Thursday, January 10, 2013

The Cold World 17



Tiada manusia yang sepatutnya tahu kewujudan Haven.

Dewa, Dewi, Angel, dan fairy hanyalah mitos dalam kehidupan manusia.

Memori tentang Haven bagaikan beban kepada Angel ketika berada di Bumi.

Semakin banyak memori yang berada dalam kotak ingatan, semakin singkat hayat Angel di Bumi.


“Riku berperangai aneh beberapa hari ini.” Kata Dewa Chiyo pad suatu petang. Dia terasa seperti dia terpaksa menyuarakan apa yang diperhatikannya saban hari pada Dewi Iva.

“Maksud kau?”

“Dia jadi pendiam. Hidup dalam dunianya sendiri. dan cara dia berfikir… sangat mendalam dan… kritis, mungkin?”

“Dia tidak dapat sokongan padu dari keluarga Dewa-Dewi. Dewi Rinako masih belum dapat terima dia sepenuhnya. Mungkin itu sebabnya. Err…”

Dewa Chiyo mengerling ke arah Dewi Iva dengan ekor matanya.

“Kau boleh mengatakannya…” Pujuk Dewa Chiyo.

“Mungkin juga kerana…”

“Katakan aje. Kau tahu itu kebenarannya.”

“… Harumi…” Rasa hangat terasa menyelinap masuk ke dalam hati Dewi Iva. Dan rasa itu menjalar ke seluruh tubuh melalui salur-salur darah, terus berkumpul di hatinya. Serasanya, itu kali pertama dia menyebut nama Angel tersebut.

“Aku setuju dengan alasan yang ini…” Dewa Chiyo tersenyum manis mendengar perkataan yang baru sahaja keluar dari mulut Dewi Iva.

Dewi Iva mengeluh. Diikuti oleh Dewa Chiyo.

“Tapi jika itu puncanya, nampaknya ianya bukan sesuatu yang baik.”

“Ya.” Jelas kelihatan garis-garis kebimbangan pada wajah mulus Dewi Iva.

“Dan Riku ‘menghalang’ aku dari melihat ramalan yang diterimanya sejak dia masuk ke Dewan Sidang tempoh hari. Aku sangat-sangat bimbang. Seolah-olah ada perkara yang besar dan penting akan berlaku.”

Dewi Iva mencengkam lengan Dewa Chiyo. Hampir sahaja Dewa Chiyo melompat dek kerana terkejut.

“Kau mesti cari cara untuk melihat ramalan Riku.”

Sepantas itu juga Dewa Chiyo menggelengkan kepala.

“Tidak semudah itu. Riku semakin mahir dengan kuasanya. Hidup di luar Isna Kristal dalam tempoh yang lama sedikit sebanyak membuatkan aku semakin sukar untuk memahaminya.”

“Aku risau dengan keadaan mereka.”

“Kau seperti sudah bersedia untuk mengakui sesuatu yang kau nafikan sejak sekian lama.”

“Aku tidak pernah menafikannya. Cuma membenamkannya jauh di sudut hati.”

“Cara yang mulia untuk menyayangi seseorang yang istimewa, bukan?”

Senyuman Dewa Iva kelihatan sepi.

@~@~@~@

“Saya datang Dewa Dai.”

Dewa Dai berhenti menulis. Pen dari pegangan. Bersandar di kerusi, dengan sepuluh jari bertaut antara satu sama lain, Dewa Dai memerhatikan Kaze.

“Kamu tahu, dewa yang berani adalah dewa yang berjaya mengatasi rasa takutnya terhadap apa jua perkara. Dan aku percaya perkara seumpama itu hanya mitos semata.”

Terkebil-kebil mata Kaze cuba memahami maksud kata-kata Dewa Dai.

“Kamu tahu? Rasa takut ‘punya kembarnya’. Sayang. Bila rasa sayang pada seseorang terdetik di hati, maka rasa takut akan turut sama bertamu di hati. Rasa takut seperti bayang hitam yang sentiasa membayangi rasa sayang, cinta, dan kasih kerana hidup ini penuh dengan ketidakpastian dan kejutan. Takut kehilangan. Takut dicederakan. Takut tidak memiliki. Takut didustai. Takut dicurangi. Takut ditinggalkan. Takut pada takdir. Takut pada ketidakpastian. Dan bermacam-macam jenis ketakutan lagi. Rasa takut ini akhirnya akan membelenggu diri. Mewujudkan batasan diri seseorang.”

Kaze berkerut. Apa yang keluar dari mulut Dewa Dai ketika ini seperti di luar batas pemikirannya. Namun sebagai pengikut yang patuh, dia sedaya-upaya mendengar dan cuba memahaminya.

“Kamu harus tahu masa juga memainkan peranannya yang tersendiri dalam mewujudkan rasa sayang, cinta, dan kasih di dalam hati seseorang. Aku percaya, menghabiskan masa bersama seseorang dalam jangka masa yang lama akan menerbitkan rasa sayang, cinta, dan kasih. Bagi aku tiga rasa tersebut hanya elemen yang membuatkan kita lemah dan menjadi tidak sempurna.”

Kaze mengangguk.

“Hari ni sewaktu di dewan, aku dapat rasakan ada sesuatu yang berubah tentang Riku. Aras keyakinannya bertambah berbanding beberapa hari lalu. Agak mengejutkan. Dan aku masih tidak dapat mengesan ketakutannya. Untuk seseorang yang mempunyai stok rasa sayang yang menggunung dalam hati, perkara tersebut adalah sesuatu yang mustahil. Sama ada dia benar-benar tiada seseorang atau benda yang disayangi atau ditakuti, atau…”

“Atau?”

“Atau dia benar-benar bijak mengawal rasa takutnya, setidak-tidaknya di hadapan aku.”

Keadaan hening buat seketika. Dewa Dai seperti tenggelam dalam dunianya sendiri. memikirkan sesuatu dengan wajah yang serius.

“Tuan?”

“Bertahun mereka hidup bersama. Aku percaya Riku sayang pada Harumi.”

“Jadi apa arahan tuan, Dewa Dai?”

Dewa Dai mengunci mulut buat seketika. Mengamati lelaki di hadapannya itu.

“Turun ke bumi, Kaze.”

Kaze mengangkat keningnya.

“Aku arahankan kau untuk turun ke Bumi. Cari Harumi. Hapuskan dia!”

Kali ini Kaze kaget. Dia harus turun ke Bumi?

“Kau pengikut aku yang paling setia, bukan?”

“Ya. Tapi…”

“Sehingga kau dapat menghapuskan Harumi. Sebelum tiba hari tersebut, ‘pintu masuk’ ke Haven tertutup buat kau.”

“Adakah…”

“Jangan risau, semua memori kau akan kekal bersama kau untuk memudahkan kau mencari dan mengenal Harumi.”

Namun jaminan Dewa Dai langsung tidak dapat menenangkan hati Kaze.

“Dewa Dai, angel yang turun ke Bumi dengan ingatan yang penuh akan lebih pendek hayatnya berbanding angel yang turun dengan ingatan separuh atau angel yang turun tanpa ingatan tentang Haven. Dalam perkiraan saya, hayat kami mungkin dalam tiga bulan atau kurang dari itu.”

Dewa Dai tersenyum. Senyumannya terasa menggerunkan apabila dipadankan dengan arahannya kini.

“Jadi aku cadangkan pada kamu agar memulakan pencarian tersebut sekarang.”

Kaze menghela nafas panjang kerana dia tidak nampak tanda-tanda Dewa Dai akan menarik balik arahannya. Adakah Dewa Dai sanggup mengorbankan nyawa aku agar perkara yang diingininya berjalan seperti yang dirancang?

Tanpa punya pilihan, Kaze segera berjalan keluar dari bilik tersebut.

“Riku… Aku akan pastikan Haven tidak akan jatuh ke tangan kau.”

Satu tumbukan dilepaskan ke meja.

@~@~@~@

Masa di Haven tidak bergerak seiring dengan masa di Bumi.

Bagi mereka yang tidak biasa merentasi Haven dan Bumi akan menghadapi masalah orientasi masa serta ingatan.

Bagaimana mereka menghadapinya adalah bergantung bagaimana keadaan mereka ketika berada di Haven.

Berkelip-kelip kelopak mataku memandang lelaki itu.

Dia hanya duduk di situ. Memandang, meratap pada kertas putih yang sudah hangus terbakar.

Rasanya dia sedang bersedih. Nampaknya dia tidak suka dengan tindakan aku. Habis dia fikir dengan cara apa harus aku dapatkan kehangatan api kalau tidak membakar kertas-kertas yang sarat dengan lukisan tu?

Suasana hening melatari suasana. Tiada sesiapa yang bercakap. Tiada sesiapa yang mahu membuka bicara. Aku pandang dia. Dia pandang aku.

Wajah lelaki itu masam mencuka. Pandangan matanya tajam menikam. Memerhatikanku. Dan dia seperti sedang memikirkan sesuatu secara mendalam.

"...."

Dia menggerakkan wajahnya ke hadapan. Kemudian ke bawah pula. Adakah dia sedang mengangguk?

Dahiku berkerut. Dah bisu pulak tiba-tiba? Tadi elok aje menjerit.

"..."

Aku balas dengan anggukan. Meniru gayanya. Berbicara dengan gerakan mata dan kepala. Are we out-of-word already? I thought we have just met. Anehnya situasi sebegini... Aneh kerana kami masih di peringkat awal perkenalan.

Jari telunjuk lelaki berambut sedikit panjang dan tajam di hujungnya itu mula bergerak ke atas dan ke bawah. Sekejap-sekejap dia menunjuk ke arahku. Kemudian dia menunding ke atas pula. Langit masih gelap. Ada titik-titik bercahaya di dada langit. Rasa manusia di Bumi memanggilnya sebagai bintang. Ya, bintang.

"..."

Aku mengangkat bahu. Sekali lagi aku meniru gayanya. Tanganku mula menunjuk itu dan ini. Akhir sekali aku tundingkan jari padanya.

"Kenapa aku pulak?!" Katanya dalam nada tidak puas hati.

"Hah! Adapun suara. Kan senang kalau bercakap guna mulut dari guna bahasa isyarat." Perliku.

Lelaki itu ternganga. Sejenak kemudian dia menutup telinga. Wajah berkerut. Mata membulat. Dan ada titisan peluh di dahinya. Kenapa? Bukankah cuaca malam ini dingin? Sangat-sangat dingin sehingga aku terpaksa menongkat dagu untuk menghentikan gigi yang menggelatuk sesama sendiri.

"Kau ni siapa?" Soalnya garang.

"Aku, aku la." Lelaki itu mengetap gigi. Bengang.

"Yela, maksud aku siapa? Nama apa? Datang dari mana? Orang mana? Macam mana kau boleh ada kat sini tengah malam buta macam ni?"

Aku mula panik. Nama? Nama. Hurm... Boleh ke aku bagi nama sebenarku? Harumi. Adakah nama itu nama biasa di Bumi? Aku tak tahu. Oleh kerana aku bukan pelajar pintar di Haven, oleh kerana aku tidak pernah habis membaca walaupun sebuah buku di Haven, makanya soalan semudah sebegitu begitu sukar untuk aku jawab. Rasa kesal menggunung di hati.

"Emm... Hurm..."

Harumi. Haru. Boleh bagi nama tu? Umi? Mi? Macam tak sedap aje pulak...

"Hoi! Aku tanya nama kau siapa?"

"Mya!" Gara-gara terkejut disergah, laju sahaja bibirku menyebut nama itu. Mya? Hurm... sedap gak nama tu.

"Mya?"

Segera aku mengangguk.

"Okey, Mya. Kenapa kau pakai kostum pelik tu?"

Kostum? Apa tu? Apabila lelaki rambut serabut dan berwajah sembap itu menunding ke arah tubuhku, aku membuat kesimpulan sendiri. Baju. Pakaian yang aku pakai.

Aku tersentak.

Kostum pelik. Adakah dia maksudkan dengan...

Sayapku...?

Pandangan mataku teralih ke belakang badan sekarang. Gagal melihat dengan jelas, tanganku meraba belakang tubuh.

Eh…

Mana sayap aku?

Ingatan segera berputar ke masa lalu. Perbualan antara aku dan Miyuki.

“Sayap?”

“Sayap kita tak akan kelihatan.”

“Hilang? Habis macam mana nak naik ke Haven semula?”

“Bukan hilang. Ada, tapi bukan di hadapan manusia. Sebagai angel, kita secara automatiknya akan tahu cara untuk ‘menyorokkan’ sayap ketika berhadapan dengan manusia, dan mengembangkan sayap bila tiba masa untuk pulang ke Haven.”

“Macam mana caranya? Ajar aku.”

“Tak ada teknik tertentu la, Harumi. bila tiba masanya, kau akan tahu untuk melakukannya dengan sendirinya. Macam kau tahu masa-masa untuk kau makan dan tidur.”

Makan dan tidur adalah perbuatan yang sangat-sangat-sangat sukar bagi angel kerana mereka tidak makan dan tidur. Hanya aku angel yang sebegitu. Tapi untuk pengecualian itu, aku mendapati kesemua rutin bagi angel adalah sesuatu yang sangat-sangat-sangat sukar bagiku. Sangat-sangat-sangat adil, bukan?

Tanpa sedar, aku tersenyum sendirian. Bersyukur, sekurang-kurangnya semua berjalan dengan lancar. Aku tahu bagaimana untuk ‘menyembunyikan’ sayapku seperti angel yang lain.

“Hoi! Aku bertanya. Yang kau tersenyum-senyum, kenapa? Mereng?”

Lelaki ni mungkin kacak, mungkin dia yang pertama yang aku lihat maka dia akan jadi yang paling kacak, tapi mulut dia memang ‘tak sekacak’ wajahnya. Macam hampeh!

Baru hendak muka mulut, lelaki itu sudah menganngkat tapak tangannya.

“Bercakap dengan suara yang perlahan. Jangan menjerit. Aku tak sampai dua kaki pun dari kau.”

Aku buka mulut lagi.

“Dan tolong ringkaskan ayat kau.”

Apa masalah lelaki ni dengan suara aku????

“Soalan kau?”

“Okey. Apa yang kau buat kat atas tu tadi? Tak, tak! Macam mana kau boleh ada kat atas tu, itu soalan yang patut aku tanya dulu."

"Err..." Aku tak boleh cakap aku angel. Aku tak boleh cakap aku datang dari Haven. Itu melanggar etika, protokol, undang-undang angel yang turun ke Bumi. Lagipun manusia tidak sepatutnya tahu tentang kewujudan Haven, angel, dewa-dewi. Kewujudan kami rahsia alam. Manusia terlalu sukar untuk dibaca sikap dan tindakannya. Dan itu mungkin boleh mendatangkan bahaya pada Haven dan penghuninya.

"Model."

"Model?"

Aku segera mengangguk. Untuk menjadi penipu yang baik, penipu harus percaya dan yakin apa yang dikatakannya. Barulah penipuan itu menjadi kebenaran. Aku menjadi penipu sekarang. Dan kau, lelaki, harus percaya sepenuh hati.

"Ya. Aku model. Sebab tu aku ada kat atas tu."

Lelaki itu tercengang. Sejenak dia memandang aku dan atap rumahnya yang sudah berlubang.

"Model apa yang ambil gambar kat tingkat 38 ni?”

Dia pandang aku atas bawah, dari bawah ke atas semula.

“Kalau pelakon lagak ngeri, logik la sikit. Rupa pun dah ada sikit aku tengok." Rungut lelaki itu.

Aku angkat kening. Ni puji ke keji ni?!

Lelaki itu kembali menegakkan badannya.

"Tak ada. Apa yang cuba aku cakap... Err... Patut la kau pakai baju pelik macam tu!" Ujarnya seraya memerhatikan bajuku.

Pandanganku jatuh ke bawah, pada baju yang aku pakai. Biar betul? Gaun putih melepasi lutut diperbuat daripada bulu pelepah yang turut berwarna putih. Tapi warna putih bulu pelepah tersebut lebih putih dari siling rumah. Lebih putih dari warna putih di Bumi. Warna putihnya sangat terang dan bersinar. Jika diperhatikan dalam kadar masa yang lama, mata akan berpinar dan benda lain akan kelihatan pudar. Pendek kata bajuku menarik tumpuan sesiapapun yang memandang. Walaupun tanpa sayap, baju ini mungkin kelihatan terlebih menonjol berbanding baju di Bumi.

“Mana krew yang lain?”

Hah? Apa? Krew?

“Jurugambar, jurusolek, lightman….”

“Err… Dah pergi!”

“Pergi? Maksud kau, balik?”

“Er, ya! Balik rumah.diorang letih sangat jadi diorang dah balik dulu.”

“Dan tinggalkan kau sorang-sorang kat bangunan 38 tingkat ni?”

Dia menjulingkan matanya.

“Sangat-sangat logik…”

Wajah aku berkerut. Peliknya pergerakan mata dia. Angin yang bertiup menyebabkan aku menggosok kedua-dua belah lengan. Spontan, mata beralih memandang bakul sampah. Ooo… Patut la. Api dah padam. Tiba-tiba aku teringat sesuatu.

“Kertas tu berharga pada kau?” Soalku takut-takut.

“Seperti nyawa aku.”

Aku tersentap.

“Kalau tak ada nyawa, maksudnya kau akan mati ke?”

Tawar senyuman lelaki itu.

“Polos, atau bodoh? Kau pilih aje yang mana satu.”

Ha? Aku tak faham. Ni cara manusia bergurau ke?


"Sudah la! Kau tak payah risau. Mungkin memang di situ tempatnya." Katanya dengan wajah muram.

Sebentar kemudian wajahnya berubah menjadi tegang semula. 

“Kau patut risau tentang tu?” Katanya sambil menunding ke atas, ke arah siling rumah yang sudah berlubang sebesar ukur lilit badanku.

“Err… Aku minta maaf…”

“Minta maaf tak akan dapat baiki siling tu.” Perli lelaki itu.

“Habis?”

“Kau kena ganti.”

“Macam mana?”

“Kau pandai buat rumah?”

Aku geleng kepala.

“Bertukang?”

Geleng lagi.

“Tapi kau ada duit, kan?”

Aku tercengang. Duit apa?

“Kata model. Muka macam ni, baju sikit punya diva, siap ambil gambar dekat bumbung lagi, mesti mahal kau dapat upah. So… Bagi aje duit kau tu kat aku dan aku boleh panggil orang untuk baiki. Okey?”

Aku geleng kepala. Aku tak ada ‘duit’. Cerita model-model tu semua pembohongan aje.

“Tapi aku…”

Dia bangun dan melangkah ke arah tangga. Satu persatu anak tangga dipanjat sambil menguap.

“Wei, aku tak abis cakap lagi!”

“Aku mengantuk. Esok aje kita bercakap. Jangan sesekali fikir nak lari sebab pintu rumah ni ada penggera. Kalau kau tak masukkan password yang betul, penggera akan berbunyi dan polis akan sampai dalam masa kurang 3 minit.” Katanya tanpa memandangku.

Penggera? Password? Polis? Apakah…

“Lagi satu…”

Aku mendongak ke atas. Lelaki itu memandang aku dari balkoni dari tingkat dua rumahnya.

"Suara kau... Kalau kau tak ada benda nak cakap, jangan bercakap. Senang cerita, jangan bersuara kalau aku tak suruh atau tanya."

Ha? Suara aku... Kenapa dengan suara aku?

“Jangan bercakap dengan sesiapun selain aku.”

“Tapi, kenapa?”

“Itu arahan. Arahan tak perlukan alasan!”

Eh....

Tombol dipulas dan dia masuk ke dalam salah satu bilik yang ada di situ.

Aku dari Haven, tempat tinggal Dewa-Dewi, angel dan Fairy yang melakukan keajaiban pada manusia.

Sekarang aku berada di Bumi.

Tapi…

Untuk lelaki sengal macam tu, perlukah keajaiban untuknya?


*** Secepat kilat tak n3 TCW 17?
*** ok, ms utk berhibernasi...

Saturday, January 5, 2013

The Cold World 16




The Greatest Fear

Ahli-ahli di Meja Utama Dewa-Dewi ditentukan oleh kerusi-kerusi yang terdapat pada meja tersebut.

Terdapat tujuh kerusi kesemuanya di Meja Utama Dewa-Dewi.


Riku membuang pandang pada ahli-ahli di Meja Utama. 

Dewa Dai. Di kirinya Dewi Iva. Diikuti pula Dewa Chiyo. Kerusi milik Dewi Rinako kosong tanpa pemiliknya dipandang sepi oleh Riku. Kerusi di sebelah kanannya juga turut kosong. Nampaknya belum ada sesiapa lagi yang layak untuk duduk di situ.

Dan pandangannya berlabuh lama pada kerusi kosong di sisi kirinya. Kerusi yang paling mewah hiasannya. Kerusi yang terletak di bahagian kepala meja. Rasa sayu membaluti hatinya.

Ayahanda…

Hari ni buat pertama kalinya selepas kematian ayahanda, anakanda menghadiri perjumpaan Dewa-Dewi. Layanan mereka kali ini berbeza sekali dengan layanan terakhir mereka beberapa tahun dulu. Walaupun anakanda duduk di tempat yang sama, di meja ahli pentadbiran tertinggi di Haven, namun kenapa anakanda terasa seperti berada di dalam kandang pesalah? Setiap pandangan benci yang diberikan kepada anakanda mengingatkan anakanda terhadap perbuatan anakanda terhadap ayahanda.

Ayahanda… Kenapa agaknya anakanda dipilih untuk melaksanakan takdir yang sudah tersurat itu?

Kenapa?

Keadaan dewan hingar-bingar semula.

Bunyi meja ditepuk mencuri tumpuan seisi dewan. Tidak lagi pada Riku, sebaliknya pada Dewa Ichiro yang duduk di bahagian selatan dewan.

“Apa? Apa yang dia buat di sini?” Dengan lantang dia bersuara.

Seorang dewi di bahagian selatan dewan berdiri.

“Aku nak keluar dari sini. Tak sanggup rasanya berada dalam dewan ni bersama pembunuh!”

“Nak mengadap muka dia pun aku tak sanggup!”

“Bonda dia sendiri tak sanggup untuk hadir ke perjumpaan ni!”

Separuh daripada Dewa-Dewi berdiri, bersedia untuk meninggalkan dewan.

“Pergi aje!” Ujar Dewa Chiyo sinis. Nada suaranya perlahan namun cukup jelas untuk didengari oleh semua yang ada di situ. Mereka tidak jadi untuk melangkah. Sebaliknya memandang ke arah Dewa Chiyo.

“Kepada dewa-dewi yang dah tua, dah lemah otak, sila balik tempat asal kamu  dan sambung balik ‘tidur’ kamu. Ada atau tak kamu semua dalam dewan ni, langsung tak penting bagi aku. Kerana kamu hanya boleh mendengar dan memberi cadangan sekiranya kami perlukan. Kata putus terhadap apa jua isu terletak pada tujuh Dewa-Dewi yang duduk di Meja Utama ni. Jadi, aku boleh katakan yang kehadiran kamu di sini tidak diperlukan.”

Ada yang mendengus, ada yang merungut, malah ada yang membuntangkan mata sebaik sahaja mendengar ayat berbisa Dewa Chiyo. Dewa Dai menjeling ke arah Dewa Chiyo. Menghantar isyarat bahawa dia tidak bersetuju dengan apa yang keluar dari mulut Dewa Chiyo. Mata Dewi Iva, tanpa jemu, memerhatikan Dewa Dai. Bersedia untuk menenangkan amarah Dewa Dai. Semua tahu Dewa Dai tidak suka keadaan di mana dia hilang kuasa untuk mengawal keadaan. Dan dia suka menjadi yang utama.

“Sila keluar secepat mungkin atau berhenti mengganggu persidangan ini!”

“Dewa Chiyo!”

Dewa Chiyo dan Dewa Dai beradu mata. Melihat keadaan semakin tegang, Dewa Iva menegakkan badannya.

“Dewa-Dewi sekalian, tolong bertenang! Tolong jaga martabat anda semua sebagai Dewa-Dewi yang dihormati di Haven ini.” Suara lembut Dewi Iva menenangkan keadaan tegang dalam dewan. Setiap perkataan yang dituturkan bagaikan berlagu di telinga mereka yang mendengar. Suara yang punya kuasa untuk memujuk, menenangkan, menghiburkan, menggembirakan.

Dewa-Dewi kembali duduk di tempat masing-masing. Emosi mereka mula tenang. Tidak lagi marah dan tersinggung seperti tadi.

Dewa Chiyo menganggukkan kepalanya pada Dewi Iva.

‘Terima kasih. Suara kau tak pernah berubah. Suara yang paling indah di telinga sesiapa yang mendengar.’

Dewa Iva menganggukkan kepala selepas ‘mendengar’ pujian Dewa Chiyo. Untuk seketika Dewa Chiyo dibuai rasa. Jelingan Dewa Dai menyedarkannya akan sesuatu. ‘Rasa’ itu dibuang jauh dari hati.

Saat itu juga dahi Riku berkerut. Apa yang tergambar di mindanya membingungkan. Segera dia mencipta ‘tabir’ untuk mengelak Dewa Chiyo dari membaca ramalan yang diterimanya.

Perhatian Dewa Chiyo kembali terarah pada Dewa-Dewi yang duduk di sekeliling dewan.

“Aku tahu semua yang ada di sini ada pendapat masing-masing, tetapi aku mohon supaya kamu semua cuba memahami Dewa yang paling muda di dewan ini, Riku. Umurnya tak sampai 1/10 pun dari umur kita semua. Dengan umur semuda itu, dia mendapat kuasa yang hebat. Kuasa yang dimilikinya ini sangat berguna dan dalam masa yang sama sangat-sangat ‘rapuh’.”

Dewa Chiyo memerhatikan setiap seorang yang ada di situ. Kemudian dia menyambung katanya.

“Dengan usia semuda itu dan mempunyai meramal masa depan, Riku membuat keputusan sebegitu. Percayalah, Riku sedaya-upaya untuk mengelakkan perkara itu dari berlaku namun tiada apa yang dapat diubah olehnya. Seperti memang sudah ditakdirkan Dewa Arashi mati di tangannya.”

Suasana dewan berdegung bagaikan sekawanan lebah.

 “Boleh kami tahu bagaimana kuasa kamu berfungsi?” Soal salah seorang Dewa di situ.

Beberapa orang Dewa-Dewi berbisik sesama sendiri. Sebahagian besar daripada mereka menanti jawapan dari Riku. Dewa Chiyo mengangguk pada Riku. Seakan memberi semangat pada Riku untuk menjawab.

“Ramalan yang saya terima berada di luar kawalan saya. Saya menerima ramalan tidak kira masa dan tempat. Adakalanya saya boleh menentukan ramalan yang saya mahu lihat. Tetapi ini memerlukan tenaga dan tumpuan yang lebih. Dan saya masih belum mahir dengan perkara itu.”

“Bagaimana bentuk ramalan yang kamu terima?”

“Ianya seperti melihat satu babak cerita yang tiada awal serta pengakhiran ceritanya. Ia bergantung kepada tafsiran saya yang melihat semata-mata. Mentafsirkan ramalan secara membuta-tuli akan membuatkan saya mengambil keputusan yang salah. Dan kuasa saya ini sangat rapuh. Sedikit perubahan akan merubah seluruh ramalan saya. Menurut Tirai Masa, ramalan yang saya nampak adalah perkara apa yang saya patut tahu ketika itu.”

Sebaik sahaja Riku selesai menerangkan hal berkenaan kuasanya, Dewa-Dewi berbincang sesama sendiri.

“Seperti yang aku katakan tadi, hanya persetujuan ahli Meja Utama sahaja yang diambil kira undinya. Dewa-Dewi yang lain boleh membantah mahupun menyokong, terpulang kepada kamu. Apa yang pasti, Riku sudah cukup dewasa untuk mengulangi kesilapan yang sama.”

Dewa Dai menggenggam jari-jemarinya. Walaupun dia tahu yang Riku mahu mengembalikan kedudukannya di Haven, namun dia tidak menyangka perkara itu akan berlaku dalam masa yang terdekat.

“Dewa Chiyo, aku rasa kau terlalu banyak bercakap hari ini. Bukankah elok jikalau tuan yang empunya diri yang bersuara?”

“Oh, maafkan aku, Dewa Dai! Mungkin kerana terlalu teruja, maka aku terlupa menjaga adabku. Aku Cuma fikir, alangkah bagusnya sekiranya semua kerusi yang ada di meja ini diisi. Meja ini terlalu luas rasanya bila hanya ada kita bertiga.”

Dewa Dai menjeling tajam.

‘Apa yag kau fikirkan Chiyo? Ketakutan kau… Apa agaknya sumber ketakutan kau?’

“Silakan Riku.”

Riku menolak kerusi ke belakang. Dia berdiri dan memandang wajah setiap seorang yang ada di situ.

“Dewa-Dewi yang saya hormati sekalian, saya minta maaf atas semua kesalahan saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana tidak mengenakan hukumanyang berat pada saya. Dan hari ini saya sekali lagi inginkan kepercayaan serta sokongan kesemua Dewa-Dewi untuk menerima saya kembali dalam system pemerintahan Haven. Saya mahu kembali ke kedudukan asal saya. Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk Haven.”                         

Dewa Chiyo menghadiahkan senyuman pada Riku. Syabas, Riku!

“Mulakan undian.” Ujar Dewa Dai. Riku segera memejamkan mata. Takut dengan apa yang bakal disaksikan sebentar nanti.

Dewa Dai mula panas punggung. Kalau dewa-dewi termakan dengan kata-kata Riku tadi macam mana? Suka atau tidak, dia terpaksa mengakui Riku dahulu adalah dewa kecil yang berjaya memukau kesemua dewa-dewi ini dengan kecomelan, kepetahan, serta kuasa yang dimilikinya. Mungkin saki-baki kasih-sayang mereka akan membuatkan mereka kasihan pada Riku, lembut hati pada Riku. Mereka akan membenarkan Riku duduk di meja ini semula! Dewa Dai mengetap giginya.

Dewa-Dewi yang duduk di belakang Meja Utama secara bertingkat-tingkat mula menggerakkan sayap mereka. Dengan kelajuan yang berbeza, sayap mereka mengeluarkan warna yang berbeza. Dengan kelajuan sederhana, sayap mereka akan mengeluarkan cahaya merah sebagai tanda mereka tidak bersetuju. Kelajuan tahap maksimum pula akan menghasilkan cahaya kuning yang melambangkan persetujuan mereka.

“Buka mata kamu, Riku.” Pinta Dewa Chiyo.

Perlahan-lahan, Riku membuka kelopak matanya. Dan anak matanya membesar sebelum kembali mengecilkan matanya. Menghadkan kemasukan cahaya teus ke retina mata. Cahaya kuning di sekelilingnya hampir membuatkan matanya silau; menenggelamkan cahaya merah yang hanya kelihatan seperti titik-titik kecil di satu dua tempat. Dan senyuman mekar di bibirnya.

“Terima kasih…” Katanya dengan rasa terharu. Wajah masam mencuka Dewa Dai diabaikan sama sekali.

“Sekarang undian di Meja Utama pula.” Arah Dewa Dai.

Rasa panik mula bertamu di hati Riku. Kerana dia sedia maklum keputusan yang bakal dilihatnya nanti. Dewa Dai tidak mahu dia menjadi sebahagian dari ahli meja tersebut; tidak sekiranya dia tidak menjadi sekutunya. Dewi Iva, seingatnya semenjak dari dulu senantiasa berpihak pada Dewa Dai. Tidak kira sama ada Dewa Dai berada di pihak yang benar ataupun salah. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi yang membingungkan bagi seorang Dewi yang cintakan kedamaian dan keadilan.

Dewa Chiyo sangat rasional. Dia seorang yang adil, positif dan keputusannya tidak dibayangi atau dipengaruhi oleh sesiapapun.

Dan dia ada plat ayahandanya. Plat yang membuktikan bahawa ayahandanya sentiasa menyokongnya.

Maka keputusan akan seri.

Kalaulah bondanya ada di sini, undian bondanya akan menjadi pemutus terhadap perkara ini.

“Seri.” Kata Dewa Dai dengan bibir sedikir terjongket ke atas. Masih ada harapan, bisik hatinya.

Riku menggenggam erat plat Dewa Arashi. Kelopak mata dikerdipkan beberapa kali. Perlahan-lahan dia mengalihkan pandangan ke pintu utama.

“Bonda…” Bisik Riku.

Saat itu juga pintu dewan dibuka dari luar. Seluruh pandangan menyorot dewi cantik yang berdiri dengan anggun di muka pintu.

“Tepat pada masanya Dewi Rinako.” Ujar Dewa Chiyo.

“Ini undi aku.”

Cahaya kuning terhasil dari sayap Dewi Rinako.

Riku menarik nafas dalam-dalam dan mula mengukir senyuman.

@~@~@~@~

Isi dewan sudah lengang.

Riku mengatur langkah ke arah bondanya. Dewi Rinako berhenti berbual dengan Dewa Chiyo. Dewi Iva di belakang mereka sudah bergerak mengekori Dewa Dai keluar dari dewan.

“Bonda…” Panggil Riku.

Dewa Chiyo tersenyum. Mengangguk ke arah Riku dan meninggalkan dua beranak itu. Sempat dia menepuk bahu kiri Riku sebelum mendapatkan Tanaka.

Riku mencapai tangan bondanya. Lega hatinya apabila bondanya tidak menepis tangannya. Genggaman tangan dieratkan.

“Terima kasih.”

Dewa Rinako tersenyum lemah.

“Dewa Chiyo menyakinkan bonda. Cuma satu bonda minta. Jangan buat sesuatu pergi itu lagi.”

Riku segera mengangguk. Selain berharap dan berdoa, apa lagi pilihan yang dia ada? Walaupun dia mempunyai kuasa untuk melihat masa hadapan, takdir bukan sesuatu yang boleh diubah sesuka hati. Itu yang diajar oleh Tirai Masa.

“Bonda maafkan saya?”

Dewi Rinako mengusap pipi Riku dengan penuh kasih sayang. Pandangan matanya sayu. Senyumannya nipis.

Riku melangkah setapak untuk mendakap bondanya. Tak apa, bonda. Asalkan bonda cuba, asalkan Riku boleh peluk bonda begini, itupun sudah memadai…

Dewa Rinako meleraikan pelukan mereka.

“Bonda patut balik ke istana sekarang.”

Walaupun berat hati, Riku mengangguk jua. Menghantar Dewa Rinako pergi dengan pandangan mata.

“Hebat ucapan kamu tadi. Walaupun ringkas tapi cukup untuk membuatkan hampir semua dewa-dewi terharu, simpati dan memahami keadaan kamu.”

Riku tidak menjawab. Hanya memandang sepi ke arah kelibat Dewi Rinako yang semakin hilang dari pandangan.

“Beri dia masa…”

“Saya tahu.”

Dewa Chiyo menepuk-nepuk bahu Riku. Simpati dengan nasib yang menimpa Riku. Namun dia tahu, Riku tabah orangnya. Dan Dewa Rinako terlalu rindukan puteranya. Cuma ego serta rasa sedihnya sahaja yang membuatkan dia terus bersikap dingin pada Riku.

“Dewi Rinako sangat sayangkan ayahanda kamu. Kamu tahu itu, kan? Apapun, dia mengundi kamu tadi. Itu menunjukkan dia sudah bersedia untuk memaafkan kamu.”

Tubuh lemah longlai Riku tegak serta-merta. Pandangannya setepat ke hadapan.

“Aku gembira kamu dapat menyertai kami semula di meja itu…”

Dan suara Dewa Chiyo semakin jauh dari pendengarannya. Kelopak mata ditutup rapat-rapat. Menghalang Dewa Chiyo dari melihat apa yang dilihatnya. Namun apa yang dilihatnya membuatkan tubuhnya menggigil. Dadanya terasa sesak. Nafasnya tersekat-sekat.

“Riku?”

Kaki yang lemah bagaikan tidak mampu lagi menampung berat badannya. Riku segera berpaut pada dinding di tepinya.

“Riku? Kenapa ni?” Soal Dewa Chiyo cemas.

Riku yang sudah terduduk di lantai hanya mampu menggelengkan kepala.

“Haru… Haru… Haru…” Rintihnya.

Followers