Thursday, October 22, 2009

eucralipse 10


Nama aku Puteri Eury. Aku merupakan puteri tunggal Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika dari Eucralipse. Ya, aku pewaris tunggal takhta kerajaan Eucralipse selepas ayahandaku mangkat nanti. Kononnya aku pernah mempunyai pakcik, abang kepada ayahandaku merangkap pemerintah sebenar Eucralipse. Aku tak tahu apa yang berlaku kepada dirinya. Khabarnya dia sudah mati. Justeru itu, ayahanda aku yang menjadi penggantinya selepas datukku mangkat.

Beberapa abad yang lalu, satu perjanjian telah termeterai antara pemerintah Eucralipse dan Segi; sebaik sahaja keturunan yang ketujuh dilahirkan, mereka akan disatukan. Ia akan menjadi simbol kepada penyatuan keturunan dan juga tanah jajahan antara kedua-dua kerajaan. Kerana mengikut sejarahnya, pengasas Eucralipse dan Segi adalah saudara yang jauh terpisah akibat salah faham.

Aku adalah keturunan Eucris yang ketujuh. Esmet pula keturunan keluarga diraja Segi yang ketujuh. Kami ditunangkan semenjak bayi dalam satu upacara gilang-gemilang. Sebaik sahaja aku mencapai usia matangku, kami akan dikahwinkan sebagai persediaan untuk menaiki takhta. Aku dan Esmet; masing-masing diwariskan dengan seutas rantai berbatu hijau yang bersinar.

Sebagai puteri raja, segala pergerakanku terbatas dan dikawal ketat. Ellisa adalah satu-satu kawan yang benar-benar memahami keadaan diriku. Ellisa menjadi teman rapatku semenjak kecil dan kepadanya segala rasa hati aku luahkan.

Mengikut definisi Ellisa, cinta merupakan suatu perasaan halus yang wujud dalam diri individu tanpa sebarang paksaan. Ia terjadi secara semulajadi dan tanpa bersyarat. Dalam erti kata lain, kita boleh jatuh cinta dengan sesiapa sahaja, di mana-mana dan pada bila-bila masa. Cinta adalah kuasa ajaib yang membuatkan alam ini berputar. Cinta adalah kuasa ajaib yang menjadikan sesuatu yang mustahil kepada realiti. Cinta membuatkan hidup kita menjadi indah dan sempurna. Pengertian cinta Ellisa menyakinkan aku akan sesuatu. Aku tidak mencintai Esmet walaupun dia jodoh yang telah diramalkan untukku sejak berabad yang lalu. Dan aku juga pasti bahawa Esmet tidak pernah mencintai aku. Yang ada dalam diri Esmet hanyalah keinginan untuk menguasai. Sebaliknya, pengertian cinta dari Ellisa mengingatkan aku kepada Reizu...

Reizu atau Rei... Lelaki misteri aku aku kenali ketika dia membantuku dalam satu serangan konco-konco Rexo, sebuah kumpulan pemberontak di pinggir Eucralipse. Lelaki bertubuh sasa dengan riak wajah tenang itu telah membawa satu perasaan baru ke dalam diriku. Pengetahuannya yang meluas tentang Eucralipse, cara dia melayaniku, cara dia bercakap, cara dia memandangku... segala-galanya tentang dirinya membuatkan aku semakin 'dekat' dengannya. Pengetahuan aku tentang dirinya terlalu sedikit; aku cuma tahu namanya sahaja. Yang lain, tidak pernah diceritakan padaku. Bersama-sama dengan rasa hangat itu, kehadiran Rei turut menimbulkan pelbagai persoalan di benakku. Contohnya, siapa dirinya yang sebenarnya, dari mana dia mempelajari bahasa kuno Eucralipse, kenapa dia harus bertopeng, dan bagaimana dia boleh memakai rantai berbatu hijau yang seakan-akan sama dengan rantaiku dan Esmet.

Penampilan Rei yang bertopeng mengingatkan aku kepada Putera Bertopeng yang wujudnya hanya dalam mimpi-mimpiku semenjak kecil. Putera Bertopeng yang tidak pernah gagal mengenakan topengnya. Putera Bertopeng yang tidak pernah kutahu wujud atau tidaknya dia dalam dunia realiti ini. Cuma ada sesuatu yang pasti dalam setiap mimpi tersebut; aku mencintai dia dan dia juga mencintai aku. Tapi... Itu sekadar cerita cinta di alam mimpi... Di alam realiti, aku sangat-sangat menyenangi Rei. Kalau boleh aku mahu sepanjang masa berada di sampingnya. Kerana rasanya aku sudah mula jatuh cinta kepadanya... Terlalu awal? Atau keterlaluan kerana aku sudah bertunang?

“Rei...! Perlu ke kita buat semua ni?” Soalku lantang.

Aku pandang sekeliling. Mencari Rei yang entah ke mana. Dibawanya aku ke tengah hutan, sekarang dia tinggalkan aku pulak? Dah la aku dah tinggalkan pengawal peribadi aku dalam perjalanan ke sini tadi. Kononnya tak nak diperhatikan. Kononnya, aku yakin yang Rei akan menjagaku tapi sekarang... Kenapa aku ditinggalkan aku sorang-sorang kat sini? Bunyi haiwan dan burung-burung hutan yang kuat menakutkanku. Seolah-olah mereka ingin menyerang dan meratah tubuhku hidup-hidup.

“Rei! Awak kat mana? Okey, kalau awak nak takut-takutkan saya, awak dah berjaya. Boleh tak awak keluar dari persembunyian awak sekarang?”

Rei muncul dari sebalik pokok dengan senyuman nipis seketika kemudian.

“Hari ni saya nak ajar awak cara-cara untuk berlawan.” Katanya tenang.

“Ha? Tak nak la!” Rungutku. Kan dah ada kelas mempertahankan diri kat akademi. Kat istana pun aku diberi latihan khas oleh tenaga pengajar. Bukan ke masa-masa bersama Rei sepatutnya aku lebih rileks? Melepaskan segala tekanan yang terbeban di mental dan fizikalku.

“Awak kena belajar juga. Sebagai bakal...”

“Ya, ya, ya! Sebagai bakal pewaris takhta, saya patut menguasai semua ilmu mempertahankan diri kerana saya akan jadi ketua atau pengatur strategi sekiranya Eucralipse diserang...” Segera ayat Rei aku sambung. Itupun dalam nada malas. Sekarang Rei dah jadi tenaga pengajar aku yang baru pula ke? Bosan!

“Awak tak boleh mengharapkan pengawal awak semata-mata. Kejadian serangan Rexo di pinggir Eucralipse membuktikan yang awak perlu tahu menggunakan kemahiran dan kuasa awak demi melindungi diri awak sendiri.” Kata-kata Rei sangat realistik dan prihatin.

Aku diam. Sekadar melakar sesuatu di tanah dengan hujung kaki. Mula bosan walaupun sesi pembelajaran belum bermula.

“Saya akan anggap awak bersetuju. Ilmu pertama adalah belajar cara mengelak!” Serentak dengan itu, Rei melontarkan batu besar. Melihat batu besar yang laju melayang ke arahku, aku mula panik. Tak tahu apa yang patut aku lakukan. Aku melarikan tubuhku namun malangnya aku tersadung akar pokok pula. Tubuhku rebah ke tanah. Perlahan-lahan aku bangun. Sikuku luka sedikit. Kakiku juga terasa sakit. Mungkin terseliuh atau luka.

Aku pandang Rei. Sangkaku, dia akan berhenti dan membantuku. Sebaliknya dia terus melontarkan batu yang hampir sama saiznya ke arahku. Dengan kaki dan tubuhku yang sakit, aku tak mampu untuk bergerak apatah lagi mengelak. Aku pejamkan mata serapat-rapatnya. Berharap dan berdoa suatu keajaiban berlaku.

Papp!!

Sesuatu mengenai kepalaku. Perlahan. Langsung tak menyakitkan. Seperti angin yang menampar lembut ke wajah. Aku buka mata. Batu besar itu sudah bergolek entah ke mana. Rei berjalan ke arahku. Cuba membantuku untuk bangun. Namun huluran tangannya segera kutepis.

“Awak ni nak bunuh saya ke?” Jeritku. Wajah Rei bersahaja aje. Tak panik. Tak rasa bersalah. Tak rasa marah. Tak rasa sedih. Langsung tak ada apa-apa perasaan beriak di wajahnya.

Rei diam. Sekadar merenungku tajam. Seperti berfikir.

“Sekarang saya dah tahu apa kuasa awak. Sebenarnya dari malam ulangtahun kelahiran awak lagi saya dah dapat agak kelebihan awak ni...” Katanya antara dengar dan tidak.

Dahi kukerutkan. Masih tak mengerti apa yang cuba disampaikannya.

“Kuasa? Kelebihan? Saya dah hampir mati ditimpa dek batu yang awak baling tadi, awak merepek pulak!”

Rei memegang kedua-dua bahuku. Menggoncangkan tubuhku. Cuba menarik sedikit tumpuanku.

“Eury, masa majlis ulangtahun awak tu, saya lepaskan awak dari tempat tinggi. Awak jatuh, tapi awak langsung tak cedera, kan? Tadi, batu tu timpa awak tapi awak langsung tak cedera. Saya lihat dengan mata saya, Eury...”

Aku terpinga-pinga mendengar kata-kata Rei.

“Jadi, maksudnya...?” Soalku.

“Awak ada kuasa untuk mengubah sifat sesuatu benda. Bila kepala awak kena batu tu tadi, awak rasa sakit tak?”

“Tak! Rasa macam angin aje...” Jawabku. Masih berfikir-fikir kelogikkan kata-kata Rei. Betul ke?

“Macam mana awak buat? Maksud saya, macam mana awak boleh ubah sifat batu yang keras tu menjadi lembut? Awak boleh buat kat semua benda ke?” Bertalu-talu Rei bertanya. Nampaknya dia begitu teruja dengan 'kuasa baru'ku ini. Aku berasa sedikit aneh dengan keterujaannya itu. Mungkin dia teruja sebab dia tekaannya sudah terbukti? Entah la...

“Saya tak tahu! Ini pertama kalinya saya guna 'kuasa' saya tu!”

“Jadi, kita akan buat kajian bagaimana dan sampai tahap mana kuasa awak tu!”

Ha? Pulak dah!

**************

“Mustahil!” Jerit Esmet.

“Tapi itulah hakikatnya!” Tegas Hemes.

“Tak akan tak ada maklumat langsung? Keluarganya, atau apa-apa aje!”

Dayes maju ke depan. Bertentangan dengan Esmet.

“Aku dah arahkan orang-orang kita supaya siasat apa sahaja berkenaan Rei. Hasilnya, SIFAR. KOSONG! Kita langsung tak ada maklumat tentang dia. Langsung tak ada rekod tentangnya di Eucralipse. Mungkin dia bukan berasal dari Eucralipse!”

“Kalau bukan, maksudnya dia dari mana?” Esmet dah garu kepala. Buntu nak berfikir.

”Aku akan cuba periksa maklumatnya di bahagian pendaftaran. Tapi kau pun tahu kan yang kita perlukan persetujuan orang-orang tertentu untuk tujuan itu.” Ujar Hemes.

“Guna nama aku! Mereka tahu apa kedudukan aku dalam Eucralipse ini! Sebagai bakal raja, mereka akan patuh dengan apa sahaja arahan aku!”” Dengan angkuhnya Esmet berkata begitu.

Bunyi bising dari tingkat bawah istana kecilnya membuatkan Esmet panik. Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri.

“Apa tu?” Soal Esmet.

Pengawal Esmet bergegas turun. Seketika kemudian, terdengar suara mereka menjerit kesakitan. Dayes dan Hemes berlari ke muka pintu untuk melihat apa yang berlaku. Namun dua orang lelaki berbadan tegap dan kuat yang tiba-tiba muncul membuatkan mereka kaku berdiri di situ. Di bilik empat segi itu, Esmet mula kecut perut.

Dayes dan Hemes ditolak ke tepi oleh lelaki-lelaki tadi. Hampir sahaja mereka terjatuh. Dan seorang lelaki berwajah bengis muncul di muka pintu. Ada parut panjang di sebelah kiri wajahnya. Dari pakaian dan gayanya, masing-masing membuat kesimpulan bahawa lelaki itulah ketua kumpulan tersebut. Di sisinya, beberapa orang pengawal yang turut berwajah hodoh. Lelaki itu memandang Esmet tepat-tepat.

“Masanya sudah tiba!!” Kata lelaki berwajah hodoh itu kepada Esmet.

“Masa apa? Siapa kau? Kenapa kau menceroboh masuk ke istana aku?!” Jerkah Esmet. Khuatir Esmet akan bertindak menyerang balas, pengawal lelaki berwajah bengis itu segera mendapatkan Esmet. Memegang kejap lengan Esmet. Esmet meronta mahu melepaskan diri. Dayes dan Hemes hanya mampu memandang dari tempat mereka kerana turut diawasi oleh beberapa orang lelaki yang bertubuh sasa dan bengis.

Lelaki berwajah bengis itu ketawa.

“Nampaknya kemewahan dan ketinggian darjat telah membuatkan kau lupa akan asal-usulmu, wahai anakku!”

Esmet berhenti meronta. Ternganga.

“Anak?”

**************

Langkah Rei terhenti serta-merta tatkala menyedari ada seseorang yang menyekat jalannya. Lelaki sedikit tinggi dan sasa itu dipandangnya. Egart...

“Sapa kau yang sebenarnya? Kau mungkin boleh memperdayakan Eury, Ellisa dan mereka yang lain. Tapi kau tak boleh perdayakan aku.”

“Aku seorang anak yatim. Keluargaku petani di sebuah kampung jauh dari sini...” Terang Rei.

Egart ketawa menyindir.

“Kau ingat aku percaya? Ada banyak perkara tentang kau yang mencurigakan aku. Dan aku mahu tahu hari ini juga!”

Egart mula bertindak agresif. Cuba menyerang dan menumbuk Rei. Namun semua serangan Egart berjaya dielak oleh Rei.

“Kau pantas dan bijak menduga pergerakan aku!” Komen Egart dalam mengah.

Rei tetap tenang menghadapi situasi itu. Mengelak dan mengelak. Bila berasakan dia sudah menguasai gerak Egart, Rei mencekak leher Egart dan dihempaskannya tubuh Egart ke tanah.

“Kau bukan lawanku!” Katanya sebelum berlalu.

Enggan mengaku kalah, Egart segera bangun dan memintas perjalanan Rei sekali lagi. Egart menarik keluar pedang yang tersangkut di belakang badannya. Menghayunkannya ke tubuh Rei. Rei kelihatan terkejut dengan tindakan drastik Egart dan dia gagal mengelak dari serangan mendadak itu.

Papp!

Dua pasang mata memandang bertentangan.

“Aku dah agak! Memang kau la orangnya...!”

*** i'm stucked here n there with my novels n obsessed by a vampire...film...hehe...

4 comments:

Daniera said...

yeay.akhirnya, ada gak update dr cik eury. taper, wlupun cik eury stuck n perlukan masa y lama, kite tetap akan tunggu :)jiayo2!

tzaraz said...

eury...

klu egart yg sekapal dgn kerk tu at last leh cam rei...kira confirm lah si rei tu ialah kerk...kan?..

eury...

cite nie mmg best..leh kau cepat2 sikit n3 sambungan seterusnya?

andromeda said...

rei tu anak raja kan...

aqilah said...

wah, byk persoalan timbul dlm part ni. sambung lagi, please.....................

Followers