Sunday, September 14, 2008

Cerpen : Cinta Kau Dan Aku

“Anis... Bolehlah ek?”

Shafiq memandangku dengan penuh harapan. Plak tu, sengaja dia kelip-kelipkan matanya. Tau la bulu mata dia tu lebat, hitam dan melentik. Jeles aku! Aku pandang Amir di sebelahnya. Ei, dia boleh main jeling-jeling kat aku! Juling biji mata tu baru tau! Aku bagi jelingan ‘maut’ kat dia sekali. Huh... Ingat dia aje boleh menjeling.

“Kita dah ada empat orang. Kalo nak buat study group tak elok ramai-ramai. Nanti borak aje yang lebih!” Ujarku tegas. Walaupun tiada sesiapa yang melantik aku sebagai ketua, namun budak bertiga ni biasanya akan ikut aje keputusan aku. Tapi petang ni, masing-masing pakat bangkang pendapat aku...

“Anis, tak baik la ko ni... Kesian la kat dia. Dia tu budak baru. Banyak pelajaran yang dia dah tertinggal. Dah la dia tak ada kawan. Kalo kita tak jadi kawan dia, sapa lagi?”

Azira mengoncang-goncang bahu kiriku. Azira wat muka kesian. Ala...Macam la aku tak tau... Si Azira ni dah mula ‛jatuh suka’ pada si Amir. Humaira’ yang khusyuk mengunyah keropok Super Ring aku pandang penuh harapan. Semua dah bersuara kecuali Humaira’. Minta-mintalah Humaira’ sekepala dengan aku. Dapatlah aku tolak permintaan diorang ni. Aku siku Humaira’. Dia ni kalo jumpa makanan semua benda dia lupa...

“Aku setuju dengan Shafiq dan Azira. Dalam group kita tak ada orang yang pandai BI lagi. Kalo ada Amir, boleh la dia ajar kita BI. Walaupun ko tak berapa suka kat dia tapi... Tak kenal maka tak cinta... Profesional lah Anis!” Kata Humaira’ dengan mulut yang penuh. Isk, tempiaslah Humaira’! Azira tersenyum mendengar jawapan Humaira’ lalu menepuk-nepuk bahu Humaira’. Suka la tu... 3-0. Huhu... Tak ada sapa sokong aku...

“Kalo Anis tak setuju tak apalah... Saya cuba tanya budak-budak lain. Kot-kot diorang bagi saya join study group diorang…” Sedih plak aku dengar kata-kata Amir. Yela…Memang aku tak berapa suka dengan Amir ni tapi hati aku tak la sekejam Hitler atau Bush.

“Eh, janganlah cakap macam tu, Mir! Kita orang sukalah kalo ko join group kita orang... Anis, boleh kan?” Aku angkat bahu. Aku mengeluh panjang. Keputusan majoriti berpihak pada Amir. Kalo dah semua setuju, sapalah aku nak menolak. Tapi... Aku tak nak dia masuk group kita orang! Dah la kat kelas kena mengadap muka dia. Kalo muka hensem macam Lee Dong Wok, pelakon Korea tu tak pe la jugak. Ni langsung tak hensem. Plak tu, masam je selalu. Lahir sebelah pokok asam kot... Tak pun sebelah pokok mangga...Atau pokok apa-apa yang masam la...

Perkenalan aku dan Amir Faiesal bermula dengan insiden salah faham dan pergaduhan. Aku secara tidak sengaja ‘terguna’ nama Amir dalam cerpen yang aku tulis untuk pertandingan cerpen. Menang cerpen aku tu! Humaira’ dan Azira punyalah suka, aku apatah lagi. Tapi ada ‛orang’ yang tak berapa suka dengan kejayaan aku. Sumpah... Aku langsung tak tau yang ada budak bernama Amir Faiesal dalam kelas aku. Pelik kan? Tapi itulah kenyataannya. Amir sendiri tak percaya sebab aku boleh letak nama watak cerpen aku tu Amir Faiesal. Bukan setakat itu aje, ejaannya pun sebijik macam nama si Amir ni... Itu yang buat si Amir ni tak percaya dengan penjelasan aku. Tapi kalo nak difikir-fikirkan balik, aku menulis cerpen tu sebelum Amir berpindah ke sekolah kami. Maksudnya, aku langsung tak tahu menahu yang ‘wujudnya’ Amir Faiesal!

Kebetulan masa Amir berpindah masuk ke kelas aku, aku tengah bercuti selama dua minggu gara-gara demam campak. Dah tu si Amir ni plak jenis yang pendiam dan ulat buku. Duduk pun kat ceruk kelas. Aku plak duduk depan sekali. Manalah aku nak perasan. Walaupun berkali-kali aku minta maaf dari dia, tapi dia masih tak puas hati dengan aku. Katanya takut digosipkan bercinta dengan aku. Huh, macamlah aku ingin sangat dekat dia tu! Sudahnya kami ‛berperang mulut’ di KFC. Keadaan jadi bertambah teruk bila Cikgu Mariam, guru kelas aku mengarahkan kami duduk sebelah menyebelah dalam kelas. Bukan setakat perang mulut aje, macam-macam idea jahat yang kami buat untuk kenakan antara satu sama lain.

Humaira’, Azira dan Shafiq... Masing-masing tahu yang kami ni ibarat anjing dan kucing... Cop-cop! Aku nak jadi kucing. Anjing HARAM... Tapi yang peliknya diorang nak gak ajak si Amir join study group kami. Hilang akal apa diorang ni? Langsung tak support dan hormat aku...

“Kalo kami gaduh nanti macam mana? Dia ni bukannya betul sangat! Angin satu badan!”

“Eh, awak cakap baik-baik sikit ek, pompuan! Awak tu yang minah mereng...Lost in space...Classmate sendiri pun tak kenal!” Aku menepis jari telunjuk Amir yang betul-betul ada kat depan batang hidung aku. Nasib ada Shafiq yang duduk antara kami. Kalo tak... Nak gak aku cepuk budak ni.

“Ha! Korang tengok lah dia ni... Belum masuk group kita dah wat hal. Kutuk-kutuk aku plak tu. Woi! Kalo saya minah mereng, awak tu orang giler yang terlepas dari asylum mana ntah!”

“Ops! Cukup-cukup! Korang ni cuba berbaik-baik. Tak baik gaduh-gaduh, nanti cepat tua. Tak pun nanti lama-lama jatuh cinta. Ha, baru korang tau!” Ceh, jatuh cinta konon! Aku tak kan jatuh cinta pada dia biarpun dia lelaki terakhir yang ada atas muka bumi ni...

“Anis...Be professional okey! Ambil yang jernih, buang yang keruh!” Humaira’ plak bagi nasihat. Azira pantas menepuk tangan Humaira’ yang cuba-cuba mencuri keropok Twistiesnya.

“Anis, kira jadi je ek Amir join kita! Anis...”

Lambaian Fendi dari hujung padang menyelamatkan aku. Aku bingkas bangun, mencapai beg sekolah dan mendapatkan Fendi. Dari fikir fasal mamat yang tak berapa betul tu dan kawan-kawan yang dah berpaling tadah dari aku, baik aku gi dating dengan Fendi, jejaka idaman satu ‘Malaya’ aku! Senyuman Fendi menyejukkan hati aku yang dah terbakar ni... Tak pe, korang wat aku macam ni! Nanti aku mengadu kat abang Fendi aku ni...

“Anis! Okey ke tak?” Jerit Shafiq. Aku yang leka merakam senyuman Fendi untuk dibawa ke dalam mimpi malam ni cuma mengisyaratkan ‘okey’. Apa yang okey aku sendiri tak pasti. Kalo dia tanya okey ke tak dengan Fendi ni, dia memang dah terlebih okey dah bagi aku. Lambaian ala-ala Miss Universe aku berikan pada Humaira’, Azira dan Shafiq sebaik sahaja Fendi mengajak aku makan di Medan Selera berdekatan dengan sekolah.

*******************************************************************************
Jam tangan kukerling. Pukul 7.30 pagi. Aku mengarahkan Maya, rakan setugasku pada pagi itu untuk menutup pintu pagar sekolah. Bila aje aku nampak kelibat Amir berlari menuju ke pintu pagar bersama beberapa orang pelajar yang lain, cepat-cepat aku bantu Maya menutup pintu pagar sekolah. Padan muka!

“Anis, bagilah saya masuk! Takkan lewat satu minit pun nak berkira sangat kot!” ujarnya termengah-mengah.

“Ini peraturan Encik Amir. Saya diamanahkan menutup pintu pagar ini tepat pukul 7.30 pagi. Sesiapa yang lewat akan diambil namanya dan akan dihantar kepada guru disiplin.” Terangku sinis.

“Ala...Takkan tak boleh berkompromi. Saya dah tiga kali lambat. Saya dah kena last warning ari tu. Boleh la bagi saya masuk. Kali ini je. Saya janji tak lewat lagi.”

“Maaf. Saya tak boleh bertolak-ansur. Ini tak adil bagi pelajar-pelajar di belakang awak tu. Lain kali tolong pakai jam supaya awak tak lambat lagi.”

“Ceh, baru jadi penolong ketua pengawas dah berlagak. Blah la woi…Gila kuasa punya orang! Setakat penolong ketua pengawas kat sekolah kampung je dah berlagak. Belum jadi menteri ke perdana menteri lagi! Ni la pompuan, bila dapat pegang jawatan, mulalah gila kuasa! Kecoh la ko Anis!” Pintu pagar ditendang beberapa kali oleh Amir.

“Apa bising-bising ni?” Kami segera mengalihkan pandangan ke arah yang sama. Alamak...

*******************************************************************************

Amir dikenakan denda membersihkan kawasan sekolah selama seminggu kerana datang lewat dan mengganggu tugasku sebagai pengawas. Aku plak ditugaskan untuk mengawasinya membersihkan kawasan sekolah apabila loceng tamat sesi persekolahan berbunyi. Apalah nasib aku ni...Tak fasal-fasal kena balik lambat.

“Woi! Apasal awak tak menyapu?”

“Dah awak sibuk-sibuk nak menyapu. Awak je lah yang sapu...”

“Dah awak relaks aje... Saya ni nak balik cepat. Sebab tu saya tolong awak sapu. Cepat sikit siap.”

“Malaslah saya. Keje menyapu ni keje orang pompuan. Lagipun saya tengok skill menyapu awak tu tak berapa bagus. Kena banyak berlatih lagi!”

Aku mencampakkan penyapu yang aku pegang di hadapan Amir.

“La... Marah ke? Saya cuma nak tolong awak aje. Tolong awak praktik menyapu. Baik belajar dari sekarang. Esok-esok depan mak mertua, tak la kekok!”

Aku tarik nafas dalam-dalam. Menyabarkan hati yang sedang hangat terbakar. Senyuman tak berapa ikhlas aku berikan pada Amir.

“Tak pe la. Terima kasih aje lah atas keprihatinan awak tu. Nanti saya praktik menyapu kat rumah aje. Awak tak payah risau la kalo saya tak pandai menyapu sebab saya bukan nak kawin dengan awak pun!”

“Eh, soal jodoh ni bukan kita boleh tentukan, Cik Anyss Sophyllya... Manalah tau kan, kot-kot masin mulut kawan-kawan kelas kita tu...”

“Suka hatilah kalo awak tak nak menyapu. Esok saya report pada cikgu disiplin. Saya akan minta dia lanjutkan tempoh hukuman awak dan tukar pengawas yang in charge!”

Amir bingkas bangun dan mencapai penyapu. Mengaut daun-daun kering di belakang surau dan mengumpulkan di satu tempat sebelum dibakar. Ha, tau pun takut. Aku baru ugut sikit je tu... Aku pun sambung menyapu balik. Bukan apa, aku nak balik cepat. Kat mata ni dah terbayang homework yang cikgu-cikgu ‘tersayang’ bagi tadi.

Pang! Masuk ni dah lebih lima ekor nyamuk mati di tangan aku. Sekolah aku ni bela nyamuk ke apa? Tangan dan kaki aku dah naik merah di‘kenduri’kan oleh nyamuk-nyamuk ni. Alamak! Jatuh plak ikatan rambut yang sengaja aku ikat ala-ala ‘siput sedut’ tadi. Panas tau menyapu kol 3 petang ni! Sedang aku asyik membetul-betulkan ikatan rambut, tiba-tiba aku rasa ada benda lembik jatuh atas bahu aku. Apa plak ni? Panjang, kurus dan lembik aje badan dia... Ular ke?

“Ooo....Mama! Ular!” Jeritku. Spontan tanganku membuang ular berwarna hijau tua tu ke tanah. Kemudian aku pukul dengan batang penyapu berkali-kali. Mati lah ko... Sapa suruh jatuh atas aku! Eh, tak gerak pun ular ni...Tak berdarah pun... Rupa dia pun lain macam aje...

“Kah...Kah...Kah... Lawak la awak ni Anis! Hehehe...Ular plastik dengan ular biasa pun awak tak dapat bezakan. Kah...Kah...Kah...” Berdekah-dekah si Amir ni ketawa menggelakkan aku. Sampai terduduk-duduk. Hampeh betullah!

“Awak ni tak ada keje ke? Asyik nak mengusik saya!”

Bengang betul aku dengan budak mangkuk tingkat ni. Ingat dah insaf dah. Rupanya tak sampai seru lagi. Ceh! Batang penyapu aku capai kembali. Sambung menyapu balik. Sengaja aku seret batang penyapu besi ni kuat-kuat. Tanda protes. Jangan dia ingat aku ni senang dibuli. Hah...Apa plak ni? Katak di celah-celah daun kering segera aku amik.

“Wei, taktik kedua ko tak menjadi lah. Simpan je la katak mainan ko ni!”

Amir berhenti menyapu. Memandang aku dengan muka pelik. Eleh...Buat-buat pelik la plak. Pandai betul dia berlakon. Boleh menang anugerah.

“Katak? Mana ada...”

Tiba-tiba aku terasa benda yang aku pegang ni bergerak. Bila aku tengok betul-betul, tengok matanya, tengok mulutnya, tengok badannya, barulah aku perasan yang aku pegang tu katak ORIGINAL...

“Mama....!!!!”

Aku menjerit sekuat hati. Yakss... Katak yang lembik dan sejuk tu aku campak sejauh mungkin. Lontaran aku ditambah dengan lompatan katak tu terhasillah satu lompatan yang tinggi dan jauh. Hehe... Melompat lebih tinggi. Ala... Macam lagu Sheila On 7 tu. Betul, jauh giler perginya katak tu... Amir ketawa berdekah-dekah lagi... Dia ingat aku ni badut ke? Apa aku wat semua dia gelak. Sikit-sikit tak pe, ni sampai merah-merah muka dia.

*******************************************************************************
“Awak nak buat apa tu?”

Ei, sibuk betullah mamat ni! Apa aku buat semua nak tahu.

“Saya nak amik buah mangga tu la... Sibuk aje!” Kain baju kurung aku angkat separas lutut. Bersiap sedia untuk memanjat pokok mangga kat belakang sekolah. Terliur aku tengok buah mangga muda yang bergayut kat atas pokok. Sedap tu kalo makan dengan kicap+lada+gula+apa-apalah yang sedap kat anak tekak...

“Tak kan lah awak nak panjat pokok tu?”

“Napa? Tak percaya? Saya pandailah panjat pokok. Bukannya tinggi sangat pun pokok ni! Tengok ek...”

Bukk! Entah macam mana aku boleh tersalah pijak dan... Berdebuk aku jatuh. Sebijik macam nangka busuk jatuh... Adoi...Sakitnya... Si Amir tu bukan nak simpati kat aku. Lagi digelaknya aku adalah...Poyo betul! Nasib baik tak berapa tinggi lagi aku panjat. Kalo tak mahu patah kaki aku. Gelak Amir terhenti bila aku menjerit dan terduduk atas tanah bila aku cuba untuk berdiri. Dia segera menghampiriku.

“Napa? Kaki awak seliuh ke? Kaki kiri ke kanan?” Aku angkat bahu lalu menunding jari pada kaki kananku. Aku lihat Amir kelihatan teragak-agak... Kejap dia pandang muka aku yang berkerut-kerut menahan sakit, kejap dia tengok kaki aku...

“Bagi saya tengok kaki awak tu...”

“Tak pe lah. Sikit aje ni... Kejap lagi baik la ni...”

“Awak jangan main-main, Anis! Nanti kalo dah masuk angin, lagi sakit kaki awak tu…Silap-silap tak dapat berjalan terus. Awak nak jadi macam tu?”

Pantas aku menggelengkan kepala. Perlahan-lahan aku melunjurkan kaki kananku. Amir pantas menelek-nelek bahagian buku lali kakiku. Seperti mencari sesuatu. Kemudian dia mula mengurut.

“Adoi... Sakitlah!” Automatik aku menumbuk bahu Amir. Merah muka Amir menahan marah. Muka aku merah menahan sakit.

“Nak elok kenalah tahan sikit... Manja sangatlah awak ni! Baru urut sikit dah menjerit.” Tempiknya.

“Perlahanlah sikit...! Awak ni tahu urut ke tak?”

“Pergi tukang urut mana pun, memang macam ni lah sakitnya! Sapa suruh awak panjat pokok tu? Dah tau pompuan, nak gak wat keje-keje orang lelaki! Berlagak tak tentu arah...”

Pot pet pot pet... Amir membebel. Sambil tu tangannya terus mengurut kakiku. Sikit pun aku tak dengar apa yang dibebelkannya sebab aku sibuk menahan sakit. Dia ni nak bagi kaki aku bertambah sakit ke apa? Manalah tau… Kot-kot dia nak balas dendam.

“Dah sudah! Nasib baik sikit aje! Sakit sikit pun dah menangis melolong. Dasar anak manja!”

Aku mengesat-ngesat air mata dengan hujung lengan baju. Mahunya tak sakit. Buktinya buku lali aku bengkak tu... Dengan bantuan Amir, aku cuba berdiri. Dan berjalan. Lantas bertepuk tangan dan tersenyum ke arah Amir.

“Dah tak sakitlah! Pandai betul awak ni mengurut.”

“Well... Tengok orang la kan... Awak boleh jalan balik ke ni? Kalo nak, saya boleh papahkan sampai rumah awak.” Aku menggelengkan kepala.

“Tak pe. Kejap lagi Pak Mat datang amik saya. Amir, terima kasih ek...”

“It’s okey. Tapi lain kali jangan panjat pokok tau. Buruk benar rupanya kalo pompuan panjat pokok!” Aku mengangguk. Dan kami berbalas senyuman. Aku menghulurkan salam. Terpinga-pinga Amir.

“Kita berdamai...”

“Okey... Kita berdamai!”

Amir menyambut huluran tanganku. Aku bagaikan terkena renjatan elektrik bila jari-jemari kami bersentuhan. Pantas aku menarik tanganku.

“Boleh tak awak jangan bagitau sesiapa yang saya jatuh dari pokok... Nanti kalo kawan-kawan terutamanya Shafiq tau, mesti heboh mereka gelakkan saya! Jatuhlah saham saya. Please...” Rayuku. Aku kelepok-kelepokkan kelopak mataku untuk meraih simpatinya. Wat muka comel sikit...

“Apa yang saya dapat kalo saya rahsiakan?”

“Awak dapat join study group kita orang! Please…”

“Okey!” Jari kelingking kami bertaut. Tanda ada perjanjian tak bertulis antara kami. Dan seperti tadi, aku terasa seperti kena renjatan elektrik aje…

*******************************************************************************

Kling...Kling...Kling... Loceng apek jual aiskrim menghentikan perbincangan kami pada petang itu. Shafiq macam kena pukau, terus aje kejar motor apek aiskrim yang berhenti kat hujung taman permainan. Tinggallah kami terkulat-kulat. Shafiq... Shafiq... Sebijik macam budak-budak yang ada kat taman permainan ni... Berkejar-kejar mendapatkan apek jual aiskrim tu.

“Si Gorilla ni, katanya nak ajar kita wat soalan ni. Tup tup pegi kejar apek aiskrim plak! Macam budak-budak betullah!” rungut Humaira’ sambil menepuk-nepuk meja kayu.

“Tak pe la, Humaira’. Kita rest la kejap. Kalo asyik mengadap buku je, tension gak...”

“Anis...Ko ni macam nak bela si Shafiq aje. Ada apa-apa ke?”

“Ke situ plak dia...Eh, Shafiq panggil ko tu.”

Humaira’ berlari anak mendapatkan Shafiq yang aku tengok macam tak cukup tangan aje pegang aiskrim yang dibelinya. Entah untuk berapa orang, aku tak pasti. Yang pasti lebih dari cukup untuk kami berempat. Kalo ada Azira boleh gak dia tolong makan. Dia hantu aiskrim. Tapi petang ni dia terpaksa jaga adik-adiknya di rumah. Mak Azira kena wat check-up kat hospital. Dua tiga bulan lagi, bertambahlah adik Azira. Bestnya ada ramai adik-beradik. Tak macam aku, sunyi je kalo mama dan papa tak ada kat rumah. Tiba-tiba bahu kiri aku terasa ditujah.

“Anis! Awak ni suka sangat berangan lah...Nak hilang suara saya panggil awak dari tadi.”

Ops...Aku terlupa plak ada budak Amir ni kat sebelah aku.

“Teringat Fendi ke?”

“Eh, Fendi apa plak petang-petang ni! Saya cuma menikmati keindahan taman permainan ni. Cantikkan? Bunga-bunga berguguran ala-ala musim luruh gitu. Pastu suara kanak-kanak yang keriangan, gembira tanpa sebarang masalah...Udara nyaman tanpa pence...”

“Dah la, Anis. Tak payah selindung dari saya la. Ni, saya nak pulangkan MP3 awak. Thanks a lot!”

MP3 pemberian papa, hadiah aku dapat tempat pertama dalam pertandingan menulis cerpen hari tu, bertukar tangan. Aku sendiri tak ingat yang aku ada bagi si Amir ni pinjam. Ooo…ya! Minggu lepas. Amir kata dia tak pernah dengar lagu-lagu Melayu. Asyik dengar lagu-lagu BI aje. Aku ‘khutbah’ dia sikit supaya dengar dan support industri muzik Malaysia. Tue yang aku bagi dia pinjam MP3 aku tu. Aku memang banyak gak lah simpan koleksi lagu-lagu Melayu ni.

“Saya suka lagu-lagu dalam tu terutama lagu ‘Belaian Jiwa’ Innuendo.”

“Eh, saya pun suka lagu tu! Lagu tu macam tak lapuk dek zaman. Evergreen gitu...”

“Anis, awak perasan tak yang kita ni macam banyak persamaan?”

Ha? Persamaan? Maybe kot. Aku tak suka minuman berkafein. Dia tak boleh minum minuman berkafein. Aku suka lagu Belaian Jiwa. Dia pun suka. Aku tak suka makan ABC. Dia pun sama. Aku tak pandai wat keje dapur. Tapi dia pandai. Aku tak pandai BI. Tapi dia pandai. No, no, no. Tak sama lah...

“Wei, korang! Sudah-sudah belajar tu... Belajar teruk-teruk pun korang tak boleh jadi Albert Einstein gak! Meh makan aiskrim. Korang nak aiskrim apa?”

Macam-macam jenis aiskrim ada kat tangan Shafiq dan Humaira’. Agaknya mereka borong setiap jenis aiskrim apek tu kot. Untung apek petang ni...

“Apa-apa kecuali aiskrim cendol dan kacang merah!”

Jawab kami serentak. Aku dan Amir berpandangan. Shafiq dan Humaira’ pun sama. Dan ketawa kami kedengaran riang petang itu.

*******************************************************************************

Hubungan aku dan Amir bertambah baik. Malah bertambah rapat. Kami mempunyai banyak persamaan dan saling membantu dalam banyak perkara especially hal-hal pelajaran. Dia tak la seteruk yang aku sangka di awal perkenalan dulu. Tapi, beberapa minggu sebelum peperiksaan bermula, macam-macam khabar angin tersebar. Gosip antara aku dan Amir bercinta memang dah tersebar meluas semenjak aku menang pertandingan menulis cerpen tu lagi. Tapi lepas tu dah ‘cool down’ dah. Sekarang ni, timbul plak balik. Kali ni aku dituduh mengkhianati Azira dengan merampas Amir sebab Azira memang terang-terangnya tunjuk yang dia suka kat Amir. Cuma Amir aje yang tersenyum dan mendiamkan diri setiap kali aku menyampaikan salam Azira.

Entah sapa yang empunya angkara, yang nyatanya hubungan aku dan Azira mula renggang. Dia sering mengelak dari berjumpa dan berbual berdua dengan aku. Dari Humaira’ aku korek cerita. Menurut Humaira’, Azira mula percaya pada khabar angin yang disebarkan sebab hubungan aku dan Amir semakin rapat dan mesra. Azira anggap aku macam kawan makan kawan. Sedih aku mendengarnya. Berat tuduhan tu. Tak pernah terlintas pun aku nak khianati persahabatan kami. Nasib baik Humaira’ berada di kedudukan ‘atas pagar’. Tak menyebelahi mana-mana pihak. Humaira’ kenal baik aku. Bukan sehari dua kami berkawan. Azira pun bukan orang lain dengan Humaira’ sebab mereka bersaudara.

“Relaks la Anis. Azira salah faham je dengan ko. Bila rasa marah dia dah hilang, okey la dia tu... Ko tak payah amik hati sangat la dengan Azira tu... Aku percaya ko. Ko tak kan khianat kawan sendiri.”

Walau apapun, aku dah mula tak senang duduk. Gosip-gosip yang disebarkan membuatkan aku tak sentiasa ‘panas’ ketika berada di sekolah. Budak-budak sekolah mula pandang semacam je kat aku. Pastu bisik-bisik. Konfem mengumpat. Kalo tak puas hati, cakap depan-depan la! Nak aje aku sound diorang macam tu. Nasib aku masih boleh bersabar.

“Pak Mat tak jemput ke?” Amir memanjangkan langkahnya agar kami seiringan. Beg yang aku galas terasa berat dua kali ganda dari biasa. Berat dengan buku. Selebihnya bahu aku berat dengan beban yang tak nampak dek mata kasar. Perjalanan ke rumah yang biasanya mengambil masa 15 minit, aku rasa macam 2 jam petang tu.

“Pak Mat ikut papa out-station.” Jawabku malas. Sengaja aku wat langkah besar-besar. Biar sampai cepat rumah. Takut terjumpa sesiapa yang tak sepatutnya aku jumpa atau timbul plak gosip baru.

“Eh, yang awak jalan laju semacam macam nak masuk acara walkathon, apa ke hal? Macam tak suka je jalan dengan saya.”

“Amir, awak tau kan gosip kat sekolah kita sekarang ni. Saya dikatakan bercinta dengan awak dan mengkhianati kawan saya, Azira.”

“Oh... gosip tu! Biarlah... Nanti bila diorang dah letih mengata, redalah gosip tu. Tapi apa kena-mengena dengan Azira plak?”

“Azira tu suka dekat awak. Tak kan awak tak dapat agak bila saya selalu sampaikan salam dia pada awak?”

Mengeluh aku bila Amir mengelengkan kepala. Ni lah akibatnya kalo asyik berkawan dengan buku. Apa jadi kat sekeliling pun tak sedar. Amir masih setia mengejar langkahku. Aku hentikan langkah lantas menoleh ke arahnya.

“Tolonglah terangkan kat Azira tu yang kita ni tak ada apa-apa. Bagitau kat semua orang yang awak tak suka pun saya ni! Tension lah saya. Semua orang pandang saya semacam, cakap macam-macam fasal gosip tu. Yang saya paling tak tahan Azira kata saya khianati persahabatan kami!”

“Rasanya saya tak perlu buat macam tu. Apa yang mereka cakap, tak ada satu pun yang salah. Semua betul.”

“Apa maksud awak? Apa yang betul?”

“Anyss Sophyllya...Saya suka pada awak. Dari pandangan pertama lagi saya dah suka pada awak...”

Aku tergamam seketika. Cuba mencerna bait kata-katanya. Mukanya kupandang tepat-tepat. Dalam-dalam. Cuba mencari kesungguhan pada kata-katanya sebentar tadi. Muka Amir serius. Dia bukan mengusik atau menyakat aku seperti selalu. Tiba-tiba lutut aku jadi lemah. Tak mampu lagi menampung berat badanku ini. Aku tak percaya. Berkali-kali aku cubit lengan aku. Sakit. Ya Allah, kenapa macam ni plak jadinya?

“Azira suka awak. Bukan saya...Saya...”

“Tanya diri awak sendiri Anis. Betul ke awak tak suka saya? Jangan nafikan Anis. Kita ada ‘rasa’ yang sama. Awak dan saya, kita berdua merasakannya.”

Rasa? Rasa apa? Rasa apa yang Amir maksudkan? Aku tak faham. Sungguh aku tak faham. Apa yang aku rasa pada dia, sama aje macam apa aku rasa pada Shafiq, Azira, Humaira’, Shukri, Shahril dan lain-lain. Kami kawan. Ya, kami kawan. Kawan. Tapi kenapa ada rasa ‘lain’ dalam dada ini bila Amir mengaku dia sukakan aku? Mengapa ya?

“Maaf Amir...Saya tak pernah ada perasaan apa-apa pada awak. Saya cuma anggap awak sebagai kawan saya. Macam Shafiq. Macam kawan-kawan lelaki saya yang lain...”

“Bohong! Tanya hati awak. Bukan pada akal. Hati tak mungkin berbohong. Saya tahu awak pun punya rasa yang sama.”

“Entah... Saya tak tahu. Tolong jangan paksa saya wat sesuatu yang saya tak nak. Pergilah pada Azira. Dia cintakan awak. Cuma awak dalam hati dia. Saya sebagai kawan baik dia dan awak, cuma mahu lihat kedua-dua kawan baik saya bahagia. Saya doakan korang bahagia. Tolong jangan ganggu saya lagi, please!”

Amir mengeluh. Mengalih pandangan ke jalan yang sudah lengang. Mungkin dia marah atau sedih. Atau kecewa. Aku tak tau. Dan aku tak mahu amik tahu. Yang aku tahu, satu beban telah berganjak dari bahu aku sebaik sahaja aku berkata demikian. Namun entah kenapa aku terasa seperti ada beban baru yang menghempap bahuku kini.

“Saya punya gerak rasa. Gerak rasa saya menyatakan yang awak ‘sukakan’ saya lebih dari seorang kawan, Anis. Tapi...Tak pelah. Saya akan cuba penuhi permintaan awak. Tapi saya ada permintaan terakhir, tolong terima ini...”

Sebentuk cincin silver diletakkan atas telapak tanganku. Cincin di tangan ku belek. Ada ukiran pada cincin itu dan di bahagian dalamnya terdapat simbol-simbol yang aku sendiri tak pernah lihat. Seperti kod-kod rahsia.

“Hati saya milik awak, Anyss Sophyllya.” Ucap Amir perlahan. Seakan berbisik. Tapi jelas di pendengaranku. Ada rasa hangat hinggap di hatiku bila dia berkata demikian. Cepat aku menyembunyikan rasa hati. Aku menghulurkan kembali cincin itu padanya.

“Saya tak boleh terima...”

“Cincin itu milik awak. Hanya awak yang layak menerima dan menyimpannya. Bukan orang lain. Kalo pun awak enggan simpan cincin tu, buang, tanam, atau buatlah apa saja pada cincin itu.”

Dan dengan kata-kata itu dia terus berlalu pergi. Meninggalkan aku dengan pelbagai rasa. Rasa yang sukar aku fahami. Rasa yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini.

*******************************************************************************

Sejak hari itu, kami jarang bercakap. Aku menjadi pendiam. Aku bukan lagi Anyss Sophyllya yang periang, peramah dan suka mengusik. Aku cuma bercakap ketika perlu sahaja. Amir dan Azira pula semakin rapat. Seperti belangkas. Ke mana aje berdua. Aku pula seperti orang kebingungan dan semakin suka berkhayal. Mengingati kata-kata Amir pada petang itu dan cuba memadankan layanannya kepadaku sebelum ini. Kemudian cuba menafsirkan rasa hatiku sendiri.

Dan pada suatu pagi, Azira datang kepadaku dengan senyuman lebar. Mengucapkan terima kasih atas jasa aku menyatukannya dengan Amir, serta mengkhabarkan satu berita yang tidak kujangka. Azira dan Amir kini berpacaran. Menggigil tubuhku menerima berita itu. Pada Azira ku sorokkan rasa hati yang tak keruan. Ku ucapkan tahniah dan ku peluknya dengan rasa gembira. Semoga berbahagia, doaku sambil menahan tangis.

Sepulangnya aku dari sekolah, aku terus berkurung dalam bilik air. Laju air mataku mengalir, selaju air pancuran. Aku menangis. Aku sendiri tidak pasti mengapa aku menangis. Sedihkah aku? Mengapa aku perlu bersedih atas kegembiraan Azira. Bukankah aku yang menginginkan mereka berpasangan?

Aku diserang demam panas hampir dua minggu lamanya akibat terlalu lama berada di dalam bilik mandi. Kemurungan dan keengganan aku makan ubat dan makanan berkhasiat membuatkan sakitku bertambah-tambah teruk. Mama dan papa risau dengan keadaan aku, apatah lagi exam semakin hampir. Humaira’, Azira dan kawan-kawan yang lain termasuk Amir kerap datang melawat, memberi perangsang agar aku segera sembuh dan kembali ke sekolah. Pada mereka, aku cuma diserang demam panas biasa. Tapi Humaira’ tidak mudah aku perdayakan. Bila kami berdua, dia cuba bertanya punca kemurunganku. Seperti biasa nama Amir dan Azira kerap bermain di bibirnya. Dia mula mengaitkan kerenggangan aku dan Amir, pertukaran status hubungan Azira dan Amir dengan kemurunganku. Aku cuma mendiamkan diri. Diam dan terus diam sehingga persoalan yang diajukan terbiar begitu sahaja.

Sebaik sahaja aku sembuh, kami terus menduduki peperiksaan. Aku menyibukkan diri dengan belajar. Tiada masa senggang untuk memikirkan hal-hal lain selain pelajaran. Dan aku tidak lagi bertemu Amir secara bersendirian. Jika tidak bersama kawan-kawan yang lain, dia paling tidak akan bersama Azira. Peristiwa petang itu seolah-olah sebuah mimpi pendek dalam hidupku. Apa yang menjadikannya realiti cuma cincin yang masih tersimpan kemas dalam laciku dan kenangan yang pernah kami kongsi bersama.

Selesai menduduki peperiksaan, papa mengambil keputusan untuk berpindah dari bandar itu. Katanya dia mendapat peluang mengembangkan perniagaan di tempat lain. Dan pastinya aku dan mama akan turut menemaninya ke tempat itu. Hari yang ditetapkan, kawan-kawan dan jiran-jiran mengiringi pemergian kami ke tempat baru. Aku, Azira dan Humaira’ bertangis-tangisan. Shafiq yang selama ini kuat menyakat, ku lihat merah mata menahan air mata dari mengalir. Amir pula ku lihat murung di sisi Azira. Lama kutatap wajah mereka seorang demi seorang sebagai pengubat rindu yang sudah pun mula bertamu.

Sebelum bertolak, sempat aku titipkan sepucuk surat pada Amir. Tiada yang istimewa di dalamnya. Cuma meminta maaf atas segala salah dan silapku, memintanya menjaga Azira dan tidak menganggap aku musuh andai ditakdirkan kami bertemu lagi. Persahabatan aku dan Azira selama bertahun-tahun tak mungkin kuleraikan demi cinta seorang lelaki kerana bagiku mencari cinta lebih mudah dari mencari sahabat. Dan cincin itu, aku pulangkan kembali kepadanya kerana aku tidak berhak memilikinya.

Aku tak pasti apa yang kawan-kawan aku sanggup buat demi aku, tapi aku sanggup mempertaruhkan apa sahaja yang aku miliki sekalipun nyawaku sendiri. Kisah aku dan Amir berakhir begini. Dan rasa cinta yang baru bercambah dalam hati ini akan ku cantas sebelum ianya dapat dihidu oleh sesiapapun. Selamat tinggal Amir Faiesal...

9 comments:

Anonymous said...

larrr...asl bkn epy ending...
smbg larr...kot2 bpe thun pas2,,dowg jmpe blik ke...

Anonymous said...

inilah realiti hidup yg sebenarnya... cinta itu mmg membawa kebahgiaan tapi cinta juga bukan jaminan kepada kebahagiaan...
good story... ending baik... pengorbanan itu sakit tapi mgkin mmpu membawa ke arah kebahagiaan yg lbh baik...

has-9 said...

wlupun bkn hepi ending tp still best jgk criter ni...
sy suka...
anyway, sy rse citer ni ade harapan utk disambung...
so apekate smbong??

aKu said...

hwaaaa..xhapy ending..
huuu..tp best cita nih..
hehe..

Anonymous said...

bgs cite ni..
w/pun bukan happy ending..
kdg2 kta perlu diingatkan..
hidup ni tak slaluny indah..
nway..
cite ni mmg ada harapan utk dikembangkan lagi..
sambung la cepat...
hehehe..

~lizarazu~

B_Gurlz said...

laa..apasal endinf xbest ne...smbg la blk citer ne...wat ending yg gempaq ckit...bru best nk bce k....g00d Luck!!!....^_^

Wild Cherry said...

Best gak cerpen nie...

Wild Cherry said...

Best gak cerpen nie...

Azwana Shakillah said...

Cerpen ni best juga....tpi kenapa ending dia tak happy...

Followers