Sunday, April 25, 2010

eucralipse 19


Jemari Kerk menggenggam erat jari-jemariku. Satu-satunya sumber haba yang ada untuk menghangatkan tubuh badanku yang kedinginan tika ini. Malam semakin larut. Kerk masih menarik tanganku. Berjalan tanpa henti sejak kami menyusup keluar dari bangunan penjara Dark City tadi. Meredah semak dan hutan dalam kegelapan malam. Cahaya Eucristar terasa jauh di atas langit sana. Sinarnya pudar. Seakan enggan meminjamkan cahayanya buat kami.

“Ini salah, kan?” Soalku perlahan namun aku yakin benar Kerk dapat mendengarnya.

“Ya!” Jawab Kerk dan kembali diam. Memberi tumpuan terhadap perjalanan kami. Dia nampak mahir dalam selok-belok hutan tersebut walaupun tanpa cahaya untuk menyuluh arah kami. Sesekali wajahnya berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu. Sesuatu yang serius. Sesuatu yang besar.

“Awak akan dihukum kerana membebaskan saya, kan?” Soalku lagi. Rasa letih dan mengah cuba aku sembunyikan dengan mengatur pernafasanku.

“Ya...”

Senyap.

“Tapi saya dah tak peduli semua itu!”

Kerk menoleh seketika ke sisinya. Ke arahku. Memandangku dengan sepasang anak matanya. Lama matanya berlabuh di wajahku sehinggakan wajahku terasa panas.

“Yang penting keselamatan awak! Bila awak dah sampai di Eucralipse, semuanya akan selamat. Jangan risau...”

Aku tak bimbang akan keadaan diriku. Aku lebih bimbangkan keadaan dirinya. Menyelamatkanku bererti mengkhianati Raja Eriel dan Dark City. Orang-orang Raja Eriel akan memburu aku dan Kerk sebaik sahaja mereka sedar akan kehilangan kami. Kalau kami tidak bernasib baik, mereka akan menemui kami. Aku akan dipenjara untuk dijadikan umpan dalam usaha menakluk Eucralipse. Kerk... Kerk akan dikenakan hukuman berat, hukuman yang aku sendiri tak mahu dan tak mampu untuk membayangkannya, kerana telah mengkhianati ayahandanya.

Namun tindakan Kerk membawa aku kembali ke Eucralipse juga bukanlah satu idea yang baik. Ya, aku akan kembali ke pangkuan ayahanda dan bonda, disayangi dan dilindungi oleh semua warga Eucralipse. Tapi, bagaimana dengan Kerk? Menyerahkan aku kembali pada ayahanda dan bonda seolah-olah membawa batang lehernya ke tali gantung. Pada ketika ini, pihak istana pastinya sudah mengetahui siapa dalang dalam penculikanku. Rei yang kini adalah Kerk sudah tentu dikaitkan dengan kehilanganku secara misteri kerana kali terakhir aku dilihat bersama dengannya. Tentera Eucralipse tentu sahaja akan membunuh Kerk sebaik sahaja terlihat akan dirinya.

Tidak adakah situasi di mana aku dan Kerk berada dalam keadaan selamat?

Aku berhenti melangkah. Menyentap tanganku dari Kerk. Pegangan Kerk lerai. Serentak itu juga aku terdengar Kerk mengaduh perlahan. Hampir tak terdengar dek deria dengar. Aku lihat dia memegang rusuk kanannya dengan wajah berkerut.

“Rusuk saya mungkin patah!”

Aku menekup mulut dengan tangan.

“Saya dah cederakan awak tadi!” Ujarku cemas dan hampir menangis.

“Saya dah biasa cedera. Ia akan sembuh dengan cepat. Awak tak perlu bimbang!” Kata Kerk seperti dalam kesakitan. Namun pada penilaianku, bukan rusuknya yang sakit. Seperti ada sesuatu yang lebih sakit daripada tulang rusuknya yang patah.

Kerk memandangku. Menatap wajahku dengan rasa cemas.

“Kenapa awak berhenti berjalan, Eury? Awak pun cedera, kan? Saya cederakan awak dalam pertarungan tadi, kan?”

Dalam diam aku akui yang badanku memang terasa sakit-sakit dan keletihan, walaupun secara dasarnya aku tidak mengalami kecederaan yang teruk dalam perlawanan siang tadi. Entah mengapa, tenagaku terasa seperti disedut oleh suatu kuasa yang tak kelihatan.

“Saya minta maaf. Tapi saya tak boleh bawa awak terbang. Risikonya terlalu tinggi sebab mereka akan nampak kita. Satu-satu jalan yang terbaik adalah meredah kawasan hutan tebal ni...”

Aku meletakkan jari telunjukku ke bibir Kerk. Mengarahkannya supaya diam.

“Kerk, kenapa awak lakukan ni semua? Awak membahayakan diri awak, awak tahu tak? Awak larikan saya dari penjara. Kalaupun saya dan awak selamat sampai di Eucralipse, ke mana awak nak pergi lepas tu? Sekarang ni, Dark City dan Eucralipse, dua-dua tempat tu dah tak selamat bagi awak! Awak dah jadi orang buruan sekarang!” Aku mengingatkannya. Aku mahu dia jelas dengan keadaannya sekarang.

Aku tatap mata Kerk yang bening. Kerk mengangguk perlahan. Menyakinkanku bahawa dia mengerti dengan situasi dirinya ketika ini.

“Eury... Saya akui saya memang sedang bingung sekarang. Saya tak tahu apa yang patut saya percaya sekarang. Saya keliru. Siapa yang berada di pihak yang salah dan siapa yang berada di pihak yang benar. Dan yang paling teruk, saya tak tahu saya sepatutnya menyebelahi siapa!”

Kerk mendudukkan aku di sebuah batu besar di bawah pokok. Melutut di hadapanku dan kemudian memegang kedua-dua belah tanganku.

“Siapapun yang salah, itu semua tak penting bagi saya. Satu-satunya yang penting bagi saya sekarang adalah awak, Eury!”

Dadaku berombak kencang secara tiba-tiba apabila mendengar pengucapannya. Adakah ini menandakan Kerk sudah ingat siapa dirinya yang sebenarnya? Aku berteka-teki sendiran.

“Awak tak terlibat dalam perbalahan ni dan saya tak mahu awak terbabit sama pun! Sebaik sahaja kita tiba di Eucralipse, saya akan bawa ke kubu pertahanan Eucralipse atau mana-mana tempat yang boleh menjamin keselamatan awak. Mereka akan bawa awak balik ke istana. Selagi awak di sana, awak akan selamat. Tentera Dark City tak cukup ramai dan kuat untuk menembusi kubu istana awak!” Katanya dengan penuh emosi. Namun suaranya tetap perlahan. Tidak mahu menarik perhatian sesiapapun ketika itu kecuali aku.

“Eury, saya tak pernah rasa seteruk ini... Saya tipu awak! Saya khianat cinta awak!”

Aku terdiam. Menunggu dia menghabiskan luahan hatinya.

“Saya sentiasa tahu apa yang saya inginkan. Dan saya selalu dapat apa sahaja yang saya mahukan. Ayahanda dan Dark City adalah segalanya bagi saya. Segala yang saya lakukan adalah untuk ayahanda dan Dark City. Tapi bila awak hadir dalam hidup saya... bila saya kenal dengan diri awak... bila awak menceriakan hai-hari saya dengan hanya berada di sisi saya... bila awak membuatkan hati saya kerinduan dan kehilangan diri awak... segalanya menjadi... mengelirukan... Awak membuatkan apa yang selama ini mudah bagi saya menjadi sukar!”

Wajah sedih Kerk aku tatap dengan perasaan belas. Ternyata menjadi seorang Kerk yang hilang sebahagian daripada memori hidupnya adalah sangat sukar dan menyakitkan. Mengelirukan, sepertimana yang dikatakannya.

“Saya tak mahu belot terhadap ayahanda dan misi hidup saya. Saya mahu teruskan apa yang telah rancangkan selama ini hingga ke akhirnya. Saya mahu menakluk Eucralipse demi mengembalikan maruah ayahanda saya! Saya tak mahu hilang kepercayaan dari semua orang. Saya tak mahu hilang maruah diri. Saya tak mahu berubah menjadi seseorang yang tidak saya kenali sebelum ini. Saya mahu jadi Kerk! Kerk, putera tunggal Raja Eriel, ketua angkatan tentera Dark City, pahlawan terhebat yang pernah dilatih oleh Menelaus... Saya mahu jadi Kerk yang dulunya tegas, kejam, tidak berperasaan, bersemangat kental, keras kepala... Saya mahu jadi Kerk yang macam tu semula! Bukan Kerk yang lemah bila berhadapan dengan hal-hal yang melibatkan urusan hati dan awak, Eury!”

Kerk berjeda sebentar.

“Tapi, dalam masa yang sama, saya juga mahu awak, Eury...” Pandangan Kerk sayu menembusi anak mataku.

“Bila saya bertarung dengan awak, saya berfikir dan terus berfikir berkenaan kewajaran tindakan saya itu. Kenapa saya harus berlawan dengan awak? Adakah tindakan saya betul? Kalau betul, kenapa dada saya terasa sesak dan sakit? Saya fikir, kalau awak tiada lagi di muka bumi ini, apa lagi gunanya saya hidup? Kematian awak bererti kematian juga bagi saya. Seluruh jiwa saya mati jika awak tak berada di samping saya. Saya tak tahu apa yang awak dah buat pada saya. Saya juga tak tahu kuasa apa yang dah mempengaruhi saya. Tapi... Yang pastinya, saya mahu awak selalu ada di samping saya. Menemani saya siang dan malam. Saat suka dan duka. Saya inginkan awak di sisi saya... selalu... dan selamanya...”

Kerk menundukkan kepalanya. Cuba menyembunyikan air mata yang berada di hujung matanya. Kerk yang ada di hadapanku kini bukan lagi Kerk yang angkuh dan kejam. Dia hanyalah Kerk yang keliru dengan keinginan hatinya.

“Jadi awak bebaskan saya sebab awak keliru?”

“Bukan itu aje. Ada sebab lain lagi.”

“Apa dia?” Soalku.

“Saya terdengar perbualan awak dan ayahanda saya...”

“Awak dengar?”

“Ya! Dan semuanya itu membuatkan saya semakin keliru dan yakin akan sesuatu. Sesuatu yang dirahsiakan dari saya selama ini.”

“Maksud awak?”

“Bila saya dengar awak panggil ayahanda saya dengan gelaran 'pakcik', semuanya mula nampak jelas dan masuk akal. Ayahanda saya sentiasa mengikut etika dan protokol seperti raja di istana sedangkan dia mendakwa dia rakyat biasa di Eucralipse. Dia kata yang dibuang negara selepas bonda saya, Ria dibunuh. Banyak yang dia tahu mengenai Eucralipse. Selok-belok istana, bagaimana sistem pertahanan Eucralipse berfungsi, kedudukan bangunan, ilmu mempertahankan diri, adat, dan termasuklah bahasa kuno Eucralipse yang hanya boleh dipelajari oleh golongan diraja Eucris. Dari situ, saya tahu yang Raja Eriel bukan orang biasa. Raja Eriel adalah keturunan Eucris. Dan saya mula tertanya-tanya semula punca sebenar peperangan ini. Saya berazam untuk mencari kebenaran sebelum saya meneruskan misi saya. Biarpun di pihak yang salah, sekurang-kurangnya saya patut tahu atas dasar apa perjuangan saya itu!” Kata Kerk.

“Kerk...” Panggilku perlahan. Kerk memandangku. Aku melepaskan jari-jemariku dari genggaman Kerk. Mengambilalih tugasnya dengan menggenggam kesemua jemarinya.

“Kerk, Raja Eriel sebenarnya bukan ayahanda awak. Awak hanya anak angkat. Nama awak pun bukannya Kerk. Peperangan ni bukan semudah yang kita sangkakan. Ada salah faham sesama kita. Pada pandangan saya, semua ini ada yang merancangnya...”

“Saya tak faham!”

“Boleh awak percayakan saya?”

Kerk pantas mengangguk.

“Sekarang, pejamkan mata awak dan kosongkan minda...”

Kerk tercengang.

“Untuk apa?”

“Awak percaya pada saya kan, Kerk?”

Kerk mengangguk.

“Pejamkan mata awak...” Pintaku sekali lagi.

Kerk akhirnya akur dengan permintaanku. Aku pegang kepalanya. Memusatkan segenap tumpuanku untuk membantu Kerk mengingati kisah hidupnya semasa kecil yang sudah dilupakan. Ketika itulah aku rasa sakit menyerang bahagian kepalaku. Namun aku diamkan sahaja. Mungkin kesan dari pertarungan siang tadi.

“Eury... Awak... Saya...” Wajah Kerk berkerut-kerut. Dia sepatutnya sudah boleh mengingati segalanya.

Aku memerhatikan Kerk yang kelat mukanya. Dia masih memejamkan mata. Masih 'melihat' memori yang selama ini tersimpan kemas dalam ingatannya, dengan bantuanku.

Lama kami dalam keadaan begitu. Kerk membatu dan membisu seperti patung membuatkan hatiku gundah. Hampir saja aku menampar lengannya untuk menyedarkan dirinya tentang kehadiranku. Dan rasa sakit tadi mula beralih ke sendi-sendi utamaku.

Kerk akhirnya membuka mata.

“Apa semua tu? Yang saya lihat tadi...”

“Itu memori awak, Kerk! Memori awak yang dah lama awak lupakan selepas awak mengalami trauma akibat diculik.”

Kerk menggelengkan kepala.

“Saya tak faham!”

Aku pegang kedua-dua belah bahu Kerk dan mengarahkannya supaya duduk di sebelahku.

“Kerk, awak sebenarnya Putera Rhyss, putera Raja Eries dan Permaisuri Xera dari Segi. Awak telah diculik oleh orang-orang Rexo dan ditinggalkan di hutan. Raja Eriel menemui awak dan memelihara awak sebagai anaknya. Trauma akibat diculik menyebabkan awak lupa semua memori sebelum awak diculik. Awak membina identiti baru sebagai Kerk, putera Dark City yang mahu membalas dendam pada kerajaan Eucralipse.”

“Budak perempuan yang bersama dengan saya tu...” Soal Kerk keliru.

“Budak perempuan tu adalah saya!” Jawabku.

“Kita... Dah kenal dari kecil?”

“Ya! Segi dan Eucralipse memang mempunyai hubungan rapat. Dulu Segi sebahagian dari Eucralipse. Kita selalu bermain bersama dulu...” Terangku.

“Kita teman sepermainan?”

“Ya. Dan kita hampir-hampir...” Ayatku mati di situ. Berbolak-balik rasa hati untuk membangkitkan rasa isu yang satu itu. Mungkin belum masanya. Atau mungkin juga isu itu tidak patut diutarakan.

“Hampir-hampir... Hampir-hampir apa, Eury?”

Aku diam. Kerk terus mendesak.

“Eury... Inilah masanya kita berterus-terang, Eury! Kita mungkin dah tak banyak bersama lagi bila awak dahbalik ke Eucralipse...”

Ada rasa sedih dan takut bila memikirkan ayat terakhir Kerk itu. Aku cintakan dia... Dan cintaku padanya semakin menyala apabila dia berada di sisiku dan berada di pihakku pada ketika ini.

“Kita hampir bertunang, Kerk... Kalau awak tak diculik, kita dah pun bertunang sekarang.”

Kerk terkejut.

“Esmet?”

“Yang pastinya Esmet bukan putera Segi. Dia hanya menggantikan tempat awak untuk mengaburi mata semua orang. Menjadi tunang saya dan pewaris Segi.”

Kedua-dua belah tangan Kerk melekat di ubun-ubun kepalanya. Terlalu banyak kisah di masa lampau yang disogokkan di hadapannya pada malam ini. Agak sukar baginya untuk menerima semua itu dalam masa yang singkat.

Aku tetap sabar menunggu Kerk sehingga keadaannya kembali stabil.

“Saya minta maaf, Eury! Saya dah mengasari awak, mencederakan awak tanpa saya tahu siapa awak yang sebenarnya...”

Jari telunjukku melekat di bibirnya. Aku menggelengkan kepala seraya tersenyum.

“Awak kehilangan diri awak sendiri. Awak kehilangan memori awak. Bagi saya, awak tak bersalah. Keadaan yang menjadikan awak begitu.”

Kerk menggenggam jari-jemariku.

“Terima kasih kerana memaafkan saya...”

Aku mengukirkan senyuman sekali lagi. Menafikan rasa sakit yang semakin menyucuk seluruh urat saraf tubuhku. Namun kehadiran Kerk di sebelahku, haba dari tubuh badannya, aura yang hadir bersama-sama dirinya menyebabkan rasa sakit tersebut hampir tiada.

Kerk menatap wajahku. Sepasang anak mataku direnungnya dalam-dalam. Cuba membaca isi hatiku. Begitu juga aku; cuba membaca isi hatinya. Dan ternyata inti pati isi hati kami sama.

“Saya cintakan awak, Eury... Kalaupun saya bukan Rhyss, kalaupun saya hanya Kerk, saya tetap cintakan awak... walaupun saya terpaksa menentang seluruh alam ni untuk menunjukkan rasa cinta saya pada awak!” Bisik Kerk di telingaku. Lembut dan menghangatkan rasa hatiku.

Kerk mendekatkan wajah kami. Bibirnya hinggap seketika di bibirku sebelum beralih ke ubun-ubunku. Lama bibirnya di situ sebelum dia kembali menatap sepasang mataku.

“Saya cintakan awak, Kerk!” Begitu mudah aku menuturkan sebaris itu.

“Saya juga cintakan awak, Eury... Lebih daripada apa yang awak bayangkan...”

Kami berbalas senyuman. Situasi antara kami mula tenang dan menyenangkan. Tiada lagi kekeliruan antara kami; sekurang-kurangnya kami sudah mengakui rasa cinta yang ada di hati kami.

“Ini adalah seperti yang aku jangkakan!”

Aku dan Kerk menoleh ke arah yang sama. Terkejut dengan kehadiran tuan empunya suara.

**************

Raja Esqandar bangun dari takhtanya. Mundar-mandir dengan wajah yang bengis sebelum berhenti dan melemparkan pandangan tajam ke arah Altrun.

“Kamu lalai, Altrun!” Jerkah Raja Esqandar.

Altrun tunduk memandang lantai. Mengakui kesalahannya. Dewan mengadap istana diam. Seorang pun tak berani berkutik. Takut melihat Raja Esqandar yang sudah naik angin.

“Sebagai ketua bahagian pertahanan negara, ketua angkatan tentera Eucralipse, kamu gagal menjalankan tugas kamu dengan sempurna!” Sambung Raja Esqandar.

“Eury diculik di rumah kamu semasa majlis hari lahir Ellisa berlangsung!”

Altrun diam lagi.

“Kamu tahu, Eury tu satu-satunya puteri beta! Dia pewaris beta! Kamu tahu betapa berharganya Eury pada kita semua. Musuh-musuh kita sentiasa mencari peluang untuk menculik Eury, menggulingkan kerajaan kita. Macam mana kamu boleh begitu cuai? Malam tu, mana pergi semua pengawal Eury? Tidur?!” Jerit Raja Esqandar sambil menjengilkan matanya.

Altrun mengangkat muka seraya menundukkan sedikit tubuhnya. Sebagai tanda hormat dan memohon untuk berbicara.

“Saya minta maaf, tuanku! Semua ni berlaku atas kelalaian saya. Puteri Eury mengarahkan semua pengawal berjaga di luar bangunan, dan saya akur tanpa berfikir panjang...”

Raja Esqandar mengangkat keningnya. Tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Apa? Kamu kata kamu ikut arahan Eury?”

Altrun menganggukkan kepala. Raja Esqaandar mengeluh panjang.

“Altrun... Kamu tahu Eury tu macam mana... memberontak... keras kepala... suka buat peraturan sendiri... Kamu tak sepatutnya ikut cakap Eury! Eury tu baru 16 tahun. Terlalu muda untuk memikirkan buruk baiknya sesuatu perkara.”

“Oleh kerana Puteri Eury baru berusia 16 tahun la saya beri dia sedikit kebebasan kepadanya, tuanku... Sebagai seorang remaja, Puteri Eury patut...”

Raja Esqandar yang tadinya mundar-mandir, kaku di hadapan Altrun. Wajah Altrun direnungnya dengan biji mata yang merah menyala.

“Adakah kamu cuba untuk mengajar beta cara-cara untuk mendidik bakal pemerintah Eucralipse?!”

“Ampunkan saya, tuanku! Saya terlajak kata...”

“Kamu ingat beta suka memperlakukan satu-satunya anak beta begitu?”

Altrun kembali menundukkan kepalanya. Kesal dengan kata-kata yang diucapkan sebentar tadi.

“Kamu dah lama berkhidmat di istana. Malah kamu pernah menjadi pengawal peribadi merangkap sahabat beta. Kamu sepatutnya lebih tahu dan arif dengan peribadi beta daripada sesiapapun. Beta tak pernah menginginkan takhta Eucralipse. Bagi beta, Eriel lebih layak dari sesiapapun untuk memerintah Eucralipse. Entah mana silapnya, entah dari mana punca salah faham itu, Eriel memberontak lantas dihalau keluar dari Eucralipse. Beta ditabalkan menjadi raja sebaik sahaja ayahanda beta mangkat. Dan Eury secara automatiknya menjadi pewaris tunggal beta. Kamu ingat beta senang hati bila melihat keadaan Eury yang terbeban dengan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pewaris takhta? Kamu fikir beta sengaja melayani Eury dengan tegas? Beta sayang puteri beta. Tapi keadaan memaksa. Dengan sikap Eury yang tak pernah serius, beta harus bertegas dengannya. Suka atau tidak, Eury perlu beta siapkan untuk melayakkan dirinya menjadi pemerintah.” Terang Raja Esqandar dengan penuh emosi.

“Ampunkan saya, tuanku! Saya tak sepatutnya berkata begitu!” Rasa bersalah yang teramat membuatkan Altrun meminta maaf sekali lagi.

Permaisuri Eurika bangun dari kerusinya yang bersalut emas. Berjalan menghampiri Raja Esqandar. Bahu Raja Esqandar ditepuknya perlahan. Meredakan ketegangan yang berlaku.

“Semuanya dah pun terjadi. Tak ada apa yang boleh kita kesalkan lagi. Sekarang ni kita mesti fikir macam mana nak cari Eury. Mengikut perkiraan beta, Eury dah hampir tiga hari hilang. Betul?” Ujar Permaisuri Eurika.

“Betul, tuanku!” Jawab Altrun.

“Dah terlalu lama Eury hilang. Kenapa baru sekarang kamu beritahu kami semua? Beta risau dengan keadaan Eury sekarang. Tak akan tak ada apa-apa tindakan yang kamu ambil?” Soal Raja Esqandar kasar sebagai tanda tidak puas hati.

“Saya tak sangka ia seserius ini. Saya sangkakan Puteri Eury cuma mengelak dari dikesan oleh para pengawal. Untuk pengetahuan tuanku, saya dah hantar dua pasukan untuk mencari dan menyelamatkan Puteri Eury. Tapi masih tiada khabar berita dari mereka! Tak ada juga kesan pecerobohan di sempadan Eucralipse. Seolah-olah mereka telah merancang penculikan ini dengan teliti. Atau mungkin juga ini kerja orang dalam...” Jawab Altrun.

Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika mengeluh panjang. Masing-masing berwajah walang.

“Kamu tak ada syak sesiapa?”

“Tak ada sesiapa yang boleh dijadikan suspek utama. Cuma Ellisa ada beritahu saya yang Egart dan Rei, teman Puteri Eury di akademi, menghilangkan diri sejak malam kejadian...”

Pintu dewan mengadap dibuka dari luar. Dua orang pengawal menerpa masuk dalam keadaan tergesa-gesa.

“Ampun tuanku! Raja Eries dan Permaisuri Xera dari Segi memohon untuk masuk mengadap!” Kata salah seorang pengawal tersebut.

Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika berpandangan sesama sendiri dengan pandangan curiga.

“Mereka tak patut tahu tentang kehilangan Eury. Begitu juga dengan rakyat jelata. Ini soal kestabilan Eucralipse dan hubungan diplomatik kita...” Bisik Permaisuri Eurika di telinga Raja Esqandar sebaik sahaja Raja Eries dan Permaisuri Xera muncul di muka pintu.

**************

Rexo dan Esmet memandang ke bawah dari bahagian atas istana. Rasa kagum masih menguasai diri apabila melihat puluhan ribu tentera Dewa Kegelapan yang masih berdiri tegak dalam barisan mereka. Ketua mereka, Jeto, berdiri di barisan paling hadapan. Mengadap pintu masuk istana Rexo. Sabar menanti arahan daripada tuan barunya itu.

“Mereka kuat dan tegap. Tinggi dan lebar mereka sahaja dua tiga kali ganda daripada semua tentera di Eucralipse atau mana-mana tentera yang ada dalam galaksi kita. Kekuatan setiap seorang setanding dengan tenaga 10 orang tentera. Mereka berdisiplin. Patuh pada arahan. Sangat mahir dalam peperangan.” Terang Esmet dengan nada kagum. Sedangkan dia tahu yang Rexo lebih arif tentang tentera-tentera tersebut kerana Rexo pernah menjadi pengikut Dewa Kegelapan!

“Jangan lupa, mereka tak ada emosi, tak ada perasaan. Tak rasa sakit, marah, sedih, gembira atau sebagainya. Satu-satunya yang mereka ada adalah matlamat yang diberikan oleh ketua mereka kerana itulah tujuan mereka dicipta. Dan yang paling penting, mereka tidak akan dicederakan oleh mata pedang, meriam atau apa jua jenis senjata milik mereka. Hanya ada satu cara untuk membunuh mereka dan aku tak fikir ada sesiapa selain dari kita yang tahu cara tersebut!” Tambah Rexo.

Rexo dan Esmet berpandangan sesama sendiri sebelum menghamburkan gelak tawa mereka. Menelaus yang berdiri di sebelah Rexo turut menyumbangkan tawanya. Raja Eriel hanya memencilkan diri di kiri Menelaus.

Rexo memusatkan pandangan kepada Raja Eriel sebaik sahaja dia sedar akan kemurungan lelaki tersebut.

“Adakah tentera kau sudah bersedia, Eriel?” Soal Rexo. Dilemparkan pandangan ke arah sekumpulan tentera Dark City yang tak seberapa jumlahnya. Baginya, ada atau tidak pasukan tentera dari Dark City sudah tidak penting lagi. Dia percaya pasukan tentera Dewa Kegelapan yang mereka ada kini mampu menakluk Eucralipse dengan mudah. Dia cuma ada dua sebab untuk bekerjasama dengan Raja Eriel. Pertama, Raja Eriel mahir tentang selok-belok Eucralipse. Kedua, dia berharap untuk menguasai Kerk sekaligus menguasai Oc-cra milik Kerk supaya dapat disatukan dengan Oc-cra milik Esmet.

“Mereka sudah lama dilatih untuk menghadapi situasi ini.” Jawab Raja Eriel.

“Bagaimana dengan kau?”

“Lebih dari bersedia! Dah lama aku tunggu saat ini!”

“Bagaimana dengan Kerk? Kerk nampaknya sudah berpaling tadah dari kau...” Kata Rexo.

Raja Eriel tersentak mendengar soalan ketiga Rexo. Dia merengus marah.

“Serahkan Kerk padaku. Aku sendiri yang akan membunuhnya dan memusnahkan Oc-cra miliknya! Itu adalah hukuman yang selayaknya bagi seorang pembelot!” Tegas Raja Eriel.

Ada segunung rasa kecewa menerpa di hati Rexo tatkala itu. Walaupun dia tidak bersetuju dengan rancangan Raja Eriel dan masih berharap untuk menguasai Kerk serta Oc-cranya, namun dia sedar keputusan Raja Eriel adalah keputusan yang terbaik. Tanpa Kerk, kuasa Oc-cranya tidak boleh digunakan melainkan Kerk sendiri 'mengizinkan' kuasa Oc-cranya digunakan oleh dua lagi pemilik Oc-cra; Esmet atau Eury. Rexo sedia maklum, pada saat ini Kerk sudah berada di pihak Eury dan besar kemungkinan Kerk akan 'mewariskan' Oc-cranya kepada Eury. Dia tidak boleh mengambil risiko tersebut. Justeru itu, dia segera bersetuju dengan keputusan Raja Eriel. Apabila Oc-cra Kerk dimusnahkan, Oc-cra Esmet akan menguasai seluruh semesta alam setelah digabungkan dengan Oc-cra Eury, sama ada secara paksa atau rela kerana pada pendapatnya, Eury lebih mudah untuk diperalatkan berbanding Kerk.

Rexo tersenyum dalam diam.

“Jeto!”

Mendengar jeritan Esmet, Jeto pantas melutut di tanah. Diikuti dengan pengikutnya yang lain.

“Apa arahan dari tuanku?” Soalnya dalam keadaan menunduk.

“Siapkan tentera-tentera kau! Kita akan bertolak ke Eucralipse selewat-lewatnya esok!”

“Baik, tuanku!”

**************

“Kerk!”

Kami bingkas bangun apabila melihat 'tetamu yak diundang' itu dengan rasa cemas. Aku mencari susuk tubuh di belakangnya. Tiada. Dia cuma datang bersendirian. Aku tertanya-tanya sama ada kedatangannya itu kerana mengikut arahan atau atas kehendak dirinya sendiri, serta buruk atau baik kedatangannya.

“Apa semua ni, Kerk?” Soal Egart berang.

Kerk segera berdiri di hadapanku. Mendepakan tangan. Cuba melindungi aku dari segala bahaya yang mungkin dibawa oleh Egart.

“Kau tak akan boleh mencederakan Eury tanpa mencederakan aku, Egart!” Tegas kata-kata Kerk.

“Huh! Sejak bila kau jadi pelindung Eury? Sejak bila kau jadi hamba kepada Eucralipse? Bukankah kau membenci semua yang berkaitan dengan Eucralipse?!”

“Keadaan dah berbeza sekarang, Egart! Eury bukan musuh aku lagi. Dia...”

“Kau cintakan dia, kan?”

“Ya!”

“Memang sejak mula lagi kau sudah jatuh cinta pada Eury, kan? Mencari maklumat hanya alasan kau untuk mendekati dia dan menghabiskan masa dengannya! Kau sedar tak apa yang kau buat ni Kerk? Kau menyelamatkan musuh kita! Dan sekarang kau menyebelahi musuh kita? Kau memang dah gila, Kerk!”

Egart maju beberapa tapak. Mahu menghampiriku. Kerk semakin berwaspada mengawasi jarak antara aku dan Egart.

“Aku cintakan Eury, Egart! Dia bukan musuh aku lagi. Dia bukan musuh kita! Ini semua salah faham. Bagi kami masa, kami akan buktikan yang semua ni hanyalah salah faham.”

Egart terkesima beberapa ketika sebelum kembali menyusun ayat-ayatnya.

“Kerk, kau mungkin belum terlewat lagi... Bawa Eury balik ke Dark City. Minta pengampunan dari Raja Eriel. Dan tolong la jangan buat kerja bodoh macam ni lagi. Aku kenal kau, Kerk! Aku tahu kau bukan begini orangnya...” Rayu Egart.

Kerk menggelengkan kepalanya.

“Maaf, Egart! Eury keutamaan aku sekarang. Ini jalan yang aku pilih dan aku tak akan berpatah balik!” Lembut bicara Kerk namun ada ketegasan di dalamnya.

Egart memandangku dengan pandangan was-was. Mukanya bertukar menjadi merah beberapa ketika kemudian.

“Apa yang kau dah buat pada Kerk? Apa yang kau dah sogokkan pada Kerk sampai dia sanggup mengkhianati ayahandanya, rajanya, negaranya, kawan-kawannya, rakyatnya? Apa yang kau dah buat pada dia?!” Jerkah Egart ke mukaku. Kerk menolak tubuhku ke belakang supaya menjauhi Egart yang sudah semakin hampir dengan diriku. Aku lihat tubuh Egart menggigil kerana keberangan.

“Eury tak bersalah dalam hal ni! Dia tak bersalah langsung. Malah dia yang menunjukkan aku tentang kebenaran!”

“Kebenaran? Kau nak tahu apa itu kebenaran? Aku, mempertahankan kau dengan nyawa aku supaya kau diampunkan oleh Raja Eriel atas semua tindakan bodoh kau ni! Kebenarannya, kau dah khianat semua orang yang menyayangi kau! Pengkhianat!”

Egart maju setapak lagi. Kali ini, dia sudah menghunuskan pedangnya yang berkilat di bawah langit malam. Kerk menaikkan tangannya. Cuba menenangkan Egart. Menahannya dari melakukan sesuatu yang di luar dugaan.

“Bertenang, Egart! Kau kawan aku dan aku tak nak bergaduh dengan kau! Kau pun tahu yang kau tak akan dapat mengalahkan aku!” Ujar Kerk. Masih dalam keadaan tenang dan terkawal. Aku yang berdiri di belakangnya sudah panik. Tak sanggup rasanya melihat dua orang yang dulunya bersahabat baik bergaduh kerana diriku. Rasa sakit di tubuhku semakin tidak tertahan. Tubuhku semakin lemah sehingga aku terpaksa berpaut pada pokok yang ada di situ.

Egart langsung tak ambil pusing terhadap amaran Kerk.

“Eury tunang aku, Egart! Kami ditunangkan sejak kecil... sepatutnya...”

Dahi Egart berkerut. Mulutnya ternganga buat beberapa ketika.

“Tu... tunang?”

“BERHENTI!!”

Satu suara yang tiba-tiba muncul dari balik kabus malam yang tebal membuatkan kami terkejut. Tubuhku mulai longlai dan aku terjelepok di atas tanah. Pandanganku semakin kelam dan... gelap.

7 comments:

jelita said...

best..smg akak eury..tak sbr2..

epy elina said...

hohooh...
btul2x...
smbug2x...
crta mkin best...

Anonymous said...

~exarra~

bgus eury...
makin best n makin mantap...
smbung cepat2 ek...

tzaraz said...

waaaa...aku dah suka kat kerk balik...

Ai said...

makin suspen..

thanks kak eury sbb smbung 'cepat sikit dr biasa' hehe..

mintak2 kak eury dpt smbung cepat2 jugak smbungannya lps nih ek.. ^_^

Daniera said...

tq miss eury.i'll be waitg 4 next entry

Anonymous said...

ahh...tidak!! nape last skali mesti suspen mcmni??? eury smbg cepat!!! x saba nk tau

Followers