Monday, September 29, 2008

Setia Menanti

Minyak rambut aku sapukan ke rambut. Bila aku rasakan rambutku sudah cukup keras, aku tegak-tegakkan pula rambutku. Sesuai dengan motto minyak rambut Brylcreem aku ni; still standing. Kemudian aku check pula muka. Okey, clear! Tak ada jerawat. Baju kemas. Seluar okey. Perfect!

Adam yang terpisat-pisat baru bangun tidur aku pandang seketika. Mamai agaknya mamat nih! Selalunya dia la raja tidur. Kalo tak membuta sampai pukul 12 tengah hari hujung-hujung minggu ni, memang sah itu bukan Adam. Sebaik sahaja terpandangkan aku yang dah hensem ni, Adam bingkas duduk di birai katilnya.

“Woi, mangkuk! Apasal ko tak kejut aku gi kelas? Ko saje nak kenakan aku ek?” Soalnya lantang. Wei Han yang tadinya tidur terjaga kemudian bergegas bangun dan capai tuala.

“Woi bangang! Hari ni hari Sabtu lah... Mana ada kelas!”

“Habis, lu nak pegi mana?” Wei Han bertanya dengan mata separuh terbuka. Dah la sepet, bertambah sepet member aku ni... Wei Han kembali duduk di katilnya.

“Aku nak pegi library. Nak belajar!”

Terbahak-bahak si Adam dan Wei Han menggelakkan aku. Celaka punya kawan!

“Ko ni mabuk ke dah kena sampuk? Tak penah-penah pegi library, tiba-tiba pulak hari ni rajin nak pegi library! Pecah rekod ni...”

“Selama ni gua tengok lu langsung tak minat belajar, kenapa hari ni tiba-tiba lu jadi rajin ha?”

“Woi, kawan! Korang sepatutnya support aku... Aku ni nak berubah ke arah kebaikan. Sekarang baru aku sedar akan pentingnya ilmu pengetahuan...”

Adam dan Wei Han ketawa terbahak-bahak lagi. Sampai menonggeng-nonggeng atas katil. Aku ambil bantal dan aku lemparkan ke arah mereka berdua. Tepat mengenai sasaran. Senyap sekejap. Pastu diorang sambung balik ketawa. Tak guna punya kawan!

“Lu jangan tipu kita orang, ma... Kami orang tau la lu mau pegi tengok itu awek library...” Pandai juga apek pelat ni wat spekulasi. Mmm... Betul tekaannya.

“Entah. Macam la kita ni bodoh sangat. Tahu dah perangai ko tu!”

Aku capai handphone dan wallet. Dari melayan budak-budak mulut busuk macam longkang ni, baik aku blah. Nanti tak dapat port kat tempat strategik pulak...

“Lantak korang la... Sambunglah tido tu!”

*******************************************************************************

Nasib baik meja tu masih kosong. Aku dah naik gabra dah tadi. Aku takut meja ni dah ada orang duduk sebab aku lewat setengah jam daripada biasa. Apalagi kalo tak sebab melayan soalan si Adam dan Wei Han yang mengalahkan polis pencen tu. Ceh... Tak guna satu sen pun!

Dia seperti biasa tetap berada di meja itu. Menelaah buku-buku tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Namun hari ini dia berseorangan, tidak seperti selalu. Selalunya dia akan belajar bersama kawan-kawannya.

Ceh! Treler mana pulak yang berhenti depan meja aku ni? Menyemak aje kat sini. Potong stim aje. Baru nak berangan! Aku mengisyaratkan mamat tu supaya beralih. Nasib dia faham bahasa isyarat aku. Mamat tu angkat tangan dan pantas berlalu. Barulah aku nampak balik budak pompuan yang duduk selang lima meja dari aku. Cantiknya pompuan ni...

Namanya Sharina Binti Abdul Aziz. Umur 18 tahun. Tinggi 162cm. Berat 48kg. Anak pertama dari lima orang adik-beradik. Ayahnya seorang jurutera. Ibunya pula seorang guru. Amik aliran Sains Fizikal kat kolej matrikulasi ni. Asal dari Seremban. Status? Mmm... In a relationship @ dah ada pakwe. It’s okey... Orang kahwin pun boleh ceraikan. Lagipun aku nak berkawan aje dengan dia. Tapi kalo dia suka kat aku, aku no hal. Aku janji akan layan dia macam puteri raja... Hehe!

Hebat tak aku? Merata-rata aku tanya fasal minah ni. Hasilnya... Aku dah ada maklumat yang hampir lengkap tentang dirinya. Semakin banyak aku tahu tentang dirinya, semakin aku ingin mengenali orangnya. Macam ada magnet aje dia tu...

Sharina tunduk membaca. Sesekali aku tengok Sharina mendongakkan kepalanya dengan mulut terkumat-kamit. Mungkin sedang menghafal. Aku tegakkan buku setebal dua inci. Barulah tak nampak sangat yang aku ni pandang dia. Apa tidaknya, dah hampir sejam aku kat sini aku asyik pandang dia aje. Aku takut Sharina perasan aje. Rasa-rasanya dia perasan ke? Tak kot! Khusyuk aje aku tengok dia dari tadi.

Tiba-tiba Sharina angkat muka dan memandang ke arahku. Agak lama dia memandangku dengan muka yang mencuka. Dan dia bingkas bangun dari tempatnya. Berjalan ke arah... Aku? Ooo...

*******************************************************************************

“Apa masalah awak?!” Soal Sharina tegas. Aku terpinga-pinga. Masalah? Setahu aku, aku tak ada masalah. Duit cukup, belajar okey. Cuma sepuluh bulan kebelakangan ni aje aku tak lena tidur, makan tak lalu, mandi pun tak berapa nak basah. Sejak pertama kali aku terpaku melihat wajahnya ketika perhimpunan pada minggu pertama di kolej matrikulasi ini. Sejak aku jatuh cinta pandang pertama padanya. Akhirnya aku menjadi pemuja dirinya. Menjadi pemerhatinya yang setia pada hari itu dan hari-hari seterusnya.

“Tak ada masalah apa-apa.” Jawabku sambil mendongak memandang Sharina yang tegak berdiri di tepi mejaku. Mukanya masam aje. Aku tersengih. Menyembunyikan rasa hati dan debaran jantung yang makin menggila. Memang lawa giler la pompuan ni. Dari jauh lawa. Dari dekat lagi la lawa... Nak tak jadi awek saya?

“Tak ada masalah? Betul ke? Dari tadi saya tengok awak asyik pandang kat saya aje. Saya ada hutang dengan awak ke?”

“Aa... Tak adalah! Mana saya tengok awak. Dari tadi saya busy baca buku. Tengok! Banyak tak banyaknya buku yang saya dah baca. Mana ada masa nak tengok awak!” Aku tunding buku-buku yang berlambak di atas meja. Sharina menepuk meja. Tak puas hati pulak dia...

“Jangan nak tipulah! Saya nampak apa yang awak buat. Allah pun nampak apa yang awak buat.”

Aku terkulat-kulat sendirian. Bab ni, aku tak berani nak bohong. Nak mengaku ke tak? Mengaku ke tak? Be a gentleman la, Nizam!

“Sebenarnya, saya tengok awek yang kat belakang meja awak tu. So, awak jangan nak perasan la ek...”

Ooo... Nampaknya mulut aku lagi cepat dari otak aku. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata melepas la aku jawabnya...

Sharina menepuk meja sekali lagi. Kali ni lebih kuat. Ui... Kuatnya tangan dia! Tak sakit ke tangan dia yang lembut tu? Satu jelingan maut diberikan kepadaku. Pergh... Tak tido malam le aku! Sharina mendekatkan wajahnya ke mukaku. Tak sampai lima inci aje muka dia dengan muka aku. Sampai aku boleh bau perfume yang dia pakai. Eh... Apahal pulak minah ni? Tak kan nak cium aku kot? Kalo dia nak bagi, aku terima aje. Hehehe... Rezeki terpijak tu! Relaks Nizam, relaks... Maintain cool...

“Kalo berkenan dengan awek tu, napa tak approach aje? Tak payah nak tengok-tengok dari jauh. Ganggu konsentrasi saya nak belajar aje!”

Dengan kata-kata itu, Sharina pantas berlalu. Aku tersenyum sendirian. La... Ingatkan dia nak buat ape tadi. Wat cuak orang aje. Hmm... Ada progress gak hubungan kami. Sekurang-kurangnya dia sedar kewujudan diri aku kat dunia ni. Hehe... Tak kisah la kan kalo hubungan kami bermula dengan pergaduhan. Janji kami dah mula bercakap. Nanti ko Sharina, aku akan buat sampai ko tak tido malam sebab rindukan aku, azamku dalam hati.

“Excuse me... Sharina kata dari tadi awak asyik perhatikan saya. Betul ke? Awak nak berkenalan dengan saya ek?”

Aku panggung kepala. Sapa pulak MM a.k.a Minah Montel ni. Minah ni yang duduk belakang Sharina tadi tu kan? Tup tup aje dah ada depan aku. Apa ke hal nya? MM tu senyum malu-malu kat aku. Ah... Sudah! Aku perhatikan Sharina di belakang Minah Montel tu. Tersengih-sengih dia sebaik sahaja terpandangkan mukaku yang kelat. Ooo... Ni kes nak kenakan aku la ni... Aku julingkan mata.

“Maaf ye... Sebenarnya saya tak tengok awak. Sharina salah faham. Dia ingat saya pandang awak. Padahal mata saya ni juling sikit. Bila pandang kiri, mata saya kat sebelah kanan. Begitulah sebaliknya... Maaf ye sebab buat awak perasan!”

Merah muka Minah Montel tu. Dengan muncung di mulut, dia berlalu ke mejanya semula. Aku mencari-cari kelibat Sharina di situ. Eh, dah hilang dah! Aku segera mengemas buku-buku dan beredar dari situ. Tak tahan dengan jelingan si MM tu. Lagipun tak sebab untukku berada di situ lagi.

*******************************************************************************

“Mak cik, saya betul-betul lupa nak bawa duit hari ni. Boleh tak saya bayar malam nanti? Lagipun saya pelanggan tetap kedai ni!”

Aku yang tengah khusyuk mengadap sepinggan nasi pantas menoleh ke arah suara itu. Tepat sangkaanku! Sharina berada di situ. Sedang merayu pada salah seorang peniaga di kafe. Aku mula mencuri dengar perbualan mereka.

“Mak cik bukan tak nak bagi kamu berhutang, tapi mak cik ni dah banyak kali sangat kena tipu. Janji nak bayar tapi tak bayar-bayar. Kalo macam ni, bankrap la mak cik...”

“Tapi saya tak tipu mak cik. Saya betul-betul terlupa nak bawak duit. Tak kan saya nak balik bilik dan datang sini balik. Kolej saya jauh. Tolonglah mak cik...”

“Tak boleh nak...”

“Tak pe mak cik. Biar saya bayar!”

“Awak lagi?”

*******************************************************************************

Pinggan kosong ku tolak ke tepi. Begitu juga dengan Sharina. Kami berpandangan seketika. Kemudian masing-masing tertunduk apabila mata kami bertentangan. Aku menyedut saki-baki minuman di gelas. Dalam hati, aku mensyukuri insiden sebentar tadi. Disebabkan insiden tu, aku kini berpeluang makan dan berbual-bual bersama-sama gadis pujaanku... The one and only Sharina!

“Thanks sebab tolong bayarkan duit makanan saya tadi. Saya betul-betul lupa nak bawak duit. Maybe sebab saya kelam-kabut masa nak pegi library pagi tadi. Saya janji nanti saya bayar balik.”

“Tak pe. Bukan mahal sangat pun awak makan. Saya halalkan aje kat awak...” Kalo setakat RM 3.50 dia makan apalah sangat kan... Lebih dari tu pun aku sanggup bayar kalo untuk Sharina...

“Tapi saya tak suka terhutang budi pada orang.”

“It’s okey Sharina! Anggap aje saya belanja awak.”

Sharina membulatkan matanya sebaik sahaja namanya keluar dari mulutku. Mesti dia terkejut sebab aku dah tau nama dia sedangkan kami belum berkenalan lagi.

’Saya dah tau banyak fasal awak, cuma awak aje tak kenal saya...’ Nak aje aku cakap macam tu tapi tersekat kat tekak aje.

“Macam mana awak tau nama saya?” Soalnya pelik.

“Mmm... Sebenarnya saya tau banyak fasal awak.” Jawabku tanpa berselindung. Sharina ku lihat semakin berminat untuk mendengar kata-kataku yang seterusnya.

“Saya tau nama penuh awak, tempat asal, tempat tinggal, ex-sekolah awak, hobi...”

“Sampai hobi saya pun awak tau? What are you? Stalker?”

“Ha? Tak la sampai macam tu. Saya cuma nak berkenalan dan jadi kawan awak aje.”

“Mesti awak tau kan yang saya ni dah ada pakwe. Tak takut ke nak berkawan dengan awek orang?”

Ni soalan nak menguji aku ke nak me‘reject’ tali persahabatan yang cuba aku jalinkan? Isk... Janganlah kena reject awal-awal. Macam kalah tanpa bertanding aje rasanya...

“Bagi saya, tak salah kalo kita nak berkawan dengan sesiapapun. Walaupun kita dah ada couple, dah bertunang ataupun dah berkahwin sekalipun. Janji kita tau batas-batasnya.”

Sharina nampak senang dengan pendapatku yang ringkas dan padat dengan mesej tu. Mungkin dia pun sependapat dengan aku. Macam ada harapan aje aku nak berkawan dengan dia…

“Saya setuju dengan pendapat awak. Semuanya terpulang pada seseorang individu tu. Kalo macam tu... Hai! Nama saya Sharina. Selamat berkenalan!”

“Hai, nama saya Nizam! Selamat berkenalan...”

Huluran tanganku tidak disambut oleh Sharina. Dia memandang tangan kanan yang ku hulurkan dan wajahku beberapa kali. Ada maksud yang cuba disampaikan. Berkerut mukaku, cuba mentafsirkan mesej yang cuba disampaikan. Kemudian terlintas sesuatu di fikiranku. Aku menepuk dahi. Macam mana la aku boleh expect gadis bertudung macam dia nak bersalaman dengan aku yang bukan muhrimnya... Sharina ketawa melihat reaksiku. Aku turut menyertai gelak tawanya yang kedengaran seakan-akan nyanyian merdu di telingaku. Mentertawakan kealpaanku sendiri. Perlahan-lahan aku mula jatuh cinta padanya.

*******************************************************************************

Diam tak diam, sudah hampir empat tahun aku berkenalan dengan Sharina. Setelah tamat belajar di kolej matrikulasi, kami berpeluang menjadi mahasiswa-mahasiswi di salah sebuah institusi pengajian tinggi yang sama. Kami tidak pernah berbincang mengenai institusi pengajian yang kami sukai apatah lagi berjanji untuk memohon masuk ke institusi yang sama. Mungkin itu satu kebetulan. Seperti pertemuan-pertemuan yang tidak pernah kami rancang di stesen komuter setiap kali kami pulang dari atau ke kampung halaman masing-masing. Kebetulan-kebetulan yang terlalu kerap menyebabkan aku terfikir bahawa Sharina benar-benar gadis yang diciptakan oleh Allah untukku.

Tapi wajarkah aku berfikiran sedemikian? Hubungan aku dengannya ada on dan off nya. Adakalanya kami akan menjadi rapat seperti pasangan kekasih. Menghabiskan masa bersama ataupun setakat bermesej andai bebanan tugas sebagai mahasiswa universiti menghambat masa-masa kami. Adakalanya kami seperti orang asing yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Mesej-mesejku tidak dibalas. Panggilan dariku tidak disambutnya. Dan aku jarang sekali dapat bertemu dengannya di kampus lantaran kami mengambil jurusan yang berlainan dan fakulti kami juga berbeza. Sehingga nanar aku jadinya kerana terlalu merindui gadis yang bernama Sharina itu...

Seperti hubungan kami berdua, hubungan Sharina dan teman lelakinya juga tidak stabil. Ada on dan off nya. Adakalanya mereka bergaduh berhari-hari malah berbulan-bulan lamanya. Kemudian berbaik semula. Clash dan kemudian declare couple balik. Ahh... Kenapa Sharina mesti memuja lelaki yang telah berkali-kali melukakan hatinya. Aku lebih kacak dan bijak daripada si Jeffri tu! Bukan aku perasan sendiri tetapi kenyataan ini memang diakui oleh rakan-rakanku dan Sharina sendiri. Berkali-kali aku menyatakan cintaku terhadap Sharina. Namun Sharina tidak pernah mengambil serius terhadap ucapanku. Padanya aku bergurau dan berpura-pura menyintai semata-mata untuk menggembirakannya. Kenapa Sharina sering melupakan cintaku padanya? Apa kurangnya cintaku berbanding cinta Jeffri yang bukannya satu dan tidak tulus itu? Sukar aku meneka jawapannya. Aku berharap Sharina dapat menggunakan kepintarannya dalam pelajaran dalam kisah cintanya. Bukannya menggunakan akal atau hati budak sekolah yang baru belajar bercinta untuk menilai cinta Jeffri. Dan aku berharap Sharina tidak terlalu naif dalam memahami bahasa cinta dariku...

*******************************************************************************

Aku segera ‘merampas’ beg baju yang dijinjing oleh Sharina. Kesian aku tengok dia yang terpaksa mengheret beg seberat itu ke stesen komuter. Sekarang dia terpaksa bersesak-sesak pula dalam komuter yang penuh manusia. Kedinginan aircond komuter pun dah tak terasa lagi. Sharina agak terkejut dengan tindakanku yang spontan. Aku mengenyitkan mata apabila dia memandang ke arahku dengan muka pelik. Kemudian dia tersenyum manis seperti biasa.

“Thanks! Awak ni sweet sangat... Macam tau-tau aje saya tak larat bawak beg ni.”

“Saya sweet? Ye ke? Saya dengan gula, mana lagi manis?”

“Not sweet gula lah...”

Kami berbalas senyuman dan terdiam seketika. Sekadar berpandangan sesama sendiri dan kemudian mengalihkan pandangan ke arah penumpang-penumpang di dalam komuter.

“Zam, awak tak ada girlfriend ke? Saya tak pernah tengok pun awak dating dengan mana-mana girl...” Soal Sharina lambat-lambat. Mungkin takut akan menyinggung perasaanku.

“Tak ada!” Jawabku pantas. Soalan tu memang tak payah difikir-fikirkan jawapannya. Memang tak ada perempuan lain yang pernah keluar dating dengan aku. Kecuali Sharina. Itupun kalo pertemuan-pertemuan kami itu diistilahkan sebagai dating lah memandangkan kami tak pernah declare couple pun...

“Saya pelik la... Awak cute, sweet tapi tak ada awek...”

“Sebab saya tunggu awak!”

“Come on! Janganlah bergurau dengan perkara macam ni...”

“Sapa kata saya bergurau? Memang betul saya dah jatuh cinta pada awak. Awak aje yang tak nak percaya...”

Sharina memalingkan mukanya ke arah lain. Dia terdiam seketika. Sekadar memerhatikan pemandangan di luar sana. Kemudian dia memandang wajahku semula.

“Tapi saya dah ada pakwe…”

“Tak pe la. Itu tak jadi masalah bagi saya. Saya akan tunggu awak. Sebab saya memang tak boleh suka kat orang lain.”

“Tapi sampai bila?”

“Entah... Mungkin sampai saya bosan. Bila saya dah letih menunggu nanti, saya carilah awek lain...”Jawabku dengan nada serius. Sengaja aku berkata begitu untuk memancing reaksi Sharina. Entah kenapa Sharina seperti tidak senang mendengar kata-kataku. Terkejut mungkin?

“Eh, janganlah cari perempuan lain! Abis nanti saya macam mana?”

Berkerut mukaku mendengar kata-kata Sharina. Pantas aku menatap wajahnya. Aku lihat Sharina menutup mulutnya dengan tapak tangan. Mukanya seperti nampak kesal dengan apa yang diucapkan sebentar tadi. Dalam hati aku cuba mentafsir kata-katanya sebentar tadi. Siapa aku di matanya?

*******************************************************************************

Suara pasangan yang sedang bertengkar di kawasan lapang berhampiran tasik membuatkan aku memperlahankan larian. Aku mengamati pasangan tersebut. Jeffri dan Sharina. Bergaduh lagi? Ah... Itu bukan sesuatu yang baru bagiku. Setiap kali mereka bergaduh mesti Sharina akan mengadu kepadaku. Menghamburkan kesedihan dan kekecewaannya terhadap sikap Jeffri yang keras kepala, playboy, panas baran, cemburu buta dan tidak pernah memahami kesibukan kami sebagai mahasiswa. Mungkin kerana dia tidak berpeluang menjadi mahasiswa seperti kami maka dia agak sukar memahami rutin kehidupan kami sebagai pelajar universiti. Aku mengisyaratkan Adam dan Wei Han agar meneruskan jogging mereka terlebih dahulu. Dari jarak lebih kurang 200 meter, aku dapat mendengar perbualan antara Sharina dan Jeffri dengan jelas dari sebalik pokok.

“Awak dah pandai curang di belakang saya! Lepas tu sekarang awak dah pandai menipu pulak! Konon sibuk dengan assignment la test la... Tapi sebenarnya awak keluar dengan budak laki tu, kan?” Jerit Jeffri lantang. Orang yang lalu-lalang tidak dipedulikannya.

“Saya tak pernah curang terhadap awak. Zam tu cuma kawan saya. Salahkah saya berkawan? Cubalah faham sikit!”

“Kawan konon! Kawan apa kalo berpeluk-peluk, berpegang-pegang tangan?”

“Demi Allah, saya tak pernah pun buat macam tu! Awak jangan nak sama kan saya dengan apa yang awak pernah buat dengan girlfriend-girlfriend awak tu!”

“Saya tengah cakap tentang awak dan budak bodoh tu. Bukan tentang saya. Jadi awak jangan nak babitkan saya pulak. Awak tak ada hak nak masuk campur dalam hidup saya!”

“Ooo... Awak minta saya setia sedangkan awak kat luar sana sibuk menambah koleksi awek awak! Adil ke macam tu?” Bentak Sharina kuat. Dia nampaknya sudah tidak peduli lagi dengan orang ramai yang tertoleh-toleh ke arah mereka.

“Saya kata jangan masuk campur dalam hal saya! Awak tak ada hak!”

“Ya! Saya berhak! Sebab saya kekasih awak. Saya berhak tau dengan sapa awak keluar, apa yang awak buat dengan pompuan-pompuan tu...”

Pangg...! Satu tamparan mengenai pipi kiri Sharina. Aku hampir-hampir keluar dari tempat ’persembunyianku’ menyaksikan tindakan Jeffri yang di luar dugaanku itu. Ku lihat Sharina terdiam. dan tunduk. Memegang pipinya sambil menangis teresak-esak.

“Saya paling tak suka awek yang mengongkong! Dan saya tak kan sesekali minta maaf atas tindakan saya menampar awak!”

Jeffri meninggalkan Sharina yang masih terduduk di kerusi batu. Aku keluar dari tempat ‘persembunyianku’. Aku menahan Jeffri. Muka Jeffri nampak bengang.

“Nizam... Apahal ko halang jalan aku ni?” Soalnya kasar.

“Kalo bergaduh sekalipun, tak payahlah guna kekerasan. Cuma lelaki dayus aje yang guna kekuatan fizikal ke atas wanita...”

Jeffri kelihatan berang dengan kata-kataku. Merah padam mukanya. Dia mengepal-ngepal buku limanya. Dia nak tumbuk aku? Okey, dipersilakan... Aku pun dah lama sangat bersabar dengan tingkah-lakunya terhadap Sharina. Selalu sangat buat Sharina bersedih.

“Ko sapa nak ajar aku? Boyfriend Sharina ke? Bukan, kan? Sebab setahu aku, aku masih boyfriend dia. Dan dia masih lagi girlfriend aku. So, stay the hell away from her and me!” Aku mengetap gigi mendengar bicara Jeffri yang bernada angkuh tu.

Jeffri menghidupkan enjin keretanya dan terus berlalu pergi dari situ. Aku cuma mampu menggelengkan kepala. Dah la bodoh, sombong pulak tu! Aku berjalan mendapatkan Sharina.

“Zam…” Sharina seperti terkejut dengan kehadiran aku di situ. Masih bersisa air mata di pipinya. Dan pipi kirinya pula masih berbekas tamparan Jeffri sebentar tadi.

“Saya…”

“Saya dah tau semuanya…” Jawabku pantas.

Sharina kembali menangis tersesak-esak. Dan seperti biasa, aku adalah kaunselor tak bertauliahnya. Pendengar yang setia terhadap keluhan hatinya. Penasihat yang menunjukkan jalan terbaik baginya agar hubungannya dengan Jeffri kembali jernih. Sahabat yang tidak pernah jemu menyuntik kata-kata semangat agar dia dapat bangkit semula dari kesedihannya. Dan… Aku juga adalah pencintanya yang sejati.

*******************************************************************************

Strike! Sharina menjerit kegembiraan sebaik sahaja kesemua pin-pin bowlingnya berjaya dijatuhkan. Mengakhiri permainan kami pada hari itu. 110 berbalas 95. Isk... Macam mana aku boleh kalah dengan Sharina hari ni? Malunya aku...

Dia tersenyum manis dan kembali duduk di sebelahku. Air mineral diteguknya. Aku pandang Sharina. Dia mengenakan seluar slack putih, blouse pink dan tudung yang sedondon dengan bajunya. Aku rasa Sharina hari ni dia nampak lain aje. Nampak lebih ceria. Lebih manis. Lebih cantik. Lebih segala-galanya dari hari-hari biasa.

“Awak nampak ceria lain macam aje hari ni. Ada apa-apa ke?”

“Well, saya dah menang bowling. And somebody got to buy me lunch today. So, I have a good reason to be happy, right?” Jawabnya manja. Senyuman tak lekang-lekang dari bibirnya sejak aku bertemu dengannya pagi tadi. Aku geleng kepala. Tak bersetuju dengan jawapan yang diberikannya.

“No... Rasanya ada sebab lain awak gembira sangat hari ni, kan? Come on, Sharina! Saya dah lama kenal awak.”

Perkenalan selama empat tahun dengan Sharina sudah cukup untuk aku mengenali hati budinya, sikapnya, kesukaannya, kebenciannya, minatnya dan peribadinya. Aku sudah boleh menduga fikirannya dan membaca gerak tubuhnya. So far 90 peratus dugaanku tepat!

Sharina tersengih lantas menundukkan mukanya. Mungkin malu kerana dari tadi aku asyik merenungnya. Inilah antara ciri-ciri yang membuatkan aku jatuh hati padanya. Dia seorang yang lincah tapi pemalu. Nilai-nilai gadis Timurnya itu masih terpelihara. Dia bijak membawa diri bersesuaian dengan keadaan persekitarannya. Tidak seperti remaja pada masa kini yang kebanyakannya lepas laku.

“Sebenarnya saya dan Jeffri dah declare couple balik semalam.” Hilang senyuman di bibirku. Jantungku serta-merta berdegup kencang. Dan hanya Allah sahaja yang tahu rasa hatiku pada saat itu.

“Kenapa dia?” Soalku tanpa sedar. Sharina seakan-akan terkejut dengan pertanyaanku.

“Kenapa apa, Zam? Awak tak suka ke saya berbaik-baik dengan Jeffri?” Soalnya semula.

“Bukan! Bukan saya tak suka cuma…”

“Cuma apa, Zam?” Soal Sharina pantas. Seperti tidak sabar-sabar mendengar jawapanku.

“Sharina, Jeffri bukan teman lelaki yang baik untuk awak. Awak boleh dapat teman lelaki yang berpuluh kali ganda lebih baik daripada dia!”

“Dia berjanji dia akan berubah! Dia berjanji dia tak kan ulangi kesilapan yang sama. Dia berjanji dia tidak akan menduakan saya lagi...”

“Kenapa mesti Jeffri? Kenapa bukan lelaki lain? Lelaki tu dah banyak kali kecewakan awak. Ni bukan pertama kali awak clash dan berbaik semula. Dah masuk kali ketiga! Sedarlah Sharina... Lelaki tu tak bersungguh dengan janji-janjinya.”

“Sebab dia cinta pertama saya and i love him so much!”

Merintih hatiku mendengarnya. Tiga bulan kebelakangan ini kami begitu rapat. Sharina tidak lagi ‘lari-lari’ dari aku seperti dahulu. Kami banyak menghabiskan masa bersama. Bermesej, bertelefon dan bertemu jika kelapangan. Hatinya sudah mula lembut terhadapku. Dan aku dapat rasakan yang aku tidak bertepuk sebelah tangan. Perlahan-lahan aku sudah mula merasai ‘cinta’ darinya. Adakah aku tertipu lagi dengan layanannya? Kenapa Sharina masih menagih cinta dari Jeffri?

“Zam, saya nak bagi Jeffri satu lagi peluang. Percayalah… Jeffri akan berubah. Saya akan membuatkan Jeffri berubah…”

Berkerut aku mendengarnya. Lelaki playboy seperti itu bolehkah berubah? Aku tak menafikan kuasa Allah, tapi rasanya Sharina tak cukup kuat untuk mengubah perangai buruk Jeffri. Bukankah sudah bertahun-tahun Sharina cuba berbuat demikian. Dan hasilnya… Zero! Kosong!

“It’s sound imposibble, Sharina… Jeffri tak kenal erti kesetiaan. Dia tak tau menghargai cinta awak…”

“Saya tahu! Itulah yang kawan-kawan saya cakap. Tapi, kalo saya tak bagi peluang, macam mana dia nak berubah,kan? Awak kawan saya. Saya perlukan sokongan awak. Please…”

Aku menghela nafas. Berpaling ke arahnya. Melihat wajahnya yang penuh pengharapan. Antara rela dan paksa, aku menganggukkan kepala.

“Baiklah. Saya percaya awak boleh mengubah Jeffri. Dan saya sokong apa juga tindakan awak. Tapi dengan satu syarat… Kalo awak ada masalah, awak tau kan nak cari sapa?”

“Ya, saya tau! Kalo saya ada masalah, saya pasti akan cari awak, En. Khairul Nizam bin Selamat. Thanks, Zam! You’re my best friend...”

Aku tersenyum tawar ke arah Sharina yang sudah kembali tersenyum. Seandainya Sharina tahu betapa besarnya cintaku padanya, masihkah dia memilih Jeffri yang sudah berkali-kali melukakan hatinya? Aku harap suatu hari nanti dia akan sedar. Sedar dalam erti kata sebenar. Sedar siapa lelaki yang benar-benar mencintainya. Sedar siapa lelaki yang selalu ada di sisinya tak kira susah atau senang. Sedar siapa lelaki yang sanggup melakukan apa sahaja demi meraih cintanya.

*******************************************************************************

“Saya nak jumpa dengan awak!”

“Bunyinya macam penting... Ada apa hal, Zam?

“Saya mahukan kepastian tentang hubungan kita. Saya mahu awak berterus-terang tentang perasaan awak terhadap saya. Saya dah tak sanggup berteka-teki dengan awak lagi.”

“Zam, saya...”

“Bukan sekarang, Sharina. Nanti saya bagi masa dan tempatnya. Masa tu nanti saya nak awak jelaskan segala-galanya...”

Hari dan masa yang dijanjikan telah tiba. Hari yang aku tetapkan ini merupakan hari terakhir kami di institusi pengajian tinggi ini. Aku berharap benar agar aku mendapat kepastian dalam hubungan kami sebelum kami terpisah jauh dan kembali meneruskan perjalanan hidup kami yang panjang ini. Aku sudah jemu hidup dalam ketidakpastian. Aku tidak mahu terkeliru lagi dengan layanan dan tutur katanya. Aku mahukan satu kepastian hari ini. Sama ada positif atau negatif jawapannya, aku harus menerimanya dengan redha.

Setitis demi setitis air hujan mula turun. Semakin lama semakin lebat. Membasahiku yang masih teguh berdiri di tengah tanah lapang itu. Menantikan kedatangan Sharina yang sudah tiga jam lewat dari masa yang ku berikan padanya seminggu yang lalu. Sengaja aku memberitahunya awal. Agar dia boleh berfikir secara rasional. Memilih lelaki yang paling baik untuk menemani dan melindunginya di sepanjang hidupnya.

Hatiku mula rawan. Tak mungkin dia terlupa kerana aku sudah mengingatkannya semalam. Dan Sharina bukan orang tidak menepati masa dan janji. Paling lewat pun sepuluh minit, dan dia pasti tiba di tempat yang dijanjikan. Pelbagai kemungkinan bermain-main di fikiranku. Aku mula meneka-neka sebab kelewatannya. Mungkin masa yang ku berikan kepadanya untuk berfikir tidak cukup... Mungkin aku memang bukan pilihan hatinya... Mungkin Jeffri sudah benar-benar berubah dan menjadi pilihan hatinya... Mungkin Jeffri lah yang boleh membahagiakannya... Memikirkan kemungkinan tersebut hatiku menjadi sedih. Kiranya sia-sia sajalah usaha dan penantianku selama ini.

Kedua-dua belah kakiku menjadi lemah. Kaki-kakiku ini tidak mampu lagi menampung berat badanku ini. Dan tanpa sedar aku terduduk di situ. Air mata jantanku mengalir deras. Selebat hujan pada petang ini. Aku mula menangisi kehilangan Sharina dalam hidupku. Kehilangan Sharina, gadis yang ku puja selama empat tahun ini.

Pergilah, sayang... Aku akan sentiasa mendoakan agar kau beroleh kebahagiaan yang kau cari selama ini... Jangan kau bimbang dengan diriku ini. Kerana aku bukan anak Adam yang lemah. Aku akan tetap bangkit dari kekecewaan ini. Aku akan mencari bahagiaku sendiri. Tanpamu... Namun izinkan aku menyimpan kenangan indah kita agar dapat ku jadikan azimat bagi meneruskan perjalanan hidup ini...

Tiba-tiba aku terlihat satu cahaya putih di hujung jalan taman itu. Cukup terang dan mempersonakan. Air mataku sudah lama kering. Dan senyuman terukir di bibirku. Perlahan-lahan aku bangun dan melangkah ke arah cahaya itu dengan seribu harapan...



Nizam:-
Cintaku padamu tetap utuh, Sharina... Biar masa berlalu. Biar seribu bidadari dari syurga datang menyembah cintaku. Ketahuilah olehmu bahawa hanya dikau sahaja bidadari yang aku dambakan. Kau cinta pertamaku. Demi mendapatkan secebis cinta dan sayang darimu, aku rela mempertaruhkan seluruh alam semestaku buatmu.

Ya Allah, aku berdoa kepadaMu Ya Allah agar dipermudahkan ‘laluan’ku untuk memperolehi cinta dari Sharina. Aku berdoa kepadaMu Ya Allah agar aku diberi kesabaran untuk terus menunggu ucapan cinta dari Sharina. Aku berdoa kepadaMu Ya Allah agar aku diberi petunjuk serta hidayah berkenaan kesudahan hubungan kami ini. Dan aku berdoa kepadaMu Ya Allah agar Kau jauhkan dirinya dariku, aku berdoa kepadaMu Ya Allah agar Kau permudahkan diriku untuk melupakannya sekiranya dia bukan jodohku. Sekiranya dia bukan hawa yang diciptakan dari tulang rusukku…


Sharina:-
Nizam, cintamu mencuit hatiku. Renunganmu menggetarkan naluriku. Layananmu menjadikan aku laksana seorang puteri. Aku teruja melihat kesungguhanmu menyintaiku. Aku terpaku menyaksikan kesetiaanmu menagih cintaku. Namun, dia cinta pertamaku... Bersamanya aku mengenali makna dan nikmat cinta, rindu, sayang, benci, cemburu, dan segala-galanya... Walaupun berkali-kali dia melukakan hatiku, menabur garam kedukaan di hatiku, berpaling dari cintaku, namun berkali-kali jugalah aku merawat diriku sendiri dan kembali memperhambakan diriku untuk menagih cintanya. Aku berharap agar cintaku ini berjaya ku heret sehingga ke jinjang pelamin. Kerana aku terlalu mengagungkan cinta pertamaku ini. Seperti mana kau mengagungkan cinta pertamamu padaku. Mungkin aku terlalu ego untuk membiarkan cinta pertamaku ini berakhir di sini. Benarkah dalam soal cinta, wanita tidak pernah belajar dari kesilapannya? Jika benar, aku adalah salah seorang daripada wanita-wanita tersebut... Namun manusia cuma mampu merancang dan Tuhanlah penentu bagi segala-galanya. Jika itu ketentuanNya, siapalah aku untuk menolak takdirnya. Untuk itu, aku pasrah dengan takdirNya...

4 comments:

Bulanhijau said...

cik writer,
actually, sy tak faham ending this story.
Tp pape pun, cte ni best

Mrs. Jojie said...

a'ah la...cite ni best tp ending dia kurang jelas...sian nizam...well mncintai tak semestinya memiliki...sy sendiri mengalaminya...but i love ur story...good effort...i just love the way u elaborate it...godd work..keep on writing dear eury..

Anonymous said...

hmm..sy x brpa nk paham.apepun, bg aku tentu ada perkara baik yg menyusul slps kpahitn/sama waktu dgnnya.
~fadilah~

Miss Yon Yi said...

yep...saya pun tak berape nak phm ending cte nie...tp sy tau penulis nie mmg berbakat...

Followers