Saturday, November 7, 2009

eucralipse 11


Rei dan Egart tegak berdiri di tempat masing-masing. Kaku. Tiada sebarang gerakan dan kata-kata lahir dari bibir masing-masing buat seketika.

“Dari mula lagi aku dah dapat mengagak! Memang kau la orangnya...!”

Rei mengutip topeng yang jatuh di tanah. Lagaknya tetap tenang walaupun samarannya sudah terbongkar.

“Cuma kau sahaja yang mampu membuat pergerakan sepantas itu. Pantas sehingga mampu mengelak seranganku. Cuma kau sahaja yang mampu menggabungkan ilmu dan teknik mempertahankan diri di Eucralipse dan Dark City. Cuma kau sahaja yang mampu mengubah tekniknya menjadi sesuatu yang kejam dan berseni. Sedangkan pelajar-pelajar yang lain cuma mampu meniru bulat-bulat apa yang diajarkan oleh pengajar mereka.”

Rei mengenakan semula topengnya. Langsung tak menghiraukan kata-kata Egart. Berlagak seolah-olah Egart tidak wujud di hadapannya kini. Mengatur langkah meninggalkan Egart dengan kesimpulan yang cuba diutarakannya.

“Aku tahu, semasa penilaian hari tu, kau sengaja buat-buat kalah denganku untuk jaga penyamaran kau.” Egart terus mengekori Rei. Bergerak menuju ke pinggir jajahan Eucralipse.

Sekilas Rei memandang Egart di belakangnya. Segaris senyum terukir di bibir.

“Aku kagum dengan kebolehan mata kau dan taakulan yang kau buat... walaupun setelah sebulan aku muncul di sini!” Sindir Rei.

“Apa yang kau buat di sini, Kerk?”

Nama yang disebut oleh Egart, mematikan langkah Rei. Dia berpaling. Mengadap Egart dengan pandangan yang tajam.

“Selagi aku berada di tanah jajahan Eucralipse, nama aku Rei! Bukan Kerk!” Tegasnya. Tersentak Egart mendengar nada suara Kerk yang keras. Kerk yang dikenalinya sentiasa tenang dan jarang mempamerkan sebarang perasaan di hadapan sesiapapun sehinggakan dia menyangka yang Kerk sememangnya dilahirkan tanpa perasaan.

Mereka meneruskan perjalanan. Menyusuri hutan mengikut denai dan laluan rahsia yang dibuat. Seterusnya menyusup keluar dari tembok batu yang memisahkan Eucralipse dan Dark City. Serta-merta pemandangan indah yang tadinya menjadi sajian mata berubah. Tiada apa yang menarik di Dark City. Tanahnya kering dan kurang subur. Pokok-pokok berwarna hijau boleh dikira dengan jari. Tiada bangunan tinggi atau indah didirikan. Cuma ada beberapa bangunan batu yang sudah usang dan rumah-rumah penduduk Dark City yang diperbuat daripada tanah liat dan kayu. Mereka hidup serba kekurangan di situ.

Dark City adalah sebuah sub-bandar diraja yang sudah lama ditinggalkan. Semenjak berabad-abad yang lalu, Dark City diabaikan pembangunannya oleh pemerintah Eucralipse atas faktor kedudukan dan tanah yang kurang subur; sebelum diisytiharkan sebagai kawasan buangan penjenayah, serta mereka yang pernah menyertai perang saudara di Eucralipse suatu ketika dulu. Dark City dan berpuluh-puluh ribu kilometer kawasan di sekelilingnya menjadi kawasan larangan bagi semua rakyat Eucralipse. Tiada sesiapa dibenarkan mendekati apatah lagi berhubung dengan warga Dark City.

“Sekarang, boleh aku tanya? Apa yang kau buat di Eucralipse? Apa yang cuba kau lakukan?” Perlahan Egart mengutarakan soalannya kali ini. Takut Kerk akan naik berang sekali lagi.

Kerk tidak terus menjawab soalan Egart. Dia membuang pandangan ke segenap ruang di Dark City. Berkerut-kerut wajahnya melihat keadaan di situ.

“Kau tahu Egart? Semakin lama aku berada di Eucralipse, semakin tinggi tahap kebencian aku kepada mereka semua. Kau dah tengok Eucralipse,kan?! Sekarang kau bandingkan dengan apa yang kau lihat di Dark City ni! Kita dibiarkan hidup merempat. Hidup dalam serba kedaifan. Kita kekurangan fasiliti, makanan, ubat-ubatan dan pendidikan. Rakyat Eucralipse hidup mewah. Mereka boleh memilih untuk makan atau tidak. Sedangkan kita di sini tak punya makanan untu dimakan. Mereka di Eucralipse diajar untuk membenci kita atas kesalahan yang kita tidak lakukan. Ibu bapa kita, nenek moyang kita langsung tak diberi peluang untuk membela diri sendiri. Hukuman dijatuhkan sebelum mereka sempat membuka mulut. Untuk setiap kesengsaraan ini, aku akan menuntutnya daripada golongan Eucris itu!”

“Walau setinggi mana bencinya kau pada mereka, kau tetap dilarang menjejakkan kaki ke Eucralipse. Itu arahan daripada ayahanda kau sendiri!” Egart sekadar mengingatkan.

“Kenapa? Aku bukannya berpeleseran di sana! Aku cuma menjalankan misi yang kau tak mampu kau pikul. Kau sendiri tengokkan betapa rapatnya aku dengan Eury sekarang.” Bantah Kerk.

“Aku tak setuju dengan apa yang kau lakukan ini, Kerk! Kalau ayahanda kau tahu...”

“Perkara ini rahsia antara kita, Egart! Ayahanda aku tak patut tahu!” Pintas Kerk.

“Kau tahu yang Raja Eriel melarang kau berada di Eucralipse! Kau akan dimurkai. Kau akan dikenakan tindakan berat!”

“Dia tak akan tahu kalau kau tutup mulut kau!”

“Ini salah, Kerk! Kau harus berhenti dari penyamaran kau ni sebelum Raja Eriel dapat tahu!”

“Ini sebahagian dari misi kita, Egart! Aku perlu teruskan penyamaran ini. Aku perlu banyak maklumat mengenai Eucralipse. Kau pun tahu tentang hal itu kan? Lagipun sekarang aku sudah mendapat kepercayaan dari Eury. Kerja aku akan bertambah mudah.”

“Tapi...”

“Ya, aku tahu apa yang kau nak katakan. Dengar sini! Aku dilarang ke Eucralipse sebab ayahanda takut aku dibunuh sekiranya mereka tahu aku anaknya tapi kau sendiri sedia maklum yang ilmu dan kuasa yang aku ada lebih tinggi tarafnya dari mereka. Aku tak rela menggadaikan nama, maruah dan ego aku untuk sebuah alasan yang tidak konkrit itu. Aku perlu lihat sendiri Eucralipse. Aku perlu kenal orang-orangnya, kekuatan mereka. Aku tak mahu kalah dalam serangan menakluk Eucralipse itu nanti. Untuk itu, aku perlu terus berada di sana!”

Kerk menepuk bahu Egart. Meminta Egart cuba memahami niat sebenarnya ke Eucralipse. Meminta sebuah pengertian daripada teman sepermainannya itu. Egart masih berwajah gusar. Bimbang sesuatu yang buruk akan menimpa Kerk, kesan dari penyamarannya.

“Macam mana kau...” Egart gagal menyambung ayatnya. Dia pelik memikirkan bagaimana caranya Kerk boleh 'menghilang'kan dirinya tanpa dapat dikesan oleh Raja Eriel.

“Jangan bimbang. Selama ini ayahanda aku fikir aku menghabiskan masa bersama-sama Q-ra atau Menelaus. Dia langsung tak syak apa-apa buat masa ini.”

“Kalau...

“Aku ada Q-ra yang menyokong segala tindakanku. Q-ra akan buat apa sahaja untuk memastikan tiada sesiapa tahu tentang pemergian aku ke Eucralipse.”

“Q-ra... Hmm... Apa yang perlu kau korbankan untuk dapat kerjasama dari Q-ra tu?” Soal Egart ragu-ragu. Dia tahu, Q-ra sanggup berbuat apa sahaja demi Kerk. Tapi dia juga sedia maklum yang Q-ra tidak melakukannya secara percuma.

“Hmm... Sedikit masa. Sedikit ego dan perhatianku.”

Egart sekadar memandang ke arah Kerk. Menilai tindakan dan kesungguhan Kerk. Seandainya Kerk yang selalu rimas dengan kehadiran Q-ra sanggup menghabiskan masanya bersama Q-ra, tidakkah itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa bersungguhnya dia dengan tindakannya menyamar sebagai Rei di Eucralipse.

“Kau betul-betul nekad dengan tindakan kau nampaknya. Sebagai kawan baik kau, sewajarnya aku menyokong kau!”

Kerk tersenyum senang. Penerimaan baik Egart akan memudahkan lagi 'kerja-kerja'nya.

**************

Esmet masih kaku berdiri di tempatnya. Dayes dan Hemes pula bagai terpasung ke dinding tanpa sebarang ikatan atau pegangan. Terpaku mendengar sebaris ayat terakhir yang diucapkan oleh lelaki berwajah bengis dan berparut itu.

“Apa yang kau merepek ni?” Jerkah Esmet.

Seketika kemudian, dia mundar-mandir seraya mengeleng-gelengkan kepalanya. Otaknya gagal menerima masuk sebaris ayat yang dituturkan oleh lelaki di hadapannya itu.

“Tak mungkin! Aku bukan anak kau! Kau salah orang! Kau tak kenalkah aku? Aku Putera Esmet dari Kerajaan Planet Segi! Aku putera raja! Kau sapa? Mustahil kau ayahku!”

Lelaki berwajah itu maju setapak ke hadapan.

“Namaku Rexo. Aku seorang pemberontak. Mereka semua ni orang-orangku.” Ditunjukkannya lelaki-lelaki yang mengiringinya itu.

“Sudah berpuluh-puluh tahun aku merancang untuk menguasai Segi dan Eucralipse. Kira-kira 14 tahun yang lalu, aku menghantar kau ke sini, di bumi Segi ini sebagai langkah pertamaku untuk melaksanakan misiku. Aku merancang dengan teliti, menjadikan kau putera raja di Segi. Aku harap kemewahan dan status yang aku ’berikan’ tak buat kau lupa asal-usul kau!”

“Kau hantar aku ke sini?” Tergagap Esmet menyoal. Masih tidak percaya apa yang didengarinya.

“Ya, aku menghantar kau ke sini. Sebagai pertukaran kepada putera tunggal Raja Eries dan Permaisuri Xera yang aku culik.”

“Jadi aku bukan putera mereka?”

“Bukan! Kau adalah anakku. Satu-satunya anakku!”

“Jadi mana putera sebenar Raja Eries dan Permaisuri Xera?”

“Sudah aku bunuh!”

Terbelalak mata Esmet mendengar kata-kata Rexo. Rexo membicarakan soal bunuh dan mati tanpa ada perasaan.

Esmet mengeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Cerita yang dibawa oleh lelaki bernama Rexo itu sukar untuk dipercayainya. Seumur hidupnya dia beranggapan bahawa dia adalah Putera Esmet, pewaris Segi. Bukan anak kepada seorang pemberontak. Dia bukan anak orang kebanyakan. Bukan!

“Aku tahu kau susah nak percaya dengan cerita yang aku bawa ni...”

“Keluar dari sini! Aku tak kenal kau! Dan kau tak sepatutnya ada di sini!

“Kehilangan putera membuatkan mereka terlalu sedih, tambahan pula majlis pertunangan antara putera mereka dan puteri dari Eucralipse, Puteri Eury semakin hampir. Mereka takut dikatakan mungkir janji. Mereka juga takut akan hilang sokongan dari Eucralipse. Seperti yang kau sedia maklum, mereka perlukan Eucralipse untuk kesejahteraan Segi. Dalam kekalutan itu, Raja Eries menemui kau di hutan ketika dia keluar berburu. Seperti yang aku rancangkan, dia jatuh kasihan pada kau dan akhirnya mengambil kau menjadi puteranya yang baru. Lantas mengisytiharkan kau sebagai tunang Eury.”

“Diam! Aku tak mahu dengar cerita karut kau lagi!!”

Rexo Cuma tersenyum melihat reaksi Esmet. Dia memberikan isyarat tangan, mengarahkan orang-orangnya berundur dari situ.

“Lambat-laun kebenaran akan datang menemui kau... Tika itu kau akan tahu bahawa tempat kau bukan di sini. Tempat kau di sisi aku... Pegang kata-kataku!” Ujar Rexo sebelum berlalu pergi.

“Gila! Lelaki tu memang gila! Semua yang dikatakannya langsung tak masuk akal!”


@~@~ Kipas-susah-mati, macam yang korang tengok, sekarang eury jarang dapat upload cite2 atas sebab2 tertentu. apapun eury akan try chaiyok2 jugak buat... sori sesangat...

Followers