Sunday, November 21, 2010

eucralipse 26



“Kerkk...!!!”

Bonda, Permaisuri Xera dan Raja Eries segera menghampiriku dengan wajah cemas sebaik sahaja terdengar jeritanku tadi. Pelukan ayahanda dan Raja Eriel lerai serta-merta.

Aku pejamkan mata. 'Mencari' Kerk di padang rumput sana. Tubuh kaku berada di sana-sini. Darah merah menukar warna rumput yang menghijau. Api, asap dan debu memenuhi ruang udara. Kemungkinan untuk melihat tentera Eucralipse berdiri gagah tanpa sebarang kecederaan di sana adalah sangat, sangat tipis. Tujuh lapis tentera Dewa Kegelapan hampir tidak terjejas. Hanya dua lapisan yang paling luar yang kelihatan berkurangan jumlahnya. Ada beberapa orang tentera kami yang masih bertahan. Tubuh tentera yang lain bersepah di situ. Aku 'nampak' Egart. Masih berada di luar tujuh lapisan tentera Dewa Kegelapan. Masih menggenggam pedang di kedua-dua belah tangannya. Melibas apa sahaja yang berdekatan dengannya. Berjuang dan terus berjuang tanpa mengira kecederaan dan keletihan yang mula melemahkan tubuh. Aku gagal mengesan Kerk. Dan aku mula panik.

Seketika kemudian, aku terpandang akan sesuatu yang aneh. Terdapat ruang kosong yang ketara jelasnya sebaik sahaja 'pandanganku' melepasi lapisan kedua tentera Dewa Kegelapan. Ia adalah sesuatu fenomena yang aneh memandangkan Jetto tidak akan sesekali membenarkan barisan tenteranya meninggalkan kedudukan masing-masing. Ini kerana dia telah menempatkan setiap tenteranya di kedudukan masing-masing mengikut kekuatan mereka.

Kemudian aku terpandang sekumpulan besar tentera Dewa Kegelapan mengerumuni sesuatu. Apapun ia, ia benar-benar membuatkan para tentera tersebut teruja dan terhibur. Tiba-tiba jantungku berdegup kencang.

Apa yang membuatkan mereka beralih dari tempat mereka? Tak mungkin Jetto semudah itu membenarkan mereka berbuat demikian kerana itu akan melemahkan sistem pertahanan tenteranya. Melainkan 'bahaya' yang perlu mereka tangani sudah tiada...

Kerk...

Jantung terasa seperti mahu berhenti sebaik sahaja 'melihat' Kerk berada di tangah-tengah tentera Dewa Kegelapan yang besar dan bengis. Kerk bagaikan bola pada mereka. Ditendang dan dipukul oleh mereka tanpa belas. Kerk cuba menyerang balas namun dia seperti sudah kehabisan tenaga kini. Dan dia berseorangan di situ. Lima orang tentera Dewa Kegelapan, dengan sayap yang besar seperti burung terbang, memukul Kerk di udara ketika Kerk cuba terbang untuk keluar dari seksaan mereka. Mereka bersorak gembira sebaik sahaja Kerk terjunam jatuh ke tanah.

Rexo, Esmet dan Jetto muncul dari celah-celah tentera Dewa Kegelapan yang masih bersorak. Pada wajah mereka, terlukis kegembiraan saat melihat Kerk terbaring kesakitan. Esmet melangkah beberapa tapak ke hadapan. Ingin melihat wajah Kerk yang kesakitan dengan lebih jelas. Riak angkuh dan gembira menghiasi wajahnya. Segaris senyuman sinis terukir. Tubuh Kerk ditendang oleh Esmet. Kemudian dicekaknya leher Kerk lantas memaksa Kerk melutut di hadapannya.

Rantai Oc-cra dikeluarkan dari dalam baju. Warna hijau Oc-cranya gelap seperti warna lumut. Seingat aku, warnanya tidaklah segelap itu. Oc-cra Esmet bersinar garang. Kerk menjerit kesakitan. Kali ini kesakitannya melebihi kecederaan yang terdapat di tubuhnya. Apa yang dirasakan kini seolah-olah tenaga dan kuasanya disedut keluar secara perlahan-lahan. Sejak dari awal kemunculan Esmet, aku lihat Kerk gagal mengalihkan pandangan dari terus merenung ke dalam mata Esmet. Mata Esmet seperti sudah mengunci pandangan Kerk. Mata Esmet yang berwarna kuning itu seumpama pandangan terindah di mata Kerk ketika ini. Dan aku dapat rasakan ketakutan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata sewaktu aku 'memandang' tepat ke anak mata Esmet. Mungkin begitu jugalah yang dirasakan oleh Kerk hingga dia tidak mampu menggerakkan mana-mana anggota tubuhnya untuk menentang Esmet.

Awan gelap berarak laju. Menyelubungi hampir keseluruhan ruang langit. Menutupi sinar sang mentari serta Eucristar, bintang yang menjadi sumber kekuatan di Eucralipse. Kuasa kejahatan sudah mula menguasai alam. Keseimbangan kuasa baik dan kuasa jahat sudah hampir tiada.

Dengupan jantung Kerk kedengaran semakin perlahan di telingaku. Aku menelan air liur. Aku tahu hanya aku sahaja yang dapat menyelamatkan Kerk. Dan aku tak punya banyak masa yang tinggal. Kerk mmejamkan matanya.

“Lari Eury....”

“Tidak! Saya mesti selamatkan awak!”

“Jangan buat kerja sia-sia! Cepat selamatkan diri awak dan yang lain-lain sementara masih ada peluang!”

“Kerk...!”

“Eury, untuk kali ini, tolonglah dengar cakap saya...”

'Kali ini' itu boleh jadi 'kali terakhir' kalau aku ikut katanya, bukan?

“Tolong jangan datang ke medan peperangan... walau apapun yang terjadi...”

Ahh... Persetankan janji itu! Bacullah aku jika aku lari dari menjalankan tanggungjawab dan amanahku! Ini tanah jajahan aku, bukan?

“Kenapa Eury? Apa yang terjadi pada Kerk?” Soalan Permaisuri Xera menyedarkan aku.

Aku kembali ke alam realiti. Menipu. Mungkin itu tindakan yang terbaik bagiku buat masa sekarang. Mereka akan panik sebaik sahaja keadaan Kerk aku khabarkan pada mereka. Mungkin sahaja Raja Eries dan Permaisuri Xera akan mengambil tindakan melulu untuk menyelamatkan putera yang kurang sehari mereka kenali. Perkara tersebut tak seharusnya terjadi. Aku pasti Kerk juga tak mahu adanya Eucris menjejakkan kaki ke medan peperangan saat ini.

Kalau ada yang terkorban, selain Kerk, seharusnya orang itu adalah aku. Mungkin ayahanda, bonda dan yang lain-lain boleh bermula semula di tempat baru. Tempat yang jauh dari sini. Tempat di mana Rexo dan orang-orangnya idak dapat mencari mereka.

Sapu tangan di tangan aku tunjukkan pada mereka.

“Apa maksudnya?” Soal ayahanda yang sudah menghampiriku.

“Isyarat dari Kerk. Sudah tiba masanya untuk kita berundur ke Gunung Ocre.”

“Adakah Kerk...” Permaisuri Xera hampir tidak sanggup untuk meneruskan ayatnya.

“Tidak! Kerk baik-baik sahaja di sana. Cuma... Ini langkah berjaga-jaga. Kerk tak mahu mengambil sebarang risiko...”

Permaisuri Xera dan yang lain-lain kelihatan lega. Begitu juga dengan aku kerana penipuanku berjaya memperdayakan mereka. Aku pandang Raja Eriel.

“Saya harap tuanku tak bercerita tentang kewujudan kubu rahsia kami itu pada sesiapa.”

Raja Eriel berkerut.

“Maksud kamu bekas gudang yang menyimpan senjata tu ke?”

Aku mengangguk.

“Beta sendiri lupa akan kewujudannya.” Dan aku tahu kali ini dia bercakap benar.

“Bagus! Kesemua Eucris harus beredar sekarang!” Arahku tenang. Entah dari mana aku dapat ketenangan tersebut, aku pun kurang pasti. Ayahanda, bonda, Raja Eriel, Raja Eries dan Permaisuri Xera melangkah berat membontoti aku dan Ellisa.

Kami bergerak menuruni istana menuju ke gudang menyimpan barang. Hampir 50 orang pengawal mengiringi kami ke situ. Mujur cubaan rampasan kuasa ke atas istana kami yang dilakukan oleh Raja Eriel tidak mengorbankan banyak nyawa pengawal istana.

Setibanya di gudang tersebut, Ellisa, dengan bantuan para pengawal, segera mengalihkan kotak-kotak kayu berisi stok bijirin dan buah-buahan ke tepi. Rumput-rumput kering di lantai ditolak ke tepi dengan kaki. Kelihatan sebuah pintu kayu dengan pemegang besi. Salah seorang pengawal menarik besi berbentuk bulat untuk membuka pintu tersebut. Habuk berterbangan membuatkan kami bersin. Dari balik pintu, muncul anak-anak tangga kecil menuju ke tingkat bawah yang gelap.

“Tangga-tangga ini akan bawa kita ke terowong rahsia dan terus ke bawah Gunung Ocre. Orang-orang kita dah pun memeriksa keadaan terowong malam tadi dan mereka mengesahkan ia selamat untuk dilalui.” Ujarku seperti yang pernah diberitahu oleh Altrun kepadaku.

Api obor aku nyalakan. Kemudian aku berikan pada para pengawal. Keluargaku mula menuruni satu-persatu anak tangga di situ. Permaisuri Xera, diikuti Raja Eries. Disusuli oleh ayahanda dan bondaku serta pengawal mereka. Raja Eriel berdiri tenang di sebelahku. Tiada tanda-tanda untuk bergerak. Begitu juga dengan Ellisa.

“Eury?!” Panggil Bonda tatkala memijak anak tangga kedua. Ada unsur keliru dalam suara bonda. Aku diam. Tubuhku kaku di tempatku.

“Eury... Mari kita pergi!” Ajakan bonda tidak aku sambut. Ellisa memandangku. Membaca reaksiku. Aku tahu dia faham kehendak hati sebaik sahaja dia menatap tepat anak mataku. Dan tanpa perlu memandang anak matanya, aku juga tahu yang dia juga mahu menyertaiku.

“Mereka perlukan Eury di sini untuk menang!”

“Eury!” Suara bonda kedengaran terkejut sekaligus sedih sebaik sahaja memahami akan maksud kata-kataku.

“Eury! Kamu tahukan Kerk melarang keras kamu ke sana! Ayahanda dan bonda juga tak mahu kamu ke sana! Lagipun kamu sendiri kata keadaan Kek baik-baik sahaja di luar sana!” Ayahanda mengingatkanku.

“Ya, tapi Eury yakin Eury boleh membantu.”

“Eury, mungkin kamu patut ikut cakap ayahanda dan bonda kamu sekarang...” Pujuk Raja Eries pula.

“Maaf bonda, ayahanda... Maaf semua... Untuk sekali ini Eury terpaksa ingkar dengan arahan sesiapapun. Percayalah, Eury tahu dan yakin dengan tindakan Eury ini...”

Aku pandang Raja Eriel.

“Tuanku patut ikut mereka juga.”

“Beta tak sanggup nak lepaskan detik-detik berlawan di samping kamu. Lagipun beta teringin nak menyaksikan keajaiban Oc-cra yang kamu miliki... Mungkin inilah satu-satunya cara untuk beta menebus dosa-dosa beta terhadap Eucris!”

Aku pejamkan mata. Mungkin Raja Eriel dapat membantu. Lagipun, tak mungkin aku dapat memaksa Raja Eriel untuk bersembunyi sedangkan tekadnya sudah bulat untuk membunuh Rexo yang membunuh isterinya.

“Eury, jangan buat bonda begini. Kamu tahu bonda tak boleh hidup kalau sesuatu terjadi ke atas kamu...” Tangisan bonda mula bergema di ruangan kecil itu. Dengan isyarat tangan, aku mengarahkan pengawal memegang lengan bonda yang mahu mendapatkanku.

“Ke tepi kamu! Siapa kamu untuk sentuh beta? Jangan halang beta!” Marah bonda.

Bonda merempuh tubuh pengawal untuk keluar dari terowong. Kedua-dua belah tangan aku bawa ke hadapan. Mewujudkan satu tembok lutsinar di hadapan pintu masuk tersebut. Menghalang bonda atau sesiapa sahaja keluar dari situ. Kemudian aku hembus perlahan ke arah pintu tersebut. Namun hembusan tersebut bagaikan angin taufan yang membuatkan bonda dan yang lain-lain tertolak masuk ke dalam terowong.

“Bawa kesemua Eucris ke Gunung Ocre dengan selamat!” Arahku tegas.

“Baik, tuan puteri!”

“Eury!!!” Suara panggilan bonda sayup-sayup kedengaran, diikuti dengan rungutannya terhadap pengawal yang menuntunnya pergi.

“Kanda Eriel?” Ayahanda yang baru menyedari 'ketiadaan' kekandanya pula memanggil.

“Kanda akan jaga Eury, Esqandar!” Janji Raja Eriel pada ayahanda yang sudah tidak kelihatan.

“Eury!!”

“Semoga bertemu lagi!” Kataku perlahan.

Aku segera menutup pintu tersebut.

“Beta dah agak kamu tak akan berundur dan ikut Eucris yang lain! Kamu keras dan degil. Tak ubah seperti datuk kamu...” Puji Raja Eriel dengan rasa bangga.

Suara-suara dari terowong sudah tidak kedengaran lagi. Tentunya mereka sudah berjalan jauh ke dalam terowong. Aku memanjat doa agar mereka selamat tiba di Gunung Ocre. Air mata yang hampir menitis aku kesat. Ketika itulah aku sedar ada sekumpulan tenaga pengajar istana, cendikiawan negara serta beberapa orang pengawal istana sedang memerhatikanku dari belakang.

“Ini sahaja? Tak ada yang tertinggal?” Soalku.

“Ini sahaja yang ada, tuan puteri!”

Aku angguk.

“Bawa mereka ke sana segera.”

Mereka menundukkan badan tanda hormat dan akur. Pintu masuk ke terowong dibuka. Seorang demi seorang melintasiku untuk masuk ke dalam terowong. Tiba giliran Puan Oracle, tanpa diduga dia memelukku.

“Adakalanya kita terpaksa menyakiti orang yang kita sayang untuk menyelamatkan kita. Percayalah, tindakan tuan puteri lakukan ini betul.” Ujar Puan Oracle lembut.

Aku memeluknya erat. Gembira kerana dia faham akan niatku dan tidak menghakimi aku dengan menilai perbuatanku sahaja.

“Siapa sangka, puteri yang malas dan keanak-anakan dulu kini sudah dewasa dan matang? Saya lihat tuan puteri pun dah semakin mahir menggunakan kelebihan Oc-cra. Mungkin sudah tiba masanya untuk tuan puteri membaca Kitab Oc-cre.”

Aku meleraikan pelukan. Wajah Puan Oracle aku tatap.

“Tapi beta tak punya masa untuk membaca!” Bantahku sambil mencari buku tebal di tangannya. Namun tangannya kosng sahaja.

“Kitab Oc-cra tidak dijilidkan, tuan puteri. Pemilik Oc-cra terdahulu takut rahsia mengenai Oc-cra diketahui oleh orang yang tidak sepatutnya. Seperti rahsia Eucris yang lain, Kitab Oc-cra diperturunkan pada keturunan saya. Pemegang Kitab Oc-cra terdahulu akan menulis dan melukis kitab tersebut untuk dibaca dan dihafal oleh pemegang seterusnya sebelum ianya dibakar. Kemudian kami akan menunggu dan terus menunggu sehingga adanya pemilik Oc-cra yang baru. Adalah menjadi tugas kami untuk menyampaikan Kitab Oc-cra kepada pemilik Oc-cra yang baru untuk dijadikan panduan. Tuan puteri dan Putera Rhyss adalah pemegang Oc-cra yang telah dipilih.”

“Mari...” Puan Oracle menghulurkan tangannya. Perlahan-lahan tangannya aku sambut. Pandanganku serta-merta menjadi gelap. Imbasan demi imbasan berkenaan apa yang tertulis di dalam kitab tersebut terlayar di hadapan mata. Ianya ditulis dalam bahasa kuno Eucralipse. Bahasa tertua yang digunakan di awal kemunculan Kerajaan Eucralipse. Aku membaca dan sekaligus menghafalnya.

Raja Elric adalah pemilik pertama Oc-cra atas jasanya membantu Dewi Ayena yang sesat dan cedera di jajahan Eucralipse. Menurut Dewi Ayena, Dewa Kegelapan telah menyamar sebagai manusia dan memperdayakannya. Manusia tersebut berjanji untuk mencarikan sayap emas miliknya dengan syarat diberikan serpihan Eucristar iaitu Oc-cra sebagai ganjaran. Dewi Ayena yang bersangka baik telah menghadiahkan Oc-cra kepada manusia tersebut. Sebaik sahaja mendapat Oc-cra, manusia tersebut menunjukkan rupa sebenarnya dan mencampakkan Dewi Ayena ke Gunung Hyase yang penuh lahar berapi. Mujur Dewi Ayena berjaya diselamatkan oleh Raja Elric. Raja Elric juga telah berjaya menemukan sayap emas milik Dewi Ayena. Menyedari Dewa Kegelapan akan menggunakan Oc-cra untuk tujuan jahat, Dewi Ayena menghadiahkan Oc-cra Pelindung kepada Raja Elric. Kepada permaisuri Raja Elric pula dihadiahkan Oc-cra Hijau.

Raja Elric telah berjaya mengalahkan Dewa Kegelapan dan menghalaunya jauh dari Eucralipse. Kemenangan membuatkan kuasa kebaikan menyelubungi ke seluruh alam. Dewa Kegelapan semakin lemah hingga terpaksa bersembunyi jauh di dalam tanah dan terpaksa menidurkan tenteranya. Rexo, orang kanan yang banyak memegang rahsia Dewa Kegelapan telah mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut dan membunuh Dewa Kegelapan. Dia kemudiannya meneguk darah Dewa Kegelapan. Walaupun Rexo tidak bersifat abadi, namun usianya sudah melebihi dua tiga abad panjangnya. Memandangkan kemampuan Rexo tak ubah seperti manusia kebanyakan, Raja Elric tidak mengenakan hukuman bunuh padanya. Hanya memastikan Rexo tidak mengganggu keamanan di tanah jajahannya.

Cerita selebihnya berkisar kepada kemampuan dan kekuatan setiap Oc-cra milik kami. Serta kelemahan tentera Dewa Kegelapan yang selama ini dianggap kebal oleh kami semua. Aku bagaikan menerima satu suntikan semangat di kala itu.

Tangan Puan Oracle aku genggam.

“Terima kasih, Puan Oracle. Ianya sangat berguna kepada beta.”

“Sama-sama. Ianya bermula dengan Oc-cra. Maka ianya harus diakhiri dengan Oc-cra juga.”

Aku ingin bertanya lanjut mengenainya namun suara cemas Raja Eriel membantutkan hasratku itu.

“Mereka sudah mula menghampiri istana. Mereka akan mula menyerang pada bila-bila masa. Kita harus kosongkan kawasan istana. Rakyat jelata perlu berpindah ke Gunung Ocre dengan segera.”

“Puan patut beredar sekarang!”

Aku segera mengarahkan pengawal membawa Puan Oracle menyertai yang lain untuk masuk ke dalam terowong.

“Boleh tuanku kumpulkan tentera kita yang tinggal?”

“Tak ada masalah!”

Bammm!

Bunyi kuat diikuti dengan bunyi runtuhan dan deraian membuatkan aku semakin bersemangat untuk menentang musuhku.

“Cepat! Kita dah tak ada masa lagi!”

************

Jeritan nyaring menyapa telinga sebaik sahaja pintu keluar istana aku buka. Di belakangku, Ellisa yang enggan berenggang dariku. Debu tanah berterbangan hingga mengganggu penglihatan. Kesan dari runtuhan tembok yang mengelilingi istana. Setelah beberapa ketika barulah anak mataku dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku. Suasana di situ begitu sibuk. Tentera Eucralipse yang diamanahkan menjaga istana, rakyat jelata, pekerja istana berkejar ke sana ke mari memberi bantuan kepada mereka yang tercedera dalam serangan Rexo dan orang-orangnya. Aku pantas menahan seorang tentera yang melintasiku dengan semangkuk air dan tuala. Dia memberi hormat sebaik sahaja terpandang diriku.

“Siapa nama kamu?”

“Ampun, tuanku! Nama saya Zant, ketua pasukan tentera ke-14.” Wajah Zant bulat dan agak keanakan. Aku percaya, di sebalik tubuhnya yang sasa serta suaranya yang lantang, dia hanyalah seorang remaja berusia belas tahun. Usianya mungkin sebaya atau muda satu atau dua tahun dariku. Tentera semuda ini dihantar ke medan perang dan mungkin akan terkorban. Ahh... Betapa pendeknya umurnya di dunia ini... Betapa bencinya aku terhadap keganasan dan peperangan.

“Apa yang sedang berlaku di sini, Zant?”

“Kami sedang memberi rawatan terhadap tentera kita yang tercedera di medan perang, tuanku.”

“Bagaimana keadaan mereka?”

Zant mengelengkan kepala.

“Kebanyakan mereka mati sebelum sempat dibawa balik untuk menerima rawatan. Tak ramai yang dapat diselamatkan. Kebanyakan mereka cedera teruk.”

Dalam keadaan huru-hara itu, jeritan kesakitan seorang tentera menarik perhatianku. Tumpuan aku alihkan padanya. Kedua-dua belah kakinya hancur. Sebelah tangannya sudah kudung. Darah membasahi seluruh pakaian serta tubuhnya. Mulutnya tak berhenti-henti mengucapkan perkataan sakit. Tabib diraja yang mahir dalam bidang perubatan memeriksa tubuh tentera tersebut. Tabib tersebut berdiri membelakangkan pesakitnya sebelum mengelengkan kepala ke arah dua orang tentera pelatih yang ada di situ. Salah seorang daripada mereka mengeluarkan pedang.

Aku dan Ellisa segera memejamkan mata.

Zapp...!

Darah merah memercik di dinding istana. Tentera yang cedera terkulai tanpa nyawa.

“Dia tak akan hidup lama sekalipun diberi rawatan. Besar kemungkinan dia akan mati dalam masa beberapa jam.”

“Kenapa dibunuh? Biarkan sahaja dia mati sendiri.” Kataku berang.

“Eury, ubat-ubatan yang kita ada terhad. Begitu juga dengan para pekerja kita. Kita terpaksa memilih pesakit. Kita hanya akan merawat mereka yang berpotensi untuk terus hidup sahaja.” Jelas Ellisa.

Sungguh, aku benci peperangan!

Tangisan bergema di sekelilingku. Di sana. Di sini. Di setiap sudut kawasan istana. Para isteri, anak-anak, abang, kakak, ibu, ayah, menangisi ahli keluarga mereka yang terkorban.

Apa yang lebih menyedihkan aku, aku dapat 'lihat' setiap satu kenangan manis antara mereka dengan si mati yang berlegar-legar di dalam kepala mereka. Seperti mereka, aku juga terseksa dengan apa yang aku 'lihat'.

“Zant, beta mahu kamu dan tentera pelatih yang lain bawa rakyat kita berundur ke kubu kita di Gunung Ocre melalui terowong bawah tanah sekarang. Beta mahu mereka beredar secepat mungkin. Tentera musuh sudah semakin hampir. Mereka dah mula menyerang istana.”

“Bagaimana dengan Raja dan Permaisuri?”

“Beta telah arahkan pengawal diraja untuk mengiringi mereka. Mungkin mereka dah hampir sampai di sana.”

Zant segera berlari mendapatkan rakan-rakannya yang lain. Memberitahu arahan yang aku berikan sebelum membantu rakyat Eucralipse bergerak pintu masuk terowong rahsia yang terletak di bawah stor penyimpanan barang. Ellisa meninggalkanku seraya membantu rakyat Eucralipse mengemaskan barang keperluan mereka.

“Makcik kena tinggalkan kawasan istana. Terlalu bahaya untuk terus berada di sini.” Pujukan Ellisa disambut dengan gelengan kecil dari seorang wanita tua. Dia sudah berhenti menangis namun wajahnya masih basah dengan air mata. Di ribanya terbaring seorang tentera Eucralipse yang sudah tidak bernyawa. Matanya memandang kosong ke hadapan.

Ellisa memandangku. Mengharapkan bantuanku untuk memujuk wanita tersebut. Aku merapati wanita tua tersebut. Aku dapat 'membaca' memorinya dengan jelas. Lelaki di pangkuannya adalah suaminya. Mereka telah berkahwin lebih 30 tahun. Suaminya begitu bangga dan gembira menjadi tentera Eucralipse. Dua orang anak lelaki mereka turut menyertai pasukan tentera Eucralipse beberapa tahun lalu. Dan mereka masih di medan perang. Mungkin tak akan kembali dan berkubur di sana. Ada rasa sakit menyucuk tangkai hatiku.

Wanita tua itu memandangku dengan mata yang berkaca.

“Suami saya...” Ujarnya

Aku bertinggung di sebelahnya. Menggenggam tangannya yang sudah berkedut. Wajah pucat suaminya aku pandang. Tubuhnya tidak dibasahi darah seperti kebanyakan tentera yang terkorban. Tetapi terdapat kesan anak panah menembusi tepat ke jantungnya. Dan dia mati serta-merta di medan perang.

“Suami makcik adalah seorang tentera yang gagah, berani dan setia. Kematiannya merupakan kehilangan besar buat Eucralipse dan kami.”

Air mata wanita tersebut jatuh ke pipi.

“Tentera musuh semakin hampir ke kawasan istana. Tempat ini tak selamat lagi buat kita. Beta mohon agar makcik dan lain-lain segera tinggalkan tempat ini. Kita masih ada kubu di Gunung Ocre. Ia dah lama tak digunakan. Mungkin hampir dilupakan dan tidak diketahui kewujudannya. Ia mungkin sebuah persembunyian yang baik selagi tak diketahui oleh pihak musuh.”

Dia masih tidak bergerak.

“Beta rayu, tolong ikut tentera kita ke sana...”

“Suami makcik... Makcik tak nak tinggalkan dia di sini.”

Aku mengangguk. Faham akan maksudnya. Seorang tentera aku gamit.

“Tolong angkat dan bawa mayat lelaki ini bersama.” Dia mengangguk lalu mengangkat dan mengandar tubuh lelaki tersebut di bahu. Wanita tua tersebut bangun.

“Terima kasih...” Ucapnya sebelum membontoti tentera tersebut. Aku bangun seraya mengeluh ke arah Ellisa.

“Ini bukan situasi yang mudah... untuk sesiapapun...” Kata Ellisa. Aku hanya mengiyakan katanya.

Kawasan istana sudah mulai sunyi ketika Raja Eriel menghampiri kami.

“Tak ramai yang tinggal. Tapi mereka dah bersedia!”

**************

Lima ribu tentera berbaris dengan kuda dan senjata masing-masing. Hanya itu yang tinggal. Yang lain sudah berundur bersama-sama rakyat dan Eucris yang lain. Kawasan istana sudah kosong tanpa penghuninya.

Aku menarik tali kekang kuda. Mengarahkan kuda tungganganku maju ke hadapan sebelum berpusing mengadap tenteraku. Ellisa dan Raja Eriel berada di kiri dan kananku. Memberi sepenuh sokongan terhadap apa jua tindakanku.

“Tentera Eucralipse, sebelum kita berperang, kamu harus tahu bahawa tentera Dewa Kegelapan itu kebal. Minda mereka dikawal sepenuhnya oleh Jetto, ketua mereka. Membunuh Jetto seumpama membunuh kesemua tentera Dewa Kegelapan. Namun untuk sampai ke Jetto di bahagian tengah tak mudah. Jetto akan mempergunakan kesemua kebolehan tenteranya untuk melindungi dirinya sendiri. Kebolehan mereka termasuklah mahir menggunakan apa jua senjata, kuat, kebal, boleh mengeluarkan api, dan kebolehan untuk terbang. ”

Aku pandang satu persatu wajah tentera di hadapanku yang kelihatan terkejut.

“Kelemahan mereka terletak pada leher mereka. Satu-satunya tempat yang tidak kebal dan tidak dilindungi oleh pakaian mereka yang keras bak besi itu.”

“Serangan harus dilakukan dengan cara dan sudut yang berbeza. Gunakan kreativiti kamu untuk menumpaskan mereka. Bilangan mereka mungkin ramai, tapi hakikatnya, mereka dikawal oleh seorang ketua. Seorang pengatur tindakan. Jetto. Dan Jetto inilah yang menggerakkan jasad-jasad tenteranya. Kamu boleh anggap tentera Dewa Kegelapan tersebut sebagai boneka yang bersedia untuk melakukan apa sahaja setelah digerakkan oleh tuannya.

“Kepelbagaian serangan kita akan menyerang akan membuatkan Jetto tak menang tangan untuk memikirkan cara untuk menangkisnya. Kita akan buat Jetto berfikir terlalu banyak sehingga dia gagal mengawal tenteranya. Soal Jetto, biar beta yang uruskan.”

Aku berjeda. Mengambil nafas lalu menyambung kata.

“Ingat! Kamu harus cepat dan yakin. Pastikan libasan senjata kamu tepat, kuat dan pantas. Dengan hanya sekali libasan, kepala mereka harus terpisah dari jasad. Kita tiada masa untuk membuat kesilapan mahupun masa untuk teragak-agak dalam apa jua tindakan. Tiada peluang kedua buat kita. Ingat, tiada peluang kedua! Sebaik sahaja mereka sedar akan serangan yang kita lakukan, mereka akan menepis, menyerang, memukul kita. Saat itu, kita sudah hilang peluang kerana tenaga mereka berkali-kali ganda kuatnya dari kita.”

Aku pandang Raja Eriel yang sentiasa di sisi. Raja Eriel menganggukkan kepalanya.

“Eucralipse sedang berhadapan dengan tentera musuh yang sangat kuat. Beta sendiri tak dapat pastikan sama kamu semua dapat pulang dalam keadaan bernyawa atau tidak. Tiada jaminan kemenangan yang dapat beta berikan. Kamu bebas untuk membuat pilihan. Sama ada untuk menyertai beta atau sebaliknya. Beta tidak akan memaksa kamu.”

Keadaan sunyi seketika. Tiada seorang pun yang bergerak dari tempat mereka. Ryun maju ke hadapan.

“Maaf, tuanku! Kami diajar untuk jadi berani dan bertanggungjawab. Jadi kami tak akan sesekali mengalah sebelum berjuang!”

Ucapan Ryun disambut dengan sorakan dari kesemua tentera. Mereka memukul pedang dan perisai di tangan tanda setuju. Keadaan gamat itu berterusan sehinggalah aku mengangkat tangan mengaahkan mereka bertenang.

“Terima kasih semua!”

Imbasan Kerk di padang rumput sana memecahkan ketenangan dalam diriku. Empat orang tentera Dewa Kegelapan; setiap orang memegang kaki dan tangan Kerk. Bersedia untuk menarik tangan dan kaki Kerk dari semua arah sehingga ianya putus.

“JANGAN!!”

Pedang di sisi tubuh aku tarik dari sarungnya. Kemudian aku layangkan ke udara. Berpusing-pusing terbangnya di udara sehingga mengenai leher empat orang tentera Dewa Kegelapan yang memegang tubuh Kerk. Kepala mereka putus dan jatuh serentak ke tanah. Diikuti dengan tubuh mereka. Kerk turut tersembam ke atas tanah. Kejadian itu menarik perhatian semua tentera Dewa Kegelapan. Mata mereka tak lepas-lepas dari memandang pedangku yang jatuh di sisi Kerk. Lambang pedang diraja Eucris terukir di situ.

“Eury! Aku cabar kau untuk selamatkan kekasih yang kau cintai ini!” Jerit Esmet seraya menarik rambut Kerk dan menghantukkan kepala Kerk ke tanah.

Pandanganku tidak beralih lagi. Tepat ke arah Kerk. Nekadku sudah bulat.

“Maaf, tentera Eucralipse! Kita tak punya masa untuk masuk ke medan perang secara dramatik!”

Sebaik sahaja menyudahkan ayatku, aku terus mengarahkan kudaku untuk memecut ke hadapan. Ellisa dan Raja Eriel yang kaget melihat tindakanku, tidak aku hiraukan.

Tunggu aku, Kerk! Tolong bertahan dan tunggu aku!

Di belakangku, kedengaran bunyi gading Ephant ditiup. Diikuti dengan jeritan Raja Eriel.

“SERANG!!!”

8 comments:

tzaraz said...

eury.. gila suspen! xsabar nak tunggu seterusnya.
oh kerk! bersabar ya yang.. haha

Anonymous said...

wah gila masyuk
bace cter perang yg terbest..
laen dr yg laen tu
nk ag..

Anonymous said...

description yg mantap la eury! memang boleh bayangkan seolah-olah tengah perang time tuh...

eury said...

TQ... :))

Nina Aziz said...

wahhh nervousnye....

epy elina said...

wah...
bgus tndkn eury...
pe pun brlku...
jgn sesekali tnglkn kerk...

IVORYGINGER said...

mmg best woo.
mcm p perang betoi2 ni.
Eury sggup bkorban apa shj demi kekasih hati. Ayuh Eury go go fight!!! Penggal kepala Esmet tu sx. Nyampah tul ngan pembelot ni. huhuhu

siti habsah said...

sy suke blog awak la.... :)

http://siha89.blogspot.com/2010/11/saya-suka-blog-awak-la.html

Followers