Sunday, April 18, 2010

eucralipse 18


“Salah seorang harus mati untuk menentukan pemenang bagi perlawanan ini!”

Aku kaku di situ. Masih tidak percaya dengan apa yang kudengari. Peluh dingin membasahi tubuh badanku. Sorakan dan jeritan bersemangat warga Dark City berdegung di telinga.

Raja Eriel sudah kembali duduk di takhtanya dengan wajah yang bercahaya. Mungkin tidak sabar melihat aku tersungkur di tangan anaknya.

Kerk melangkah gagah ke arahku. Wajahnya... Aku tak tahu. Aku tak dapat membaca riak wajahnya... kerana wajah Kerk langsung tak beriak apa-apa. Kosong. Tanpa perasaan.

“Kau perlukan ini...” Kerk menghulurkan pedang yang entah bila melurut jatuh dari tanganku.

“... dan sedikit keajaiban untuk kalahkan aku!” Kata Kerk tanpa nada. Dalam keadaan teragak-agak, aku sambut pedang tersebut. Dan aku kembali kaku. Memerhatikan Kerk dari tempatku. Aku tahu, dalam keadaan genting sebegini, walaupn keadaan antara kami sudah banyak berubah, aku tahu Rei yang pernah aku kenali masih wujud lagi dalam diri Kerk.

“Kali ini aku nak lawan aku dengan bersungguh-sunguh. Bukan macam yang selalu kau buat masa kita berlatih di Eucralipse dulu.” Tambah Kerk lagi.

Mana mungkin aku berlawan apatah lagi berbunuhan dengan lelaki yang telah aku serahkan jiwa padanya. Sebab aku tahu, dia tak tahu apa yang aku tahu. Dia 'dilemaskan' dalam kehidupan ciptaan ayahandanya. Dia hanya mangsa keadaan. Tapi persoalannya, bagaimana harus aku yakinkannya?

“Boleh kita mula berlawan sekarang?” Soal Kerk bila dilihatnya aku masih mengelamun. Pedang di tangan, yang kelihatan begitu sesuai dan selesa dalam genggamannya, dimain-mainkannya.

Kerk mula menghayunkan pedangnya tanpa menunggu jawapanku. Sepantas kilat aku menahan dengan pedang di tanganku. Dan Kerk terus-menerus menyerang aku dengan pedangnya. Tanpa memberikanku sedikitpun ruang untuk berfikir. Aku tidak membalas serangannya. Hanya mempertahankan diri, menghalang pedangnya dari mengenai diriku.

“Bukan ini yang kau mahukan, Kerk!” Ujarku dalam mengah.

“Memang saat ini yang aku nanti-nantikan selama ini, Eury!” Kerk mengasak tubuhku hingga ke tepi.

“Kau keliru tentang apa kemahuan kau yang sebenarnya! Kau sendiri tak tahu siapa diri kau yang sebenarnya!”

“Dah tentu aku tahu siapa diri aku! Aku Kerk, putera Raja Eriel. Dan aku ditugaskan untuk menghapuskan kau demi melangsaikan dendam ayahandaku!”

“Percayalah, Kerk! Kau tak kenal dan tak ingat siapa diri kau yang sebenarnya. Kalau kau tahu, tentu kau akan menyesal dengan tindakan kau sekarang ini!”

Kerk menendang tubuhku. Aku terpelanting dan jatuh di tempat warga Dark City duduk. Mereka jeritan ketakutan dan bertempiran lari dari situ. Belum sempat aku bangun, Kerk sudah terbang untuk mendapatkan pedangnya sebelum mencampakkan tubuhku ke bawah semula. Mujur aku dapat mengubah unsur tanah tempat aku jatuh itu menjadi lembut. Kalau tidak, tentu kecederaan di tubuhku lebih parah.

Menggunakan kuasaku; iaitu mengubah struktur bahan adalah sesuatu yang payah dan hampir mustahil terutamanya dalam keadaan terdesak apatah lagi untuk menghadkan sejauh mana kesannya. Namun, aku mendapati ada sesuatu yang lebih mustahil dari itu semua. Mengalahkan atau menghentikan perlawanan ini tanpa melawan adalah sesuatu yang mustahil. Mencederakan atau menghapuskan Kerk, yang aku tahu masih 'hidup' Rei di dalamnya, adalah sesuatu yang teramat mustahil.

Aku bangun. Kembali menggenggam erat pedang di tangan. Aku harus hentikan pertarungan ini! Atau setidak-tidaknya, aku perlu cuba untuk menyakinkan Kerk bahawa kami tidak sepatutnya bermusuhan. Buat pertama kalinya, aku memulakan serangan ke atas Kerk. Dengan harapan aku dapat 'membeli' sedikit masa dalam hayatku untuk membetulkan keadaan yang kacau. Kerk agak terkejut dengan perbuatanku namun dia sedikitpun tidak melatah, malah dapat menangani setiap seranganku dengan bijak dan kemas.

“Kau tahu mengapa aku melatih kau dengan bersungguh-sungguh dulu?” Provokasi awalnya bermula.

Aku angkat bahu. Mencuri udara untuk bernafas. Pedang kami yang bergeser menimbulkan rasa ngilu di ulu hatiku.

“Entah! Mungkin untuk mentertawakan aku. Tapi aku tahu, kau bukannya berniat baik!” Akhirnya aku menjawab.

“Untuk pengetahuan kau, aku latih kau supaya kau bersedia dengan keadaan begini!”

“Situasi begini? Maksud kau, situasi di mana kau cuba membunuh aku di hadapan semua orang di Dark City untuk meninggikan ego kau?”

Kerk mengangkat keningnya.

“Ya! Mungkin betul kata kau. Apa-apapun, aku benci bertarung dengan orang yang lemah! Tak ada cabaran dan tak menyeronokkan! Aku mahu menang dengan bergaya!”

Aku tersengih. Menyindir.

“Paras ego dan personaliti kau memang sepadan.”

Kerk melibas pedangnya. Mujur sempat aku tahan dengan mata pedangku. Aku mungkin boleh memanipulasi dan menukar sifat sesuatu unsur, namun kelebihanku itu tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan kekuatan dan kemahiran Kerk dalam ilmu mempertahankan diri. Ditambah lagi dengan kebolehannya untuk mengapungkan diri atau terbang. Lebih memburukkan keadaan, Kerk tahu akan kelemahan diriku; satu-satunya yang aku takuti adalah mencederakan dirinya! Manakala satu-satunya keinginan Kerk tika ini adalah menghapuskan aku. Betapa berbezanya keinginan kami saat ini.

“Kau tak selemah yang aku sangkakan!”

“Tapi kau tetap sekeji dan sehina seperti yang aku jangkakan semenjak kau memperdayakan aku untuk ke sini!”

Pedang kami berlaga lagi. Sebaik sahaja mendapat peluang, aku menendang dada Kerk sekuat hati sehingga dia hilang imbangan dan terjatuh. Sepantas kilat aku menukar struktur tanah menjadi sesuatu yang lebih pejal daripada besi, sebelum tubuh Kerk 'mencium' tanah.

Kkrakk!

Ada sesuatu yang patah. Tulang rusuk Kerk! Itu sesuatu yang aku pasti. Dan kepastian itu membuatkan air mataku bergenang di birai mata. Namun Kerk tidak menjerit. Hanya mengerutkan muka, menahan dan menelan segala kesakitan yang ditanggungnya. Aku hampir sahaja meluru padanya untuk memohon maaf. Tetapi apabila melihat Kerk kembali berdiri dan menghunuskan pedangnya, aku segera membatalkan hasratku. Apa dah jadi? Bukankah dia sepatutnya terbaring kesakitan? Macam mana dia boleh berdiri gagah seperti tiada apa-apa yang berlaku?

“Kau bodoh, Eury! Terlalu cepat terpedaya dengan cinta!” Selar Kerk lantang. Rasa kasihan dan sedih aku tolak ke tepi.

“Kerana cinta aku wujud. Bukan seperti cinta kau yang palsukan pada aku!”

“Tak kisah la! Yang aku tahu, kau bodoh kerana percaya bahawa aku cintakan kau dan cinta itu akan mengubah benci menjadi sayang. Kau ingat cinta itu wujud dan akan membuatkan orang hidup bahagia sedangkan cinta hanyalah mitos semata-mata. Dunia ini tak pernah adil dan penuh dengan kesengsaraan. Ingat tu!”

“Bagaimana dengan kau? Kau mempergunakan cinta yang kau percaya tidak wujud dan mitos sebagai umpan untuk aku ke sini. Tidakkah kau lebih dungu daripada aku??”

Muka Kerk mencuka.

“Aku bukannya dungu. Cuma aku terlalu bijak menggunakan segala peluang, ruang dan kebodohan yang kau miliki!”

Mata pedang kami bergeser lagi. Rasa ngilu terbit di ulu hati. Namun itu tidak mampu mencederakan hatiku. Hanya Rei yang boleh berbuat demikian. Dan kini Rei 'menghancurleburkan' hatiku. Kerk sebagai utusannya untuk menghantar rasa sedih, pedih, kecewa pada sekeping hatiku yang semakin kedinginan. Melemahkan jiwa dan terasa melumpuhkan segenap urat saraf dan anggota tubuhku. Di hadapanku kini bukan lagi Rei, lelaki yang mencintaiku dengan setulus hatinya. Di hadapanku kini hanyalah Kerk, lelaki yang membenci aku kerana keturunanku dan lelaki yang tidak sabar-sabar untuk menghapuskan diriku dari terus wujud di atas bumi Dark City ini.

“Kau bukan Rei! Kau juga bukan Kerk, Kerk! Kau bukan putera Raja Eriel! Apapun yang diceritakan pada kau, itu bukan cerita hidup kau yang sebenarnya. Itu Cuma cerita untuk melengkap dan melunaskan dendam Raja Eriel. Percayalah pada aku! Kau dan aku, kita bukan musuh. Kita lebih daripada itu!”

“Aku tak faham apa yang kau katakan! Apapun, aku tak rasa aku patut memahaminya!”

“Cuba ingat, Kerk! Cuba ingat!” Desakku. Namun itu langsung tidak memberi kesan kepadanya.

Aku terus diasak oleh Kerk sehingga tubuhku tersandar ke dinding. Pedang di tanganku sudah ditepis jatuh entah di mana. Mata pedang yang tajam diletakkan ke leherku. Jika aku bergerak sedikit sahaja, sudah pasti kulit leherku aku ditoreh dek pedang Kerk yang tajam itu. Para penonton bersorak gembira melihat situasi kami berdua. Tidak sabar untuk melihat aku menjadi korban pedang Kerk. Raja Eriel dan orang-orangnya sudah berdiri dalam keterujaan.

“Aku tak mungkin dapat melawan kau, Kerk! Sebab kau adalah pahlawan terhebat yang pernah aku lihat. Oleh itu sebelum kau bunuh aku, aku ada satu permintaan. Satu soalan sebenarnya.”

“Permintaan terakhir daripada orang yang kalah. Aku benci untuk menghampakannya!” Kata Kerk sinis.

“Rei... atau Kerk... Siapapun nama kau, aku tak peduli! Persoalannya, pernah tak sedetik kau mencintai aku?”

Kerk terdiam. Menelan air liur. Melarikan pandangannya matanya dariku. Memandang rakyat Dark City dan kemudiannya ayahandanya. Lama matanya berlabuh di situ sebelum memandang wajahku semula. Tapi, kali ini... Aku dapat mengesan secalit riak sedih di wajahnya...

“Tak pernah!”

... atau aku sekadar membayangkannya?

“Aku tahu, Rei yang aku kenal masih ada dalam diri kau, Kerk!”

“Rei watak ciptaan aku... Rei dan aku adalah orang yang sama... Maka jawapan untuk soalan kau itu, tak pernah!”

Aku sedaya-upaya menahan diri dari menangis. Aku tak mahu kelihatan menyedihkan ataupun kelihatan bodoh ketika mati di tangan orang yang aku cintai.

“Tapi mengapa ya, mengapa aku masih terdengar hati kau menjerit mengatakan dia mencintai aku walaupun mulut kau mengatakan sebaliknya?” Ujarku dalam senduku.

Kerk terkedu.

“Kau tahu, aku rasa walaupun kau menipu aku selama ini, walaupun apa yang kau buat kepadaku, aku hanya ingin kau tahu bahawa aku hanya mampu mencintai seorang lelaki untuk seumur hidupku ini. Dan orang itu adalah engkau... Kenyataan itu tidak akan sesekali berubah walaupun kau membunuhku...”

Air mata yang tadinya bertamu di birai mata, jatuh menuruni pipi sebelum mengeras seperti ais dan jatuh berdenting di atas pedang Kerk yang bersinar.

“Kerk... Rei... Putera Bertopeng... Putera Rhyss... Aku cintakan kau...”

Tangan kiri Kerk mencengkam batang leherku. Manakala tangannya bersiap-sedia untuk menamatkan riwayatku.

Aku memejam mata. Bersedia untuk menghadapi saat-saat kematianku. Hembusan nafas Kerk terasa hangat mengenai kulit wajahku. Namun kehangatan itu semakin menjauhiku.

Papp!

Hadirin yang tadinya bising, membisu tanpa bahasa. Perlahan-lahan aku buka kelopak mataku. Objek pertama yang aku cari adalah Kerk. Aku nampak Kerk berdiri beberapa kaki dariku. Memandang kosong ke arahku dan sekali lagi aku gagal membaca emosinya saat itu. Pedang yang tadinya kemas di genggaman sudah tercacak di atas tanah.

Kerk berundur ke belakang. Menumbuk dinding yang ada di tepinya sebelum berlari dan hilang dari pandangan mataku.

“Kerk...”

Kau atau aku yang terkeliru sekarang?

**************

“Masuk!”

Aku dihumban semula ke sel penjaraku oleh pengawal. Pertarungan dan pesta yang dirancang rapi bagi meraikan kekalahan dan kematianku terbatal begitu sahaja apabila Kerk menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Perasaan aku berbaur ketika ini. Tapi yang jelasnya aku terasa sedih dengan kehilangan Kerk. Aku tahu dia sedang keliru tika ini. Dia keliru tentang siapa dirinya yang sebenar.

Para pengawal meninggalkanku keseorangan tanpa menutup pintu berjeriji besi. Tidak lama kemudian, sepasang kaki melangkah masuk ke dalam sel. Melalui kasut yang dipakainya, aku tahu 'tetamu'ku itu bukan orang sembarangan.

“Saya tak sangka akan menerima kedatangan tuanku dalam sel penjara saya yang kotor ini...” Aku memulakan perbualan.

“Kau patut bersyukur sebab Kerk tak bunuh kau tadi! Kerk mungkin terlalu letih sebab dibebankan dengan pelbagai tekanan kebelakangan ini.” Katanya angkuh. Aku tersengih dalam diam. Aku tahu Raja Eriel sekadar menyedapkan hatinya.

“Raja Eriel...”

“Puteri Eury...”

“Atas dasar apa saya menerima penghormatan untuk dikunjungi oleh tuanku ini?” Soalku. Sinis lagi.

“Beta nak menyampaikan tawaran peribadi kepada kamu...”

“Hmm... Bunyinya menarik! Apa faedahnya?”

“Jangka hayat kamu akan dipanjangkan.” Jawab Raja Eriel angkuh.

“Boleh saya dengar tawarannya?”

“Bekerjasama dengan beta!”

Aku ternganga.

“Kamu, Kerk dan Egart akan menjadi orang kuat beta dalam serangan ke atas Eucralipse! Sebagai balasannya, nyawa kamu akan selamat.”

Aku tidak dapat menahan diri dari ketawa berdekah-dekah sebaik sahaja mendengar tawaran yang kedengaran 'tak masuk akal' itu.

“Tuanku menyuruh saya belot terhadap negara dan kerajaan saya sendiri? Membunuh keluarga dan rakyat saya semata-mata untuk menyelamatkan nyawa saya dari dibunuh?” Soalku tidak percaya.

“Ya!” Ujar Raja Eriel dengan penuh keyakinan.

“Sampai ke titisan darah saya yang terakhir pun saya tak akan sesekali mengkhianati Eucralipse!”

“Keputusan kamu muktamad?”

“Ya!”

“Kamu memang bodoh!”

“Ya, saya mungkin bodoh tapi sekurang-kurangnya saya tidak mengkhianati keluarga saya sendiri, seperti tuanku!”

Kening Raja Eriel hampir bertaut.

“Apa maksud kamu?”

“Raja Theseu dikurniakan dua orang putera untuk menerajui Eucralipse. Raja Esqandar, ayahanda saya, dan abangnya. Namun semua cerita dan sejarah mengenai abangnya dihapuskan begitu sahaja dengan alasan dia sudah mangkat. Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan situasi tersebut.”

Serentak itu badan Raja Eriel kaku. Kejur berdiri di tempatnya.

“Kau tahu? Macam mana kau tahu?” Soalnya dalam keadaan ragu-ragu.

“Saya secara tidak sengajanya telah terbaca memori tuanku, Raja Eriel Raja Theseu! Atau... patut ke saya panggil tuanku dengan panggilan pakcik?!”

Raja Eriel tersandar di dinding. Mengelengkan kepala tidak percaya.

“Saya, dengan secara tidak sengajanya, dah tahu segala kenangan dan memori tuanku yang menyebabkan tuanku berdendam dengan keluarga tuanku sendiri!”

“Datuk kau tu kejam! Dia menghalang bila aku nak berkahwin dengan Ria, isteriku! Alasannya, kami tidak setaraf! Dia dan ayahanda kau berpakat dan membunuh isteriku. Malah, dia menuduh aku mengadakan pakatan sulit untuk menjatuhkan kerajaan Eucralipse! Adil ke semua tu? Mereka bunuh sinar cahaya kehidupan aku! Mereka bunuh cinta hati aku! Layak ke mereka digelar keluarga aku?” Luah Raja Eriel dengan penuh emosi.

“Mungkin ada perkara yang tuanku terlepas pandang...”

“Tak ada apa yang aku terlepas pandang! Memang itulah hakikatnya. Esqandar mungkin dah lama cemburukan aku dalam diam sebab aku akan menjadi pewaris takhta. Raja Theseu pula benci dengan calon permaisuri yang aku pilih dan mula mencari salah-silapku. Mereka membuat rancangan dan akhirnya membuang aku dari Eucralipse!” Pintas Raja Eriel.

Kata-kataku mati begitu sahaja. Apa yang aku nampak dalam memori Raja Eriel tidak semestinya satu kebenaran. Apa yang tersimpan kemas dalam memorinya hanyalah berdasarkan apa yang dilihat, didengar dan difikirkannya. Hakikat sebenar mungkin berbeza sama sekali. Aku kenal ayahandaku. Aku kenal datukku. Mereka mungkin tegas dalam menjalankan tugas dan mempertahankan maruah keluarga tapi aku tak rasa mereka tergamak untuk membunuh orang yang tidak bersalah.

“Aku minta maaf. Kau memang tak ada kena-mengena dalam hal ini. Tapi, darah mengalir dalam tubuh kau membuatkan kau sebahagian daripadanya!”

Raja Eriel meninggalkan aku dengan kata-kata tersebut.

**************

Rexo menepuk bahu Esmet beberapa kali. Menyakinkan anaknya itu.

“Teruskan, Esmet! Mereka sudah lama menantikan saat-saat ini!” Bisiknya ke telinga Esmet.

Esmet mengangguk seraya melangkah beberapa tapak ke hadapan. Meninggalkan Rexo dan orang-orang jauh di belakang. Esmet mendepangkan tangan mengadap dataran yang kering-kontang tanpa sebarang kehidupan.

“Wahai tentera-tentera Dewa Kegelapan, bangkitlah kau dari tidurmu!” Seru Esmet sebelum menghiris hujung jarinya dengan mata pisau. Dibiarkan darahnya menitis menuruni Oc-cra miliknya, sebelum jatuh ke tanah.

Suasana sunyi seketika. Hanya dingin malam menyapa kulit tubuh mereka. Rexo dan Esmet berpandangan sesama sendiri. Belum sempat mereka berkata apa-apa, tanah yang mereka pijak terasa bergegar sebelum mengeluarkan asap yang berkepul-kepul. Ada sesuatu yang bergerak di tanah tempat mereka berpijak. Tanah yang tandus mula merekah. Kemudian muncul sesusuk tubuh berwarna hitam, tegap dan dua kali ganda tinggi dan besarnya dari tubuh mereka.

“Rajaku...” Serunya. Dia melutut di hadapan Esmet dan Rexo. Matanya tak berkelip-kelip merenung ke arah Esmet. Seperti menunggu arahan dari Esmet. Belum Esmet menjawab, mereka dikejutkan dengan gegaran yang lebih hebat dai tadi. Kali ini berpuluh-puluh ribu muncul dari dalam tanah. Semuanya besar, tinggi dan gagah seperti yang pertama tadi.

Esmet dan Rexo terpaku melihat bala tentera yang muncul dari dalam tanah itu.

“Namaku Jeto, ketua tentera Dewa Kegelapan yang sudah 100 tahun ditidurkan. Apa yang boleh kami lakukan untuk tuanku?!” Sambung Jeto.

Esmet dan Rexo berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum. Gembira rancangan mereka berjalan seperti yang diaturkan.

**************

Suasana di luar sudah mulai gelap. Hari sudah merangkak ke malam. Sudah tiga hari aku di sini. Aku tak tahu apa yang berlaku di Eucralipse sekarang. Yang pastinya, berita tentang kehilanganku pasti sudah sampai ke pengetahuan ayahanda dan bonda. Altrun tak mungkin dapat menutup berita kehilanganku lebih daripada 24 jam.

Malam yang semakin dingin dan sunyi itu membuatkan aku mula terasa sakit di seluruh badan, kesan dari pertarunganku dengan Kerk siang tadi. Aku telek badanku dengan teliti. Penuh dengan kesan lebam dan luka. Namun luka tersebut tidak sesakit luka di hatiku.

Kerk...

Pintu sel penjaraku dibuka. Seorang pengawal melemparkan sepinggan makanan dan segelas air ke arahku sebelum kembali mengunci pintu besi itu. Perut yang berkeroncong membuatkan mataku segera mengerling ke arah makanan tersebut. Separuh isi makanan dan air sudah tumpah dan bertaburan di atas lantai. Namun itu tidak mendatangkan sebarang kekesalan di hatiku. Kerana aku memang tidak berniat langsung untuk menjamah makanan tersebut seperti sebelum ini.

Gemerincing bunyi kunci di pintu besi membuatkan aku mengangkat wajahku lantas berdiri. Meneka-neka siapakah tetamuku kali ini. Bukan pengawal di luar yang masuk. Bukan juga Kerk atau Raja Eriel yang datang menambahkan rasa sakit di hatiku ini. Yang muncul di hadapanku adalah seorang perempuan yang jalannya seperti kucing. Wajahnya masam dan nampak sombong. Matanya tajam merenungku dari saat dia melangkah masuk ke dalam selku ini sehinggalah ketika dia berdiri di hadapanku kini. Menelek setiap inci parasku.

“Jadi... inilah rupanya Puteri Eury kesayangan Eucralipse... Cantik... Polos... Lemah... Patutlah Kerk dapat memperdayakan kau dengan mudah. Tanpa perlu menggunakan kekerasan, kau datang ke sini dengan rela hati dan masuk ke dalam perangkap kami. Kerk memang tak pernah mengecewakan kami!”

Mata perempuan itu bersinar-sinar saat menyebut nama Kerk. Perempuan itu mencintai Kerk, itu sesuatu yang aku yakini saat ini.

“Siapa pun kau, kau tak layak untuk mengadili aku mahupun tindakan aku mengikut Kerk ke sini!” Tingkahku garang. Aku sudah cukup dihina sepanjang berada di sini.

Perempuan itu tersengih.

“Oo... Maafkan aku! Aku terlupa untuk memperkenalkan diriku. Namaku Q-ra. Aku anak tunggal Menelaus, guru Kerk. Dan aku juga kekasih Kerk.”

Q-ra... Kekasih Kerk... Ya, aku akan sedaya-upaya ingat fakta yang satu ini. Dan untuk sepanjang hidupku ini, aku tak akan berhenti-henti untuk menyalahkan diriku yang bodoh kerana terlalu cepat mempercayai Kerk dan jatuh cinta kepadanya.

“Kerk...” Tanpa sedar aku menyebut namanya.

“Ya, Kerk... Kenapa? Kau fikir Kerk cintakan kau?”

Aku diam. Hatiku yang sudah sedia luka dan berdarah bagaikan disiat-siat sebaik sahaja mendengar pertanyaan Q-ra itu.

“Kau memang anak raja yang polos... dan bodoh... Untuk pengetahuan kau, Kerk terlalu membenci kerabat kau kerana kerabat kau menyebabkan bondanya mati dan ayahandanya bersedih sehingga kini. Rasa cinta untuk kau langsung tidak ada di hatinya. Satu-satunya sebab dia mendekati kau adalah untuk mendapatkan maklumat bagi menawan Eucralipse. Kerk bercita-cita untuk menuntut bela atas kematian bondanya dan menghadiahkan Eucralipse kepada ayahandanya dengan harapan Eucralipse akan dapat memberi kegembiraan pada ayahandanya.”

Q-ra mengitari diriku. Memerhatikan setiap inci tubuhku. Seolah-olah cuba mencari cela di tubuhku.

“Kau memang bodoh sebab percaya Kerk jatuh cinta pada kau!” Tuduh Q-ra.

“Walaupun sekejap, walaupun dalam kepalsuan, sekurang-kurangnya aku dapat juga merasai bagaimana dicintai oleh lelaki yang kau panggil Kerk itu. Kau? Pernah ke kau dicintai oleh Kerk?” Sindirku. Sengaja membangkitkan amarahnya.

Dan ternyata aku tidak silap bila membangkitkan hal tersebut. Q-ra mula berang lalu melayangkan tumbukan sulungnya ke wajahku. Dengan sisa kudrat yang ada, aku pantas mengelak. Namun Q-ra lebih kuat dan pantas daripada yang aku jangkakan.

“Kerk mungkin lembut hati untuk bunuh kau tadi. Nak-nak lagi bila dia lihat kau menangis bagaikan budak kecil.”

Aku mengesat darah di tepi bibirku.

“Jadi aku datang ke sini untuk menyudahkan kerja Kerk yang tertangguh tadi. Ada apa-apa yang kau nak katakan sebelum aku tamatkan riwayat kau?”

“Tak ada apa-apa! Cuma aku harap kau tak terfikir yang aku akan terima apa sahaja tindakan kau tu tanpa melawan!”

Q-ra tersengih menyindir sebelum kembali membelasahku.

“Q-ra!”

Jeritan Kerk menghentikan serangan Q-ra ke atasku.

“Q-ra, apa yang kau buat ni?!” Soal Kerk lantang. Kerk menarik tubuh Q-ra menjauhi tubuhku. Aku mengerang kesakitan di lantai.

“Aku cuba selesaikan pertarungan kau yang tak sudah tadi! Lagipun dia memang layak diperlakukan begini!”

Kerk mengeluh.

“Bukan kau yang menentukan nasibnya. Ya, memang pertarungan aku dengan Eury tak tamat dengan baik tadi tapi itu bukan alasan untuk kau bertindak sesuka hati ke atasnya.”

Q-ra merengus marah.

“Jadi kau memihak pada Eury sekarang? Mana sumpah kau, janji kau untuk menuntut bela atas ketidakadilan Eucralipse terhadap kita?”

“Itu bukan urusan kau! Sekarang, aku nak kau keluar dari sini!”

“Kau memang suka pada dia, kan?”

“Macam yang aku cakap, itu bukan urusan kau! baik kau keluar sebelum aku jadikan kau salah seorang penghuni tetap penjara ni!”

Kerk menarik tangan Q-ra, memaksa gadis tersebut keluar dari sel penjaraku. Q-ra berlalu dengan wajah masam.

Kerk menghampiriku. Membantuku untuk duduk. Menatap diriku dengan wajah kasihan.

“Awak tak apa-apa?”

Awak? Bukan kau-aku?

“Saya minta maaf. Q-ra tak sepatutnya layan awak macam tu. Saya akan pastikan...”

“Tak payah berpura-pura baik, Kerk!” Celahku sekaligus membuatkan ayat Kerk tegantung di situ. Tangannya aku tepis.

“Bukan ke awak dan Q-ra berkongsi misi yang sama; menghapuskan saya. Jadi, siapapun yang melakukannya, asalkan matlamatnya sama, tak jadi masalah, kan?” Sambungku. Entah mengapa aku lihat wajah Kerk berubah ketika dia mendengar ayatku. Ada riak sedih di wajahnya. Dan keliru. Serta belas kasihan.

Tanpa menunggu aku berkata-kata lagi, Kerk mengeluarkan pisau kecil dari koceknya, berdiri dan berjalan ke arah dinding. Dengan sekuat tenaga, dia menikam bahagian tengah bunga bergigi tajam yang merupakan 'nyawa' kepada tumbuhan tersebut. Ada bunyi nyaring dihasilkan oleh bunga tersebut sebelum ia perlahan-lahan mati. Serentak itu akar pokok yang melilit kemas di pergelangan tangan dan kakiku putus.

Aku memandang Kerk dengan seribu pertanyaan.

“Apa yang awak cuba buat?”

Anak mata Kerk yang berwarna ungu menikam anak mataku.

“Bebaskan awak!”

9 comments:

kumako said...

yee...da de smbgan..cpatlah kerk taw spe dri dia..tak sbr2 nieh..

epy elina said...

hohohoho....
sih la part ni....
kcian eury.....
cnta dia tlus trhdp rei....
hrp2 x trlmbt sblum eury mnutup pntu atinya untk rei or kerk....

Daniera said...

wah akhirnya ada gak sambungan. miss eury tq so much. can't wait to read next episode =)

Anonymous said...

eleh,nak wat baik pulak si kerk nih...bole blah laaa

tzaraz said...

aku bengang ngan kerk!

aira said...

tak!..kerk baik..die confius je..die xtau hal sbnr..die cube deny feeling die kt eury..kalo x mmg die dh bnuh eury..

nad said...

oooo tidaakkkkkk!!! eury nape rase pendek je part ni??hehehhe... cepat2 sambung... x saba nk tau next part... ad+iz pn x kuar2 g...tensennye tgu.... rase nk dkt setgh thn tgu..x gak kuar novel... kalo eucralipse ni d novelkn pn best...sbb cite lain dr yg lain...

Anonymous said...

~exarra~

oh..
xtau nak komen ape...
cuma
cepat smbung ek eury...
hehe...
x sabar nk tau kisah selanjutnya ini...

Ai said...

sian yer kat puteri eury.. huhu..

kak eury mintak2 cepat ek smbung cite nih..
sy peminat setia cita nih.. hehe ^_^

Followers