Thursday, September 3, 2009

eucralipse 8


Jeritan dari pintu masuk perpustakaan diraja membuatkan aku dan Rei memandangkan ke arah yang sama. Esmet dengan bangganya melangkah masuk. Berlagak seolah-olah dia adalah yang paling berkuasa di situ. Di belakang Esmet, tiga sekawan merangkap pengikut setianya iaitu Esmet, Dayes, dan Hemes. Masing-masing buat muka samseng-tak-jadi. Huh, meluat sungguh aku tengok!

Pengawal Esmet dan pengawal istanaku masing-masing berdiri di muka pintu. Bersedia untuk memberi bantuan dan perlindungan sekiranya diperlukan.

“Eury sayang, kau sepatutnya mendampingi aku... Bukannya budak lelaki bertopeng yang kita tak tahu asal-usulnya ni! Kau tak malu ke diejek, diumpat gara-gara sikap kau yang tak ber'taste' dalam memilih kawan ni?” Esmet yang dah bertenggek di meja, mengangkat daguku dengan hujung jarinya agar kedudukan mata kami selaras. Mata Esmet penuh dengan kebencian.

Aku lempar senyum sinis.

“Tak payah nak cakap soal maruah, hak atau malu kat sini la, Esmet! Kau sendiri bertukar-tukar teman wanita. Kawan-kawan kau pun bukannya aku tak kenal. Kurang beberapa kes aje nak diklassifikasikan sebagai penjenayah. Lebih baik kau kisahkan tentang hal-hal berkaitan dengan diri kau berbanding hal-hal berkaitan dengan aku. Okey?”

Esmet mendengus marah.

“Kau milik aku, Eury!”

“Aku tak pernah jadi milik kau, Esmet!” Bantahku lantang.

“Kau tunang aku! Itu bermakna kau milik aku! Jangan pernah lupa hakikat tu!” Tempelaknya.

Aku tepuk meja seraya berdiri.

“Aku tak pernah lupa! Aku selalu ingat yang aku ada tunang yang berlagak, ego, kaki perempuan, kaki pesta, selalu salah guna kuasa... Mana mungkin aku melupakan kewujudan kau sebagai tunangku, Putera Esmet!” Teriakku.

Esmet ketawa dan aku kurang pasti mengapa dia ketawa. Berdekah-dekah ketawanya. Mungkin dia dah gila!

“Sebab budak tak guna ni, kau sanggup melawan aku?” Soalnya seperti tidak percaya.

“Dia ada nama. Nama dia Rei. Dan dia bukan budak tak guna. Aku pernah terhutang nyawa padanya!”

Esmet mengepal penumbuk. Rupa-rupanya kata-kataku menyemarakkan lagi amarahnya pada aku. Aku sudah bersedia menerima apa sahaja tindakan fizikal yang mungkin akan dilakukan oleh Esmet. Namun tekaanku meleset. Esmet mendapatkan Rei. Dicekaknya leher baju Rei dan dalam sekelip mata Rei dah jatuh menyembam ke lantai akibat dicampak oleh Esmet.

“Budak tak guna, kau sedar tak yang kau tak setaraf dengan kami? Kau ingat dengan menabur budi, kau boleh memiliki apa yang selama ini menjadi hak aku? Eury hak aku. Selamanya dia akan jadi hak aku. Faham?” Jerkah Esmet.

Kemudian Esmet mengangkat dan mencampakkan Rei keluar, ke kawasan lapang di luar perpustakaan diraja. Kawan-kawan Esmet segera berlari ke arah Esmet dan Rei. Bersedia untuk membantu Esmet yang sudah membelasah Rei.

“Jangan! Budak ni aku punya! Biar aku aje 'habiskan' dia!” Tegas Esmet. Kawan-kawannya akur lantas berundur dan kembali menjadi pemerhati.

Esmet terus membelasah Rei. Rei sedikit pun tidak melawan sedangkan aku tahu Rei mampu menanding kekuatan Esmet. Aku menekup mulut. Air mata mula bergenang di birai mata. Entah kenapa aku kaku. Langsung tak berdaya untuk berbuat apa-apa bagi menghentikan perbuatan Esmet.

“Jangan! Jangan pukul dia!”

Namun tiada siapa yang mengendahkan jeritanku. Para pelajar Akademi yang kebetulan berada di situ dan menyaksikan kejadian itu, segera meninggalkan kawasan tersebut. Enggan masuk campur. Dan bila Esmet mengeluarkan pedang dari sarungnya milik pengwalnya, aku tahu aku perlu berbuat sesuatu. Dalam keadaan genting sebegitu, cuma satu yang ada dalam fikiranku. Dalam apa jua keadaan, aku akan melindungi Rei yang sudah terbaring lemah di atas lantai.

Sebaik sahaja Esmet menghayunkan pedangnya, aku pantas berlari ke arahnya. Menangkap dan menggenggam pedang itu dengan tangan kananku. Semua yang melihat tergamam melihat tindakan drastikku. Aku rampas pedang itu dari Esmet dan kubuang jauh dari situ. Setitik, dua titik darahku jatuh di atas lantai. Dan akhirnya darahku tak henti-henti mengalir membasahi lantai. Hujung bibir kugigit, cuba menahan rasa sakit dan pedih. Namun aku masih mampu berlagak tenang di hadapan semua yang hadir.

“Nampak tak darah yang mengalir dari tubuhku, Esmet? Bukankah warnanya sama seperti darah yang ada dalam tubuh Rei dan juga tubuh kau! Jadi, kita sama sahaja!” Ujarku.

Esmet terdiam mendengar kataku. Masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Rasa tidak puas hati dan marah tidak pernah padam dari wajahnya.

“Jom pergi!” Arah Esmet kepada pengikutnya.

Esmet dan kawan-kawannya beredar dari situ.

“Eury!”

Dan aku rebah di sisi Rei.

**************
Rei mengangkat tubuhku menuju ke hutan di belakang kawasan Akademi. Dia mendudukkan aku di bawah pokok. Hari semakin gelap. Cory, ketua pengawalku, telah kuarahkan supaya menungguku di Akademi. Cory patuh walaupun tidak setuju dengan arahanku. Rei pantas meluru ke arah semak berhampiran. Terbongkok-bongkok mencari sesuatu.

“Rei... Kita buat apa kat sini?” Soalku lemah. Tangan kiri menampung berat kepala. Entah kenapa, kepalaku terasa pening. Darah di tapak tanganku masih mengalir walaupun selepas diikat ketat dengan cebisan kain baju Rei sebentar tadi.

“Cari daun dlov! Daun yang yang boleh menghentikan darah dengan cepat.”

Rei semakin jauh masuk ke dalam hutan. Kepalaku pula semakin berat dan segalanya nampak kabur pada pandangan mataku. Dan akhirnya... gelap...

Mata kubuka perlahan-lahan. Mata ungu itu 'tersenyum' ke arahku dari atas. Dan bibirnya bergerak-gerak. Mengucapkan sesuatu kepadaku.

“Putera Bertopeng...”

“Puteri Sayap Cinta, bukankah dah tiba masanya untuk awak bangun dari tidur? Awak tahu kan yang saya bosan tanpa awak...” Ujar Putera Bertopeng dalam senyumnya. Menyedari kepalaku masih elok terletak di ribanya, aku bangun dan duduk di sisinya. Tangan Putera Bertopeng melingkari tubuhku. Aku rasa tenang diperlakukan sebegitu.

“Siapa awak sebenarnya?” Sudah terlalu lama aku menyimpan soalan itu. Setiap kali aku bertemu dengannya di alam mimpi, itulah satu-satunya soalan

“Saya cinta awak untuk hayat ini... Kita kenal sejaki kecil. Tak kan awak dah lupakan saya...” Ujar Putera Bertopeng dalam nada merajuk.

“Boleh tak awak buka topeng awak tu?”

“Kenapa?”

“Saya nak tengok wajah awak. Saya nak ingat rupa awak sebab saya selalu lupa wajah awak setiap kali saya bangun dari tidur. ”

“Tak apa kalau awak lupa. Kan kita boleh bertemu dalam mimpi awak lain kali.”

Aku mendengus mendengar jawapannya.

“Apa sebenarnya yang awak rahsiakan dari saya? Betul ke kita kenal sejak kecil?”

“Hei, saya tahu la saya selalu buat awak marah! Tapi tak kan awak tergamak nak lupakan saya! Saya kecewa dengan awak. Benar-benar kecewa...” Putera Bertopeng sudah naik marah. Dia bingkas bangun. Bebola matanya menikam anak mataku. Dan dia berlalu pergi.

“Putera Bertopeng! Putera Bertopeng! Jangan tinggalkan saya! Tolong la...”

Bahuku digoncang kuat.

“Eury! Eury...!”

Aku buka mata. Wajah seseorang kelihatan. Kabur. Dan perlahan-lahan semakin jelas di pandangan. Rei. Aku perhatikan pula keadaan sekeliling. Rumput. Tanah lapang. Pokok-pokok. Hutan. Satu-persatu peristiwa yang berlaku siang tadi terlayar di minda. Aku pengsan rupanya.

“Awak okey? Tangan awak sakit lagi?” Soal Rei bertalu-talu.

Aku mengelengkan kepala. Menidakkan pertanyaannya, sekaligus memaksa roh dan jasadku bersatu untuk kembali ke alam nyata.

“Awak pengsan. Mungkin sebab awak takut tengok darah mengalir. Atau mungkin awak hilang banyak darah...”

“Saya dah okey sekarang...!” Tegasku. Cuba menghentikan kerisauan Rei. Dan sebenarnya memang aku sudah pulih. Langsung tak berasa sakit di mana-mana. Cuma rasa keliru. Putera Bertopeng... Dan seperti selalu, wajahnya akan kabur dan terus kabur dari ingatanku selepas bangun dari tidur. Siapa dia? Apa kaitan dia dengan aku? Jika benar dia seseorang yang penting dalam hidupku, kenapa aku tidak boleh mengingati wajahnya? Satu-satunya yang jelas dalam ingatan adalah nama dan warna matanya yang bersinar itu. Mengapa?

“Eury... Saya risau dengan keadaan awak ni! Betul ke awak okey?”

“Ya! Saya okey. Sangat okey!” Jawabku. Wajah Rei aku pandang. Wajah Rei kelihatan serba tak kena. Seperti serba-salah.

“Aaa... Kalau awak dah okey, boleh tak awak... aa... bangun... kaki saya dah lenguh la...” Teragak-agak dia membuat permintaan itu.

Aku pandang kiri. Aku pandang kanan. Dan kemudian aku pandang atas. Mengenalpasti kedudukan aku. Kalau ikut keadaan sekarang, aku... err... tengah terbaring... di riba Rei... Patut la aku boleh bau wangian dan bau Rei. Rupanya dia begitu hampir denganku. Tapi... Bukankah Putera Bertopeng yang meriba aku tadi? Ooo... Lupa! Itu hanya mimpi.

Dengan wajah yang panas dan merah, tanpa menunggu walau sesaat pun, aku bangun dan duduk di sebelahnya. Rei memukul-mukul pehanya dengan wajah yang berkerut-kerut.

“Maaf. Saya tak sengaja. Lama ke saya pengsan tadi?”

Rei memandangku dengan wajah yang tenang.

“Tak lama. Awak sedar lepas beberapa minit. Saya bagi awak minum air dan awak tertidur... Saya dan pengawal awak tak sampai hati nak kejutkan awak.”

“Ooo... Yeke?” Jari-jemari aku larikan ke ubun-ubun. Memicit bahagian itu. Kenapa aku langsung tak ingat?

“Mana diorang?”

“Pengawal awak?”

“Hmm...”

“Tu!” Rei menunding ke satu arah. Cory dan pengawal-pengawal peribadiku yang lain berdiri tak jauh dari kami. Aku mengeluh. Melihat dari suasana sekeliling, aku mengagak yang aku sudah terlewat untuk pulang ke istana. Mungkin sudah melepasi waktu makan malam pun.

Rei mengambil tangan kananku. Cebisan kain yang membaluti lukaku dibukanya. Aku sekadar memerhatikan. Daun hijau yang diletakkan di atas lukaku sebentar tadi, dialihkan. Tiada apa yang kelihatan. Hanya tapak tanganku. Tiada kesan darah. Malah tiada parut. Seolah-olah tanganku tak pernah luka pun. Menakjubkan!

“Dlov adalah daun yang paling bagus untuk mengubati luka dan kecederaan. Tapi itu tak bermakna kita tak perlukan ubat-ubatan dan pakar perubatan. Kemampuan Dlov masih belum dikaji secara terperinci.” Terang Rei. Aku cuma mampu melopong. Rei memang tak pernah gagal membuatkanku kagum.

“Awak ni memang bijak. Serba boleh pulak tu. Semua benda saya tahu. Pasti awak akan jadi orang yang hebat suatu hari nanti.” Pujiku. Tapi aku memang benar-benar memaksudkannya.

“Hebat tu tidak la... Saya masih belajar. Dan kebetulan apa yang saya tahu tu, awak tak tahu. Jadi, awak tak boleh kata saya pandai...”

Aku tersenyum. Rei yang merendah diri di hadapanku ini sangat berbaloi untuk dikenali.

“Apa-apapun, terima kasih! Kalau tak, terpaksa la saya hidup dengan parut kat tangan untuk seumur hidup saya.” Gurauku. Rei senyum segaris. Perlahan-lahan wajahnya berubah riak.

“Esmet... Macam mana dengan dia?”

Aku mengeluh berat. Tak nampak jalan penyelesaian.

“Saya akan minta ayahanda dan bonda putuskan pertunangan kami tanpa menyebut apa yang jadi hari ni. Saya tak nak awak terlibat pulak dalam hal ni...”

“Boleh ke? Tak jadi perang antara planet ke kalau awak putuskan pertunangan tu?” Dalam keadaan ragu-ragu Rei menyoal.

“Mungkin! Tapi saya tak nampak apa-apa sebab kenapa pertunangan saya dan Esmet perlu diteruskan. Saya tak cintakan saya. Dan saya percaya dia pun tak cintakan saya. Benda yang ada dalam kepala dia hanyalah kuasa, takhta dan perempuan. Saya cuma alat untuk dia dapat semua itu.”

“Apa jua keputusan awak, saya harap awak fikir semasak-masaknya. Kerana hal ni melibatkan hidup awak, ayahanda dan bonda awak, Eucralipse dan kesejahteraan antara planet. Awak faham, kan?”

Mendengar nasihat Rei, aku jadi terharu. Macam mana lelaki yang baru aku kenali beberapa hari ini boleh memberi nasihat yang berguna dan begitu mendalam maksudnya padaku, sedangkan mereka yang berada di istana hanya pandai mengeluarkan arahan dan mengikut perintah. Pengertian Rei membuatkan aku berharap dialah tunanganku. Bukan Esmet yang ego dan pentingkan diri itu.

Cory memberikan isyarat kepadaku.

“Maaf, saya kena pulang ke istana. Dah terlalu lewat ni. Nanti ayahanda dan bonda tentu bimbang.”

Rei membantu aku untuk berdiri. Kami bertatapan sebentar.

“Tak apa. Saya pun nak balik berehat. Jangan lupa makan dan rehat.” Pesannya sebelum aku beredar. Kami berbalas lambaian sebelum aku mengikut Cory dan orang-orangnya.

“Peristiwa petang tadi, saya nak kamu rahsiakan dari sesiapapun!” Aku mengeluarkan perintah itu dalam perjalanan pulang.

“Baik, tuan puteri!”

**************
Sampai di istana, semuanya kelihatan seperti biasa dan dalam keadaan terkawal. Bonda dan ayahanda tidak kelihatan di mana-mana. Mungkin menghadiri majlis, dalam bilik perbincangan atau... entah la... Aku tak pasti benar tentang jadualnya untuk hari ini. Apa-apapun, aku rasa lega kerana tak perlu bersoal jawab berkenaan kelewatan aku pulang ke istana pada hari ini.

Aku menyanyi kecil ketika berjalan menuju ke bilik. Meraikan 'pelepasan'ku dari mengadap dan menjawab soalan dari ayahanda dan bonda yang membosankan itu. Aku menyanyi dan menyanyi keriangan sehinggalah...

“Eury...!”

Panggilan dari ayahanda bergema di segenap ruang istana.

5 comments:

asmi' said...

rei... putera b'topeng????

b'kmungkinan besar...

ayah eury mesti nak marah die...
hope x lah...
sian die...

tzaraz said...

ooppsss..bala sudah mari...
next please..hehe

Tun Teja said...

Eury, saya ada tinggalkan komen untuk awak di blog saya :) maaf lambat.

Tun Teja said...

Eury, ada komen untuk Eury di blog Teja.

nella said...

best sangat citer nie ..x sabar nak tunggu sambungan..

Followers