Wednesday, June 16, 2010

Bicarakan Cintamu...


“Kau patut luahkan apa yang terbuku di dada kau tu!”

Dira membelek tanganku. Mengkagumi corak inai yang terlukis di tangan dan jemariku.

“Dah terlambat, Dira...” Balasku lirih.

“Mesti ada sesuatu yang boleh kita lakukan, kan?”

Soalan Dira menyesakkan dada. Sesuatu seperti apa yang boleh aku atau dia lakukan untuk kami hentikan perkahwinan yang bakal berlangsung kurang dari 24 jam ini?

“Entah la... Rasanya dah terlalu lama aku biarkan benda ni berlarutan. Tiada apa yang boleh aku lakukan sekarang. Aku tersepit, Dira! Ini melibatkan maruah dua buah keluarga. Aku tak mahu memalit noda pada mereka. Mereka tak bersalah!”

Aku ingat lagi peristiwa yang berlaku enam bulan lepas. Betapa gembiranya aku tatkala melihat rombongan dari keluarga Syakir tiba di hadapan rumahku. Hampir sahaja aku terlonjak-lonjak persis anak kecil yang teruja dengan permainan barunya. Pada ibu dan ayah kukhabarkan persetujuanku terhadap peminangan yang bakal dibuat. Kalaulah aku tahu peminangan tersebut datangnya dari Faiz, bukannya Syakir...

Dira memeluk bahuku.

“Sekurang-kurangnya Syakir berhak tahu perasaan kau terhadap dirinya. Aku kenal kau. Aku juga masak dengan sikap Syakir. Syakir juga punya perasaan seperti kau, Ifti! Mungkin Syakir boleh menamatkan penderitaan kau ini!”

“Sia-sia saja, Dira! Kau sendiri kenal siapa Syakir, kan! Dia lelaki yang sangat berpegang teguh pada janji. Lelaki yang penuh pengertian. Lelaki yang mendahului orang lain sebelum dirinya sendiri. Tak mungkin dia akan berbuat sesuatu yang boleh memalukan keluarga Makcik Rohana yang sudah dianggap seperti keluarganya sendiri!”

“Syakir... Syakir... Dia lelaki yang terlalu menjaga perasaan orang di sekelilingnya sehingga dia lupa bahawa dia juga punya perasaan dan keinginannya sendiri.” Keluh Dira. Aku terdiam.

“Bagaimana dengan Faiz sendiri?”

“Aku takut! Amirul Faiz bukan seperti Syakir Adzim! Mereka jauh berbeza walaupun mereka dibesarkan dan dididik oleh orang yang sama. Faiz tak lembut hati seperti Syakir. Faiz tak pemaaf dan memahami seperti Syakir. Faiz keras orangnya. Pendiriannya utuh. Dan keinginannya seboleh mungkin harus dipenuhi! Aku tak tahu selama mana aku mampu bertahan menjadi isterinya kelak!”

Dira menepuk-nepuk bahuku. Menenangkan rasa sedih yang datang.

“Bersabarlah, Ifti... Satu-satunya jalan yang aku nampak sekarang adalah kau patut khabarkan rasa cinta dalam hati kau pada Syakir. Kalaupun dia tidak membalas cinta kau, sekurang-kurangnya dia mungkin dapat menolong kau untuk menghentikan perkahwinan ini.”

Aku memejamkan kelopak mata rapat-rapat. Air mataku jatuh satu persatu.

“Aku yang bersalah, Dira! Ini semua salahku. Kalaulah aku berani bersuara... Kalaulah dari dulu aku nyatakan keinginan hatiku, pasti keadaan tidak menjadi separah ini!”

@~~@~~@~~@~~

Jam-jam terakhir zaman kegadisanku amat memeritkan. Tidak seperti bakal-bakal pengantin yang lain, aku sentiasa bertemankan air mata dan kesedihan. Hilai tawa dan wajah-wajah ceria mereka di sekelilingku tidak mampu mendatangkan walaupun sekelumit kegembiraan di hatiku. Aku terus tenggelam dalam duniaku sendiri. Batinku meronta-ronta mahu dibebaskan janji yang telah aku persetujui dahulu.

Bukan sekali dua, malah sudah berkali-kali aku mengingatkan diriku semenjak aku sah bergelar tunangan bahawasanya aku bakal berkahwin dengan Izham Faiz, lelaki cerewet yang selalu mahu menang dan mahu segala keinginannya dipenuhi. Status perkahwinan itu kelak akan mewujudkan jurang yang amat besar antara aku dan Syakir Adzim, lelaki yang penuh pengertian dan tersusun budi bicaranya. Lelaki yang telah mencuri tumpuan dan hatiku.

Dan hanya dengan mengingatkan hakikat itu sahaja sudah cukup membuatkan aku tak keruan. Bagaikan ada batu besar yang menghempap dadaku. Meninggalkan rasa sakit dan sesak yang teramat. Udara di sekelilingku terasa bagaikan dicuri sedikit demi sedikit sehinggakan aku hampir tidak dapat bernafas. Aku lemas di dalam bilik yang penuh dengan oksigen!

Apabila tiba saat berlangsungnya acara kemuncak majlis perkahwinanku, tubuhku terasa seram sejuk. Keluarga serta teman-teman hanya mentertawakanku. Kata mereka normal untuk punya rasa gementar sebegitu kerana sebentar lagi perjalanan hidupku bakal berubah. Aku bakal mengakhiri zaman gadisku dan memulakan kehidupan baruku sebagai seorang isteri.

Mereka tidak tahu apa yang aku tahu!

Mereka tidak rasa apa yang aku rasa!

“Sila bawa pengantin perempuan ke depan!” Arah satu suara lelaki dari ruang tamu. Tempat di mana acara akad nikah akan berlangsung.

Sepupu-sepupu serta kawan-kawan rapatku mengiringiku ke ruang tengah rumah. Dira, selaku pengapit, langsung tidak berenggang dariku. Memberi kekuatan serta menyakinkanku agar pasrah dengan jodoh yang telah ditentukan Ilahi untukku.

Jika tidak didorong dari belakang dan tidak dituntun dari tepi, pastinya tubuhku masih kaku bagaikan tunggul mati di dalam bilik.

Sebaik sahaja aku tiba di ruang tamu, sanak-saudara dan para jemputan sudah pun memenuhi hampir segenap ruang kosong di situ. Meninggalkan ruang tengah yang sudah dikhaskan buat orang-orang penting duduk.

Dari arah bertentangan, aku dapat melihat rombongan pengantin lelaki yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, bersusah-payah meredah dan mencari ruang antara tetamu yang sudah mengambil tempat untuk ke bahagian tengah ruang tamu. Faiz yang berwajah ceria berjalan di bahagian tengah dalam rombongan itu. Warna putih gading bajunya sedondon dengan pakaianku. Namun mataku lebih berminat memerhatikan Syakir yang berjalan di kiri Faiz. Syakir tampak segak dalam baju Melayu warna biru mudanya.

Mulut Syakir yang menggariskan senyuman aku pandang. Jenuh menunggunya berbicara kata-kata sakti yang aku harapkan tika ini, aku segera mencari mata bening milik Syakir pula. Entah bagaimana mana, mata kami berlaga. Dan mata kami bertentangan dari jauh.

‘Aku masih menunggu, Syakir!’

Aku memulakan bicara tanpa suaraku.

‘Yang kau tunggu sudah pun tiba. Faiz sudah datang sebagai pengantinmu...’

‘Bukan dia yang aku tunggu!’

‘Habis, siapa yang kau nantikan? Putera raja yang menunggang kuda seperti dalam mimpi-mimpimu itu? Jangan terlalu obses dengan cerita dongeng indah rekaan manusia, Iftinan Zulaikha!’

Aku mengunci pandangan Syakir. Dan mata kami terus berbicara dalam kebisuan kata-kata.

‘Kau yang aku nantikan sebagai suami. Bukan dia!’

‘Tapi aku tidak mencintaimu...’

‘Kau bohong! Dan aku sudah jelak dengan pembohonganmu!’

‘Tidak! Memang itu kenyataannya. Aku tak pernah mencintai kau, Ifti!’

‘Jika kau tidak mencintai aku, mengapa sinar mata kau tidak seiring dengan pengucapan kau? Mulut kau mengunci segala kata cinta sedangkan mata yang menjadi pintu untuk aku ke dasar hati kau bertindak sebaliknya!’

‘Aku... Aku tak mengerti apa yang kau katakan...!’

‘Kau mengkagumi aku dengan tatapan mata kau! Kau memuji aku dengan kerlingan mata kau! Kau menyayangiku dengan renungan mata kau! Boleh kau terangkan mengapa mata kau berbicara cinta sedangkan mulut kau menafikannya?’

Syakir memejamkan matanya serapat-rapatnya. Menutup perbicaraan mata kami. Peluh yang membasahi dahi, dilurutkannya dengan hujung jari. Dia melarikan pandangan matanya. Memandang apa sahaja atau sesiapa sahaja kecuali aku. Kemudian dia berkata sesuatu kepada teman di sisinya sebelum menyerahkan dulang hantaran yang dipegangnya.

‘Syakir!’

Namanya aku seru. Namun Syakir tetap enggan memandang diriku. Sengaja mahu menghentikan provokasi tanpa suara dariku. Syakir berpaling membelakangkanku lalu mengatur langkah. Menentang arus perjalanan rombongan pihak pengantin lelaki untuk keluar dari ruangan itu.

Dia mahu meninggalkan perkahwinan ini!

Dia mahu membiarkan aku sendirian menghadapi perkahwinan tanpa kerelaanku ini!

‘Syakir!’

Syakir tidak menoleh.

‘Syakir, pandanglah aku! Tidakkah kau kasihan melihat aku?’

Langkah Syakir terhenti. Wajahnya dibasahi peluh. Baju Melayu birunya juga sudah lencun dek peluh. Syakir memandangku semula. Menentang pandangan mataku.

‘Tidakkah kau kasihan melihat aku, Syakir? Aku bakal pengantin yang paling sedih dalam dunia ini. Tegarkah kau membiarkan aku terseksa dan terperangkap dalam ikatan perkahwinan tanpa cinta ini? Sanggupkah kau melihat aku memperjudikan nasib wanita yang kau cintai hanya kerana kau terlalu ego untuk melafazkan cinta kau padaku?’

‘Dia lelaki terbaik untuk jadi suamimu. Percayalah...’

‘Tolong, tolong selamatkan aku, Syakir! Aku mohon pada kau... Tolong aku untuk hentikan majlis perkahwinan ini!’

Syakir menundukkan wajahnya seketika sebelum kembali memandangku dengan mata yang berair.

‘Aku doakan kebahagiaan kau, Ifti!’

‘Kebahagiaanku ada bersama kau! Aku mohon jangan kau bawa pergi kebahagiaanku itu!’

‘Tidak! Kebahagiaan kau terletak di tangan Tuhan kau yang satu, ibu bapa, serta dia, setelah kau secara rasmi menjadi hak mutlaknya.’

Aku mengelengkan kepala. Enggan mencerna bait kata-katanya.

‘Ifti, dengar kataku... Faiz adalah calon suami yang terbaik untuk diri kau. Dia mencintai kau dengan sepenuh hatinya. Percayalah, dia akan membahagiakan kau selagi diizinkan Allah dan selagi kau memperuntukkan sedikit ruang di hati kau. Belajarlah mencintai dirinya sepertimana kau belajar mencintai aku dahulu...’

Aku mengelengkan kepala lagi. Sebagai tanda protes terhadap kata-kata Syakir. Mata, tanpa dipaksa, silih berganti memandang wajah Faiz yang ceria dan wajah Syakir yang tidak beriak.

Ada dua orang lelaki yang berdiri kurang lima meter di hadapanku; Faiz dan Syakir. Faiz, tunang yang bakal menikahi aku sebentar nanti. Manakala Syakir pula lelaki yang memiliki cinta dalam hatiku. Anak mataku jatuh pada wajah Syakir lagi. Lama mataku berlabuh di situ. Semakin lama aku memandangnya, aku semakin yakin bahawa cintaku milik Syakir. Bukannya Faiz.

Bagaimana dapat aku memperuntukkan ruang di hati buat cinta Faiz bertamu sedangkan cintaku pada Syakir sudah menakluki segenap ruang hatiku?

Seperti ada segaris cahaya yang melorongkan jalan di hadapanku. Malangnya, lorong cahaya tersebut bukannya menuju ke arah Syakir. Sebaliknya menuju ke arah Faiz. Dadaku serta-merta terasa sesak.

Aku mengunci kedua-dua belah kaki dari terus melangkah. Dira dan yang lain-lain pelik melihat tindakanku itu memandangkan aku harus melangkah beberapa tapak lagi sebelum duduk di tempat yang dikhaskan buatku. Mereka sedaya-upaya memujuk aku supaya berjalan beberapa tapak lagi. Namun aku tetap membatukan diri. Pada hadirin mula berbisik sesama sendiri.

‘Ifti, tolong penuhi permintaanku yang satu ini. Tolong pasrahkan dirimu dengan ketentuan Allah... Terimalah Faiz sebagai jodohmu...’

Sebaik sahaja selesai ‘berbicara’, Syakir memalingkan tubuhnya. Melangkah pergi meninggalkan ahli rombongannya. Aku mula panik. Syakir semakin hilang di celah-celah susuk tubuh para tetamu. Mataku semakin liar menjelajah ke setiap ruang untuk mencari dirinya. Namun Syakir terus ghaib dari ruang lingkup pandanganku.

Pakaian pengantinku lencun dibasahi peluh. Kepala terasa semakin berat dan bingung. Telingaku mula berdegung. Suara-suara di sekelilingku terasa bergema-gema dan semakin menjauh. Badan terasa ringan dan terawang-awang. Terasa seperti seluruh tenagaku sudah disedut keluar. Pandanganku mulai gelap dan serentak itu tubuhku terlayang dan hampir rebah ke lantai. Mujur ada tangan yang sempat menyambut tubuhku.

“Pengantin perempuan pitam!”

Ada satu suara menjerit di cuping telingaku. Mungkin suara Dira. Orang ramai riuh-rendah mahu kepastian apa yang berlaku. Suasana di sekelilingku mula kecoh.

“Bagi ruang! Bagi ruang! Panas agaknya ni!” Jerit satu suara.

Beberapa saat kemudian, aku terdengar suara jeritan dari arah yang bertentangan pula. Dalam kepayahan, aku gagahkan juga diri untuk membuka mata. Rombongan keluarga Faiz mengerumuni ‘sesuatu’ atau... Seseorang?

Entah mengapa degup jantungku menjadi semakin pantas.

“Pengapit pengantin lelaki pengsan!”

“Syakir?” Suara Faiz kedengaran.

“Ya Allah! Syakir! Kenapa ni?” Jeritan Makcik Rohana pula mengambil tempat di ruang pendengaran.

“Syakir...” Panggilku perlahan dengan sisa tenaga yang masih berbaki.

Kelopak mata terasa semakin berat. Seketika kemudian, duniaku berubah menjadi gelap.

@~~@~~@~~@~~

“Hello!”

“Assalammualaikum...!”

“Hello! Assalammualaikum...”

Satu suara menampar gegendang telingaku. Sayup-sayup dan akhirnya semakin jelas di pendengaran. Menyedari suara yang kudengar sebentar tadi merupakan seorang lelaki, aku cepat-cepat membuka mata. Namun silau lampu kalimantang membuatkan aku kembali memejamkan mata.

“Aik, nak sambung tidur balik ke?” Tegur suara lelaki itu lagi.

Kelopak mata kubuka semula. Tetapi kali ini secara perlahan-lahan. Dan kemudian seluas-luasnya. Deria pandangku terus tertancap pada susuk tubuh seorang lelaki yang berjubah putih. Ada stateskop melilit di lehernya. Doktor? Lencana di dada kirinya tertulis ‘Dr. Ali’. Ali? Tiga huruf aje ke namanya? Tak ada Mohd? Abdul? Atau... apa-apa? Nama yang sangat ringkas!

Aku pandang wajah Dr. Ali. Lama mataku melekat di wajahnya. Serasanya aku biasa melihat wajah doktor ini. Ini bukan pertama kali aku berjumpa dengannya. Kan? Kepalaku masih terasa berat. Bingung. Namun tidak seberat tadi. Atau sebingung tadi. Rasanya... kot...

“Hello! Assalammualaikum! Tak jawab dosa, mati seksa...” Gurauan Dr. Ali aku sambut tanpa riak atau suara. Tangan Dr. Ali terawang-awang di udara. Betul-betul di atas wajahku. Badannya turut bergoyang-goyang seperti sedang menari.

“Waalaikumsalam...” Jawabku perlahan. Masih keliru dengan situasiku ketika itu.

“Hah! Bersuara pun! Alhamdullillah...” Dr. Ali bertepuk tangan sekali. Seolah-olah dia begitu teruja mendengar suaraku.

“Apa... Apa dah jadi dengan saya?” Soalku bingung.

“Kamu tak ingat?”

Aku geleng kepala. Semuanya nampak kabur dalam ingatanku.

“Awak pengsan.”

“Hah? Pengsan?”

“Yap! Then your friends brought you here...”

Aku diam. Kawan? Siapa? Yang mana satu? Kenapa semua yang aku nampak berwarna putih? Siling. Dinding. Cadar. Sarung bantal. Even baju Dr. Ali pun putih. Aku dekat hospital ke ni? Doktor biasanya ada dekat hospital atau klinik, bukan dekat pasar atau balai polis, kan? Jadi, apa yang aku buat di hospital atau klinik ni?

“Ni berapa?”

Dua jari Dr. Ali yang ditegakkan ke atas, aku pandang. Kemudian aku terpandang pula jam di dinding. Dah pukul tiga? Tiga petang atau pagi? Kenapa keadaan di luar tingkap nampak gelap sahaja?

“Tiga?”

“Huh? Are you sure??” Terbeliak mata Dr. Ali mendengar perkataan tiga yang keluar dari mulutku.

“No, I mean... Dua!”

“Nasib baik betul! Are you sure you’re okey?” Dalam keadaan was-was Dr. Ali bertanya.

“Yes! Absolutely!” Jawabku dengan yakin. Tapi... Apa yang jadi sebelum aku pengsan?

“Hmm... Okey la kalau macam tu. So, sekarang awak boleh keluar dan tunggu saya dekat kereta saya. Awak tahu kan kereta saya? Toyota Harrier putih nombor plat ABC 1234. Kejap lagi saya datang!” Ujar Dr. Ali tanpa memandangku. Dia leka menulis sesuatu di atas kertas putih. Tiada satupun perkataan yang tertulis di situ dapat kubaca.

Beberapa saat kemudian, kata-kata berbaur arahan dari Dr. Ali tadi membuatkan dahiku berkerut.

“Kenapa saya kena tunggu dekat kereta doktor?”

“Supaya kita boleh balik sama-sama. Kan kita serumah. I’m your husband and you are my wife. Husband and wife, remember?!”

Hah? Bila masa pulak aku kahwin ni? Dengan Dr. Ali pulak tu! Bukan ke Dr. Ali ni doktor dekat pusat kesihatan kolej aku? Eh, aku tak habis belajar lagi, kan?

“Saya belum kahwin lagi, doktor!” Tegasku seraya bangun dan duduk di tepi katil.

“Ye ke? Are you sure?” Soal Dr. Ali dengan dahi yang berkerut.

“Sure sangat-sangat!”

Dr. Ali ketawa kecil. Jururawat yang berada di hujung kaki katil turut tersenyum.

“Sengaja nak uji ingatan awak! So that I know you only lost your consciousness, not your memory. Kan?”

“Betul!”

Jururawat menarik tirai yang memisahkan katil yang aku duduki dengan ruangan lain di bilik sakit. Dira menerpa ke arahku dengan wajah cemas. Dia memelukku erat. Doktor Ali dan jururawat tersebut kemudiannya berjalan ke penjuru kanan bilik.

“Ifti! Kau betul-betul buat aku cemas!”Ujar Dira sebaik sahaja pelukannya lerai. Maskara di matanya sudah comot gara-gara menangis.

Kejap! Kenapa dia beria-ia bersolek? Bukan ke Dira benci bersolek? Kenapa Dira pakai baju kebaya? Gaya macam nak pergi kenduri kahwin aje...

Kahwin...

Kahwin...?!

Aku tunduk memandang baju yang kupakai. Uih, macam mana aku boleh pakai baju kurung moden warna putih gading ni? Baju macam ni bukan untuk pengantin ke? Perlahan-lahan kotak memoriku memainkan semula kejadian demi kejadian sebelum aku pengsan. Kelas batal... Dewan... Pentas... Ujibakat... Faiz... Dira... Syakir... Baju pengantin... Dan peristiwa terakhir dalam ingatanku membuatkan aku berdoa untuk pengsan sekali lagi!

“Kau buat kami semua takut, Ifti!” Katanya sambil menggenggam jari-jemariku yang sudah kedinginan kini.

“Dira... kau jangan cakap aku... pengsan... depan... Syakir... dan Faiz...?”

Dira menganggukkan kepala walaupun ayat yang cuba aku tuturkan tidak cukup sempurna subjek dan predikatnya. Aku memejam mata rapat-rapat. Terbayang wajah Faiz sedang mentertawakanku.

“Kau memang berbakat, Ifti! Dan kau betul-betul buat kami terkejut! Betul kata Faiz. Kau dan Syakir memang ditakdirkan untuk melakonkan watak Iftinan Zulaikha dan Syakir Adzim tu! Tak ada mana-mana pelajar pun dapat melakonkan babak sebelum akad nikah tu dengan sepenuh hati dan emosi macam yang kau dan Syakir lakukan tadi!”

Syakir? Arghh... ! Satu lagi malapetaka! Mana aku nak sorok muka aku ni? Tak ada tertulis dalam skrip yang aku perlu pitam atau pengsan dalam babak tersebut! Tentu dia atau sesiapa sahaja pelik melihat aku ‘terpengsan’ kerana terlampau menjiwai watak Iftinan Zulaikha.

Arghh...! Aku tak sepatutnya ikut cadangan gila Dira untuk turut serta dalam ujibakat ini!!!

Serentak itu juga langsir di hujung bilik sakit pusat kesihatan ditarik oleh Dr. Ali. Wajah pertama yang aku lihat adalah wajah Faiz yang tersengih bagaikan kerang busuk. Dia bukan lagi Amirul Faiz, bakal suamiku yang berwajah ceria serta lengkap berbaju Melayu putih gading, tanjak dan tengkolok. Dia hanyalah Faiz. Pelajar tahun akhir jurusan seni lakon layar, penulis skrip teater Bicarakan Cintamu, dan merangkap jiranku di kampung. Dan dia mempamerkan wajah nakal sebaik sahaja terpandang akan wajahku. Senyuman mengejek terukir di bibirnya.

Alamak! Malunya... Itulah, sapa suruh aku ter‘over’ menjiwai watak? Kan dah malu sendiri! Si Faiz tu pun satu. Dalam banyak-banyak nama, kenapa mesti letak nama Iftinan Zulaikha? Nama aku dah memang Iftinan! Kan lebih kurang aje nama kami!

Duduk di birai katil, Syakir masih dalam keadaan bingung. Wajahnya agak pucat. Dia hanyalah Syakir. Pelajar tahun akhir yang menuntut jurusan yang sama denganku. Rakan sekolej Faiz. Dia bukan lagi Syakir Adzim, pengapit Amirul Faiz yang dicintai oleh watak Iftinan Zulaikha. Baju Melayu warna biru Syakir basah dek peluh. Dia bangun sebaik sahaja terpandangkan aku dan Dira. Faiz menepuk-nepuk bahu Syakir. Seperti sedang menyampaikan ‘sesuatu’ kepada Syakir.

Syakir... Lelaki yang aku cintai dalam diam...

Aku dan Syakir berdiri kaku di tepi katil masing-masing. Dua katil kosong di hadapan kami menjadi pemisah. Aku tak pasti berapa lama kami berdiri tegak tanpa suara di situ sehinggalah Faiz muncul di antara kami.

“Ifti... Syakir... Aku cuma suruh korang lakonkan babak tu... Nak ujibakat watak hero dan heroin. Tak sangka pulak sampai jadi macam ni. Aku betul-betul terharu dengan komitmen dan penghayatan korang yang mendalam tu!” Ujar Faiz dalam tawanya. Dia mengenyitkan mata di hujung ayatnya.

Argh...! Mulut Faiz masih belum berhenti mengusik. Walau bagaimanapun, hanya Dira yang menyertai tawa Faiz. Aku dan Syakir hanya berpandangan sesama sendiri tanpa kata.

Faiz silih berganti memandang aku dan Syakir.

“Ifti, Syakir, susah sangat ke nak berterus-terang? Susah sangat ke nak nyatakan apa yang terbuku dalam hati korang tu? Cukup-cukup la berlakon. Lepas kejadian ni, aku rasa korang dah jelas tentang perasaan masing-masing, kan?”

Faiz menoleh ke arah Syakir.

“Syakir, aku dah lama tahu yang kau sukakan Ifti. Cuma menunggu kau mengakuinya. Aku tahu kau salah sangka dengan keakraban aku dengan Ifti. Ifti adalah jiran aku. Kami sekampung. Kami rapat sejak kecil lagi. Dah macam adik-beradik pun. Tapi kau tak pernah nak ambil tahu. Kau membuat konklusi tanpa bertanya atau menyiasat!”

Faiz menoleh ke arahku pula.

“Ifti, aku tahu kau mahu jadi ‘perempuan Melayu terakhir’ yang terjaga adab serta kata-katanya. Kau tak mahu jadi perigi yang mencari timbanya. Tapi pada pendapat aku, dalam dunia serba canggih ni tak salah rasanya kalau kau mencari alternatif untuk menzahirkan isi hati kau. Sekarang ni zaman ‘siapa cepat dia dapat’. Kalau kau lambat, alamatnya melepaslah! Katakan apa yang kau rasakan. Bicarakan cinta kau! Kalau kau tak cakap, tak akan ada orang tahu apa yang ada dalam hati kau tu! Nasib baik aku dan Dira paksa kau dan Syakir sertai audition ni. Kalau tidak, sampai bila-bila la cinta korang tu tak berjumpa dengan titik temunya!”

Aku menundukkan kepala. Mengakui kebenaran kata-kata Faiz. Kebisuanku menyebabkan cintaku pada Syakir hampir berkubur. Salah faham menyebabkan Syakir menjauhiku.

Faiz tersengih lagi. Mengejek aku dan Syakir dengan sepasang matanya. Tawa halus Dira turut menampar gegendang telingaku.

“Okeylah! Aku rasa korang ada banyak benda nak katakan especially lepas korang berjemaah pengsan atas pentas tadi. Aku nak jumpa Dr. Ali. Nak tanya kot-kot ada ubat penawar darah gemuruh untuk korang berdua memandangkan korang memang confirm pegang watak hero heroin dalam teater aku nanti. Adios~”

Faiz berlalu pergi sebaik sahaja menghabiskan kata-katanya. Dira mengenyitkan mata padaku sebelum membontoti Faiz.

Syakir menatap wajahku. Mataku melekat pada wajah cerah milik Syakir. Lidah kami kelu untuk berkata-kata. Masing-masing masih ego untuk memulakan bicara cinta walhal kami sudahpun menunjukkan bahawa kami tidak boleh menjadi sekadar kawan biasa. Kerana hati kami sudah berbicara tentang cinta. Cinta yang di dalamnya punya segala macam rasa. Dan rasa itu, walaupun tidak dizahirkan, walaupun tidak dibariskan dengan perkataan, tetap akan diketahui wujudnya. Kerana cinta itu sentiasa ada dan tak pernah padam.

Aku menunggu bicara cinta darinya...

“Ifti, saya tak tahu sama ada saya berhak untuk mempunyai perasaan sebegini pada awak atau tidak tapi... Saya sayangkan awak, Ifti... Saya mungkin bukan lelaki pilihan awak, saya mungkin tak sepadan dengan awak... tapi... saya cintakan awak! Dan saya nak awak jadi suri dalam hidup saya...”

Aku tersenyum mendengar suara Syakir yang terketar-ketar ketika meluahkan rasa hatinya. Namun itu langsung tidak mencacatkan suasana atau menyejukkan bahang cinta yang aku rasakan ketika ini. Kerana aku mencintai dan menerima Syakir seadanya.

“Saya pun cintakan awak, Syakir... Terima kasih kerana menjawab semua persoalan dalam fikiran saya...”

Aku dan Syakir berbalas senyuman. Lebih manis dari sebelum ini.

Cinta kami sudah dibicarakan...
** p/s : warna merah mewakili bicara hati Ifti, biru mewakili bicara hati Syakir...

14 comments:

keSENGALan teserlah.. said...

hah..ingtkan betul2 jadi tang kawen tuh.,,
rupenyee..
audition jee..
haha...
sweet je..

fazliana said...

hahahah
best2..weee
auditi0n up0ny0!
hiikhikhik..tlebey
feeling daaa

epy elina said...

hohoho...
best la crta ni....
pnuh saspen la crta ni...
ingtkn btul2x...
rupanya audition...
pe pun...
thnioah pda cik pnulis...
crta ni mmg best...

MaY_LiN said...

hikhikhik..
pe pe pun..besh..
ade smbgn x??
wat la jadi novel..

Ai said...

ya Allah bleh plak buat audition cam 2.. hahaha.. adeh.. terpedaya daku dibuatnye..

sweet sangat hahaha.. ^_^

tzaraz said...

eury..nanti2 leh kumpul semua cerpen2 tu and publish wat 1 novel. Semua pun bess2!

petite A said...

kan dah teganag pipi dr td asyk senyum jer..
adushh!!nk kembali pada asal ssh betul..
klaka sungguh citer nih

Anonymous said...

saya rase kan,kelebihan awak ialah awak pandai menyusun kata2 menjadi 1 ayat gramatis yg boleh mencairkan hr org yg membacanya...

what i like most bout u is ur words.
keep writing n be loving

Anonymous said...

setuju ngn pndpt tzaraz...

Y-niey said...

hahaha..
bez..
feeling btl..
sweet sgt2.......
^_^ (0_x)

Miss Uni said...

Cayalah.. X pernah lg bc cite mcm ni.. Tp, klau buat novel & jadikan faiz tu hero, best gak. Suke sgt kat watak si faiz tu.. But apa2 pun, chaiyok!!

nava_malar87 said...

ah uji bakat je...
Dng penh feelngs sy bce...
:)

meowluvie said...

cessss mati2 igt kawen btl. skali ujibakat daaa...tipah tertipu lar...apepn best r...terbaikkkkk...hohohoho

Unknown said...

How do I make money from playing games and earning
These are the three most 바카라 사이트 popular forms of gambling, and are explained in 출장안마 a very concise งานออนไลน์ and concise manner. The most common forms https://febcasino.com/review/merit-casino/ of dental implants gambling are:

Followers