Tuesday, May 1, 2012

The Cold World 12


His Story
 
Dewa Chiyo?

Apa yang dibuatnya di sini?

Dewa Chiyo mengangguk ke sisi tubuh dan fairy pengawal segera beredar meninggalkan kami berdua.

Tanggapanku terhadap Dewa Chiyo masih seperti ketika pertama kali bertemu di dewan kelmarin. Dewa Chiyo kelihatan mesra, tidak lokek senyuman dan sangat menyenangkan bila berhampiran dengannya.

Namun ada beberapa perkara yang tidak aku sedari mengenai dirinya. Dia agak tinggi dari yang aku sangkakan. Jika aku berdiri, serasanya aku hanya berada di paras dadanya sahaja. Sangat kacak. Dan muda. Sangat-sangat muda. Aku anggarkan umurnya dalam lewat 20-an atau awal 30-an. Dulu aku ingatkan semua dewa-dewi itu tua-tua belaka!

“Err, maafkan aku! Aku ingatkan dah siang. Maaf kerana mengganggu masa tidur kamu.”

Kemudian aku lihat Dewa Chiyo menggaru-garu kepalanya sambil bersungut.

“Dah tua-tua macam ni pun masih tak dapat baca jam matahari.” Itu ayat rungutan Dewa Chiyo yang sempat aku tangkap.

Berkelip-kelip mata Dewa Chiyo merenungku. Bersungguh-sungguh dia mengamati diriku dari atas ke bawah, dan kembali ke atas. Gayanya seperti... Ya, seperti dia tidak percaya bahawa aku berada di depan matanya. Pandangan matanya redup dan hangat. Seolah-olah mahu melepaskan seluruh kerinduannya dalam pertemuan ini.

Eh...? Kenapa dia mesti merindui aku sedangkan ini kali kedua kami bertemu. Lagipun, kami tak pernah rapat. Macam mana nak rindu-merindui... Hmmm...

Aku tak pasti apa yang patut aku lakukan ketika ini. Mungkin kerana aku masih mamai. Kepala yang pening membuatkan aku sedikit keliru dan kebingungan. Tunduk hormat. Ya, mungkin aku patut tunduk hormat padanya memandangkan statusnya sebagai dewa itu. Aku tergesa-gesa bangun. Enggan dikatakan kurang sopan. Namun dek kerana tenaga dalam badan yang semakin berkurangan, ditambah pula sikap cuaiku, aku tersadung kakiku sendiri dan hampir tersembam di hadapan Dewa Chiyo. Mujur Dewa Chiyo sempat menyambut tubuhku.

Dewa Chiyo tergelak besar. Bergema di seluruh sel penjaraku. Agak menggerunkan bila suara garaunya itu memenuhi segenap ruang. Aku berundur beberapa tapak ke belakang. Ketakutan.

Dewa Chiyo berhenti ketawa.

“Oh, maafkan aku, angel kecil! Aku tak bermaksud untuk takutkan kamu. Aku terlalu gembira dapat bertemu kamu, akhirnya... Dan aku tak sangka adanya makhluk lemah seperti kamu yang cemerkap tetapi tetap kelihatan comel pada masa yang sama. Sekarang baru aku faham perasaan‘nya’.”

Aku masih terperosok di sudut dinding. Memandangnya dengan mata yang berhati-hati. Dia dewa. Aku cuma angel. Aku tak tahu apa kemahuannya sehingga dia menjejakkan kami ke sini. Aku tak punya sesiapa lagi untuk dipercayai di sini. Di sini aku sendirian.

“Harumi...”

Namaku digumam perlahan oleh Dewa Chiyo.

“Harumi...” Aku pasti Dewa Chiyo bukan memanggilku memandangkan dia hanya merenung kosong ke dinding batu yang sudah pecah di sana-sini. Justeru itu aku tidak menjawab sebaliknya hanya memandangnya dengan riak pelik.

“Harumi... Melihat kamu dari ‘mata’nya langsung tak sama. Ternyata kamu ‘lebih’ dari biasa walaupun kurang dari kebiasaan.”

Mulutku ternganga tanpa sedar. Sumpah aku tak faham apapun yang dikatakannya. Berbalik-balik perkataan yang digunakan sehingga aku gagal untuk memahaminya.

Dewa Chiyo menepuk dahi dan ketawa kecil. Takut aku akan terkejut lagi.

“Oh, maafkan aku sekali lagi! Aku lupa perkenalkan diri. Namaku Dewa Chiyo.”

“Saya...Har... Harumi...” Aku sedikit gagap memperkenalkan diri.

“Ya, aku tahu. Walaupun ini kali kedua kita bertentangan mata, tapi aku dah lama ‘mengenali’ kamu, Haru.”

Keningku terangkat.

Haru?

Cara dia memanggil aku seolah-olah kami sudah lama berkenalan.

“Jangan takut. Aku tak akan apa-apakan kamu. Aku hanya ingin melihat kamu dari dekat. ‘Melihat’ kamu dari pandangan mata orang lain sangat berbeza.”

“Kenapa Dewa Chiyo ke mari? Hukuman atas kesalahan saya sudah ditetapkan ke?”

“Yang itu belum lagi. Bukan mudah untuk mengumpulkan semua dewa-dewi. Huh, kalau la aku boleh ponteng dari menghadiri sesi perbincangan yang membosankan itu! Kamu patut tahu betapa tumpulnya pemikiran mereka setelah lama tidak dihadapkan dengan perkara-perkara yang mengejutkan sebegini. Apa yang aku boleh katakan, hal antara kamu dan Riku ini sudah memberi warna pada Haven yang statik dan membosankan ini.” Dewa Chiyo menyampaikan perkara serius dalam nada ceria dan kelakar.

Tenang. Itu yang aku rasakan. Walaupun aku tak mengenali Dewa Chiyo, malah tidak tahu apa keinginannya ke sini, namun aku berasa tenang dengan kehadirannya. Serta menghiburkan.  

“Kamu nampak pucat, Haru... Nampak macam tak sihat.”

Dewa Chiyo memerhatikan seketika dulang-dulang berisi makanan yang tidak berusik.

“Maaf. Kami tak punya tukang masak yang bagus. Sebetulnya, tiada sesiapa di sini yang makan atau minum.”

Aku tersenyum. Kelat.

“Tentu sukar menjadi angel istimewa berbanding angel yang lain.”

“Sangat susah. Dihina. Dibezakan. Ditipu. Dikecewakan. Malah sering menyakiti orang disayangi.” Wajah Riku terlayar di birai mata.

Dewa Chiyo tersenyum. Senyumannya lebar. Menenangkanku.

“Kamu tak tahu siapa diri kamu yang sebenar. Kamu bukan sekadar angel kecil yang tak berdaya dan cemerkap. Kalaupun itu sahaja yang mampu kamu lakukan, anggaplah sifat itu adalah kelebihan kamu. Kerana kelebihan kamu yang jelik pada pandangan mata kamu itulah yang memberi kegembiraan pada orang lain.”

Mata aku bulatkan.

“Bahasa Tuan tinggi sangat. Saya tak faham.”

Dewa Chiyo tersenyum lagi. Kali ini dia mendepakan sayapnya. Tangan kanan dihulurkan padaku.

“Ke mari, angel kecil.”

Aku tergamam.

“Jangan takut. Anggap aku seperti kawanmu. Atau abang. Atau mungkin lebih tepat lagi sebagai ayah.”

Aku mengatur langkah. Perlahan. Takut-takut. Sedikit menggigil sebenarnya. Jarak antara kami semakin mengecil. Sebaik sahaja tangan kecil berada dalam genggaman tangannya, dia menarik aku ke dalam pelukannya. Kemudian kami duduk di lantai. Sayapnya ‘membaluti’ tubuhku. Jari-jemarinya mengelus jari-jemariku. Menyalurkan haba pada tubuh yang kedinginan. Seperti yang pernah dilakukan oleh Riku. Namun sentuhan Dewa Chiyo berbeza sama sekali dengan sentuhan Riku. Dengan Dewa Chiyo aku rasa selamat, terjamin, disayangi, dimanjai. Seperti seorang bapa menyayangi anaknya.

“Kamu sangat kecil. Perjalanan hidup kamu pula masih jauh lagi. Terus-terang aku katakan yang aku risaukan kamu. Apapun, aku ucapkan terima kasih pada kamu.”

“Ha? Untuk apa?”

“Untuk segalanya. Untuk masa lalu. Sekarang. Dan masa hadapan.”

“Maaf. Saya tak faham, tuan.”

Dewa Chiyo menghela nafas panjang.

“Ceritanya panjang dan agak rumit. Aku pula tak berapa pandai cerita. Aku harap kamu tak akan menyampuk ketika aku bercerita. Okey?”

“Okey.” Janji yang sangat mudah untuk dibuat tika itu. Dan aku sudah tidak sabar lagi untuk mendengar ceritanya.

“Err… Dari mana harus aku mulakan? Mungkin aku patut ke bahagian yang penting terus…” Dewa Chiyo berkira-kira dalam nada perlahan. Sifat dewa ini tak ubah seperti angel atau manusia biasa sahaja walaupun sepatutnya dia memiliki sifa yang menghampiri kesempurnaan. Sekarang aku mengerti mengapa aku berasa selesa berada di sampingnya. Dia seperti aku, atau sekurang-kurangnya dia mahu berperangai seperti aku bila di sampingku. Menerima kekuranganku dengan optimis. Mungkin itu caranya untuk rapat dengan seseorang.

“Suatu ketika dulu kami, dewa-dewi bergantung pada tirai masa. Tirai ini dapat meramalkan masa depan. Tapi tirai masa hanya dapat memberikan jangkaan yang kabur, abstrak dan jangka masa kejadian tidak boleh dijangka. Setiap kali ramalan dikeluarkan, dewa-dewi akan bersidang untuk berbincang dan mentafsirkan maksud ramalan tersebut. Kerja yang agak payah, sebenarnya.”

“Menurut tirai masa, Haven akan melalui masa kegelapan dan kedinginan yang panjang. Hanya ‘sayap hitam’ sahaja yang dapat menyahkan kegelapan yang menyelubungi Haven. Masa kegelapan yang diramalkan tersebut adalah zaman kejatuhan Haven, dan pastinya tamadun manusia. Tiada cinta pada masa itu. Hanya ada kebencian, ketamakan, perebutan kuasa, perang dan sifat individualistik. Angel, dewa-dewi, dan fairy pula sudah terikut-ikut sifat tersebut dari manusia. Bagiku, sifat negatif tersebut bagaikan penyakit, atau mungkin boleh dikatakan sebagai wabak yang berjangkit tanpa disedari dan tanpa ubat untuk mengubati.Untuk pengetahuan kamu, itulah antara sebabnya mengapa angel diberi tempoh tertentu turun ke bumi bagi menjalankan tugas mereka. Dewa-dewi pula dikenakan peraturan yang lebih ketat, hampir tidak dibenarkan ke bumi. Dan fairy langsung tak dibenarnya ke sana. Terlalu kecil untuk dihadapkan dengan cabaran sebegitu.”

Aku mengangguk. Mula faham sedikit demi sedikit apa yang berlaku di sekelilingku.

“Tetapi, seperti kita tahu, masa depan terlalu sukar dijangka. Rapuh, cepat berubah. Jika berlaku sedikit sahaja perubahan, kesemuanya akan berubah. Perkara ini menimbulkan rasa tidak selamat pada kami kerana apa yang diramalkan oleh tirai masa sukar ditafsirkan dengan jelas. Dalam keadaan tidak menentu itu, Riku dilahirkan. Putera Dewa Arashi dan Dewi Rinako ini sangat istimewa. Memang mengambil acuan bapanya dan punya kewibawaan untuk...”

Saat itu aku terfikir akan sesuatu.

“Eh? Anak? Bapa? Dewa dan Dewi boleh berkahwin? Bukankah peraturan di Haven tidak membenarkan sesiapa untuk bercinta, apatah lagi berkahwin?”

Ktukk!!

“Adoi!”

Kepala terasa sakit diketuk dengan jari.

“Bukankah kamu dilarang untuk menyampuk?”

Muka Dewa Chiyo serius.

“Err... Maafkan saya...”

“Dimaafkan. Namun sebagai hukuman, aku tak akan jawab sebarang soalan yang kamu ajukan. Apa yang aku beritahu adalah apa yang patut kamu tahu tika ini. Faham?”

“Aaa?”

Namun bila lihat wajah serius Dewa Chiyo, aku pantas mengangguk.

“Di mana aku berhenti tadi? Owh, kewibawaan Riku memang tidak dapat disangkal. Kami sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkannya. Hanya menanti umurnya matang untuk mengangkatnya menjadi Raja Paling Utama di Haven. Perbincangan dan undian tentang siapa yang akan menggantikan Dewa Arashi dilupakan serta-merta. Pada usia 4 tahun, Riku mula menerima kuasa istimewanya...”

“Kuasa istimewa?! Saya tak pernah tahu pun Riku ada kuasa istimewa. Apa kuasa Riku?” Sekali lagi aku hilang kawalan.

Dewa Chiyo mengerling aku di sisinya. Perlahan-lahan dia mengukir senyuman.

“Harumi, kamu ni memang gangguan yang melucukan dan comel. Memang lain dari yang lain. Kamu memang jenis yang susah nak ikut peraturan dan cakap orang, kan?”

“Hehe. Ye kot...” Akuiku.

“Aku tak akan jawab soalan itu juga.”

“Erk... Ruginya!” Macam tak lengkap la cerita ini nanti. Ada ‘lubang-lubang’ persoaan di sana-sini.

Dewa Chiyo tergelak kecil sambil memaut erat bahuku. Dan dia sudah bersedia untuk meneruskan ceritanya.

“Kehadiran Riku menjadikan tirai masa sesuatu yang ketinggalan zaman dan ia mula dilupakan. Dewa Arashi dan Dewi Rinako benar-benar berharap kemampuan Riku akan dapat mengatasi zaman kegelapan Haven seperti yang diramalkan oleh tirai masa. Berharap Riku sudah cukup matang ketika zaman kegelapan melanda Haven supaya dia boleh mengelakkan kejatuhan Haven dan manusia di bumi.”

Dewa Chiyo mengecilkan matanya buat seketika.

“Dai... Ya! Dai, dari pemerhatianku memang rasa tergugat dengan kehadiran Riku. Pertama, takhta Dewa Arashi memang impiannya sejak sekian lama. Kedua, kebolehan Riku membuatkan dia dalam keadaan terdesak untuk menjadikan Riku sebahagian dari rakan sekutunya. Cita-cita Dai tinggi. Adakalanya aku takut untuk ‘melihat’ apa yang mampu dilakukannya. Mujur, Riku yang masih kecil tidak mudah dipengaruhi.”

Dewa Chiyo berjeda sebentar sebelum mengeluh dalam diam. Rentak ceritanya berubah menjadi serius.

“Suatu hari, sesuatu telah berlaku. Sesuatu yang serius dan mula menukar suasana di Haven.”

Aku membetulkan kedudukanku. Duduk betul-betul mengadap Dewa Chiyo. Sedikit mendongak untuk memandang wajah seriusnya.

“Mungkin Riku terlalu kecil tika itu, mungkin dia masih belum mahir menggunakan kuasanya... Sukar untuk menggambarkan apa yang terjadi pada ketika itu. Semuanya berlaku sepantas kilat. Aku sendiri gagal melihat dan menghalangnya dari berlaku. Dan bila aku tiba, semuanya sudah terlambat. Dewa Arashi mati di pangkuan Riku. Bibirnya masih mengukir senyuman walaupun berada dalam kesakitan yang teramat di penghujung hayatnya. Pisau belati masih digenggam erat di tangan Riku. Dan wajah Riku masa itu… tak dapat aku gambarkan… Sedih. Kesal. Kecewa.”

Entah bila kalanya aku menutup mulut yang melopong dengan kedua-dua belah tapak tangan. Sekarang baru aku tahu mengapa Riku sering termenung dengan wajah yang sedih di celah-celah momen gembira yang kami cipta bersama.

“Haven berada kedukaan yang agak panjang. Dewa-Dewi terbahagi kepada dua; satu pihak yang menyokong dan bersedia memaafkan Riku dengan alasan Riku baru berusia 4 tahun untuk dihukum seperti dewa dewasa. Tapi bilangan mereka sangat sedikit. Satu pihak lagi menentang hebat sebarang pembelaan ke atas Riku. Mereka menyarankan hukuman berat dikenakan ke atas Riku.”

Dewa Chiyo memandang jauh ke hadapan, menembusi dinding batu yang menjadi pemisah antara kami dengan dunia luar.

“Tiada sesiapa yang mendengar penjelasan dari Riku. Riku ditinggalkan begitu sahaja. Semua orang seoalh-olah putus harap padanya. Riku berubah menjadi budak yang bengis dan bermasalah. Dia tak izinkan sesiapapun menghampirinya. Tiada sesiapa yang berani menghampiri Riku.”

Dewa Chiyo menghela nafas.

“Setelah dipertimbangkan, Riku dilepaskan dari sebarang hukuman fizikal dan dibenarkan tinggal di istana dengan kawalan ketat oleh Dewa-Dewi. Perkembangan Riku direkodkan dan dia mungkin akan diampunkan sekiranya berperangai baik. Tapi tiada sesiapa yang memahami Riku. Riku memang degil. Dia fikir dia aje yang betul. Egonya pun boleh tahan. Kami tak tahu apa rancangannya sehingga dia memohon untuk keluar dari istana dan menjalani kehidupan biasa dengan identiti angel kelas kelima. Hidup sendirian dengan pelbagai rasa yang membuku di dada… Terus-terang aku katakan aku tak mampu untuk melihat keadaannya begitu. Terlalu menyakitkan hati.”

Dewa Chiyo mengusap rambutku.

“Kemudian dia bertemu kamu. Membesar bersama kamu. Berkongsi suka-dukanya bersama kamu. Kamu menjadi sumber kekuatan dan inspirasinya. Dengan kamu, dia harus menjadi kuat untuk melindung kamu. Aku lihat hidupnya lebih bermakna dengan kehadiran kamu.”

Ye ke? Tapi kata-katanya semalam…

“Sebab itu aku nak nasihatkan kamu supaya jangan percaya semua yang kamu dengar dan lihat, bila-bila masa, di mana-mana jua kamu berada. Adakalanya kebenaran berselindung di sebalik hakikat yang dipaparkan di hadapan kamu.”

Dewa Chiyo menyambung lagi ceritanya.

“Selepas itu macam-macam yang berlaku. Dipendekkan cerita Dewa-Dewi mula hilang kepercayaan pada Dewa-Dewi Utama bila 4 kerusi kosong begitu sahaja. Dai pula secara tak rasmi memegang kuasa membuat keputusan di Haven. Dan dia mula mencorakkan Haven seperti yang diingininya.”

“Dai tak pernah rasa selesa dengan kedudukan yang dimilikinya selagi Riku tidak menjadi rakan sekutunya.. Jadi dia sentiasa mendesak Riku kembali ke istana dengan pelbagai cara termasuklah menyuruh Riku melakukan perkara yang tidak disukainya.”

Dewa Chiyo menyandarkan kepalanya ke dinding. Diam. seperti sedang berfikir sesuatu.

Zaman kegelapan sudah mula menyelubungi kita tanpa sedar...” Keluhnya perlahan.

“Dewa Chiyo...” Panggilku perlahan. Takut mengganggu lamunannya yang pastinya sudah melepasi bilik segiempat ini.

“Ya?”

“Keadaan di dewan semalam mengelirukan saya.”

“Maksud kamu?” Aku berjaya menarik perhatian Dewa Chiyo tika ini.

“Perasaan saya pada setiap orang yang ada di sana sangat mengelirukan.”

“Tolong terangkan secara terperinci, Haru...”

Aku diam seketika. Berfikir bagaimana untuk menggambarkan apa yang aku nampak dan rasa dalam bentuk ayat.

“Dewa Dai secara terang-terang memang membenci saya. Tiada keraguan tentang perkara itu. Tetapi Riku... err... Maksud saya Dewa Riku... Sikap dia dan DewI Iva agak mengelirukan saya. Dewa Riku dan Dewi Iva....”

“Kenapa dengan mereka, Harumi?” Dewa Chiyo semakin berminat untuk mendengar.

Dewa Riku tu sekejap suka saya, sekejap kata saya menyusahkan. Kadang-kadang saya tahu dan faham dia tu jenis orang yang macam mana tapi kadang-kadang saya macam tak kenal dia. Saya tak pasti sama ada semalam dia cuba lindungi saya dari Dewa Dai atau dia sekadar mahu menguji kesabaran Dewa Dai sahaja."

"Dewa sangat pandai mempergunakan apa yang ada di sekelilingnya untuk kepentingan dirinya. rasanya, Riku yang pun 'menggunakankan' kamu sehabis baik. Kamu tak penting lagi bagi dia."

Kata-kata Dewa Chiyo menikam teat ke hati. Sakit. Pedih.

"Macam tu ke?"

"Untuk kembali ke istana, dia perlu menyingkirkan kamu dari hidupnya. Dia tahu hal itu. Dan Dai sangat menggemari hakikat tersebut." 


Air mata aku tahan dari jatuh. Mungkin itu hakikatnya. Aku hanya digunakan untuk mengatasi masa-masa sedihnya. Rasa sedih aku tanam dalam-dalam di lubuk hati. Apa guna aku menangis meraung sekalipun. Kebenaran itu tak selalunya indah.

"Dewi Iva pula... Saya tak tahu dia suka atau benci saya? Aura benci dan sayang dia begitu kuat semalam. Terlalu kuat sehingga saya sukar untuk menentukannya.” Kataku perlahan.

Dewa Chiyo memegang hujung dagunya. Berfikir sejenak.  

“Owh, begitu...”

“Dewi Iva tak suka saya. Dia langsung tak pandang saya. Tapi, bila saya cuba fahami perasaannya, hatinya, dia ta benci saya. tak tahulah. Aura sayang dan bencinya bertarung hebat sesama sendiri semalam.”

Senyuman Dewa Chiyo kelat.

“Dia hanya cuba selamatkan kamu dari kesusahan.”

Macam tu pulak?
 
“Dewi Iva mengelirukan saya. dan saya rasa terganggu dengannya.”

“Angel muda, dia dah lama hidup dalam kekeliruan. Punya keinginan lain tapi terperangkap dengan tanggungjawab yang lain. Tak mudah menjadi dia. Aku harap kamu tak membenci dia.”

Aku kehilangan kata-kata. Hidup mereka sudah bermula sebelum aku lahir lagi. Entah apa yang telah dilaluinya sehingga dia menjadi seperti itu. Dalam diam, perlahan-lahan di dalam hati, aku memaafkannya. Aneh. Memaafkannya sangat mudah, sepertimana rasa sayang yang menerpa tiba di hatiku ketika pertama kali aku melihatnya. Mungkin kecantikannya melembutkan hatiku.

“Aaahhh....”

Dewa Chiyo memejam matanya rapat-rapat. Wajahnya berkerut-kerut seperti sedang menangung kesakitan yang teramat.

“Kenapa Dewa Chiyo?”

“Mereka akan buat keputusan. Aku dah tahu keputusan mereka.”

Akan buat keputusan maksudnya keputusan belum dibuat lagi. Bagaimana Dewa Chiyo tahu keputusan yang bakal dibuat? Pelik! Apa sebenanrnya kuasa Dewa Chiyo ni?

“Kamu tak mahu tahu apa keputusannya esok?”

Aku geleng kepala. Melihat gaya Dewa Chiyo, aku boleh mengagak bahawa keputusannya tidak memihak padaku. harap-harapnya keputusan itu memihak pada Riku.

“Biarlah ia jadi satu kejutan buat saya esok.”

Dewa Chiyo bangun. Aku turut bangun.

“Aku perlu berada di sana. Walaupun aku tak pasti apa yang boleh aku lakukan untuk membantah keputusan mereka... Argh, kalau setakat datang dari jauh untuk jadi pendengar pasif, baik tak payah datang! Dasar Dewa-Dewi lembap akal!”

Mulut Dewa Chiyo berdecit, tanda tidak puas hati. Tanpa disangka-sangka, dia mengelus lembut pipiku.

“Kamu tahu Harumi...”

Wajah gundah Dewa Chiyo aku pandang.

“Aku sayang kamu sejak pertama kali aku lihat kamu. Saat itu aku tahu, aku tiada pilihan selain menyayangi kamu.”

Dewa Chiyo tersenyum sendirian. Matanya merenung menembusi wajahku. Seperti mengenang sesuatu.

“Aku tahu kehadiran kamu di Haven akan membawa perubahan di sini. Terutama ketika ‘kegelapan’ menyelubungi Haven. Aku harap apa yang aku lakukan ini tidak sia-sia.”

Sebuah kucupan singgah di dahiku.

“Aku akan sentiasa mendoakanmu, anakku...”

Dengan kata-kata itu, Dewa Chiyo meninggalkan aku. 

Aku menghela nafas panjang.

Mereka akan beroleh keputusan sebulat suara dari Dewa-Dewi tak lama lagi.

Mungkin esok lusa keputusan akan diumumkan...

Pandangan aku lemparkan ke luar jendela.

Apa yang Dewa Chiyo telah lakukan?

Apa perubahan yang mampu aku lakukan pada Haven sedangkan semua orang pun tahu yang aku tak punya kelayakan untuk menjadi angel yang bagus?

Kepala aku ketuk perlahan.

Argh...! Menyesalnya aku menyampuk masa Dewa Chiyo bercerita tadi! Kalau aku tak menyampuk dan tunggu sehingga Dewa Chiyo habis bercerita mungkin aku dapat tanya soalan-soalan yang berselirat dalam kepala aku ni.

@~@~@~@~

Pintu berjeriji besi dibuka. Lamunan yang panjang terhenti.

“Kamu betul-betul dah gila!”

Mata Riku buntang. Suara keberangan itu dikenalinya.

“Bonda!”

Riku bingkas bangun dan memusingkan badannya. Mahu menatap seraut wajah yang sudah sekian lama dirinduinya. Tubuh si ibu cuba digapai, namun rantai yang menggari tangannya ke dinding membataskan pergerakan.

Wajah Dewi cantik di hadapannya muram tidak bermaya. Tidak setegang ketika dia mula-mula menjejakkan kaki ke situ tadi. Ada kerinduan jelas terpapar di matanya namun dia langsung tidak bergerak untuk menyambut gapaian si anak. Tetap berdiri selangkah dari muka pintu, mengekalkan jaraknya.

“Bonda...” Lirih Riku memanggil bonda yang melahirkannya.

Mata Dewi Rinako berkaca.

“Bonda tak rindukan saya? Saya rindu bonda... sangat-sangat... ”

Dewi Rinako telan air liur. Menahan tangis dari berlagu hiba.

“Tarik balik keterangan kamu!” Arah Dewi Rinako dalam sebaknya.

Riku memejam mata. Rasa kecewa menggigit tangkai hati. Bondanya datang bukan untuk melepaskan kerinduan yang bersarang di hati. Bondanya datang untuk memastikan dia mengikut telunjuknya, atau lebih tepat telunjuk Dewa Dai. Sudah banyak masa berlalu dengan sia-sia. Pandangan dia dan bondanya sudah tidak sehala lagi seperti dahulu.

“Tidak! Saya cuma lakukan apa yang harus saya lakukan!” Bantah Riku.

“Riku! Kamu memang nak menempah maut ke? Kenapa kamu tak sudah-sudah nak mengganggu keseimbangan dan keharmonian Haven? Masih tak insafkah kamu dengan apa yang telah kamu lakukan? Kenapa kamu nak libatkan diri dengan angel tu? Bonda sangka kamu mahu kembali ke istana, tapi...”

Dewi Rinako memegang kepalanya. Pening memikirkan tindakan dan pendirian si anak. Dia seperti sudah tidak mengenali Riku yang berada di hadapannya itu. Kalau bukan kerana sepasang mata bundar Riku yang diwarisi daripadanya, seraut wajah tampan persis seperti suaminya, sudah pasti dia akan menafikan sekeras-kerasnya bahawa lelaki di hadapannya itu adalah Dewa Riku, putera yang dilahirkan kira-kira 20 tahun yang lalu.

“Kenapa kamu harus libatkan diri dengan angel itu? Angel tak setaraf dengan kita. Dia hanya akan menyusahkan kamu. Tengok apa yang dah jadi pada kamu sekarang! Bonda nak kamu beri keterangan kamu sekali lagi. Dapatkan kepercayaan dewa-dewi yang lain dan kembali ke istana. Sudah cukup, jangan malukan nama ayahanda dan bonda lagi.”

Riku tersengih.

“Siapa yang ajar bonda cakap begitu? Dewa Dai?”

“Dai hanya mahu bantu kamu! Kamu selalu buruk sangka terhadapnya! Dia berusaha keras menyakinkan yang lain bahawa kamu sudah insaf dan tidak akan bertindak melulu seperti dulu lagi!”

“Dewa Dai hanya lakukan apa yang sedang dia lakukan sekarang untuk duduk di atas takhta! Itu impian dia sejak dahulu lagi. Saya dah lihat segalanya dan inilah rancangannya. Memecah-belahkan kita dan meraih kepercayaan yang lain. Sejak dulu bonda tahu hakikat ini. Dewa Dai bukan calon yang sesuai, kalaupun saya tak dilantik menjadi raja. Hatinya tak suci lagi! Tengok apa yang dia dah lakukan pada Haven! Institusi dewa-dewi terlalu percaya padanya, malah memberi kuasa penuh padanya untuk membuat peraturan merepek di Haven. Haven mungkin akan hancur sebelum zaman kegelapan menyelubungi kita!”

“Tapi sekurang-kurangnya dia tidak membunuh ayahandanya sendiri!”

Riku diam. Gigi diketap kuat. Kekesalannya terhadap kesilapan yang satu itu tiada penghujungnya.

“Bonda kehilangan suami yang bonda cintai hari itu di tangan putera bonda sendiri!!”

“Dan saya hilang ayahanda... serta bonda... hari itu...”

Dewi Rinako tunduk, menyembunyikan wajah sedihnya.

“Kamu kejam! Adakah kamu terlalu kepingin untuk naik takhta sehingga kamu sanggup tikam dada ayahanda kamu?!” Jerkah Dewi Rinako.

Riku pantas menggeleng.

“Bukan! Bukan itu yang terjadi! Bonda, bagi saya peluang untuk jelaskan cerita sebenar!”

“Untuk apa? Supaya kamu boleh mencipta cerita untuk membenarkan tindakan kamu itu?”

“Bonda! Saya sayang ayahanda lebih dari apa yang boleh saya katakan! Ada seseorang yang telah menggerakkan ‘boneka’ dan menggunakan kelemahan kuasa saya untuk mencipta kejadian ini.”

“Siapa orangnya? Kamu ada bukti?”

Riku menggeleng.

Dewa Rinako ketawa sinis.

"Bukan mudah untuk membunuh Dewa, Riku! Bukan sebarangan senjata yang boleh menembusi tubuh kita. Kamu sendiri tahu hakikat itu, bukan? Ini memang dah dirancang dengan rapi."


Riku mendongak. Memandang langit. Kalaulah aku boleh jadi setenang dan secerah langit...
 
“Bonda dah tak kenal siapa kamu Riku. Bagaimana peribadi kamu atau apatah lagi menjangka tindakan kamu. Betul-betul dah tak kenal. Kamu seperti orang asing yang pernah hadir seketika dalam hidup bonda dan ayahanda. Orang asing yang pernah menggembirakan hati kami, namun akhirnya mengkhianati kami.”

Hati Riku menangis saat itu.

“Bonda...”

Dewa Rinako memalingkan tubuhnya. Enggan memandang wajah Riku lagi.

“Bonda menyokong penuh keputusan Dewa Dai esok.”

Dewa Rinako bergegas meninggalkan sel penjara tersebut.

Riku memegang kejap dada kirinya. Rasa sakit yang menyucuk terasa seperti sudah tidak tertanggung olehnya.

“ARGHHH...!!!!”

@~@~@~@~

Rasanya aku baru sahaja memejamkan mata bila pintu penjara dibuka sekali lagi. Dalam kesamaran pandangan aku lihat fairy pengawal berada di muka pintu.

“Angel Harumi, sila bersiap sedia sekarang. Kamu diminta untuk mengadap di dewan sekarang.”

Jantungku bagai dipalu sekarang.


*** Erk, apa dah jadi dgn bloh nih? New setting gamaknya... cemas, fsl xreti guna. So, sorry la kalo n3 kali ni x mcm yg sblmnya.
*** Dmm dh xde. Cuma batuk+selsema yg msh keberatan nk tgglkan bdn. Huhu...

4 comments:

Hika_Kira said...

best lah cita ni...
semoga awak cepat sembuh...

eury said...

TQ Hika_Kira... :)

amaya x raiden said...

wahh laju betul hika_kira comment ye.untuk eury pulak harap cepat sembuh k. cerita awak sume best2 jadi berusahalah ye. ganbatte!!!

tzaraz said...

demam ya laling... cepat sembuh ya..

Followers