Sunday, October 25, 2009

Saat Cinta Bicara 4


Aku mundar-mandir di dalam bilik. Sesekali LG Chocolate yang melalak dan terdampar atas katil, aku jeling dari jauh. Aku mundar-mandir lagi. Macam mana ni? Apa nak buat ni?

Ala, rilek la Athia… Bunyi handphone aje tu. Bukan bunyi bom jangka pun! Tapi… Bunyi handphone tu buat aku tak tentu arah. Peluh kat dahi dah nak menitik dah ni. Huhu… Amsyar ni tak letih mendail ke? Kredit banyak sangat ek sampai nak sedekah kat telco company! Bateri handphone ni pun, tak reti-reti nak mati ke?

Aku pekup telinga dengan tapak tangan. DIAM!!! Tiba-tiba aku terfikir akan sesuatu. Keluarkan aje la bateri handphone. Tak pun, off kan aje. Apa susah! Poyo betul la aku ni! Aku ambil handphone, nak menjalankan akal mengelakku. Namun nama yang tertera di skrin membuatkan aku membatalkan hasratku.

“ATHIA HURIYA’!!!!” Jerit satu suara sebaik sahaja aku menekan butang hijau. Aku jauhkan handphone dari telinga. Cuping telinga aku gosok beberapa kali. Berdoa agar kekenyalan gegendang tak tergugat.

Takut-takut, aku dekatkan semula handphone ke telinga.

“Hello…” Sapaku lembut. Berharap sang pemanggil tidak lagi melepaskan geramnya melalui gagang telefon.

“Athia! Mana kau pergi? Aku bagai nak mati mendail nombor kau! Kau ingat aku operator ke apa? Wat menghabiskan kredit aku aje!” Suaranya masih menjerit tapi aku awal-awal lagi dah mengambil langkah persediaan.

“Fiza… Sorry! Aku… aaa…” Apa aku nak kelentong ni? Fiza, roommate aku ni kalau tak betul gayanya mahu bertukar jadi ‘’singa’.

“Kau tahu berapa kali aku call kau? 18 kali! Nasib la kau ni kawan baik aku. Kalau orang lain, kem salam aje la aku nak call berkali-kali. Fahmi, pakwe aku tu pun aku tak pernah bagi muka macam ni tau!” Tanpa sedar, aku menganggukkan kepala. Tanda faham. Walhal si Fiza bukan boleh nampak pun.

“Sorry la… Aku dalam toilet tadi. Tu yang tak dengar!” Aku beralasan.

“Eleh… Dalam toilet ke, sengaja ignore? Hehe…Kau takut ehem ehem tu call, kan?” Duga Fiza. Macam tahu-tahu aje minah ni!

“Dalam toilet la! Apahal kau call ni?” Dengan lagak selamba aku bertanya. Walhal jantung dah gedebak-gedebuk bila nampak nama Amsyar tadi. Paranoid yang hampir dikantoikan dek Fiza membuatkan bunyi jantung degup tiga empat kali ganda lebih pantas. Reputasi sebagai perempuan kental kena jaga, beb!

“Uiks! Kawan call pun tak boleh ke? Sombong!”

“Tak ada la… Aku bukan kenal kau sehari dua. Dah nak tiga tahun. Kau tu mana pernah murah hati nak menghabiskan kredit pada kawan-kawan. Kalau Fahmi tu lain la ceritanya…” Selarku.

Fiza tergelak.

“Sempat kau kenakan aku ya…! Aku sebenarnya nak confirmkan kau punya tiket balik! Kau naik bas kan? Naik malam Jumaat, ek?”

“Aik, apasal pulak tiba-tiba concern semacam ni?” Pelik! Selama ni, Fiza tak pernah pulak kisah aku balik naik apa. Tak pernah kisah aku nak balik bila pun.

“Tak ada la… Kalau kau bagitau aku awal-awal, aku boleh la tunggu kau kat stesen bas. Naik cuti ni ayah aku bagi aku pinjam kereta dia. So, boleh la aku jemput kau nanti! Tak payah susah-susah tunggu bas masuk ke kampus.”

Hatiku terasa lapang mendengar tawaran Fiza. Anak bekas pengetua sekolah itu memang dah lama berura-ura nak meng‘kidnap’ satu daripada kereta ayahnya. Maklumlah, tugasan tahun akhir memerlukan dirinya keluar dari kampus untuk mendapatkan bahan. Hmm… Kalau dah Fiza menawarkan tawaran sebegitu, aku tak ada sebab untuk menolak. Aku pun bukannya suka sangat ‘melepak’ kat stesen bas waktu subuh belum menjengah tu.

Tapi… Aku lurut jari telunjuk dan ibu jari ke hujung dagu. Tapi, kenapa aku rasa macam ada ‘bau-bau busuk ikan’ menusuk masuk ikut corong handphone aku ni? Fiza… Malam ni tiba-tiba aje sopan beradab macam baru lepas masuk kelas etika dan tatasusila. Hmm… Siap offer nak jemput aku lagi. Sanggup pulak dia nak bangun sebelum subuh... Pelik! Ada yang tak kena ni...

Kemusykilanku mula terjawab bila aku dengar suara Fiza yang macam tengah berebut akan sesuatu.

“Apahal ni, Am? Dah la serbu masuk bilik orang. Pastu nak main rampas-rampas pulak!”

AM? Huhu… Mula dah jantung aku tak tentu arah! Paranoid dah datang. Peluh memercik di dahi, aku sapu dengan tapak tangan. Tak boleh letak telefon. Nanti Fiza kata aku takut pulak dengan abang sepupunya tu. Huhu… Tapi memang aku takut pun! Lepas Fiza bisikkan sesuatu padaku sebelum aku naik bas tempoh hari, dan dari lirikan mata Amsyar waktu itu, aku tahu gosip Fiza kali ini berasas. Walaupun asasnya tak begitu konkrit.

Fiza menarik lengan aku tatkala aku dah melangkah ke anak tangga pertama bas.

“Abang sepupu aku tu ‘minat’ kat kau! Kau jangan buat-buat bodoh macam tak nampak kesungguhan dia pulak. Mana ada orang sanggup cancel semua appointment, kelas, panggilan ‘alam’ semata-mata untuk kau! Dia sanggup berkejar ke sana ke mari nak menghantar kau betul-betul sampai ke pintu bas ekspes ni..” Bisiknya ke telingaku. Aku jeling Amsyar yang berdiri tak jauh dari situ. Masih sempat tersenyum ke arahku walaupun tengah bertegang urat dengan seseorang di hujung talian handphone. Aku gigit bawah bibir. Fiza… Kaki gosip betul la minah ni! Peminat setia drama Gossip Girls ke?

“Jangan merepek la! Am tu buat business kereta sewa. Dah tentu la dia kaut semua peluang nak buat duit. Dia businessman. Aku customer. I pay him for his services, okey? Itu aje!”

Fiza buat muka ‘tak percaya’.

“Haah, yela tu! Kau tak tahu yang duit kau bayar dia tu, semua masuk dalam poket aku dan Aini. Upah ‘jaga’ kau!” Fiza tergelak saat menghabiskan ayatnya.

Aku diam. Dah tutup telinga dari mendengar segala cerita karut Fiza. Selagi Amsyar tak kata apa-apa, aku masih dalam keadaan ‘selamat’.

“Kau ni sesuai jadi tukang karut dalam wayang kulit la! Part-part buat cerita dongeng, serah aje pada kau!”

“Suka hati kau la! Nanti jangan kata aku tak bagitau kau pula, ek!”

Aku geleng kepala seraya melangkah naik ke dalam perut bas.

“Am…!!” Jerit Fiza kuat, mengembalikan aku ke alam realiti. Derap-derap kaki kedengaran. Seperti sedang berlari.

“Your part is done. Now, it’s mine!” Suara Amsyar pula sayup-sayup kedengaran.

“Mana upah aku?! Tak kan kau nak habiskan kredit aku kot?”

Mereka main kejar-kejar lagi.

“Aaahh…! Amsyar! Kau tak ada kerja lain ke selain hijack rumah dan harta benda aku!!”

Itu jeritan terakhir dari Fiza yang aku dengar sebelum bunyi pintu tertutup rapat mengambil tempatnya di corong telinga.

Seketika, hujung talian sunyi. Masa aku berkira-kira nak menamatkan talian, aku terdengar Amsyar berdehem di hujung sebelah sana.

“Assalammualaikum… Hai, Athia!” Sapanya. Memulakan perbualan.

“Waalaikumsalam. Hai…!” Aku cuba berlagak biasa, walau jantungku berdegup dengan cara yang luar biasa!

“Wat ape tu?”

“Wat bodoh!”

“Hah? Wat bodoh?! Haha…” Ketawa Amsyar menampar telingaku. Aku memang tak ada masalah nak berkomunikasi dengan lelaki di hujung talian ini. Tak perlu control ayu atau berbicara penuh adab dan protokol. Amsyar menerima aku seadanya. Pada yang mendengar, mungkin mereka akan kata cara aku melayan Amsyar agak ‘sadis’ tapi aku tak mahu berpura-pura untuk mendapatkan teman. Tak kan sebab dia salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar, antara jejaka-jejaka kacak di kampus, maka aku terpaksa menukar identiti semasa berdepan dengannya? Sorry la…

“Awak ni... Sekali betul-betul jadi macam tu, baru padan muka!” Kata Amsyar di hujung tawanya.

“Jadi apa?” Aku pulak blur tiba-tiba...

“Jadi bodoh la!”

“Ooo... Tak nak! Tak nak! Tarik balik kata-kata saya yang tadi tu!”

“Tahu pun takut! So... Tadi buat apa?” Tanya Amsyar. Masih soalan yang sama.

“Borak dengan Angah...” Aku baring atas katil. Bear sebesar budak tiga tahun aku capai dan peluk.

“Tentang?”

“Aaa... Tak payah tahu la!” Sibuk pulak Amsyar ni nak tahu...Tak cukup-cukup ke ambil tahu tentang kebajikan pelajar kat kampus sana? Sampai terbawa-bawa pulak ni...

“Mengumpat, ek? Entah-entah mengumpat fasal saya...”

“Ei...! Tak kuasa!”

Amsyar ketawa lagi. Mamat ni memang murah senyuman.

“Saya teka aje sebab tadi tiba-tiba aje telinga saya gatal. Orang kata kalau telinga gatal tu tandanya ada orang mengumpat kita.”

Aku garu kepala. Tak pernah dengar pun... Petua orang tua mana yang dia rujuk ni?

“Awak tak balik Penang ke?” Aku tukar topik. Setahu aku, mamat ni dah hampir sepuluh tahun menetap di Pulau Pinang kerana ayahnya pensyarah di USM.

“Dah balik. Baru aje sampai rumah Fiza petang tadi. Tu pun dia dah sibuk halau saya balik kampus!”

Aku tersengih sorang-sorang. Mana tak Fiza bising, dah perangai si Amsyar ni 2 x 5 perangai abang-abang si Fiza tu aje. Tak dapat tidak, mesti la si Fiza ni jadi bahan usikan mereka. Dah tu, barang-barang Fiza dibuatnya macam harta public aje. Sesuka hati aje nak guna pakai. Kalau aku pun aku marah. Nasib baik perangai Along aku tak seteruk mereka.

“Dah awak kacau dia, dia marah la! Ni, kredit dia pun awak guna...” Aku cuba bela Fiza.

“Ala... Tak kan nak serius 24 jam. Kena la ceria-ceria sikit kan... Fasal kredit, awak jangan risau. Saya janji saya ganti balik!” Janjinya.

“Okey la kalau gitu!”

“So, bas awak malam Jumaat dan sampai subuh hari Sabtu, kan? Turun kat stesen bas macam biasa ke?”

Kura-kura naik perahu la pulak... Walhal dia sudah sedia maklum rutin aku setiap kali aku pulang ke rumah.

“Aah... Kenapa? Awak nak jemput saya ke?”

“Dengan rela hatinya...” Jawapan Amsyar membuatkan aku terkedu. Ingat nak kenakan dia. Sekali aku balik kena.

“Tak apa la... Tadi Fiza dah janji nak jemput. Kalau dia tak nak jemput, saya naik teksi atau bas aje.” Tegas. Amsyar ketawa kecil di sebelah sana. Aku tak ada buat lawak rasanya.

“Athia... Athia... Awak ni macam burung merpati la. Jinak tapi sukar didekati... Baru selangkah saya nak dekati awak, berpuluh-puluh langkah awak lari dari saya.”

Aku terkedu mendengar ayatnya. Ni apa kes? Dah masuk cerita burung merpati pulak ni.

“Awak takut dengan saya ke?”

“Tak adalah!” Tegasku.

“Abis tu?”

“Saya tak nak susahkan sesiapa. Tu aje!” Aku lebih rela menunggu bas dua tiga jam kat stesen bas tu dari ‘terkurung’ dalam kereta Amsyar yang ber‘aircond’. Nak-nak lagi lepas apa yang Fiza katakan sebelum aku balik bercuti hari tu.

“Okey la, independent woman! I respect your decision. But you should mine too...” Suara dan jawapan Amsyar kali ini punya maksud tersirat. Tapi aku malas nak fikir apakah maksud ayatnya itu.

“Amsyar...”

“Hmm...”

“Saya mengantuk la! Nak tidur!” Aku sekadar beralasan. Sebetulnya aku mahu keluar dari suasana perbualan yang sudah mahu masuk ke alam ‘heart to heart’ tu.

“Ye ke? Okey la... Nanti balik kampus, kita sambung borak, ek! Call aje bila-bila masa, saya mesti datang!” Balas Amsyar. Aku diberi keistimewaan sebegitu oleh Amsyar. Kalau peminat-peminatnya yang lain, memanjang tak ada masa aje jawapannya.

“Okey! Good night! Assalammualaikum...” Kataku untuk menamatkan perbualan.

“Good night aje?”

Malas melayan kerenah Amsyar, talian aku matikan. Sebelum dia cakap benda-benda yang aku tak sedia nak hadapi, baik aku tamatkan sahaja perbualan kami pada malam itu.

Bear coklat itu aku dakap erat. Seketika kemudian lena membawaku pergi ke alam mimpi.

@~~~@~~~@~~~@~~~

Aku resah menunggu bas yang akan membawaku ke utara. Sudah lebih 30 minit dari masa yang tertera di tiket bas. Aku dah ‘kepanasan’ di platform itu. leher pun dah naik teleng meninjau bas yang tak kunjung tibanya. Along yang ‘rela-paksa’ menghantarku pada malam itu, sekadar memandang aku di sisinya dengan wajah yang bosan. Fikirannya melayang entah ke mana. Yang aku pasti fikiran Along bukan lagi di stesen bas ini. Sesekali dia mengerling ke arahku sambil tersenyum. Mereng ke ape abang aku ni?

“Apahal, Long? Senyum-senyum. Dah kena sampuk dek hantu senyum ke?” Sindirku. Aku perasan Along berubah sikap semenjak balik dari konvokesyen Angah. Tengok kamera, senyum-senyum. Lepas tu pandang-pandang aku, senyum lagi. Agak-agaknya, apa benda yang melucukan Along ek? Apapun, aku harap bukan sesuatu yang berkaitan dengan aku. Sebab aku tak rela di‘badut-clown’kan dalam apa cara sekalipun.

“Okey ape kena sampuk hantu senyum. Dari Thia yang kena sampuk dek hantu menung, lagi parah citenya!” Giliran Along pula mengenakan aku. Aku mencemik. Menung-menung kosong tu adegan biasa la tu bila ada kat rumah. Sebab kat rumah aje la aku berpeluang buat kerja-kerja mengosongkan otak fikiran tanpa sebarang aktiviti tu. Kalau kat kampus, jangan harap la. Tak putus-putus dengan assignment, group discussion, test, presentation, aktiviti kolej, bla bla bla... sampai tak larat nak fikir.

“Lambat lagi ke bas Thia ni? Dah nak berjambang Along menunggu ni!” Soal Along. Sebatang rokok diselitkan ke jari. Rokok yang ketiga setelah sejam kami di sini.

“Entah la. Thia pun dah tak larat nak tunggu. Apasal? Along ada date ke malam ni? Kalau ada, pergi aje la. Thia boleh tunggu sorang-sorang kat sini... Thia tak kisah...” Serkap jarangku disambut dengan tawa dari bibir Along. Aku tahu, dalam apa jua keadaan, Along tak akan tinggalkan aku seorang diri di situ. Selagi aku tak selamat berada dalam perut bas, dia akan tetap menjagaku seperti apa yang dipesankan oleh babah padanya.

Kepala terasa di‘luku’ dalam versi manja. Berbanding Yana, adik bongsuku, Along lebih rapat dan memanjakanku. Mungkin sebab faktor jarak umur.

“Along mana ada aweks la...No woman no cry...”

Aku tepis tangan Along. Kemudian aku perbetulkan semula kedudukan rambutku yang sedikit kusut hasil ‘buah tangan’ Along tadi.

“Ye la tu... Satu hari nanti Along akan ditundukkan juga oleh kuasa seorang perempuan atas nama cinta.” Tiba-tiba boleh pulak terkeluar ayat skema versi buku cerita cinta malam ni.

“So do you! Athia pun akan percaya wujudnya cinta sejati suatu hari nanti. Along tak sabar nak tengok sapa la lelaki malang yang terpaksa bertungkus-lumus menyakinkan adik Along yang garang ni tentang cinta...”

“Bla bla bla... Topik membosankan! Tukar topik please...”

“Kalau dalam masa lima minit bas Thia tak sampai-sampai, Along nak pergi serang kaunter tiket tu. Kaunter yang Empat dari kiri tu, kan?”

“Isk... Along jangan nak buat drama, ek! Thia tak rela nak jadi pelakon tambahan.”

Along tersengih aje bila melihat aku yang dah termakan dengan ‘gula-gula’nya.

“Sabar ye, dik! Kejap lagi bas sampai!” Kata penjual tiket yang sudah keluar dari kaunternya. Seperti aku, dia juga memanjangkan leher ke arah jalan raya.

Seketika kemudian, bas yang dinanti tiba di platform. Keadaan menjadi sibuk dan riuh seketika. Orang-orang yang tadinya duduk-duduk melepak tersidai sana-sini mula berkerumun di tepi bas dengan beg masing-masing. Masing-masing mahu jadi orang pertama masuk ke perut bas. Memandangkan aku sememangnya sudah berada di platform tersebut, aku hanya berdiri sahaja memerhatikan tingkah-laku penumpang lain.

Along memasukkan beg pakaianku di tempat menyimpan beg. Selesai berbuat demikian, kami bersalaman.

“Nanti dah sampai telefon atau mesej Along. Tak pun telefon aje babah atau bunda. Nanti bising orang tua tu kalau Thia tak telefon. Okey?”

“Okey!” Jawabku beserta anggukan.

Aku melihat Along berlalu. Melambaikan tangan sebelum bergerak ke pintu masuk bas. Tiket kuhulurkan kepada pemandu kedua bas yang berdiri di tepi pintu masuk.

“Sorry ye dik! Bas kami lambat sikit sebab ambil orang kat stesen sebelum ni. Biasalah... Tiket tulis pukul 9 malam, diorang mai pukul 9.15 malam. Kami dok menunggu diorang mai la tadi tu...” Kata lelaki lewat 20an itu padaku tanpa perlu ditanya. Mungkin sebab muka aku begitu ketara mencukanya? Entahlah. Selesai Terselit memeriksa tiket di tangan, lelaki yang sedaya-upaya menyembunyikan dialek utara dalam kata-katanya itu segera menyuruh aku duduk di tempatku.

Dalam kesamaran lampu bas, aku mencari ‘seat’ku. Seperti biasa, dalam setiap perjalanan, aku akan memilih tempat duduk di tepi tingkap. Sekadar untuk melihat pemandangan di waktu malam dan sebagai menghilangkan kebosanan dalam perjalanan yang panjang. Keningku hampir bertaut saat kakiku tiba di ‘seat’ bernombor 11 dan 12. Sudah ada penumpang yang ‘merampas’ tempat dudukku di tepi tingkap. Mungkin dia naik di perhentian sebelum ini. Bukan ke seat nombor 11 sepatutnya duduk kat tepi tingkap. Aku yang pegang tiket seat nombor 11, so aku la patutnya duduk di situ. Mendidih rasa hati melihat lelaki yang menutup hampir keseluruhan mukanya tidur lena di tempatku.

Aku melangkah ke depan semula. Mendapatkan drive bas dengan niat nak ‘menghalau’ lelaki perampas itu dari seatku.

“Bang, tempat duduk saya ada orang ambil.”

Driver bas memandangku tanpa perasaan. Dia dengar ke tidak apa yang aku cakapkan?

“Seat nombor berapa?”

“11.” Pemandu bas itu bangun lantas menoleh ke belakang. Melihat tempat duduk yang aku maksudkan.

“Yang duduk tempat adik tu nombor berapa?”

Hek eleh! Mana la aku tahu! Poyo!

“Mana saya tahu. Tapi masa beli tiket hari tu, saya dah kata pada orang kat kaunter tu yang saya nak seat tepi tingkap. Dia cakap nombor 11 tepi tingkap. Sekarang kenapa ada orang ambil tempat saya...”

“Macam ni la, dik... Tepi tingkap ke, tepi tangga ke, semuanya sama. Semuanya akan sampai ke destinasi juga subuh nanti. Tak payah berkira sangat la, ek! Duduk mana-mana pun sama.” Tenang aje dia menuturkan ayatnya. Rasa geram pulak aku tengok ketenangan lelaki tu.

“Okey! Semua duduk kat tempat masing-masing. Bas dah nak jalan!” Jerit pemandu bas yang kedua betul-betul kat tepi telingaku. Kemudian dia memandangku.

“Ada masalah apa, dik?” Soalnya.

“Ada orang duduk tempat dia. Nombor 11.” Pemandu bas pertama tolong jawabkan untuk aku. Terima kasih je la... Pemandu kedua bas memandang ke arah mamat yang tidur terbungkang di tempatku.

“Ooo... Tak apa la dik. Dia pun nampaknya dah lena tidur. Nanti dia bangun, adik bincang la dengan dia macam mana. nak tukar tempat duduk ke apa-apa. Buat sementara ni, adik duduk dulu kat seat nombor 12. Bas dah nak jalan ni. Nanti kalau lambat sampai ke Alor Setar, kami yang susah. Nanti penumpang-penumpang marah kami pula! Payah kami!” Ujar lelaki di hadapanku ini. Cuba berdiplomasi.

Aku pandang ke arah penumpang-penumpang bas. Ada yang mengerutkan dahi memikirkan apa masalah yang dihadapi olehku dengan pemandu-pemandu bas ini. Ada juga yang kelihatan sudah tidak sabar-sabar untuk memulakan perjalanan. Memikirkan ketidakwajaranku memanjang-manjangkan ‘kisah seatku diranpas’, aku mengalah dan akhirnya duduk di seat nombor 12. Bersebelahan dengan lelaki yang masih tidur lena. Siap berdengkur lagi. Macam dah bertahun-tahun tak tidur!

Bas memulakan perjalanannya. Lampu dalam bas sudah dimatikan. Cuma lampu jalan yang menerangi suasana dalam bas. Setengah jam pertama, aku boleh duduk diam di kerusiku. Masuk sejam, aku mula berasa bosan. Aku ambil keputusan untuk melelapkan mata. Dengan harapan aku dapat tidur. Seketika kemudian, aku terasa bahuku seperti dihempap dengan sesuatu. Aku buka mata.

Ei, laki ni! dah la ambil tempat duduk aku. Lepas tu tidur berdengkur-dengkur macam beruang artik. Sekarang kepala dia pulak elok aje di‘landing’kan kat bahu aku. Bayar la kalau nak park kepala ket bahu aku! Ingat free ke? Kepala tu kalau ringan tak apa la jugak! Ni berat mengalahkan batu.

Entah macam mana, tiba-tiba aje perbualan antara aku dan Nabila, kawan yang tinggalnya selang dua bilik dariku, merangkap coursemate aku boleh terngiang-ngiang di telinga saat itu.

“Ada sekali tu aku naik bas balik Terengganu. Ada la sorang mamat ni duduk sebelah aku. Mula-mula aku nampak macam budak baik aje. Dia tegur, aku jawab. Kita orang borak-borak. Tengah malam, bila aku tidur, aku terasa ada kepala dia ‘landing’ kat bahu aku. Aku ingat dia tak sengaja. Ye lah, orang tidur kan... Tapi bila tangan dia dah mula meraba, aku tak tunggu lama lagi dah. Aku bagi penampar kat dia sekali. Dia ingat aku ni ape? Patung?!”

Suara Nabila yang sedang naik berang menampar-nampar cuping telingaku. Enggan senasib dengan rakanku, kepala lelaki di sebelahku, aku tolak kasar ke tepi.

Keletukk!!

Sesuatu yang tidak kuduga, tolakanku itu cukup kuat untuk menghantukkan kepalanya ke cermin tingkap bas.

“Adoi!!” Lelaki itu mengaduh. Lelaki itu menggosok-gosok kepalanya yang berlaga dengan cermin kaca bas tadi.

“Kalau awak nak menggatal dengan saya, baik awak lupakan aje!” Aku memberi amaran keras.

“Apa yang membuatkan awak fikir saya nak meggatal dengan awak? For God’s sake, I’m sleeping!!” Katanya seraya menarik jaket yang menutupi wajahnya selama ini ke bawah. Dia berkalih. Duduk mengiring. Mengadapku. Begitu juga dengan diriku.

Seketika kemudian, kami sekadar berpandangan dalam gelap. Ketika bas yang membawa kami memasuki susur ke R & R berhampiran, cahaya lampu di tepi jalan raya mencuri masuk melalui cermin tingkap bas. Menerangi keadaan di dalam bas buat seketika.

Kali ini kami sama-sama tergamam melihat wajah masing-masing.

“Awak?!” Katanya seperti tidak percaya.

Aku mengerutkan dahi. Cuba memadankan wajah lelaki di hadapanku ini dengan memori-memori yang ada dalam kepala.

“Bukan ke awak bisu?”


*** Sori sbb lambat update blog... kpd kipas-susah-mati yg tak jemu2 jengah blog n commenting my work, eury ucapkan zillion billion million of thanks... u r really light up my days!

Dari Eury kepada Korang


Assalammualaikum..

Hehe… eury nak menulis tanpa tujuan…boleh?

Ni buku! Okey, itu mungkin ayat pertama yang kita buat masa tadika atau darjah satu dulu… tapi, pic tu memang buku. Cute kan dia punya cover.. macam tak sesuai pulak untuk orang yang dah lanjut usia dari tadika dan sekolah rendah untuk memiliki buku secute itu… okey, apapun, ni memang buku…

Buku ni tempat eury conteng, lakar, wat draf mahupun apa-apa gambar tak bersifat dalamnya. Tempat eury draf cite AD+IZ… Setiap apa yang eury nak taip, eury akan tulis dulu. Tengok la tu tulisan mengalahkan cakar ayam doctor. Memang pernah ada cita-cita nak jadi doctor tapi oleh sebab tak berapa pandai, maka dapat tiru tulisan pun jadi la… hehe… Bosan cakar pakai pen G-soft, conteng pakai pensel pulak. dakwat pen mahal. Dah la tangan eury ni memilih jenis pen… Tapi kalo rasa-rasa nak tambah power tahap kerabunan spec mata lagi, conteng la pakai pensel mekanikal tu lg!

Mesti korang fikir, napa nak kena tulis dulu baru taip. Taip terus kan senang, jimat kertas, dakwat dan masa. Tu la masalahnya… eury bukan penulis professional. Bukan mengalir aje idea kuar terus ke lappie… eury jenis yg kena tulis apa juga (masuk akal atau tak masuk lgsg) kat kertas. Pastu baru taip. Walaupun eury tak kan taip 100% ikut yg dah ditulis. Biasanya bila sampai kat lappie, eury akan ubah, maybe ikut idea yg datang waktu tu. Kalo dah kontang idea, just follow apa kat buku je la… so, kalo ada yg teringin nak curi buku ni pun, curi la… Oit, jangan! Ada scenes sequence dalam ni… walaupun tak berapa membantu, kadang-kadang membantu… whatever… bla bla bla… stop membebeling eury… mmg tls tanpa tujuan ke hape?



Yang berpalang macam ‘no entry’ senget atau pangkah mengundi tak laku tu, itu tanda scene yang eury dah taip kat lappie and korang dah baca kat blog ni. yang kosong tu, tanda idea tak mencurah keluar lagi. Gambatte eury! Usaha mesti terus! Ni pun cik dari kaki novel dah 2-3x tepon tanya progress AD+IZ… hmm…

Actually, idea ad+iz eury dapat masa tengah busy dengan praktikal dan laporan praktikal, which was awal tahun 2008. Yeah... eury selalu dapat idea masa-masa ‘tersepit’. Sepatutnya eury wat benda lain, tapi benda lain pulak yg muncul kat kepala. Distracting sometimes, tapi Allah dah bagi anugerah menulis ni patut dah kena bersyukur kan... Kalo ada org kata eury tiru idea hlovate tu, mmg tak betul la sbb eury baru baca Aa+bB tu tahun ni. lagipun tak tergamak nak tiru hasil keje dia since dia adalah salah sorang penulis yg eury sgt2 eury respect dgn gaya penulisannya. Mmg tabik spring la....

Huwargh…! Banyak lagi tak taip. Banyak lagi tak edit. Leput la eury macam ni… Pegang apa pun semua serba tak kena. Tension pun ada! Ape eury nak cakap lagi ek…. Hmm… oo… Untuk sokongan kipas-susah-mati, memang arigato gozaimas ( main bantai aje cakap jepun…mampus aku kena pancung dengan samurai nanti!)… sampai masa bila AD+IZ dah selamat terjilid, eury pasti akan bagitau tajuk the latest, cover dia semua… setakat yang perlu korang tahu, AD+IZ masih ‘selamat’ kat dalam lappie eury lagi… belum siap ditaip dan digarap indah (hopefully!)… masih ada 30 % belum tertulis... dan eury akan terus menulis dan menulis sampai siap...

Eury jugak nak alu-alukan siap letak red-carpet kat korang untuk bagi cadangan, komen atau apa sahaja untuk improve AD+IZ… nak tegur ke, suruh ubah mana yg patut ke, nak tegur gaya penulisan eury ke… anything… memang storyline AD+IZ eury dah hafal by heart, tapi many heads better than one kan… feel free to do so… coz eury nak tulis cerita untuk korang semua… bukan cerita syok sendiri versi eury…

Memang tak menang tangan wat masa ni. menulis tetap menulis. Dlm masa yg sama eury kena bagi komitmen pada yg lain juga. So, mcm yg korg tgk, blog pun dah jarang update. Kalo dulu 3-4 hari mesti update. Harap2 kipas-ssh-mati eury tak ari la...

Rasanya itu aje la kot eury nak tulis… Wassalam…

~eury athena~


Thursday, October 22, 2009

eucralipse 10


Nama aku Puteri Eury. Aku merupakan puteri tunggal Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika dari Eucralipse. Ya, aku pewaris tunggal takhta kerajaan Eucralipse selepas ayahandaku mangkat nanti. Kononnya aku pernah mempunyai pakcik, abang kepada ayahandaku merangkap pemerintah sebenar Eucralipse. Aku tak tahu apa yang berlaku kepada dirinya. Khabarnya dia sudah mati. Justeru itu, ayahanda aku yang menjadi penggantinya selepas datukku mangkat.

Beberapa abad yang lalu, satu perjanjian telah termeterai antara pemerintah Eucralipse dan Segi; sebaik sahaja keturunan yang ketujuh dilahirkan, mereka akan disatukan. Ia akan menjadi simbol kepada penyatuan keturunan dan juga tanah jajahan antara kedua-dua kerajaan. Kerana mengikut sejarahnya, pengasas Eucralipse dan Segi adalah saudara yang jauh terpisah akibat salah faham.

Aku adalah keturunan Eucris yang ketujuh. Esmet pula keturunan keluarga diraja Segi yang ketujuh. Kami ditunangkan semenjak bayi dalam satu upacara gilang-gemilang. Sebaik sahaja aku mencapai usia matangku, kami akan dikahwinkan sebagai persediaan untuk menaiki takhta. Aku dan Esmet; masing-masing diwariskan dengan seutas rantai berbatu hijau yang bersinar.

Sebagai puteri raja, segala pergerakanku terbatas dan dikawal ketat. Ellisa adalah satu-satu kawan yang benar-benar memahami keadaan diriku. Ellisa menjadi teman rapatku semenjak kecil dan kepadanya segala rasa hati aku luahkan.

Mengikut definisi Ellisa, cinta merupakan suatu perasaan halus yang wujud dalam diri individu tanpa sebarang paksaan. Ia terjadi secara semulajadi dan tanpa bersyarat. Dalam erti kata lain, kita boleh jatuh cinta dengan sesiapa sahaja, di mana-mana dan pada bila-bila masa. Cinta adalah kuasa ajaib yang membuatkan alam ini berputar. Cinta adalah kuasa ajaib yang menjadikan sesuatu yang mustahil kepada realiti. Cinta membuatkan hidup kita menjadi indah dan sempurna. Pengertian cinta Ellisa menyakinkan aku akan sesuatu. Aku tidak mencintai Esmet walaupun dia jodoh yang telah diramalkan untukku sejak berabad yang lalu. Dan aku juga pasti bahawa Esmet tidak pernah mencintai aku. Yang ada dalam diri Esmet hanyalah keinginan untuk menguasai. Sebaliknya, pengertian cinta dari Ellisa mengingatkan aku kepada Reizu...

Reizu atau Rei... Lelaki misteri aku aku kenali ketika dia membantuku dalam satu serangan konco-konco Rexo, sebuah kumpulan pemberontak di pinggir Eucralipse. Lelaki bertubuh sasa dengan riak wajah tenang itu telah membawa satu perasaan baru ke dalam diriku. Pengetahuannya yang meluas tentang Eucralipse, cara dia melayaniku, cara dia bercakap, cara dia memandangku... segala-galanya tentang dirinya membuatkan aku semakin 'dekat' dengannya. Pengetahuan aku tentang dirinya terlalu sedikit; aku cuma tahu namanya sahaja. Yang lain, tidak pernah diceritakan padaku. Bersama-sama dengan rasa hangat itu, kehadiran Rei turut menimbulkan pelbagai persoalan di benakku. Contohnya, siapa dirinya yang sebenarnya, dari mana dia mempelajari bahasa kuno Eucralipse, kenapa dia harus bertopeng, dan bagaimana dia boleh memakai rantai berbatu hijau yang seakan-akan sama dengan rantaiku dan Esmet.

Penampilan Rei yang bertopeng mengingatkan aku kepada Putera Bertopeng yang wujudnya hanya dalam mimpi-mimpiku semenjak kecil. Putera Bertopeng yang tidak pernah gagal mengenakan topengnya. Putera Bertopeng yang tidak pernah kutahu wujud atau tidaknya dia dalam dunia realiti ini. Cuma ada sesuatu yang pasti dalam setiap mimpi tersebut; aku mencintai dia dan dia juga mencintai aku. Tapi... Itu sekadar cerita cinta di alam mimpi... Di alam realiti, aku sangat-sangat menyenangi Rei. Kalau boleh aku mahu sepanjang masa berada di sampingnya. Kerana rasanya aku sudah mula jatuh cinta kepadanya... Terlalu awal? Atau keterlaluan kerana aku sudah bertunang?

“Rei...! Perlu ke kita buat semua ni?” Soalku lantang.

Aku pandang sekeliling. Mencari Rei yang entah ke mana. Dibawanya aku ke tengah hutan, sekarang dia tinggalkan aku pulak? Dah la aku dah tinggalkan pengawal peribadi aku dalam perjalanan ke sini tadi. Kononnya tak nak diperhatikan. Kononnya, aku yakin yang Rei akan menjagaku tapi sekarang... Kenapa aku ditinggalkan aku sorang-sorang kat sini? Bunyi haiwan dan burung-burung hutan yang kuat menakutkanku. Seolah-olah mereka ingin menyerang dan meratah tubuhku hidup-hidup.

“Rei! Awak kat mana? Okey, kalau awak nak takut-takutkan saya, awak dah berjaya. Boleh tak awak keluar dari persembunyian awak sekarang?”

Rei muncul dari sebalik pokok dengan senyuman nipis seketika kemudian.

“Hari ni saya nak ajar awak cara-cara untuk berlawan.” Katanya tenang.

“Ha? Tak nak la!” Rungutku. Kan dah ada kelas mempertahankan diri kat akademi. Kat istana pun aku diberi latihan khas oleh tenaga pengajar. Bukan ke masa-masa bersama Rei sepatutnya aku lebih rileks? Melepaskan segala tekanan yang terbeban di mental dan fizikalku.

“Awak kena belajar juga. Sebagai bakal...”

“Ya, ya, ya! Sebagai bakal pewaris takhta, saya patut menguasai semua ilmu mempertahankan diri kerana saya akan jadi ketua atau pengatur strategi sekiranya Eucralipse diserang...” Segera ayat Rei aku sambung. Itupun dalam nada malas. Sekarang Rei dah jadi tenaga pengajar aku yang baru pula ke? Bosan!

“Awak tak boleh mengharapkan pengawal awak semata-mata. Kejadian serangan Rexo di pinggir Eucralipse membuktikan yang awak perlu tahu menggunakan kemahiran dan kuasa awak demi melindungi diri awak sendiri.” Kata-kata Rei sangat realistik dan prihatin.

Aku diam. Sekadar melakar sesuatu di tanah dengan hujung kaki. Mula bosan walaupun sesi pembelajaran belum bermula.

“Saya akan anggap awak bersetuju. Ilmu pertama adalah belajar cara mengelak!” Serentak dengan itu, Rei melontarkan batu besar. Melihat batu besar yang laju melayang ke arahku, aku mula panik. Tak tahu apa yang patut aku lakukan. Aku melarikan tubuhku namun malangnya aku tersadung akar pokok pula. Tubuhku rebah ke tanah. Perlahan-lahan aku bangun. Sikuku luka sedikit. Kakiku juga terasa sakit. Mungkin terseliuh atau luka.

Aku pandang Rei. Sangkaku, dia akan berhenti dan membantuku. Sebaliknya dia terus melontarkan batu yang hampir sama saiznya ke arahku. Dengan kaki dan tubuhku yang sakit, aku tak mampu untuk bergerak apatah lagi mengelak. Aku pejamkan mata serapat-rapatnya. Berharap dan berdoa suatu keajaiban berlaku.

Papp!!

Sesuatu mengenai kepalaku. Perlahan. Langsung tak menyakitkan. Seperti angin yang menampar lembut ke wajah. Aku buka mata. Batu besar itu sudah bergolek entah ke mana. Rei berjalan ke arahku. Cuba membantuku untuk bangun. Namun huluran tangannya segera kutepis.

“Awak ni nak bunuh saya ke?” Jeritku. Wajah Rei bersahaja aje. Tak panik. Tak rasa bersalah. Tak rasa marah. Tak rasa sedih. Langsung tak ada apa-apa perasaan beriak di wajahnya.

Rei diam. Sekadar merenungku tajam. Seperti berfikir.

“Sekarang saya dah tahu apa kuasa awak. Sebenarnya dari malam ulangtahun kelahiran awak lagi saya dah dapat agak kelebihan awak ni...” Katanya antara dengar dan tidak.

Dahi kukerutkan. Masih tak mengerti apa yang cuba disampaikannya.

“Kuasa? Kelebihan? Saya dah hampir mati ditimpa dek batu yang awak baling tadi, awak merepek pulak!”

Rei memegang kedua-dua bahuku. Menggoncangkan tubuhku. Cuba menarik sedikit tumpuanku.

“Eury, masa majlis ulangtahun awak tu, saya lepaskan awak dari tempat tinggi. Awak jatuh, tapi awak langsung tak cedera, kan? Tadi, batu tu timpa awak tapi awak langsung tak cedera. Saya lihat dengan mata saya, Eury...”

Aku terpinga-pinga mendengar kata-kata Rei.

“Jadi, maksudnya...?” Soalku.

“Awak ada kuasa untuk mengubah sifat sesuatu benda. Bila kepala awak kena batu tu tadi, awak rasa sakit tak?”

“Tak! Rasa macam angin aje...” Jawabku. Masih berfikir-fikir kelogikkan kata-kata Rei. Betul ke?

“Macam mana awak buat? Maksud saya, macam mana awak boleh ubah sifat batu yang keras tu menjadi lembut? Awak boleh buat kat semua benda ke?” Bertalu-talu Rei bertanya. Nampaknya dia begitu teruja dengan 'kuasa baru'ku ini. Aku berasa sedikit aneh dengan keterujaannya itu. Mungkin dia teruja sebab dia tekaannya sudah terbukti? Entah la...

“Saya tak tahu! Ini pertama kalinya saya guna 'kuasa' saya tu!”

“Jadi, kita akan buat kajian bagaimana dan sampai tahap mana kuasa awak tu!”

Ha? Pulak dah!

**************

“Mustahil!” Jerit Esmet.

“Tapi itulah hakikatnya!” Tegas Hemes.

“Tak akan tak ada maklumat langsung? Keluarganya, atau apa-apa aje!”

Dayes maju ke depan. Bertentangan dengan Esmet.

“Aku dah arahkan orang-orang kita supaya siasat apa sahaja berkenaan Rei. Hasilnya, SIFAR. KOSONG! Kita langsung tak ada maklumat tentang dia. Langsung tak ada rekod tentangnya di Eucralipse. Mungkin dia bukan berasal dari Eucralipse!”

“Kalau bukan, maksudnya dia dari mana?” Esmet dah garu kepala. Buntu nak berfikir.

”Aku akan cuba periksa maklumatnya di bahagian pendaftaran. Tapi kau pun tahu kan yang kita perlukan persetujuan orang-orang tertentu untuk tujuan itu.” Ujar Hemes.

“Guna nama aku! Mereka tahu apa kedudukan aku dalam Eucralipse ini! Sebagai bakal raja, mereka akan patuh dengan apa sahaja arahan aku!”” Dengan angkuhnya Esmet berkata begitu.

Bunyi bising dari tingkat bawah istana kecilnya membuatkan Esmet panik. Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri.

“Apa tu?” Soal Esmet.

Pengawal Esmet bergegas turun. Seketika kemudian, terdengar suara mereka menjerit kesakitan. Dayes dan Hemes berlari ke muka pintu untuk melihat apa yang berlaku. Namun dua orang lelaki berbadan tegap dan kuat yang tiba-tiba muncul membuatkan mereka kaku berdiri di situ. Di bilik empat segi itu, Esmet mula kecut perut.

Dayes dan Hemes ditolak ke tepi oleh lelaki-lelaki tadi. Hampir sahaja mereka terjatuh. Dan seorang lelaki berwajah bengis muncul di muka pintu. Ada parut panjang di sebelah kiri wajahnya. Dari pakaian dan gayanya, masing-masing membuat kesimpulan bahawa lelaki itulah ketua kumpulan tersebut. Di sisinya, beberapa orang pengawal yang turut berwajah hodoh. Lelaki itu memandang Esmet tepat-tepat.

“Masanya sudah tiba!!” Kata lelaki berwajah hodoh itu kepada Esmet.

“Masa apa? Siapa kau? Kenapa kau menceroboh masuk ke istana aku?!” Jerkah Esmet. Khuatir Esmet akan bertindak menyerang balas, pengawal lelaki berwajah bengis itu segera mendapatkan Esmet. Memegang kejap lengan Esmet. Esmet meronta mahu melepaskan diri. Dayes dan Hemes hanya mampu memandang dari tempat mereka kerana turut diawasi oleh beberapa orang lelaki yang bertubuh sasa dan bengis.

Lelaki berwajah bengis itu ketawa.

“Nampaknya kemewahan dan ketinggian darjat telah membuatkan kau lupa akan asal-usulmu, wahai anakku!”

Esmet berhenti meronta. Ternganga.

“Anak?”

**************

Langkah Rei terhenti serta-merta tatkala menyedari ada seseorang yang menyekat jalannya. Lelaki sedikit tinggi dan sasa itu dipandangnya. Egart...

“Sapa kau yang sebenarnya? Kau mungkin boleh memperdayakan Eury, Ellisa dan mereka yang lain. Tapi kau tak boleh perdayakan aku.”

“Aku seorang anak yatim. Keluargaku petani di sebuah kampung jauh dari sini...” Terang Rei.

Egart ketawa menyindir.

“Kau ingat aku percaya? Ada banyak perkara tentang kau yang mencurigakan aku. Dan aku mahu tahu hari ini juga!”

Egart mula bertindak agresif. Cuba menyerang dan menumbuk Rei. Namun semua serangan Egart berjaya dielak oleh Rei.

“Kau pantas dan bijak menduga pergerakan aku!” Komen Egart dalam mengah.

Rei tetap tenang menghadapi situasi itu. Mengelak dan mengelak. Bila berasakan dia sudah menguasai gerak Egart, Rei mencekak leher Egart dan dihempaskannya tubuh Egart ke tanah.

“Kau bukan lawanku!” Katanya sebelum berlalu.

Enggan mengaku kalah, Egart segera bangun dan memintas perjalanan Rei sekali lagi. Egart menarik keluar pedang yang tersangkut di belakang badannya. Menghayunkannya ke tubuh Rei. Rei kelihatan terkejut dengan tindakan drastik Egart dan dia gagal mengelak dari serangan mendadak itu.

Papp!

Dua pasang mata memandang bertentangan.

“Aku dah agak! Memang kau la orangnya...!”

*** i'm stucked here n there with my novels n obsessed by a vampire...film...hehe...

Wednesday, October 14, 2009

Aidil Fitri


Mak, Mak Usu, Mak Teh, Mak Long dan Mak Ngah bagai nak berperang dengan periuk belanga di dapur. Masing-masing sibuk menyiapkan juadah untuk menyambut kedatangan Syawal. Mak Long dan Mak Ngah dengan petua dan resipi turun-temurun keluarga mereka. Mak Teh dan Mak Usu pulak masih bertekak nak menentu-sukat kuantiti gula dan lada kering untuk kuah kacang. Maklumlah, Mak Usu orang nogori. Mak Teh pula orang pantai timur. Kaum Adam keluarga aku semua berkumpul belakang rumah. Mengacau dodol dan membakar lemang.

Bunyi mercun berdentum-dentam di luar rumah membuatkan aku teruja nak turun ke tanah. Rasa macam ditarik-tarik aje untuk keluar dari ruang dapur. Join bebudak tak sampai umur baligh lagi main mercun, mesti seronok! Perlahan-lahan aku ‘tarik diri’ dari menyertai Hell Kitchen versi kat rumah nenek aku ni. Halaman rumah nenek diterangi pelita panjut. Sepupu-sepupu aku tak kira jantina berkejar berlari dengan bunga api di tangan. Yang agak-agak nak masuk sekolah menengah tu pulak ralit bakar mercun. Entah mana diorang dapat stok mercun. Ni mesti kerja Pak Ngah aku ni!

“Minta sikit mercunnya!” Sebenarnya tak payah minta izin pun tak apa sebab aku yang paling senior kat sini. Mana ada nak dara 21 tahun yang dok ralit nak main mercun malam-malam raya ni? Aku aje yang buang tebiat sikit!

Kotak empat segi yang sarat berisi mercun aku tarik. Menyelongkar isi mercun yang ada. Lama tak main mercun! Ler… Setakat mercun ‘pop’, mercun roket, bunga api lidi, ni aje ke yang ada! Tak mencabar langsung!

“Jangan ambil! Itu Lan punya la! Mak! Mak!” Roslan, anak Mak Usu aku yang sulung dah terjerit-jerit dan meraung-raung macam budak umur 8 tahun. Ops! Errr… Memang umur dia baru 8 tahun pun. Ani, Ghazi, Borhan dan Icah dah mengerumuni aku. Cuba menepis tanganku dari mengambil mercun-mercun milik mereka.

“Apa ni, kak! Ni kami punya la! Mak!” Ani pulak mengadu-domba pada emaknya merangkap Mak Teh aku. Aku buat selamba aje. Langsung tak mengendahkan laungan budak-budak bawah umur ni sebab aku tahu mak-mak diorang tengah busy kat dapur sana.

“Kak Fitri! Dah besar pun nak main mercun lagi ke? Terkurang hormon estrogen dah ke?”

Aku jelir lidah pada Ghazi. Baru nak ambil UPSR tahun depan, tapi mulut… Boleh tahan kalau bab-bab melaser orang!

Nenek dan Kak Rini yang tengah pasang langsir baru menjenguk ke luar.

“Fitriah! Sudah-sudah la tu! Kamu dah besar. Bagi la can kat budak-budak tu main pulak!” Jerit nenek.

“Entah, Fitri ni… Jakun semacam bila jumpa mercun. Lagak macam tak pernah jumpa aje!”

Aku muncungkan mulut. Eleh… Jeles la tu! Kak Rini memang gitu. Control ayu. Sebab rumah pakwe dia depan rumah nenek ni aje. Cuba sebatu jauhnya rumah Abang Mail tu, entah-entah lagi teruk dari budak 10 tahun perangainya. Malas nak mengabiskan air liur dengan bertekak, aku akhirnya setakat memerhatikan sepupu-sepupuku bermain bunga api. Serta-merta kenangan sewaktu kecil menjelma.

Masa aku kecil-kecil dulu, mana mampu nak beli mercun-mercun ke bunga api yang ada kat pasaran. Masa tu mak ayah, pakcik makcik semuanya tengah sengkek nak memenuhi keperluan makan pakai keluarga. Tapi kami sebagai budak-budak tak mati idea kreatif nak hidupkan suasana raya. Maka kami pun jadilah McGyver tak diiktiraf. Bukan takat bunga api, meriam buluh sekali aku bedil. Tak ada buluh, dalam batang paip aku sumbat kabait. Ha, kau! Sekali meletup, satu kampung dengar. Baru la terasa syoknya raya! Siap main perang meriam sapa paling kuat sekali. Geng aku memang juara bertahan sebab geng aku ada Rahim, anak cikgu Sains sekolah, ada Bibah, anak tokei kedai barang hardware merangkap supplier barang-barang, ada Naimah, anak salah sorang orang kuat JKKK kampung. Dan beberapa orang lagi yang memang expert bab-bab nak membuat orang-orang tua di kampung ni termelatah. Yang dah sound-trouble pun boleh mendengar serta-merta, tau!

Musuh ketat aku adalah Man Gemok, cucu ketua kampung dan kawan-kawannya yang poyo semacam. Kecik-kecik lagi dah tunjuk talent nak ikut teladan samseng Kampung Dusun. Mentang-mentang la badan dia besar, umur pun senior dari kami, kerjanya nak membuli kami aje. Cakap dia aje yang betulnya. Menyampah aku!

Bahu terasa ditepuk kuat.

“Woi, orang bandar!” Tegur orang yang menepuk. Bebuih lamunan aku pecah pada saat itu.

Aku paling ke belakang.

“Woi, Naimah! Kau rupanya! Nasib tak terkencing aku dek terkejut. Babun betul!” Balasku, bergurau.

Tawa Naimah mengilai. Naimah memang terkenal dengan tawanya. Orang kampung panggil Naimah Ngilai. Hahaha… Kelakarkan nick name Naimah kat kampung! Tapi jangan buat main, sekali kalau Naimah termengilai waktu malam, nak-nak lagi malam Jumaat, kok confuse dengan kak ponti original…

“Apahal kau datang ni? Raya besok la!”

“Mak aku suruh hantar ni!”

“Apa tu?”

“Rendang!”

“Terima kasih!”

Aku gamit Ghazi, suruh dia bawa tupperware kuning Naimah ke dapur. Aku malas nak tunjuk muka kat dapur lagi dah. Kemudian, aku dan Naimah beriring ke tangga rumah. Melabuh punggung di situ.

“Lama kau tak balik kampung...” Naimah memulakan bicara.

“Lama apanya pulak? Kan tiap-tiap tahun aku balik sini. Ikut la berapa hari Naib Canselor (NC) aku bagi cuti. Kau tu aje tak lekat kat kampung time raya. Rata berjalan sana-sini!”

“Dah nama kata raya, kan! Raya sakan la!” Seloroh Naimah. Mengilai lagi dia.

Kami membisu. Sekadar membuang pandang ke halaman rumah yang bingit dengan jeritan kanak-kanak.

“Tengok budak-budak ni main bunga api, teringat pulak zaman kita kecik-kecik dulu...” Ujarku.

“Yelah... Zaman kita dulu mana main bunga api ni. Kita buat meriam buluh. Baru la power bunyinya! Kau la ahli kimia tak bertauliahnya! Tak cukup buluh, batang paip pun kau jadikan meriam!”

Aku tersengih. Kebetulan aku ada ramai pakcik yang berjiwa muda masa tu. Sempat aku belajar dari mereka cara-cara nak buat meriam. Chop-chop! Aku belajar sekali tau cara-cara nak buat dan main meriam dengan selamat. Alhamdulillah aku dan kawan-kawan aku semuanya masih lengkap anggota badan...

“Tapi aku bengang betul. Ada satu kali tu, entah sapa la melaunnya yang sorok buluh dan barang nak buat meriam...” Kembang-kuncup hidung aku menahan rasa bengang dalam hati. Yelah, orang tengah semangat nak lawan meriam sapa paling kuat dengan Man Gemok, tup-tup semua barang-barang kelengkapan ghaib. Esoknya baru aku jumpa kat dalam semak berdekatan bangsal.

“Aidil la tu! Sapa lagi. Dia kan pengecut sikit.”

Mendengar nama tu, aku jadi blur kejap. Aidil?

“Alaa... Tak kan tak ingat? Aidil... Anak Mak Nab... Rumah dekat dengan balai raya... Aidil... Kecik-kecik, mata bulat, kenang tebal, semput... Mustahil tak ingat!”

Imej kabur seorang budak lelaki bertubuh kecil memegang pam inhaler yang tak pernah berani nak melawan pandangan mataku, menjelma. Budak lelaki yang Alim bawa masuk ke dalam kumpulan kami gara-gara tiada orang nak berkawan dengannya. Mohd Aidil Redzuan...

“Ingat?”

“Ingat! Mana boleh lupa budak lembik tu! Nama aje budak kumpulan kita, tapi selalu lawan cakap aku! Apa aku buat semua tak jadi gara-gara dia!” Marahku. Sebagai ketua kumpulan tak dilantik, semua kataku diterima pakai dek semua anggota kumpulan memandangkan kepala otak aku ni penuh dengan rancangan-rancangan jahat yang menceriakan zaman kanak-kanak kami. Tapi si Aidil tu, secara sengaja atau tidak, selalu merosakkan rancangan aku.

Seperti baru teringat akan sesuatu, Naimah ketawa dengan tak semena-mena.

“Aku ingat lagi... Masa kita curi rambutan kat dusun Pak Jamil...” Kata Naimah.

“Kantoi kat Pak Jamil sebab Aidil yang bijak pandai tu pinjam tangga dari Pak Jamil! Siap bagitau lagi kita nak mencuri rambutan orang tua tu. Otak udang betul budak tu!” Sambungku dalam nada marah.

Kenangan di dusun Pak Jamil terimbas di layar ingatan.

“Woi, Fitri! Turunkan la rambutan yang kat atas tu!” Arah Aidil.

“Yang mana?” Soalku berang dari atas pokok. Sibuk aje! Aku dah sukarela nak panjat ni pun kira bagus. Lagi nak bising-bising. Kutip aje la yang aku dah turunkan tu, gerutuku dalam hati.

“Yang kat atas tu. Cuba kau panjat dahan yang tinggi sikit!” Arahnya lagi. Naimah, Alim, Poji, Bibah dan Rahim sibuk mengutip rambutan atas tanah. Dalam mulut masing-masing tak lepas-lepas mengunyah isi rambutan.

Aku aje yang cekap, bersih, amanah ni aje yang masih tetap bertengkek atas pokok. Mengikut arahan Aidil, aku gagahkan kaki memanjat ke dahan yang lebih tinggi. Memang lumayan hasil dapatannya.

“Woi! Aku nak turunkan rambutan ni. Jaga kepala!” Jeritan aku tak bersambut. Suara kawan-kawanku di bawah pokok tak kedengaran lagi. Senyap dan sunyi.

“Hoi, budak! Turun! Turun!” Jeritan dan kelibat Pak Jamil membuatkan aku yang berada di atas pokok jadi tak tentu arah. Aku jenguk ke bawah. Mencari kawan-kawan aku. Hilang…? Mata meliar mencari tangga yang tadinya tersandar di batang pokok. Hilang jugak? Makkk...! Macam mana aku nak turun ni?!

“Turun! Karang kalau jatuh sapa nak jawab?” Arah Pak Jamil. Dengan muka tak malu, aku minta Pak Jamil tolong angkatkan tangga yang dah jatuh ke tanah.

“Ya Allah! Anak dara Hamid rupanya. Kalau ayah kamu tahu, teruk kamu dipukulnya...” Pak Jamil dah bercekak pinggang tatkala kakiku jejak ke bumi. Aku tunduk. Telan aje semua katanya. Hampeh punya kawan! Korang tinggalkan aku!

“Nah! Lain kali kalau nak, minta… Nanti kalau jatuh, kan ke susah... Minggu depan dah nak raya! Eh, kamu tak puasa ke?” Dapat aje seplastik rambutan, terus aku lari macam tak cukup tanah meninggalkan dusun Pak Jamil. Tapi bukan terus balik rumah. Rumah Aidil aku buru. Bertelur kepalanya aku ketuk gara-gara geram, lepas tu baru la aku dapat pulang ke rumah dengan senang hati.

“Kau ketuk kepala si Aidil tu? Mak Nab tak marah ke?” Soal Naimah penuh takjub.

“Kau ingat aku bodoh sangat ke? Tak akan la aku nak ketuk kepala si Aidil tu depan mak dia!”

Naimah gelak lagi. kali ni, aku ikut sama tergelak. Mengingatkan wajah nak menangis si Aidil, memang terasa lucu. Nama aje lelaki, tapi hati dia lembut macam budak perempuan. Maklumlah, anak tunggal lelaki.

“Ingat tak yang kau ketuk kepala dia dengan rehal kayu. Lepas tu kamu sepak pulak anu dia...”

“Ingat sangat-sangat! Tu la, gatal sangat nak main hantu-hantu dengan kita!”

Peristiwa Aidil menakut-nakutkan aku sewaktu balik dari mengaji di surau menjelma, mengganti kenangan di dusun tadi. Terbayang-bayang wajah Aidil yang menyorok dalam semak dengan memakai telekung putih milik ibunya. Niat di hatinya nak menakut-nakutkan aku. Konon-konon dia hantu la. Untuk lima minit yang pertama, aku dan kawan-kawan aku takut la jugak kan masa dia mengilai tu... Nampak pulak kain telekung melambai-lambai di hadapan kami. Habis semua surah yang kami hafal kami baca. Tapi sebaik sahaja aku cam suara ‘hantu’ tersebut, nampak pulak muka Aidil di celah-celah semak, aku tak tunggu lama. Capai rehal dan terus aje aku ketuk kepala dia. Tak cukup dengan tu, aku sepak pulak kemaluannya. Berani sangat cari nahas dengan aku...

Tapi semua tu dah jadi kenangan. Bila ingat-ingat balik apa yang jadi masa kecil dulu, aku jadi rindu pulak dengan si Aidil. Macam mana la rupa Aidil sekarang? Mesti dia dah besar. Harap-harap tak sekeping macam papan lapis lagi la...

“Cakap fasal Aidil ni, buat aku teringin pulak nak jumpa dengan dia. Mana dia sekarang, ek? Dah kerja? Ke belajar lagi? Dia cute macam dulu lagi tak?” Bertalu-talu aku bertanya pada Naimah.

Lepas kejadian dia menakut-nakutkan aku masa balik mengaji tu, aku terus tak jumpa dengan dia lagi sampai sekarang. Dengarnya teruk dia kena marah dengan ayahnya. Terus tak bagi dia main dengan kita orang lagi. Tak lama kemudian keluarga dia pindah ke kampung lain sebab mereka ada tanah di sana. Lepas habis UPSR, aku masuk asrama. Lepas tu masuk universiti pulak. Mak ayah pun berhijrah ke bandar. Sekali-sekala aje dapat balik ke kampung jenguk nenek di rumah pusakanya.

Naimah besarkan mata. Seolah-olah terkejut mendengar kataku. Dipandangnya aku tepat-tepat.

“Ya Allah, Fit... Kau tak tahu ke? Aku ingat kau dah tahu tentang Aidil...” Jawapan dari Naimah membuatkan jantungku gedebak-gedebuk di dalam dada.

“Tahu fasal apa? Apa dah jadi pada Aidil?” Pantas aku menyoal.

Tiba-tiba, mata Naimah jadi redup. Air mata bergenang di tubir mata.

“Lepas kau pukul kepala Aidil dengan rehal tu, Aidil kena belasah dengan kayu pulak dengan ayahnya. Teruk dia dipukul. Tiga hari tiga malam dia demam panas. Sejak hari tu, Aidil dah tak macam Aidil yang kita kenal lagi dah. Mungkin sebab dia dipukul teruk di kepala... Entah, aku pun tak pasti apa yang jadi padanya. Tak lama lepas tu, mereka sekeluarga pindah ke kampung sebelah. Kata orang, mak ayah Aidil malu dengan orang kampung... Yelah, dengan keadaan diri Aidil tu kan...”

Aku terdiam. Terkejut dengan cerita yang baru kudengar. Lidah kelu seribu bahasa. Kepala ligat menentukan tahap kebolehpercayaan cerita yang dibawa dek mulut Naimah.

“Naimah, kau tipu aje, kan?”

“Tak kan la aku nak tipu benda-benda macam ni. Memang betul kepala Aidil dah tak berapa betul lagi. Tak normal macam orang lain lagi dah! Tu fasal la mak ayah dia bawa dia keluar dari kampung ni!”

Jawapan Naimah terasa seperti batu besar yang menghempap tubuhku masuk ke dalam tanah. Aku tutup mulut dengan kedua-dua belah tapak tangan. Tak mungkin...! Tak kan la kot? Rasa bersalah mula terbeban di bahu.

Aku yang ketuk Aidil dengan rehal Al-Quran. Aku juga yang bagitau ayah Aidil tentang perbuatan nakal anaknya. Ya Allah, apa aku dah buat? Kejamnya aku! Menghancurkan hidup dan masa depan seorang lelaki bernama Aidil. Kejamnya aku! Memikirkan keadaan Aidil yang tak normal seperti orang lain, air mata tak semena-mena merembes keluar.

“Fit... Fitriah... Kau menangis ke?”

Menyedari titisan jernih di pipiku adalah air mata, Naimah pantas memeluk tubuhku erat-erat.

“Aku berdosa pada Aidil, Naimah...” Ngongoiku.

“Syhhh...! Bukan salah kau. Itu takdir Allah untuknya...!”

Tangisku berlagu lagi.

@~~@~~@~~@~~

Menjelang tengah malam, suasana di rumah nenek mula senyap-sunyi. Saudara-maraku masing-masing dah mencari katil dan bantal. Ingin meluruskan tulang-temulang serta sendi-sendi setelah seharian bekerja. Sepupu-sepupuku dah lama berdengkur. Melayari mimpi-mimpi indah. Hanya aku yang masih berjaga. Terkebil-kebil memandang ke siling rumah. Bunyi cengkerik dan dingin malam mudah benar membawa aku masuk ke alam kenangan.

Bendang yang luasnya sejauh saujana mata memandang, aku pandang tanpa jemu. Musim menuai dah hampir tamat. Cuma ada dua tiga orang petani yang masih menghabiskan kerja-kerja menuai di relung-relung sawah mereka. Kawan-kawanku masih terkial-kial meniti batas sawah padi aku perhatikan sekilas. Sejenak kemudian, aku mendongak memandang ke langit. Matahari dah condong ke barat. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Menyamankan…

“Kita nak buat apa datang sini, Fit?” Soal Bibah yang bertocang dua.

“Main layang-layang la!” Ringkas jawapanku. Namun jawapanku itu membuatkan muncung Naimah dan Poji panjang sedepa.

“Kata nak main masak-masak!” Rungut Poji.

“Ye la… Kata nak main masak-masak! Rahim dengan Alim dah standby kat tempat biasa.” Naimah pula meluahkan rasa hati. Aku terbayangkan wajah Rahim dan Alim, geng lelaki kumpulan kami yang akan bawa ‘watak’ si ayah dan tukang kebun dalam permainan ‘masak-masak’ kami.

“Ala… Kita main kejap aje, ek! Aku nak test layang-layang yang ayah aku baru beli ni. Lepas ni kita main masak-masak. Boleh?” Pujukku.

Poji dan Naimah berwajah ceria semula.

“Mana layang-layang aku tadi?” Soalku sambil memandang kawanku yang bertiga itu. Masing-masing angkat bahu.

“Kat sini la!” Aidil muncul dari belakang Poji dan Bibah bersama layang-layangku.

Aiseh… Macam mana boleh lupa? Kan aku yang suruh dia bawa tadi… Aidil memasukkan pam inhaler di tangan kanan ke mulut. Sekali… Dua kali… Dan nafas Aidil kembali stabil. Tidak tersekat-sekat lagi. Orang suruh duduk rumah tak nak! Nak juga ke hulu ke hilir dengan kami yang sihat ni.

Layang-layang di tangan Aidil aku ambil. Berpusing-pusing aku di situ. Cuba menentukan arah datangnya angin bagi menaikkan layang-layang.

“Woi! Apa hal korang kacau tempat main kami ni?” Suara Man Gemok membantutkan usahaku. Dari mana pulak datangnya si Man Gemok dan konco-konconya ni?

“Sejak bila pulak tempat ni jadi tempat kau? Aku tak nampak nama kau kat mana-mana pun?”

“Eleh! Buat lawak kerek pulak minah ni! Ni kan memang tempat main kita orang! Korang punya port kat sana!” Jari telunjuk gemuk Man Gemok menunding ke satu arah. Mentang-mentang la cucu ketua kampung, dia fikir aku takut dengan dia? Sesuka hati dia yang gemuk tu aje nak bahagi-bahagikan kawasan untuk kami bermain. Dol, Sarip dan Jongang dah mengepal penumbuk di belakang Man Gemok. Tak takut pun…

“First come first serve la…!” Aku ulang kata-kata yang selalu Kak Long aku ucapkan bila berebut remote controller.

“Hah? Apa tu?” Lupa pulak! Si Man Gemok ni bebal sikit!

“Aku datang dulu, so tempat ni aku punya petang ni. So, korang boleh berambus!” Kataku.

Aidil yang entah bila tiba di sebelahku, menarik lenganku.

“Fitri, kita main tempat lain aje la! Tak payah la gaduh-gaduh!” Bisiknya.

Aku rentap lenganku dari pegangannya. Aidil ni nama aje tua setahun dari aku tapi fizikalnya kecil berbanding kami semua. ‘Hati’nya pun kecil juga agaknya. Memanjang aje takutnya. Naimah, Bibah dan Poji dah cekak pinggang. Menjengil mata masing-masing tengok Man Gemok dan gengnya.

“Berani betul minah kecik ni! Seligi sekali karang…” Man Gemok melangkah ke arahku dan berdiri betul-betul di hadapanku. Terpaksa aku mendongak sedikit untuk memandang wajah Man Gemok memandangkan tubuh Man Gemok tu memang la besar berbanding aku yang bersaiz normal budak perempuan berusia 10 tahun.

“Bos! Budak perempuan tu, bos!” Tegur Jongang.

“Macam ni la... Kita main selut-ball. Semua orang boleh lempar selut tapi target hanya kau dan aku. Kau atau aku; sapa kena selut dulu, dia kira kalah dan kena pergi dari sini...”

“Aku setuju!” Pantas aku menjawab. Man Gemok ni ingat aku tak berani sahut cabarannya agaknya. Yelah, mana ada budak perempuan suka bergelumang dengan selut. Tapi aku bukan budak perempuan biasa. Aku luar biasa punya perempuan!

Aku toleh belakang. Naimah naikkan ibu jari. Tanda okey. Semua dah bersedia mengambil posisi masing-masing. Kini mereka di hadapanku. Membuat benteng agar aku tidak dihinggapi selut yang dilemparkan. Aku toleh ke arah Aidil.

“Kau tak payah join! Pergi balik!” Arahku. Muka Aidil masam. Membantah la tu! Awak tu semput. Mana boleh main benda-benda kotor macam ni.

Tangan masing-masing dah menggenggam selut sawah.

“Serang!!!!”

Dan perang selut pun bermula.

“Yaiks!” Badan Naimah dan Poji dah bersalut selut. Tangan mereka sibuk menggaru badan dan muka yang dah naik gatal dek lumpur yang sudah kering di badan. Dua-dua dah tak boleh bagi tumpuan pada serangan dari pihak lawan lagi. Bibah pula memang tak boleh diharap bab-bab tanah, selut semua ni; penggeli.

“Aku akan jaga kau!”

Aidil? Tubuh kecil itu mengambil-alih posisi Poji dan Naimah.

“Aku kata balik! Kau tu sakit. Karang apa-apa jadi kat kau, apa aku nak jawab dengan Mak Nab?”

“Apa jadi pun tak apa. Janji kau dapat apa yang kau nak!”

“Apa aku nak tak penting. Kau lagi penting!”

Ketika itu juga aku nampak Mak Gemok dan kawan-kawannya mengepal selut-ball paling besar sekali yang pernah aku tengok.

“Aidil...!”

Dan perbualan antara aku dan Naimah beberapa jam lalu mengingatkan sesuatu yang dah luput dari ingatanku.

“Hahaha...!!!” Ketawa aku dan Naimah berderai mengingatkan cerita kanak-kanak kami.

“Ketawa, ketawa jugak! Kau ingat tak kau terpeluk anak Mak Nab tu?”

Tawaku mati mendengar kata Naimah. Peluk? Ni fakta ke auta ni? Apasal aku tak ingat apapun?

“Peluk sikit-sikit okey lagi... Ni peluk sungguh-sungguh! Terbelalak mata kita orang tengok kau menangis meratap si Aidil tu. Walhal si Aidil tu pengsan aje. Terkejut bila kau menjerit kat telinga dia!”

“Eh, sungguh ke aku peluk dia?” Soalku sambil garu kulit kepala.

“Sungguh la! Ingat aku kaki auta ke? Tapi aku respect la kat kau. Sanggup kalah dengan Man Gemok, musuh tradisi kau tu demi menyelamatkan Aidil dari kena selut... Macam dalam filem pulak! Bezanya dalam kes kau ni, heroin yang selamatkan hero!”

Naimah sambung gelakkan aku yang blur se‘blur-blur’nya ketika ini.

Sungguh aku tak berapa ingat bahagian last perang selut-ball aku dengan Man Gemok tu...!


Aku raup wajah perlahan-lahan. Mengingati kata-kata Naimah mengenai keadaan Aidil sebentar tadi membuatkan aku rasa bersalah. Rasa sedih.

“Tak kan la aku nak tipu benda-benda macam ni. Memang betul kepala Aidil dah tak berapa betul lagi. Tak normal macam orang lain lagi dah! Tu fasal la mak ayah dia bawa dia keluar dari kampung ni!”

Ya Allah, apa yang aku dah lakukan? Memang la Aidil selalu buat aku marah, geram, bengang, sedih tapi dia tak sepatutnya menerima dugaan sebegini hebat. Dia berhak membesar dan hidup normal seperti remaja seusia dengannyaa tapi aku... Aku dah rosakkan masa depannya! Aku buli dia, aku pukul dia, aku sengaja menokok-tambah perbuatan nakal Aidil di hadapan ibu bapanya sehingga dia dipukul teruk oleh ayahnya. Aku kejam! Aku kejam! Ya Allah, berdosanya aku...

@~~@~~@~~@~~

Rasa bersalah menyebabkan aku langsung tidak dapat melelapkan mata walau sepicing pun malam tadi. Kesannya, aku langsung tak dapat memberi tumpuan terhadap kerja-kerja rutinku di pagi Syawalku.

“Fitriah, nenek minta rendang bukan kuah kacang!”

Aku letak kembali piring rendang dan pantas menghulurkan mangkuk kuah kacang kepada nenek. Mak Teh datang menghampiri meja makan.

“Fitriah, kenapa kamu isi kuih yang sama dalam setiap balang kuih? Kamu berangan, ya?” Tanyanya. Aku hanya mampu tersengih. Mengakui kesilapan diri.

“Kak Fitriah ni... Baju raya dah cantik tapi tanda hitam bawah mata tu buat akak nampak macam janda anak 5!” Aku ketap gigi mendengar komen Ghazi.

Aku tahu aku tak boleh membawa rasa bersalah ini untuk seumur hidupku. Tak sampai sehari aku mengetahui keadaan Aidil, hidup aku dah jadi tunggang-langgang. Justeru itu, aku sudah bersedia untuk menghadapi akibat dari perbuatanku. Jika perlu, aku juga sanggup bertanggungjawab. Setelah meminta izin, aku bergegas menapak ke rumah Naimah.

“Naimah, aku nak kau bawa aku ke rumah Aidil!”

@~~@~~@~~@~~

Aku turun ke tanah. Menghilangkan kebosanan yang menjengah selepas hampir sepuluh minit bertenggek di atas motor tanpa penunggangnya. Naimah masih bergayut dengan seseorang di telefon. Entah dengan siapa, aku malas nak bertanya. Aku lebih ‘berminat’ untuk berfikir bagaimana nak menghadapi Aidil dan keluarganya sebentar nanti. Takut? Rasa sudah pasti ada kerana aku bersalah terhadap mereka.

Matahari semakin meninggi. Meninggalkan haba di tubuhku walaupun aku berdiri di bawah sepohon pokok yang rendang.

“Kau tak takut ke, Fit? Yelah, nak menyerah macam tu aje kat Aidil dan keluarga dia...” Soal Poji yang dah turut serta berdiri di bawah pokok.

“Yelah Fit, buatnya mak dia nak saman kau ke, nak suruh kau bayar ganti rugi ke... Kau tak takut ke? Kau tak kisah?” Bibah pulak menyoal.

“Aku tak kisah! Kalau mak dia nak suruh aku jaga dia pun, aku sanggup! Yang penting, aku nak jumpa dia dan minta maaf dari dia. Aku dah banyak buat silap dengan dia... Kau pun tahu, kan...” Kataku. Aku dah nekad. Aku tak mahu jadi orang yang lari bersembunyi selepas melakukan kesalahan.

Apa-apapun, aku harus melihat ‘bukti’ terlebih dahulu. Aku tak mahu terus hidup dalam rasa bersalah berdasarkan cakap-cakap kosong si Naimah sahaja.

Sesudah berbual, Naimah menghampiri kami. “Jom!”

Motor Naimah dan Poji berhenti di tengah laman rumah kayu warna biru muda bersaiz sederhana. Cantik dan tenang aje rumah tu. Aku agak itulah rumah Aidil. Entah kenapa, perut aku mula rasa tak selesa. Macam ada rama-rama aje dalam perut aku ni... Peluh serta-merta memercik di dahi.

“Assalammualaikum!” Salam Naimah bersambut dari dalam. Seorang wanita lewat 50an keluar dari pintu depan. Walaupun wajahnya sudah mula dimamah usia, namun aku masih mampu mengecamnya. Mak Nab...

“Masuklah... Masuk!” Jemput Mak Nab setelah kami bergilir-gilir menyalaminya. Aku dipersilakan duduk di sofa berdekatan dengan televisyen. Belum sempat aku membuka bicara, Mak Nab berlalu ke dapur; ingin membancuh air katanya.

Aku mengekori Poji dan yang lain-lain ke sofa. Setelah menghampiri set sofa hitam itu, barulah aku perasan ada seorang lelaki seusia kami duduk di situ. Lengkap berbaju Melayu. Matanya tertumpu pada rancangan kartun di televisyen. Namun entah mengapa aku rasa fikirannya bukan di situ. Dia langsung tak mengendahkan kehadiran kami di situ. Dia tak perasan atau apa? Dan cara dia duduk, cara dia pandang, cara dia gigit jari... Yaks! Siap main air liur lagi... Harap badan aje besar, tough, tapi perangai macam budak-budak tak cukup akal!

Bibah menyiku aku. Pandanganku beralih padanya.

“Itulah Aidil...”

Aidil?

“Aku dah katakan, dia dah tak macam dulu... Badan aje besar, tapi otaknya dah...” Naimah membiarkan aku menyambung sendiri kata-katanya.

“Kesian betul dengan Aidil ni... Kau tahu la kan, demam panas memang bahaya... Kau tengok la apa jadi pada kawan kita ni! Nak buat apa pun kena ada orang tolong...” Poji kesat hujung mata dengan tisu.

Melihat keadaan Aidil yang daif, hatiku bagai mahu pecah. Rasa sedih dan kasihan membuak-buak tibanya. Air mataku automatik berkumpul di birai mata. Kalau masa kecil dulu, aku cukup benci menangis. Tapi sekarang aku dah tak kisah. Kalau orang kata aku ‘budak leleh’ pun aku dah tak peduli.

“Aidil... Saya minta maaf... Saya... Saya tak ada niat nak buat awak jadi macam ni!” Tersekat-sekat aku mengucapkan kata-kata itu. Aidil langsung tak memandangku. Matanya terus-menerus melekat di skrin televisyen. Sesekali bibirnya senget ke tepi. Seolah-olah sedang tersenyum. Remuk hatiku melihat keadaannya.

Aku melutut di hadapan Aidil. Mendongak. Memandangnya dari situ. Di situ, empangan air mataku pecah.

“Aidil, saya minta maaf... Disebabkan saya, awak jadi macam ni! Kalau saya tahu akibat dari perbuatan saya, tentu saya tak pukul awak masa tu!” Ngongoiku.

Wajah kutundukkan. Sudah tidak mampu melihat wajah Aidil yang ‘kosong’ tanpa perasaan itu lagi.

“Kalau keluarga awak izinkan, saya nak jaga awak... Saya nak bantu keluarga awak untuk menjaga kebajikan awak. Saya janji saya akan jaga awak selagi saya bernafas. Itu janji saya!” Janjiku.

Suasana ruang tamu sunyi. Masing-masing tenggelam dalam perasaan sendiri.

“Nur Fitriah, saya selalu tertanya-tanya siapa saya di mata awak? Bernilaikah saya di mata awak? Berkali-kali awak menyatakan yang awak membenci saya. Acapkali juga awak membuli, memukul saya... Tapi awak tak pernah gagal ‘menyelamatkan’ saya dari apa jua bahaya yang datang...” Satu suara asing menampar cuping telingaku.

Aku angkat wajah yang basah dek air mata. Terpegun melihat Aidil yang tersenyum manis dan kelihatan santai di kerusinya...

“Cara awak melayani saya tak seiring dengan percakapan awak. Dan hal itu membuatkan saya tertanya-tanya tentang isi hati awak yang sebenarnya...”

Bulat mata hitamku mendengar dia berkata-kata. Dan gaya dia... Eh... Kata dia ni dah tak berapa nak ‘center’ otak... Nak buat apa pun kena ada orang bantu. Pendek kata, si Aidil ni tak sempurnalah otak dan fungsi badannya lepas kena serang demam panas tu. Tapi... Yang ni...

Aku kalih pandang kawan-kawan aku. Berirama ketawa Naimah, Poji dan Bibah.

“Naimah! Kau cakap si Aidil ni tak normal! Kononnya dah terencat akal...”

“Memang dia tak normal pun! Cuba kau fikir, mana ada lelaki yang suka perempuan ganas tahap Hitler macam kau ni. Dialah satu-satunya lelaki yang sanggup berdepan dengan kekejaman kau yang sadis tu! Dialah satu-satunya lelaki yang tak pernah serik dibuli oleh kau!”

Hah? Apa yang Naimah cakap ni? Satu pun tak boleh masuk dalam kepala aku lagi dah. Mungkin sebab dah terlampau geram tengok muka Aidil yang dah tipu aku hidup-hidup ni! Kawan-kawan baik aku pun tak berpaling tadah ni!

“Sori, Fit... Kami sengaja pakat nak kenakan kau. Yelah, nak gurau-gurau dengan kau untuk menceriakan suasana hari raya ni!” Seloroh Poji.

Tak kelakar, okey! Gurau? Apa tahap gurauan yang diorang ‘cipta’ ni? Benda-benda macam ni pun diorang nak buat bahan gurauan ke?

Mataku tajam memandang Bibah yang dari tadi tak bersuara. Gelak Bibah berhenti bila tengok mata aku dah macam kucing nak terkam ikan.

“Aa... Aku tak campur! Aku join aje!” Kata Bibah. 2 x 5 jugak!

Dadaku terasa seperti mahu pecah.

“Kau… Naimah…! Poji! Bibah! Tak sangka korang semua ni pakat nak kenakan aku!” Tempikku kuat. Air mata di pipi aku sapu kasar dengan belakang tapak tangan.

“Erk...! Sabar, Fitriah... Sabar! Kami gurau aje. Tapi tadi awak ada kata awak nak jaga saya, kan?” Kata Aidil takut-takut.

“Awak bukan cacat pun!”

“Jadi awak lagi suka saya cacat? Awak lebih suka tengok saya terencat akal?”

Aku terdiam. Berfikir sejenak.

Actually... Aku lagi suka dia macam ni! Sihat. Sempurna fizikal dan mental. Macho. Dan nampak nakal-nakal sikit. Bila tengok betul-betul... Hensem juga mamat ni, ek! Aik, apasal jantung aku ni semacam aje rasanya? Hyper-aktif semacam aje bila pandang mamat ni lama-lama!

Eh... Yang aku ‘hanyut’ dalam aura ‘emo’ cintan-cintun ni apahal? Bukan aku sepatutnya marah ke?

“Awak ni memang nak kena dengan saya! Kalau saya dapat awak… Nanti awak tahu la langit tu tinggi ke rendah!” Aku berdiri. Lurus-lurus jari telunjuk aku tundingkan ke wajah Aidil.

Lengan baju kurung dah pun aku lipat ke siku. Melihat keadaanku yang macam dah lembu naik minyak, Aidil melompat turun dari kerusinya. Kakiku mula mengejar Aidil. Aidil buka langkah. Lari dan lari… Mengelilingi meja berbucu empat yang dipenuhi balang kuih raya. Mengelakkan diri dari menjadi mangsa buku limaku. Dari satu bucu meja ke satu bucu meja yang lain aku mengejarnya.

Kuat juga mamat semput ni lari! Masa kecik dulu lembik tak bermaya aje aku tengok!

“Naimah! Poji! Bibah! Tolong la aku tangkap mamat poyo ni!”

Naimah, Poji dan Bibah buat tak dengar. Macam tak nampak aje tingkah-laku aku dan Aidil yang dah macam kucing Sylvester dengan Tweety Bird. Seolah-olah aktiviti kejar-mengejar ni memang adegan biasa dilihat di pagi raya. Mereka lebih teruja menonton program-program raya di televisyen dan berbual sesama sendiri dari melihat keadaan kami di ruang kanan rumah ini. Memang ‘baek’ punya pakatan dia dah buat dengan si Aidil ni!

“Okey! Okey! Chop-chop-chop!” Aidil angkat tangan tinggi seraya berhenti berlari. Serta-merta aku turut berhenti berlari. Mengekalkan kedudukan kami yang berdiri bertentangan. Meja kayu di rumah Makcik Nab jadi pemisah kami. Setiap jemari di kedua-dua belah tangannya ditemukan antara satu sama lain. Gaya persis kanak-kanak yang ‘minta rehat’ dari meneruskan permainan kejar-kejar.

“Apahal chop-chop pulak ni?” Soalku kasar. Air mata dah kering kat pipi. Hampeh betul mamat ni! Tak fasal-fasal aku menangis pagi-pagi raya ni!

“Sebelum awak buat apa-apa pada saya, bagi saya cakap dulu apa yang saya nak cakap. Lepas saya habis cakap, terpulang la pada awak nak buat apapun kat saya!”

“Betul ni?” Dugaku.

“Betul!”

“Saya boleh buat apa sahaja pada awak?”

“Untuk tebus kesalahan saya yang menipu awak, saya sanggup terima apa sahaja hukumannya!” Yakin Aidil menuturkannya. Aku tersenyum jahat. Ligat akalku memikirkan tindakan paling sadis yang wajar dikenakan ke atasnya.

“Okey! Saya bagi awak lima minit dari SEKARANG!”

“Okey! Mula-mula saya minta maaf sebab berpakat dengan Naimah dan yang lain-lain untuk kenakan awak!” Macam tak cukup nafas dia bercakap. Aku harap ada inhaler dalam kocek baju Melayunya itu. Kalau tak, tak fasal-fasal kena berkejar ke hospital kejap lagi!

“Saya bukan sengaja pun nak tipu awak. Saya cuma nak pastikan sesuatu.”

Sesuatu? Sesuatu yang macam mana atau macam apa tu?

“Yelah, selama ni awak asyik buli saya aje. Bila asyik kena buli aje, saya cuba kenakan awak pulak. Itupun teruk saya kena dengan awak!”

Aku teringat peristiwa dia cuba menakut-nakutkan kami sewaktu bulan puasa sepuluh tahun lepas. Yang mana dia cuba menakutkan aku dan kawan-kawanku tapi akhirnya dia sendiri yang teruk dipukul olehku.

Aku kerling jam di pergelangan tangan.

“Tiga minit lagi!” Aku mengingatkan.

“Okey, okey! Saya ada ada beberapa soalan nak tanya. Awak kena jawab dengan jujur, okey!”

“Tengok la! Kalau saya minat nak jawab, saya jawab!” Nak pukul orang pun kena jawab soalan dulu ke?

“Betul ke saya selalu buat awak marah?” Soalan Aidil yang pertama.

“Betul!”

“Betul ke awak menangis bila dapat tahu saya ‘cacat’ yang kononnya gara-gara perbuatan awak?”

“Betul!”

“Betul ke awak cintakan saya?!”

“Betul!!” Laju aje lidah aku menjawab. Bila aku fikir-fikir balik soalannya dan jawapanku, barulah elemen-elemen malu dalam tubuhku berfungsi. Saat itu, aku harap sangat aku adalah Invisible Girl.

Aidil tergamam. Aku pulak terkedu! Ooo… Ooo… Macam mana boleh ‘termengaku’ rahsia hati ni. Muka dah terasa panas.

“Haa!!!! Aku dah kata dah dia suka kat kau la, Aidil!” Jerit Naimah yang rupa-rupanya pasang telinga dari tadi. Poji dan Bibah bersorak gembira.

Aku gigit hujung bibir. Automatik pandangan mataku jatuh ke meja. Mencari dan mencari. Kot-kot ada dulang ke, pinggan ke, piring pun jadi la… Nak buat cover tutup muka. Malu siot!

“Sekarang saya tahu kenapa awak selalu marah, sedih, risau, bengang pada saya. Rupa-rupanya awak cintakan saya… Sekarang segala keraguan saya dah padam. Fitriah, saya dah lama jatuh cinta pada awak! Sejak awak ketuk kepala saya dengan rehal Al-Quran tu lagi. Sejak malam tu, saya asyik teringatkan awak aje. Dalam hati saya ni, hanya ada satu nama; nama awak! Sudi tak awak jadi isteri saya bila kita habis belajar nanti?”

Alamak… Aidil dah meluahkan perasaan hati la pulak… Siap melamar-in-advance lagi! Malunya… Semua kawan-kawan tengok. Mak dan kakak Aidil tertinjau-tinjau dari dapur! Diorang tengah tengok drama sebabak arahan si Aidil ni ke?

Aku tegakkan kaki yang tadinya dah longlai bila mendengar luahan hatinya. Muka aku masamkan. Padahal dalam hati dah pun berputik bunga-bunga cinta.

“Saya dah jawab semua soalan awak! Sekarang dah boleh pukul awak sampai setengah nyawa, kan? Boleh kita sambung main kejar-kejar?” Soalku menyindir. Walhal dalam hati... Nak cover malu aje!

“Aaa…! Kalau saya nak tarik balik ‘keizinan menghukum’ tadi, boleh tak?”

“Janji tetap janji!” Tuntutku.

Kami mengelilingi meja empat segi itu semula. Berasakan ruang untuk dirinya menyelamatkan diri dariku kecil, Aidil turun ke tanah. Aku tetap mengejarnya dari belakang dengan batang penyapu yang sempat aku sambar di tepi pintu tadi.

Hidup-hidup kau tipu aku, ya! Siap kau! Kalau aku dapat tangkap kau, aku cincang kau buat masak lemak cili api!

Tapi bila dah masuk 15 minit scene kejar-mengejar ni, aku mula rasa aura-aura cinta yang selama ini terpendam dalam diriku. Aku memang rindu dan cintakan Aidil selama ini. Tu fasal la aku tak pernah minat nak pandang mana-mana lelaki kat kampus. Fasal mamat nakal ni dah ‘kidnap’ hati aku sejak zaman kanak-kanak kami lagi. Licik, kan?

“Fitriah… Awak sungguh-sungguh ke nak pukul saya sampai setengah nyawa? Walaupun lepas awak dapat tahu yang saya cintakan awak?” Soal Aidil dalam mengahnya. Kami berhenti berlari seketika. Mengumpul oksigen yang semakin berkurangan dalam rongga.

Aku ukirkan senyuman mengejek. Kemudian, aku pamer pula muka serius. Dalam hati rasa nak ketawa aje tengok muka Aidil yang dah pucat.

“Awak jangan la buat muka macam tu… Saya takut la!” Ujar Aidil. Inhaler di tangan dipamkan ke mulut.

Aku buka langkah. Kembali mengejarnya mengelilingi pokok betik yang ada di halaman rumahnya pula.

Jangan risau… Aku tak akan buat dia cacat anggota. Paling teruk pun, aku kasi tulang tangan dia patah aje. Tak boleh buli teruk-teruk sangat, kan? After all, dia kan bakal suami aku!

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!

~ End of Aidil Fitri ~


*** Ingat nak wat perang snowball. Tp Malaysia mn ada salji. Perang selut-ball pun okey jugak what? Kan?!

*** Mula-mula ingat nak tulis cite ni pendek n ringkas aje tapi… korang tengok la hasilnya. Pjg jugak, kan? Skrg eury tau kenapa eury bermasalah nak tulis summary ms zmn sekolah dulu! Huhu… warna berbeza kat perenggan membawa erti dalam situasi yg berbeza. rasanya korang dah faham kan cara eury menulis. kdg2 mcm katak sket. suka lompat2 scene.huhu... Harap2 korang enjoy la cite ni wpun raya dh nk abis n cliche sket plotnya


*** Novel yg lain coming soon ek eury sambung...bz sket dgn ad+iz lately plus lappie and internet eury wat hal... sowi sgt2!!

Followers