Thursday, November 4, 2010

eucralipse 25


“Salam sejahtera Eucris...” Senyuman sinis terukir di bibir. Seraya itu badan ditundukkannya. Mengejek sembah hormat yang dilakukan oleh rakyat setiap kali mengadap Keluarga Diraja Eucris.

“Raja Eriel!” Ujar kami serentak. Ayahanda bangun dari takhtanya. Tidak percaya akan kehadiran kekandanya di situ. Seperti aku dan ayahanda, sekalian yang ada di situ turut terkejut dengan kehadiran Raja Eriel dan orang-orangnya di situ. Terdapat kerutan di dahi serta sinar ketakutan dalam mata masing-masing.

Raja Eriel mengisyaratkan telunjuknya. Orang-orang di belakangnya, tentera-tentera dari Dark City, muncul lantas mengepung kami. Sepuluh orang pengawal istana yang ada di dalam dewan mengadap dipukul dan dibunuh serta-merta. Bonda dan Permaisuri Xera menjerit ketakutan. Di luar dewan, bergelimpangan mayat-mayat pengawal dan pekerja istana.

Pedang Diraja Eucris yang sedia berada di tangan aku hunuskan ke arah tetamu tak diundang itu. Bersedia untuk menyerang seandainya Raja Eriel mula bertindak lagi.

Aku kerling jendela. Memandang ke bawah. Rakyat yang berlindung di kawasan istana masih dalam keadaan tenang; sekurang-kurangnya pada mereka, bahaya masih beratus kilometer jauhnya dari tempat mereka berada sekarang. Tentera-tentera Eucralipse yang berbaris di luar tembok istana juga bagai tidak dicuit ketenangan mereka. Ternyata mereka tidak mengetahui akan pencerobohan yang mungkin akan menjurus kepada rampasan kuasa sedang berlaku dalam istana sekarang.

Bila difikir-fikirkan balik, tiada apa yang mustahil bagi Raja Eriel memandangkan dia juga sebahagian dari Keluarga Diraja Eucris. Tentunya dia arif dengan selok-belok kawasan istana termasuklah jalan masuk dan jalan keluar istana tanpa perlu melalui pintu gerbang utama.

“Eury... Begitu ke cara kamu menyambut kedatangan pakcik kamu? Aku tak percaya tenaga pengajar istana tak mengajar kamu cara-cara menyambut tetamu diraja.” Perli Raja Eriel sambil mengelengkan kepalanya beberapa kali.

Aku merengus marah. Pedang di genggaman aku perkemaskan.

“Eriel... Kanda...” Panggil ayahanda.

“Aku bukan kekanda kau lagi, Esqandar! Tidak selepas kau dan ayahanda berpakat untuk membunuh Ria!” Tegas Raja Eriel berang. Aku dengan jelasnya dapat membaca apa yang ada dalam fikirannya. Tujuannya menceroboh ke istana Eucralipse sudah ditetapkan sejak sekian lama. Tak pernah berubah; untuk membunuh setiap orang dari keluarga Eucris. Hanya dengan itu sahaja dendamnya akan terbalas.

Ayahanda seperti tidak terjejas langsung dengan kata-kata tersebut. Seolah-olah dia tidak mendengar dan tidak nampak riak kebencian yang jelas kelihatan di wajah Raja Eriel. Dia mendepakan tangannya. Bersedia untuk memeluk kekanda yang sudah sekian lama tidak ditemuinya. Kerinduan jelas terpancar di wajahnya. Namun baru setapak ayahanda menuruni anak tangga di takhtanya, beberapa orang tentera Raja Eriel, atau secara tepatnya lima orang, sudah maju ke hadapan dan mengacukan senjata pada ayahandaku.

Ayahanda terduduk akibat terlalu terkejut melihat pedang terhunus di depannya. Bonda menjerit ketakutan.

“Tujuan aku ke sini bukan nak bermesra-mesra, nak sambung balik persaudaraan kita, Esqandar! Aku, secara jelasnya, datang untuk membunuh setiap orang yang ada di istana ini!” Ujar Raja Eriel angkuh dari belakang orang-orangnya.

Melihat situasi itu, aku naik berang.

“Siapa kamu semua untuk buat ayahanda beta begitu?” Marahku lantas menapak ke hadapan, menghampiri takhta ayahandaku. Cukup hampir hingga tentera Dark City yang mengawasi ayahanda berpaling untuk berdepan denganku. Bersedia untuk menyerang balas seandainya aku menyerang mereka.

Aku enggan mengambil risiko diserang lantas memandang tajam ke arah setiap satu senjata yang mereka pegang.

“Arghh!!!”

Prangg!!!

Sebilah pedang jatung ke lantai.

“Arghh!!!”

“Aduh!!”

“Ouch...!”

Diikuti dengan pedang dan senjata mereka yang lain.

Kesemua pedang dan senjata yang mereka pegang kini jatuh ke lantai dalam keadaan berasap. Raja Eriel dan orang-orangnya terasa pelik melihat reaksi lima orang tersebut.

“Kenapa? Ambil balik senjata kamu dan tangkap mereka semua!” Arah Raja Eriel.

“Err... Kami tak berani!” Jawab salah seorang dari mereka.

“Kenapa?” Soal Raja Eriel sambil menjengilkan matanya.

“Tangan kami melecur. Pedang kami tiba-tiba jadi... panas... macam baru lepas dibakar...” Tergagap-gagap dia menerangkan situasi tersebut. Dia menunjukkan tapak tangannya yang kehitaman akibat melecur. Aku tersenyum sinis dari tempatku.

Mulut Raja Eriel ternganga kecil. Tak percaya dengan alasan yang diberikan oleh orang suruhannya. Dia berfikir sejenak sebelum mengalihkan pandangannya padaku. Kemudian matanya jatuh pula ke rantai Oc-cra di leherku.

Raja Eriel memberi isyarat mata. Sebelum aku sedar maksud isyarat tersebut, orang-orang Raja Eriel pantas mengepung dan merampas pedang di tanganku. Mereka mengasak aku ke dinding sehingga aku tidak lagi mampu bergerak.

“Esqandar, dah terlalu lama rasanya kau menjadi duri dalam hatiku. Dah tiba masanya untuk kita tamatkan semuanya.”

Raja Eriel mencampakkan sebilah pedang ke arah ayahanda. Ayahanda menyambut kemas pedang tersebut dengan keadaan terpinga-pinga.

“Mungkin dah tiba masanya untuk kau mati, Esqandar! Tapi aku tak akan biarkan kau mati tanpa maruah. Bertarunglah demi nyawa kau!”

Raja Eriel mula menyerang. Mujur ayahanda sempat mengelak. Mereka bertarung untuk beberapa ketika sehinggalah mata pedang Raja Eriel mengoyakkan baju dan menghiris lengan ayahanda. Darah merah mengalir laju menuruni lengan ayahanda. Seperti baru terjaga dari lamunan, aku seperti baru tersedar akan suatu hakikat. Hakikat bahawa Raja Eriel bersungguh bila dia mengatakan dia akan menamatkan riwayat ayahanda dan seluruh keturunan kami.

“Berhenti!!!” Jeritku.

Di luar ruang kesedaranku, aku dapati aku sudah pun menolak Raja Eriel ke dinding sehingga dia terbaring di sudut dinding. Lima orang tentera Raja Eriel yang 'menjaga' aku tadi kelihatan terpinga-pinga di belakangku. Begitu juga sekalian yang ada di dewan mengadap tersebut.

Beberapa saat yang lalu, aku pasti benar yang aku berada jauh darinya. Beberapa saat. Masa itu terlalu singkat untuk aku sampai padanya. Apapun, aku tak punya masa untuk memikirkannya. Satu-satu alasan yang terasa logik saat ini adalah rantai Oc-cra yang tergantung di leherku.

Raja Eriel yang sedang mengerang kesakitan aku hampiri. Aku pandang tepat ke matanya. Jelas kekeliruan di matanya. Seperti aku, dia juga sukar menerima bagaimana dia boleh berada di sudut dinding ketika itu.

“Raja Eriel, izinkan saya menunjukkan sesuatu pada tuanku.”

Tanpa menunggu persetujuannya, aku menggenggam erat tapak tangannya. Tanpa berlengah, aku 'tunjuk'kan memori-memori yang pernah aku baca. Sebuah cerita lengkap berkenaan taktik kotor Rexo untuk memecahbelahkan kami berdasarkan tiga sudut pandangan orang yang berbeza; Kerk, ayahanda dan juga Rexo.

“Apa semua ni?!” Soal Raja Eriel berang. Tubuhnya terasa kejang di situ. Matanya memandang kosong ke hadapan. Aku tahu, dia sedang lihat apa yang aku lihat sekarang. Memori Kerk, ayahanda dan Rexo aku layarkan di hadapan matanya. Kemudian aku bandingkan pula dengan memori yang tersimpan dalam memorinya.

Aku pernah membaca memori Rexo, Esmet dan Menelaus dari jarak jauh. Malah memori Jetto yang berselirat dan berserabut dengan memori 99 999 orang tentera di bawah pimpinannya pun masih mampu aku fahami. Namun meminta seseorang menerima 'apa yang aku lihat dan dengar' dari minda seseorang adalah sesuatu di luar kekuasaanku. Walau bagaimanapun, aku tetap berharap kuasaku yang tak seberapa ini dapat mengelakkan dua beradik ini dari terus berbunuhan.

Raja Eriel merentap tangannya dari genggamanku.

“Kau...! Kau ada ilmu sihir!” Tuduh Raja Eriel setelah tangannya aku lepaskan. Dia menjauhkan diri dariku. Memandangku dengan mata tercengil. Tubuhnya berpeluh-peluh. Nafasnya tercungap-cungap seperti baru menamatkan larian beratus batu jauhnya.

“Tidak! Tuanku tahu kan saya adalah salah seorang dari pemilik Oc-cra. Saya punya kuasa untuk membaca memori seseorang. Tuanku baru sahaja menyaksikan bacaan memori ayahanda, Kerk dan Rexo. Saya juga boleh membaca apa yang ada dalam memori tuanku.”

“Kerk? Anakandaku yang sudah ingkar kerana menuruti godaan kau tu?!”

“Tidak! Kerk bukan anakanda, tuanku! Kerk sebenarnya adalah Putera Rhyss, putera Raja Eries dan Permaisuri Xera dari Segi. Tunang saya.”

Aku halakan pandanganku ke arah Raja Eries dan Permaisuri Xera di sisi kiri dewan. Mata Raja Eriel mengekori mataku. Seketika kemudian dia kembali memandangku dengan pelbagai persoalan di dalam kepalanya. Mungkin agak sukar baginya untuk mentafsir dan mencerna keseluruhan cerita dengan hanya menunjukkan memori demi memori yang aku berikan. Dia perlu penerangan.

“Kerk telah diculik, dipukul, dicampakkan ke dalam hutan oleh Rexo, dan kemudiaannya ditemui oleh tuanku. Dia hilang ingatan dan tuanku sogokkan dia dengan kebencian terhadap kami. Cerita selebihnya, tuanku lebih arif...”

Mata Raja Eriel mengecil. Dan bila cerita mengenai Kerk dariku selari dengan ceritanya, dia tersandar ke dinding. Masih tidak percaya. Tetapi keraguannya terhadap diri sendiri semakin tinggi.

“Ayahanda saya, Raja Esqandar tak bersalah! Datuk juga tak bersalah. Bukan mereka yang membunuh Ria, isteri tuanku. Seperti tuanku, mereka juga terperangkap dengan permainan Rexo! Rexo adalah pembunuh sebenar.”

“Tidak! Aku tak percaya! Aku tahu Raja Theseu bencikan Ria. Aku juga tahu Esqandar cemburu dengan perlantikkanku sebagai putera mahkota... Mungkin kau sengaja mencipta memori tersebut untuk kepentingan kau dan Eucris yang lain.” Ujar Raja Eriel seraya menunding telunjuk ke arahku.

Aku menggelengkan kepala.

“Saya hanya mampu membaca memori seseorang, bukannya mencipta memori yang tak pernah berlaku. Apa yang ada dalam memori seseorang bergantung pada apa yang dilihat, didengar, dirasai oleh si pemilik memori. Saya tak boleh mengubahnya... Sekarang semuanya bergantung pada penilaian tuanku untuk menentukan kebenarannya.”

“Tapi Rexo...” Fikiran Raja Eriel semakin berkecamuk.

“Tuanku sudah pun melihat sendiri memori Rexo melalui saya. Rexo yang membenamkan pedang diraja Eucris ke dada Ria. Kemudian dia mengupah saksi untuk membawa cerita bahawa ayahanda yang membunuh Ria, kononnya atas arahan Raja Theseu. Saya rasa semuanya sudah jelas sekarang; siapa yang salah dan siapa yang benar.”

Aku duduk melutut di hadapan Raja Eriel. Keadaannya lebih tenang berbanding tadi. Aku percaya, cerita sebenar tentang kematian isterinya semakin jelas di mindanya sekarang. Seperti permainan menyusun gambar, kronologi berkenaan serangan secara rambang dan besar-besaran Rexo ke atas Eucralipse dan Segi, diikuti dengan penculikan Kerk, penemuan Esmet di Segi, serta pembunuhan Ria sudah tersusun kemas di dalam kepala Raja Eriel.

“Rexo adalah musuh Eucris dan Eucralipse berabad-abad lamanya. Malah dia pernah menjadi orang suruhan Dewa Kegelapan. Jangan hanya kerana marah tuanku memusnahkan keluarga dan jajahan tuanku sendiri.”

Raja Eriel mendiamkan diri.

“Fikirkanlah, Tuanku... Jangan ikutkan rasa hati yang membenci atau dendam yang membelenggu diri. Ikutlah gerak hati. Setiap orang punya gerak hati untuk membezakan baik dan buruk, benar atau salah akan sesuatu perkara. Tak terkecuali Tuanku sendiri.”

Raja Eriel tunduk menyembunyikan wajah. Suasana di dalam dewan mengadap sunyi dan tertumpu pada Raja Eriel

“Jadi selama ini beta tersalah sangka?” Raja Eriel mengangkat wajahya. Di birai matanya aku terlihat ada cecair jernih yang bertakung.

Aku mengangguk.

“Rexo tahu kemelut antara tuanku, Raja Theseu dan ayahanda. Maka dia mempergunakan perselisihan tersebut sebagai peluang. Lalu diciptakannya salah faham, menanam kebencian untuk memecah-belahkan kita. Tengoklah kita sekarang, bertelagah sesama sendiri sedangkan dia sedang berusaha menakluk Eucralipse untuk dirinya sendiri di luar sana!” Balasku.

Tiada suara bantahan kedengaran dari mulut Raja Eriel. Dia hanya memandang kosong ke lantai kembali.

“Rexo akan membunuh tuanku sebaik sahaja dia dapat menguasai Eucralipse. Sebenarnya, dia tak pernah kisah pun tentang hidup mati tuanku sejak mula lagi. Malah dia juga akan membunuh Esmet bila perkhidmatannya sudah tak diperlukan.”

Raja Eriel terkejut mendengar kata-kataku. Aku hanya mengangguk. Membenarkan kata-kataku.

“Satu-satunya orang yang disayangi oleh Rexo adalah dirinya sendiri. Selain kuasa dan tahta, dia tak perlukan sesiapa lagi.”

Raja Eriel mengeluh berat dan panjang lalu menekup wajahnya dengan tangan.

“Apa yang dah beta lakukan?!!” Teriaknya. Cerita sebenar tentang apa yang berlaku lebih sedekad lalu bagai selumbar yang menusuk di hati Raja Eriel. Syak wasangka menjadi selumbar dalam hubungan kekeluargaan Raja Eriel dan Eucris yang lain sehingga mengakibatkan pengkhianatan, pergaduhan dan kini peperangan. Raja Eriel benar-benar kesal dengan apa yang telah berlaku.

Aku menoleh mendengar derap kaki di belakangku lantas mendongakkan kepala. Ayahanda tersenyum nipis kepadaku. Aku bangun. Memberikan ruang pada ayahanda. Ayahanda melutut di sisi Raja Eriel.

“Kanda Eriel... Saya tak pernah cemburu terhadap semua keistimewaan yang kanda. Kanda memang berhak untuk dapat semua itu. ”

Raja Eriel mengangkat wajahnya yang basah dengan air mata. Tiada lagi kebencian di matanya. Hanya penyesalan di situ.

“Ayahanda berusaha keras untuk mengekalkan keamanan dan keutuhan kerajaan kita di Eucralipse. Ayahanda terlalu berharap sesuatu yang lebih dari kanda, terutama dalam menyambung legasinya. Perkahwinan kanda dengan Ria adalah sesuatu yang di luar jangkaannya. Dia kecewa namun tetap berusaha untuk menerima pilihan kanda. Tapi kehadiran Rexo merosakkan segalanya.”

“Kanda berdosa! Kanda mengkhianati keluarga dan rakyat kanda sendiri hanya kerana salah faham. Kanda memang tak layak bergelar raja!” Kata Raja Eriel sambil menggelengkan kepalanya beberapa kali.

Ayahanda mengengsot ke hadapan, memegang bahu lalu memeluk erat Raja Eriel.

“Maafkan kanda, Esqandar!” Pohon Raja Eriel dari belakang bahu ayahandaku.

“Kanda dah kembali, itu yang penting bagi saya...” Balas ayahanda dalam keadaan sebak.

“Maafkan kanda, Esqandar! Kanda dah mengecewakan semua orang! Kamu, Eucris, Eucralipse, rakyat... Kalau bonda dan ayahanda masih ada, tentu dia juga akan kecewa...” Ujar Raja Eriel lagi dalam esak yang panjang.

“Tiada apa yang perlu dimaafkan, kanda! Kita semua terperangkap dalam penipuan licik Rexo.”

“Kalaulah...”

“Itu semua tak penting, kanda! Apa yang penting kita sudah bersama sekarang.”

Ayahanda dan Raja Eriel berpelukan lagi. Saling bermaafan, bertanya khabar dan bertukar cerita berkenaan diri masing-masing sepanjang 'perpisahan' mereka. Mereka menangis dan ketawa dalam masa yang sama.

Tiada sesiapa yang bersuara ketika itu. Tiada sesiapa yang berani mengganggu momen tersebut. Masing-masing terharu sekaligus bersyukur melihat kedua-dua beradik tersebut sudah berbaik-baik setelah sekian lama bermusuhan. Bonda, aku lihat mengesat air matanya dengan sapu tangan sutera. Raja Eries dan Permaisuri Xera berbalas senyuman sesama sendiri.

Ellisa menghampiriku lalu memeluk bahuku.

“Satu usaha yang baik, Eury!” Bisiknya bangga.

Aku mengenyitkan mata.

“Tengok orang la! Ini Eury, kan?” Usikku. Ellisa mencemik. Bosan bila aku mula membanggakan diri walaupun dia tahu aku hanya berlakon.

Kami berpandangan beberapa ketika sebelum tertawa riang.

Angin dingin yang menampar lembut ke pipi membuatkan tawaku terhenti. Angin tersebut terlalu dingin sehingga tubuhku menggigil kesejukan sedangkan matahari memancar terik di luar bangunan istana.

“Eury...”

Satu suara menyusup masuk ke gegendang telingaku. Serentak itu aku lihat ada sesuatu yang berwarna putih terbang melayang ke arahku lantas melekat di pipi. Aku ambil kain lembut itu. Aku bawa ke hadapan mata.

Sehelai sapu tangan....

Aku kenal sapu tangan ini.

Ini sapu tangan aku.

Sapu tangan yang aku berikan kepada Kerk ketika dia cedera di Akademi Eucralipse dulu.

Sapu tangan ini jugalah yang dibawanya sewaktu berangkat ke medan perang pagi tadi....

“Eury...” Suara itu sayup-sayup menampar gegendang telingaku sekali lagi. Itu suara Kerk. Kerk cuba berbicara denganku melalui kuasa telepati.

Adakah ini petanda yang...

Aku berlari ke jendela. Keadaan di padang rumput lebih mengerikan dari apa yang aku lihat sebelum kemunculan Raja Eriel tadi. Jumlah tentera Eucralipse yang masih hidup sangat sedikit sedangkan jumlah tentera musuh, terutamanya tentera Dewa Kegelapan, hampir tidak terjejas.

“Masanya dah tiba, Eury... Ingat janji awak... Janji kita...”
Perbualan antara aku dan Kerk awalpagi tadi berulang tayang dalam kepala.

“Sekiranya kami gagal menewaskan Rexo dan orang-orangnya, saya mahu awak dan Ellisa bawa semua yang ada di istana ini ke kubu perlindungan terakhir Eucralipse di Gunung Ocre...”

Kerk...

“Tolong jangan datang ke medan peperangan... walau apapun yang terjadi...”

Kerk...

“Saya cintakan awak, Eury! Lebih daripada apa yang boleh awak bayangkan...”

Dadaku terasa sesak.

“Pergi, Eury! Bawa bonda, ayahanda dan yang lain-lain... Ini harapan terakhir kita agar keturunan Eucris tak lenyap...”

Setitis air mataku jatuh ke pipi.

“Eury... Ingat janji kita... Awak akan tetap teruskan hidup walau apapun yang terjadi pada saya... Ingat tu...”

Serentak itu aku terdengar suara Kerk melolong kesakitan dari arah padang rumput.

“Kerk...!!!”


*** Maaf utk kelewatan n3 kali ini...jemu rsnya memohon maaf, mgkin yg membacanya juga terasa jelak... tp janggal rsnya utk mengadap skrin laptop bila ada ahli keluarga yg keluar & masuk hospital, serta ada berlakunya kematian... mohon pengertian dari anda semua. Al-Fatihah buat datuk tersayang...

10 comments:

epy elina said...

trharu lak bca part ni....
eury...
slmtkan kerk....
eury ada oc-cra....
gbngkan kuasa ngn kerk....
g slmtkan kerk....

Nina Aziz said...

huh hah huh...nervous nk tau pe jdi lpas tu...
eury fighting!!!
nina tggu next chapter...

mizuki said...

takpe.take ur time.
n3 trbru nie mmang mngharukan.

tzaraz said...

Inalillah... takziah eury...

eury said...

TQ kpd yg sbr n yg membaca...:)) time ksh tzaraz...

miszhana said...

sedihnya jgn la bg kerk mati.. xmaw..

Ai said...

huhuhu.. sdh yer....
tolongla kak eury.. jgn matikan kerk.. (daku x bleh trima!!!)

tahziah kak eury.. inaliliah...

IVORYGINGER said...

Salam takziah.
Semoga roh datuk awk dcucuri rahmat.
Amin...

IVORYGINGER said...

Alahai tak mau la apa2 jd kat Kerk.
Bukan dia pun ada oracle. Hope menda tu selamatkan dia. huhuhu

Anonymous said...

take ur time eury...
perlahan-lahan siapkn next en3 yer...
fighting!!!!

Followers