Sunday, February 28, 2010

eucralipse 16


“Aku tak percaya... Sungguh aku tak percaya! Macam mana ini semua boleh berlaku!” Jeritan Rexo bagaikan halilintar. Menggegarkan seisi istananya. Semua yang ada di situ diam dan menikus di tempat masing-masing.

Cahaya dari Eucristar yang tadinya mempersonakan segenap pancaindera sudah hilang. Langit malam kembali kelam. Mata dihidangkan dengan dua lingkaran cahaya di langit.

“Macam mana dua Oc-cra boleh bersatu sedangkan Oc-cra milik Esmet masih tergantung di lehernya?!” Jerkah Rexo. Esmet yang dari tadi berada di sisi Rexo segera menenangkan ayahandanya.

Mata Rexo menelek satu-persatu wajah pengikutnya. Dan akhirnya pandangan matanya berhenti pada wajah seorang lelaki yang hampir seusia dengannya.

“Meas! Bukankah engkau orangnya yang menawarkan diri untuk menghapuskan budak itu? Bukankah engkau yang aku tugaskan untuk memusnahkan rantai milik budak itu?!” Soal Rexo lantang.

Meas, yang tempang kakinya serta dipenuhi parut tubuhnya itu segera melutut dengan wajah takut. Seluruh tubuhnya menggigil. Pengikut-pengikut Rexo mula menjauhi Meas apabila Rexo menghampirinya.

“Am... Ampun, tuanku!” Ujar Meas tergagap-gagap. Langsung tidak berani untuk menatap wajah Rexo yang bengis.

“Kenapa kau ingkar dengan perintah aku?”

“Say... Saya tak sampai hati, tuanku. Dia... Dia budak lagi...” Jawab Meas.

“Jadi aku kira kau sudah tahu hukuman yang akan kau terima. Sebagai seorang pengkhianat, rasanya aku sudah berikan kau masa yang terlalu panjang untuk kau nikmati kehidupan di dunia ini!”

Rexo mengeluarkan pedang dari sarungnya. Sepantas kilat, dilibaskan mata pedang tersebut di leher Meas. Kepala Meas jatuh ke lantasi diikuti dengan tubuhnya. Darah merah membasahi lantai istana. Dua tiga orang pengikut-pengikut Rexo memejamkan mata. Tak sanggup melihat rakan mereka dipancung di hadapan mata mereka sendiri. Yang lain membisu seribu bahasa.

“Ayahanda... Tidakkah tindakan ayahanda itu terlalu kejam?”

Mencerlang mata Rexo memandang Esmet.

“Kejam? Kau tahu tak apa yang dia telah lakukan? Dia buat rancangan kita hampir-hampir gagal. Budak yang aku suruh dia bunuh tu, kau tahu dia siapa?”

Esmet menggelengkan kepala.

“Rhyss, putera Segi yang sebenar. Dia sepatutnya telah mati dibunuh oleh Meas, sepuluh tahun yang lalu. Rantai yang dipakai oleh Rhyss, adalah rantai Oc-cra yang ketiga yang sepatutnya sudah cair dan musnah terbakar dek lahar di Gunung Berapi, agar Oc-cra milik Eury boleh disatukan dengan Oc-cra milik kamu! Meas dah hancurkan segala-gala yang aku rancangkan!”

“Maksud ayahanda...”

“Rhyss masih hidup. Dia sudah bertemu dengan Eury. Apa yang baru kita saksikan tadi adalah fenomena yang berlaku apabila dua Oc-cra bersatu. Gabungan dua Oc-cra memiliki kuasa yang tak terjangkau dek pemikiran kita, Esmet...”

Mulut Esmet ternganga.

“Tapi, kita bernasib baik. Aku dapat rasakan yang Rhyss dan Eury masih belum menyedari kuasa Oc-cra yang mereka miliki. Keinginan mereka juga ternyata berbeza. Mereka belum bersatu sepenuhnya. Mungkin kita boleh gunakan kesempatan ini untuk memisahkan mereka. Apa yang perlu kita lakukan adalah cari dan hapuskan Rhyss dan Oc-cra miliknya!”

“Itu cuma andaian ayahanda! Dalam andaian ayahanda, situasi ini masih berada dalam kawalan kita sedangkan realitinya mungkin tidak! Dah lebih 10 tahun berlalu. Rhyss tu dah pun besar. Dengan menyamar, dia boleh jadi sesiapa sahaja! Itu akan menyukarkan kita untuk menjejakinya. Mungkin... Mungkin juga dia sudah tahu betapa berkuasanya rantai yang dipakainya itu!” Tingkah Esmet.

Menelaus yang selama ini terkunci mulutnya, maju ke hadapan. Berdiri betul-betul di hadapan Rexo.

“Aku rasa aku tahu siapa pemilik Oc-cra yang ketiga!”

Dahi Rexo berkerut.

“Siapa?”

“Kerk!”

“Kerk?”

“Ya, Kerk! Anak Raja Eriel. Hari ini, aku baru dapat tahu yang sebenarnya Kerk hanyalah anak angkat Raja Erel dan dia memiliki rantai Oc-cra yang selama ini kita sangkakan sudah musnah.”

“Kalau dia anak angkat Raja Eriel, itu bermaksud dia bersekutu dengan kita!”

“Ya, betul tu!”

Rexo ketawa berdekah-dekah.

“Bagus! Esmet dan Kerk. Kedua-dua mempunyai rantai Oc-cra. Kuasa kita semakin kuat jika bersatu!”

Rexo menepuk-nepuk bahu Menelaus.

“Kau memang hebat, Menelaus! Tak sia-sia aku suruh kau menyamar dan bersahabat dengan Raja Eriel. Kau bukan sahaja dapat menyakinkan Raja Eriel untuk bekerjasama dengan kita, kau juga dapat menjadi 'telinga' aku di sana!”

Rexo ketawa lagi. Kali ini disertai oleh Menelaus dan Esmet.

“Aku perlukan jaminan, Rexo. Raja Eriel mungkin menyimpan dendam pada Raja Esqandar dan seluruh kerabat Eucris, tapi seperti yang kau tahu, keturunan Eucris memang lemah dalam perkara-perkara yang melibatkan kekeluargaan, kasih-sayang dan cinta. Sejarah telah membuktikannya. Aku tak mahu ambil risiko. Sebelum apa-apa terjadi, aku perlu mencari tempat yang baik untuk aku dan anakku, Q-ra.”

Rexo ketawa berdekah-dekah sambil mengerling ke arah Esmet.

“Jangan bimbang, Menelaus! Selepas semuanya berakhir, kita akan tamatkan nyawa Eriel, Kerk dan sesiapa sahaja yang boleh menghalang kita. Kau akan aku berikan ganjaran yang sewajarnya. Q-ra akan aku jadikan permaisuri Esmet di kerajaan baru yang akan kita bina atas keruntuhan kerajaan Eucralipse dan Segi. Kau dan aku pula akan menjadi penasihat kepada mereka.”

Esmet masih dalam keadaan bingung. Di benaknya muncul berbagai-bagai persoalan.

“Rhyss adalah putera Segi yang memiliki Oc-cra. Kerk pula adalah anak angkat Raja Eriel yang dikatakan mempunyai Oc-cra. Macam mana dua orang boleh memiliki satu Oc-cra?” Soal Esmet.

“Ketika Raja Eriel menemui Kerk, Kerk dalam keadaan bingung dan trauma. Dia lupa segala-galanya tentang dirinya. Justeru itu Raja Eriel memberinya nama Kerk. Dari cerita-cerita yang aku dengar, aku membuat kesimpulan bahawa Kerk dan Rhyss adalah orang yang sama. Kau harus tahu Esmet, Oc-cra tidak memberi atau mempunyai sebarang kuasa jika dipakai oleh orang yang tidak ditakdirkan untuk memilikinya.” Menelaus memberikan penjelasan.

“Dan bagaimana pula Kerk boleh bertemu dengan Eury? Bukankah kau juga yang pernah kata yang Raja Eriel melarang keras Kerk ke Eucralipse?”

“Kerk pergi ke Eucralipse tanpa pengetahuan Raja Eriel. Katanya untuk mencuri maklumat. Tapi aku dapat rasakan yang dia ada tujuan lain.”

Esmet menganggukkan kepala.

“Rei... adalah Rhyss...?” Gumam Esmet sendirian.

“Aku tak boleh biarkan Oc-cra Eury dan Kerk berdekatan antara satu sama lain. Esmet, dah tiba masanya kau 'bersatu' dengan Eury. Bawa Eury ke sini!” Perintah Rexo kepada anaknya.

“Bukankah mudah kalau saya ambil sahaja Oc-cra milik Eury?”

“Tidak! Hanya Eury yang boleh menggunakan kuasa Oc-cranya. Untuk menyatukan Oc-cra kamu perlukan kerelaan pemiliknya, iaitu Eury.” Kata Rexo.

“Baik, ayahanda! Tapi saya perlu pergi ke sebuah tempt terlebih dahulu.”

“Terpulang la pada kamu. Apa yang ayahanda tahu, kamu tak boleh biarkan Eury berjumpa dengan Rhyss, Kerk atau sesiapa sahaja namanya! Ayahanda tak mahu ambil sebarang risiko lagi! Dengan apa cara sekalipun, kau harus dapatkan Eury. Kalau perlu, culik dia dan bawa dia ke mari!”

Esmet mengangguk tanda faham sebelum berlalu bersama Dayes dan Hemes. Rexo memerhatikan Esmet sehingga Esmet hilang dari pandangannya, sebelum memandang Dayes dan Hemes.

“Menelaus, aku perlukan kau untuk yakinkan Raja Eriel supaya Kerk dijauhkan daripada Eury dan Oc-cranya. Boleh kau lakukannya?”

“Sudah tentu!”

“Tapi... Kalau kau ada peluang, aku mahu kau hapuskan terus Kerk tu! Lagi senang kerja kita kalau dia mati!”

Menelaus tersenyum penuh makna.

“Dengan senang hati aku akan melaksanakan tugas penting itu, Rexo!” Katanya sebelum meninggalkan ruangan tersebut.

Rexo mengalih pandangannya ke hadapan. Ke arah pengikut-pengikutnya.

“Kumpulkan semua orang-orang kita! Ada banyak perkara yang perlu kita lakukan.”

**************

Sebaik sahaja langit malam kembali kepada keadaan asalnya, Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika berpandangan sesama sendiri. Ada kerutan di dahi mereka.

“Ampun, tuanku! Oracle sudah tiba!” Sembah seorang pengawal di pintu masuk bilik.

“Benarkan dia masuk!” Perintah Raja Esqandar. Pengawal tersebut tunduk hormat sebelum mempersilakan Oracle melangkah masuk.

Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika duduk di kerusi berdekatan dengan tingkap. Sesekali mata mereka menelek langit malam. Masih berharap dapat menyaksikan fenomena alam yang luar biasa seperti sebentar tadi. Oracle tunduk hormat sebaik sahaja tiba di hadapan Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika.

“Saya minta maaf kerana lewat datang, tuanku!” Kata Oracle dengan nafas yang tercungap-cungap. Sesekali dia menyapu wajahnya yang dibasahi peluh.

Raja Esqandar tersenyum melihat keadaan Oracle.

“Tak mengapa! Kami minta maaf kerana terpaksa memanggil kau malam-malam begini. Sebenarnya kami ingin bertanyakan fenomena yang berlaku sebentar tadi.” Ujar Permaisuri Eurika.

“Oracle, boleh kamu terangkan kepada beta, fenomena apakah yang berlaku sebentar tadi?” Soal Raja Esqandar.

Oracle menyembah Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika.

“Itu tandanya dua Oc-cra dah bersatu, tuanku!”

Sekali lagi Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika berpandangan. Kali ini pandangan tersebut disertai dengan senyuman.

“Maksud kamu, Eury dan Esmet?” Soal Permaisuri Eurika, meminta kepastian.

“Ya, tuanku! Menurut catatan terdahulu, apabila dua Oc-cra bersatu atau menemui pasangannya, Eucristar akan menghasilkan cahaya terang memandangkan batu Oc-cra itu sendiri berasal dari Eucristar. Pemilik Oc-cra yang terpilih akan dikurniakan kuasa atau kebolehan yang luar biasa dari orang lain, boleh bersatu kuasa, tenaga serta kebolehan dan sebagainya. Namun penguasaan terhadap Oc-cra mungkin mengambil masa. Tak banyak yang kita tahu berkenaan Oc-cra kerana Oc-cra hanya 'berfungsi' dengan orang tertentu sahaja. Orang-orang yang terpilih.”

Raja Esqandar bertepuk tangan.

“Sekurang-kurangnya kita tak perlu bimbang akan sesuatu; Eury dan Esmet sememangnya insan terpilih untuk memiliki rantai Oc-cra. Akhirnya...! Akhirnya Eury dan Esmet bersatu hati. Betul ramalan ayahandanya, Eury dan Putera Segi memang ditakdirkan untuk bersama!” Kata Raja Esqandar dalam nada teruja.

“Menakjubkan!” Kata Permaisuri Eurika pula.

“Tapi...” Suara Oracle bagaikan menyentap keterujaan Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika.

“Tapi? Apa pula masalahnya?”

“Terdapat dua lingkaran terbentuk ketika mereka bersatu. Ianya tidak bertindih sepenuhnya.”

“Apakah maksudnya itu?”

“Penyatuan mereka belum sempurna sepenuhnya. Oc-cra yang sempurna penyatuannya akan bertindih di antara satu sama lain, membentuk dua gelang cahaya yang sepenuhnya bertindih. Maksudnya, gelang cahaya kecil berada di dalam gelang cahaya yang besar. Yang kuat akan mengawal dan menjaga yang lemah.”

Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika mempamerkan riak bimbang.

“Adakah ia satu petanda yang buruk?”

Oracle tersenyum mendengar soalan Permaisuri Eurika.

“Buat masa sekarang, tiada apa yang perlu kita risaukan, tuanku. Pemilik Oc-cra akan mencari keserasian antara mereka. Masa akan menentukan segala-galanya.”

Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika menarik nafas lega.

**************

“Apa yang kamu menungkan, Xera?” Permaisuri Xera mengalihkan tangan yang tadinya menopang dagu. Pandangan dingin diberikan kepada Raja Eries.

Raja Eries duduk di hadapan Permaisuri Xera. Jari-jemari Permaisuri Xera diraihnya dalam genggaman. Mata Permaisuri Xera direnungnya. Jelas terpancar riak kehilangan di mata permaisurinya itu.

“Tak ada apa-apa!” Jawab Permaisuri Xera.

“Jangan bohong! Kamu tentu masih teringatkan...” Raja Eries terdiam dari meneruskan ayatnya.

“Rhyss! Itu yang awak nak katakan, kan?”

Raja Eries berdehem kecil. Dia bangun dari duduknya lalu menuju ke tingkap. Memerhatikan langit malam. Suasana malam tidak terlalu dingin atau hangat. Padanya, suasana pada malam itu sangat nyaman. Berbeza dari malam-malam yang lain.

“Xera...”

“Kenapa?! Kenapa susah sangat awak nak sebut nama Rhyss? Dia anak kita! Satu-satunya putera kita!” Ujar Permaisuri Xera dalam tangisnya yang baru bermula.

Raja Eries mengeluh berat seraya berpaling mengadap Permaisuri Xera semula.

“Rhyss dah mati, Xera! Saya sendiri lihat pakaian Rhyss, darah, tulang-temulangnya bersepah di sana-sini. Rhyss dah mati dibaham binatang buas ketika kami berburu di hutan, Xera! Rhyss dah mati!”

“Kalau pun Rhyss dah mati, awak tak berhak untuk gantikan tempatnya dengan Esmet! Malah awak ubah namanya menjadi Rhyss-Esmet! Siapa dia untuk gantikan tempat Rhyss?”

“Sebab itu ke kamu membenci dia? Sebab dia menggantikan tempat Rhyss dalam Segi?”

“Saya tak benci dia! Cuma saya tak boleh terima dia sebagai anak. Rhyss masih ada dalam hati saya. Bagi saya, Rhyss tak pernah mati sebab saya masih dapat merasai sentuhannya, kehangatan tubuhnya, pelukannya... Saya masih ternampak-nampak senyumannya, matanya... Dan saya masih ingat segala-galanya tentang dia! Naluri saya kuat mengatakan yang Rhyss masih hidup! Dan naluri saya semakin kuat bila terpandangkan kawan Eury...”

Cahaya terang dari Eucristar membuatkan Raja Eries dan Permaisuri Xera segera mendekati tingkap. Memerhatikan fenomena alam yang luar biasa itu. Seketika kemudian mereka berpandangan sesama sendiri.

“Mungkinkah...”

“Ya, Xera! Oc-cra dah bersatu! Esmet dan Eury sudah berkongsi rasa cinta sekarang. Tiada apa yang perlu kita bimbangkan lagi. Sekarang kita sudah boleh menarik nafas lega bila bertemu dengan Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika.”

Permaisuri Xera nampak keliru dengan apa yang berlaku di hadapannya.

“Tapi rantai milik Esmet tu bukan...”

“Apapun, kita patut rasa bersyukur, Xera! Kehadiran Esmet bagaikan satu rahmat buat kita.”

Permaisuri Xera tunduk dan diam. Raja Eries memwgang kedua-dua belah bahu Permaisuri Xera.

“Xera, belajarlah terima hakikat bahawa Rhyss, putera kesayangan kita tu dah tak ada. Dia dah mati! Kita patut bersyukur sebab kita dipertemukan dengan Esmet. Kehadiran Esmet merupakan rahmat buat kita dan juga pada Segi...”

Permaisuri Xera memandang Raja Eries dengan pandangan sayu.

“Rhyss memang satu-satunya putera kita tapi dia dah pergi. Sekarang kita ada Esmet. Esmet sudah pun kita isytiharkan sebagai putera Segi. Boleh kamu bayangkan kalau kita tak temui dia 10 tahun yang lalu?”

Raja Eries berjeda seketika. Permaisuri Xera masih menunggu Raja Eries menyambung kata-katanya.

“Rakyat kita akan memberontak kerana kita gagal melahirkan bakal pemerintah buat mereka. Segi juga mungkin akan diserang oleh Eucralipse kerana mungkir janji dan kita akan hidup dalam keadaan huru-hara. Jadi, saya minta pada awak supaya belajar terima dan layan Esmet dengan baik. Kalaupun bukan layanan seorang ibu kepada anaknya, sekurang-kurangnya tolonglah layan dia sebagai penyelamat maruah kita!”

Permaisuri Xera mengeluh kecil. Lama dia diam dan membuang pandangan pada langit yang sudah gelap tanpa cahaya Eucristar sebelum memandang wajah Raja Eries semula.

“Saya akan cuba...” Ujarnya perlahan. Raja Eries tersenyum girang mendengar kata-kata tersebut. Tubuh Permaisuri Xera dipeluknya erat. Beberapa kali dikucupnya dahi wanita anggun itu sebagai tanda sayang dan terima kasih.

Bunyi daun pintu dibuka secara kasar membuatkan Raja Eries dan Permaisuri Xera terkejut. Mereka berpaling ke arah pintu. Esmet menyerbu masuk ke kamar tersebut dengan wajah masam. Raja Eries meleraikan pelukannya dan segera mendapatkan Esmet. Lalu dipeluknya Esmet.

“Tahniah! Kamu memang lelaki yang hebat kerana dapat menawan hati Eury. Dari sini kami dapat melihat cahaya Eucristar bila Oc-cra kamu berdua bersatu!”

Esmet tetap tidak berkutik. Tetap tegak tanpa sedikitpun membalas pelukan Raja Eries. Raja Eries meleraikan pelukan di tubuh Esmet. Wajahnya masih ceria. Langsung tidak ambil hati terhadap kedinginan sikap Esmet.

Permaisuri Xera mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Raja Eries. Bahu Esmet dipeluknya dari sisi.

“Kamu tahu, bonda kamu selalu risau tentang kamu berdua. Bonda takut kamu berdua tidak boleh berbaik-baik. Maklumlah, Eury bukan puteri raja yang sembarangan. Seperti kata Permaisuri Eurika, Eury sukar untuk 'dijinakkan' oleh sesiapapun kecuali...” Permaisuri Xera menggigit bibir bawahnya. Matanya dipejamkan seketika. Dia sudah terlajak kata. Dalam tindakannya untuk berbaik-baik dengan Esmet, dia hampir sahaja menyebut nama puteranya yang langsung tidak pernah diketahui oleh Esmet tentang wujudnya.

Dahi Esmet berkerut-kerut. Cuba mencari perkataan yang sesuai untuk menyambung ayat terakhir Permaisuri Xera. Raja Eries berdehem seraya menjeling tajam ke arah Permaisuri Xera. Cuba menutup kesalahan yang dilakukan oleh Permaisuri Xera.

“Kecuali siapa, bonda?”

Permaisuri Xera melepaskan pautan tangan di bahu Esmet. Dia melurut-lurut jari-jarinya satu-persatu.

“Er... Kecuali kamu... Itu yang bonda nak katakan sebenarnya. Kamu dan Eury memang ditakdirkan untuk bersama!”

Esmet menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak termakan dengan kata-kata Permaisuri Xera.

“Tidak. Bukan itu yang bonda nak katakan! Saya pasti bukan!” Esmet menjauhkan dirinya dari Permaisuri Xera dan Raja Eries. Dipandangnya kedua-duanya dengan pandangan yang tajam.

“Raja Eries... Permaisuri Xera... Sampai bila tuanku berdua nak menipu? Sandiwara ini, bila akan tuanku tamatkan?!” Jerkah Esmet. Raja Eries dan Permaisuri Xera terkejut dengan reaksi Esmet yang di luar jangkaan.

“Tipu? Sandiwara? Apa yang kamu cakapkan ni, Esmet? Ayahanda tak faham!”

“Tak faham atau buat-buat tak faham?”

“Esmet...”

“Saya dah tahu siapa sebenarnya saya, ayahanda, bonda...”

Raja Eries dan Permaisuri Xera tersentak. Untuk beberapa ketika, masing-masing gagal mengeluarkan walau sepatah kata pun dari mulut. Air mata Permaisuri Xera jatuh ke pipi. Dan bunyi sendunya memenuhi ruangan tersebut.

“Saya dah tahu tentang segala-galanya. Rhyss. Oc-cra...”

“Esmet...” Akhirnya Raja Eries bersuara.

“Rahsia sebesar ini... Untuk rahsia sebesar ini, saya langsung tak menyangka ayahanda dan bonda sanggup menyembunyikannya dari pengetahuan saya! Membiarkan saya menjadi badut yang bodoh untuk menggantikan tempat putera Segi yang sebenar!”

“Esmet... Kami boleh terangkan...” Esmet menepis tangan Raja Eries.

“Malang sekali, saya sudah tahu tentang siapa saya yang sebenarnya dari mulut orang lain. Bukan dari mulut ayahanda dan bonda! Saya kecewa! Saya rasa terhina! Marah! Dan saya rasa diperbodohkan!”

“Esmet... Kami boleh terangkan...”

Esmet ketawa sinis.

“Semuanya dah jelas, ayahanda, bonda! Patutlah saya langsung tak serupa dengan ayahanda dan bonda. Wajah kita berbeza. Fizikal kita berbeza. Apa yang ayahanda dan bonda miliki tidak diwarisi oleh saya. Dayang-dayang, pengawal-pengawal, malah pembesar istana memberikan layanan dingin kepada saya. Sebab apa? Sebab saya bukan putera sebenar mereka. Saya putera palsu!”

Raja Eries mengusap-usap ubun-ubunnya. Permaisuri Xera di sisinya sudah berendam air mata.

“Untuk menjadi putera tunggal Raja Eries dan Permaisuri Xera, saya terpaksa berlatih melampaui batasan kemampan saya hanya untuk melepasi kelayakan yang sepatutnya ada pada saya. Saya bukan pemain pedang yang baik. Saya tak bijak seperti Rhyss. Saya tak boleh jadi seperti Rhyss sebab saya bukan Rhyss! Adalah sesuatu yang mustahil untuk jadi seseorang yang lain. Saya berusaha sekuat yang boleh untuk menjadi seseorang yang yang tidak saya kenali untuk memenuhi permintaan dan meraih kasih sayang dari ayahanda dan bonda.”

Esmet berjalan ke tingkap.

“Saya terseksa; zahir dan batin. Apa yang ayahanda dan bonda buat? Ayahanda dan bonda hanya melihat saya menyeksa diri saya sendiri demi kepentingan sendiri. Ayahanda dan bonda lebih rela melihat saya terseksa daripada memberitahu semua orang bahawa Rhyss dah mati dan saya hanyalah anak angkat sahaja. Ayahanda dan bonda memang kejam dan tak berhati perut!”

Raja Eries menghampiri Esmet.

“Esmet, kami minta maaf. Tapi kami terpaksa buat itu semua. Rakyat sentiasa berharap kami dikurniakan seorang putera untuk dijodohkan dengan Puteri Eucralipse yang diramalkan akan lahir dan memberi kesejahteraan ke atas Segi dan Eucralipse melalui penyatuan Segi dan Eucralipse. Dari dulu, Segi memang lemah dari segi pertahanan memandangkan kedudukan Segi yang terlalu hampir dengan markas Rexo dan pemberontak yang lain. Segi juga kekurangan askar terlatih dan senjata. Segi terpaksa mengharapkan bantuan Eucralipse untuk mempertahankan jajahan Segi. Bila Raja Esqandar berjaya mencari Oc-cra yang kedua demi melayakkan dirinya menjadi raja menggantikan Raja Theseu, Raja Theseu mengambil keputusan untuk menghadiahkan satu daripada Oc-cra miliknya kepada Segi untuk melindungi Segi. Dan secara kebetulan, Rhyss yang pada ketika itu berusia dua tahun sahaja yang boleh memanfaatkan kuasa Oc-cra tersebut. Mengikut ramalan Raja Theseu dan Oracle, Raja Esqandar tidak dikurniakan seorang putera untuk mewarisi takhtanya. Maka sebelum Raja Theseu mangkat, kami mengikat janji. Putera Segi dan Puteri Eucralipse kan kami satukan bila mereka meningkat dewasa. Begitu juga dengan jajahan Segi dan Eucralipse. Kami berjanji untuk menyerahkan Oc-cra pelindung bersama-sama dengan Rhyss.”

Raja Eries menaruk nafas dalam-dalam.

“Bila Rhyss hilang, kami jadi takut. Segi bukan sahaja kehilangan pewarisnya, Segi juga turut kehilangan maruah, kepercayaan, kedaulatan, tanah jajahan. Kami perlu tunaikan janji untuk memulangkan Oc-cra kepada Eucralipse serta menyatukan putera kami dengan Eury. Segi pula semakin teruk diserang oleh Rexo dan orang-orangnya. Bila ayahanda terjumpa kamu ketika pulang dari berburu, iaitu selepas Rhyss mati dibaham binatang buas, ayahanda dah tak fikir apa-apa lagi. Kamu mengingatkan ayahanda kepada Rhyss. Dan secara kebetulan, kamu juga turut memiliki rantai Oc-cra. Siapapun kamu, dari mana datang Oc-cra di leher kamu, semua persoalan itu ayahanda buang ke tepi. Apa yang penting, ayahanda kamu menyelamatkan Segi dan maruah kami. Kamu bagaikan rahmat buat kami semua, Esmet!” Kata Raja Eries sambil menggoncang-goncang bahu Esmet. Muka Esmet tetap masam. Ada sinar kemarahan di matanya.

“Ayahanda dan beberapa orang pembesar istana berpakat serta membuat rancangan teliti. Kami menyembunyikan kamu di suatu tempat untuk suatu jangka masa tertentu. Pada yang lain kami katakan kamu pergi menuntut ilmu. Selepas beberapa tahun, kami bawa kamu pulang ke istana. Kamu telah kami isytiharkan sebagai Putera Rhyss-Esmet dan kami tunangkan dengan Eury, seperti yang dijanjikan.”

Esmet menepis tangan Raja Eries di bahunya. Dia bergerak menjauhi Raja Eries.

“Eury tak pernah sukakan saya!”

“Mungkin sebab kamu tak cuba berbaik-baik dengan dia!”

“Dan bonda tak pernah sudi untuk memandang saya apatah lagi untuk menyayangi saya!”

Permaisuri Xera menundukkan kepalanya. Air mata masih bertali arus di pipinya.

“Maafkan bonda, Esmet! Bonda sayang pada kamu. Tapi... Mana mungkin bonda mampu menyayangi kamu melebihi sayang bonda terhadap Rhyss. Rhyss, putera bonda yang tidak boleh digantikan tempatkan oleh sesiapapun.” Ujar Permaisuri Xera dalam esak tangisnya.

Esmet menganggukkan kepalanya beberapa kali.

“Ya, saya tahu hakikat itu... Walaupun sebelum saya tahu wujudnya Rhyss... Bonda memang tak pernah sayangkan saya! Layanan ayahanda terhadap saya pun dingin. 'Kaku' tanpa perasaan. Walau macam mana kuatya pun usaha saya untuk menjadi 'anak' dan 'Putera' Segi, saya tetap tak boleh menandingi Rhyss di hati semua orang!”

Esmet mengesat air mata di birai matanya. Mukanya merah menahan rasa sedih yang merajai hati.

“Pada ayahanda dan bonda, mungkin kamu beranggapan bahawa kamu sudah membuat satu kebajikan dengan membela saya. Tapi pada saya, hidup sebagai seseorang yang bukan saya, hidup menyamar sebagai Putera Segi bagaikan hidup dalam neraka! Terima kasih atas layanan 'baik' ayahanda dan bonda...Oh, ya!... Patutkah saya panggil tuanku berdua Raja Eries dan Permaisuri Xera mulai sekarang? Memang sepatutnya kan, memandangkan kamu berdua bukan ayahanda dan bonda saya yang sebenar!” Kata Esmet sinis.

“Esmet! Jaga adab kamu!”

“Ini memang diri saya, Raja Eries! Saya, Putera Esmet, memang seorang yang tidak beradab!”

Nafas Raja Eries turun naik dengan cepat akibat terlalu marah dengan sikap Esmet. Permaisuri Xera juga kelihatan terkejut dengan sikap Esmet yang dirasakannya keterlaluan itu.

“Oh, ya! Ayahanda saya kirim salam pada tuanku berdua!”

Raja Eries dan Permaisuri Xera mengerutkan dahi masing-masing.

“Ayahanda? Siapa ayahanda kamu?”

“Rexo!”

“Apa?!”

“Rexo?” Permaisuri Xera menutup mulutnya yang ternganga.

“Ya! Rexo ayahanda saya. Kenapa? Terkejut?”

Esmet tersengih melihat reaksi Raja Eries dan Permaisuri Xera.

“Tapi... Macam mana...”

“Semua tu dah tak penting lagi, Raja Eries dan Permaisuri Xera... Apa yang penting sekarang, kita bukan lagi di pihak yang sama. Atas jasa-jasa kamu berdua membesarkan saya dengan penuh 'kasih sayang', saya akan bagitau kamu satu rahsia.”

“Rahsia apa?”

“Ayahanda saya, dan saya akan menyeru kebangkitan tentera-tentera Dewa Kegelapan untuk bangun semula dari kubur mereka. Jangan risau, kami akan beri masa yang secukupnya kepada tentera Segi yang tak seberapa itu untuk bersiap-sedia. Tempat pertama yang akan kami serang adalah Eucralipse! Kenapa? Sebab mereka telah membenarkan 'tunang' saya berkasih-kasihan dengan lelaki lain. Sementara itu, tuanku berdua boleh la mula mengemas mana-mana barang yang patut dan lari ke tempat yang selamat.”

Ketawa Esmet bergema di setiap ruang istana.

“Kamu memang kejam, Esmet! Ini ke balasan kamu terhadap layanan baik kami kepada kamu?”

Esmet terus ketawa sambil melangkah keluar dari kamar tersebut. Tiba di muka pintu, dia menghentikan langkahnya.

“Oh, ya! Lupa saya nak bagitau. Baru sebentar tadi saya dapat tahu bahawa Putera Rhyss yang dikasihi oleh tuanku berdua masih hidup lagi. Dia sekarang ada di Eucralipse. mungkin juga di Dark City.”

Mata Raja Eries dan Permaisuri Xera terbeliak. Terkejut dengan berita yang baru keluar dari mulut Esmet.

“Ya, itu memang sesuatu yang mengejutkan, kan? Siapa sangka, putera yang disangka dah mati rupa-rupanya masih hidup. Tapi, saya nasihatkan tuanku supaya jangan terlalu suka sebab orang-orang saya mungkin akan dapat bunuh dia sebelum tuanku menemuinya! Jangan risau, saya akan pastikan kepala Putera Rhyss akan dikirimkan kepada tuanku untuk dikemumikan nanti. Selamat tinggal!!”

Esmet berlalu meninggalkan Raja Eries dan Permaisuri Xera yang sedang bercampur-aduk emosinya.

“Tak guna kamu, Esmet!!”

**************

Raja Eriel bangun dari pembaringannya. Termenung sambil melemparkan pandangan kosong ke arah segenap isi biliknya. Menelaus sudah lama berlalu pergi selepas dia selesai menceritakan kegusaran hatinya berkenaan Kerk.

Keengganan matanya untuk tidur membuatkan dia memaksa kaki melangkah ke tingkat bawah. Bilik yang paling hujung dijejakinya. Dua orang pengawal yang ada di situ sekadar menunduk hormat sebelum meninggalkan Raja Eriel sendirian di situ. Pintu bilik dibuka perlahan-lahan oleh Raja Eriel.

Dengan wajah muram, Raja Eriel menghampiri keranda ais yang berbentuk heksagon. Rasa dingin yang semakin mencengkam hingga ke sumsum tulang, sedikit pun tidak dihiraukan. Tangan kanannya melekat di permukaan ais yang rata.

Mata Raja Eriel melekat pada sekujur tubuh yang terbaring di dalam keranda ais itu. Buat sekian kalinya, seraut wajah tersebut membuatkan dirinya berasa kagum. Cinta tak bertepi terhadap wanita yang terbaring pegun di situ, membangkitkan rasa rindu atas kehilangannya. Senyuman diukirkan dengan payah. Rasa sedih dan pedih merajai hatinya saat itu.

“Ria... Isteriku...” Bisiknya.

Jari-jemari digerak-gerakkannya. Seolah-olah sedang mengusap Ria yang kelihatan sedang tidur nyenyak dalam keranda ais buatannya.

“Aku akan pastikan kematian kau dibela. Masanya akan tiba, Ria...”

Raja Eriel berteleku di situ untuk beberapa ketika sebelum cahaya di luar jendela mencuri pandangannya. Jantungnya tersentap. Serentak itu riak wajahnya berubah.

“Tak mungkin!” Dadanya terasa sesak. Jantungnya seperti mahu keluar dari tubuhnya.

Raja Eriel meluru keluar dari bilik tersebut. Pengawal yang ada di situ, dihampirinya.

“Di mana Kerk?” Soalnya dalam cemas.

“Dalam... Dalam sel penjaranya!” Menggigil tubuh pengawal tersebut ketika menjawab pertanyaan Raja Eriel. Tidak pernah dia melihat Raja Eriel dalam keadaan cemas sebegitu.

“Mustahil!” Raja Eriel berlari ke bangunan penjara berhadapan dengan istananya. Empat orang pengawal yang ditugaskan untuk menjaga Kerk dilihatnya bergelimpangan tidur di bawah pokok. Q-ra pula mundar-mandir dalam keadaan resah di pintu masuk penjara. Rasa tidak enak berlipat kali ganda menyerang hati Raja Eriel.

“Di mana Kerk?”

“Di dalam, tuanku!”

“Kamu bohong!”

Q-ra segera menghalang Raja Eriel dari memasuki bangunan penjara. Raja Eriel menolak Q-ra ke tepi. Q-ra jatuh ke tanah sebelum bangkit semula untuk menghalang Raja Eriel dari pergi ke sel penjara Kerk.

Raja Eriel memerhatikan sel penjara Kerk yang kosong. Dia mengetap gigi. Jari-jari di kedua-dua belah tangan digenggamnya erat-erat.

“Kau bersubahat dalam rancangan Kerk bukan?!” Soal Raja Eriel garang.

“Maaf, tuanku! Saya berpendapat, Kerk wajar diberi peluang untuk membuktikan kata-katanya benar. Percayalah tuanku, pemergian Kerk ke Eucralipse akan mendatangkan faedah kepada misi kita!”

Raja Eriel menepuk kuat dinding penjara. Q-ra terkejut.

“Kau tak nampak apa yang baru terjadi tadi? Kau tahu tak apa yang kau dah lakukan, Q-ra? Gara-gara tindakan bodoh kau, dua Oc-cra dah bersatu! Oc-cra milik Eury dan Kerk! Kau tahu apa maksudnya? Mereka akan jadi kuat. Kita mungkin akan kehilangan Kerk jika Eury berjaya memujuk Kerk untuk menyebelahinya!” Marah Raja Eriel.

Q-ra menggigit bibirnya. Mula sangsi akan tindakannya melepaskan Kerk ke Eucralipse. Raja Eriel mendengus kasar apabila dilihatnya Q-ra kebingungan dan diam tanpa suara. Dia berpaling ke arah pengawalnya.

“Di mana Egart? Masih di Eucralipse?”

“Di bilik mesyuart, tuanku! Menyusun-atur maklumat-maklumat yang baru diperolehi dari Eucralipse tadi!

“Panggil Egart dan pembesar-pembesar kita! Kita akan mengadakan mesyuarat tergempar sekarang juga!”

Raja Eriel berpaling pada Q-ra yang masih dalam keadaan kebingungan.

“Pengawal, tangkap Q-ra! Bawa dia ke kamar mengadap!”

“Baik, tuanku!”

**************

Raja Eriel duduk di singgahsananya. Wajahnya serius memerhatikan pembesar-pembesar Dark City serta Q-ra dan Egart yang sudah duduk melutut di hadapannya. Mereka diapitkan oleh beberapa orang pengawal yang bertubuh besar. Tangan kedua-duanya diikat.

“Sepuluh tahun yang lalu, kita 'dibuang' ke Dark City atas pengadilan yang kejam dari Raja Theseu dan anaknya, Raja Esqandar. Dark City pada ketika itu dalam keadaan daif. Tanahnya gersang, kering tanpa air, pokok-pokok yang boleh dikira dengan jari, bangunan-bangunan usang yang menunggu masa untuk roboh. Tanpa makanan.” Suara Raja Eriel memecah keheningan kamar tersebut.

Raja Eriel memandang satu-persatu wajah di hadapannya.

“Pada saat itu terlintas di fikiran kita, lebih baik Raja Theseu jatuhkan hukuman bunuh sahaja ke atas kita daripada dibuang ke tempat yang seumpama neraka ini! Dan akhirnya, kita faham akan maksud tindakan Raja Theseu itu. Raja Theseu memang nak kita mati. Tapi bukan dengan cara yang mudah. Dia mahu kita mati secara perlahan-lahan dan menyakitkan. Dan Dark City telah dipilih olehnya sebagai destinasi terakhir hayat kita. Sebagai kubur kita!” Cerita Raja Eriel yang penuh emosi membuatkan sekalian yang mendengar tertunduk. Kembali mengingati kepayahan hidup di masa lalu.

“Tetapi kita bukan orang-orang yang cepat kalah. Kita bangkit dari kekalahan. Kita jadikan tumbuhan sebagai sahabat, punca makanan, ubat-ubatan serta sumber tenaga api. Kita gali tanah gersang ini sedalam-dalamnya untuk mendapatkan air. Kita guna batu, tanah liat, kayu dan apa sahaja yang ada untuk membuat rumah dan bangunan. Kita cari pohon kapas, malah kita tanam pokok kapas untuk dijadikan pakaian. Ada di antara kita yang berani mengambil risiko, pergi ke Eucralipse untuk mencuri haiwan ternakan serta benih sayur-sayuran untuk ditanam dan dipelihara untuk dijadikan makanan. Ada yang kembali dengan selamat. Tapi kebanyakan dari mereka dipancung sebaik sahaja ditangkap.”

Raja Eriel berjeda.

“Dari situ kita bertekad, kita akan bangkit menentang Eucralipse. Kita kumpulkan mereka yang cerdik pandai. Kita bina kerajaan kita sendiri; Dark City. Kita cipta senjata sendiri. Dan kita cuma ada satu misi. Membalas dendam terhadap semua kesengsaraan ini, kita berazam untuk menakluk Eucralipse dan mengambil-alih kerajaan mereka. Selama 10 tahun kebelakangan ini, kita hidup untuk misi kita yang satu itu. Macam-macam telah kita korbankan. Dan sekarang kita sudah semakin hampir dengan apa yang kita impikan. Oleh itu, beta tak akan membiarkan impian kita sekadar impian kosong semata-mata.”

Raja Eriel memandang tajam ke arah Q-ra.

“Q-ra, Menelaus pasti kecewa dengan apa yang kamu lakukan hari ini...”

Pandangan Raja Eriel beralih kepada Egart pula.

“Egart, kamu bukan sekadar pahlawan hebat di Dark City. Beta dah anggap kamu macam anak beta sendiri. Dan beta berasa sangat kecewa dengan tindakan kamu bersubahat serta melepaskan Kerk!” Suara Raja Eriel kedengaran lirih.

Raja Eriel menarik nafas dalam-dalam sebelum memandang ke arah semua yang ada di hadapannya.

“Seperti yang kita semua maklum, Q-ra dan Egart didapati bersalah kerana membebaskan tahanan penjara, iaitu Kerk, tanpa keizinan beta. Mereka bukan sahaja ingkar terhadap perintah beta, tetapi mereka juga membahayakan misi kita untuk menawan Eucralipse. Sebagai pengajaran kepada semua yang ada termasuk rakyat Dark City yang lain, beta dengan berat hatinya, akan menjatuhkan hukuman mati kepada mereka berdua!”

Keadaan di situ hingar-bingar. Masing-masing terkejut dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Raja Eriel. Namun tiada sesiapa yang berani berkata apapun apatah lagi membantah hukuman tersebut.

Q-ra dan Egart hanya mampu berpandangan sesama sendiri dan kemudiannya tunduk merenung lantai. Berharap adanya keajaiban yang dapat menyelamatkan mereka.

“Sekembalinya Menelaus dari menemui Rexo, setelah berita ini sampai ke telinganya, beta berharap dia dapat memahami mengapa beta bertindak begini ke atas anaknya. Begitu juga dengan ibu bapa kamu, Egart. Beta berharap mereka juga akan faham betapa seriusnya kesalahan yang telah dilakukan oleh kamu!”

Raja Eriel memandang sepi kepada Q-ra dan Egart.

“Q-ra dan Egart akan dihukum pancung esok pagi, sebaik sahaja matahari terbit. Keputusan beta muktamad! Tiada sesiapa yang boleh mencabarnya!”

Sekali lagi kamar mengadap hingar-bingar dengan suara-suara mereka yang ada di situ.

“Bagaimana kalau sekiranya tuanku dihadiahkan sesuatu yang berharga dari Eucralipse?!”

Serentak itu, pintu masuk kamar mengadap ditolak dengan kuat. Semua mata memandang ke arah pintu dengan rasa terkejut.


@~~ Kepada kipas-susah-mati eucralipse, sowi sbb eury asyik ter'delay-delay' aje nk smbg eucralipse ni...

7 comments:

Nina Aziz said...

wow...ape yg jdi...ala jgn la rhyss blik ke darkcity blik...

epy elina said...

hohoho...
sape 2??
jgnla kerk yg mncul 2...
hrp2 smuanay blh di slamatkan...
dngn 2 pnyatuan ati...

Anonymous said...

n3 yg nie bes tp xdek cte sal eury ngan rei..

Ai said...

cerita yg makin mantoppppppppp..
woahhh x sabo nk tau 'ape nk jadi lepas nih..'

Daniera said...

waiting for next entry....jiayo2!

tzaraz said...

sapa yang tolak pintu tuuuu???
adoiii!..tak sabar nak tau.
jangan lah kerk yang tolak. Mesti si esmet tu...

eury...saperti biasa...CEPAT SAMBUNG!..hehe

Anonymous said...

p_kyou

oh, no...
ape dah jadi...
rsanya kerk bwk eury ke dark city...
oh no...

Followers