Monday, September 29, 2008

Cinta Kau dan Aku 7

“Pak Mat tak jemput ke?” Amir menyamakan langkah agar kami seiringan. Beg yang aku galas terasa berat dua kali ganda dari biasa. Berat dengan buku. Selebihnya bahu aku berat dengan beban yang tak nampak dek mata kasar. Perjalanan ke rumah yang biasanya mengambil masa 15 minit, aku rasa macam 2 jam petang tu.

“Pak Mat ikut papa out-station.” Jawabku tanpa memandang mukanya. Sengaja aku wat langkah besar-besar. Biar sampai cepat rumah. Takut terjumpa sesiapa yang tak sepatutnya aku jumpa atau timbul plak gosip baru. Dalam hati aku berdoa agar tak bertemu dengan Azira pada saat ini. Saat Amir berada di sebelahku.

“Eh, yang awak jalan laju semacam macam nak masuk acara walkathon, apa ke hal? Macam tak suka je jalan dengan saya.”

“Bukan, saya takut gosip. Saya...” Nampaknya Tuhan tak makbulkan permintaan aku petang ni. Nun di seberang sana, kulihat Azira bersama-sama Humaira’ sedang menunggu bas. Bila aje Azira terpandangkan aku berjalan bersama Amir, mencuka mukanya. Humaira’ pandang aku dengan muka kesian dan membuat isyarat agar aku segera beredar. Aku terus angkat kaki.

“Amir, awak tau kan gosip kat sekolah kita sekarang ni. Saya dikatakan bercinta dengan awak dan mengkhianati kawan saya, Azira.”

“Oh, gosip tu! Biarlah. Nanti bila diorang dah letih mengata, redalah gosip tu. Tapi apa kena-mengena dengan Azira plak?”

“Azira tu minat dengan awak. Tak kan awak tak dapat agak bila saya selalu sampaikan salam dia pada awak?”

Mengeluh aku bila Amir mengelengkan kepala. Ni lah akibatnya kalo asyik berkawan dengan buku. Tak berkembang otak. Apa jadi kat sekeliling pun tak sedar. Lagi laju langkah aku buka kerana kegeraman. Geram dengan Amir yang tidak peka terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Amir masih setia mengejar langkahku. Aku hentikan langkah lantas menoleh ke arahnya.

“Tolonglah terangkan kat Azira tu yang kita ni tak ada apa-apa. Bagitau kat semua orang yang awak tak suka pun saya ni! Tension lah saya. Semua orang pandang saya semacam, tanya macam-macam fasal gosip tu. Yang saya paling tak tahan Azira kata saya khianati persahabatan kami!”

“Rasanya saya tak perlu buat macam tu. Apa yang mereka cakap, tak ada satu pun yang salah. Semuanya betul.”

“Apa maksud awak? Apa yang betul?”

“Anyss Sophyllya... Saya suka pada awak. Dari pandangan pertama lagi saya dah suka pada awak. Saya cuba dekati awak. Awak ‘ratu’ sekolah sedangkan saya nothing. Maka saya sengaja mengenakan awak, buat awak marah, benci, sedih untuk mendapat perhatian dari awak. Saya sukakan awak, bukan Azira, bukan Hidayah atau sesiapapun. Don’t you have any clue of it?”

Aku tergamam seketika. Tiada sebarang pergerakan mampu ku lakukan. Cuma tegak berdiri. Cuba mencerna bait kata-katanya. Muka Amir ku pandang tepat-tepat. Dalam-dalam. Cuba mencari kesungguhan pada kata-katanya sebentar tadi. Muka Amir serius. Dia bukan mengusik atau menyakat aku seperti selalu. Tiba-tiba lutut aku jadi lemah. Tak mampu lagi menampung berat badanku ini. Aku tak percaya. Berkali-kali aku cubit lengan aku. Sakit. Ya Allah, kenapa macam ni plak jadinya...Kenapa Kau rumitkan keadaan ini?

“Azira suka awak. Bukan saya...Saya...”

“Tanya diri awak sendiri Anis. Betul ke awak tak suka saya? Jangan nafikan Anis. Sejak peristiwa di library, di KFC dan masa-masa kita bersama... Kita ada ‘rasa’ yang sama. Awak dan saya, kita berdua merasakannya.”

Rasa? Rasa apa? Rasa apa yang Amir maksudkan? Aku tak faham. Sungguh aku tak faham. Atau aku buat-buat tak faham. Entah, aku sendiri tak tahu. Apa yang aku rasa pada dia, sama aje macam apa aku rasa pada Shafiq, Azira, Humaira’, Shukri, Shahril dan lain-lain. Kami kawan. Ya, kami kawan. Kawan. Tapi kenapa ada rasa ‘lain’ dalam dada ini bila Amir mengaku dia sukakan aku? Mengapa ya? Amir memegang kedua-dua belah bahuku agar mengadapnya. Seolah-olah menyuruhku kembali ke alam nyata dan menghadapi kenyataan bahawa aku memang menyayanginya lebih dari seorang kawan.

“Maaf Amir...Saya tak pernah ada perasaan apa-apa pada awak. Saya cuma anggap awak sebagai kawan saya. Macam Shafiq. Macam kawan-kawan lelaki saya yang lain...”

“Bohong! Tanya hati awak. Bukan pada akal. Hati tak mungkin berbohong. Saya tahu awak pun punya rasa yang sama.”

Aku meronta minta dilepaskan. Belum pun sempat aku melangkah setapak, tanganku pula dipegangnya. Erat. Aku merentap tanganku dari genggaman Amir. Bengang. Tapi aku tidak cuba lari. Aku mesti selesaikan masalah ini hari ini kerana lambat-laun aku kena berhadapan dengannya juga. Kawasan simpang masuk ke taman perumahan kami ku lihat lengang. Kosong. Sekosong fikiran aku kini. Aku tak dapat fikir apa-apa pun. Amir masih tidak mengalah. Menyuruh aku menyelami isi hati aku, mencari sesuatu yang aku sendiri tidak pasti ada atau tidak.

“Entah... Saya tak tahu. Tolong jangan paksa saya wat sesuatu yang saya tak nak. Pergilah pada Azira. Dia cintakan awak. Cuma awak dalam hati dia. Saya sebagai kawan baik dia dan awak, cuma mahu lihat kedua-dua kawan baik saya bahagia. Saya doakan korang bahagia. Tolong jangan ganggu saya lagi, please!”

Amir mengeluh. Mengalih pandangan ke jalan yang lengang dan meraup mukanya beberapa kali. Mungkin dia marah atau sedih. Atau kecewa. Aku tak tau. Dan aku tak mahu amik tahu. Yang aku tahu, satu beban telah berganjak dari bahu aku sebaik sahaja aku berkata demikian. Namun entah kenapa aku terasa seperti ada beban baru yang menghempap bahuku kini.

“Saya punya gerak rasa. Gerak rasa saya menyatakan yang awak ‘sukakan’ saya lebih dari seorang kawan, Anis. Tapi...Tak pelah. Saya akan cuba penuhi permintaan awak. Saya harap awak jangan menyesal nanti. Tapi saya ada permintaan terakhir, tolong terima ini...”

Sebentuk cincin silver diletakkan atas telapak tanganku. Sejuk tangan aku bila bersentuhan dengan tangannya. Cincin di tangan ku belek. Terdapat ukiran dua ekor rama-rama pada cincin itu. Di bahagian dalam cincin itu terdapat simbol-simbol yang aku sendiri tak pernah lihat. Seperti kod-kod rahsia. Perkataan yang boleh aku baca hanyalah sebaris namaku yang terukir indah di situ.

“Hati saya milik awak, Anyss Sophyllya.” Ucap Amir perlahan. Seakan berbisik. Tapi jelas di pendengaranku. Ada rasa hangat hinggap di hatiku bila dia berkata demikian. Cepat-cepat aku menyembunyikan rasa hati. Aku menghulurkan kembali cincin itu padanya.

“Saya tak boleh terima...”

“Cincin itu milik awak. Hanya awak yang layak menerima dan menyimpannya. Bukan orang lain. Kalo pun awak tak nak simpan cincin tu, buang, tanam, atau buatlah apa saja pada cincin itu.”

Dan dengan kata-kata itu dia terus berlalu pergi. Meninggalkan aku dengan pelbagai rasa. Rasa yang sukar aku fahami. Rasa yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini.

*******************************************************************************

Sejak hari itu, kami jarang bercakap. Aku menjadi pendiam. Aku bukan lagi Anyss Sophyllya yang periang, peramah dan suka mengusik. Aku cuma bercakap ketika perlu sahaja. Amir dan Azira pula semakin rapat. Seperti belangkas. Ke mana aje berdua. Aku pula seperti orang kebingungan dan semakin suka berkhayal. Mengingati kata-kata Amir pada petang itu dan cuba memadankan layanannya kepadaku sebelum ini. Kemudian cuba menafsirkan rasa hatiku sendiri.

Dan pada suatu pagi, Azira datang kepadaku dengan senyuman lebar. Mengucapkan terima kasih atas jasa aku menyatukannya dengan Amir, serta mengkhabarkan satu berita yang tidak kujangka.

“Terima kasih, Anis! Terima kasih banyak-banyak. Ko membuatkan impian aku jadi kenyataan. Aku dan Amir dah declare couple semalam. Ko lah kawan terbaik aku. Aku minta maaf sebab tuduh ko macam-macam. Kita kawan, kan?”

Menggigil tubuhku mendengar bicara Azira. Segera ku sorokkan rasa hati yang tak keruan. Aku meleraikan pelukan dan tersenyum.

“Tahniah, Azira! Akhirnya usaha ko nak tackle Amir berhasil juga. Aku gembira tengok ko gembira. Ingat prinsip persahabatan kita? Dalam persahabatan kita tak ada ucapan terima kasih. Apa yang aku buat adalah tanggungjawab aku sebagai kawan ko. Aku doakan ko dan Amir bahagia hingga ke jinjang pelamin.” Aku peluk kembali Azira. Cuba berkongsi kegembiraan yang dirasainya dan berusaha menahan tangisanku.

Sepulangnya aku dari sekolah, aku terus berkurung dalam bilik mandi. Laju air mataku mengalir, selaju air pancuran. Aku menangis. Aku sendiri tidak pasti mengapa aku menangis. Sedihkah aku? Mengapa aku perlu bersedih atas kegembiraan Azira. Bukankah aku yang menginginkan mereka berpasangan? Dan Amir? Bagaimana dengan kata-katanya petang itu? Tak bersungguhkah Amir saat mengucapkannya? Cincin yang diberikannya masih ada tersimpan di dalam laciku.

Aku diserang demam panas hampir dua minggu lamanya akibat terlalu lama berada di dalam bilik mandi. Kemurungan dan keengganan aku makan ubat dan makanan berkhasiat membuatkan sakitku bertambah-tambah teruk. Mama dan papa risau dengan keadaan aku, apatah lagi exam semakin hampir. Humaira’, Azira dan kawan-kawan yang lain termasuk Amir kerap datang melawat, memberi kata-kata perangsang agar aku segera sembuh dan kembali ke sekolah. Pada mereka, aku cuma diserang demam panas biasa. Tapi Humaira’ tidak mudah aku perdayakan. Bila kami berdua, dia sering bertanya punca kemurunganku.

“Ko jadi macam ni sebab Amir dah couple dengan Azira ek? Bukan ke sepatutnya ko gembira? Usaha ko nak satukan diorang dah berjaya...”

Seperti biasa nama Amir dan Azira kerap bermain di bibirnya. Dia mula mengaitkan kerenggangan aku dan Amir, pertukaran status hubungan Azira dan Amir dengan kemurunganku. Aku cuma mendiamkan diri. Diam dan terus diam sehingga persoalan yang diajukan terbiar begitu sahaja.

*******************************************************************************

Lena aku diganggu oleh bunyi hon kenderaan dari luar rumah. Badan aku sakit-sakit. Seluruh sendiku terasa lenguh dan lemah. Aku tak mampu nak menggerakkan satupun anggota badanku saat ini. Walaupun sekadar membuka kelopak mata. Tak pernah aku mengalami demam panas seteruk begini. Aku sendiri tidak pasti berapa lama aku tidur. Seingat aku, selepas makan bubur dan makan ubat tengah hari tadi, aku terus tertidur. Keadaan bilik sunyi sahaja.

Aku terdengar pintu bilikku dibuka. Mungkin mama yang masuk untuk melihat keadaanku. Dia duduk di tepi katil. Meraba dahiku. Merasai kehangatannya. Membelai-belai ubun-ubun dan rambutku dengan penuh kasih sayang. Dan akhirnya mengusap-ngusap dan menggenggam jari-jemariku. Entah kenapa aku rasa belaian mama lain sahaja kali ini.

“Anis, saya datang...” Amir! Aku terdengar suara Amir. Perlahan namun cukup jelas di telingaku. Kiranya bukan mama yang masuk ke dalam bilik dan membelaiku tadi tapi Amir... Aku teringin membuka mata untuk menatap wajah Amir buat sekian kalinya. Namun aku tak mampu. Seperti ada pemberat di atas kelopak mataku.

“Anis, awak perlu cepat sembuh. Peperiksaan tinggal dua minggu lagi. Kawan-kawan awak di sekolah dah rindukan awak. Humaira’, Azira, Shafiq, Kaizara, Shima, Aliah, Maya, Suria dan yang lain-lain. Semuanya rindukan awak. Saya... Saya pun rindukan awak... Saya rindu nak tengok awak senyum, gembira, marah, merajuk, menangis... Saya rindukan awak, Anis!”

Amir diam. Jari-jemarinya mengelus-ngelus jari-jemariku. Agak lama dia terdiam.

“Awak tau kan, saya dah couple dengan Azira. Seperti yang awak minta. Saya akan belajar menyayangi dan mencintainya. Saya akan cuba lupakan awak. Saya tak kan mengganggu hidup awak lagi. Saya sayang sangat dengan awak. Tapi… Bukankah kalo kita mencintai seseorang kita perlu lepaskannya supaya dia dapat mencari kebahagiaannya sendiri. Untuk itu, saya akan lepaskan awak. Saya nak awak cari kebahagiaan awak. Saya janji tak kan ganggu hidup awak lagi, Anis! Tapi tolonglah cepat sembuh... Saya tak nak tengok awak terbaring macam ni! Saya benci tengok muka awak yang tak bermaya macam ni! Sebab saya rasa sakit bila awak sakit... Sakit sangat! Saya nak tengok Anis yang periang, peramah dan kuat mengusik... walaupun sekadar dari jauh...”

“Awak mesti lawan sakit awak, Anis. Awak mesti kuat... Awak mesti tabah...”

“Amir!” Amir segera melepaskan jari-jemariku apabila terdengar mama memanggil namanya.

“Amir, maaflah! Anis masih tidur lagi. Mungkin kesan ubat demam tadi tak habis lagi.” Kata mama perlahan. Seakan-akan berbisik. Mungkin takut suaranya akan mengejutkan aku dari lena.

“Tak apa makcik. Saya faham. Saya minta diri dulu makcik!”

“Eh, marilah minum dulu!”

“Tak apalah makcik. Saya ada keje sikit kat rumah.”

“Terima kasihlah tolong carikan daun bunga raya tu. Susah nak cari orang tanam bunga raya sekarang. Mudah-mudahan lepas mandi dengan daun bunga raya ni demam Anis terus kebah lah... Risau makcik. Demamnya kejap datang, kejap pergi.”

“InsyaAllah, makcik. Kalo ada apa-apa yang makcik perlukan lagi, makcik bagitau saya. InsyaAllah saya akan cuba carikan...”

“Terima kasih lah, Amir. Tak terbalas makcik jasa kamu.”

Suara mama dan Amir semakin menjauh. Aku sedaya-upaya membuka mata dan aku hanya mampu melihat belakang badan Amir yang semakin menjauh. Amir... Setitis air mataku jatuh.

*******************************************************************************

Sebaik sahaja aku sembuh, kami terus menduduki peperiksaan. Aku menyibukkan diri dengan belajar. Tiada masa senggang untuk memikirkan hal-hal lain selain pelajaran. Dan aku tidak lagi bertemu Amir secara bersendirian. Jika tidak bersama kawan-kawan yang lain, dia paling tidak akan bersama Azira. Peristiwa petang itu seolah-olah sebuah mimpi pendek dalam hidupku. Apa yang menjadikannya realiti cuma cincin yang masih tersimpan kemas dalam laciku dan kenangan yang pernah kami kongsi bersama.

Selesai menduduki peperiksaan, papa mengambil keputusan untuk berpindah dari bandar itu. Katanya dia mendapat peluang mengembangkan perniagaan di tempat lain. Dan pastinya aku dan mama akan turut menemaninya ke tempat itu. Hari yang ditetapkan, kawan-kawan dan jiran-jiran mengiringi pemergian kami. Aku, Azira dan Humaira’ bertangis-tangisan sebelum aku bertolak. Shafiq yang selama ini kuat menyakat, ku lihat merah mata menahan air mata dari mengalir. Amir pula ku lihat murung di sisi Azira. Lama ku tatap wajah mereka seorang demi seorang sebagai pengubat rindu yang sudah pun mula bertamu.

Sebelum bertolak, sempat aku titipkan sepucuk surat pada Amir. Tiada yang istimewa di dalamnya. Cuma meminta maaf atas segala salah dan silapku, memintanya menjaga Azira dan tidak menganggap aku musuh andai ditakdirkan kami bertemu lagi. Persahabatan aku dan Azira selama bertahun-tahun tak mungkin kuleraikan demi demi cinta seorang lelaki kerana bagiku mencari cinta lebih mudah dari mencari sahabat. Dan cincin itu, aku pulangkan kembali kepadanya. Aku tidak berhak memilikinya.

Aku tak pasti apa yang kawan-kawan aku sanggup buat demi aku, tapi aku sanggup mempertaruhkan apa sahaja yang aku miliki sekalipun nyawaku sendiri. Padaku, pengakhiran kisah aku dan Amir adalah begini. Dan rasa cinta yang baru bercambah dalam hati ini akan ku cantas sebelum ianya dapat dihidu oleh sesiapapun. Selamat tinggal, cinta pertamaku... Selamat tinggal, Amir Faiesal...

1 comments:

Unknown said...

waaaaaa....
sedey la plak....

hope diorang jumpe lagi....
bukak kisah lagi...
yang penting tanpa azira..

Followers