Monday, May 24, 2010

eucralipse 21


Segalanya bermula di Eucralipse, tanah jajahan yang terbesar, terkaya dan terkuat di galaksi ini. Aku, Puteri Eury, puteri Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika merupakan pewaris tunggal kerajaan Eucralipse. Semenjak kecil aku telah diasuh dengan keras dan ketat untuk menjadi bakal pemerintah. Hal ini menyebabkan aku sering memberontak dan hilang kasih sayang dan kemanjaan dari kedua ibu bapaku. Pergerakanku sering diperhatikan oleh rakyat jelata serta dikawal ketat oleh pengawal peribadiku.

Menjadi puteri raja bukan seronok seperti yang orang bayangkan. Sebagai puteri raja terlalu banyak tuntutan yang perlu aku penuhi. Contohnya aku perlu menguasai kuasa istimewaku dan menjaga tingkah-lakuku. Aku tak pernah berminat dengan takhta dan kuasa. Satu-satunya perkara yang aku inginkan adalah kebebasan dan tidak dibebani dengan sebarang tanggungjawab.

Ellisa merupakan satu-satunya sahabat yang boleh menerima keadaan diriku seadanya. Dia juga merupakan anak kepada Altrun, ketua bahagian pertahanan merangkap ketua tentera Eucralipse. Perangai Ellisa agak kebudak-budakan sepertiku dan agak taksub dengan falsafah cintanya yang kadang-kadang aku rasakan keterlaluan dan tidak masuk akal. Ellisa meminati seorang pelajar pertahanan di Akademi Eucralipse yang bernama Egart.

Sejak kecil, aku sudah ditunangkan dengan Putera Rhyss-Esmet, iaitu putera tunggal Raja Eries dan Permaisuri Xera dari Segi. Aku bakal dikahwinkan dengan Esmet setelah usiaku mencecah 18 tahun seperti yang telah diwasiatkan oleh datukku, Raja Theseu. Khabarnya, aku perlu berkahwin awal memandangkan ayahandaku tiada waris lelaki. Raja perempuan tidak pernah ditabalkan menjadi raja menurut sejarah kerajaan Eucralipse. Terdapat juga khabar angin yang mengatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada agenda politik Eucralipse untuk meluaskan tanah jajahannya. Apapun motifnya, aku tidak pernah menyenangi sikap Esmet apatah lagi mencintainya.

Terdapat memori yang kabur dalam ingatanku yang mana ia berkenaan rakan sepermainanku semasa aku kecil. Aku juga sering bermimpi seseorang yang kugelarkan sebagai Putera Bertopeng. Dan mimpi-mimpiku semakin jelas dan kerap kebelakangan ini. Beberapa hari sebelum ulangtahun ke-16 ku, aku telah diserang musuh dan diselamatkan oleh seorang lelaki bertopeng yang handal dalam ilmu mempertahankan diri dan berbicara dalam bahasa kuno Eucralipse. Lelaki tersebut menarik perhatianku kerana kemunculannya secara misteri serta bahasa kuno yang dituturkannya memandangkan bahasa kuno tersebut cuma diajar dan dituturkan oleh keluarga diraja Eucris sahaja sejak bertahun-tahun lamanya.

Ketika majlis ulangtahun ke-16 ku berlangsung di istana, aku sekali lagi didatangi oleh lelaki bertopeng tersebut. Seperti biasa, kehadirannya adalah secara misteri dan mencuri segenap tumpuanku. Ketika dia cuba 'melarikan'ku dan aku berjaya menarik rantai di lehernya. Apa yang lebih mengejutkan aku, rantai yang dipakainya adalah serupa dengan rantai yang dipakai oleh Esmet serta rantai yang dihadiahkan kepadaku oleh ayahanda dan bondaku. Keinginan untuk mengenali lelaki tersebut semakin membuak-buak di dalam dadaku.

Lelaki tersebut secara tiba-tiba muncul sebagai pelajar baru di Akademi Eucralipse. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Reizu atau Rei. Bermula dari hari itu dan hari-hari seterusnya, Rei menjadi daya penarik dalam kehidupanku yang membosankan. Segala-gala yang dahulunya membosankan mula menjadi sesuatu yang menarik dengan sentuhan Rei. Aku mula belajar sejarah Eucralipse, bahasa kuno Eucris, ilmu mempertahankan diri dan segala-gala yang malayakkan aku untuk bergelar bakal pewaris takhta Eucralipse.

Dalam masa yang singkat, aku rapat dan mula jatuh cinta terhadap Rei yang sentiasa mengenakan topeng itu. Hubungan kami pastinya tidak menyenangkan beberapa pihak terutamanya Esmet yang hampir membunuh Rei gara-gara cemburu dan ego. Egart, tanpa aku tahu sebabnya, turut tidak menyenangi kehadiran Rei di sisiku. Namun selepas beberapa ketika, Egart dan Rei seperti belangkas dan adakalanya seperti sudah saling mengenali semenjak kecil.

Pada majlis hari lahir Ellisa, aku dan Rei secara rasmi telah mengakui rasa cinta yang terpendam di hati kami. Kami berkucupan dan sesuatu telah berlaku. Eucristar, bintang paling terang di Eucralipse yang selama ini menjadi nadi Eucralipse bersinar terang dan mewujudkan fenomena luar biasa. Kejadian yang berlaku di puncak Gunung Ocre antara aku dan Rei ketika itu betul-betul sama seperti apa yang aku mimpikan selama ini. Ini menimbulkan kebingungan dalam diriku. Aku bertambah buntu apabila aku seakan-akan dapat 'mendengar' dan 'melihat' memori yang tersimpan kemas dalam kotak memori Rei. Walau bagaimanapun, memori Rei agak mengelirukanku.

Pada malam itu juga, aku berjaya memujuk Rei untuk membuka topengnya. Buat pertama kalinya aku melihat wajah Rei. Dan dia adalah seperti yang aku bayangkan. Entah mengapa, aku dapat merasakan bahawa Rei adalah lelaki yang aku tunggu-tunggu dan aku cari-cari selama ini. Aku pasti Rei adalah rakan sepermainanku dahulu. Namun aku keliru mengapa dia mempunyai begitu banyak nama, berdasarkan memorinya yang aku 'lihat'.

Sebagai balasan kerana menuruti permintaanku, Rei meminta aku untuk mengikutnya ke suatu tempat. Di luar jangkaanku, Rei telah membawaku ke Dark City, kawasan buangan pesalah dari Eucralipse. Di sana, aku 'dipersembahkan' kepada Raja Eriel. Rei mula menyingkap identitinya yang sebenar. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Kerk, anak kepada Raja Eriel, ketua penduduk Dark City. Kerk dan Egart rupa-rupanya menyamar untuk mencuri maklumat di Eucralipse. Tujuan mereka adalah untuk menuntut bela dan menakluk Eucralipse.

Sedikit demi sedikit, aku mula faham berkenaan sejarah hidup Kerk atau Rei yang mengelirukan itu. Dia dilahirkan sebagai Putera Rhyss, putera Segi sebenar yang dahulunya menjadi rakan sepermainanku merangkap bakal tunangku. Kemudian dia diculik dan dibuang di hutan sebelum ditemui oleh Raja Eriel. Raja Eriel menamakannya dengan nama Kerk dan mengasuh Kerk untuk membenci Eucralipse. Ketika di Eucralipse, Kerk menyamar dengan nama Rei atau Reizu. Dalam mimpi-mimpiku, dia dikenali sebagai Putera Bertopeng kerana gaya penampilannya.

Sepanjang 'penculikan'ku, aku telah dilayan dengan buruk dan hampir-hampir terbunuh di tangan Kerk gara-gara ingin membuktikan kesetiaan Kerk terhadap Raja Eriel. Hal ini adalah disebabkan Kerk begitu percaya dan memberikan kesetiaan tidak berbelah-bahagi terhadap Raja Eriel tanpa mengetahui bahawa Raja Eriel bukanlah ayah kandungnya. Raja Eriel sebenarnya adalah abang kepada ayahandaku. Dia adalah pakcikku yang tidak pernah aku tahu kewujudannya. Raja Eriel berdendam kerana menyangka ayahanda dan datukku membunuh isterinya, Ria. Dia kemudiannya melancarkan perang kepada keturunannya sendiri. Raja Eriel dan orang kanannya, Menelaus sanggup bekerjasama dengan Rexo, pengganas yang bercita-cita untuk menguasai Eucralipse sejak sekian lama, semata-mata untuk melunaskan dendamnya.

Tanpa diduga, Kerk lari secara tiba-tiba dari gelanggang pertarungan ketika kemenangan berada di pihaknya. Kerk yang keliru dengan pendirian dan identiti sebenarnya mengambil keputusan untuk melarikan aku dari penjara Dark City. Dalam perjalanan ke Eucralipse, aku telah bercerita kepada Kerk berkenaan identitinya yang sebenar. Sukar untuk Kerk percaya ceritaku mengenai cerita hidupnya yang komplek itu. Namun setelah 'melihat' memorinya melalui kuasa yang dikurniakan kepadaku, akhirnya Kerk mula percaya dan menerima takdirnya itu.

Kedatangan Ellisa bersama sekumpulan tentera untuk menyelamatkan aku dari Kerk, akhirnya membuka cerita mengenai rantai Oc-cra yang dimiliki oleh aku, Kerk dan Esmet. Rupa-rupanya ia adalah lebih daripada sekadar perhiasan. Oc-cra adalah lambang keseimbangan kuasa baik dan jahat yang wujud dalam dunia kami. Kerk pemilik Oc-cra Pelindung dan aku adalah pemilik Oc-cra Hijau yang mana kami penjaga kuasa baik. Esmet pula adalah pemilik Oc-cra Pemusnah yang juga mewakili kuasa jahat. Kuasa Esmet dan Oc-cranya bertambah kuat dengan bimbingan Rexo, ayah kandungnya.

Kami semakin kesuntukan masa kerana Rexo dan Esmet telah bergabung tenaga untuk menyerang Eucralipse. Di belakang mereka, Raja Eriel dengan dendam yang tak pernah padam, Menelaus yang sanggup berbuat apa sahaja untuk kesejahteraan dirinya serta anaknya, Q-ra yang berdendam gara-gara cintanya pada Kerk tidak berbalas, serta Dayes dan Hemes, teman setia Esmet.

Aku dan Kerk, walaupun kami sendiri tidak pasti bagaimana caranya, harus bergabung tenaga bagi memastikan kuasa baik dapat menandingi kuasa jahat Esmet. Kami bergegas pulang ke Eucralipse untuk memberi amaran kepada orang-rang di sana berkenaan serangan yang bakal dilakukan oleh Rexo. Di Eucralipse, kami mendapati bahawa Raja Eries dan Permaisuri Xera sudahpun bercerita tentang siapa sebenarnya Esmet dan serangan yang dirancangkannya. Aku mengambil kesempatan tersebut untuk ‘memperkenalkan’ Kerk sebagai Putera Rhyss kepada semua yang ada di istana. Raja Eries dan Permaisuri Xera menangis kegembiraan apabila diberi kesempatan untuk bertemu dengan putera kandungnya semula. Kami turut berkongsi kegembiraan tersebut.

Apabila semua kekusutan mula terurai satu persatu, kini tibalah masanya untuk kami mengurai satu lagi kekeliruan yang berlaku beberapa tahun lepas. Kekeliruan mengenai siapa pembunuh Ria, isteri Raja Eriel yang sebenarnya...

Ayahanda mengarahkan aku duduk di sisinya. Kemudian dia menarik nafas dalam-dalam. Matanya merenung jauh ke hadapan. Cuba mengimbas kembali peristiwa yang berlaku lebih kurang 12 tahun lalu.

“Kira-kira 12 tahun lalu, Rexo dan orang-orangnya membuat kacau di Segi dan di sempadan Eucralipse. Membunuh rakyat, membakar rumah-rumah orang kampung, merampas barang-barang berharga. Datuk kamu, Raja Theseu mengerahkan hampir keseluruhan tentera Eucralipse untuk mempertahankan tanah jajahan kita, termasuklah menghantar askar bantuan ke Segi. Keadaan ini berterusan selama beberapa minggu, memaksa ayahanda dan datuk kamu mencari peluang untuk berbincang bagi menghentikan serangan tersebut. Namun tidak berhasil. Datuk kamu akhirnya meminta bantuan Eriel memandangkan Eriel adalah perunding yang baik serta mempunyai kebolehan untuk mempengaruhi. Tetapi tetap tiada kata sepakat disampai. Rexo langsung tidak mahu bertolak-ansur atau secara tepatnya, Rexo langsung tidak mahu membuka ruang perbincangan.”

Satu persatu peristiwa yang diceritakan oleh ayahandaku terlayar di pandangan mataku. Jelas dan tepat bacaan memorinya. Tiada apa yang perlu diragukan mengenainya. Ayahanda bercerita tentang kebenaran. Tentang apa yang berlaku dan apa yang dialaminya suatu ketika dahulu. Berlainan dengan memori Raja Eriel; jelas pada awalnya namun semakin kabur di akhirnya. Andaianku, kekaburan itu adalah disebabkan ketidakpastiannya terhadap apa sebenarnya yang berlaku. Mungkin ketika itu dia mula mengabaikan fakta dan mengisi 'kekurangan' maklumat dengan prasangka, andaian, hasutan dan cakap-cakap orang untuk melengkapkan jalan cerita hidupnya.

Ada salah faham berlaku. Dan aku percaya ia disebabkan oleh Rexo.

Kerk yang sudah duduk di sisiku. Aku genggam tangan Kerk. Kerk perlu 'melihat' apa yang aku 'lihat'. Dia juga perlu tahu apa yang berlaku. Dia perlu tahu untuk apa dia berjuang nanti.

“Ayahanda tak nampak sebarang motif atau tujuan khusus serangan tersebut seperti cubaan merampas istana atau senjata. Seolah-olah Rexo dengan sengaja menimbulkan kekecohan untuk memesongkan perhatian kami. Segi yang paling teruk menerima kesannya.”

Raja Eries dan Permaisuri Xera turut memberi perhatian terhadap cerita ayahandaku, menghampiri Kerk. Raja Eries berdiri di belakang Kerk seraya memeluk bahu Kerk.

“Ketika itulah kamu hilang dari jagaan kami, Rhyss... Kami percaya Rexo telah menculik kamu, meninggalkan bukti palsu yang menunjukkan kamu sudah mati. Malah kami rahsiakan kehilangan dan kematian kamu dari semua orang...” Celah Raja Eries. Kerk mengusap tangan Raja Eries di bahunya. Cuba mengurangkan rasa sedih dan rasa bersalah Raja Eries.

“Kerana kasihan, ayahanda dan bonda telah memelihara Esmet... menjadikan Esmet pengganti kamu... tapi siapa sangka dia...” Tersekat-sekat Raja Eries menghabiskan baki ayatnya. Kerk mengangguk. Sudah mula dapat gambaran apa yang berlaku.

“Kemudian? Apa yang berlaku?” Soal Kerk.

“Kami bersusah-payah dan akhirnya dapat mengusir Rexo dari Eucralipse dan Segi. Namun sekembalinya kami ke istana, Eriel dan pengikut-pengikutnya pula melancarkan serangan ke atas istana. Ramai pengawal yang dibunuhnya. Eury hampir-hampir sahaja menjadi korban. Eriel menuduh kami telah membunuh Ria, isterinya!”

“Kenapa dia tuduh begitu?” Soal Kerk lagi.

Memori Raja Eries menerjah ingatanku. Bayangan Raja Eries meratapi isterinya yang berlumuran darah. Salah satu pedang diraja Eucris terpacak di dadanya.

“Ohh...” Kerk mengeluh pendek. Menggenggam kuat tanganku. Dia mula faham.

“Pedang turun-temurun Eucris telah menikam dan membunuh isteri Eriel. Kami sendiri tak pasti macam mana pedang tersebut boleh dibawa keluar dari kawasan istana. Kekecohan yang ditimbulkan oleh Rexo membuatkan kami sentiasa sibuk. Lagipun tak pernah terlintas pun di hati kami untuk membunuh Ria. Memang Raja Theseu tak bersetuju dengan perkahwinan Eriel. Sebagai pewaris utamanya, dia berharap sangat Eriel dapat mengahwini seseorang yang berdarah raja sebagai penerus generasi Eucris. Tapi Raja Theseu tak akan tergamak untuk membunuh orang yang dekat di hati anaknya!”

“Kami cuba menerangkan apa yang terjadi; menafikan segala tuduhannya. Tapi, kedukaan telah membutakan mata hatinya. Eriel enggan mempercayai kata-kata kami. Terus-menerus mempengaruhi rakyat supaya menentang kami. Datuk kamu tiada pilihan. Dia terpaksa mengusir Eriel dan orang-orangnya ke Dark City demi ketenteraman Eucralipse dan sebagai pengajaran ke semua. Datuk kamu terlalu kecewa dengan Eriel. Tindakan Eriel menuduh kami membunuh isterinya serta menentang kami seperti musuh seumpama duri dalam hatinya. Lalu dia memadam nama Eriel dari senarai keturunan Eucris. Menamakan ayahanda sebagai pewaris utamanya dan Eury sebagai penyambung generasi Eucris.”

“Jadi tak mungkin datuk yang membunuh Ria, kan?” Soalku seakan menagih kepastian.

“Eury, kamu kenal datuk kamu. Datuk kamu mungkin tegas, keras hati, cukup marah pada orang yang menentang kata-katanya tapi dia tak mungkin tergamak membunuh.” Bonda menjawab soalanku.

Ya! Aku kenal siapa Raja Theseu! Sisa hayatnya banyak dihabiskan bersama-samaku. Aku ada memori yang baik tentang dirinya. Tak mungkin dia melakukannya.

“Tak syak lagi. Ini semua angkara Rexo. Dia merancangnya dengan begitu teliti sehingga kita alpa. Melaga-lagakan keturunan Eucris, menghantar 'wakil'nya ke Segi, malah cuba mewujudkan alasan untuk Eucralipse dan Segi berperang sekiranya Eucralipse tahu Oc-cra Pelindung hilang dan Esmet bukan putera Segi sebenar... Rexo memang bersungguh-sungguh untuk memecah-belahkan kita! Sebab dia punya Esmet dan Oc-cra Pemusnah...”

Pintu dewan mengadap dibuka kasar dari luar. Altrun melangkah masuk dalam keadaan kelam-kabut. Diikuti beberapa orang kanannya. Mereka membongkokkan badan seketika sebelum kembali tegak mengadap kami.

“Ampun tuanku! Orang-orang kita mengesan kehadiran kapal-kapal musuh menceroboh masuk ke perairan kita!” Ujar Altrun cemas.

Ayahanda, bonda, Raja Eriel dan Permaisuri Xera berpandangan sesama sendiri.

“Rexo?”

“Benar, tuanku!”

Kerk dan aku berbalas pandangan.

“Masanya dah tiba...”

“Kita semakin kesuntukan masa!”

“Maksud, tuanku?”

“Tentera Segi, Dark City serta Rexo akan menyerang dan menakluk Eucralipse!”

Bibir Altrun bergetar mendengar kata-kata ayahanda. Keadaan bungkam buat seketika. Ada riak terkejut dan ketakutan pada wajah mereka yang ada di situ.

Kerk bangun dari tempatnya. Melemparkan pandangan ke wajah setiap orang yang ada di situ sebelum pandangannya jatuh pada wajah Altrun.

“Kita dah tak banyak masa! Keluarkan arahan kecemasan kepada semua penduduk kampung terutamanya yang terletak berhampiran dengan kawasan pesisiran pantai dan yang berdekatan dengan tembok pemisah Eucralipse dan Dark City! Kerahkan semua tentera pelatih untuk membantu penduduk mengosongkan kediaman mereka! Pindahkan mereka ke kawasan istana atau kawasan perlindungan yang selamat sekarang juga!” Arahan Kerk jelas dan tegas. Dia dengan sendirinya sudah memulaan langkah pertamanya untuk menyelamatkan penduduk Eucralipse dari menjadi mangsa kekejaman Rexo dan orang-orangnya. Dalam diam, aku mengaguminya lebih daripada biasa.

Altrun mengerutkan wajahnya sebaik sahaja mendengar arahan Kerk. Ada rasa pelik, tidak percaya, keliru dan marah apabila Kerk memberikan arahan kepadanya.

“Tuanku?” Altrun memandang wajah ayahanda, kemudian beralih ke wajahku untuk meminta kepastian sama ada kata-kata Kerk itu satu arahan atau sekadar omongan kosong sahaja.

“Kamu dengar cakap Kerk, kan?” Kata ayahandaku.

Altrun semakin keliru dengan situasi di dalam dewan tika itu. Aku berjalan menghampiri Altrun.

“Altrun, Kerk adalah putera kandung Raja Eriel dan Permaisuri Xera, Putera Rhyss...”

Dahi Altrun berkerut lagi.

“Ceritanya panjang Altrun. Apa yang perlu kamu tahu, sekarang Kerk dan Egart berada di pihak kita. Dan arahan daripada Kerk sama tarafnya seperti arahan daripada anggota keluarga Eucris yang lain. Faham?” Kataku.

Altrun kelihatan terkejut dan masih tidak berpuas hati namun apabila melihat tiada sesiapa yang menidakkan kata-kataku, dia menganggukkan kepala jua akhirnya.

“Faham, tuanku!”

“Saya nak semua tentera Eucralipse berada dalam keadaan bersedia mulai sekarang. Begitu juga dengan semua kelengkapan peperangan dan senjata! Tolong arahkan semua ketua turus untuk berkumpul di sini dalam masa 10 minit!”

“Err... Baik, tuanku...”

Altrun berkira-kira untuk berlalu di situ. Dalam kepalanya masih sarat dengan persoalan tentang siapa sebenarnya Kerk dan mengapa ayahanda, Raja Eriel atau sesiapapun yang ada di situ tidak membantah ketika Kerk menunjukkan kuasa yang tidak pernah diberikan kepadanya. Dia tidak mengerti bagaimana Kerk boleh menjadi putera Raja Eriel dan Permaisuri Xera kerana setahunya Esmet adalah putera mereka. Aku ingin sekali menerangkan kepadanya namun masa yang semakin suntuk tidak mengizinkan aku untuk berbuat demikian.

“Satu lagi Altrun, jangan bunyikan loceng kecemasan!”

“Kenapa?” Altrun menyoal kembali arahan Kerk.

“Saya mahu pihak musuh beranggapan kita dalam keadaan tidak bersedia. Keyakinan akan membuatkan mereka alpa seketika.”

“Baik, tuanku!”

**************

Dewan mengadap sudah bertukar menjadi bilik perbincangan selepas 10 minit berlalu. Meja segi empat yang dibawa masuk sudah dikelilingi oleh Kerk, Egart, ayahanda, Raja Eriel, Altrun, pembesar-pembesar Eucralipse, serta anggota-anggota tentera yang berpangkat tinggi. Di atas meja tersebut sudah terbentang peta Eucralipse. Di atas peta itu pula terdapat bongkah-bongkah kecil yang pelbagai bentuk serta warna yang mana setiap satunya mewakili sesuatu seperti kawasan perkampungan, kubu pertahanan, sungai, paya, hutan dan lain-lain.

Aku hanya memandang dan mendengar dari jauh. Bonda dan Permaisuri Xera berpegangan tangan. Seperti cuba memberi kekuatan antara satu sama lain. Aku perhatikan Permaisuri Xera seakan enggan melepaskan puteranya, Kerk, hilang dari pandangan matanya. Aku yakin, seandainya diberi pilihan serta kuasa, dia akan menghalang Kerk dari menyertai peperangan yang akan tercetus siang nanti.

“Berapa masa yang kita ada?” Sayup-sayup kedengaran ayahanda menyoal dari meja segi empat.

“Beberapa jam. Mungkin 5 hingga ke 6 jam. Kami anggarkan mereka akan tiba di pesisir pantai jam 7 pagi dan tiba di hadapan kawasan istana kira-kira jam 10 pagi.” Jawab Ryun, orang paling kanan Altrun.

Ayahanda mengeluh panjang.

“Masa yang kita ada terlalu singkat...”

“Kita perlu rancang strategi baru dengan segera!” Tegas Kerk. Kembali menyedarkan mereka bahawa adanya tugas dan tanggungjawab yang perlu mereka lakukan.

“Kenapa? Eucralipse sudah ada strategi peperangan yang paling bagus. Kami ada kubu yang strategik, perangkap...”

“Itu semua dah tak relevan lagi sekarang!” Pintas Kerk.

“Sebab?” Soal Altrun berang.

“Mereka sepatutnya sudah tahu secara terperinci mengenainya sekarang!” Balas Kerk.

Altrun menepuk meja.

“Mustahil! Strategi itu rahsia kerajaan. Tiada sesiapa yang mengetahuinya sekalipun keluarga diraja Eucris. Hanya saya dan orang-orang tertentu sahaja yang tahu tentangnya.” Kata Altrun.

“Sekarang tidak lagi, Altrun! Rexo dah tahu semua tentang strategi yang kamu rancangkan. Perkara pertama yang dia akan lakukan adalah memusnahkan kesemua 9 kubu pertahanan yang ada di sekeliling jajahan Eucralipse, memusnahkan bom-bom perangkap yang tertanam di dalam tanah sebelum terus manghampiri kawasan istana.”

Kening Altrun hampir bertaut.

“Macam mana kamu tahu... secara terperinci?”

“Saya yang mencuri maklumat tersebut untuk Raja Eriel. Saya juga yang mengatur strategi untuk melumpuhkan dan menggagalkan setiap satu strategi kamu, Altrun... Sekarang Raja Eriel dah pun bekerjasama dengan Rexo. Maka secara automatiknya strategi kamu sudah tidak boleh digunapakai lagi!” Jawab Kerk perlahan. Rasa bersalah menggunung tingginya di dalam dadanya.

Altrun hampir tidak dapat berdiri di atas kakinya sendiri tatkala mendengar pengakuan Kerk. Tubuhnya menggigil manakala wajahnya pula membersut akibat marah. Aku juga dapat mengesan riak terkilan semua yang ada di situ. Strategi Altrun merupakan yang terbaik dan kerana strategi itu jugalah Eucralipse menjadi satu kuasa yang digeruni oleh kerajaan lain. Strategi rahsia Altrun merupakan kelebihan yang kami ada untuk menentang Rexo yang akan datang menyerang secara tiba-tiba. Dan ianya sudah tidak boleh digunakan.

“Maafkan saya, Altrun... Saya tak tahu saya berada di pihak yang salah pada ketika itu!” Pohon Kerk. Altrun tidak menjawab. Masih melayan rasa.

“Sudahlah! Itu semua berlaku sebelum Kerk tahu siapa dirinya yang sebenarnya. Kita boleh menyusun strategi baru, kan?” Ayahanda cuba menjernihkan keadaan kembali.

“Itu strategi terbaik yang saya boleh fikirkan, tuanku! Saya tak fikir saya boleh fikirkan strategi lain dalam masa yang singkat ini!” Kata Altrun dalam nada kesal. Dia enggan memandang Kerk dan Egart. Baginya, Kerk dan Egart adalah pemusnah hasil kerjanya. Dan dia masih meragui kesetiaan Kerk dan Egart.

Masing-masing terdiam. Memerhatikan peta di atas meja tanpa kata sambil mengerutkan wajah. Memikirkan strategi baru.

“Apa kata kita kekalkan sahaja tentera kita di kubu mereka?” Soal Kerk dalam keadaan teruja.

“Itu namanya membunuh diri.”

“Tidak! Kita buat patung menyerupai manusia. Kita pakaikan patung itu dengan baju tentera kita. Kita timbulkan keraguan sehingga mereka masuk ke kawasan kubu. Bila mereka masuk dalam perangkap kita, kita serang mereka. Atau kita serang hendap mereka dari kawasan berhampiran!”

“Bernas idea kamu, Kerk!” Puji ayahandaku. Kerk menundukkan kepalanya sedikit. Tanda menghargai pujian yang diberikan. Raja Eriel berpaling ke arah Permaisuri Xera. Mereka berpandangan lalu tersenyum. Ternyata mereka kagum dengan kebijaksanaan putera mereka itu.

Tindakan Kerk dan Egart mencuri maklumat ketenteraan Eucralipse mungkin sesuatu perkara yang keji pada pandangan mereka yang tidak mengerti cerita di sebalik kejadian tersebut. Apapun tindakan tersebut membuatkan mereka mempunyai pengetahuan luas tentang hal-hal ketenteraan Eucralipse seolah-olah mereka sememangnya berada di pihak kami sejak dari awal lagi. Ini memudahkan mereka untuk memahami dan menyumbangkan idea-idea bernas bersama-sama dengan mereka yang lain. Sedikit demi sedikit, semua yang menyertai perbincangan tersebut mula mengagumi Kerk dengan kepimpinan dan kewibawaan yang ada pada dirinya. Kerk, bagiku sememangnya dilahirkan untuk menjadi raja yang berwibawa serta pahlawan yang terbilang.

Aku melemparkan pandangan ke luar jendela. Di luar, suasana masih gelap. Ada beberapa jam lagi sebelum subuh menjelang. Pandanganku melepasi tembok istana. Suasana tenang seperti malam-malam sebelum ini. Namun ketenangan ini tidak akan bertahan lama.

“Sunyi aje, kan?” Tegur Ellisa. Entah bila dia mampir. Dia sudah berada di sisi kiriku kini. Memandang kosong ke arah yang sama seperti.

Aku diam.

“Sebentar lagi penduduk-penduduk di kampung-kampung yang mungkin akan diserang oleh Rexo semasa dalam perjalanannya ke istana, akan sampai. Mereka akan berkampung di kawasan istana...”

Aku mengangguk. Aku tahu itu adalah sebahagian daripada arahan Kerk kepada Altrun sebentar tadi. Lagipun aku sudah mendengar rancangan mengenainya secara terperinci dibincangkan di meja segi empat tadi.

Mereka akan ditempatkan buat sementara waktu di rumah-rumah pekerja istana, gudang-gudang menyimpan barang dan sebahagian mereka mungkin terpaksa berkhemah di dalam kawasan istana yang luas. Pekerja-pekerja istana sedang sibuk menyediakan barang-barang keperluan untuk kegunaan mereka sepanjang mereka berada di sini.

“Kau okey? Keadaan di sini mungkin sesak untuk beberapa hari... Aku takut kau akan rasa tak selesa atau...”

“Jangan bimbangkan aku! Semuanya akan kembali seperti sedia-kala, percayalah!” Balasku. Ellisa menganggukkan kepala.

Sejujurnya kata-kata tersebut lebih kepada menyakinkan diriku sendiri. Semua yang berlaku ini terlalu baru buatku. Selama ini aku tak pernah memikirkan aku akan menghadapi saat-saat genting seperti ini. aku hidup dalam duniaku sendiri. Aku hidup dalam dunia ciptaanku yang mana aku bebas melakukan apa sahaja tanpa memikirkan sesiapa atau apa-apapun. Tapi sekarang, semuanya sudah berubah. Aku ada ayahanda, bonda... Raja Eriel dan Permaisuri Xera yang seumpama ibu bapa angkatku... Ellisa, teman karibku semenjak kecil... Kerk, satu-satunya lelaki yang bisa mendebarkan rasa hatiku hanya dengan kehadirannya... Egart, teman Kerk, cinta hati Ellisa yang sudah aku anggap seperti rakan karib... Eucralipse, kerajaan yang bakal menjadi milikku suatu hari nanti... Rakyat serta segala yang ada di Eucralipse yang memerlukan perlindungan dari kekejaman Rexo... Mereka semua bergantung harap kepadaku. Kerana aku telah terpilih untuk memiliki Oc-cra. Aku punya kelebihan berbanding mereka, maka aku seharusnya menjadi pelindung kepada mereka. Di sisiku, Kerk, pemilik Oc-cra Pelindung yang sudah berpaling tadah dari rakan sekutunya.

Kini barulah aku sedar betapa pentingnya setiap ajaran yang diberikan kepadaku. Aku menyesal kerana kurang memberi perhatian dalam kelas-kelas yang diadakan khas buatku. Aku tak pasti sama ada aku sudah bersedia atau belum untuk memikul beban tanggungjawabku tetapi aku berazam untuk melindungi semua yang aku sayangi dengan seluruh jiwa ragaku sehingga nafasku terhenti...

Masa terus berlalu dengan pantas. Suasana bertambah tegang. Masing-masing kelihatan agak tertekan dan keletihan. Perbincangan berjalan dalam keadaan serius dan telus. Sesekali aku terdengar Kerk, Altrun, ayahanda seperti menjerit membantah mana-mana perkara yang tidak masuk akal bagi mereka. Aku mendengar setiap butir perbincangan yang berlangsung. Cuba memahaminya dan mengingati dan cuba menggambarkannya. Namun tubuhku mula diasak rasa letih dan mengantuk setelah hampir beberapa hari tidurku terganggu.

“Mungkin kau patut tidur, Eury... Kau nampak letih!” Ellisa yang masih setia di sisi mengeluarkan pendapatnya.

“Tak mungkin aku dapat tidur, Ellisa...”

“Ya, aku faham apa yang kau rasa. Aku gementar seperti kau. Eucralipse tak pernah terdedah dan terancam sebegini. Kita adalah kerajaan terkuat di sini. Kita punya askar yang ramai dan terlatih, senjata yang banyak dan canggih serta strategi peperangan yang efektif. Sekarang, semua rahsia kita dah jatuh ke tangan musuh... Tapi aku yakin, kita tetap kuat seperti selalu. Kita ada ayah. Kau tahu kan yang ayah aku merupakan pakar dalam mengatur strategi peperangan. Kita juga ada Kerk dan Egart. Mereka tentu faham bagaimana pihak musuh bertindak dan dapat menjangkanya. Dan kita ada Oc-cra. Kita akan menang, percayalah Eury!” Ellisa menyatakan kegusaranku dalam beberapa ayat yang jelas. Walaupun kata-katanya semakin menyesakkan dadaku, namun beban di bahu terasa berkurangan. Keyakinan di hujung ayatnya seakan menyuntik semangat baru padaku.

“Ya! Kita akan menang! Asalkan aku dan Kerk bersatu hati dan berpadu tenaga, kita akan dapat mengalahkan Rexo dan orang-orangnya!”

“Bagus! Aku suka tengok kau bersemangat macam ni!”

Aku memeluk Ellisa. Seketika kemudian, kami menjenguk ke bawah.

Suasana di perkarangan istana mula hiruk-pikuk. Bunyi bayi menangis, kanak-kanak merengek akibat mengantuk, orang dewasa yang menyoal para tentera pelatih tentang di mana petempatan sementara mereka, bunyi barangan yang dibawa oleh mereka yang berlaga sesama sendiri serta bunyi binatang-binatang ternakan mereka yang turut diheret ke situ; semua bunyi itu bersatu. Rakyat Eucralipse sudah tiba dan masuk ke kawasan istana Eucralipse. Mereka nampak keletihan, kebingungan serta sedikit takut. Mereka tahu apa yang berlaku; mereka diarahkan berpindah dan berlindung di istana untuk mengelakkan dicederakan oleh musuh. Tetapi mereka tidak tahu betapa seriusnya keadaan di Eucralipse pada masa ini. tentera-tentera pelatih segera menjalankan tugas mereka. Rakyat Eucralipse mula memenuhi kawasan bahagian selatan, timur dan barat istana.

“Aku nak pergi tengok keadaan di bawah. Mungkin ada kerja-kerja yang boleh aku lakukan atau bantu.”

“Aku nak ikut! Aku pun nak bantu mereka!” Pintaku. Ellisa tersenyum.

“Kau dah dewasa, Eury! Bukan keanak-anakan dan pentingkan diri-sendiri seperti selalu.” Pujian Ellisa agak sinis tetapi ada kebenarannya. Aku langsung tidak mengambil hati mlah menerimanya dengan baik.

“Semua orang dewasa, Ellisa! Bukan kau sahaja. Lagipun aku nak jadi puteri contoh!”

Ellisa menjelirkan lidahnya. Meluat dengan lagakku.

“Pergi beritahu bonda kau! Aku tak nak dia anggap kau ditelan dek lembu milik petani di bawah sana pula nanti!” Ellisa cuba berseloroh. Aku tersenyum dan serentak itu juga lembu-lembu yang ada di bawah sana berbunyi nyaring. Ketawa kami bertambah nyaring dan menarik perhatian mereka yang ada di situ. Sedikit-sebanyak suasana yang tadinya tegang mula mengendur sedikit demi sedikit.

**************
Surat pemberitahuan yang sudah siap ditulis dan ditandatangani oleh Raja Esqandar digulung dengan kemas. Ada sembilan kesemuanya. Kesemuanya diserahkan ke tangan Kerk.

“Boleh ke kamu lakukannya seorang diri?” Soal Raja Eriel ragu-ragu. Puteranya yang satu itu dipandangnya dengan penuh kasih sayang. Yang lain-lain memandang Kerk dengan rasa ingin tahu.

“Ini lebih mudah, ayahanda! Altrun dan yang lain-lain masih punya tugas yang perlu diselesaikan. Saya akan terbang ke sana. Lebih pantas dari menunggang kuda. Surat pemberitahuan yang telah ditandatangani ini akan saya sampaikan kepada ketua-ketua di setiap kubu pertahanan supaya mereka tahu perubahan rancangan kita.”

Raja Eriel memandang Raja Esqandar. Di matanya terpancar sinar kebimbangan. Bimbang putera yang baru ditemuinya beberapa jam yang lalu akan kembali hilang dari pandangan matanya.

“Jangan risau, Eriel! Seperti pemilik Oc-cra yang terdahulu, Rhyss juga punya kelebihannya tersendiri. Yakinlah dengan kemampuannya!” Ujar Raja Esqandar.

Raja Eriel mengangguk kepada Raja Esqandar sebelum pergi mendapatkan Kerk.

“Pergilah... Pastikan kamu pulang dengan selamat!” Pesannya.

Kerk segera berlalu diikuti oleh Egart di belakangnya. Egart menunggang kuda berwarna coklat manakala Kerk menunggang kuda berwarna hitam yang diberikan oleh salah seorang pekerja kandang kuda di istana tersebut.

“Kau pasti kau boleh melakukannya seorang diri, Kerk?” Soal Egart sebelum mereka memulakan perjalanan.

“Urgh! Tak akan kau pun dah tak percayakan aku, Egart?”

“Bukan macam tu...”

“Kau tak perlu pergi terlalu hampir dengan kawasan kubu. Mungkin kau hanya perlu menunggang hingga ke tengah sebelum aku terbang dan sampaikan kepada mereka...”

“Tapi tempatnya jauh antara satu sama lain. Kau akan kehabisan tenaga. Kau tak biasa terbang jauh dan masa yang lama...” Bantah Egart. Kerk meletakkan kesemua surat pemberitahuan di tangannya ke dalam beg yang disandang di bahagian belakang tubuhnya. Wajahnya mmbengkeng marah.

“Aku lebih kuat dari apa yang kau bayangkan...”

“Aku tahu kau cedera, Kerk!”

Tubuh Kerk kejur di atas kudanya. Dia berpaling ke belakang. Cuba menyembunyika wajah terkejutnya dari pandangan Egart. Dia langsung tidak menyangka Egart seorang pemerhati yang baik. Teman rapat yang memahami setiap gerak-gerinya walaupun dia berusaha sedaya-upaya menyembunyikannya dari pengetahuan sesiapapun.

“Jangan merepek, Egart!”

“Aku tak merepek, Kerk! Aku nampak kau menahan sakit dalam diam. Aku tak tahu macam mana, tapi aku dapat rasakan ia ada kena-mengena dengan...”

“Sudahlah, Egart!”

“Mana boleh aku diam! Kau berpura-pura seolah-olah kau sihat sedangkan kau menanggung kesakitan seorang diri. Kau sedang membahayakan diri kau sekarang!”

“Aku perlu tebus semua kesalahan yang aku dah buat. Mungkin inilah caranya...”

“Tapi...”

“Kita patut bertolak sekarang! Sebahagian nasib Eucralipse terletak di tangan kita sekarang!” Pintas Kerk. Dia segera menarik tali kekang kudanya dan memandang ke belakang sekali lagi buat seketika. Diperhatikan Eury yang masih leka membantu wanita tua mengemaskan barang-barang yang dibawanya. Seketika kemudian dia tersenyum kecil melihat Eury mendukung seorang kanak-kanak yang menangis akibat terjatuh.

“Temanku... Kekasihku... Nyawaku...”

Kerk mengarahkan kudanya bergerak sebelum memecut laju. Egart yang tertinggal di belakang cuma mampu mengelengkan kepalanya.

**************

Matahari mula terbit dari bahagian timur Eucralipse. Memancarkan sinarnya menerangi seluruh alam. Keadaan di bahagian bawah istana sudah terkawal. Rakyat yang telah berpindah masuk ke kawasan istana sudah mula menyesuaikan diri dalam keadaan baru mereka. Aku dan Ellisa menerangkan secara ringkas dan umum mengenai apa yang berlaku. Dan ternyata itulah adalah yang terbaik buat mereka supaya mereka tidak panik dan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan. Aku gembira dapat melakukan sesuatu untuk mereka walaupun sekadar duduk berbual bagi mengurangkan kebimbangan mereka. Bonda tersenyum bangga dari tingkat atas istana. Mungkin bangga dengan tindakanku.

Jam 6.15 pagi, tiada apa yang boleh kami lakukan lagi. Masing-masing sudah kepenatan dan masuk berehat. Sejumlah besar tentera sudah berkumpul memenuhi bahagian depan istana. Menanti arahan dari pihak atasan.

Aku dan Ellisa naik semula ke tingkat atas istana dan terus menuju ke dewan mengadap. Jumlah mereka yang berada di meja segi empat sudah berkurangan. Mungkin tugas sudah diagih-agihkan dan mereka sudah mula melaksanakan tugas-tugas mereka. Aku tertanya-tanya berkenaan tugasku. Aku boleh menunggang kuda dengan baik. Aku juga boleh berlawan menggunakan pedang walaupun tidak sebaik orang lain.

Aku berjalan pantas ke arah Kerk yang sedang duduk di salah sebuah kerusi di situ. Aku dapat lihat wajah Kerk pucat berbanding tadi. peluh membasahi baju yang dipakainya. Egart mundar-mandir berhampiran Kerk. Sesekali dia memerhatikan Kerk dengan ekor matanya. Wajahnya kelihatan bimbang.

“Kerk!”

Kerk tersenyum sebaik sahaja menyedari kehadiranku di sebelahnya.

“Awak nampak...”

“Letih?”

Aku mengangguk walaupun apa yang aku lihat di wajahnya bukan sekadar rasa letih.

“Saya baru lepas buat tugasan saya...”

“Jadi saya andaikan kita sudah selesai berbincang dan sudah ada strategi peperangan baru yang lebih baik?”

“Ya! Begitulah nampaknya... Kami sudah pun mengkoordinasikan tentera kita di kawasan baru. Kami akan pasang perangkap yang pastinya akan mengejutkan musuh kita. Yang pastinya, kita tak akan ikut lagi strategi lama Altrun.”

Aku menganggukkan kepala. Ellisa menghampiri Egart yang masih berwajah walang. Bertanya dan berbual secara senyap di satu sudut. Aku lihat wajah Ellisa dan Egart sama-sama berkerut. Aku biarkan sahaja perbualan mereka menjadi persoalan tanpa jawapan di fikiranku. Aku kembali mendengar penerangan Kerk.

“Separuh daripada jumlah tentera kita akan tinggal di dalam kawasan istana untuk menjaga keselamatan orang-orang di istana. Kita akan letakkan meriam di bahagian atas istana. Altrun akan mengetuai pasukan pemanah. Saya dan Egart akan mengetuai pasukan berkuda...” Kerk meneruskan bicaranya dan kepalaku mula sarat dengan pelbagai bayangan. Aku cuba membayangkan apa yang keluar dari mulut Kerk. Terlalu leka sehingga aku terlupa akan sesuatu yang ingin aku tanyakan padanya sebentar tadi. Sesuatu yang hilang dari penerangannya sejak tadi.

“Kerk! Kita patut bergerak sekarang!” Panggilan Egart menghentikan bicara Kerk. Kerk menghulurkan senyuman sebelum bangun dan menyertai Egart, Altrun dan yang lain-lain berjalan meninggalkan dewan mengadap. Aku terpaksa berlari-lari anak untuk menyaingi langkah Kerk. Kerk memaut lenganku dengan wajah terkejut apabila didapatinya aku mengekorinya.

“Awak nak ke mana, Eury?”

Kakiku seakan dipaku di lantai istana sebaik sahaja mendengar suara keras yang bertanya.

6 comments:

epy elina said...

hhohooh.....
crta smkin mnarik...
x sbr nak bca next n3...
smbung2x...

Ai said...

huhuhu.. makin suspen, kerk.. risau kat die.. harap2 x jadi apa2 kat dia n eury..

sambung2 ag kak eury ^_^

tzaraz said...

aarrgghhh!! euryy!! knapa brentii!!
how i wish cite ni dah dibukukan so boleh baca smpi abis.
aku pun rasa cam ada kat istana bersama eury & kerk merasai debaran untuk berperang...
eury & kerk tu...so sweet!
cepat! next n3...

eury said...

salam...
tq sbb msh support eucralipse wpun eury sll post new n3 lmbt...eury tgh chaiyok2 nk wat part 22 plak skrg...
tzaraz, muzri ada gak tnya kot2 nk bukukan eucralipse tp kalo dibukukan mgkn akn lg lmbt la smbgnnya...apapun eury msh tggu 1st baby kuar dlu; ad+iz :)

tzaraz said...

eury..lambat klu sbb nak dibukukan tu takpe lagi..aku still sanggup tunggu..tapi ramai ke yg minat baca cite2 cengini? itu pun kena amek kita jugak klu nak dibukukan..

Anonymous said...

cpt la sket smbung...x sbr...hehe..mkin best n m'debrkn...

Followers