Tuesday, November 13, 2012

The Cold World 15


Without You

Tiada sesiapa yang mengetahui asal kewujudan Dewa-Dewi.

Dewa-dewi berkahwin sesama mereka untuk meneruskan kesinambungan keturunan mereka.

Angel dijadikan dari kelopak bunga Ran, bunga yang hanya wujud di Haven.

Angel dihidupkan dengan kasih sayang Dewa-Dewi dan mengambil semangat cinta seluruh manusia di Bumi.

Fairy dijadikan daripada titisan embun yang pertama di hujung rumput pada setiap pagi.

Fairy mendapat tenaga dari sinaran matahari.


“Riku…” Panggil Dewa Chiyo ketika Riku bersiap di biliknya. Matanya tertancap pada pintu kayu. Telinganya cuba menangkap bunyi pergerakan di dalam Istana Kristal. Sebentar kemudian dia menghembuskan nafas lega. Dewa Dai sudah berada jauh dari kawasan istana. Mungkin dia sudah dalam perjalanan ke Dewan Bicara ketika ini. Mereka boleh berbual dengan tenang.

“Ya.”

Menatap Riku kembali, Dewa Chiyo jatuh pada baju yang berada di lantai istana. Kemudian pada baju yang sedang dikenakan pada tubuh Riku. Dahinya berkerut. Apa yang sedang dilihatnya kini bukan suatu kebiasaan untuk dilakukan.

“Kamu…”

Riku menunggu Dewa Chiyo meneruskan katanya. Tapi Dewa Chiyo memilih untuk tidak bertanya.

“Kamu dah masuk ke dalam bilik tu, kan?” Dengan pantas Dewa Chiyo mengalih tajuk bicara.

Riku merenung Dewa Chiyo buat seketika. Mengangguk bila mengerti maksud Dewa Chiyo.

“Beberapa tahun sebelum kamu lahir, Tirai Masa meramalkan kedatangan Zaman Kegelapan. Hanya boleh diselamatkan oleh Si Sayap Hitam, Kurogane. Hanya itu sahaja yang diberikan. Ramalan sebegitu sudah tentu la menimbulkan kekecohan di Haven. Bila kamu lahir, kamu menjadi sumber ketenangan pada para dewa. Walaupun tidak tahu bagaimana Zaman Kegelapan akan berlaku, dari mana puncanya, tapi sekurang-kurangnya kami tahu yang kamu bakal menyelamatkan kami dan Haven. Seluruh tumpuan pada kamu.”

“…”

“Kamu banyak menghabiskan masa kamu di bilik tu sewaktu kamu kecil dulu. Belajar bagaimana kuasa kamu berfungsi. Membuat banding beza antara kuasa kamu dan Tirai Masa. Mencari satu keyakinan dalam kekaburan. Dewa Arashi selalu menemani kamu.”

Riku berhenti membetulkan pakaiannya. Tangan di sisi tubuh digenggam.

“Tapi akhirnya Dewa Arashi mati di tangan saya! Adakah itu caranya saya untuk menyelamatkan Haven, wahai Dewa Chiyo? Dengan membunuh ayahanda yang menyanjung dan menyayangi saya sepenuh hati?!” Sinis Riku melontarkan rasa hatinya.

Dewa Chiyo berjalan menghampiri Riku. Bahu Riku ditepuk beberapa kali.

“Kamu terlalu muda ketika itu, Riku. Kamu masih belum mahir mentafsirkan ramalan yang kamu terima.”

“Benar ke? Saya sepatutnya boleh mengelak perkara itu dari berlaku. Tapi saya terlalu bodoh. Saya memilih untuk ‘menyelesaikan’ masalah dengan menghapuskan puncanya. Sepatutnya saya kena ‘mengubati’ puncanya. Bukankah itu yang sepatutnya seseorang yang boleh melihat masa depan lakukan?”

“Riku, kuasa yang kamu miliki terlalu ‘kuat’ dalam masa yang sama terlalu sensitif. Setiap satu yang berada di sekeliling kita berubah. Tiada apa yang statik. Sedikit perubahan membawa impak yang besar terhadap ramalan yang ‘datang’ kepada kamu.”

“Sudah tiba masanya untuk kamu menerima takdir kamu, Kurogane!”

“Tapi takdir ini terlalu berat, Dewa Chiyo. Saya kehilangan kasih sayang ayahanda malah bonda turut membenci saya! Hari tu… Pada hari tu, saya bukan sahaja membunuh ayahanda saya sahaja. Pada hari malang itu, saya turut membunuh kehidupan bonda saya.” Rintihan Riku meruntun hati Dewa Chiyo.

“Tak boleh ke saya menyelamatkan Haven tanpa membunuh ayahanda? Bertahun-tahun saya mengambil masa untuk memahami tindakan ayahanda. Malah selama itu juga saya memikirkan sama ada tindakan saya itu betul atau tidak. Ternyata saya masih belum menemui alasan untuk berlapang dada dengan apa yang saya lakukan. Kalau la masa boleh diundur…”

Dewa Chiyo duduk di hadapan Riku. Menatap wajah Riku yang muram.

“Riku, apa sebenarnya yang kamu nampak ketika itu? Kamu tak pernah ‘tunjukkan’ pada aku apa yang kamu nampak ketika itu. Ketika dibicarakan pun, kamu enggan cakap apa-apa, apatah lagi membela diri. Kamu hanya berdiam diri dan menerima sahaja dewa-dewi yang lain menentukan takdir hidup kamu.”

Riku menggelengkan kepalanya.

“Kamu boleh percaya aku, Riku. Kamu tahu tentang perkara itu, kan?”

Riku merenung kosong ke hadapan. Dewa Chiyo bersandar di kerusinya sambil memejamkan matanya. Bersedia untuk ‘melihat’ ramalan dari Riku.

“Ianya sangat mengelirukan. Saya lihat ayahanda…”

Dewa Chiyo membuka matanya. Sedikit kecewa kerana Riku memilih untuk bercerita daripada ‘menunjukkan’ apa yang ‘dilihatnya’. Dia berharap benar untuk melihat, mendengar dan merasai apa yang dialami oleh Riku itu. Apapun dia bersyukur kerana akhirnya Riku mahu bercerita sesuatu yang bertahun-tahun disembunyikannya.

“…membunuh…”

Dewa Chiyo ternganga.

“Tak mungkin! Dewa Arashi sangat penyayang. Sentiasa mendahulukan yang lain berbanding dirinya. Sifat yang turut kamu warisi.”

“Ya. Saya tahu ianya mustahil untuk dipercayai. Tapi itu yang saya ‘lihat’.”

“Siapa yang dibunuhnya, Riku?”

Riku terdiam seketika. Mengenang kembali hari kejadian yang telah bertahun ditinggalkannya. Sesuatu yang sedaya-upaya dilupakannya.

“Pagi tu saya baru aje selesai bermain catur dengan ayahanda sambil membincangkan hal ehwal di Haven.  Dalam perjalanan balik ke bilik, saya mendapat bayangan ramalan itu.”

Riku berjeda. Dewa Chiyo tetap sabar menanti.

“Tangan ayahanda berlumuran darah. Kemudian saya nampak tubuh seorang gadis berlumuran darah di lantai. Gadis kecil berusia lebih kurang 8 tahun yang tak pernah saya temui apatah kenal pada tika itu. Tetapi bayangannya yang muncul sekilas pandang itu menimbulkan rasa yang tidak saya fahami. ”

 “Kemudian?”

“Saya nampak bayangan ayahanda menikam bertalu-talu...” Suara Riku kedengaran jauh dan perlahan.

“Siapa? Siapa yang dibunuhnya?”

Riku mengelengkan kepala.

“Hanya itu yang saya nampak.”

“Oohh…” Dewa Chiyo kembali tersandar di kerusi. Cuba mencari rasionaliti tindakan Dewa Arashi yang tidak pernah sempat dilakukannya. Kenapa? Bukankah Dewa Arashi tahu malah faham benar larangan membunuh di Haven? Bukankah dia yang menguatkuasakan undang-undang tersebut? Kenapa?

“Saya rasa saya patut menyelamatkan gadis itu. Bukan! Saya rasa bertanggungjwab untuk menyelamatkan nyawa gadis itu. Untuk mengelakkan pembunuhan berdarah yang pertama di Haven, saya mengambil keputusan untuk membunuh ayahanda saya.”

Riku menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya perlahan-lahan. Rasa sayu menyelubungi hati.

“Saya masih ingat lagi betapa hangatnya darah merah yang mengalir dari tubuh ayahanda. Katanya dia percaya pada saya. Walaupun dia tak faham kenapa saya mengambil tindakan itu, tapi dia tahu saya melakukannya atas sebab-musabab yang munasabah. Ayahanda tersenyum dan mangkat di atas riba saya.”

Dewa Chiyo mengangguk. Dia tahu Dewa Arashi sudah memaafkan puteranya. Walaupun seluruh Haven menunding jari pada Riku, baginya Riku melakukan apa yang patut dilakukannya.

“Siapa gadis itu, Riku?” Riku memandang tepat ke mata Dewa Chiyo. Dia jadi berminat mengetahui gerangan gadis tersebut . Gadis yang membuatkan Riku terasa perlu untuk dilindungi. Mungkinkah…

“Harumi.”

Dewa Chiyo ternganga sekali lagi. Bibirnya bergerak namun tiada suara kedengaran.

“Ha… Harumi?”

Mungkinkah… Kepala digelengkan. Tak mungkin…! Tak kan Dewa Arashi mahu membunuh Harumi? Tapi kenapa?

 “Kenapa? Kenapa perlu membunuh Harumi? Ada sebab ke Harumi patut dibunuh?”

“Saya tak tahu.”

Dewa Chiyo mendengus. Memang sukar menjadi Riku. Dibebankan dengan tanggungjawab yang berat, kuasa yang mengelirukan, malah dia terpaksa mengorbankan orang-orang yang disayanginya. Dalam diam, Dewa Chiyo menyalahkan dirinya sendiri. bukankah dia mempunyai kuasa untuk membaca ramalan Riku? Maka dialah orang yang paling rapat, orang yang boleh menasihati Riku sebelum Riku mengambil apa-apa tindakan. Argh! Kalau la dia dapat menghapuskan halangan ciptaan Riku terhadap ramalan yang diterimanya…

“Satu hari saya ternampak Harumi sewaktu menjalani ‘hukuman’ saya. Harumi berbeza dengan angel-angel yang lain. Dia tak boleh terbang. Dia tak pandai memanah. Dia lemah. Dia tak pintar. Dia degil. Dia manja. Dia kuat merajuk. Dia makan. Dia tidur. Membesar di Istana Kristal yang dipenuhi dengan kemewahan dan dikelilingi kesempurnaan, dia buat saya berfikir ‘angel jenis apa dia ni?’ Tiada apa yang bagus atau istimewa tentang Harumi. Dia bagi saya banyak sebab untuk membencinya.”

Dewa Chiyo terus memandang wajah Riku. Sudah banyak beban yang ditanggung oleh lelaki itu meskipun usianya tidak sampai suku dari usianya.

“Saya bingung. Kenapa saya perlu melindungi Harumi, malah membunuh ayahanda saya semata-mata untuk memastikan angel yang lembap, bodoh, cuai, 'cacat' seperti Harumi terus hidup? Berbaloikah apa yang saya lakukan? Soalan itu terus-menerus mengasak fikiran saya.”

“Dan apa kata hati kamu?”

“Hati saya... Langsung tak punya alasan untuk membencinya. Untuk itu sy membenci diri saya sendiri buat seketika.”

“Dan akhirnya?”

“Saya hanya boleh memandang Harumi sahaja.”

Dan melupakan sekalian yang ada di Haven, sambung Dewa Chiyo dalam hati.

“Mungkin yang lain menganggap Harumi menyusahkan. Tak istimewa. Tapi pada saya dia adalah segalanya.Saya tiada pilihan selain menyayangi dan melindunginya. Walaupun saya sepatutnya membenci, tapi hati saya memilih untuk menyayanginya. Walaupun saya sepatutnya mendendaminya, tetapi segenap inci tubuh saya memilih untuk melindungi.”

Dewa Chiyo mengangguk. Bukan hanya kerana dia sudah mendengar apa yang mahu didengarinya, tetapi dia juga begitu. Kerana Harumi adalah Harumi maka dia tidak punya pilihan selain menyayangi dan melindunginya. Rasanya, jika nyawanya jadi taruhan pun dia sanggup asalkan Harumi selamat. Kerana Harumi punya keistimewaannya tersendiri.

“Kamu cintakan dia.” Kesimpulan yang dibuat oleh Dewa Chiyo menghantar rasa perit di hati Riku. Kelat senyumannya.

“Dewa Dai merasakan kasih, sayang, cinta akan buat para dewa dan angel rasa ‘terikat’, hilang pertimbangan terutama apabila melibatkan orang yang disayangi. Dia sedaya-upaya, malah berjaya menyakinkan Dewa-Dewi bahawa cinta, kasih, dan sayang tidak perlu dimiliki oleh Dewa-Dewi, angel dan fairy.”

“Hmm, macam mana dia boleh berfikiran begitu, masih menjadi tanda-tanya padaku.” Rungut Dewa Chiyo. Seketika kemudian tumpuannya kembali pada Riku yang sedang membuang pandang ke luar tingkap. Riak wajah Riku kosong tanpa perasaan. Yang ada di hadapannya itu hanyalah jasad Riku. Tanpa jiwa.

“Kenapa kamu ‘hantar’ dia ke Bumi?”

Kalau kamu tak boleh ‘hidup’ tanpanya, kenapa kamu hantar dia ke Bumi?

Senyuman Riku lenyap dari bibir.

“Dewa Chiyo tahukan Dewa Dai menugaskan saya untuk menghapuskan angel yang tidak berpotensi.”

“Ya. Itu salah satu caranya untuk menyeksa kamu. ‘Kesakitan’ yang kamu rasakan adalah kepuasan baginya. Selain itu, ia juga salah satu rancangan yang difikirkan yang terbaik untuk masa depan Haven.”

“Angel pertama yang harus saya hantar ke Cold World adalah Harumi.”

Bibir Dewa Chiyo bergerak-grak namun tiada perkataan yang mampu diucapkannya. Fikirannya bercelaru dengan pelbagai andaian dan dalam masa yang sama memikirkan cara untuk mengelak sekiranya perkara tersebut terjadi. Tak kan lah… Tidak! Tiada sesiapa yang tahu!

“Saya perlu selamatkan Harumi. Kerana kemusnahan bermula di Haven, maka saya hantar dia ke Bumi supaya dia boleh hidup lebih lama lagi.”

“Semuanya tentang dia sekarang, bukan?”

Riku diam. Mengakui dalam kebisuannya.

“Tapi mampukah kamu terus hidup tanpa sebahagian dari diri kamu?”

Riku mendengus.

“Itu masalah yang perlu saya atasi sendiri.”

Dewa Chiyo mengerling pada pakaian yang bertaburan di lantai.

“Aku aku akan bertanya apa-apa. Kerana aku tahu kamu lebih tahu apa yang kamu lakukan.”

“Terima kasih atas pengertian itu, Dewa Chiyo.”

Dewa Chiyo hanya tersenyum. Berharap apa pun jua tindakan yang diambil oleh Riku akan memberikan impak yang baik kepada Haven, Dewa-Dewi, angel, fairy, Bumi dan seluruh manusia.

“Kita patut bertolak Dewan Sidang sekarang. Nampaknya Dewa-Dewi yang ‘sudah lama tidur’ tu sudah mula mengamuk. Mungkin marah apabila dikejutkan dari ‘lena’ mereka yang panjang.”

Mengakui kebenaran kata-kata Dewa Chiyo, Riku segera memperkemaskan pakaian khas yang dikenakannya.

“Dewa Chiyo!”

“Ya?” Dewa Chiyo berhenti melangkah. Serentak itu ramalan yang diberikan oleh Riku muncul di hadapannya. Jika tadi dia sekadar bercerita dengan perkataan, kali ini Riku memilih untuk ‘menunjukkan’ apa yang dilihat dalam ramalannya.

Dia mengamati gambaran yang diberikan. Diamatinya imej tersebut. Dari tingkap Istana Kristal, kelihatan Dewi Iva meninjau secara sembunyi-sembunyi ke luar. Tiada sesiapa yang kelihatan di laluan keluar masuk menuju ke pintu gerbang di bawah Istana Kristal. Yang ada hanyalah pohon-pohon hijau yang ditanam dan dibentuk untuk menceriakan suasana landskap istana. Langit senja Haven berwarna merah keorenan seperti berduka untuk menggambarkan perasaan Dewi Iva ketika itu.

Ketika Dewa Chiyo mahu mengabaikan apa yang dilihatnya, ketika dia mahu bertanya kepada Riku apa kepentingan ramalan yang diterimanya itulah Dewa Chiyo ‘ternampak’ dua orang fairy mengiringi Harumi berjalan menyusuri laluan pejalan kaki menuju ke pintu gerbang. Kejap! Adakah ini… kejadian sebelum Harumi dibawa ke Maze of Mind? Sebelum Harumi turun ke Bumi? Adakah Riku melihat kejadian ini? Atau mungkin Dewi Iva mengubah fikiran untuk tidak berbuat demikian?

Wajah ingin tahu Riku dipandang oleh Dewa Chiyo. Tentu sudah berhari-hari ramalan ini bermain dalam fikiran Riku. Mencari kewajaran Dewa Iva yang disangka membenci Harumi

Dewa Iva memerhatikan kelibat Harumi dan fairy-fairy tersebut sehingga mereka hilang ditelan kepulan awan. Ramalan tersebut berhenti di situ.

Berkelip-kelip mata Dewa Chiyo. Oleh kerana perkara itu di luar pengetahuannya, maka dia agak terkejut apabila Riku mengajukan kemusykilannya.

“Dewa Chiyo, kenapa agaknya ya Dewi Iva pandang Harumi dengan pandangan sedih dan sayu begitu? Dan kesal. Ya, saya pasti rasa kesal jelas kelihatan pada wajahnya.”

Dewa Chiyo terkedu. Berdetak-detak hatinya ketika itu.

“Aku tak tahu.”

“Saya pasti kisah ini dah lama berlaku. Mungkin sebelum saya lahir. Atau mungkin sebelum Harumi wujud?”

“Entah la. Haha… Kamu patut tanya Dewi Iva kerana dia yang ada dalam ramalan kamu. Bukan aku.”

Kecewa terukir pada wajah Riku.

“Saya fikir mungkin Dewa Chiyo tahu memandangkan Dewa Chiyo baik dengan Dewa Iva dan dah lama tinggal di istana bersama.”

Dewa Chiyo melarik senyuman.

“Maaf. Aku tak dapat membantu.”

Dewa Chiyo melebarkan sayapnya. Bersedia untuk terbang dari balkoni di bilik Riku.

“Harumi tak punya ibu bapa, kan Dewa Chiyo? Dia dilahirkan oleh kelopak bunga Ran, kan? Dia wujud hasil kuasa cinta dan kasih sayang oleh para Dewa-Dewi, kan?”

Hampir sahaja Dewa Chiyo jatuh tersembam di balkoni kristal sebaik sahaja mendengar pertanyaan Riku. Memilih untuk tidak menjawab, Dewa Chiyo terus terbang sepantas yang mungkin.

Adakah sudah tiba masanya?

Tidak!

Itu bukan rahsianya. Dia hanya kebetulan mengetahui rahsia tersebut. Dan dia menjaga rahsia tersebut dengan nyawanya. Dia telah menetapkan pendiriannya bertahun-tahun lamanya. Jika rahsia itu harus diketahui, biarlah yang empunya rahsia yang membuka mulut.

Bukan dia!

@~@~@~@

Riku teragak-agak untuk membuka pintu kayu yang sarat dengan ukiran erbut. Entah berapa lama dia berdiri di situ. Menunggu dan terus menunggu masa yang sesuai untuk masuk ke Dewan Sidang Dewa-Dewi.

Dari tempat dia berdiri dia dapat mendengar dengan jelas suara-suara mereka berbual bertanya khabar, bertukar-tukar pandangan malah membuat pelbagai spekulasi mengapa perhimpunan sebegitu diadakan. Biasanya, hanya Dewa-Dewi Utama sahaja yang kerap bersidang untuk membincangkan hal ehwal di Haven. Kesemua Dewa-Dewi hanya berkumpul setahun sekali sahaja untuk membincangkan perkara-perkara yang penting. Perkara yang memerlukan persetujuan secara kolektif dari mereka. Persidangan mendadak seperti sekarang hanya diadakan jika terdapat masalah yang tak diduga timbul. Dipanggil secara tiba-tiba membuatkan mereka, dan sesetengah berang. Kebanyakan mereka sudah ‘terlalu tua’ untuk menerima kejutan yang tak terduga seperti itu.

“Kenapa tak masuk?”

“Kerana saya tahu apa yang akan berlaku maka saya takut untuk masuk.”

Dewa Chiyo tersengih. Riku yang dikenalinya sangat berkeyakinannya. Mungkinkah Harumi sudah membawa sebahagian dari keyakinannya juga? Tapi… apa agaknya yang Riku nampak, yang akan berlaku sebentar nanti?

“Suka atau tidak, kamu tetap kena hadapi saat ini, bukan?”

Riku mengangguk.

Dan mengangguk sekali tatkala tangan Dewa Chiyo melekat di daun pintu yang tingginya tiga kali ganda dari ketinggian mereka.

Daun pintu ditolak dan terbuka.

Riku terpaksa mengangkat tapak tangannya untuk melindungi matanya dari silau cahaya dari dalam Dewan Sidang tersebut. Dia hampir terlupa, Dewa-Dewi yang berkumpul dalam jumlah yang besar akan menghasilkan cahaya, simbol kebersatuan hati mereka. Tanda kekuatan mereka bila bersama.

Seisi dewan yang tadinya hingar-bingar berubah menjadi sunyi. Sepi.

Semua mata tertumpu pada Riku. Beberapa saat kemudian keadaan kembali bising.

“Itu Dewa Riku, kan?”

“Yang membunuh Dewa Arashi tu ke?”

“Kenapa dia ada di sini?”

“Aku sangka dia dah ‘dibuang’ semua Dewa-Dewi.”

“Bukankah dia ada kuasa meramal?”

“Ada kuasa pun tak guna kalau tak boleh mengelak kematian ayahandanya sendiri. Malah dia sendiri yang membunuh?”

Enggan menghiraukan suara-suara tersebut, Riku bergerak ke kerusinya.

“Selamat kembali, Dewa Riku.” Sapa kerusi tersebut sebaik sahaja Riku melabuhkan punggungnya.

0 comments:

Followers