Saturday, January 5, 2013

The Cold World 16




The Greatest Fear

Ahli-ahli di Meja Utama Dewa-Dewi ditentukan oleh kerusi-kerusi yang terdapat pada meja tersebut.

Terdapat tujuh kerusi kesemuanya di Meja Utama Dewa-Dewi.


Riku membuang pandang pada ahli-ahli di Meja Utama. 

Dewa Dai. Di kirinya Dewi Iva. Diikuti pula Dewa Chiyo. Kerusi milik Dewi Rinako kosong tanpa pemiliknya dipandang sepi oleh Riku. Kerusi di sebelah kanannya juga turut kosong. Nampaknya belum ada sesiapa lagi yang layak untuk duduk di situ.

Dan pandangannya berlabuh lama pada kerusi kosong di sisi kirinya. Kerusi yang paling mewah hiasannya. Kerusi yang terletak di bahagian kepala meja. Rasa sayu membaluti hatinya.

Ayahanda…

Hari ni buat pertama kalinya selepas kematian ayahanda, anakanda menghadiri perjumpaan Dewa-Dewi. Layanan mereka kali ini berbeza sekali dengan layanan terakhir mereka beberapa tahun dulu. Walaupun anakanda duduk di tempat yang sama, di meja ahli pentadbiran tertinggi di Haven, namun kenapa anakanda terasa seperti berada di dalam kandang pesalah? Setiap pandangan benci yang diberikan kepada anakanda mengingatkan anakanda terhadap perbuatan anakanda terhadap ayahanda.

Ayahanda… Kenapa agaknya anakanda dipilih untuk melaksanakan takdir yang sudah tersurat itu?

Kenapa?

Keadaan dewan hingar-bingar semula.

Bunyi meja ditepuk mencuri tumpuan seisi dewan. Tidak lagi pada Riku, sebaliknya pada Dewa Ichiro yang duduk di bahagian selatan dewan.

“Apa? Apa yang dia buat di sini?” Dengan lantang dia bersuara.

Seorang dewi di bahagian selatan dewan berdiri.

“Aku nak keluar dari sini. Tak sanggup rasanya berada dalam dewan ni bersama pembunuh!”

“Nak mengadap muka dia pun aku tak sanggup!”

“Bonda dia sendiri tak sanggup untuk hadir ke perjumpaan ni!”

Separuh daripada Dewa-Dewi berdiri, bersedia untuk meninggalkan dewan.

“Pergi aje!” Ujar Dewa Chiyo sinis. Nada suaranya perlahan namun cukup jelas untuk didengari oleh semua yang ada di situ. Mereka tidak jadi untuk melangkah. Sebaliknya memandang ke arah Dewa Chiyo.

“Kepada dewa-dewi yang dah tua, dah lemah otak, sila balik tempat asal kamu  dan sambung balik ‘tidur’ kamu. Ada atau tak kamu semua dalam dewan ni, langsung tak penting bagi aku. Kerana kamu hanya boleh mendengar dan memberi cadangan sekiranya kami perlukan. Kata putus terhadap apa jua isu terletak pada tujuh Dewa-Dewi yang duduk di Meja Utama ni. Jadi, aku boleh katakan yang kehadiran kamu di sini tidak diperlukan.”

Ada yang mendengus, ada yang merungut, malah ada yang membuntangkan mata sebaik sahaja mendengar ayat berbisa Dewa Chiyo. Dewa Dai menjeling ke arah Dewa Chiyo. Menghantar isyarat bahawa dia tidak bersetuju dengan apa yang keluar dari mulut Dewa Chiyo. Mata Dewi Iva, tanpa jemu, memerhatikan Dewa Dai. Bersedia untuk menenangkan amarah Dewa Dai. Semua tahu Dewa Dai tidak suka keadaan di mana dia hilang kuasa untuk mengawal keadaan. Dan dia suka menjadi yang utama.

“Sila keluar secepat mungkin atau berhenti mengganggu persidangan ini!”

“Dewa Chiyo!”

Dewa Chiyo dan Dewa Dai beradu mata. Melihat keadaan semakin tegang, Dewa Iva menegakkan badannya.

“Dewa-Dewi sekalian, tolong bertenang! Tolong jaga martabat anda semua sebagai Dewa-Dewi yang dihormati di Haven ini.” Suara lembut Dewi Iva menenangkan keadaan tegang dalam dewan. Setiap perkataan yang dituturkan bagaikan berlagu di telinga mereka yang mendengar. Suara yang punya kuasa untuk memujuk, menenangkan, menghiburkan, menggembirakan.

Dewa-Dewi kembali duduk di tempat masing-masing. Emosi mereka mula tenang. Tidak lagi marah dan tersinggung seperti tadi.

Dewa Chiyo menganggukkan kepalanya pada Dewi Iva.

‘Terima kasih. Suara kau tak pernah berubah. Suara yang paling indah di telinga sesiapa yang mendengar.’

Dewa Iva menganggukkan kepala selepas ‘mendengar’ pujian Dewa Chiyo. Untuk seketika Dewa Chiyo dibuai rasa. Jelingan Dewa Dai menyedarkannya akan sesuatu. ‘Rasa’ itu dibuang jauh dari hati.

Saat itu juga dahi Riku berkerut. Apa yang tergambar di mindanya membingungkan. Segera dia mencipta ‘tabir’ untuk mengelak Dewa Chiyo dari membaca ramalan yang diterimanya.

Perhatian Dewa Chiyo kembali terarah pada Dewa-Dewi yang duduk di sekeliling dewan.

“Aku tahu semua yang ada di sini ada pendapat masing-masing, tetapi aku mohon supaya kamu semua cuba memahami Dewa yang paling muda di dewan ini, Riku. Umurnya tak sampai 1/10 pun dari umur kita semua. Dengan umur semuda itu, dia mendapat kuasa yang hebat. Kuasa yang dimilikinya ini sangat berguna dan dalam masa yang sama sangat-sangat ‘rapuh’.”

Dewa Chiyo memerhatikan setiap seorang yang ada di situ. Kemudian dia menyambung katanya.

“Dengan usia semuda itu dan mempunyai meramal masa depan, Riku membuat keputusan sebegitu. Percayalah, Riku sedaya-upaya untuk mengelakkan perkara itu dari berlaku namun tiada apa yang dapat diubah olehnya. Seperti memang sudah ditakdirkan Dewa Arashi mati di tangannya.”

Suasana dewan berdegung bagaikan sekawanan lebah.

 “Boleh kami tahu bagaimana kuasa kamu berfungsi?” Soal salah seorang Dewa di situ.

Beberapa orang Dewa-Dewi berbisik sesama sendiri. Sebahagian besar daripada mereka menanti jawapan dari Riku. Dewa Chiyo mengangguk pada Riku. Seakan memberi semangat pada Riku untuk menjawab.

“Ramalan yang saya terima berada di luar kawalan saya. Saya menerima ramalan tidak kira masa dan tempat. Adakalanya saya boleh menentukan ramalan yang saya mahu lihat. Tetapi ini memerlukan tenaga dan tumpuan yang lebih. Dan saya masih belum mahir dengan perkara itu.”

“Bagaimana bentuk ramalan yang kamu terima?”

“Ianya seperti melihat satu babak cerita yang tiada awal serta pengakhiran ceritanya. Ia bergantung kepada tafsiran saya yang melihat semata-mata. Mentafsirkan ramalan secara membuta-tuli akan membuatkan saya mengambil keputusan yang salah. Dan kuasa saya ini sangat rapuh. Sedikit perubahan akan merubah seluruh ramalan saya. Menurut Tirai Masa, ramalan yang saya nampak adalah perkara apa yang saya patut tahu ketika itu.”

Sebaik sahaja Riku selesai menerangkan hal berkenaan kuasanya, Dewa-Dewi berbincang sesama sendiri.

“Seperti yang aku katakan tadi, hanya persetujuan ahli Meja Utama sahaja yang diambil kira undinya. Dewa-Dewi yang lain boleh membantah mahupun menyokong, terpulang kepada kamu. Apa yang pasti, Riku sudah cukup dewasa untuk mengulangi kesilapan yang sama.”

Dewa Dai menggenggam jari-jemarinya. Walaupun dia tahu yang Riku mahu mengembalikan kedudukannya di Haven, namun dia tidak menyangka perkara itu akan berlaku dalam masa yang terdekat.

“Dewa Chiyo, aku rasa kau terlalu banyak bercakap hari ini. Bukankah elok jikalau tuan yang empunya diri yang bersuara?”

“Oh, maafkan aku, Dewa Dai! Mungkin kerana terlalu teruja, maka aku terlupa menjaga adabku. Aku Cuma fikir, alangkah bagusnya sekiranya semua kerusi yang ada di meja ini diisi. Meja ini terlalu luas rasanya bila hanya ada kita bertiga.”

Dewa Dai menjeling tajam.

‘Apa yag kau fikirkan Chiyo? Ketakutan kau… Apa agaknya sumber ketakutan kau?’

“Silakan Riku.”

Riku menolak kerusi ke belakang. Dia berdiri dan memandang wajah setiap seorang yang ada di situ.

“Dewa-Dewi yang saya hormati sekalian, saya minta maaf atas semua kesalahan saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana tidak mengenakan hukumanyang berat pada saya. Dan hari ini saya sekali lagi inginkan kepercayaan serta sokongan kesemua Dewa-Dewi untuk menerima saya kembali dalam system pemerintahan Haven. Saya mahu kembali ke kedudukan asal saya. Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk Haven.”                         

Dewa Chiyo menghadiahkan senyuman pada Riku. Syabas, Riku!

“Mulakan undian.” Ujar Dewa Dai. Riku segera memejamkan mata. Takut dengan apa yang bakal disaksikan sebentar nanti.

Dewa Dai mula panas punggung. Kalau dewa-dewi termakan dengan kata-kata Riku tadi macam mana? Suka atau tidak, dia terpaksa mengakui Riku dahulu adalah dewa kecil yang berjaya memukau kesemua dewa-dewi ini dengan kecomelan, kepetahan, serta kuasa yang dimilikinya. Mungkin saki-baki kasih-sayang mereka akan membuatkan mereka kasihan pada Riku, lembut hati pada Riku. Mereka akan membenarkan Riku duduk di meja ini semula! Dewa Dai mengetap giginya.

Dewa-Dewi yang duduk di belakang Meja Utama secara bertingkat-tingkat mula menggerakkan sayap mereka. Dengan kelajuan yang berbeza, sayap mereka mengeluarkan warna yang berbeza. Dengan kelajuan sederhana, sayap mereka akan mengeluarkan cahaya merah sebagai tanda mereka tidak bersetuju. Kelajuan tahap maksimum pula akan menghasilkan cahaya kuning yang melambangkan persetujuan mereka.

“Buka mata kamu, Riku.” Pinta Dewa Chiyo.

Perlahan-lahan, Riku membuka kelopak matanya. Dan anak matanya membesar sebelum kembali mengecilkan matanya. Menghadkan kemasukan cahaya teus ke retina mata. Cahaya kuning di sekelilingnya hampir membuatkan matanya silau; menenggelamkan cahaya merah yang hanya kelihatan seperti titik-titik kecil di satu dua tempat. Dan senyuman mekar di bibirnya.

“Terima kasih…” Katanya dengan rasa terharu. Wajah masam mencuka Dewa Dai diabaikan sama sekali.

“Sekarang undian di Meja Utama pula.” Arah Dewa Dai.

Rasa panik mula bertamu di hati Riku. Kerana dia sedia maklum keputusan yang bakal dilihatnya nanti. Dewa Dai tidak mahu dia menjadi sebahagian dari ahli meja tersebut; tidak sekiranya dia tidak menjadi sekutunya. Dewi Iva, seingatnya semenjak dari dulu senantiasa berpihak pada Dewa Dai. Tidak kira sama ada Dewa Dai berada di pihak yang benar ataupun salah. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi yang membingungkan bagi seorang Dewi yang cintakan kedamaian dan keadilan.

Dewa Chiyo sangat rasional. Dia seorang yang adil, positif dan keputusannya tidak dibayangi atau dipengaruhi oleh sesiapapun.

Dan dia ada plat ayahandanya. Plat yang membuktikan bahawa ayahandanya sentiasa menyokongnya.

Maka keputusan akan seri.

Kalaulah bondanya ada di sini, undian bondanya akan menjadi pemutus terhadap perkara ini.

“Seri.” Kata Dewa Dai dengan bibir sedikir terjongket ke atas. Masih ada harapan, bisik hatinya.

Riku menggenggam erat plat Dewa Arashi. Kelopak mata dikerdipkan beberapa kali. Perlahan-lahan dia mengalihkan pandangan ke pintu utama.

“Bonda…” Bisik Riku.

Saat itu juga pintu dewan dibuka dari luar. Seluruh pandangan menyorot dewi cantik yang berdiri dengan anggun di muka pintu.

“Tepat pada masanya Dewi Rinako.” Ujar Dewa Chiyo.

“Ini undi aku.”

Cahaya kuning terhasil dari sayap Dewi Rinako.

Riku menarik nafas dalam-dalam dan mula mengukir senyuman.

@~@~@~@~

Isi dewan sudah lengang.

Riku mengatur langkah ke arah bondanya. Dewi Rinako berhenti berbual dengan Dewa Chiyo. Dewi Iva di belakang mereka sudah bergerak mengekori Dewa Dai keluar dari dewan.

“Bonda…” Panggil Riku.

Dewa Chiyo tersenyum. Mengangguk ke arah Riku dan meninggalkan dua beranak itu. Sempat dia menepuk bahu kiri Riku sebelum mendapatkan Tanaka.

Riku mencapai tangan bondanya. Lega hatinya apabila bondanya tidak menepis tangannya. Genggaman tangan dieratkan.

“Terima kasih.”

Dewa Rinako tersenyum lemah.

“Dewa Chiyo menyakinkan bonda. Cuma satu bonda minta. Jangan buat sesuatu pergi itu lagi.”

Riku segera mengangguk. Selain berharap dan berdoa, apa lagi pilihan yang dia ada? Walaupun dia mempunyai kuasa untuk melihat masa hadapan, takdir bukan sesuatu yang boleh diubah sesuka hati. Itu yang diajar oleh Tirai Masa.

“Bonda maafkan saya?”

Dewi Rinako mengusap pipi Riku dengan penuh kasih sayang. Pandangan matanya sayu. Senyumannya nipis.

Riku melangkah setapak untuk mendakap bondanya. Tak apa, bonda. Asalkan bonda cuba, asalkan Riku boleh peluk bonda begini, itupun sudah memadai…

Dewa Rinako meleraikan pelukan mereka.

“Bonda patut balik ke istana sekarang.”

Walaupun berat hati, Riku mengangguk jua. Menghantar Dewa Rinako pergi dengan pandangan mata.

“Hebat ucapan kamu tadi. Walaupun ringkas tapi cukup untuk membuatkan hampir semua dewa-dewi terharu, simpati dan memahami keadaan kamu.”

Riku tidak menjawab. Hanya memandang sepi ke arah kelibat Dewi Rinako yang semakin hilang dari pandangan.

“Beri dia masa…”

“Saya tahu.”

Dewa Chiyo menepuk-nepuk bahu Riku. Simpati dengan nasib yang menimpa Riku. Namun dia tahu, Riku tabah orangnya. Dan Dewa Rinako terlalu rindukan puteranya. Cuma ego serta rasa sedihnya sahaja yang membuatkan dia terus bersikap dingin pada Riku.

“Dewi Rinako sangat sayangkan ayahanda kamu. Kamu tahu itu, kan? Apapun, dia mengundi kamu tadi. Itu menunjukkan dia sudah bersedia untuk memaafkan kamu.”

Tubuh lemah longlai Riku tegak serta-merta. Pandangannya setepat ke hadapan.

“Aku gembira kamu dapat menyertai kami semula di meja itu…”

Dan suara Dewa Chiyo semakin jauh dari pendengarannya. Kelopak mata ditutup rapat-rapat. Menghalang Dewa Chiyo dari melihat apa yang dilihatnya. Namun apa yang dilihatnya membuatkan tubuhnya menggigil. Dadanya terasa sesak. Nafasnya tersekat-sekat.

“Riku?”

Kaki yang lemah bagaikan tidak mampu lagi menampung berat badannya. Riku segera berpaut pada dinding di tepinya.

“Riku? Kenapa ni?” Soal Dewa Chiyo cemas.

Riku yang sudah terduduk di lantai hanya mampu menggelengkan kepala.

“Haru… Haru… Haru…” Rintihnya.

0 comments:

Followers