Thursday, March 19, 2009

The Reason...


Mencintai itu harus bagaimana…?

‘Awak free x ? Jom mkn kat kafe! Sy blanje..’

Aku tekan butang merah sebaik sahaja habis aje baca mesej tu. Handphone di tangan aku campak ke katil. Zurin yang dari tadi leka menelaah sekadar mengawasiku dengan ekor matanya.

“Mesej dari Sham lagi?” Soalnya tanpa memandangku. Aku mengeluh. Buku law aku selak kembali. Namun tumpuan aku bukan lagi di situ. Pada Shamsul yang kebelakangan ni makin merimaskan hidupku.

“Orang dah suka, Su… Terima aje la! Ko pun bukannya ada pakwe. Sham tu tak de apa yang kurangnya. Perfect! Budak pompuan kat sini semua tergila-gilakan dia. Macam semut gilakan gula. Ada semut adalah gulanya.”

“Sebab dia gula la aku tak suka dia. Takut kena kencing manis! Tak fasal-fasal pendek nafas. Aku rimas la dengan dia. Asyik mengekor aku 27 jam sehari. 8 hari seminggu. Bosan. Bosan tau tak! Dah macam bayang-bayang aku pulak! Ei, rimas! Semak kepala hotak aku!”

Zurin pantas memandangku. Tajam pandangannya. Apa hal?

“Jap-jap… Tadi ko cakap ape? ‘Semak kepala hotak aku’…Hmm… Rasa-rasa aku macam penah dengar aje ayat tu sebelum ni…”

Aku diam. Mintak-mintak dia tak ingat… Aku pura-pura menyibukkan diri dengan buku-buku di hadapanku. Zurin mengetuk-ngetuk pensel di atas permukaan meja belajar. Matanya asyik merenung ke siling bilik. Memikirkan sesuatu.

“Hah! Baru aku ingat… Budak belakang stor, Qhalis & the geng yang ‘berhabuk’ tu, kan?”

“Cite lama dah tu… Tak usah dok ungkit la…”
Zurin tutup buku. Menopang dagu ke arahku. Aku enggan memandang wajahnya. Bimbang jikalau Zurin menyedari perubahan di wajahku. Qhalis… Mendengar namanya sahaja aku sudah jadi tidak keruan. Mengapa ya?

“Lama tak lama sangat la… Tapi aku tau ko tak pernah lupakan dia. Jangan bohong aku… Aku kenal ko luar dan dalam la…” Zurin senyum-senyum kambing. Lain macam aje dia sengih. Tau la tadi dok menghafal kes-kes subjek law. Simptom law-test-fever dia dah datang balik la tu…

“Dah la! Aku nak gi mandi… Ko tu bila nak mandi? Nanti dah keluar burung hantu, baru ko nak mandi. Aku tak kuasa nak teman ko nanti!”

“Jap lagi la! Ada 4 kes aku tak hafal lagi ni!”

“What-ever… Janji ko tak lupa temankan aku shopping pas test esok, ok?”

Aku angguk kepala. Zurin bergegas mencapai peralatan mandinya. Bunyi bising yang dihasilkan oleh Zurin tidak ku endahkan. Pandangan aku lontarkan ke arah padang bola bertentang dengan bilik. Qhalis… Bagaimana agaknya dia sekarang? Masih nakal seperti dulu kah?

@~@~@~@~@~

“Su, apsal ko lambat?” Bisik Zurin sebaik sahaja aku berdiri di sebelahnya.

“Macam biasa la. Tunggu geng perempuan Melayu terakhir bersiap. Mandinya 10 minit, dress up and make-up 10 minit. Pastu berjalan terkedek-kedek macam model catwalk. Mana tak lambatnya!”

Wati dan kawan-kawannya yang berdiri berhampiran tertoleh-toleh ke arah kami. Aku dan Zurin berbalas pandangan. Elok la kalo diorang dengar. Memang itulah tujuannya aku cakap kuat-kuat tadi. Biar diorang rasa ‘pedas’ sket. Dah nak tertanggal skru kat rahang aku ni. Dah naik jelak aku mengingatkan budak-budak asrama puteri terutamanya geng ‘catwalk’ @ kekwat tu supaya tinggalkan asrama sebelum pukul 7.10 pagi. Tapi haram nak lekat kat ingatan diorang. Ada masalah ingatan agaknya. Alzheimer ape? Dengar kata budak-budak asrama, geng catwalk tu bukan main liat lagi nak bangun pagi. Solat Subuh tak payah cite la. Asyik uzur memanjang. Kalo solat pun, dibuatnya solat Subuh dinosaur.

“Apa cerita kat depan tu?”

Zurin dan aku memandang ke arah pentas. Mr. M a.k.a. Encik Mahmud misai panjang, merangkap cikgu disiplin bertauliah & berkaliber tengah bagi nasihat dan amaran yang panjang pada lima orang pelajar lelaki. Dah macam ‘khutbah Jumaat’ pulak aku tengok. Khutbat Jumaat di pagi Selasa ni? Irrelevant…

“Biasalah, Su… Geng Budak Belakang Stor (BBS) tu! Mana tau duduk diam. Ade aje ‘projek mega’ yang diorang buat. Semalam diorang buat race haram. Kantoi dengan Mr. M… Apa tak kantoinya, dah diorang pegi race betul-betul depan rumah Mr. M. Apa lagi, berdesing la telinga orang tua tu! Dihambatkannya dengan batang kayu. Yang ni kira hukuman rasmi diorang la…” Cerita Zurin sungguh-sungguh.

Aku geleng kepala. Geng BBS ni memang tak pernah serik. Gantung sekolah, public canning, lari keliling padang, pendek kata segala bentuk denda dah dikenakan ke atas diorang ni, tapi masih tak insaf-insaf. Kebal agaknya! Aku membilang batang tubuh pelajar di hadapan. Satu. Dua. Tiga. Empat. Lima. Aik!

“Tak payah wat muka macam tu. Budak tu geng baru diorang.” Bibirnya dijuihkan ke kiri. Menunjukkan budak baru yang dimaksudkan.

“Geng baru?”

“Hmm… Budak tu baru ditukarkan ke sini semalam. Kebetulan satu kelas dengan geng BBS. Yang aku pelik, baru sehari join geng tu, dah buat kes. Nasib baik race haram diorang ni tak jadi kes polis. Kalo tak, alamat glamer la sekolah kita ni...”

Tanpa sedar aku merenung wajah pelajar baru tu. Sayang… Muka boleh tahan tapi perangai nauzubillah…

“Apa nama dia?” Soalku di bawah sedar. Zurin pantas menyelak buku catatannya. Zu… Zu… Memang seswai la ko jadi reporter tak bertauliah. Apa yang didengar semua dicatatkan. Kadang-kadang benda tak penting pun ditulisnya.

“Muhammad Qhalis bin Borhan. Kelas 5 Satria. Tinggi 172 cm. Berat 68 kg…”

“Oit, yang itu pun ko tau?”

Biar betul Zurina ni! Bapak besarnya ‘kabel’ dia… Kalah CNN!

“Well, biasa la… Aku kan Zurin Abdul Rahman!”

Aku menggelengkan kepala. Aku kembali ralit memerhatikan wajah Qhalis. Muka budak lelaki tu bersahaja aje. Langsung tak beriak wajahnya. Maintain cool! Geng BBS yang lain aku tengok adalah wat muka poyo sket tapi dia macam sengaja nak show-off muka.

Entah macam mana pandangan kami beradu. Sekadar memandang dari jarak jauh. Dia di atas pentas dewan dan aku di hujung dewan. Suasana sekeliling jadi hening sekali walhal guru-guru silih berganti berucap. Yang kedengaran cuma degupan jantungku yang sudah hilang rentaknya.

Sesaat kemudian pipiku terasa panas. Terasa seperti seluruh darah dalam badan naik ke muka. Aku pantas melarikan pandangan. Dia pandang kat aku ke? Seperti ada tarikan magnet, suara hatiku mendesak anak mata agar kembali memandangnya. Ternyata dia masih tekun merenungku. Senyuman diukirkan buatku. Mimpi ke aku? Aku berpura-pura membaca sesuatu dari buku catatanku. Walhal aku tak mampu untuk membaca walau sepatah perkataan pun pada saat ini.

@~@~@~@~@~

“Merokok dan berjudi di kawasan sekolah… Korang ni tak tau peraturan sekolah ke?”

“Alamak! Ni sapa plak ni? Ooo… Cik Perfect, buah hati Mr. Mahmud Misai… Nak join kita orang ke?” Tegur Qhalis.

Qhalis bangun dari duduknya. Satu persatu langkahnya diaturkan ke arahku. Sampai aje depanku, ditundukkan kepalanya sedikit agar kedudukan wajah kami searas. Rokok di tangan disedut perlahan-lahan. Kemudian dihembuskan ke mukaku. Terbatuk-batuk aku dibuatnya. Dia ketawa mengejek. Kurang ajar!

Farhan, Bakar a.k.a Burn, Kamal dan Ikram masih leka bermain daun terup. Sesekali mereka bertempik kegembiraan. Dengan butang yang kurang tiga biji melekat di baju sekolah mereka, rambut kusut-masai, bau asap rokok yang tebal… Ei, memang tak macam budak sekolah langsung!

“Ko tau tak, ko ni sebenarnya cantik tau… Tapi sayang, dah ada kedut sebab ko selalu marah-marah…”

Aku mengetap gigi. Nak puji, puji la betul-betul... Tak payah la nak wat ayat double meaning. Wat sakit hati aje! Jari telunjuknya yang cuba menyentuh pipiku segera ku tepis.

“Tak payah nak puji-puji! Bukan ikhlas pun. Ko ingat kalo ko puji aku, aku tak hantar nama korang kat Mr. M? Jangan mimpi la! Apa nak jadi dengan korang ni? Dah la ponteng kelas, merokok dan berjudi pulak!”

“Ei, semak betul la kepala otak aku bila dengar ko membebel! Rilek la… Hidup ni sekali aje. Mesti enjoy puas-puas. Esok lusa bila dah tua, baru la carik tikar sembahyang. Betul tak, geng?”

“Betul! Setuju!” Jerit mereka beramai-ramai.

“Hei, boleh jalan la fal’sampah’ korang tu. Yang aku tau buku aku ni dah penuh dengan nama korang… InsyaAllah la, tak lama lagi korang kena buang dari sekolah! Bertambah la lagi sampah masyarakat kat luar sana…”

Daun terup dicampak kasar ke lantai. Dengan muka bengis, Ikram dan Burn menghampiriku. Ikram di sebelah kiri, Burn pula berdiri di belakangku. Qhalis masih berada di hadapanku. Rasa kurang enak mula menyapa.

“Pedas juga mulut ko ni! Sampai nak bernanah telinga aku mendengar!” Tempik Burn lantang di tepi telingaku.

“Entah! Sesuka hati dia aje nak panggil kita sampah masyarakat. Ko ingat ko tu bagus sangat! Ko ingat ko pandai sangat. Baru kena lantik jadi prefect dah rasa diri dapat mandat besar la dari sekolah. Bull shit! Boleh blah la dengan peraturan sekolah ko tu!”

“Memang! Memang aku pandai dari korang. Kalo tak, tak kan aku dapat jadi prefect, tak kan aku jadi top-ten student. Lain la macam korang yang singkat akal ni! Ranking terakhir. Yang korang tau, hisap rokok, melepak, berjudi, dan wat kerja-kerja tak berfaedah!”

“Ei, pompuan ni! Mulut macam ***** ! Sekali aku bagi karang…”

Ikram hayun tapak tangan. Aku segera melarikan muka. Qhalis menangkap pergelangan tangan Ikram. Bimbang akan tindakan Ikram seterusnya.

“Rilek la, bro! Pompuan mereng macam ni pun nak layan ke? Lantak dia la nak cakap ape pun. Tak luak pun kita. Biar la dia nak melalak ke melolong ke. Kita wat hal kita dah la…”

“Nasib ko tahan aku. Kalo tak memang dah ada logo Bodyglove dah kat pipi minah ni…”

Ikram memandangku tajam sebelum berlalu, ditarik oleh Burn.

“Eh, pompuan… Ape nama ko?”

Aku jeling. Lama Qhalis membaca tanda nama yang terlekat di bajuku. Membaca ke mengeja?

“Su-ra-ya A-qi-lah… Okey, cik Suraya Aqilah binti what-ever! Kita tak payah nak bertekak dan bising-bising kat sini. Ko jalankan tugas ko aje, cukup! Ko tulis la seberapa banyak nama dan kesalahan kami. Pastu ko hantar kat pengetua, cikgu disiplin or whoever yang ko nak. Sampai kami kena buang sekolah pun tak ape… Kami tak kisah! Kami pun bukannya suka sangat sekolah kat sini. Faham?” Katanya penuh diplomasi.

“Ok, fine! Aku akan pastikan korang dihukum atas kesalahan korang dan korang akan dibuang sekolah tak lama lagi!”

“Fine! Teruskan…”

Aku ketap gigi lagi. Geram! Geng BBS dan ko terutamanya, Muhammad Qhalis bin Borhan, you just created an enemy for the rest of your life… Dua bulan lalu kita mungkin dua insan yang berbeza dan saling tidak mengenali. Tapi sekarang, ko adalah musuhku yang paling agung!

@~@~@~@~@~

Qhalis terus mengejar. Sesekali dia memanggil-manggil namaku. Memintaku berhenti dari melarikan diri daripadanya. Rasa takut mula mencengkam. Kenapa dia mengejar aku? Sebab spot-check tadi ke? Kat sapa aku nak minta tolong ni? Semua orang dah pergi perhimpunan tergempar kat dewan. Dalam keadaan panik, tanpa sedar aku terus berlari masuk ke dalam makmal yang kebetulan tidak berkunci.

“Bagi beg ko pada aku!”

“Nak buat apa?”

Qhalis merentap begku. Isi beg diselongkar dan dilambakkan di atas lantai.

“Apa ko buat ni? Ko gila ke?”

“Ya! Memang aku gila! Kalo aku tak jadi gila sekarang, ko yang akan jadi gila nanti!” Tempiknya. Ditolaknya aku ke tepi apabila aku cuba menghalang perbuatannya. Terperosok aku di celah-celah almari. Qhalis kembali menyelongkar. Pergerakannya menjadi kaku seketika. Paket-paket kecil berisi serbuk putih di celah-celah buku-buku dikutipnya. Ditunjukkan seketika kepadaku. Kemudian disimpannya di dalam kocek seluar.

“Diorang nak aniayai ko… Bila rancangan diorang gagal, diorang wat plan baru…”

Diorang tu sapa?

Derap-derap kaki menuju ke arah kami membuatkan ayat Qhalis mati di situ. Pintu terbuka. Mencerlang mata Cikgu Zainal memandang kami. Dan di belakangnya berdiri geng BBS di dengan senyuman sinis. Aku kebingungan. Namun Qhalis kelihatan amat bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal tiba.

@~@~@~@~@~

“Atas tuduhan memiliki dadah, mencederakan pelajar dan pelbagai kesalahan yang lain, Muhammad Qhalis bin Borhan, awak dibuang sekolah! Pihak sekolah akan merujuk kes ini kepada pihak polis.”

Aku pejam mata serapat-rapatnya. Berharap ini cuma mainan tidur semata-mata.

“Qhalis!”

Langkahnya terhenti. Begitu juga dua orang anggota polis di sisinya. Aku melangkah setapak ke hadapan. Betul-betul berhadapan dengannya. Anggota polis berkenaan berbual sesama sendiri. Seakan-akan memberi ruang kepada kami. Pandangan kami bertemu. Kemudian pandanganku jatuh pada tangannya yang bergari.

“Kenapa?”

“Orang hanya akan percaya apa yang mereka nak percaya. Apa yang mereka lihat dan apa yang mereka fikirkan betul. Ada ke orang nak mengaku kesalahan mereka bila ada ‘kambing hitam’ yang dapat memikul kesalahan mereka tu?”

Aku memandang matanya tepat-tepat. Cuba memahami maksud percakapannya. Qhalis tetap tenang. Senyuman terukir di bibirnya. Untuk apa senyuman ini? Kemenangan sebab dah berjaya keluar dari sekolah ini?

“Kenapa muka ko macam lempeng basi?”

Dia ketawa mengejek. Tawanya mengundang kehairanan padaku. Riak wajahku yang keruh membuatkan tawanya mati seketika kemudian.

“Sepatutnya ko puas hati sebab kesemua geng BBS, termasuk aku, dah dibuang sekolah. Itu kan memang matlamat ko… Lepas ni, kosong la buku kesalahan ko. Tak payah lagi nak tulis nama kami!”

Aku terdiam. Tak mampu nak mengeluarkan apa-apa perkataan sekalipun. Malah aku tak tahu apa yang patut aku katakan! Kata-kata simpati? Kata-kata sindiran? Atau ucapan terima kasih…

“Hey, rileks la! Aku dah biasa kena buang sekolah, keluar masuk balai polis…” Katanya megah.

“Kenapa?”

“Kan aku dah kata, apa yang Cikgu Zainal nampak dan kata lebih penting dari apa yang sebenarnya terjadi. ‘Benda’ tu kat aku. So, aku la yang bertanggungjawab ke atas ‘benda’ tu. Aahh… Ko tak payah risau la. Aku lagi suka kuar dari ‘neraka’ ni! Apa-apa pun good luck untuk SPM ko nanti! Aku rasa ko sesuai jadi peguam sebab ko nampak comel masa bela aku tadi…” Ujarnya nakal. Matanya dikenyitkan.

“Kenapa?”

Entah mengapa aku terus bertanya soalan itu padanya. Kenapa? Kenapa? Dan kenapa? Itu sahaja perkataan yang ada dalam kepala aku sekarang. Kenapa?

“Huh?” Qhalis menggaru-garu kepala dengan tangannya yang tidak digari. Dia kelihatan bingung. Sepertiku juga.
“ Sebab…”

Satu-persatu ayat-ayatnya masuk ke dalam kotak memoriku. Dan dia terus berlalu pergi sebelum empangan air mataku pecah. Lelaki itu… Qhalis… Bisakah aku memahami tindakannya dalam pertemuan kami yang singkat ini? Aku tetap tegak berdiri di situ. Ada rasa sakit di dada. Juga rasa kecewa. Dan kesal. Setitis air mata jatuh segera ku kesat. Untuk apa air mata ini?

@~@~@~@~@~

“Ala… Leceh la ko ni, Su! Apsal ko tak cucuk duit kat kampus tadi? Tak la kita ulang-alik dua tiga kali. Membazir minyak aje…”

Muncung Zurin dah ke depan. Kedekut betul minah ni! Dalam pada tu, dia tetap memandu menuju ke bank berhampiran.

“Nanti aku bayar la duit minyak ko tu… Tunggu jap ek!”

Aku pantas berlari ke mesin ATM berdekatan. Mujur tak ada orang. Cepat la sikit urusan aku. Tiba-tiba pintu kaca dibuka dengan kasar. Empat orang lelaki bertopeng menerpa masuk. Sapa ni? Pencuri?

“Cepat bagi semua duit yang ko ada!”

Duit yang baru aku ambil dari mesin ATM bertaburan di atas lantai. Sebilah pisau dihalakan ke leherku. Menggigil tubuhku dek ketakutan. Sempat aku menjeling ke arah Zurin di seberang jalan. Zu, tolong aku…! Lelaki berbaju hijau mengarahkan rakannya berbuat sesuatu kepadaku. Lelaki itu kelihatan teragak-agak sebelum menekup hidung dan mulutku dengan sapu tangan. Gelap.

@~@~@~@~@~

“Ko dah janji nak lepaskan dia sebaik sahaja kita lepas dari polis…”

Kepalaku masih terasa pening. Namun suara-suara asing yang kedengaran membuatku ingin segera membuka mata. Seketika kemudian aku terpaksa memejam mata semula. Silau akibat cahaya mentari pagi yang menembusi masuk dari tingkap kayu. Mata ku buka perlahan-lahan. Aku pandang sekeliling. Rumah papan beratapkan zink yang sudah begitu uzur. Penuh dengan perabot usang dan daun-daun kering. Pastinya rumah tinggal. Tapi di mana? Di satu sudut kelihatan tiga orang lelaki berdiri berhadapan antara satu sama lain.

“Ya! Itu sebelum Jimi kena mati ditembak. Sebelum kita jadi buruan polis!” Kata lelaki berbaju hitam. Dari raut wajahnya, aku anggarkan dia berusia lewat 30-an. Misainya yang lebat. Wajahnya bengis.

“Kita dah jauh di utara sekarang. Beberapa kilometer aje lagi nak sampai sempadan. Polis pun dah hilang jejak kita. Kita dah tak perlukan dia lagi! Duit mesin ATM yang kita dapat pun dah banyak…” ujar lelaki yang membelakangiku lagi.

“Aku tak nak kita amik risiko. Keputusan aku muktamad. Kita akan bawa dia ke sempadan. Sampai di sana, kita jual dia. Polis kita lepas, untung pun kita dapat!” Kata lelaki berbaju kuning pula. Kepalanya botak. Tangannya pula bermain-main dengan mata pisau.

“Jual? Ko giler ke nak jual-jual orang! Kita culik dia untuk jadi tebusan aje. Bukan untuk dijual. Sebelum dia nampak dan cam muka kita, baik kita tinggalkan aje dia kat sini…”

“Dah terlambat. Dia dah nampak pun muka kita…”

Tiga pasang mata memandangku. Dua berwajah bengis manakala seorang lagi berwajah belas. Bukankah dia…

“Ko jaga budak ni! Aku dengan Jo nak ke pekan beli barang. Subuh esok kita gerak…”

“Ingat! Jaga pompuan ni elok-elok… Kalo dia meragam, ko tembak aje dia!” Ujar lelaki bermisai bernama Jo menyerahkan sepucuk pistol pada lelaki itu.

Lelaki itu sekadar mengangguk. Jo dan Arif berjalan meninggalkan kami. Menghilang di sebalik semak-samun dan pokok-pokok hutan. Lelaki itu berpaling dariku. Enggan menunjukkan wajahnya.

“Jangan cuba-cuba nak lari!” Pesannya sebelum melangkah turun dari rumah.

“Qhalis…”

Dan dia terkesima di situ…

@~@~@~@~@~

“Kenapa?”

Entah mengapa, soalan itu aku utarakan padanya. Soalan yang sama ku ajukan lima tahun yang lepas. Sebelum dia melangkah pergi dari hidupku ketika itu.

“‘Kenapa’ tu memang soalan favourite ko ek?” Soalnya sambil tersenyum.

Aku diam. Segaris senyuman ku hadiahkan untuknya. Malu!

“Kenapa jadi macam ni, maksud ko?

Aku mengangguk. Dia tidak menjawab. Hanya tangannya ligat mengeluarkan minyak gamat dan kapas dari first-aid kit yang tidak ‘sempurna’ keadaannya. Rambutku disisirnya dengan jari. Kemudian diikat kemas dengan pengikat.

“Aku ni mangsa poligami... Maksud aku, poligami yang tidak mengikut landasan Islam. Perkahwinan berasaskan nafsu semata-mata. Bukan atas dasar kasih sayang, cinta, tanggungjawab…”

“Jadi, ko salahkan poligami? Salahkan mak ayah ko? Ko nak kata mereka lah punca kenapa ko jadi macam ni?” Aku sudah bersedia untuk berbahas. Hilang rasa takutku. Mungkin sebab penculikku adalah Qhalis?

Dia tersenyum lagi. Dicapainya kapas dan mula membersihkan luka-lukaku. Luka di dahi akibat dihantuk ke dinding semasa proses ‘penculikan’ku malam semalam. Luka di leher akibat terkena mata pisau. Dan beberapa luka kecil di kaki dan tangan. Aku sekadar menjadi pemerhati. Mana mungkin aku melakukannya sendiri. Tangan dan kakiku terikat kemas.

“Mungkin! Ko kenal Datuk Borhan?”

Datuk Borhan mana? Aku kenal ke? Satu-satunya Datuk Borhan yang terlintas di fikiranku adalah Datuk Borhan yang kerap menghiasi media cetak kebelakangan ini. Hartawan yang dermawan.

“Datuk Borhan, usahawan yang selalu menderma tu? Yang mendirikan pusat perlindungan untuk anak-anak yatim dan wanita malang tu ke?”

Qhalis memandangku seketika. Aku dapat melihat ada rasa benci di wajahnya. Ada api dendam di matanya. Kemudian dia menyambung semula kerjanya.

“Kalo ko nak tau, itulah bapak aku… Itupun kalo dia mengaku aku ni anak dia la…!”

“Adoi!” Jeritku bila Qhalis secara tidak sengaja menonyoh kasar lebam di dahi.

“Sori…”

Tutup botol minyak gamat dibuka. Menuang sedikit isinya sebelum disapu pada luka-luka di tubuhku.

“Orang tua tu… Maksud aku, Datuk Borhan tu, memang suka menderma sana-sini. Menjaja nama atas dasar keikhlasan, simpati dan kasih sayang. Tapi dengan anak sendiri dibuatnya macam pengemis! Merempat, mengemis, menjaja tulang empat kerat untuk sesuap nasi…! Ko tau, dia tak pernah menjalankan tanggungjawabnya terhadap kami. Bertahun-tahun mak aku menunggu dia pulang ke rumah. Bertahun-tahun juga mak aku digantung tak bertali. Aku pernah suruh mak aku tuntut cerai. Ko tau apa katanya? Mak aku cakap aku tak tahu apa makna cinta dan kasih sayang. Mak aku kata aku pentingkan diri sendiri. Dikatanya aku kurang ajar sebab tak hormatkan ayah sendiri. Sudahnya, aku yang makan penampar!”

Dia terdiam seketika. Begitu juga dengan aku. Sapa sangka, Qhalis yang nakal, ganas dan happy-go-lucky sepertinya mempunyai kisah duka dalam hidupnya. Lukaku sudah siap disapu ubat dan ditampal dengan plaster.

“Kami dua beranak hidup susah. Mak aku dah dibuang oleh keluarganya. Lepas aje Datuk Borhan kena paksa kawin dengan mak aku, atuk nenek aku terus halau mak aku keluar. Lepas tu Datuk Borhan pulak ghaib entah ke mana. Tinggal la aku dan mak aku. Aku ni dah ‘masak’ dihina sebab tak ada ayah. Sampai satu masa aku sendiri mengaku yang aku ni memang anak luar nikah! Lantak la apa diorang nak kata sekalipun. Bukan diorang yang bagi kami makan…”

“Jadi, ko jadi pencuri, perompak sebab nak wat ayah ko malu, macam tu?” Tekaku.

Qhalis bangun. Menengadah keluar tingkap. Dia tenggelam seketika dalam khayalannya. Tiba-tiba aku terfikir telefon bimbitku. Aku cuba mencapai telefon dari poket belakang seluar jean. Namun dengan tangan yang terikat, agak sukar untuk aku berbuat demikian.

“Salah! Masa sekolah dulu, ya… Aku jadi budak jahat sebab aku nak perhatiannya, nak malukan dia… Tapi sekarang, tak…”

Qhalis berjeda lagi. Aku meneruskan usaha menarik keluar telefon bimbit. Berjaya! Kekuncinya ku aktifkan. Sesaat kemudian aku terfikir akan kewajaran perbuatanku. Namun jemariku lebih pantas membuat keputusan. Butang ‘i’ ku tekan lama sebelum menyorokkannya di belakang badanku.

“Aku dah bosan hidup miskin. Dah bosan kena caci. Aku tak kisah nak buat kerja apapun, sekalipun jadi tukang angkat sampah. Cuma tak ada orang nak amik aku bekerja. Maklumlah, aku kan banyak kes polis. Baru-baru ni pulak mak aku disahkan ada barah. Itu adalah peristiwa yang membawa aku ke dunia jenayah. Aku perlukan duit untuk rawatan mak aku. Kebetulan pulak aku kenal dengan Jimi, Jo dan Arif. Mereka la yang tunjukkan aku jalan mudah untuk dapat duit! Mula-mula memang aku tak sanggup, tapi bila fikir tentang keadaan mak, aku nekad. Apa pun aku sanggup buat, asalkan mak aku sihat balik.”

“Niat ko baik tapi cara ko salah. Matlamat tidak menghalalkan cara, Qhalis…” Nasihatku.

“Cakap memang senang. Cuba ko ada kat tempat aku sekarang. Aku cuma ada mak aku aje dalam dunia ni. Dia dah banyak berkorban untuk aku. Dan aku sanggup lakukan apa sahaja untuk dia!”

Panggilan Jo dan Arif yang baru pulang segera dijawab oleh Qhalis. Qhalis mendapatkan mereka. Menyambut beg plastik berisi makanan. Mereka berbual seketika.

@~@~@~@~@~

Pelita disangkutkan di tepi dinding. Kemudian Qhalis membersihkan pula lantai bilik kurunganku. Berkerut dahinya apabila terlihat telefon bimbitku. Qhalis segera memandang ke arahku. Aku mula panik. Macam mana kalo dia mengadu pada Jo dan Arif? Akan menjadi korbankah aku malam ini? Suara Jo dan Arif berbalah di anjung rumah membuatkan aku tersentak. Muka Qhalis kembali bersahaja.

“Maaflah… Rumah ni tak ada tilam. Cuma ada baju aku untuk dijadikan alas. Cuba la tido…” Ujar Qhalis sambil membentangkan jaket jeansnya di lantai.

“Su… Aku tak kan biarkan ko dibawa ke Thailand. Aku akan pastikan ko selamat. Percayalah…” Bisiknya sebelum berlalu pergi.

@~@~@~@~@~

“Qhalis! Arif! Bangun! Polis dah kepung tempat kita!” Bisik Jo cemas. Arif dan Qhalis bingkas bangun. Meninjau di sebalik dinding rumah yang berlubang.

“Jangan bergerak! Kamu sudah dikepung!”

Mereka mulai panik. Dalam pada itu, mereka mengambil tempat dan bersedia untuk menembak dengan pistol masing-masing.

“Macam mana polis boleh tau port kita?” Arif memandang wajah Jo, kemudian Qhalis. Sejenak kemudian pandangannya jatuh pada wajahku.

“Apa ko dah buat ha?” Rambutku disentap oleh Arif. Menyeringai aku menahan kesakitan.

“Aku… Aku tak buat apa-apa!” Nafiku.

“Mesti ko ada buat sesuatu. Kalo tak, tak kan polis boleh ikut kami sampai sini!” Pistol diacukan ke kepalaku. Aku menoleh ke arah Qhalis. Memohonnya membantuku di saat ini. Arif terus mengheretku sehingga ke muka pintu. Aku dapat melihat anggota polis sudah mengepung tempat persembunyian mereka ini.

“Sila letakkan senjata anda… Dan lepaskan tebusan itu...”

“Tidak! Kalo ko tembak, aku akan tembak pompuan ni! Tinggalkan tempat ni sekarang sebelum pompuan ni jadi mayat!” Jerit Arif.

“Rif, lepaskan pompuan tu!” Arah Qhalis. Dia sudah berdiri di tepi kami. Pistolnya diacukan di kepala Arif. Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini…

“Ko giler, Qhalis! Sebab pompuan ni, ko sanggup khianat kawan ko sendiri? Sapa dia pada ko?” Marah Arif.

“Lepaskan dia, Rif! Atau aku akan tembak ko!” Ugut Qhalis.

Bang..! Serentak itu Qhalis jatuh ke tanah. Aku menoleh ke belakang. Wajah Jo ku pandang dengan rasa marah yang membuak-buak di dada.

“Qhalis!” Aku meronta sehingga terlepas dari cengkaman Arif. Aku melutut di sisinya Qhalis. Qhalis mengerang kesakitan. Tangannya kejap memegang dada. Bajunya sudah lencun dibasahi darah.

“Sabar, Qhalis… Kejap lagi ambulans datang!” Itu sahaja yang mampu aku lakukan. Menenangkannya dengan kata-kata. Lebih dari itu tak mampu aku lakukan lantaran kedua-dua belah tanganku masih terikat. Jo dan Arif sudah lari masuk ke dalam hutan. Diikuti oleh bebrapa anggota polis. Beberapa das tembakan kedengaran.

Berkerut-kerut muka Qhalis menahan kesakitan. Belas aku melihat keadaannya.

“Kenapa jadi macam ni, Qhalis? Kenapa?” Soalku dalam tangisan.

“Ko masih… ingat alasan aku… lima tahun dulu?” Katanya tersekat-sekat.

Aku pantas mengangguk. Wajahnya yang kesakitan semakin kabur dari pandanganku. Ditutupi air mata yang bergenang dan akhirnya jatuh menuruni pipi.

“Jawapan… bagi soalan ko tu… masih sama…” Ujarnya sambil tersenyum. Dadanya berombak kencang.

“Mengucap Qhalis…” Aku mengajarnya mengucap. Terkumat-kamit bibirnya mengikut bacaanku dengan mata terpejam. Meraung aku sebaik sahaja dadanya berhenti berombak.

@~@~@~@~@~

Aku masih berteleku di tanah perkuburan itu. Sekadar memandang ke arah pusaranya yang masih merah.

“Ko masih… ingat alasan aku… lima tahun dulu?”

Aku pantas mengangguk.

“Jawapan… bagi soalan ko tu… masih sama…” Meraung aku sebaik sahaja dadanya berhenti berombak.

Air mataku semakin deras mengalir.

“Kenapa?” Soalku.

“Huh?” Qhalis menggaru-garu kepala dengan tangannya yang tidak digari. Dia kelihatan bingung. Sepertiku juga.

“Sebab aku lelaki yang menjaga wanita-wanita yang aku sayangi dari segala kesusahan. Sama ada ko percaya atau tidak… Aku dah lama sukakan ko... Aku cintakan ko... Dan aku sanggup buat apa aje untuk tengok ko bahagia… Itu maksud cinta aku pada ko!”

Terima kasih, Qhalis… Terima kasih kerana mengajarku erti cinta… Kerana ko, aku kini mula mengerti apa itu cinta... Kerana ko, aku mula faham mengapa aku menangis di saat pertama kali kita berpisah. Kerana ko, aku akan menghargai setiap detik kehilangan ini… Kerana ko, aku gagal menjadikanmu musuh untuk seumur hidupku… Kerana aku pencintamu yang sejati…

Monday, March 9, 2009

eucralipse 2

Nama aku Puteri Eury, puteri tunggal Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika. Kami memiliki tanah jajahan yang terbesar di planet ini yang dikenali sebagai Eucralipse. Sebagai bakal pemerintah, aku telah ditunangkan dengan Putera Esmet, putera Raja Eries dan Permaisuri Xera, merangkap pewaris tunggal kawasan jajahan Segi. Ini adalah atas wasiat datukku serta taktik untuk meluaskan tanah jajahan Eucralipse. Buat masa sekarang aku langsung tak berminat tentang takhta dan apa yang aku pelajari di Akademi Eucralipse. Aku cuma ingin hidup bebas dan menikmati erti kehidupan di samping orang yang aku sayangi. Dan... Aku cuma ingin mencari Putera Bertopeng yang sering muncul dalam mimpi-mimpiku. Masalahnya... Dia tu wujud ke??

Tangan kanan aku dah naik lenguh menopang dagu. Dagu yang asalnya elok terletak di atas tapak tangan, tiba-tiba terjatuh. Kedua-dua belah tangan aku luruskan. Seketika kemudian aku menggeliat pula. Apa tak nya, dah nak dua jam aku wat posisi yang sama aje... Namun bila melihat aksi Ellisa yang begitu teruja melihat Egart berlatih lawan pedang, aku jadi terhibur. Apa taknya, Ellisa senyum sampai ke telinga. Sesekali dia melompat keriangan bila Egart mendapat ’mata’ kemenangan. Minah ni, setakat tengok dari jauh pun dah bapak sukanya... Aku rasa kalo dia dapat bercakap face-to-face dengan si Egart tu agaknya mau agaknya dia pengsan.

"Woi, Ellisa! Sudah la tu... Ko ni tak nak masuk kelas ke?”

"Ala... Tunggu la kejap lagi! Perlawanan tengah sengit ni. Aku rasa Egart mesti dapat kalahkan lawan dia. Kan Egart pemain pedang paling lincah kat akademi ni...”

"Kalo ko dah tau keputusannya macam tu, tak payah la tengok lagi. Jom masuk kelas. Nanti En. Hepmis marah plak..”

"Ala, Eury... Kejap la. Tak abis lagi rindu aku kat Egart ni! En. Hepmis tak berani marah ko punya. Ko kan anak raja. Sapa berani marah.”

Rindu? Dah pandai rindu-rinduan plak kawan aku ni... Seketika kemudian aku teringat balik En. Hepmis. Ya, mungkin En. Hepmis tak berani nak marah aku tapi aku tak suka la budak kelas pandang ’semacam’ aje kat aku. Sebagai bakal pemerintah, aku kena gak tunjuk reputasi baik. Kan ke aku patut jadi role model diorang...

"Jom la Ellisa. Kalo ko tak bergerak dari situ, aku akan jerit bagitau Egart yang ko sukakan dia. Biar Egart tau, biar satu akademi tau. Nak?”

"Yela! Yela...! Tak sporting langsung!”

Ha! Tau plak takut... Kata suka sangat dengan Egart tapi bila aku nak tolong dia ’rapat’ dengan Egart, tak mau plak. Malu katanya... Suka hati ko la Ellisa... Kalo melepas nanti ko tanggung la...

**************

Aku membongkokkan badan serendah yang boleh. Mencicit aku berlari ke tingkat atas istana. Fuh...! Nasib baik tak ada orang nampak. Pintu utama ke tingkat atas pantas ku kunci. Hehe... Sekarang, tak ada sesiapa dapat cari aku lagi. Puan Arena ke Encik Cronus ke... Ke entah sape-sape melaun yang nak cari aku, tak kan dapat cari aku. Sebab tempat ni memang tempat rahsia. Laluan nak ke sini pun cuma orang tertentu aje yang tahu. Hmm... Apa yang aku nak buat kat sini? Adalah... Benda yang aku suka buat, bukan benda yang orang lain suka aku buat...

Berbaring di atas lantai dan memerhatikan langit, bintang-bintang dan planet-planet nun jauh di atas sana. Memerhatikan bintang yang paling terang di Eucralipse iaitu Euristar. Waktu aku kecil dulu aku selalu buat lawak pada teman sepermainanku. Euristar tu milik aku. Euristar melambangkan diri aku. Jika aku bersedih maka akan gerhana lah sinaran Euristar. Jika aku gembira, maka bertambah teranglah cahaya Euristar menyinari malam-malam di Eucralipse.

Tapi yang peliknya, aku sendiri terlupa dengan siapa aku pernah cakap macam tu. Bila aku tanya Ellisa, dia cakap aku tak pernah pun cakap fasal Euristar. Dengan sapa ek aku bercakap? Napa aku tak boleh ingat pun sapa orang tu. Yang pastinya matanya yang redup seolah-olah tersenyum apabila mendengar aku berkata demikian. Ya, matanya... Aku cuma ingat akan matanya yang redup setiap kali mendengar kata-kata dari mulutku. Walaupun kadang-kala apa yang aku katakan langsung tak masuk akal.

Kata-kata Ellisa siang tadi masih terngiang-ngiang lagi di telinga aku sehingga kini.

“Ko percaya pada cinta pandang pertama?”

Aku tergelak besar mendengar kata-katanya.

“Maksud ko, tengok orang tu pastu terus jatuh cinta? Macam tu?”

“Aah... Ko tak percaya ke?”

“Tak. Aku tak percaya pada cinta padang pertama…!”

“Aku tak tau la apa yang orang dalam istana dah ajar pada ko sampai ko tak percaya pada benda-benda ni semua. Tapi bagi aku, cinta pandang pertama memang wujud. Tapi cuma orang tertentu aje boleh mengalaminya.”

Aku diam aje. Malas nak berbalah dengan Ellisa. Kadang-kadang Ellisa ni boleh jadi obses dengan apa yang dia percaya dan suka. Contohnya, Egart! Nasib baik mamat tu hensem. Tak la aku terkilan sangat dia suka kat mamat tu.

“Cinta pada pandangan pertama tu bila ko dan lelaki tu bertentangan mata. Dan suatu rasa yang hangat mengalir dari segenap tubuh ko dan akhirnya bersatu di hati ko. Hati masing-masing berbicara namun bukan mulut yang berkata-kata. Dan saat itu ko yakin yang dia adalah lelaki yang diciptakan untuk ko. Dia la lelaki yang ko cari-cari dalam seumur hidup ko semata-mata untuk bersamanya. Susah aku nak terangkan dengan lebih terperinci. Ko kena laluinya sendiri... Tapi aku rasa ko tak de peluang untuk jatuh cinta pada pandangan pertama sebab ko dah jumpa pun jodoh ko, si Esmet tu...”

Cinta pada pandangan pertama... Macam-macam la si Ellisa tu...tak sudah-sudah berangan fasal cinta dan cerita fairy tale yang selalu ada happy ending. Hakikatnya banyak pasangan yang tak dapat bersatu walaupun diorang saling mencintai.

Aku pejamkan mata. Menikmati kedinginan udara malam yang bertiup lembut, menyapa tubuhku. Dan tanpa sedar aku terlena di situ. Seperti malam-malam sebelumnya, lenaku ditemani mimpi-mimpi indah bersama Putera Bertopeng.

**************

Gerakannya pantas. Dia bijak memanipulasi tenaganya dan tenaga pihak lawan. Malah dia seperti dapat membaca tindakan lawannya. Satu persatu tubuh pihak lawan dijatuhkannya. Beberapa minit kemudian, dia sudah berjaya menumbangkan kesemua lawannya.

Menelaus dan Raja Eriel tersenyum kegembiraan. Serentak dengan itu mereka berdiri dan bertepuk tangan. Semua yang hadir di situ segera bangun dan menundukkan badan sebagai tanda hormat.

“Kamu tak pernah menghampakan beta, Kerk!”

Kerk menundukkan kepala seraya menyilangkan tangan di dadanya, tanda berterima kasih atas pujian yang diberikan oleh Raja Eriel. Wajahnya tetap bersahaja. Langsung tiada beriak.

“Kerk sememangnya pelajar terbaik yang pernah saya ajar. Dia bijak dan mampu menguasai semua yang saya ajar dalam masa yang singkat.”

Raja Eriel tersenyum bangga mendengar pujian Menelaus terhadap Kerk. Dia sememangnya sedia maklum bahawa Menelaus jarang sekali memberi pujian kepada anak-anak didiknya.

“Tanpa usaha gigih ko mengajarnya siang dan malam, tak mungkin dia akan sehebat ini. Rasanya Kerk sudah bersedia dari segi mental dan fizikal... Bagaimana dengan disiplinnya, Menelaus?”

“Disiplin Kerk adalah di tahap yang sangat membanggakan. Dia tidak pernah membantah dengan setiap arahan yang diberikan. Namun adakalanya Kerk akan menghilangkan diri secara misteri. Terutama pada malam-malam Euristar bersinar terang...”

Berubah sedikit air muka Kerk mendengar komen Menelaus. Namun segera dia bersikap bersahaja semula apabila ayahandanya sekadar memerhati tanpa menegur perbuatannya yang diadukan oleh Menelaus.

“Bersurai semua! Egart, beta ingin berbincang dengan kamu sebentar!” Arah Raja Eriel. Egart yang berdiri di sebelah Kerk menganggukkan kepala sebelum berbalas pandangan dengan Kerk.

************

“Kiranya kamu masih gagal mendekati Eury?”

Egart yang tadinya tegak berdiri cepat-cepat melutut dan menundukkan kepala. Kerk hanya menundukkan kepala. Mengerti akan keberangan ayahandanya.

“Maafkan saya! Saya gagal melaksanakan misi saya. Eury selalu bersama dengan kawannya, Ellisa. Pengawal istana pula sentiasa memerhatikannya dari jauh. Tentu mereka akan perasan jika saya tiba-tiba mahu rapat dengan mereka...” Jawab Egart perlahan dan penuh berhati-hati.

Raja Eriel mundar-mandir seketika sebelum duduk kembali di takhtanya. Memikirkan rancangannya yang sudah 'lari’ dari apa yang dirancangkan. Kemudian satu persatu wajah direnungnya. Akhirnya pandangannya terhenti kepada wajah itu. Kerk... Ya, Kerk mungkin harapan terakhirnya! Tapi dia tidak mahu melibatkan Kerk dalam hal ini. Kerk sepatutnya diberikan posisi dan tugas penting dalam pertahanan dan serangan. Bukan diselitkan dalam kemelut remeh sebegini.

“Ayahanda, Kerk bersedia memikul tugas Egart!”

“Tidak! Kamu cuma bagi tumpuan pada tugas yang diberikan pada kamu saja, Kerk.”

“Tapi ayahanda...”

“Keputusan beta muktamad! Egart, beta bagi kamu peluang sekali lagi... Guna apa sahaja cara untuk rapat dengan Eury. Kamu mesti mendapat kepercayaan daripadanya!”
Egart pantas mengangguk.

Sunday, March 1, 2009

eucralipse 1

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Di bawah bulan purnama, berdiri Puteri Sayap Cinta dan Putera Bertopeng. Masing-masing kelu seribu bahasa. Cuma bertentangan mata untuk beberapa ketika. Seketika kemudian Puteri Sayap Cinta tertunduk malu. Tak berdaya menahan panahan anak mata berwarna ungu muda milik Putera Bertopeng.

“Putera Bertopeng, betul ke awak cintakan saya?” Soal Puteri Sayap Cinta perlahan.

Putera Bertopeng menggaru-garu kepalanya beberapa kali. Puteri Sayap Cinta tersenyum seraya menggerak-gerakkan kepaknya beberapa kali. Kepaknya kelihatan bersinar hasil pantulan cahaya sang rembulan.

“Kenapa Puteri Sayap Cinta? Awak tak percaya yang saya cintakan awak?”

“Saya percaya tapi saya nak awak buktikan yang awak cintakan saya...”

Putera Bertopeng terdiam seketika. Mungkin mencari cara bagaimana hendak membuktikan betapa dalamnya cintanya terhadap Puteri Sayap Cinta. Seketika kemudian dia mendapat ilham. Kedua-dua tapak tangannya dirapatkan. Kemudian dia menepuk tangan beberapa kali dan menghasilkan satu irama.

Puteri Sayap Cinta memandang alam sekelilingnya. Sunyi sepi. Segala-galanya seakan-akan mati. Tiada sebarang bunyi ataupun gerakan terhasil. Tiada tiupan angin. Tiada bunyi unggas-unggas yang selalu menemaninya bertemu Putera Bertopeng pada malam ini. Pandangannya dialihkan kepada Putera Bertopeng. Putera Bertopeng tetap tenang. Atau dia menyembunyikan keresahannya di sebalik topeng tersebut?

Belum sempat Puteri Sayap Cinta bersuara, dia terdengar bunyi bising di belakangnya. Dia segera berpaling. Dilihatnya pokok-pokok bergoyang-goyang. Tak lama kemudian kelihatan segerombolan kelip-kelip terbang ke arahnya. Pada mulanya Puteri Sayap Cinta menyangka yang kelip-kelip tersebut akan menyerangnya kerana jumlahnya berjuta-juta banyaknya. Namun ternyata sangkaan tidak berasas. Kelip-kelip itu langsung tidak menyerangnya. Bahkan cahaya yang dimilikinya menerangi suasana malam pertemuannya dengan Putera Bertopeng. Kelip-kelip tersebut mengelilinginya dan menghasilkan pelbagai bentuk.

Tidak lama kemudian datang sekumpulan burung. Setiap seekor membawa sesuatu di paruhnya. Puteri Sayap Cinta mengecilkan matanya. Cuba melihat apa yang dibawa oleh burung-burung tersebut. Kelopak bunga? Kemudian burung-burung tersebut menjatuhkan kelopak-kelopak bunga yang dibawanya. Puteri Sayap Cinta tertawa riang sambil menadah tangannya.

“Saya sanggup buat apa sahaja untuk menggembirakan hati awak. Sekarang awak tahu kan betapa cintanya saya terhadap awak, Puteri Sayap Cinta?”

Puteri Sayap Cinta tersenyum kemenangan. Dia tahu sayap cinta yang dimilikinya telah menjalankan peranannya. Hati Putera Bertopeng yang dahulunya dingin bak salju sudah berjaya dimilikinya...

“Eury!”

Panggilan Puan Oracle serta bunyi hentakan di meja membuatkan aku terjaga. Bayangan Putera Bertopeng dan Puteri Sayap Cinta hilang. Yang ada kini cuma Puan Oracle yang sudah merah mukanya serta rakan-rakan sekelas yang tersengih-sengih memandang ke arahku.

Semua mata tertumpu ke arahku. Puan Oracle bercekak pinggang di hadapan kelas. Alamak...! Aku tertido dalam kelas ke?! Huhu... Masak la aku 'kena' dengan orang tua ni! Aku tundukkan kepala. Tak berani nak pandang muka Puan Oracle yang macam nak keluar asap dari telinga dan hidungnya akibat terlalu marah.

“Saya cukup tak suka kalo ada pelajar yang tak bagi tumpuan dalam kelas. Eury, awak jangan ingat saya tak berani nak marah awak…”

“Maaf, Puan Oracle...” Ujarku lembut. Cuba meraih simpatinya. Aku tau aku pernah cakap dengan dia supaya dia layan aku serupa dengan pelajar-pelajarnya yang lain. Tapi agak-agak la sket kalo nak denda @ mare aku kan... Dia sapa, aku sapa...

“Saya maafkan awak. Tapi saya terpaksa denda awak atas kesalahan awak. Saya nak kamu tulis mengenai sejarah kejatuhan Kerajaan Aryuthya secara lengkap dan terperinci. Saya bagi masa 2 minggu pada awak...”

Papp!! Aku rasa macam bangunan akademi ni runtuh dan menghempap kepala aku. Gila! Sejarah kejatuhan Kerajaan Aryuthia tu panjang giler. Aku pernah tengok buku-buku rujukan di perpustakaan. Semuanya tebal-tebal belaka. Setebal cermin mata Puan Oracle mungkin...Dah la susah nak faham. Agaknya penulisnya dewa kot?Aku pandang Ellisa di sebelahku. Meminta simpatinya. Ellisa, tolong la aku... Wawa... Matilah aku macam ni!

“Napa Eury? Saya tengok muka kamu berkerut-kerut. Tak puas hati? Ke tak cukup denda yang saya bagi?”

“Ha? Bukan...” Jawabku pantas. Takut denda yang diberi bertambah. Puan Oracle ni memang strict dan garang. Sebab tu kami kat akademi gelar dia 'killer'.

“Okey... Kelas tamat!”

Semua menarik nafas lega sebaik sahaja Puan Oracle keluar dari kelas, termasuk aku.

*************

“Dah la tu! Tak payah buat muka cencorot ko tu lagi... Sapa suruh ko tido dalam kelas orang tua tu? Kan dah dapat 'hadiah'...”

Ellisa di sisi aku jeling tajam. Minah ni kalo bab menyindir memang nombor satu. Cuba dia plak kena nanti, tau la dia laser tak lasernya mulut aku ni... Roti aku cubit besar-besar pastu aku sumbat ke dalam mulut. Aku kalo tengah tension memang macam ni, kuat makan. Nasib baik badan aku ni tak cepat kembang...

“Ala... Aku bukan sengaja la! Aku cuma bosan dengan cara dia mengajar...”

Ellisa menepuk lenganku. Ada senyuman nakal terlukis di bibirnya. Kemudian dia merapatkan mulutnya ke telingaku. Apahal pulak minah ni? Buang tebiat apa?

“Aku dengar ko sebut nama apa.. Putera.. Ha! Putera Bertopeng! Ko sebut Putera Bertopeng masa ko tido tadi... Sapa tu?”

Putera Bertopeng? Ooo... Putera yang selalu datang dalam mimpi aku tu ke yang dia maksudkan? Aku tersenyum simpul. Membayangkan Putera Bertopeng pujaanku.

“Putera Bertopeng tu pakwe aku...”

“Ha! Yeke? Ko tak pernah bagitau aku pun... Hensem tak?” Ellisa mula tertarik untuk mendengar cerita Putera Bertopengku.

“Hensem giler... Aku paling suka tengok mata dia. Mata dia warna ungu muda tau!”

“Wah, mesti cantik mata dia! Hidung dia mancung tak? Kulit dia cerah ke sawo matang?”

“Entah! Tak tau... Aku tak pernah tengok muka dia sebab dia selalu pakai topeng bila kami berjumpa...”

“La, siannya ko... Kat mana ko jumpa dia? Aku pernah jumpa dia tak?”

“Ko mana pernah jumpa dia. Aku jumpa dia dalam mimpi aje...”

“Ceh! Buang air liur aje aku bertanya. Aku ingat betul-betul la tadi… Hampeh betullah!”

Ellisa menonyoh kepalaku dengan jari-jemarinya yang runcing. Ni kes geram la ni… Sian kepala aku yang berdaulat ni…

“La... Memang la aku jumpa dia dalam mimpi aje tapi mimpi aku tu macam real je tau...!”

“Mimpi mana sama dengan realiti. Ko membayangkan aje Putera Bertopeng ko tu. Dia entah wujud entah kan tidak!”

“Ala... Ye ke? Tapi aku rasa dia memang wujud la...”

Perbualan kami terhenti bila kerusi di hadapan kami ditarik oleh seseorang.

“Hi, girls! Esmet in da house! Boleh join?”

Belum sempat kami menjawab, Esmet dah letak hidangan paginya dan mula makan. Chit, baik tak payah tanya! Suka hati mak bapak dia aje nak duduk kat meja orang. Muka tembok betul! Ellisa menyikuku. Bila aku pandang dia, dia jengilkan matanya. Pastu mulutnya terkumat-kamit. Isk... Nak cakap, cakap aje la... Ni dah macam kanak-kanak spastik+plastik aje aku tengok muka si Ellisa ni... Aku angkat kepala tanda tidak faham. Last-last Ellisa kenyit mata dan angkat tray makanannya.

“Aku tak nak kaco daun!” Bisiknya sebelum berlalu. Pastu menonong aje dia pindah ke meja Nexus yang selang tiga buah meja dari mejaku. Aik, apa ke halnya?

“Napa tiba-tiba ko nak makan dengan aku ni, Esmet? Mana kawan-kawan ko yang lain?”

Pelik aku. Selalunya Esmet, Dayes, dan Hemes macam kembar tiga yang melekat. Ke mana-mana pergi mesti bertiga... Tup-tup ari ni terpisah pulak? Boleh masuk rekod ni.

“Ko macam tak suka aje aku makan kat sini...” Kata Esmet. Sket pun dia tak pandang aku. Agaknya makanan dalam tray tu lagi menarik dari aku yang tercongok kat depan dia ni! Isk... Macam mana Eury boleh jatuh nombor dua ni? Belakang makanan pulak tu!

“Bukan tak suka ko makan kat sini. Aku cuma tak suka budak-budak ni pandang kita je...”
Aku lihat Esmet memandang ke segenap ruang kafe. Pelajar-pelajar yang ada di situ memandang ke arah kami dan berbisik-bisik sesama sendiri. Bergosip? Pasti!

“Biar la... Mulut diorang. Lagipun ko kena biasakan diri ko. Dalam beberapa tahun akan datang ko akan kawin dengan aku...”

Uweks... Rasa nak muntah aku dengar! Roti yang aku pegang aku campak ke dalam pinggan semula. Hilang selera aku dah. Memang sejak masuk sekolah lagi aku dah tau yang aku dah ditunangkan dengan Esmet. Ni semua kerja ayahanda dan bonda aku la. Aku lahir-lahir aje terus ditunangkannya dengan si Esmet cikeding ni. Kalo Esmet ni hensem macam Putera Bertopeng dalam mimpi aku tu lain la cerita. Bila aku bising-bising, ayahanda dan bonda kata yang mereka buat semua tu atas wasiat nenda @ datuk aku. Kalo aku tau, aku dah bantah dah. Tapi masa tu aku baby lagi... Mana la boleh aku membantah.

“Dah la Esmet! Aku tak selera makan lagi dah. Ko makan la sorang-sorang!”

Aku bingkas bangun meninggalkan Esmet yang kelihatan terpinga-pinga dengan tindakan drastikku. Ellisa yang rancak berbual bersama Nexus dan yang lain-lain aku gamit. Ellisa berlari mendapatkan aku. Lenganku ditariknya tapi bukan menuju ke kelas. Eh, mana dia nak bawak aku ni? Aku segera mengerti arah kaki Ellisa sebaik sahaja aku terdengar bunyi pedang bergeseran dari bilik berdekatan. Ni tak ada keje lain nak menyekodeng si Egart la ni! Okey gak, dapat gak la aku 'cuci’ mata tengok heroes-to-be Eucralipse!

Followers