Sunday, January 24, 2010

eucralipse 14


“A... Ay... Ayahanda!”

Raja Eriel memandang Kerk dan Egart dengan wajah bengis. Kerk mengesat darah yang mengalir di tepi bibirnya. Perlahan-lahan dia bangun. Berhadapan dengan ayahandanya. Raja Eriel mencampakkan kad jemputan berwarna hitam. Tepat mengenai muka Kerk.

“Apa semua ni, Kerk?” Jerkah Raja Eriel.

Kerk melepaskan keluhannya yang panjang sebelum menundukkan kepalanya. Ada sedikit rasa takut bermukim di hati untuk menatap wajah bengis ayahandanya. Tidak pernah dia melihat ayahandanya semarah itu. Sebetulnya dia masih belum bersedia untuk menghadapi situasi ini. Dia langsung tak menjangkakan tindakannya mencuri masuk ke Eucralipse akan diketahui dengan cepat oleh Raja Eriel. Sangkanya dia mampu menyudahkan misi rahsianya itu secara diam-diam di luar pengetahuan Raja Eriel.

“Kamu mengingkari perintah ayahanda! Kamu sudah mengecewakan ayahanda, Kerk!” Kata Raja Eriel. Masih dalam nada yang tinggi. Menelaus dan beberapa orang-orang kuatnya sekadar menjadi pemerhati kerana sudah diberi amaran awal-awal lagi oleh Raja Eriel agar tidak ikut campur dalam perkara itu.

“Saya cuma buat apa yang patut saya buat, ayahanda! Saya hanya ingin memudahkan dan menyudahkan misi yang sukar untuk Egart laksanakan.” Kata Kerk dengan penuh yakin. Dia tahu tindakannya berasas. Bukannya melulu tanpa sebab.

Raja Eriel memandang ke arah Egart. Egart langsung tidak berkutik dari tempatnya. Terus melutut. Menunggu hukuman dijatuhkan ke atasnya kerana bersubahat dalam rancangan Kerk.

“Mendekati Eury sangat mudah bagi saya...” Sambung Kerk.

“Mendekati Eury? Itu adalah perkara terakhir yang ayahanda mahu kamu lakukan untuk seumur hidup kamu, Kerk!” Potong Raja Eriel. Melengking suaranya mendengar pernyataan Kerk. Dia meraup-raup wajahnya beberapa kali.

“Sungguh saya tak faham, ayahanda! Ayahanda sendiri cakap, Eury adalah segala-galanya. Dengan adanya Eury, separuh dari kejayaan sudah berada di tangan kita. Jadi kenapa saya tak boleh mendekati Eury?” Soal Kerk dengan rasa tidak puas hati. Terlalu banyak kemusykilan bersarang di benaknya berkenaan larangan-larangan Raja Eriel yang dirasakannya langsung tidak masuk akal.

“Dia merbahaya bagi kau! Dia mungkin mempengaruhi diri kau!”

Kerk tersengih. Tidak percaya jawapan sebegitu akan keluar dari mulut Raja Eriel sedangkan ayahandanya itu tahu tentang tahap kemampuannya.

“Kalau ayahanda tengok Eury, tentu ayahanda tak akan bagi alasan lemah macam tu! Eury langsung tak merbahaya pada saya, ayahanda! Dia langsung tak tahu apa-apa! Hatta perkara asas mengenai Eucralipse; bahasa Eucris, menggunakan senjata dan lain-lain.”

“Ayahanda tetap tak suka kamu ke Eucralipse apatah lagi mendekati Eury! Apa yang kamu cari di sana sebenarnya?”

“Maklumat, ayahanda. Kekuatan tentera mereka, senjata, kubu, strategi dan sebagainya... Sebagai ketua merangkap orang yang menyusun strategi untuk menawan Eucralipse, saya perlu tahu semua itu!”

Raja Eriel mundar-mandir di situ. Mendengar jawapan Kerk, tubuhnya berdiri tegak semula di hadapan Kerk.

“Ayahanda dah pun bagi kesemua maklumat tersebut kepada kamu! Lagipun kita dah bersetuju untuk bekerjasama dengan Rexo dan orang-orangnya. Rexo punya kekuatan tentera yang ramai setelah menyeru rakan sekutunya dari dunia kegelapan! Kita akan dapat menakluki Eucralipse dengan mudah!”

“Saya tak pernah setuju dengan cadangan Menelaus untuk bekerjasama dengan Rexo, ayahanda! Saya yakin Rexo ada agenda yang disembunyikan dari kita. Dia mungkin akan menikam kita dari belakang kelak. Kita bercakap tentang Rexo, ayahanda! Rexo yang kita sedia maklum akan sifatnya; tamak, kejam, tak pernah menepati janji...”

Raja Eriel melepaskan keluhan yang berat. Dia sedia maklum dengan sikap keras kepala Kerk. Kerk sentiasa mahu berada di hadapan dalam apa jua situasi dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai apa yang diingini. Raja Eriel mula menyalahkan dirinya. Ketaksuban dirinya untuk membalas dendam dan menakluki Eucralipse bagi menebus segala kesengsaraan yang dia dan sekalian mereka yang ada di Dark City alami telah menyebabkan Kerk mengingkari perintahnya.

“Apa-apapun, kamu dah mengingkari perintah ayahanda, Kerk! Ayahanda kecewa dengan kamu. Sekalian yang ada kecewa dengan kamu.”

Kerk memandang satu-persatu wajah di sekelilingnya. Masing-masing tunduk. Riak kecewa terbayang di wajah masing-masing.

“Ayahanda tak nak mengecualikan kamu dari sebarang hukuman hanya kerana kamu anak ayahanda.”

Kerk mendengus kuat bila mana dilihatnya Raja Eriel langsung tidak mahu mempertimbangkan kewajaran pendapatnya tadi. Raja Eriel mengalihkan pandangannya kepada Egart.

“Egart, beta perintahkan kamu untuk menyelesaikan segala rancangan yang telah kamu dan Kerk rancangkan di Eucralipse secepat mungkin! Selepas selesai semuanya, beta akan fikirkan hukuman yang sesuai untuk kamu!”

Mahu tak mahu, terpaksa juga Egart bersetuju dengan arahan yang diberikan. Raja Eriel memandang Kerk pula.

“Dan kamu, Kerk... Ayahanda akan memikirkan hukuman paling berat buat kamu. Buat masa ini, satu-satunya hukuman yang dapat ayahanda fikirkan adalah mengharamkan sama sekali kamu menjejakkan kaki ke bumi Eucralipse lagi sehinggalah kita berjaya menakluk Eucralipse...”

Kerk tersentak. Hukuman Raja Eriel dirasakannya bagai menjerut lehernya. Menarik segala nikmat hidup. Merantai kebebasannya. Dan yang paling penting merampas sesuatu yang diusahakan selama ini. Bukankah dia telah dilatih untuk mengetuai angkatan perang ke atas Eucralipse semenjak kecil lagi!

“Untuk itu, ayahanda terpaksa kurung kamu! Pengawal, tangkap Kerk dan kurung dia dalam penjara!”

Dua orang pengawal sudah memegang lengannya. Kerk meronta-ronta minta dilepaskan.

“Ayahanda! Ayahanda tak boleh buat saya macam ni! Tolong lepaskan saya!”

“Ayahanda tak dapat bertolak-ansur dengan keingkaran kamu kali ini. Kamu akan terus dikurung sehingga perang kita dengan Eucralipse tamat, melainkan adanya keajaiban yang berlaku dalam waktu terdekat ini. Kamu telah mengecewakan ayahanda. Pengawal, bawa dia pergi!” Raja Eriel mengeluarkan perintahnya sekali lagi.

“Ayahanda!!” Jerit Kerk sekali lagi. Berharap keputusan ayahandanya berubah.

Raja Eriel enggan mempedulikan jeritan dan rayuan Kerk.

**************

“Boleh la ayah... Ini majlis hari lahir Ellisa, kan...” Rengek Ellisa semakin mendayu-dayu berbanding tadi.

Altrun menoleh ke arah Ellisa. Mengeluh melihat anak gadis kesayangannya itu.

“Berat permintaan kamu ni, Ellisa! Lagipun mungkin membahayakan nyawa kamu dan Puteri Eury!”

Ellisa menghampiri Altrun. Dipeluknya bahu ayahnya itu dari belakang.

“Ayah, mana ada pembunuh upahan atau pemberontak yang nak membunuh dalam majlis hari lahir! Lagipun saya cuma ajak kawan-kawan rapat dari akademi aje! Tak sampai pun lima puluh orang. Kami saling mengenali antara satu sama lain. Senang nak kesan kalau ada orang yang mencurigakan. Lain la masa majlis hari lahir Eu... err... Puteri Eury dulu. Seluruh rakyat Eucralipse dijemput.”

“Dalam apa jua keadaan, Puteri Eury harus dijaga keselamatannya. Itu sudah menjadi amanah ayah. Selain dari berada di kawasan istana, Puteri Eury tidak boleh hilang dari penglihatan para pengawalnya. Puteri Eury mungkin kawan paling rapat yang kamu ada, tapi kamu jangan lupa, Puteri Eury juga adalah pewaris tunggal Eucralipse. Seluruh Eucralipse bergantung harap padanya kelak, bila Raja Esqandar menyerahkan takhtanya.” Panjang lebar Altrun menerangkan hujahnya. Dia tahu, anak gadisnya dan Puteri Eury sendiri sama sahaja seperti anak-anak gadis yang lain; mahu diberikan kebebasan dalam apa jua hal, mahu menikmati kehidupan dalam erti kata sebenar. Namun, tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya tidak memungkinkan dirinya menuruti permintaan Ellisa.

“Jadi anak salah seorang pembesar Eucralipse pun sudah cukup buat saya tertekan. Saya memang tak dapat bayangkan jika saya adalah Puteri Eury yang sentiasa terkongkong! Tentu dia pernah mengimpikan untuk hidup bebas ke sana ke mari, walaupun hanya untuk satu malam...” Rungut Ellisa namun sempat ditangkap dek telinga Altrun.

“Baiklah, baiklah... Tak kan ada pengawal dalam majlis kamu nanti. Ayah hanya akan menempat 20 orang pengawal kamu dan Puteri Eury di luar kediaman kita ni. Puas hati?”

Wajah Ellisa yang tadinya muram, kembali ceria. Dia melompat ke arah Altrun seraya memeluk dan mencium pipi Altrun bertalu-talu.

“Terima kasih, ayah! Ayah la ayah yang paling baik yang saya pernah ada!”

Altrun tersengih.

“Macam la kamu ada ayah lain selain ayah kamu yang tak kacak ni!” Seloroh Altrun. Ellisa ketawa girang.

“Err... Ellisa!” Panggil Altrun tatkala Ellisa berkira-kira untuk melangkah keluar dari pejabat ayahnya itu. Ellisa menoleh ke belakang.

“Kamu kenal Reizu?”

“Sudah tentu! Rei berkawan baik dengan Egart, pelajar yang ayah katakan berpotensi untuk menjadi pahlawan hebat tu. Rei, Egart, saya dan Puteri Eury, kami bersahabat baik.” Terang Ellisa.

“Bagaimana budaknya?” Soal Altrun lagi.

“Baik budaknya. Bijak dan hebat di gelanggang, seperti Egart. Dia la yang banyak membantu Puteri Eury dalam pelajarannya.”

“Ooo...”

“Ada sesuatu yang patut saya tahu ke ayah?”

Altrun mengukir senyum nipis.

“Tidak. Pergi la sambung kerja-kerja menghias kamu tu. Tentu banyak perkara yang perlu kamu lakukan sebelum majlis kamu berlangsung malam nanti, kan!”

“Ya, betul tu!”

Menyedari kebenaran kata-kata ayahnya, Ellisa bergegas keluar dari bilik itu.

**************

Kerk termenung panjang di dalam kamar penjaranya yang gelap. Merenung sepi ke arah cahaya yang masuk melalui tingkap berjeriji besi yang kecil. Kemudian dia memejamkan mata.

“Eury...” Sebaris nama itu keluar dari mulutnya. Meluncur laju tanpa paksaan.

Tangan kanannya melekat di dada. Ada sesuatu yang terbuku di situ. Terasa begitu menyesakkan dada setiap kali dia bernafas. Namun terasa lapang ketika dia bersama Eury. Rasa apakah itu?

Ya, dia mahu bersama Eury saat ini! Kerana dadanya terasa lapang, selapang-lapangnya ketika dia menghabiskan masa-masanya bersama Eury. Kerana Eury mengajarnya tentang perkara-perkara yang tidak diketahuinya. Perkara mudah namun teramat payah bagi dirinya. Contohnya, tersenyum. Dan lagi... Dia mahu merasakan 'rasa' itu sekali lagi. 'Rasa' yang tidak pernah dirasainya untuk seumur hidupnya ini. 'Rasa' yang tidak pernah dirasakannya ketika bersama dengan mereka yang lain. Rasa... lengkap... Ya, bersama dengan Eury membuatkan dia terasa sempurna. Eury menyempurnakan hari-harinya, hidupnya... dengan hanya sebuah senyuman...

“Aku dah gila ke?” Soalnya sendirian.

“Kamu akan terus dikurung sehingga perang kita dengan Eucralipse tamat, melainkan adanya keajaiban yang berlaku dalam waktu terdekat ini. Kamu telah mengecewakan ayahanda.”

Mengingatkan kata-kata ayahandanya itu, entah mengapa, Kerk merasakan dunianya begitu sepi sekali. Tak pernah dia rasa sesepi itu. Dan buat pertama kalinya dia berasa takut. Takut seandainya dia tidak akan menemui Eury buat selama-lamanya.

Dia tahu benar dengan perangai Raja Eriel. Raja Eriel yang dikenalinya dalah seorang yang keras hati itu. Jika hitam katanya, maka hitam la jadinya. Jika Raja Eriel menjatuhkan hukuman bahawa dia akan dikurung sehingga perang yang akan dilancarkan oleh mereka ke atas Eucralipse tamat, bermaksud dia hanya akan dapat keluar dari penjaranya setelah segala-galanya selesai; setelah mereka berjaya menakluki Eucralipse dengan membunuh seluruh keturunan Eucris dan sekutu-sekutunya, serta mengambilalih pemerintahan di situ.

Kerk menarik dan menggoncang jeriji besi di tingkap. Berharap jeriji tersebut roboh, namun ternyata hampa. Mahu sahaja rasanya dia menjerit agar dia dibebaskan. Dia menderita terkurung di situ. Hanya jasadnya sahaja berada di situ, sedangkan rohnya sudah terbang melayang menemui Eury.

Aku mahu bertemu dengan Eury sekali lagi!

Aku mahu bertemu dengan Eury sekali lagi sebelum segala-galanya berakhir; sebelum tentera-tentera ayahanda menyerang Eucralipse, sebelum Eury tahu penyamaran diriku!

Aku mahu bertemu dengan Eury sekali lagi!

Aku tak tahu untuk apa. Tapi aku mahu bertemu dengan Eury sekali lagi!

Ah, kenapa aku jadi macam ni? Kenapa aku berlagak seperti orang hilang akal bila tidak bertemu dengan Eury sedangkan Eury anak musuhku? Bukankah aku sepatutnya membenci Eury?

Kerk menggaru kasar kepalanya. Rambut yang sedia kusut, semakin berserabut.

“Kerk!” Panggilan Egart dari luar pintu jeriji besi membuatkan Kerk berlari sepantas mungkin ke arahnya.

“Egart! Aku perlu keluar dari sini!”

“Tenang Kerk! Perkara ni tak semudah yang kau sangkakan. Ayahanda kau masih berang dengan kau dan aku tak rasa dia dapat memaafkan kau dalam masa terdekat ni!”

Kerk mengeluh panjang. Baru dua hari dikurung, dia sudah rasa seperti bertahun-tahun lamanya.

“Aku benar-benar tak menyangka ayahandaku akan seberang begini.”

“Ya, tapi aku ada memberi amaran kepada kau. Jangan kau kata aku tak ingatkan kau!”

“Ya, aku tak salahkan kau! Memang aku yang salah.” Keluh Kerk penuh penyesalan. Egart menepuk bahu Kerk. Memberi kekuatan.

“Sabarlah... Mungkin beberapa hari lagi marahnya akan reda dan kau akan dibebeaskan dari sini.”

“Tapi aku tak punya masa sebanyak itu! Majlis hari lahir Ellisa malam ni, Egart” Bentak Kerk.

“Bercakap tentang majlis Ellisa, aku teringat sesuatu. Eury menginginkan aku menyampaikan pesanannya kepada kau.”

Anak mata Kerk membulat. Teruja.

“Apa katanya?” Soalnya tanpa mampu menunggu lebih lama.

“Dia berharap kau dapat datang malam nanti untuk menjadi pasangannya. Dan dia akan menanti kau. Dia tak cakap di mana. Katanya kau akan tahu sendiri.”

Kerk memejam matanya rapat-rapat. Betapa dia mahukan pertemuannya dengan Eury malam ni jadi kenyataan.

“Aku harus berjumpa dengan Eury, Egart!”

Egart ketawa. Sinis bunyinya.

“Dalam keadaan macam ni pun kau masih ingatkan Eury? Sedar la sikit, kau terkurung di sini pun sebab dia!”

“Tapi dia menunggu aku!”

“Kau boleh abaikan saja permintaan dia, Kerk!”

“Tapi aku mahu bertemu dengannya malam ini!”

Dahi Egart berkerut. Menyedari ketelanjuran kata-katanya, Kerk segera berdehem.

“Err... Maksud aku, bukankah kita merancang untuk mencuri beberapa maklumat dari meja kerja Altrun ayah si Ellisa tu. Jadi... Kau perlukan aku kan untuk memastikan rancangan tersebut berjalan lancar.”

Egart menggelengkan kepala.

“Kerk... Kerk... Aku tak tahu la apa yang ada dalam kepala kau tu. Yang aku tahu, Kerk sekarang bukan macam Kerk yang dulu!”

“Aku masih Kerk yang sama la...” Tegas Kerk. Egart hanya mengangkat keningnya.

“Aku dah lambat untuk ke majlis Ellisa. Aku pergi dulu!”

“Egart! Macam mana dengan aku? Kau kena tolong aku! Egart!”

Egart semakin menjauh.

“Egart! Aku perlu keluar dari sini!”

Dan Kerk kembali keseorangan di situ.

**************

Pengawal-pengawal seramai empat orang itu berhenti berbual. Kerk memasang telinga. Ada derap kaki kedengaran dari luar bangunan penjara. Kerk meneliti setiap derapan kaki tersebut dan mula meneka-neka siapa yang berkunjung untuk melawatnya pada ketika itu.

“Aku ada bawakan makanan untuk kamu semua! Pergilah makan!” Suara dingin Q-ra kedengaran. Empat orang lelaki tadi bergegas ke meja dan kerusi yang diletakkan di bawah pokok, tidak jauh dari bangunan penjaraku.

“Hai, sayang... Aku harap kau belum membusuk dalam bilik berdebu ni lagi!” Tegur Q-ra sebaik sahaja berdiri di hadapan penjara Kerk. Kerk bingkas bangun.

“Q-ra!” Sapanya dengan gembira. Senyuman terukir di bibir. Buat pertama kalinya, dia teruja melihat kehadiran Q-ra di hadapannya.

“Tak sangka kau akan tersenyum kepadaku seperti itu! Aku rasa macam bermimpi pula bila lihat kau tersenyum!” Q-ra bersuara sinis. Namun wajahnya jelas menunjukkan betapa dia menyenangi senyuman yang dihadiahkan oleh Kerk kepadanya.

“Tolong aku, Q-ra! Aku perlu keluar dari tempat ni. Bilik ni buat aku jadi gila!”

“Sabar, sayang! Aku datang ke sini pun atas permintaan Egart. Katanya, dia tak punya banyak masa untuk membebaskan kau. Maka aku dijadikan utusannya.”

Kerk tersenyum lagi. Egart tak la sekejam yang aku sangkakan, desis hatinya.

Q-ra membuka pintu berjeriji besi itu dengan kunci. Kerk tertanya-tanya sendirian bagaimana Q-ra boleh mendapatkan kunci dari pengawal yang berbadan besar yang berlegar-legar di luar tadi. Mungkin dengan menggodanya. Seketika kemudian, dahi Kerk berkerut lagi.

“Kau datang seorang? Apa rancangan kau? Pengawal di luar...”

“Dah aku tidurkan...” Q-ra menyambung ayat Kerk. Kerk segera mengalih pandangan ke arah pengawal di luar bangunan penjaranya. Kesemuanya sudah terkulai di lantai.

“Jangan risau. Mereka akan terjaga sebelum subuh nanti. Kau punya cukup masa untuk ke Eucralipse dan menyudahkan apa sahaja yang kau rancangkan bersama Egart. Dapatkan balik kepercayaan ayahanda kau, sayangku! Buktikan yang kau ke Eucralipse untuk sesuatu yang bermakna kepada Dark City!”

Kerk menerpa keluar sejurus selepas pintu dibuka.

“Terima kasih, Q-ra!”

Q-ra tersenyum.

“Kau tahu aku sanggup lakukan apa sahaja untuk kau. Jadi tak payah la berterima kasih kepadaku. Nah!”

Beg berwarna hitam diserahkan kepada Kerk.

“Apa ni?”

Q-ra angkat bahu.

“Baju untuk kau pakai ke sana... Egart serahkan padaku tadi!”

Kerk segera mengerti. Beg hitam tersebut mengandungi baju yang telah disediakannya untuk ke majlis Ellisa.

“Kau jangan risau dengan keadaan di sini. Aku akan pastikan pemergian kau tak akan di sedari oleh Raja Eriel.”

Kerk mengangguk sebelum membuka langkah dan berlalu pergi.

**************

Majlis hari lahir Ellisa nampak hebat, malah mungkin lebih hebat dari majlis hari lahirku beberapa bulan lepas. Semuanya berada dalam keadaan teratur dan berjalan seperti yang dirancangkannya. Kediaman Ellisa dihiasi dengan cantik dan indah, sesuai dengan temanya iaitu Mitos Khayalan. Tetamu-tetamu Ellisa yang terdiri daripada rakan-rakan rapatnya di Akademi nampak hebat dengan pakaian mereka yang unik. Makanan dan minuman sudah disusun memenuhi meja panjang yang diletakkan di tepi ruang dewan. Muzik perlahan melatari suasana sangat mendamaikan. Pembantu-pembantu rumahnya pula sentiasa bersedia untuk melayani permintaan tetamu-tetamunya. Dan yang paling penting, tiada seorang pun pengawal peribadi dibenarkan masuk ke dalam kediamannya.

“Eury, apa pendapat kau tentang majlis aku ni? Sempurna, kan?”

“Ya! Sangat sempurna!” Jawabku walaupun ada sesuatu yang kurang kurasakan. Dan Ellisa seakan-akan tidak berpuas hati dengan jawapanku.

“Kalau majlis ni hebat, kenapa muka kau macam muka orang tersalah makan makanan tamat tarikh luput?” Seloroh Ellisa.

Segaris senyuman cuba aku ukirkan.

“Entahlah!”

Aku tunduk ke bawah. Membetulkan gaun putih gading labuh mengikut potongan badanku. Sepasang sayap putih yang diperbuat daripada bulu burung dari Gunung Wret dilekatkan di belakang gaunku. Malam ini, aku adalah Puteri Sayap Cinta. Puteri yang mempunyai kuasa untuk melahirkan rasa cinta di hati sesiapapun dengan hanya menggerakkan sayapnya. Itu cerita di sebalik penampilanku pada malam ini. Hakikatnya, aku puteri raja yang masih menunggu cinta hatiku.

“Kau tak gembira sebab Rei masih tak nampak batang hidungnya, kan?” Serkap Ellisa. Mengena!

“Ya. Aku tak nampak dia beberapa hari ni...” ...dan aku kerinduan.

“Mungkin dia terlambat. Jangan kau risau tak tentu fasal!”

“Harap-harap begitulah...”

Ellisa menundingkan jari ke suatu arah.

“Itu pun Egart! Tak tahu kenapa dengan dia malam ni. Kejap ada, kejap tak ada...”

Ellisa menepuk bahuku.

“Majlis dah nak mula ni... Jom!”

Pelawaan Ellisa aku turuti. Namun yang nyata, cuma jasad sahaja terkurung di sini. Bukan hatiku.

Sehingga Ellisa selesai memotong dan mengagih-agihkan keknya, Rei masih tidak kelihatan. Aku langsung tidak berminat untuk mengambil tahu tentang acara-acara yang berlangsung selepas itu. Dan bila muzik berentak perlahan dimainkan, satu demi satu pasangan mula bergerak memenuhi bahagian tengah rumah untuk menari, aku terus melarikan diri ke tingkat atas. Beranda di bahagian bumbung istana kecil Ellisa menjadi pilihanku. Menikmati suasana malam.

Hidup yang telah ditentukan hala tujunya seakan hidup yang tiada kehidupannya. Sekalipun aku berusaha bersungguh-sungguh untuk sesuatu perkara atau aku duduk tanpa berbuat apa-apa, tetap aku akan ke 'tempat' yang telah ditentukan untukku. Menjadi puteri raja, pewaris tunggal kepada tanah jajahan yang luas dan kaya membuatkan aku tak pernah rasa kekurangan apa-apa. Semua yang aku inginkan dipersembahkan di hadapan mataku dengan hanya memetik jari. Pendek kata, aku punya segalanya yang diinginkan. Dan aku tak perlu berusaha untuk mendapatkannya. Betapa bosannya menjadi seseorang yang sudah punya segalanya.

Jika aku miskin, aku akan bekerja keras untuk mendapatkan kekayaan. Ada usaha, ada matlamat. Tapi aku, seperti kerabat Eucris yang lain, hidup dalam kaya-raya dengan hasil bumi Eucralipse dan cukai rakyat. Jika aku mahu belajar, aku akan mengembara mencari ilmu sehingga pandai. Ada usaha, ada matlamat. Tapi aku punya akses kepada semua cendikiawan Eucralipse serta bahan rujukan di Akademi dan perpustakaan di istana. Jika mahukan lelaki sebagai peneman hidup, aku akan keluar mencari, berkenalan dengan lelaki, bercinta dan akhirnya berkahwin. Tapi aku sudah punya Esmet sebagai jodoh, seperti yang telah ditetapkan oleh ayahanda dan bondaku tanpa perlu aku mencarinya. Aku ada semuanya. Jadi aku tak perlu berusaha untuk apa-apa. Tak ada usaha, tak ada matlamat. Betapa bosannya kehidupanku.

Tapi bila Rei muncul dalam hidupku, dia menimbulkan banyak tanda soal dalam kepalaku, rasa misteri, rasa teruja, rasa tenang dan selamat bila di sampingnya, rasa rindu bila berpisah dan segala rasa yang tidak pernah aku rasakan selama 16 tahun hidupku di bumi Eucralipse ini.

Buat pertama kalinya, aku menginginkan sesuatu. Dan aku tahu apa yang aku inginkan dalam hidupku ini...

Aku mahukan Rei...

Aku mahu sentiasa berada di sisi Rei...

Aku menginginkan Rei sepertimana aku memerlukan udara untuk bernafas bagi meneruskan hidupku ini...

Kerana aku rasa 'sempurna' bila bersama Rei...

Dan aku rasa aku sudah jatuh cinta kepadanya...

“Beta mencari seseorang yang berbeza dengan sekalian yang ada di sini...”

Aku tersentak. Segera aku palingkan tubuhku ke belakang. Dia muncul bersama kabus yang agak tebal. Dia adalah... Putera Bertopeng! Putera yang selama ini muncul dalam mimpi-mimpiku... Kini muncul di hadapanku...

“Dan beta terlihat kamu. Kamu kelihatan muram. Seperti sedang bersedih... dan kesunyian...”

Putera Bertopeng itu mengenakan pakaian diraja yang begitu teliti hasil buatannya. Sebilah pedang tersisip kemas di pinggangnya. Mahkota di kepalanya. Rambutnya bersinar keunguan di bawah cahaya Eucristar. Matanya galak merenung ke arahku. Topeng berwarna perak menutupi sebahagian wajahnya. Penampilan yang sama seperti dalam mimpi-mimpiku saban malam.

“Aneh rasanya melihat seorang puteri secantik kamu bersedih dalam majlis semeriah ini...” Putera Bertopeng bersuara lagi.

Suaranya... Ya! Suaranya sama seperti suara... Rei!

“Rei? Awak Putera Bertopeng?”

Senyuman terukir di bibirnya.

“Macam mana awak boleh tahu? Ini watak rekaan peribadi, awak tahu. Dan saya tak pernah bagitau sesiapa pun nama watak saya ni. Tapi... Seperti yang saya selalu katakan awak memang puteri raja yang bijak!”

Dia berjalan mengelilingiku. Meneliti penampilanku pada malam ini.

“Dan awak... Puteri Sayap Cinta?”

Aku mengangguk. Dia tahu! Kebetulankah ini? Apa pula maksud mimpi-mimpiku? Adakah dia juga mengalami mimpi yang sama sepertiku? Oleh sebab itu dia tahu nama 'watak'ku malam ini?

“Awak cantik...” Pujinya.

Sepasang matanya merenung jauh ke dalam mataku.

“Sangat cantik...”

Langit Eucralipse tidak lagi kelam seperti tadi. Langit sudah berubah menjadi cerah. Awan mendung sudah berarak entah ke mana. Dan bintang-bintang bertaburan di dada langit. Eucristar adalah bintang yang paling terang.

Rei memaut tanganku.

“Saya nak ajak awak pergi ke suatu tempat.”

“Ada pengawal di luar rumah...” Meluncur laju sebaris ayat itu. Ayat itu langsung tidak membawa apa-apa makna kepada Rei dan juga aku. Aku tetap akan mengikut ke mana sahaja Rei pergi. Dan Rei menggenggam erat tanganku. Menandakan dia sudah nekad dengan apa yang ingin dilakukannya.

“Boleh saya...?”

Aku sekadar menatap matanya. Terpesona dengan kecantikan sepasang mata itu, seperti selalu. Tangan Rei melingkari tubuhku. Perlahan-lahan aku terasa seperti tubuhku terapung dalam pelukan Rei dan meninggalkan bumbung rumah Ellisa.

**************

Raja Eriel masih mundar-mandir di biliknya. Marah masih merajai hatinya. Menelaus hanya memerhatikannya. Dia dapat merasakan rasa marah, kecewa, gelisah Raja Eriel terhadap perbuatan Kerk memasuki Eucralipse tanpa kebenarannya.

“Maafkan patik, Raja Eriel... Kalau tuanku benarkan, ada sesuatu yang patik ingin katakan.” Ujar Menelaus setelah beberapa ketika.

Raja Eriel mengalih pandangannya kepada Menelaus.

“Menelaus, tak perlu terlalu formal dengan aku. Kita berdua sahaja dalam bilik ini!” Kata Raja Eriel pula. Baginya, Menelaus adalah salah seorang pemimpin Dark City dan sahabat yang paling setia dan dipercayainya. Mereka pernah sama-sama menuntut ilmu di Phoru, sebuah kerajaan yang terkenal dengan ilmu membuat senjata, suatu ketika dahulu sebelum mereka terpisah dan akhirnya bertemu semula di Dark City. Dia tidak mahu kata ganti diri tuanku-patik akan membataskan hubungan rapat mereka. Maka dia sering meminta Menelaus mengangapnya sebagai kawan berbanding sebagai raja ketika mereka berduaan.

“Aku tahu kau marah pada, Kerk. Tapi tindakan kau memarahinya di hadapan pembesar dan pengawal, serta mengurung Kerk... Aku rasa tindakan kau itu keterlaluan. Seperti yang Kerk kata, dia pergi ke Eucralipse itu pun atas dasar tuntutan tugasnya. Dia hanya mahu memastikan apa yang dicita-citakan oleh kau selama ini tercapai.”

Raja Eriel menghela nafas panjang. Ada sedikit kekesalan timbul di hatinya kerana memalukan anaknya di hadapan beberapa orang kepercayaannya. Namun dia merasakan tindakan Kerk ke Eucralipse adalah seperti mempersendakan arahannya. Selebihnya, ada sesuatu yang sudah bertahun-tahun lama disimpan dalam dirinya sendiri. Sesuatu yang belum boleh dipastikannya berkenaan diri Kerk.

“Rasanya aku belum pernah bercerita pada kau asal-usul Kerk, kan?”

Menelaus menggelengkan kepalanya. Seingatnya, Raja Eriel cuma memperkenalkan Kerk sebagai anaknya. Itu sahaja.

“Kira-kira 12 tahun yang lalu, ketika aku sedang bersedih dan hilang makna hidup selepas kematian isteri dan anakku, aku bertemu dengan Kerk di hutan tebal Dark City. Dia kelihatan keliru, sedih, dan ketakutan. Dia seperti baru lepas melalui satu pengalaman yang dahsyat. Akibat trauma, Kerk terlupa akan namanya serta segala yang berkaitan dengan dirinya. Lalu aku namakan dia Kerk dan aku pelihara dia seperti anakku sendiri. Selepas beberapa bulan, luka Kerk sembuh, traumanya juga hilang tetapi memori Kerk tetap hilang.”

Menelaus diam mendengar cerita Raja Eriel.

“Aku tanamkan rasa benci dan dendam dalam diri Kerk agar dia sama-sama menyertai perjuanganku menuntut hakku di Eucralipse. Aku ajar dia, asuh dia agar menjadi pahlawan yang handal. Aku mahu hapuskan sistem pemerintahan dan kepercayaan kolot Raja Theseu dan Raja Esqandar. Aku mahu buktikan bahawa cinta itu sesuatu yang suci dan mulia. Aku mahu mereka tahu bahawa cinta itu membina bukan memusnahkan. Cinta itu sumber kekuatan, bukannya punca kemusnahan. Dan yang paling penting aku mahu menuntut bela atas kematian isteriku, anakku... serta cintaku...”

Raja Eriel berjeda seketika.

“Wajarkah cintaku ditentang hanya kerana aku mencintai wanita yang bukan datangnya dari golongan yang mereka tetapkan? Patutkah mereka membunuh isteri dan anakku demi untuk memisahkan kami? Mereka memang kejam!” Sambungnya dengan penuh emosi.

Menelaus berdehem. Mula dapat gambaran dan alasan terhadap perbuatan Raja Eriel terhadap Kerk.

“Jadi sebab itu kau halang Kerk dari ke Eucralipse? Sebab kau takut Kerk yang sudah kau anggap sebagai anak akan dibunuh oleh mereka?”

Raja Eriel mengesat air mata yang sudah mengalir di pipi. Kemudian dia menggelengkan kepalanya beberapa kali. Menidakkan dakwaan Menelaus.

“Ya. Dan tidak!”

Menelaus mengerutkan dahinya sekali lagi. “Maksud kau?”

“Ya, aku takut Kerk akan dibunuh jika mereka tahu Kerk bukan berasal dari Eucralipse. Kau pun tahu aku menyayangi Kerk seperti aku menyayangi isteriku, anakku, nyawaku.”

“Dan tidak kerana ada sesuatu yang lebih merisaukan aku.”

Menelaus diam. Menunggu Raja Eriel menyambung ayatnya.

“Kerk kau lihat sekarang lebih dari apa yang kau sangkakan!”

Menelaus semakin kebingungan.

**************

Puncak Gunung Ocre lebih dingin dari apa yang aku bayangkan. Serasanya aku pernah ke sini. Aku tak ingat bila. Tapi aku pasti benar bahawa aku pernah ke sini. Aku dan Rei membuang pandangan ke arah yang sama; ke arah Eucristar yang kelihatan begitu dekat sekali dengan kami.

“Ini tempat yang paling strategik untuk melihat keindahan Eucristar.”

Dalam diam, aku mengakui kenyataan tersebut. Jika selama ini aku sangkakan Eucristar cuma mengeluarkan cahaya berwarna putih, tapi dari tempat aku berdiri sekarang, aku dapat melihat Eucristar mengeluarkan tujuh warna yang berbeza. Seperti warna pelangi.

“Dan dari sini juga, awak boleh lihat keseluruhan tanah jajahan Eucralipse!” Terang Rei.

Rei memang tak pernah mengecewakan aku. Sentiasa mengkagumkan!

“Sangat cantik!” Ujarku.

Rei tersenyum, menarik tanganku agar duduk di atas rumput yang hijau, di sebelahnya.

“Saya ingat, awak tak datang...” Luahku setelah beberapa ketika kami berdiam diri.

Rei tersenyum lagi. Ada sesuatu yang tersirat dalam senyuman serta renungan matanya pada malam ini. Dan aku sukar meneka maksudnya.

“Saya mesti datang... Saya harus datang!”

Sekali lagi. Ada yang tersirat dalam ayatnya.

“Maksud awak?”

“Ada sesuatu yang harus saya katakan pada awak... malam ni... Sesuatu yang perlu saya katakan untuk melegakan rasa sesak yang menyakitkan dada, rasa resah yang bertamu di jiwa, rasa hangat yang menyusup di hati... Saya tak minta rasa ini. Dan seumur hidup, saya tak pernah merasakan sebegini...”

Aku semakin keliru dengan apa yang cuba disampaikan oleh Rei.

“Rei, apa sebenarnya ni?” Soalku perlahan. Namun Rei langsung tidak mengendahkan soalanku. Seolah-olah dia tidak mendengarnya. Dan dia terus tenggelam dalam emosinya.

“Biasanya saya dapat kawal segala-galanya... Saya dapat kawal tindakan saya... Saya dapat kawal emosi saya... Tapi kali ni, semuanya di luar kawalan saya! Untuk sebuah rasa yang baru pertama kali saya rasakan ini, saya rasa macam... saya kehilangan diri saya sendiri...”

Dahiku berkerut seribu. Sungguh, aku tak faham apa yang dikatakan oleh Rei.

Rei memegang kedua-dua bahuku. Memandang anak mataku dengan sepasang anak matanya yang berwarna ungu. Jauh ke dalam hatiku sehingga ke dasarnya; cuba membaca emosiku, rasa hatiku...

Wajah Rei semakin hampir ke wajahku.

“Saya cintakan awak, Puteri Eury !”

Wednesday, January 13, 2010

eucralipse 13


Rei mengangkat tangannya. Merenung kelima-lima jarinya. Masih terasa-rasa kehangatan jemari wanita yang dipanggil Permaisuri Xera oleh Eury tadi. Rasa hatinya bercampur-baur sehingga dia sendiri tidak pasti apa yang dirasakannya pada ketika itu.

“Beta difahamkan kamu menyelamatkan Eury ketika serangan dari pihak Rexo. Betul ke?”

Rei kembali mengangkat mukanya. Kembali ke dunia nyatanya. Eury sudah pun melepaskan tangannya. Dan merenung sedang tunduk menyembah Raja Esqandar tika ini. Raja Esqandar merenung ke arah Eury dan dirinya dari atas takhta yang indah. Para pembesar yang hadir di ruang mengadap diam tanpa suara. Sekadar memerhatikan Rei dan Eury. Membuat spekulasi sendiri dalam diam.

“Ya, betul! Patik yang telah menyelamatkan Puteri Eury, tuanku...” Rei menjawab setelah mengangkat sembah. Senada sahaja suaranya. Peristiwa tadi masih menjadi tanda-tanya di benaknya.

“Biar beta berterus-terang dengan kamu. Beta tidak suka kamu berkawan rapat dengan Eury. Eury puteri Kerajaan Eucralipse, bakal pemerintah Eucralipse. Maka kamu tak layak untuk berkawan dengannya!”

“Tapi ayahanda...”

Raja Esqandar mengangkat tangan. Menyuruh Eury berhenti dari meneruskan kata-katanya.

“Setelah dinasihatkan oleh para penasihat diraja dan pembesar, beta masih juga tidak nampak sebarang sebab mengapa beta harus mengizinkan kamu mendekati Puteri Eury beta.”

“Ayahanda...”

Raja Esqandar berdehem seraya mencerunkan pandangannya. Eury kembali menundukkan kepala.

“Tapi memandangkan kamu sudah menyelamatkan Eury, dan kamu berjaya menimbulkan minat Eury kepada perkara-perkara yang 'membosankan' dirinya, maka beta memutuskan bahawa kamu boleh terus berkawan dengan Eury...”

Wajah Rei berkerut. Tidak menyangka semudah itu Raja Esqandar mempercayainya. Sangkanya dia perlu mengatakan sesuatu bagi mendapatkan kepercayaan serta keizinan untuk terus berkawan dengan Eury.

“Maksud tuanku?” Soal Rei. Mahu menamatkan segala persoalan yang berada di kepalanya.

“Setelah melihat kamu, entah mengapa beta rasa kamu tidak berniat jahat sehingga boleh mencederakan Puteri Eury.”

Rei ternganga. Kebingungan. Jika tadi dia kebingungan tatkala bersentuhan dengan Permaisuri Xera, namun kini dia kebingungan dengan reaksi Raja Esqandar yang berada di luar jangkaannya. Dan dia juga sedar akan sesuatu. Ekspresi wajah Raja Esqandar berubah ketika menatap wajahnya. Ketika dia dan Eury melangkah masuk ke kamar itu tadi dia berwajah bengis, dan sekarang wajahnya semakin lama semakin redup. Memandang ke arah dirinya seolah-olah ada 'sesuatu' antara mereka. Sesuatu yang dia sendiri tidak tahu. Mungkinkah?

“Eury ingat ayahanda tak suka pada Rei.” Ternyata Eury di sebelahnya juga berkerut-kerut wajahnya mendengar kata-kata tersebut.

“Setelah memikirkan kata-kata Puteri Eury, beta rasakan tidak adil untuk melayan seseorang yang telah menyelamatkan puteri beta dengan buruk. Maka dengan ini beta mengisytiharkan Reizu sebagai tutor peribadi Puteri Eury dan dia selayaknya dikurniakan dengan pingat keberanian serta...”

“Ampun tuanku, patik tak rasa patik layak menerima semua itu...” Bantah Rei.

“Rei, kamu layak menerimanya... Eury, bawa Rei bersiar-siar di istana kita. Mungkin kita boleh makan malam bersama nanti, setelah ayahanda selesai berbincang dengan pembesar-pembesar kita berkenaan pengurniaan pingat untuk para pahlawan Eucralipse. Termasuk pingat untuk Rei.”

Eury tersenyum girang.

“Terima kasih, ayahanda! Jom, Rei!”

Rei yang masih kebingungan bagaikan lembu dicucuk hidung, menurut sahaja ajakan Eury untuk meninggalkan kamar tersebut berserta sekalian yang ada di dalamnya. Raja Esqandar cuma tersenyum melihat gelagat mereka sehingga hilang dari pandangan.

“Beta suka lihat budak Rei tu... Entah mengapa, beta sendiri tak pasti. Apapun, beta mahu gerak-geri mereka diperhatikan, Altrun!”

Altrun menundukan kepalanya. Faham dengan perintah tersebut.

**************

Senyuman Permaisuri Xera lebar. Bayi yang dipangku di riba, dipandangnya dengan penuh kasih sayang. Anak mata bayinya yang membulat dan memandang tepat ke arahnya. Pipinya gebu kemerahan. Tubuhnya montel. Dan bibirnya yang kecil tidak lokek mengalunkan tawa setiap kali diagah. Permaisuri Xera menggeletek tubuh bayinya. Bayinya yang berusia 6 bulan itu ketawa menahan kegelian. Di telinga Permaisuri Xera, tawa puteranya seumpama melodi terindah di Segi dan seluruh semesta. Tiada yang dapat menandinginya. Maka dia tak henti-henti menggeletek puteranya itu hanya untuk mendengar irama yang akan menceriakan hari-harinya. Tidak cukup dengan itu, digomolnya pula puteranya itu sehingga puteranya memeluknya erat, menghantar isyarat agar dia berhenti berbuat demikian.

“Rhyss...”

Bahu Permaisuri Xera terasa disentuh. Wajah Permaisuri Eurika menjelma di pandangan sebaik sahaja dia menoleh ke sisi.

“Permaisuri Xera, kamu nampak diam sejak tadi. Ada sesuatu yang mengganggu fikiran kamu? Atau ada perkara yang membuatkan kamu tersinggung? Mungkin layanan dari pihak istana kami?” Soal Permaisuri Eurika. Ingin tahu.

Permaisuri mengeluh berat. Sejak tadi, semenjak kali pertama dia ternampak budak lelaki yang bersama Eury itu, dia terus hanyut dibuai kenangan. Kenangan bersama puteranya sewakti kecil. Sungguh, dia rindu untuk membelai puteranya seperti dahulu. Dengan bersusah-payah, dihadiahkan jua segaris senyuman buat bakal besannya.

“Permaisuri Eurika, tiada cacat-celanya layanan dari istana kamu. Cuma saya... Saya yang berasa kurang sihat.”

“Adakah kamu bimbang tentang Eury dan Esmet?”

Pintu bilik dibuka dari luar oleh dua orang pengawal. Perbualan mereka terhenti di situ. Eury melepasi daun pintu. Berlari-lari anak dengan senyuman terukir di bibirnya. Tumpuan Permaisuri Xera terarah kepada budak lelaki di belakang Eury yang kelihatan sedikit keliru dengan keadaan di sekelilingnya. Entah mengapa, Permaisuri Xera dapat merasakan bahawa budak lelaki yang berpakaian seperti orang kebanyakan tersebut adalah seseorang yang istimewa. Entah mengapa...

“Bonda, Permaisuri Xera, ini Eury perkenalkan Reizu... Dia la yang selamatkan Eury tempoh hari!” Kata Eury seraya melompat duduk di sebelah Permaisuri Eurika. Rei pula hanya berdiri di tempatnya. Memandang Permaisuri Eurika, Eury, Permaisuri Xera dan keadaan sekeliling di kamar itu secara silih berganti.

“Eury! Jaga tingkah-laku kamu! Dan tolong tunjukkan rasa hormat kamu pada Permaisuri Xera serta tunang kamu, Esmet! Apa kata ayahanda kamu bila...”

“Ayahanda tak kata apa-apapun tentang Rei. Malah ayahanda berterima kasih pada Rei. Dan yang paling penting, ayahanda kata Rei boleh jadi tutor Eury macam Encik Cronus dan Puan Arena.” Pintas Eury girang. Permaisuri Eurika mengerutkan dahinya. Pelik tatkala dengan reaksi suaminya berkenaan Rei.

“Bonda nak tahu, Rei ni pandai tau! Dia banyak tahu fasal... Sebab tu la ayahanda...”

Eury terus bercerita tanpa berhenti. Namun kata-kata yang keluar dari mulut Eury dirasakan seperti angin lalu sahaja di telinga Permaisuri Xera. Dia lebih tertarik untuk melihat budak lelaki yang diperkenalkan sebagai Reizu oleh Eury sebentar tadi. Dan yang paling menarik perhatiannya adalah anak mata Rei berwarna ungu yang bulat dan bersinar. Serasanya, mahu sahaja dia menyuruh tetamu Eury tersebut menanggalkan topengnya supaya dia dapat melihat wajah di sebalik topeng tersebut.

Seperti Permaisuri Xera, entah mengapa, Rei terasa berat hati untuk mengalih pandangannya ke arah lain selain dari wajah Permaisuri Xera. Dan rasa hangat pada kulit tangannya masih terasa-rasa sehingga saat itu. Hangat. Mendamaikan. Dan menyusup terus ke dalam hatinya.

**************

“Kerk!”

Pintu kayu dibuka. Berkeriut bunyinya. Raja Eriel menjenguk ke dalam. Tiada sesiapa di situ. Dia mengatur langkah. Masuk ke dalam bilik anaknya yang tersusun kemas. Ada sesuatu yang menarik-narik hatinya dan memaksa tubuhnya untuk menghampiri katil di tengah bilik. Matanya liar mencari benda yang menggamit-gamit kedatangannya ke situ. Semuanya dalam keadaan biasa. Semua perabot di situ tersusun dan terletak di tempat yang sama. Tiada yang berubah. Tiada yang baru.

Ketika dia mahu melangkah keluar, barulah dia sedar adanya sesuatu yang bersinar dari bawah tilam Kerk. Diseluknya tangan di situ. Kad hitam tanpa sebarang tulisan di atasnya. Dia berkerut dan mula tertanya-tanya fungsi kad tersebut.

Dan jantungnya bagaikan berhenti berdegup ketika terpandangkan lambang Kerajaan Eucralipse di setiap bucu kad.

“Ouch!” Raja Eriel mengaduh apabila ibu jarinya dicucuk oleh sesuatu yang tajam di situ. Dan tulisan yang berwarna keemasan yang muncul di situ seakan merampas seluruh udara yang ada. Dadanya terasa sesak.

“Kerk... Apa yang kau dah buat...?” Katanya dalam suara yang menggigil.

**************

“Bukankah kau patut berkongsi kegembiraanku ini, Egart?” Soal Rei dalam nada riang ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Eucralipse. Egart hanya mengangkat bahu. Tidak tahu sama ada dia patut menggalakkan atau melarang Rei saat itu.

“Aku rasa kau dah terlalu 'jauh' melakonkan watak Reizu, Kerk! Jika kau silap langkah semalam, jika Raja Esqandar bersangka buruk terhadap kau semalam, kau mungkin tak dapat keluar dari istananya hidup-hidup!”

“Hei! Relaks la, kawan! Semuanya baik-baik sahaja, kan? Aku selamat. Mereka tak curiga malah mereka berterima kasih kepada aku kerana sudah menyelamatkan Eury. Aku sudah mendapat kepercayaan pihak istana. Segala-galanya akan menjadi mudah selepas ini!”

Egart yang berjalan di belakang Kerk hanya mampu menggelengkan kepalanya. Perbualannya dengan Kerk beberapa hari lalu kembali segar di ingatan.

“Aku nampak kau melatih Eury semalam…”

Kerk yang sedang duduk di atas batu berpaling ke belakang. Memerhatikan Egart tegak berdiri di belakangnya. Namun seketika kemudian pandangannya dilemparkan kembali ke hadapan. Memerhatikan matahari yang hampir terbenam.

“Aku harap kau tak lupa janji kau terhadap Raja Eriel. Kau harus ingat misi kita ke sini...” Ujar Egart lagi apabila dilihatnya Kerk hanya membisu tanpa bahasa. Dia sudah hilang sabar dengan tindakan Kerk yang terus membisu.

“Usah dibahas benda yang tiada, Egart!”

“Aku nampak kau semakin rapat dengan Eury. Malah kau ajar dia cara menggunakan kuasanya.”

“Apa salahnya? Itu salah satu cara aku dapat rapat dengan dia.”

“Kau harus tahu, kau akan semakin susah untuk mengalahkan Eury jika Eury sudah bijak memanfaatkan kuasanya! ”

“Kau percayakan aku, Egart?”

“Aku sudah lama kenal dan berkhidmat untuk kau, Kerk! Kau bukan sedar anak kepada raja yang aku sembah. Kau juga adalah sahabatku. Sudah tentu aku percayakan kau...!”

“Jadi tolong percaya aku untuk kali ini...” Pinta Kerk tegas.

“Aku pun tahu kelemahan kau, Kerk...” Kata Egart penuh makna. Dia tahu dia patut menegur Kerk kerana Kerk dilihatnya seperti sudah lupa dengan misi mereka. Adakalanya pandangan yang dilemparkan oleh Kerk kepada Eury dilihatnya seperti mempunyai makna tersembunyi yang membuatkan dia takut untuk memikirkannya. Dia takut untuk memikirkan bahawa Kerk sudah jatuh cinta pada Eury dan melupakan tujuan asal penyamarannya di Eucralipse.

Kerk hanya ketawa mendengar sebaris ayat yang keluar dari mulut Egart.

“Kau tentu tau yang aku tak suka berlawan dengan orang yang lemah. Tak ada cabaran! Bagi aku pertarungan bukan sekadar kalah menang. Pertarungan perlu ada cabarannya.”

“Baguslah kalau macam tu!” Ujar Egart. Namun di dalam hati, Egart mencurigai isi hati Kerk.

Mengingatkan perbualan tersebut, Egart cuma punya dua kesimpulan sahaja terhadap tindakan Kerk waktu itu. Kerk memang bersungguh-sungguh menjalankan misi rahsianya atau dia memang sudah benar-benar kemaruk cinta dengan Eury dan mula menggemari nikmat kehidupan menjadi Rei berbanding Kerk.

“Sampai bila kau akan menipu Ayahanda kau, Kerk?” Tiba-tiba soalan itu terpacul di bibirnya. Kerk tersentak. Ditolehnya Egart di belakangnya.

“Sampai aku bertemu dengan apa yang aku mahukan. Aku mahu tahu segala-galanya tentang keadaan di sana.” Jawab Kerk. Ada banyak kemusykilan timbul di benaknya semenjak kali pertama dia menjejakkan kaki di Eucralipse.

“Aku takut dengan syak-wasangka ayahanda kau. Dia sudah mula perasan akan ketiadaan kau di tempat Menelaus atau di mana-mana tempat di Dark City!”

“Ayahanda aku hanya boleh menaruh syak. Tanpa bukti, dia tak punya apa-apa dan tidak boleh menuduh!”

“Kau mahu segalanya terbongkar baru kau mahu menghentikan segalanya ini?”

“Aku perlu menemukan apa yang kucari.”

“Apa sebenarnya yang kau cari?”

Kerk terdiam seraya meneruskan perjalanan. Terlalu banyak perkara yang perlu diselidikinya. Tentang dirinya. Tentang ayahandanya. Tentang asal kewujudan Dark City. Dan tentang segala-galanya. Dia mahu bukti, penjelasan, pandangan atau apa sahaja tentang segala yang dipercayainya. Kerana ada ketikanya, dia seakan tidak pasti dengan kepercayaannya selama ini. Dan pendiriannya yang satu sudah mula goyah. Sejak dia menjejakkan kaki ke Eucralipse. Sejak dia mengenali...

“Eury...? Itu sebenarnya yang kau cari, kan?” Tempelak Egart. Sekali lagi langkah Kerk terhenti. Muka Kerk merah padam.

“Aku sudah lama mencurigai kau, Kerk! Aku dapat merasakan bahawa kau sudah terpikat pada Eury. Misi menakluki Eucralipse hanya alasan semata-mata! Mungkin sekarang kau lebih suka menjadi Rei berbanding Kerk.”

“Tidak! Aku tak pernah misi kita. Aku tak pernah lupa asal-usulku!”

“Maaf, tapi aku tetap tidak boleh berhenti dari terus mencurigai kau!”

“Kalau begitu, ikut ke mana sahaja aku pergi. Intip gerak-geri aku... Dan kau akan tahu betapa dedikasinya aku terhadap misi kita! Aku akan buktikan yang aku tak punya perasaan walau sebesar hama sekalipun terhadap Eury.”

Egart merenung tajam ke arah Kerk. Menimbang-nimbang kebenaran kata-kata Kerk. Dia mahu percaya dengan kata-kata Kerk tapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya dari berbuat demikian..

Mereka kembali meneruskan perjalanan. Sebaik mereka melepasi tembok pemisah antara kawasan jajahan Eucralipse dan Dark City, ada sesuatu yang menghalang perjalanan mereka dan...

Bukkk...!

Kerk terhumban ke belakang. Mengenai sebatang pokok sebelum melurut jatuh ke tanah. Melihat penyerang Kerk, peluh dingin Egart segera merenik di dahi. Kakinya serta-merta menjadi lemah dan seketika kemudian dia melutut di situ. Memandang ke hadapan dengan wajah yang pucat.

Followers