. Kerk kelihatan tenang menangani setiap serangan dari Esmet. Ternyata latihan dan pengalaman yang dimiliki membuatkan Kerk bijak membaca gerakan Esmet. Berbeza dengan Esmet yang kelihatan gelojoh menyerang demi menamatkan pertarungan mereka.

Kebolehanku membaca memori Rexo memberi banyak kelebihan padaku dalam menangani Rexo. Melalui memorinya, aku mempelajari gaya serangannya serta taktik-taktiknya yang lain. Justeru itu, agak mudah bagiku untuk menjangkakan tindakan Rexo dan menepis serangannya. Kelicikan serangan Rexo memaksa aku untuk sentiasa dalam keadaan bersedia. Untuk membunuh Rexo, aku perlu mencari peluang untuk menyerangnya. Bukan sekadar menepis dan mengelak dari mengenai mata pedangnya sahaja.

Berdasarkan penilaianku, Kerk akan memenangi pertarungan ini dengan mudah sehinggalah pertarungan mereka tiba ke kemuncaknya. Apabila pedang Kerk dan Esmet bersilang...

Esmet menahan pedang Kerk dari mengenai batang lehernya dengan pedangnya. Kerk, dengan kedua-dua belah tangan, menolak pedangnya dekat ke tubuh Esmet. Saat itulah mata mereka beradu dan dalam sekelip mata tubuh Kerk kaku di udara sebelum ditendang jatuh ke tanah.

Mulutku melopong memandang Kerk dan Esmet. Serentak itu Rexo menepis jatuh pedang di tanganku. Hujung pedangnya berada di leherku.

Esmet berdiri gagah di sisi Kerk yang terbaring. Sebelah kakinya memijak tubuh Kerk yang dalam kesakitan. Nafasku turun naik dengan laju. Menahan amarah di hati. Esmet mengangkat keningnya padaku.

“Ini kepakaran aku, ingat tak?” Sinis dia menuturkan ayatnya. Dan dia terus membelasah Kerk. Rexo di sisiku hanya tersengih melihat Kerk mengerang.

Kepakaran Esmet?

Kepakaran Esmet adalah permainan mindanya. Mindanya boleh mempengaruhi fizikal dan mental mangsa. Permainan minda. Bagaimana untuk mengatasi kuasa minda Esmet?

Ya! Dengan kuasa minda juga! Aku segera memejamkan mata.

'Kerk! Awak dengar tak suara saya?'

Diam. Tiada balasan terhadap suara mindaku.

'Kerk! Bangun Kerk! Awak tak boleh kalah macam tu aje!'

Telepati antara kami adalah usaha terakhir aku untuk menyelamatkan Kerk dari dibunuh oleh Esmet. Namun kebisuan Kerk membuatkan usaha ini sia-sia.

'Kerk, saya tahu awak boleh dengar suara saya. Kerk... Jawab panggilan saya...'

Tubuh Kerk masih kaku di atas tanah. Hanya membiarkan Esmet melakukan semahu hatinya. Mata Kerk memandang tepat ke mata Esmet. Ya, itulah puncanya! Mata. Semuanya bermula dengan mata.

Di saat aku hampir berputus asa, sayup-sayup aku terdengar suara minda Kerk.

'Eury...'

'Bangun, Kerk! Awak berpuluh kali ganda lebih hebat dari Esmet. Satu-satunya kelebihan yang ada pada Esmet adalah permainan mindanya. Awak berada dalam permainan mindanya sekarang. Lawan dia, Kerk! Lawan!'

'Saya tak berdaya. Saya tak boleh buat apa-apapun. Badan saya tak boleh bergerak.'

'Yakin pada diri awak sendiri. Nafikan setiap kata-kata dari mindanya. Jangan dengar! Hanya dengar kata saya sahaja.'

'Susah. Suara mindanya terlalu kuat.'

'Tapi awak boleh dengar suara saya, kan?'

'Ya!'

Itu petanda baik. Berbeza dengan keadaan aku yang langsung tidak mendengar sebarang bunyi pun kecuali suara Esmet semasa dikuasai oleh Esmet tadi.

'Itu petanda baik, Kerk! Sekarang, cuba fokus dan dengar suara saya sahaja. Abaikan suara Esmet.'

'Saya cuba.'

'Okey. Saya akan bercakap tanpa henti supaya awak hanya akan boleh dengar suara saya sahaja.'

'Okey.'

'Dengar sini. Semua yang disogokkan oleh minda Esmet itu semuanya bohong belaka. Ayahanda dan bonda awak selamat di Gunung Ocre. Begitu juga dengan ayahanda dan bonda kita. Mereka masih tidak dapat mengesan kedudukan kubu kita di Gunung Ocre tu. Kalaupun mereka tahu, mereka tak punya tentera yang cukup untuk menawan Eucris di sana. Jetto dah mati. Begitu juga dengan tentera Dewa Kegelapan yang lain. Mereka semua dah jadi debu. Awak bukan pengkhianat! Jangan percaya kata Esmet. Awak tak mengkhianati ayahanda awak sendiri. Awak hanya mencari kebenaran dan secara kebetulan kebenaran tidak memihak pada Raja Eriel yang awak sebagai ayahanda selama ini.'

Aku meninjau keadaan Kerk. Aku nampak jari-jemari Kerk bergerak-gerak. Kerk dah mula bebas dari 'sumpahan' Esmet sedikit demi sedikit. Bagus! Aku kena teruskan bercakap.

Aku 'dengar' Esmet mereka-reka cerita tentang kehidupannya sebagai putera Segi.

'Esmet bohong! Segi tak perlukan putera palsu dan kejam seperti Esmet. Mereka perlukan awak. Selama ini pun rakyat tak pernah memuliakan Esmet kerana sikapnya yang tidak adil dan tidak berperikemanusiaan. Permaisuri Xera tak pernah melupakan awak, Kerk! Baginya awak tak pernah mati sekalipun beratus kali dia disogokkan dengan cerita kematian awak. Esmet tak pernah sedetik pun dapat menggantikan tempat awak di hatinya. Raja Eries sentiasa rindu saat-saat manis antara dirinya dan awak. Mereka tak pernah marah ataupun bencikan awak kerana menyertai pemberontakan Raja Eriel. Mereka menantikan kedatangan awak di Gunung Ocre. Jadi, bangun! Mari kita tamatkan riwayat hidup Esmet dan Rexo. Kita akan bina semula Eucralipse. kita bina hidup baru yang berpaksikan kuasa baik.'

'Ya, saya kena lawan Esmet. Saya kena tamatkan pertarungan ini.'

'Bagus! Tindakan pertama yang awak harus lakukan adalah pejamkan mata awak. Tutup laluan utama untuk Esmet menguasai awak.'

Aku 'lihat' Kerk memejamkan matanya. Aku menarik nafas lega.

'Nyahkan Esmet dari minda awak.'

Kerk mengangguk.

'Fokus!'

'Baik...'

'Sekarang saya nak awak bangun dan lawan Esmet.'

Dahi Kerk berkerut.

'Dengan mata tertutup? Macam mana? Saya tak boleh lawan dia dalam keadaan buta!'

Pedang di tangan digenggam erat.

'Kalau awka buka mata, dia akan cuba pengaruhi awak lagi. Kuasanya pada mata, Kerk!'

'Tapi...'

'Awak percaya pada saya, Kerk?'

'Ya! Dengan nyawa saya.'

'Jadi terus pejamkan mata awak. Mulai sekarang awak akan melihat Esmet seperti mana apa yang saya melihat. Kita akan lihat dengan mata hati kita. Asalkan kita bersatu hati, awak akan melihatnya.'

Kerk terdiam. Membenarkan orang lain melihat apa yang aku lihat tanpa menyentuhnya; aku tak pernah cuba melakukannya. Kerana masa untuk aku memahami dan menguasai Oc-cra sangat terhad. Tapi aku harus mencubanya. Aku tumpukan perhatian. Mengumpulkan seluruh tenaga di mindaku. Memancarkan apa yang aku 'lihat' kepada Kerk.

'Saya dah nampak! Eury, saya boleh lihat apa yang awak lihat!'

'Bangun dan tamatkan riwayatnya!'
Jeritanku bergema di minda aku sendiri.

Kerk melompat bangun dan terus menyerang Esmet yang masih terbeliak matanya gara-gara terkejut. Rexo turut memandang pelik dengan kebangkitan Kerk. Sangkanya Kerk sudah sampai ke penghujung nyawanya.

Tubuhku menggigil. Aku tahu aku tak boleh bertahan lama dalam keadaan begini. Aku berdoa agar Kerk dapat mengalahkan Esmet dalam masa yang singkat.

Perlawanan kali ini menyaksikan ketangkasan Kerk berbanding tadi. Dia sama sekali tidak memberi peluang Esmet untuk menyerangnya.

Slash!

Rusuk Esmet berdarah sebaik sahaja mengenai pedang Kerk. Wajah Esmet berkerut menahan sakit. Kerk terus menumbuk dadanya dan menendangnya hingga rebah.

Slash!

“Arrrgghhhhhhh....!” Jeritan Esmet menggegarkan bumi Eucralipse. Darah memancut keluar dari kedua-dua belah matanya. Mata Esmet telah dibutakan dek hujung mata pedang Kerk. Serentak itu aku dan Kerk membuka mata kami. Aku mengangguk pada Kerk. Kerk mengangkat tinggi pedangnya dan dengan pantas mata pedangnya 'menyembelih' leher Esmet. Esmet mengelepar di atas tanah dan perlahan-lahan tubuhnya menjadi kaku. Kerk tunduk. Menarik Oc-cra dari leher Esmet, melambung dan memotong Oc-cra tersebut di udara dengan pedangnya. Oc-cra Pemusnah bertukar menjadi debu dalam masa sesaat.

SLASH!!!

Jantung terasa seperti berhenti berdegup. Dalam keadaan cemas aku mencari Rexo yang sudah hilang di sisiku. Saat itu juga mataku mencari Kerk pula. Mata Kerk terbeliak memandangku. Mulutnya ternganga seperti ingin mengatakan sesuatu namun tiada sepatah perkataan pun yang lahir dari mulutnya. Dan tubuh Kerk jatuh ke tanah. Darahnya membuatkan rumput hijau berubah warna. Tubuh Kerk menggigil. Matanya masih memandangku. Di belakang Kerk, Rexo mengangkat pedangnya yang sudah dibasahi dengan darah merah Kerk.

“Kerk...!”

Aku berlari mendapatkan Kerk. Kepala Kerk aku angkat perlahan-lahan dan aku letakkan di riba. Saat itu juga tapak tanganku dibasahi dengan darahnya. Tanganku meraba-raba tubuhnya, mencari dari mana datangnya darah tersebut. Dan aku menemui luka yang panjang dan dalam di belakang badan Kerk. Sama panjangnya dengan pedang di tangan Rexo.

“Kerk...” Panggilku perlahan. Air mata sudah membasahi pipi. Mengalir jatuh ke wajah pucat Kerk. Kerk mengangkat tangannya. Namun tangannya jatuh sebelum sempat mengesat air mataku. Aku meraung kecil di situ. Bibir Kerk terkumat-kamit. Telinga aku dekatkan ke mulutnya.

“Bunuh...Rexo...Darahnya...darah Dewa Kegelapan...Dia boleh hidupkan...Jetto semula...”

Aku mengangguk perlahan. Wajah Kerk kabur di mataku. Air mata yang bertakung aku kesat dengan tapak tangan. Rexo menghiris tapak tangannya dengan pedang di tangan. Darah Kerk di pedangnya, serta darah dari tangannya jatuh ke tubuh kaku Jetto. Aku enggan menunggu untuk melihat apa yang akan terjadi pada tubuh Jetto. Kerk aku letakkan tanah. Pedang Kerk aku capai dan aku terus berlari mendapatkan Rexo.

Kemarahan dan dendam yang menguasai diri menyebabkan pertimbanganku kurang rasional. Aku menyerang Rexo bertalu-talu tanpa strategi tertentu serta melakukan kesilapan demi kesilapan sehingga pedang Rexo dapat mencederakanku beberapa kali dengan mudah.

“Jangan buang masa, Eury! Kamu tak setanding dengan beta. Beta cadangkan agar kamu pergi menangisi kematian kekasih kamu di sana.”

Pedang aku libas ke tubuhnya.

“Kerk belum mati lagi! Dia tak akan mati!”

Rexo ketawa berdekah-dekah.

“Jangan bohong diri sendiri! Kamu tahu betapa betapa teruknya lukanya. Dan darahku sedang meracuni darahnya sekarang!”

Aku cuba menenangkan diri. Rasa marah dan sedih tak akan membantu aku saat ini. Tetapi untuk berlagak tenang pada saat ini juga adalah sesuatu yang mustahil apatah lagi apabila mengenangkan Kerk yang tinggal nyawa-nyawa ikan di sana.

“Kita boleh berkerjasama, kamu tahu...” Tawar Rexo.

“Saya lebih rela mati dengan cara bermaruah begini!”

Pedang kami berlaga lagi.

“Mati bermaruah? Bukan. Ini adalah mati secara tragis...”

Pedangku tepis jatuh. Sekali lagi mata pedangnya berada di leherku.

Aku pejamkan mata. Mengumpul kekuatan dalamanku untuk melawan Rexo. Kedua-dua belah tapak tanganku melekap di dada Rexo dan aku tolaknya sekuat hati ke belakang.

Zapp!

Sebatang anak panah menembusi dada Rexo. Rexo memegang dadanya. Serta-merta mataku mencari gerangan sang pemanah. Raja Eriel muncul beberapa meter dari belakang Rexo. Ada rasa puas hati tergambar di wajahnya.

“Itu hadiah dari aku dan isteriku!” kata Raja Eriel.

Dan aku terus melompat mengambil pedangku dan memenggal kepalanya. Kepala Rexo terpelanting jauh dari kami. Darah merah gelap, hampir berwarna hitam, membuak-buak keluar dari lehernya.

“Terima kasih. Dendam beta dah terbalas sekarang.” Segaris senyuman aku berikan padanya.

“Mana Kerk?”

Senyumanku mati saat itu juga.

Kerk...

Tuesday, November 30, 2010

Katakan Dengan Indah Part 3


Conversation

Butang pause segera ditekan sebaik sahaja wanita awal 40-an itu melabuhkan punggung di sisinya. Headphone ditarik ke bawah.

“Kamu tak makan dari pagi.”

Itu ayat pertama yang keluar dari bibir emaknya. Dia hanya diam kerana ayat itu tidak menagih jawapan darinya.

“Kenapa dia benci sangat dengan saya, mak?”

Entah mengapa soalan itu mudah sahaja meluncur keluar dari bibir. Si emak tersentak lalu terdiam beberapa saat untuk menenangkan diri.

“Entahlah! Mungkin baginya kamu adalah penghalang.”

“Bukankah saya darah dagingnya?” Suaranya sedikit tinggi berbanding tadi.

“Tidak padanya.” Dia tunduk. Menyimpan rasa.

Perbualan mereka dibisukan oleh bunyi hon kenderaan yang bertalu-talu di jalan.

“Kamu yakin dengan keputusan kamu ni? Dia mungkin akan...”

“Dia tak akan buat apa-apa. Selama ini pun saya tak wujud padanya!” Potongnya.

“Emak mungkin disaman atau ditangkap kalau dia mengemukakan tuduhan. Siapa tahu.”

“There must be a damn good reason for that then!”

Air muka emaknya berubah.

“Maaf...” Pohonnya.

“Mak tak pernah ajar kamu bercakap kasar. Walau siapapun dia, apapun yang dia lakukan pada kamu, kamu wajib menghormati dia.”

“Saya tahu. Saya minta maaf, mak...” Ujarnya penuh sesal.

Pandangan emaknya kembali lembut.

“Kamu rindukan arwah, kan?”

“Sangat, sangat rindu...”

“Sebab tu ke kamu keluar dari situ?”

“Tak ada apa lagi yang tinggal di situ... Itu bukan tempat saya.”

Bahu si anak ditepuk beberapa kali.

“Walau apapun yang terjadi, kamu harus ingat yang kamu masih ada mak.”

Tangan emak dipegang lantas diramas lembut.

“Sebab itulah saya rasa bersyukur sangat.”

Mereka berbalas senyuman. Emaknya bangkit dari lantai. Berlalu ke dapur. Seketika kemudian dia terdengar bunyi pinggan mangkuk berlaga di sinki. Dia memilih untuk terus berada di situ. Membuang pandang ke arah apa sahaja yang ada di hadapannya. Walau di hadapannya hanya ada kegelapan dan lampu-lampu jalan dan bangunan.

Tangan meraba leher. Headphone dilekatkan semula ke telinga. Telunjuk menekan butang play. Lagu Good Charlotte yang terhenti berkumandang sehingga ke penghujung. Kemudian diganti pula dengan lagu yang se‘genre’ dengannya.

Rasa pedih membalut hati. Sayu menggigit rasa. Gigi diketap. Rasa sedih dicampak jatuh dari tingkat 15.


That which does not kill us makes us stronger. – Friedrich Nietzche -

Sunday, November 21, 2010

eucralipse 26



“Kerkk...!!!”

Bonda, Permaisuri Xera dan Raja Eries segera menghampiriku dengan wajah cemas sebaik sahaja terdengar jeritanku tadi. Pelukan ayahanda dan Raja Eriel lerai serta-merta.

Aku pejamkan mata. 'Mencari' Kerk di padang rumput sana. Tubuh kaku berada di sana-sini. Darah merah menukar warna rumput yang menghijau. Api, asap dan debu memenuhi ruang udara. Kemungkinan untuk melihat tentera Eucralipse berdiri gagah tanpa sebarang kecederaan di sana adalah sangat, sangat tipis. Tujuh lapis tentera Dewa Kegelapan hampir tidak terjejas. Hanya dua lapisan yang paling luar yang kelihatan berkurangan jumlahnya. Ada beberapa orang tentera kami yang masih bertahan. Tubuh tentera yang lain bersepah di situ. Aku 'nampak' Egart. Masih berada di luar tujuh lapisan tentera Dewa Kegelapan. Masih menggenggam pedang di kedua-dua belah tangannya. Melibas apa sahaja yang berdekatan dengannya. Berjuang dan terus berjuang tanpa mengira kecederaan dan keletihan yang mula melemahkan tubuh. Aku gagal mengesan Kerk. Dan aku mula panik.

Seketika kemudian, aku terpandang akan sesuatu yang aneh. Terdapat ruang kosong yang ketara jelasnya sebaik sahaja 'pandanganku' melepasi lapisan kedua tentera Dewa Kegelapan. Ia adalah sesuatu fenomena yang aneh memandangkan Jetto tidak akan sesekali membenarkan barisan tenteranya meninggalkan kedudukan masing-masing. Ini kerana dia telah menempatkan setiap tenteranya di kedudukan masing-masing mengikut kekuatan mereka.

Kemudian aku terpandang sekumpulan besar tentera Dewa Kegelapan mengerumuni sesuatu. Apapun ia, ia benar-benar membuatkan para tentera tersebut teruja dan terhibur. Tiba-tiba jantungku berdegup kencang.

Apa yang membuatkan mereka beralih dari tempat mereka? Tak mungkin Jetto semudah itu membenarkan mereka berbuat demikian kerana itu akan melemahkan sistem pertahanan tenteranya. Melainkan 'bahaya' yang perlu mereka tangani sudah tiada...

Kerk...

Jantung terasa seperti mahu berhenti sebaik sahaja 'melihat' Kerk berada di tangah-tengah tentera Dewa Kegelapan yang besar dan bengis. Kerk bagaikan bola pada mereka. Ditendang dan dipukul oleh mereka tanpa belas. Kerk cuba menyerang balas namun dia seperti sudah kehabisan tenaga kini. Dan dia berseorangan di situ. Lima orang tentera Dewa Kegelapan, dengan sayap yang besar seperti burung terbang, memukul Kerk di udara ketika Kerk cuba terbang untuk keluar dari seksaan mereka. Mereka bersorak gembira sebaik sahaja Kerk terjunam jatuh ke tanah.

Rexo, Esmet dan Jetto muncul dari celah-celah tentera Dewa Kegelapan yang masih bersorak. Pada wajah mereka, terlukis kegembiraan saat melihat Kerk terbaring kesakitan. Esmet melangkah beberapa tapak ke hadapan. Ingin melihat wajah Kerk yang kesakitan dengan lebih jelas. Riak angkuh dan gembira menghiasi wajahnya. Segaris senyuman sinis terukir. Tubuh Kerk ditendang oleh Esmet. Kemudian dicekaknya leher Kerk lantas memaksa Kerk melutut di hadapannya.

Rantai Oc-cra dikeluarkan dari dalam baju. Warna hijau Oc-cranya gelap seperti warna lumut. Seingat aku, warnanya tidaklah segelap itu. Oc-cra Esmet bersinar garang. Kerk menjerit kesakitan. Kali ini kesakitannya melebihi kecederaan yang terdapat di tubuhnya. Apa yang dirasakan kini seolah-olah tenaga dan kuasanya disedut keluar secara perlahan-lahan. Sejak dari awal kemunculan Esmet, aku lihat Kerk gagal mengalihkan pandangan dari terus merenung ke dalam mata Esmet. Mata Esmet seperti sudah mengunci pandangan Kerk. Mata Esmet yang berwarna kuning itu seumpama pandangan terindah di mata Kerk ketika ini. Dan aku dapat rasakan ketakutan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata sewaktu aku 'memandang' tepat ke anak mata Esmet. Mungkin begitu jugalah yang dirasakan oleh Kerk hingga dia tidak mampu menggerakkan mana-mana anggota tubuhnya untuk menentang Esmet.

Awan gelap berarak laju. Menyelubungi hampir keseluruhan ruang langit. Menutupi sinar sang mentari serta Eucristar, bintang yang menjadi sumber kekuatan di Eucralipse. Kuasa kejahatan sudah mula menguasai alam. Keseimbangan kuasa baik dan kuasa jahat sudah hampir tiada.

Dengupan jantung Kerk kedengaran semakin perlahan di telingaku. Aku menelan air liur. Aku tahu hanya aku sahaja yang dapat menyelamatkan Kerk. Dan aku tak punya banyak masa yang tinggal. Kerk mmejamkan matanya.

“Lari Eury....”

“Tidak! Saya mesti selamatkan awak!”

“Jangan buat kerja sia-sia! Cepat selamatkan diri awak dan yang lain-lain sementara masih ada peluang!”

“Kerk...!”

“Eury, untuk kali ini, tolonglah dengar cakap saya...”

'Kali ini' itu boleh jadi 'kali terakhir' kalau aku ikut katanya, bukan?

“Tolong jangan datang ke medan peperangan... walau apapun yang terjadi...”

Ahh... Persetankan janji itu! Bacullah aku jika aku lari dari menjalankan tanggungjawab dan amanahku! Ini tanah jajahan aku, bukan?

“Kenapa Eury? Apa yang terjadi pada Kerk?” Soalan Permaisuri Xera menyedarkan aku.

Aku kembali ke alam realiti. Menipu. Mungkin itu tindakan yang terbaik bagiku buat masa sekarang. Mereka akan panik sebaik sahaja keadaan Kerk aku khabarkan pada mereka. Mungkin sahaja Raja Eries dan Permaisuri Xera akan mengambil tindakan melulu untuk menyelamatkan putera yang kurang sehari mereka kenali. Perkara tersebut tak seharusnya terjadi. Aku pasti Kerk juga tak mahu adanya Eucris menjejakkan kaki ke medan peperangan saat ini.

Kalau ada yang terkorban, selain Kerk, seharusnya orang itu adalah aku. Mungkin ayahanda, bonda dan yang lain-lain boleh bermula semula di tempat baru. Tempat yang jauh dari sini. Tempat di mana Rexo dan orang-orangnya idak dapat mencari mereka.

Sapu tangan di tangan aku tunjukkan pada mereka.

“Apa maksudnya?” Soal ayahanda yang sudah menghampiriku.

“Isyarat dari Kerk. Sudah tiba masanya untuk kita berundur ke Gunung Ocre.”

“Adakah Kerk...” Permaisuri Xera hampir tidak sanggup untuk meneruskan ayatnya.

“Tidak! Kerk baik-baik sahaja di sana. Cuma... Ini langkah berjaga-jaga. Kerk tak mahu mengambil sebarang risiko...”

Permaisuri Xera dan yang lain-lain kelihatan lega. Begitu juga dengan aku kerana penipuanku berjaya memperdayakan mereka. Aku pandang Raja Eriel.

“Saya harap tuanku tak bercerita tentang kewujudan kubu rahsia kami itu pada sesiapa.”

Raja Eriel berkerut.

“Maksud kamu bekas gudang yang menyimpan senjata tu ke?”

Aku mengangguk.

“Beta sendiri lupa akan kewujudannya.” Dan aku tahu kali ini dia bercakap benar.

“Bagus! Kesemua Eucris harus beredar sekarang!” Arahku tenang. Entah dari mana aku dapat ketenangan tersebut, aku pun kurang pasti. Ayahanda, bonda, Raja Eriel, Raja Eries dan Permaisuri Xera melangkah berat membontoti aku dan Ellisa.

Kami bergerak menuruni istana menuju ke gudang menyimpan barang. Hampir 50 orang pengawal mengiringi kami ke situ. Mujur cubaan rampasan kuasa ke atas istana kami yang dilakukan oleh Raja Eriel tidak mengorbankan banyak nyawa pengawal istana.

Setibanya di gudang tersebut, Ellisa, dengan bantuan para pengawal, segera mengalihkan kotak-kotak kayu berisi stok bijirin dan buah-buahan ke tepi. Rumput-rumput kering di lantai ditolak ke tepi dengan kaki. Kelihatan sebuah pintu kayu dengan pemegang besi. Salah seorang pengawal menarik besi berbentuk bulat untuk membuka pintu tersebut. Habuk berterbangan membuatkan kami bersin. Dari balik pintu, muncul anak-anak tangga kecil menuju ke tingkat bawah yang gelap.

“Tangga-tangga ini akan bawa kita ke terowong rahsia dan terus ke bawah Gunung Ocre. Orang-orang kita dah pun memeriksa keadaan terowong malam tadi dan mereka mengesahkan ia selamat untuk dilalui.” Ujarku seperti yang pernah diberitahu oleh Altrun kepadaku.

Api obor aku nyalakan. Kemudian aku berikan pada para pengawal. Keluargaku mula menuruni satu-persatu anak tangga di situ. Permaisuri Xera, diikuti Raja Eries. Disusuli oleh ayahanda dan bondaku serta pengawal mereka. Raja Eriel berdiri tenang di sebelahku. Tiada tanda-tanda untuk bergerak. Begitu juga dengan Ellisa.

“Eury?!” Panggil Bonda tatkala memijak anak tangga kedua. Ada unsur keliru dalam suara bonda. Aku diam. Tubuhku kaku di tempatku.

“Eury... Mari kita pergi!” Ajakan bonda tidak aku sambut. Ellisa memandangku. Membaca reaksiku. Aku tahu dia faham kehendak hati sebaik sahaja dia menatap tepat anak mataku. Dan tanpa perlu memandang anak matanya, aku juga tahu yang dia juga mahu menyertaiku.

“Mereka perlukan Eury di sini untuk menang!”

“Eury!” Suara bonda kedengaran terkejut sekaligus sedih sebaik sahaja memahami akan maksud kata-kataku.

“Eury! Kamu tahukan Kerk melarang keras kamu ke sana! Ayahanda dan bonda juga tak mahu kamu ke sana! Lagipun kamu sendiri kata keadaan Kek baik-baik sahaja di luar sana!” Ayahanda mengingatkanku.

“Ya, tapi Eury yakin Eury boleh membantu.”

“Eury, mungkin kamu patut ikut cakap ayahanda dan bonda kamu sekarang...” Pujuk Raja Eries pula.

“Maaf bonda, ayahanda... Maaf semua... Untuk sekali ini Eury terpaksa ingkar dengan arahan sesiapapun. Percayalah, Eury tahu dan yakin dengan tindakan Eury ini...”

Aku pandang Raja Eriel.

“Tuanku patut ikut mereka juga.”

“Beta tak sanggup nak lepaskan detik-detik berlawan di samping kamu. Lagipun beta teringin nak menyaksikan keajaiban Oc-cra yang kamu miliki... Mungkin inilah satu-satunya cara untuk beta menebus dosa-dosa beta terhadap Eucris!”

Aku pejamkan mata. Mungkin Raja Eriel dapat membantu. Lagipun, tak mungkin aku dapat memaksa Raja Eriel untuk bersembunyi sedangkan tekadnya sudah bulat untuk membunuh Rexo yang membunuh isterinya.

“Eury, jangan buat bonda begini. Kamu tahu bonda tak boleh hidup kalau sesuatu terjadi ke atas kamu...” Tangisan bonda mula bergema di ruangan kecil itu. Dengan isyarat tangan, aku mengarahkan pengawal memegang lengan bonda yang mahu mendapatkanku.

“Ke tepi kamu! Siapa kamu untuk sentuh beta? Jangan halang beta!” Marah bonda.

Bonda merempuh tubuh pengawal untuk keluar dari terowong. Kedua-dua belah tangan aku bawa ke hadapan. Mewujudkan satu tembok lutsinar di hadapan pintu masuk tersebut. Menghalang bonda atau sesiapa sahaja keluar dari situ. Kemudian aku hembus perlahan ke arah pintu tersebut. Namun hembusan tersebut bagaikan angin taufan yang membuatkan bonda dan yang lain-lain tertolak masuk ke dalam terowong.

“Bawa kesemua Eucris ke Gunung Ocre dengan selamat!” Arahku tegas.

“Baik, tuan puteri!”

“Eury!!!” Suara panggilan bonda sayup-sayup kedengaran, diikuti dengan rungutannya terhadap pengawal yang menuntunnya pergi.

“Kanda Eriel?” Ayahanda yang baru menyedari 'ketiadaan' kekandanya pula memanggil.

“Kanda akan jaga Eury, Esqandar!” Janji Raja Eriel pada ayahanda yang sudah tidak kelihatan.

“Eury!!”

“Semoga bertemu lagi!” Kataku perlahan.

Aku segera menutup pintu tersebut.

“Beta dah agak kamu tak akan berundur dan ikut Eucris yang lain! Kamu keras dan degil. Tak ubah seperti datuk kamu...” Puji Raja Eriel dengan rasa bangga.

Suara-suara dari terowong sudah tidak kedengaran lagi. Tentunya mereka sudah berjalan jauh ke dalam terowong. Aku memanjat doa agar mereka selamat tiba di Gunung Ocre. Air mata yang hampir menitis aku kesat. Ketika itulah aku sedar ada sekumpulan tenaga pengajar istana, cendikiawan negara serta beberapa orang pengawal istana sedang memerhatikanku dari belakang.

“Ini sahaja? Tak ada yang tertinggal?” Soalku.

“Ini sahaja yang ada, tuan puteri!”

Aku angguk.

“Bawa mereka ke sana segera.”

Mereka menundukkan badan tanda hormat dan akur. Pintu masuk ke terowong dibuka. Seorang demi seorang melintasiku untuk masuk ke dalam terowong. Tiba giliran Puan Oracle, tanpa diduga dia memelukku.

“Adakalanya kita terpaksa menyakiti orang yang kita sayang untuk menyelamatkan kita. Percayalah, tindakan tuan puteri lakukan ini betul.” Ujar Puan Oracle lembut.

Aku memeluknya erat. Gembira kerana dia faham akan niatku dan tidak menghakimi aku dengan menilai perbuatanku sahaja.

“Siapa sangka, puteri yang malas dan keanak-anakan dulu kini sudah dewasa dan matang? Saya lihat tuan puteri pun dah semakin mahir menggunakan kelebihan Oc-cra. Mungkin sudah tiba masanya untuk tuan puteri membaca Kitab Oc-cre.”

Aku meleraikan pelukan. Wajah Puan Oracle aku tatap.

“Tapi beta tak punya masa untuk membaca!” Bantahku sambil mencari buku tebal di tangannya. Namun tangannya kosng sahaja.

“Kitab Oc-cra tidak dijilidkan, tuan puteri. Pemilik Oc-cra terdahulu takut rahsia mengenai Oc-cra diketahui oleh orang yang tidak sepatutnya. Seperti rahsia Eucris yang lain, Kitab Oc-cra diperturunkan pada keturunan saya. Pemegang Kitab Oc-cra terdahulu akan menulis dan melukis kitab tersebut untuk dibaca dan dihafal oleh pemegang seterusnya sebelum ianya dibakar. Kemudian kami akan menunggu dan terus menunggu sehingga adanya pemilik Oc-cra yang baru. Adalah menjadi tugas kami untuk menyampaikan Kitab Oc-cra kepada pemilik Oc-cra yang baru untuk dijadikan panduan. Tuan puteri dan Putera Rhyss adalah pemegang Oc-cra yang telah dipilih.”

“Mari...” Puan Oracle menghulurkan tangannya. Perlahan-lahan tangannya aku sambut. Pandanganku serta-merta menjadi gelap. Imbasan demi imbasan berkenaan apa yang tertulis di dalam kitab tersebut terlayar di hadapan mata. Ianya ditulis dalam bahasa kuno Eucralipse. Bahasa tertua yang digunakan di awal kemunculan Kerajaan Eucralipse. Aku membaca dan sekaligus menghafalnya.

Raja Elric adalah pemilik pertama Oc-cra atas jasanya membantu Dewi Ayena yang sesat dan cedera di jajahan Eucralipse. Menurut Dewi Ayena, Dewa Kegelapan telah menyamar sebagai manusia dan memperdayakannya. Manusia tersebut berjanji untuk mencarikan sayap emas miliknya dengan syarat diberikan serpihan Eucristar iaitu Oc-cra sebagai ganjaran. Dewi Ayena yang bersangka baik telah menghadiahkan Oc-cra kepada manusia tersebut. Sebaik sahaja mendapat Oc-cra, manusia tersebut menunjukkan rupa sebenarnya dan mencampakkan Dewi Ayena ke Gunung Hyase yang penuh lahar berapi. Mujur Dewi Ayena berjaya diselamatkan oleh Raja Elric. Raja Elric juga telah berjaya menemukan sayap emas milik Dewi Ayena. Menyedari Dewa Kegelapan akan menggunakan Oc-cra untuk tujuan jahat, Dewi Ayena menghadiahkan Oc-cra Pelindung kepada Raja Elric. Kepada permaisuri Raja Elric pula dihadiahkan Oc-cra Hijau.

Raja Elric telah berjaya mengalahkan Dewa Kegelapan dan menghalaunya jauh dari Eucralipse. Kemenangan membuatkan kuasa kebaikan menyelubungi ke seluruh alam. Dewa Kegelapan semakin lemah hingga terpaksa bersembunyi jauh di dalam tanah dan terpaksa menidurkan tenteranya. Rexo, orang kanan yang banyak memegang rahsia Dewa Kegelapan telah mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut dan membunuh Dewa Kegelapan. Dia kemudiannya meneguk darah Dewa Kegelapan. Walaupun Rexo tidak bersifat abadi, namun usianya sudah melebihi dua tiga abad panjangnya. Memandangkan kemampuan Rexo tak ubah seperti manusia kebanyakan, Raja Elric tidak mengenakan hukuman bunuh padanya. Hanya memastikan Rexo tidak mengganggu keamanan di tanah jajahannya.

Cerita selebihnya berkisar kepada kemampuan dan kekuatan setiap Oc-cra milik kami. Serta kelemahan tentera Dewa Kegelapan yang selama ini dianggap kebal oleh kami semua. Aku bagaikan menerima satu suntikan semangat di kala itu.

Tangan Puan Oracle aku genggam.

“Terima kasih, Puan Oracle. Ianya sangat berguna kepada beta.”

“Sama-sama. Ianya bermula dengan Oc-cra. Maka ianya harus diakhiri dengan Oc-cra juga.”

Aku ingin bertanya lanjut mengenainya namun suara cemas Raja Eriel membantutkan hasratku itu.

“Mereka sudah mula menghampiri istana. Mereka akan mula menyerang pada bila-bila masa. Kita harus kosongkan kawasan istana. Rakyat jelata perlu berpindah ke Gunung Ocre dengan segera.”

“Puan patut beredar sekarang!”

Aku segera mengarahkan pengawal membawa Puan Oracle menyertai yang lain untuk masuk ke dalam terowong.

“Boleh tuanku kumpulkan tentera kita yang tinggal?”

“Tak ada masalah!”

Bammm!

Bunyi kuat diikuti dengan bunyi runtuhan dan deraian membuatkan aku semakin bersemangat untuk menentang musuhku.

“Cepat! Kita dah tak ada masa lagi!”

************

Jeritan nyaring menyapa telinga sebaik sahaja pintu keluar istana aku buka. Di belakangku, Ellisa yang enggan berenggang dariku. Debu tanah berterbangan hingga mengganggu penglihatan. Kesan dari runtuhan tembok yang mengelilingi istana. Setelah beberapa ketika barulah anak mataku dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku. Suasana di situ begitu sibuk. Tentera Eucralipse yang diamanahkan menjaga istana, rakyat jelata, pekerja istana berkejar ke sana ke mari memberi bantuan kepada mereka yang tercedera dalam serangan Rexo dan orang-orangnya. Aku pantas menahan seorang tentera yang melintasiku dengan semangkuk air dan tuala. Dia memberi hormat sebaik sahaja terpandang diriku.

“Siapa nama kamu?”

“Ampun, tuanku! Nama saya Zant, ketua pasukan tentera ke-14.” Wajah Zant bulat dan agak keanakan. Aku percaya, di sebalik tubuhnya yang sasa serta suaranya yang lantang, dia hanyalah seorang remaja berusia belas tahun. Usianya mungkin sebaya atau muda satu atau dua tahun dariku. Tentera semuda ini dihantar ke medan perang dan mungkin akan terkorban. Ahh... Betapa pendeknya umurnya di dunia ini... Betapa bencinya aku terhadap keganasan dan peperangan.

“Apa yang sedang berlaku di sini, Zant?”

“Kami sedang memberi rawatan terhadap tentera kita yang tercedera di medan perang, tuanku.”

“Bagaimana keadaan mereka?”

Zant mengelengkan kepala.

“Kebanyakan mereka mati sebelum sempat dibawa balik untuk menerima rawatan. Tak ramai yang dapat diselamatkan. Kebanyakan mereka cedera teruk.”

Dalam keadaan huru-hara itu, jeritan kesakitan seorang tentera menarik perhatianku. Tumpuan aku alihkan padanya. Kedua-dua belah kakinya hancur. Sebelah tangannya sudah kudung. Darah membasahi seluruh pakaian serta tubuhnya. Mulutnya tak berhenti-henti mengucapkan perkataan sakit. Tabib diraja yang mahir dalam bidang perubatan memeriksa tubuh tentera tersebut. Tabib tersebut berdiri membelakangkan pesakitnya sebelum mengelengkan kepala ke arah dua orang tentera pelatih yang ada di situ. Salah seorang daripada mereka mengeluarkan pedang.

Aku dan Ellisa segera memejamkan mata.

Zapp...!

Darah merah memercik di dinding istana. Tentera yang cedera terkulai tanpa nyawa.

“Dia tak akan hidup lama sekalipun diberi rawatan. Besar kemungkinan dia akan mati dalam masa beberapa jam.”

“Kenapa dibunuh? Biarkan sahaja dia mati sendiri.” Kataku berang.

“Eury, ubat-ubatan yang kita ada terhad. Begitu juga dengan para pekerja kita. Kita terpaksa memilih pesakit. Kita hanya akan merawat mereka yang berpotensi untuk terus hidup sahaja.” Jelas Ellisa.

Sungguh, aku benci peperangan!

Tangisan bergema di sekelilingku. Di sana. Di sini. Di setiap sudut kawasan istana. Para isteri, anak-anak, abang, kakak, ibu, ayah, menangisi ahli keluarga mereka yang terkorban.

Apa yang lebih menyedihkan aku, aku dapat 'lihat' setiap satu kenangan manis antara mereka dengan si mati yang berlegar-legar di dalam kepala mereka. Seperti mereka, aku juga terseksa dengan apa yang aku 'lihat'.

“Zant, beta mahu kamu dan tentera pelatih yang lain bawa rakyat kita berundur ke kubu kita di Gunung Ocre melalui terowong bawah tanah sekarang. Beta mahu mereka beredar secepat mungkin. Tentera musuh sudah semakin hampir. Mereka dah mula menyerang istana.”

“Bagaimana dengan Raja dan Permaisuri?”

“Beta telah arahkan pengawal diraja untuk mengiringi mereka. Mungkin mereka dah hampir sampai di sana.”

Zant segera berlari mendapatkan rakan-rakannya yang lain. Memberitahu arahan yang aku berikan sebelum membantu rakyat Eucralipse bergerak pintu masuk terowong rahsia yang terletak di bawah stor penyimpanan barang. Ellisa meninggalkanku seraya membantu rakyat Eucralipse mengemaskan barang keperluan mereka.

“Makcik kena tinggalkan kawasan istana. Terlalu bahaya untuk terus berada di sini.” Pujukan Ellisa disambut dengan gelengan kecil dari seorang wanita tua. Dia sudah berhenti menangis namun wajahnya masih basah dengan air mata. Di ribanya terbaring seorang tentera Eucralipse yang sudah tidak bernyawa. Matanya memandang kosong ke hadapan.

Ellisa memandangku. Mengharapkan bantuanku untuk memujuk wanita tersebut. Aku merapati wanita tua tersebut. Aku dapat 'membaca' memorinya dengan jelas. Lelaki di pangkuannya adalah suaminya. Mereka telah berkahwin lebih 30 tahun. Suaminya begitu bangga dan gembira menjadi tentera Eucralipse. Dua orang anak lelaki mereka turut menyertai pasukan tentera Eucralipse beberapa tahun lalu. Dan mereka masih di medan perang. Mungkin tak akan kembali dan berkubur di sana. Ada rasa sakit menyucuk tangkai hatiku.

Wanita tua itu memandangku dengan mata yang berkaca.

“Suami saya...” Ujarnya

Aku bertinggung di sebelahnya. Menggenggam tangannya yang sudah berkedut. Wajah pucat suaminya aku pandang. Tubuhnya tidak dibasahi darah seperti kebanyakan tentera yang terkorban. Tetapi terdapat kesan anak panah menembusi tepat ke jantungnya. Dan dia mati serta-merta di medan perang.

“Suami makcik adalah seorang tentera yang gagah, berani dan setia. Kematiannya merupakan kehilangan besar buat Eucralipse dan kami.”

Air mata wanita tersebut jatuh ke pipi.

“Tentera musuh semakin hampir ke kawasan istana. Tempat ini tak selamat lagi buat kita. Beta mohon agar makcik dan lain-lain segera tinggalkan tempat ini. Kita masih ada kubu di Gunung Ocre. Ia dah lama tak digunakan. Mungkin hampir dilupakan dan tidak diketahui kewujudannya. Ia mungkin sebuah persembunyian yang baik selagi tak diketahui oleh pihak musuh.”

Dia masih tidak bergerak.

“Beta rayu, tolong ikut tentera kita ke sana...”

“Suami makcik... Makcik tak nak tinggalkan dia di sini.”

Aku mengangguk. Faham akan maksudnya. Seorang tentera aku gamit.

“Tolong angkat dan bawa mayat lelaki ini bersama.” Dia mengangguk lalu mengangkat dan mengandar tubuh lelaki tersebut di bahu. Wanita tua tersebut bangun.

“Terima kasih...” Ucapnya sebelum membontoti tentera tersebut. Aku bangun seraya mengeluh ke arah Ellisa.

“Ini bukan situasi yang mudah... untuk sesiapapun...” Kata Ellisa. Aku hanya mengiyakan katanya.

Kawasan istana sudah mulai sunyi ketika Raja Eriel menghampiri kami.

“Tak ramai yang tinggal. Tapi mereka dah bersedia!”

**************

Lima ribu tentera berbaris dengan kuda dan senjata masing-masing. Hanya itu yang tinggal. Yang lain sudah berundur bersama-sama rakyat dan Eucris yang lain. Kawasan istana sudah kosong tanpa penghuninya.

Aku menarik tali kekang kuda. Mengarahkan kuda tungganganku maju ke hadapan sebelum berpusing mengadap tenteraku. Ellisa dan Raja Eriel berada di kiri dan kananku. Memberi sepenuh sokongan terhadap apa jua tindakanku.

“Tentera Eucralipse, sebelum kita berperang, kamu harus tahu bahawa tentera Dewa Kegelapan itu kebal. Minda mereka dikawal sepenuhnya oleh Jetto, ketua mereka. Membunuh Jetto seumpama membunuh kesemua tentera Dewa Kegelapan. Namun untuk sampai ke Jetto di bahagian tengah tak mudah. Jetto akan mempergunakan kesemua kebolehan tenteranya untuk melindungi dirinya sendiri. Kebolehan mereka termasuklah mahir menggunakan apa jua senjata, kuat, kebal, boleh mengeluarkan api, dan kebolehan untuk terbang. ”

Aku pandang satu persatu wajah tentera di hadapanku yang kelihatan terkejut.

“Kelemahan mereka terletak pada leher mereka. Satu-satunya tempat yang tidak kebal dan tidak dilindungi oleh pakaian mereka yang keras bak besi itu.”

“Serangan harus dilakukan dengan cara dan sudut yang berbeza. Gunakan kreativiti kamu untuk menumpaskan mereka. Bilangan mereka mungkin ramai, tapi hakikatnya, mereka dikawal oleh seorang ketua. Seorang pengatur tindakan. Jetto. Dan Jetto inilah yang menggerakkan jasad-jasad tenteranya. Kamu boleh anggap tentera Dewa Kegelapan tersebut sebagai boneka yang bersedia untuk melakukan apa sahaja setelah digerakkan oleh tuannya.

“Kepelbagaian serangan kita akan menyerang akan membuatkan Jetto tak menang tangan untuk memikirkan cara untuk menangkisnya. Kita akan buat Jetto berfikir terlalu banyak sehingga dia gagal mengawal tenteranya. Soal Jetto, biar beta yang uruskan.”

Aku berjeda. Mengambil nafas lalu menyambung kata.

“Ingat! Kamu harus cepat dan yakin. Pastikan libasan senjata kamu tepat, kuat dan pantas. Dengan hanya sekali libasan, kepala mereka harus terpisah dari jasad. Kita tiada masa untuk membuat kesilapan mahupun masa untuk teragak-agak dalam apa jua tindakan. Tiada peluang kedua buat kita. Ingat, tiada peluang kedua! Sebaik sahaja mereka sedar akan serangan yang kita lakukan, mereka akan menepis, menyerang, memukul kita. Saat itu, kita sudah hilang peluang kerana tenaga mereka berkali-kali ganda kuatnya dari kita.”

Aku pandang Raja Eriel yang sentiasa di sisi. Raja Eriel menganggukkan kepalanya.

“Eucralipse sedang berhadapan dengan tentera musuh yang sangat kuat. Beta sendiri tak dapat pastikan sama kamu semua dapat pulang dalam keadaan bernyawa atau tidak. Tiada jaminan kemenangan yang dapat beta berikan. Kamu bebas untuk membuat pilihan. Sama ada untuk menyertai beta atau sebaliknya. Beta tidak akan memaksa kamu.”

Keadaan sunyi seketika. Tiada seorang pun yang bergerak dari tempat mereka. Ryun maju ke hadapan.

“Maaf, tuanku! Kami diajar untuk jadi berani dan bertanggungjawab. Jadi kami tak akan sesekali mengalah sebelum berjuang!”

Ucapan Ryun disambut dengan sorakan dari kesemua tentera. Mereka memukul pedang dan perisai di tangan tanda setuju. Keadaan gamat itu berterusan sehinggalah aku mengangkat tangan mengaahkan mereka bertenang.

“Terima kasih semua!”

Imbasan Kerk di padang rumput sana memecahkan ketenangan dalam diriku. Empat orang tentera Dewa Kegelapan; setiap orang memegang kaki dan tangan Kerk. Bersedia untuk menarik tangan dan kaki Kerk dari semua arah sehingga ianya putus.

“JANGAN!!”

Pedang di sisi tubuh aku tarik dari sarungnya. Kemudian aku layangkan ke udara. Berpusing-pusing terbangnya di udara sehingga mengenai leher empat orang tentera Dewa Kegelapan yang memegang tubuh Kerk. Kepala mereka putus dan jatuh serentak ke tanah. Diikuti dengan tubuh mereka. Kerk turut tersembam ke atas tanah. Kejadian itu menarik perhatian semua tentera Dewa Kegelapan. Mata mereka tak lepas-lepas dari memandang pedangku yang jatuh di sisi Kerk. Lambang pedang diraja Eucris terukir di situ.

“Eury! Aku cabar kau untuk selamatkan kekasih yang kau cintai ini!” Jerit Esmet seraya menarik rambut Kerk dan menghantukkan kepala Kerk ke tanah.

Pandanganku tidak beralih lagi. Tepat ke arah Kerk. Nekadku sudah bulat.

“Maaf, tentera Eucralipse! Kita tak punya masa untuk masuk ke medan perang secara dramatik!”

Sebaik sahaja menyudahkan ayatku, aku terus mengarahkan kudaku untuk memecut ke hadapan. Ellisa dan Raja Eriel yang kaget melihat tindakanku, tidak aku hiraukan.

Tunggu aku, Kerk! Tolong bertahan dan tunggu aku!

Di belakangku, kedengaran bunyi gading Ephant ditiup. Diikuti dengan jeritan Raja Eriel.

“SERANG!!!”

Katakan Dengan Indah Part 2


Cabaran ~ Play to Win ~

“On your foot!” Jeritan nyaring itu membingitkan telinga. Kalau tadi Rachel, kali ini giliran Kamarul pula. Welcome to the club, bisikku dalam hati. Kaki kanan yang lenguh minta direhatkan membuatkan aku mengalihkan berat badan pada kaki kiri pula. Dalam hati aku mengira lagi. Lima ratus sembilan puluh lapan. Lima ratus sembilan puluh sembilan. Enam ratus. Enam ratus saat. Bersamaan dengan sepuluh minit. Hmm... Kiranya dah sepuluh minit la aku berdiri. Patutkan terasa lenguh segala urat-urat kaki aku ni!

Kerusi di meja sebelahku kosong sejak pagi tadi. Aku pasti ada sekurang-kurangnya ada tiga buah bangku lagi kosong di kelas sebelah-menyebelah. Aku mengetap gigi. Kegeraman. Sengal! Sebab kau orang, aku terpaksa bertapa dalam kelas bosan tahap dewa ni!

Kelas semakin panas. Bukan sahaja dek kerana cahaya matahari tetapi juga kerana soalan-soalan ‘cepu cemas’ yang dilontarkan oleh Cikgu Hafizah semakin sukar untuk dijawab terutama pada mereka yang bencikan subjek Sejarah. Tiada sebuah buku pun kelihatan di atas meja masing-masing. Sebaik sahaja high heels 3 inci warna silver milik Cikgu Hafizah jejak di kelas tadi, dia sudah mengarahkan semua buku Sejarah disimpan ke dalam loker buku di belakang kelas. Kami secara automatiknya mengerti bahawa sesi pengajaran hari ini lebih menggerunkan berbanding hari-hari biasa.

Wajah-wajah cuak rakan sekelas aku pandang dengan senyuman sinis. Ada di antara mereka yang sedaya-upaya menyembunyikan wajah di belakang badan rakan-rakan atau langsir tingkap. Ada yang menadah tangan dan berdoa agar terlepas dari pandangan Cikgu Hafizah. Mereka pasrah sahaja dengan untung nasib mereka. Bagi mereka yang layak dipanggil ‘cendikiawan’, wajah mereka tenang sahaja menunggu soalan diajukan pada mereka. Namun kebiasaannya mereka bukanlah sasaran utama Cikgu Hafizah melainkan andartu terlampau itu sudah bosan disogokkan dengan jawapan-jawapan ‘hampeh’ dari para pelajarnya.

Bola kain sebesar bola tenis yang meluncur laju pantas aku tangkap dengan kedua-dua tangan sebelum bola tersebut menghentam mukaku. It’s a fire ball. Bola berapi. Itu gelaran yang diberikan oleh Cikgu Hafizah. Sesiapa yang ‘bertuah’ menyambutnya, akan menjawab soalan yang diajukan olehnya. Dalam masa lima saat, kalau jawapan yang diberikan salah, denda akan dikenakan.

“Giliran awak lagi, Qaireen!” Senyuman sinis Cikgu Hafizah membuatkan hatiku berdetik. Cikgu ni memang sengaja nak kenakan aku ke? Maklumlah aku memang sangat jarang kelihatan dalam kelasnya yang membosankan ni...

“Senaraikan tokoh-tokoh yang terlibat dalam Suruhanjaya Reid?”

Lord Reid, Sir Ivor Jennings, Sir William McKell, Tuan Abdul Hamid, Tuan B. Malik. Itu jawapannya. Tapi, aku memilih untuk tidak menjawab. Sebab? Aku malas nak menyertai pop-quiz ni. Hahaha... Kedua, aku main untuk menang. Play to win!

Yaks, kenapa aku kena belajar sejarah? Lepas tu kena ingat segala macam nama orang, tempat, perjanjian, tahun... Boleh terbakar CPU dalam kepala aku ni kalau nak ingat semua tu tau!

“Tak tahu jawapan? Atau mulut kamu tu penuh dengan emas?”

Aku masih mengunci mulut. Buat tak layan aje dengan sindiran Cikgu Hafizah.

“Okey! On your chair!”

Bangku kayu aku panjat dengan muka cemberut. Berdiri di atas kerusi memang terasa sangattt... tinggi! Cikgu Hafizah pun nampak kecik aje kat mata aku ni!

“Everyone has limit... Let see yours! And hers.”

Bibirku tersungging ke atas. Berat tugas aku ni! Dalam masa sepuluh minit sebelum masa Sejarah berakhir, macam-macam boleh jadi. Masa penentuan.

Bola kain ‘terbang’ ke arahku sekali lagi. Kali ini di luar jangkaanku. Aik, kenapa dia tuju kat aku lagi? Kan ramai lagi student dalam kelas ni? Dah sah-sah dia berdendam dengan aku ni!

Aku dah tak berapa nak dengar dah soalan apa yang diutarakan padaku. Yang jelas dan lantang kedengaran di telingaku adalah sumpah-seranah yang bergema dalam mindaku.

“Apakah gelaran pemerintah tertinggi di Negeri Sembilan?” Cikgu Hafizah mengulang soalannya.

Suasana kelas sunyi. Semua mata memandangku. Aku tersenyum sambil mengangkat bahu.

“Saya bagi kamu soalan paling senang. Budak sekolah rendah pun boleh jawab. Kamu sengaja tak nak jawab, kan? Kalau kamu dapat jawab, aku akan terus dapat duduk.”

Yang Dipertuan Besar. Yamtuan Besar. Senang giler soalan tu...

“Qaireen, kamu bagi jawapan salah pun tak apa. Janji kamu menjawab!”

Hujung kuku jari-jemari aku tatap dengan penuh minat. Cikgu Hafizah mendengus marah.

“Kamu ni melawan saya dalam diam, kan?”

Aku diam lagi.

“Berdiri atas meja kamu, Qaireen!”

Dengan muka selamba, aku naik lagi satu tahap ketinggian. Atas meja. Semua pelajar memandang ‘tinggi’ padaku. Well, so far aku yang paling tinggi dalam kelas ni. Cikgu Hafizah meletakkan bola kainnya di tepi buku Rekod Mengajarnya. Buku teks dicapai lantas dibuka.

“Saya mahu kamu semua baca bab 6 dan buat latihan...bla bla bla...” Sesi pemberian latihan. Bosannya! Aku tak faham kenapa aku dan yang lain-lain harus belajar tentang sejarah. Dah tentu-tentu semua tu dah lepas. Dah jadi sejarah! Dah lapuk. Dah kuning. Sekuning helaian kertas buku teks.

“Macam mana? Seronok dapat berdiri atas meja?” Sindir Cikgu Hafizah. Entah bila dia menapak semula ke tempatku. Aku memandang ke bawah.

“Seronok juga! Hari ni barulah saya tahu yang hidung cikgu terlalu besar untuk muka cikgu yang dah kecut tu!”

Muka Cikgu Hafizah berubah warna. Dari warna pink ke warna merah padam. Aku seakan-akan boleh melihat asap keluar dari lubang telinga dan hidung Cikgu Hafizah. Teman-teman sekelas dah menutup mulut dengan tangan. Menahan tawa dari pecah berderai.

“Lagi satu, saya rasa spare tyres kat perut cikgu tu orang dari bangunan sebelah pun boleh nampak. Macam orang dah beranak lima. Patutlah tak ada lelaki nak kat cikgu. Dia orang takut dikatakan berkahwin dengan janda, bukannya dengan anak dara tua!”

Hambek kau...! Kaw-kaw aku kutuk! Kau atau aku. Kita tengok siapa yang sampai ‘boiling points’ dulu.

“Qaireen Hafiya! Awak ni memang dah melampau!” Suara Cikgu Hafizah memetir bagaikan halilintar saat itu juga. Yang lain sudah kecut perut. Aku aje yang masih dengan muka slumber-land aku. Percayalah, aku pernah dengar oktaf suara yang lebih tinggi dari ini. Percayalah...

“Kamu ingat saya tak tahu apa yang kamu semua cuba buat? Saya tahu kamu dan kawan-kawan kamu yang lagi empat orang tu memang sengaja nak naikkan darah saya. Kamu semua bertaruh. Siapa yang dapat buat saya hilang sabar akan jadi pemenangnya. Kamu semua sengaja nak tengok saya hilang kawalan, kan!” Suara Cikgu Hafizah masih tinggi dan keras. Suara itu segera mencuri perhatian pelajar yang lalu-lalang di luar kelas.

“Baguslah kalau cikgu dah tahu. Kira selesailah!” Balasku menyindir.

Loceng tamat waktu berbunyi nyaring. Serentak itu juga suara Chester bergetar dari dalam meja. Aku melompat turun dari meja. Telefon aku sambar. Keypad telefon aku tekan. Mesej dalam inbox aku buka.

‘Rekod dah pecah! Just get out from that hell.. That kuntilanak won’t wait a second to rip your head off!’

Dari cermin tingkap, aku pandang ke keluar. Empat orang pelajar melambai-lambai di bawah bangunan. Kuntilanak? Nama baru untuk cikgu andalusia ni gamaknya...

‘Aye...’

Senyuman terukir di bibir lagi. I won!

Aku segera mengemaskan buku-buku. Beg aku sandang ke bahu. Suasana dalam kelas dan di luar kelas hiruk-pikuk dengan suara para pelajar. Bagaikan baru terlepas dari penjara, mereka berhamburan keluar dari kelas dan bangunan sekolah dengan kepantasan manusia.

“Qaireen, saya tak habis cakap lagi dengan kamu!”

Ler... Tak sudah lagi?

“Maaf, cikgu! Masa cikgu membebel dah tamat. Once sesi persekolahan dah habis, itu bermakna cikgu juga dah hilang kawalan ke atas kami. We are free! Bye...”

Tubuh Cikgu Hafizah menggigil menahan marah. Dengan senyuman sangat manis, aku melangkah meninggalkan Cikgu Hafizah dalam kebengangannya.

Dona, Anna, Tok Tok dan Lian dah siap menunggu di luar pagar sekolah. Menyambut kedatanganku dengan sorakan. Pelajar yang berada di sekeliling kami berpura-pura tidak melihat kami. Enggan mencari masalah dengan kami.

“Girls, salute!”

Tangan kanan Dona, Anna, Lian dan Tok Tok keras di sisi kanan dahi. Menabik hormat ke arah aku untuk beberapa saat.

“Gila la kau, Reen!”

“Pecah rekod la kau! Dari sini kami dah boleh dengar suara dia!”

“Bukan satu, tapi tiga rekod sekali gus!”

“Pertama, kau berjaya stay kat sekolah sampai habis waktu persekolahan. Kedua, kau berjaya bertahan dalam kelas Sejarah dengan denda Cikgu Hafizah a.k.a. ‘kuntilanak andartu’ tu tanpa menjawab sebarang soalan yang ditanyakan pada kau. Ketiga, kau berjaya buat dia yang sentiasa control ayu tu hilang keayuan dan berubah jadi wajah sebenarnya! Memang champion la kau! Kira natar kita orang ni, kau la yang paling sabar, yang paling berani, yang paling laser mulut, ek? Respect abis la aku kat kau, Reen!” Anna menyenaraikan rekod-ekod kejayaanku pada hari itu.

Aku buat muka selamba. Being a leader, gaining respects from members or followers is a responsibility. An obligatory.

“Seriously, Cikgu Hafizah tu memang plastik. Depan orang, especially cikgu lelaki BUJANG, control ayu aje. Cakap perlahan. Jalan sopan. Cuba kalau depan kita yang sama jantina ni, hilang semua sifat perempuan Melayu terakhir dia tu!” Kutuk Tok Tok pula.

“Aku dengan Tok Tok memang langsung tak sanggup nak masuk kelas Cikgu Hafizah tu. Kerek semacam!” Akui Lian.

“Aku dengan Dona pula tahan tak sampai sepuluh minit. Tak sanggup dowh dengan mulut tahap bom nuklear dia tu. Tu tak kira soalan ‘cepu cemas’ dia lagi. boleh dapat sakit jantung aku!” Anna pula membalas.

“Apapun aku faham kenapa dia buat macam tu!” Aku bersuara buat pertama kalinya. Namun ayatku yang sebaris itu membuatkan kawan-kawanku melopong.

“Kenapa?” Tok Tok bertanya.

“Aku dengar umur dia dah 42 tahun!” Dona mengeluarkan faktanya.

“Tipu! Kulit dia tegang aje!” Bantah Anna.

“Pakai Botox la, sesumpah!” Selar Dona.

“Sebab dia andartu? Terlebih estrogen dalam badan?” Tok Tok masih bertanya. Meminta aku memberi penjelasan terhadap pernyataan luar biasa aku sebentar tadi.

Aku menggeleng.

“Dia denda aku sebab aku tak jawab soalan dia. Kalau kau orang, kau orang marah tak kalau bertanya, bercakap dengan orang yang serupa dinding? Dingin dan bisu.”

Dona angkat kening pada Tok Tok. Tok Tok mencebik lalu mengalih pandang pada Lian. Lian menjeling Anna. Anna angkat bahu.

“Lagi satu, aku kutuk dia kaw-kaw. Sebab tu la dia meroyan marah aku. Tak ramai orang boleh terima dikutuk depan-depan. Aku pasti, kita pun tak sanggup dengar orang kutuk kita, kan?” Sambungku.

“Reen, kau ni kadang-kadang aku tengok terlalu ‘lembut’ untuk jadi ketua. Boleh tak kau buang sifat baik hati kau tu?”

“Okey!” Balasku dengan kening terangkat. Sesuatu di tepi mulut Tok Tok menarik perhatianku.

“Weih, kau orang pergi Baskin Robbins tak tunggu aku pun!!” Rungutku.

“Sorry la! Jenuh la tunggu kau habiskan cabaran tu. Tu yang pergi lepak dekat Robbins kejap!”

“Dah! Dah! Aku tak kira! Kau orang kena ikut aku pergi Baskin Robbins tu sekarang juga!”

“Lagi sekali?” Lian dah mengerutkan mukanya. Tok Tok dah bertepuk tangan gembira. Pandangan matanya dah jauh ke hadapan. Aku rasa dia tengah membayangkan menu apa yang dia nak pilih kejap lagi.

“Yelah! Baru adil, kan? Tapi sebelum tu, kau orang dah buat apa yang aku suruh tadi?”

Aku pandang satu persatu wajah mereka.

“Beres!” Jawab Anna bagi pihak yang lain.
Aku tersenyum. It’s payback time! Memahami tak bermaksud aku dah maafkan dia yang dah menyeksa aku selama lebih kurang sejam tadi, kan?

“Tapi kenapa satu tayar aje? Kenapa tak pancitkan semuanya?”

Aku senyum lagi.

“Sebab aku rasa ramai lelaki yang nak tengok Cikgu Hafizah tertonggek-tonggek menukar tayar kereta dengan kebaya ketatnya tu!” Jawabku ceria.

“Hahaha...!”

Gelak kami berpadu tatkala beriringan ke kereta.

Tuesday, November 16, 2010

Aidiladha Menjelma Lagi...

Esok, kita semua ( yg beragama Islam) akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Apa itu Aidiladha? Mari kita baca tulisan di bawah ini untuk tambah ilmu yang sedia ada, untuk refresh balik apa yang kita dah lupa...

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Merenung kembali jejak-jejak sirah para nabi, perayaan ini lebih sinonim dengan kisah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s.

Catatan sirah kedua-dua nabi ini, menjadi satu inspirasi kepada jutaan umat Islam ke arah rasa taqwa kepada Allah s.w.t. tanpa berbelah bagi.

Malah ia juga menjadi gambaran simbol kasih sayang yang kukuh antara seorang nabi kepada Tuhannya, seorang suami kepada isterinya, Siti Hajar serta kasih antara ibu dan anaknya.

Terdapat tiga peristiwa penting yang boleh dikutip daripada catatan sirah ini.

Pertama, peristiwa Siti Hajar dan anaknya Ismail a.s diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di satu kawasan padang pasir yang tandus.

Ia kini menjadi tumpuan jutaan umat Islam menunaikan rukun Islam yang ke lima, Mekah atau dahulunya di kenali sebagai Bakkah.

Peristiwa kedua merupakan ujian Allah s.w.t. ke atas Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s yang berakhir dengan penyembelihan seekor kambing biri-biri sebagai ganti kepada anaknya.

Peristiwa ini menunjukkan betapa patuhnya Nabi Ismail a.s dalam memenuhi arahan yang diberikan oleh Allah tanpa rasa ragu-ragu mahupun curiga:

Nabi Ismail a.s. berkata: ``Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'' (Ash-Shafaat:102)

Dan ketiga, pembinaan semula Kaabah oleh kedua-dua nabi Allah yang mulia ini.

``Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat.

``Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: ``Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang i'tikaf, yang ruku' dan sujud...'' (Al-Baqarah:125)

Al-Quran memberikan gambaran yang jelas tentang keperibadian Nabi Ibrahim di dalam surah Al Nahl ayat 120-122 bermaksud: ``Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah, dan seorang yang selalu berpegang kepada kebenaran dan tidak pernah meninggalkannya.

``Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan), (lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah, Allah telah memilihnya dan menunjukkannya kepada jalan yang lurus dan kami berikan kepadanya kebaikan di dunia.

``Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.'' (An-Nahl:120-122)

Baitullah yang juga dikenali sebagai Kaabah, merupakan arah kiblat bagi semua umat Islam bersembahyang untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Kaabah pada mulanya telah dibina oleh Nabi Adam, bapa kepada sekalian manusia. Apabila banjir besar melanda Mekah, Kaabah telah rosak.

Nabi Ibrahim membinanya semula di atas tapak yang sama. Baginda meminta Nabi Ismail mencari sebiji batu bagi menandakan penjuru bagi Kaabah.

Maka Jibril memberikan Nabi Ismail petunjuk untuk mencari sebiji batu yang diberi nama Hajarul Aswad.

Semasa batu itu diletakkan, mereka berdoa, ``Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): ``Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengetahui.

``Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada-Mu dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami.

``Sesungguhnya Engkaulah yang maha penerima taubat lagi maha penyayang.'' (Al-Baqarah:127-129)

Kaabah merupakan kiblat, yakni arah tuju Muslim ketika menunaikan kewajipan solat.

Meskipun Muslim mengarahkan dirinya kepada Kaabah ketika solat, Muslim tidak menyembahnya.

Hakikatnya, yang layak disembah hanyalah Allah s.w.t.

Firman Allah menjelaskan: ``Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menghadap ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidul Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.'' (Al Baqarah: 144).

Struktur berbentuk kubik ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Ia menjadi lambang perpaduan jutaan Muslim di seluruh dunia.

Misalnya dalam menunaikan ibadah solat, Muslim menghadapkan dirinya ke arah kiblat yang satu untuk menyembah Allah yang satu.

Perpaduan merupakan elemen penting di dalam Islam ke arah persaudaraan yang lebih bermakna.

Tambahan lagi sejarah membuktikan, peta pertama dilukis oleh seorang Muslim dengan meletakkan tanda arah selatan di atas dan utara di bawah.

Secara geografi, kedudukan Kaabah itu sendiri terletak di tengah-tengah kedudukan dunia.

Meskipun Barat menukarkan tanda arah utara di atas dan selatan di bawah, Kaabah masih kekal kedudukannya di tengah-tengah peta dunia.

Tawaf yang dilakukan oleh jemaah haji di Masjidul Haram sekeliling Kaabah, secara simboliknya menggambarkan kepercayaan pada Tuhan yang satu sebagaimana setiap pusingan menghasilkan satu bulatan.

``Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

``Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.'' (Al Hajj 27-28).

Mengatakan Kaabah sebagai simbol berhala adalah tidak dapat diterima akal sama sekali.

Bukti sejarah dapat di jadikan sandaran dalam menyokong dakwaan menafikan pembohongan ini.

Ketika zaman baginda s.a.w., azan turut dilaungkan dengan berdiri di atas Kaabah setiap kali waktu solat.

Gambaran grafiknya boleh dilihat dengan menonton kisah Al-Risalah (The Message), lakonan Anthony Quinn.

Watak Bilal bin Rabah dilakonkan dengan memanjat Kaabah itu sendiri dan melaungkan azan ketika pembukaan Mekah selepas 13 tahun berkembangnya Islam di Madinah.

Seseorang perlu bertanya pada diri, jika benar Kaabah disamakan dengan sebuah berhala, apakah penganutnya akan memijak berhala itu untuk menyembahnya?


Meminjam & menyampaikan dari sumber :

http://madihah87.blogspot.com/2009/11/sejarah-hari-raya-aidiladha.html

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha!!!

Followers