Monday, August 24, 2009

eucralipse 7


Pelajar-pelajar yang lalu-lalang tak kuhiraukan. Mataku tetap tertancap di pintu utama dewan kuliah itu. Ellisa masih di sisiku. Memanjang-manjangkan leher dengan senyuman yang lebar. Masa aku ajak dia ke sini tadi, terbeliak biji mata Ellisa.

“Biar betul ni, Eury! Kau gurau? Ke kau ni demam?”

Tangan Ellisa yang dah melekap kat dahi, segera aku tepis. Juraian rambut di kepala, aku perbetulkan.

“Betul la! Ingat aku main-main ke?” Tegasku.

“Mana la tahu. Kau kan puteri raja paling skema kat Eucralipse... Sibuk nak jadi role model pada rakyat. Tup-tup sekarang nak ajak aku ponteng kelas pulak. Kelas Puan Oracle pulak tu! Bising orang tua tu nanti!”

“Ala... Lantak la! Malas la nak belajar. Malas dah nak jadi boneka ayahanda bonda aku lagi. Sekarang aku cuma nak buat apa yang aku nak buat...”

“Dan 'benda' yang kau nak buat tu... adalah ponteng kelas Puan Oracle dan jumpa... Rei?”

“Yap! Ada masalah ke?”

“Tak! Cuma rasa terkejut aje...”

“Egart!” Jeritan Ellisa membawa pergi lamunanku.

Ellisa terlompat-lompat sebaik sahaja Egart melepasi keluar dari pintu dewan kuliah. Tanpa menunggu lama, Egart terus mendapatkan Ellisa. Aku suka tengok Ellisa dan Egart. Tak tahu kenapa. Mungkin kerana mereka nampak sepadan...?

“Eury...” Bisikan di tepi telinga membuatkan aku hampir terlompat. Dan aku terkejut sekali lagi apabila melihat orang yang berada di tepi wajahku ini.

“Re... Rei...” Tergagap-gagap aku menyebut namanya. Seperti biasa Rei kelihatan tenang. Namun ada senyuman di matanya. Matanya yang berwarna... Ahh... Serasanya aku seperti pernah melihat anak mata secantik ini?

“Tunggu sapa? Esmet? Rasanya Esmet tak hadir ke kuliah hari ni!” Katanya dalam satu nada.

Tunggu Esmet buat apa? Kalau Esmet nak jumpa aku pun, aku tak sudi nak jumpa! Lain la pertemuan yang ayahanda dan bonda kami yang aturkan... Itu kes terpaksa... huhu!

“Atau... Awak tunggu... saya?

Binggo!

Aku hulur senyuman. Getar rasa ketika pertama kali aku bertemu dengannya, masih tetap aku rasakan kini. Mungkin disebabkan aura kehadirannya di sisiku. Aura… Ya, Rei punya auranya tersendiri. Aura yang hadir tatkala dia berada dekat denganku. Aura yang membuatkan aku jadi tak keruan tetapi membawa rasa riang dan membahagiakan setiap kali bersamanya. Dan aura itu juga membawa rasa hangat yang menyusup masuk terus ke dalam hati.

“Eury...” Panggilnya bila aku masih tetap membisu.

“Jom ikut saya!” Pelawaku dengan nada riang. Aku memang tak ada hati nak menghadiri apa-apa kuliah hari ni. Bangun tidur, terus ingat Rei... Maka, hari ni aku akan habiskan masa dengan Rei...

“Ke mana?” Soalnya pelik.

“Adalah... Rahsia!”

“Rahsia?”

Rei masih tetap tegak berdiri di tempatnya sedangkan aku sudah menapak dua tiga langkah di hadapannya.

“Ikut aje! Mesti awak suka punya la!”

Dek kerana melihat muka Rei yang masih kebingungan, aku terus menarik tangannya. Dan ketika tapak tangan kami bertemu itulah, buat pertama kalinya aku merasakan ada seperti satu renjatan yang 'mengejutkan' segenap urat sarafku. Segera aku melepaskan pautan tanganku.

“Woo... Awak rasa tak?” Soal Rei sambil membelek tapak tangannya. Jelas, dia juga merasakan apa yang aku rasakan. Dan seperti aku, dia turut bingung dengan 'kejutan' yang aku rasakan sebentar tadi.

Aku menganggukkan kepala.

“Awak tahu, hati saya kuat mengatakan yang ada 'sesuatu' antara kita walaupun saya sendiri tak pasti apakah ia...”

Anak matanya menikam terus ke dalam anak mataku.

“Adakah 'sesuatu' itu akan membuatkan awak ikut saya sekarang?” Gurauku. Sesuatu seperti apa yang Rei maksudkan?

“Ya!”

Kami jalan beriringan dengan senyuman lebar. Dan kami berpegangan tangan. Jari-jemari kami bertaut kemas. Namun kali ini bukan aku, tetapi Rei yang terlebih dahulu meraih jari-jariku.

Dejavu!

Itu rasa yang aku rasakan pada saat ini.

**************

Reizu khusyuk menghikayatkan sejarah kerajaan Eucralipse padaku. Bagaimana terbentuknya Eucralipse, bagaimana Eucralipse memperolehi setiap satu tanah jajahannya, bagaimana Eucralipse boleh menjadi kerajaan terkuat, bagaimana kerajaan Eucralipse hampir runtuh gara-gara pemberontakan para pembesar serta perang saudara, dan lain-lain. Semuanya tentang Eucralipse.

Perkara yang diceritakan oleh Reizu bukanlah sesuatu yang aneh kerana Puan Oracle selalu menceritakan benda yang sama di kamar belajar istana. Apa yang aneh ialah cara Reizu bercerita dan menerangkan setiap satu fakta kepadaku... Dia seolah-olah sudah tidak asing lagi dengan segala cerita-cerita itu. Malah dia dengan mudahnya dapat 'membawa' aku ke zaman lampau itu. Dengan mudahnya aku dapat menghafal segala apa yang keluar dari mulutnya. Aneh! Jika bersama Puan Oracle, walau berkali-kali dia bercerita, aku tetap tidak dapat menangkap buah butir yang diperkatakannya.

Yang menambahkan keanehan dalam diriku adalah getaran rasa di dada yang tidak pernah surut setiap kali kami bertentangan mata. Walau aku cuma menafikannya namun sejujurnya aku terpaksa mengakui juga tentang perkara itu. Kami punya pertalian. Aku tak pasti pertalian yang macam mana atau bagaimana. Apa yang aku tahu, dia terasa 'dekat' dengan diriku, hatiku... Walaupun kami baru beberapa kali bertemu. Walaupun aku masih tak tahu asal-usul, tempat tinggal dan segala-gala tentang dirinya. Satu-satunya yang aku tahu adalah namanya! Dan dia punya rantai yang hampir sama dengan Esmet. Rantai yang hampir sama bentuknya dengan rantai yang aku pakai sekarang.

Siapa Reizu sebenarnya?

Dan aku menjadi ralit sendirian memerhatikan anak mata ungu di sebalik topengnya. Serta bibirnya yang dari tadi tak henti-henti memutar dan membicarakan kisah Eucralipse. Tanpa sedar, aku seakan terbawa ke alam mimpiku bersama Putera Bertopeng. Diakah?

“Eury! Yuuhuu... Eury!” Tangan Rei tergawang-gawang di hadapanku.

Rei tersengih melihat diriku yang terpinga-pinga. Aku termalu sendiri bila menyedari realiti sebenar. Aku berangan lagi! Depan Rei pulak tu! Pipiku terasa panas.

“Aaa... Dah abis ke?” Soalku dengan gaya orang cuba sembunyi rasa malu. Seboleh-bolehnya tak nak pandang Rei.

“Dah abis lima bab. Awak nak saya bacakan lagi ke?” Soalnya dalam senyuman. Dan sepasang matanya turut tersenyum. Asalnya aku mengajaknya ke sini untuk membuatkan Rei kagum dengan kelengkapan yang ada di perpustakaan diraja ini. Tak sangka pulak Rei beria-ria nak membacakan buku-buku sejarah Eucralipse kepadaku.

Tapi... Lima bab? Biar betul? Kenapa aku rasa macam baru sebentar tadi aku melihat Rei membuka buku berkulit tebal itu? Pulak tu, aku boleh ’serap’ semua yang Rei terangkan kat aku! Sah aku ni kena sampuk dek aura si Reizu ni! Kalau dengan Puan Oracle tu, dari tahun lepas sampai tahun ni tak berganjak-ganjak dari bab yang sama. Sebabnya? Apa yang diterangkannya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Mungkin sebab Puan Oracle tak dapat mempesonakan aku seperti terpesonanya aku dengan hanya menatap wajah Rei yang tersenyum... Mungkin!

Rei petik dari betul-betul depan mukaku. Aku... berangan lagi... teruknya!

“Eury, awak ni berangan aje dari tadi. Agaknya apa yang saya terangkan tadi macam angin lalu je la, ek?” Soal Rei dalam nada merajuk.

Aku pantas mengelengkan kepala.

“Sebenarnya segala yang awak terangkan tersimpan kemas dalam ingatan saya. Walaupun awak hanya terangkan pada saya sekali. Pelikkan?!”

“Itu disebabkan awak puteri raja yang pandai!”

“Tak! Itu disebabkan awak adalah guru yang bagus!” Pujiku.

“Tingginya pujian. Bodek ke?” Sakat Rei. Pipi kiri dah jadi mangsa cubitan manjanya. Aku buat muka mengejek. Dia membalas. Kami tertawa akhirnya.

“Apa kata awak jadi guru peribadi saya aje. Berbanding dengan Puan Oracle, saya lagi suka awak. Cara awak tak la membosankan. Tau aje la, bab-bab sejarah ni memang membosankan.”

“Boleh ke? Orang istana tak marah?”

“Saya bukan orang istana ke?” Pintasku.

“Maksud saya, istana kan ada protokol tersendiri. Guru-guru yang diperkenankan oleh pihak istana aje boleh mengajar keturunan Eucris. Mana boleh sesuka hati aje pilih orang luar. Betul, kan?”

Aku senyum. Kagum dengan pengetahuannya.

“Awak ni pelik la! Macam mana awak boleh tahu banyak fasal Eucralipse? Okey, kalau fasal sejarah Eucralipse, mungkin awak akan kata awak baca dalam buku. Tapi mengenai peraturan istana, bahasa kuno Eucralipse... Padahal tak semua orang yang mempunyai akses terhadap bahan-bahan tu. Semuanya tersimpan kemas dalam perpustakaan rahsia istana. Jadi saya hairan macam mana awak boleh tahu benda-benda tu...”

Rei terdiam sebentar. Riak wajahnya masih jernih. Masih tenang. Bibirnya tak lepas-lepas dari menguntum senyuman. Terasa terbang roh aku saat ini... Tolng la jangan senyum lagi, Rei...

“Eury... Ada benda yang kita tahu melalui pembelajaran dan pengalaman. Dan ada sesetengah benda yang kita ketahui melalui tekaan. Saya teka aje tadi. Ikut logik akal. Tak sangka pulak betul!”

Namun riak Rei langsung tak menggambarkan ayat yang dituturkan sebentar tadi. Entah mengapa kau seperti dapat merasakan dia bukan sekadar meneka secara rawak.

“Memandangkan awak banyak tahu tentang Eucralipse, saya ada satu soalan untuk awak.”

“Katakan...”

“Siapa pewaris takhta Eucralipse?”

“Ayahanda awak la! Kemudian awak...” Dengan penuh keyakinan dia menjawab.

“Salah!” Aku dengan penuh yakin menidakkan jawapannya.

“Habis sapa?”

“Pakcik saya...”

“Pakcik?”

Hmm... Nampaknya tak ada la semua benda Rei tahu...

“Ya! Saya ada seorang pakcik. Abang kepada ayahanda saya.”

“Huh? Kenapa kewujudan 'pakcik' awak tu tak pernah direkodkan pun?”

“Saya sendiri tak pasti. Saya dilarang untuk bertanya. Kalau saya tak terdengar perbualan antara ayahanda dan bonda saya hari tu, mesti sampai bila-bila pun saya tak tahu akan kewujudan pakcik saya tu.”

Aku melemparkan pandangan sedih ke arah buku-buku di atas rak. Kesal dengan tindakan ayahanda dan bonda yang merahsiakan perihak pakcikku itu dari pengetahuanku dan yang lain-lain. Mengapa agaknya ya?

“Tentu ada sebabnya ayahanda dan bonda awak buat macam tu...” Pujuk Rei bila dilihatnya aku sudah tidak seceria tadi.

Hampir sahaja dia menyentuh pipiku demi memujuk hatiku yang sudah dilanda kesedihan.

“Dan aku tak nampak sebarang sebab yang kukuh untuk kamu berada di sini bersama Eury!”

Jerkahan dan berserta dentuman tapak kaki menghentam lantai perpustakaan diraja membuatkan kami terkesima di situ.

3 comments:

Mrs. Jojie said...

yea...yea...dah ade sambungan euraclipse....time kasih eury...jangan lp update cite ni ek...:)

tzaraz said...

dan cerita nie semakin menarik...
semakin buat aku x sabar nak tahu siapa reizu yg sebenarnya..

Anonymous said...

can i guess? reizu is kirk... and he is a son of eury's unknown uncle...they are meant to be together since they have the same necklace and aura...
but, it is just a guess. Eury, keep writing da story!

Followers