Monday, October 4, 2010

eucralipse 23


Tentera-tentera Eucralipse sudah berada di posisi masing-masing. Altrun dan kumpulan pemanahnya berada di atas batuan tinggi dengan busur dan anak panah di tangan. Mereka berada dalam keadaan bersedia. Mata masing-masing merenung tajam ke arah hujung dataran lapang di hadapan mereka. Semakin hampir tentera Rexo dengan mereka, semakin membara semangat di hati mereka untuk menghapuskan setiap satu ancaman yang dibawa oleh Rexo.

Di bahagian bawah, di dataran hijau, tentera berpedang berbaris dalam keadaan bersedia. Di hadapan mereka, tentera berkuda yang diketuai oleh Kerk dan Esmet. Seperti yang lain, Kerk turut memandang tajam ke arah tentera-tentera Rexo. Menimbang-nimbang kekuatan dan kelemahan mereka. Mencari-cari peluang untuk melepasi barisan tentera Rexo untuk sampai kepada tentera Dewa Kegelapan, sebelum membunuh Jeto, ketua kepada semua tentera Dewa Kegelapan.

Tentera Rexo berkawad dalam barisan masing-masing semakin mara di dataran rumput hijau beberapa ratus kilometer dari istana Eucralipse. Setiap satu daripada mereka memakai pakai besi dengan lambang kerajaan Rexo dan topi besi. Dua barisan di hadapan merupakan pemanah. Anak panah di busur mereka kelihatan bersinar dan seperti direka khas untuk menembusi tubuh musuh mereka. Di belakang pasukan pemanah adalah pasukan tentera berpedang dan kemudiannya pasukan berkuda.

Dari kejauhan, kedengaran bunyi pedang bergeser, bunyi dentuman berselang-seli dengan suara jeritan kesakitan. Para tentera di kubu-kubu di sekeliling tanah jajahan Eucralipse sudah memulakan pertempuran mereka.

Tentera Rexo berhenti sebaik sahaja tiba di tengah dataran rumput. Tentera Eucralipse hanya memerhatikan gerak-geri mereka dengan teliti. Bunyi derapan kaki yang kuat membuatkan mereka berpandangan sesama sendiri. Dari sebalik kabus pagi yang tebal, muncul tentera-tentera Dewa Kegelapan yang besar dan sasa. Berjalan dan akhirnya berhenti di belakang tentera Rexo. Memandang tajam ke arah tentera Eucralipse dengan mata mereka yang merah. Keadaan fizikal dan jumlah mereka yang ramai membuatkan tentera-tentera Eucralipse gementar. Walaupun ketakutan mereka tidak terluah di mulut, namun sinar keberanian di mata masing-masing jelas kelihatan semakin pudar.

Menyedari keadaan tenteranya yang sudah hilang keyakinan untuk menang, Kerk menarik tali kekang pada kuda putih yang ditunggangnya. Mengarahkan kudanya melangkah beberapa tapak ke hadapan sebelum berhenti dan berpusing mengadap kesemua bala tentera Eucralipse. Dipandangnya satu persatu wajah para tenteranya. Rasa sakit di tubuh terasa hilang. Dia harus kuat demi tentera-tenteranya.

“Dengar sini semua! Mereka mungkin ramai dan nampak kuat! Tetapi tak semestinya mereka akan menang! Mereka tak ada semangat dan keazaman yang kuat seperti kita! Ini Eucralipse! Ini tanah kita! Tempat tinggal kita! Keluarga kita! Harta kita! Kita mesti pertahankannya!” Jeritan Kerk bergema dari tempatnya. Meniupkan kembali semangat dalam diri tentera-tenteranya. Mereka kembali tegak dan bersedia. Menungu arahan dari Kerk untuk memulakan pertempuran dengan tentera Rexo.

“Tentera Eucralipse, adakah kamu sanggup berjuang demi Eucralipse?!” Soal Kerk lantang.

“YA...!!” Sorak tentera

“Adakah kamu sanggup mati untuk Eucralipse?!!”

“YA...!!!”

“Kalau macam tu, mari kita hapuskan Rexo dan orang-orangnya!!”

Kali ini sorakan tentera-tentera Eucralipse lebih kuat dan bersemangat berbanding tadi. Wajah mereka bersinar garang seperti cahaya mentari yang sudah menampakkan dirinya.

Kerk memusingkan kudanya mengadap tentera-tentera Rexo. Egart sudah bersedia di tempatnya; di sebelah Kerk walau dalam apa jua keadaan. Seperti yang telah dijanjikannya pada Eury.

Kerk berpaling pada Egart.

“Egart...”

“Jangan risau, Kerk! Aku akan bantu kau untuk sampai ke tempat Jetto, Rexo dan Esmet!”

Kerk mengangguk. Puas hati.

“Sedia, Euris!”

Tentera Eucralipse bersorak dengan penuh semangat.

Kerk menurunkan topi besi yang dipakainya. Menutupi keseluruhan kepalanya kecuali matanya. Kerk menarik pedang diraja Eucralipse dari sarungnya. Mengangkat pedang itu tinggi di udara. Isyarat memulakan peperangan.

“SERANG...!!!!”

****************

Detik demi detik aku habiskan dengan memandang kosong ke hujung dataran luas di bawah kawasan istana Eucralipse. Kedudukan istana Eucralipse yang didirikan di atas bukit memberikanku pandangan yang jelas berkenaan apa yang berlaku di bawah sana. Menanti kedatangan musuh yang tidak diundang membuatkan jantungku berdegup kencang. Fikiranku sarat dengan pelbagai persoalan. Menimbang-nimbang potensi kemenangan di pihak kami. Walaupun berat, tapi harus aku akui bahawa kemungkinan kami untuk menang adalah sangat tipis. Sangat-sangat tipis. Dari memori Rexo, aku sudah 'lihat' kemampuan tenteranya. Mereka berpengalaman dan berhati kering. Aku juga sudah 'melihat' kemampuan tentera Dewa Kegelapan. Mereka lebih dari apa yang aku sangkakan. Meskipun fizikal mereka hampir sama, tapi kebolehan mereka berbeza, mengikut kehendak Jetto, ketua mereka. Selain dari kebal dari senjata tajam, sukar untuk aku bayangkan dalam bentuk nyata kebolehan mereka tersebut. Sukar untuk membayangkan tubuh tegap setinggi dua kaki untuk terbang di udara dengan sayap seperti burung helang yang tumbuh di belakang badan mereka. Sukar juga untuk memikirkan bagaimana tubuh mereka yang gelap itu boleh mengeluarkan api yang boleh membakar apa-apa sahaja berhampiran mereka. Selain itu, setiap seorang dari mereka punya kemahiran berlawan menggunakan senjata yang mengkagumkan.

Argh...!! Dengan cara apa aku dapat membantu mereka jika aku hanya bersembunyi di dalam istana ini?!

Aku perhatikan Kerk yang sedang mengkordinasi dan memeriksa keadaan tentera kami dari jendela istana. Memikirkan kehadiran tentera Dewa Kegelapan, aku kecut perut. Aku tahu Rexo mempunyai kelebihan di situ. Merahsiakan kekuatan tentera Dewa Kegelapan dari pengetahuan tentera Eucralipse menyebabkan hatiku resah. Dari satu sudut, mereka akan bersemangat dan terus berjuang untuk menang. Aku tak mahu mereka berasa gerun dan panik untuk bertempur. Dari satu sudut yang lain pula, ia seperti mempertaruhkan nyawa para tenteraku memandangkan mereka tidak mengetahui dengan siapa mereka akan berperang.

Kerk sudah bersedia di atas kudanya. Egart sentiasa berada di sisinya; melindungi Kerk dari sebarang ancaman dngan nyawanya. Itu janjinya padaku. Kerk, atau Egart, atau sesiapa sahaja, aku sebolehnya tak mahu sesiapapun terkorban. Tubuhku menjadi kaku secara tiba-tiba tatkala melihat keprihatinan Egart terhadap Kerk. Bibir Kerk pucat. Tangannya melekap di rusuk kanan. Bukankah itu bahagian rusuk Kerk yang cedera sewaktu kami bertarung di Dark City?

Adakah...

“Saya tak akan biarkan awak disakiti lagi...”

“Saya nak tebus salah saya pada awak...”


Pandangan mata Kerk, genggaman tangan Kerk yang erat dan hangat, kesungguhan dalam setiap kata-katanya...

TIDAK!!!

Mindaku cuba menafikan gerak hati.

Kerk cedera dalam pertarungan kami. Aku pasti yang badannya turut cedera ketika dibelasah oleh pengawal penjara Dark City ketika dia melepaskan aku...

Spontan aku meraba tubuh badanku. Aku sihat. Segar. Langsung tak ada rasa sakit di mana-mana walhal sebelum ini tulang-temulangku seperti mahu bercerai dari badan. Keadaan tubuhku sama seperti sebelum aku ke Dark City... Yang mana ia adalah sesuatu yang mustahil memandangkan aku didera teruk sepanjang tiga hari berada di Dark City. Suara-suara mereka yang ada di dewan mengadap terasa semakin menjauh.

“Saya tak akan biarkan awak disakiti lagi...”

Pelukan erat Kerk setelah dia tahu kebenaran tentang dirinya bermain di mindaku...

“Saya cintakan awak, Eury... Lebih dari apa yang saya dan awak boleh bayangkan... Untuk awak, saya sanggup buat apa sahaja...”

Aku terduduk.

“Eury! Eury! Kenapa ni?” Suara cemas Ellisa mengembalikan diriku ke alam nyata. Mujur hanya Ellisa yang menyedari keadaanku. Yang lain masih berbincang secara serius tentang sesuatu.

“Kerk...” Suaraku serak. Tidak jelas untuk didengar sekalipun di telingaku sendiri.

“Kenapa dengan Kerk, Eury?”

“Aku tak tahu... Aku tak tahu Kerk ada kuasa untuk alihkan kesakitan... Dia... Dia ambil semua kesakitan aku!”

Ellisa mendengar kataku dengan wajah berkerut. Tidak mengerti sepenuhnya maksud kata-kataku. Dia menjadi lebih cemas apabila tubuhku rebah di sudut dinding. Dadaku terasa seperti mahu pecah. Mulutku mengeluarkan bunyi pelik. Bunyi tangisan tetapi tangisanku itu seperti tersekat-sekat. Rasa sedih, takut, ngeri bersatu apabila aku menyedari sesuatu yang lebih serius dari ayat terakhirku pada Ellisa tadi.

Kerk kini membawa beban ketidakseimbangan kuasa jahat dan baik di dunia kami berseorangan... Beban yang dahulunya aku tanggung berseorangan sebelum dia 'mengenali' siapa dirinya yang sebenar. Beban yang sepatutnya kami galas bersama. Beban itu akan semakin bertambah setiap kali Kerk melangkah untuk menghampiri Esmet. Esmet bagaikan paksi dunia kejahatan yang kuat. Dan dia akan menyerap semua tenaga kebaikan yang ada pada Kerk. Apa kesudahan pada diri Kerk bila semua tenaganya telah diserap?

Mati.......?

Aku segera bangun.

Kerk tak boleh bertarung! Dia terlalu lemah untuk menghadapi semua ini! Penyertaan Kerk di medan perang, dalam keadaan lemah, sama seperti membunuh diri!

“Aku mesti halang Kerk! Dia tak boleh bertarung!”

“Dah terlambat...”

Saat itu juga aku terdengar jeritan Kerk dari bawah.

“SERANG....!!!!”
Tubuhku serta-merta longai.

*** Sowi sbb lama x upload n3... my big apologies, of coz go to tzaraz...sowi sis...

3 comments:

tzaraz said...

eury. .appology accepted.. hehe
finally!
tapi... KERK!!!... alamak!
NEXT!

epy elina said...

alah....
kcian kerk...
gi slmtkan kerk eury...
klu mrk brgbng mst mng.....

Ai said...

lame giler tunggu smbungan cite nih..
bile bukak blog thn tengok cite ni dh di update, giler.. rase cam nk melompat2 pon ade.. miahahaha..
^^,

kerk!!! rsau nih.. ~~,

Followers