Monday, December 26, 2011

The Cold World 7

Merungkai Misteri


Walaupun angel tak seperti manusia namun angel tidak dapat mengelak dari berkelakuan seperti manusia.


“Adakah kau cuba mengosongkan perpustakaan, Cik Angel Yang Bebal?”

Bibir atas aku tekan kuat ke bibir bawah. Kelopak mataku terpejam tanpa dipinta. Hanya dengan mendengar suara, aku sudah mengenal siapa yang sedang membuliku kini.

Sara dan Saki.

Mereka bukan sesiapa yang penting di Haven. Hanya angel biasa kelas 4. Tak lama lagi mereka akan naik ke kelas 5. Tahap tertinggi bagi angel. Mereka bukan pelajar paling cemerlang atau angel yang paling cantik di Haven. Satu-satunya perkara yang membuatkan mereka terasa superior daripadaku adalah perbezaan kelas kami sedangkan kami sebaya.

“Tak ada sesiapa ke yang halang kau dari bawa keluar semua buku-buku ni?”

Takut-takut, kepala aku dongakkan dan aku menggeleng. Seperti yang aku jangkakan, mereka sedang memegang buku-buku yang aku bawa tadi. Sebab itulah buku-buku tersebut tidak berada di lantai seperti yang sepatutnya.

Tubuhku terasa sakit-sakit akibat terjatuh.

“Junior kelas 1 hanya dibenarkan pinjam 2 buah buku dalam satu-satu masa di rak umum. Kau bukan sahaja pinjam melebihi jumlah yang dibenarkan, malah kau juga pinjam buku yang tinggi arasnya dari IQ kau yang lembap ni!”

Kepala terasa ditujah. Tetapi bukan kepalaku yang terasa sakit sekarang, sebaliknya hatiku yang terasa pedih.

“Tak akan kau tak baca peraturan perpustakaan? Kalau ada 10 angel lemah akal macam kau ni, bawa keluar semua buku kat perpustakaan, habis senior macam kami ni nak baca apa? Bodoh!!”

Angel macam Saki dan Sara ni jenis yang suka membangga diri walaupun diri tak sehebat mana. Walaupun teringin untuk melawan, tapi berdasarkan pemerhatianku, lebih baik berlagak bodoh dan membiarkan sahaja dia mencaciku dan berlalu pergi. Bergaduh dengan angel sepertinya tidak membawa apa-apa kebaikan.

“Maafkan aku. Aku terlepas pandang ...”

“Dasar bodoh!”

Mulut Saki berdecit.

“Memang sia-sia Senior Riku jadi trainer kau! Membazir!”

Aku ketap gigi. Kalau nak kutuk aku, kutuk aku sahaja. Jangan libatkan Riku. Tak boleh ke macam tu?

“Pulangkan balik buku-buku ni. Seabad pun kau baca buku-buku ni, kau tak akan dapat faham.”

Sara dan Saki melepaskan buku-buku itu dari pegangan mereka. Dan buku-buku tersebut mula mengikut hukum graviti; jatuh ke bawah. Salah satu daripada buku-buku tersebut; buku yang paling tebal, jatuh betul-betul di atas kepalaku.

Kepalaku berdenyut sakitnya. Pandanganku berpinar buat seketika. Ketika itulah aku terdengar suara Sara dan Saki tersekat-sekat di kerongkong mereka.

“Apa yang sedang kamu lakukan, Sara, Saki?”

Suara itu perlahan dan mendatar sahaja bunyinya.

“Senior Riku!”

“Belajar dalam kelas 4 hebat sangatkah?”

Tiada bunyi keluar dari mulut Sara dan Saki.

“Hebat sangatkah jadi angel kelas 4?” Riku sedikitpun tidak memandang Sara, Saki atau aku. Riku memandang angel-angel yang lalu-lalang di tingkat bawah dan atas, seperti sedang memastikan tiada sesiapa yang sedar ketegangan yang wujud antara kami berempat. Mujur tiada sesiapa yang berjalan berdekatan dengan kami tika itu.

“T...Tak.”

“Kalau setakat lulus cukup-cukup makan, meniru, bodek guru-guru dan senior untuk lulus, kamu berdua tak lah sehebat mana! Pada aku, Harumi lebih hebat dari kamu. Sekurang-kurangnya Harumi belajar dan memperolehi markah mengikut kemampuannya sendiri. Dia jujur. Tak berpura-pura. Sebab tu aku tak berfikir panjang bila diminta untuk memilih trainee.”

Riku merenung tajam Sara dan Saki. Itu pertama kali Riku memandang mereka. Aku lihat sayap Sara dan Saki berhenti bergerak secara perlahan-lahan. Tak lama kemudian mereka sudah berdiri di antai, tak jauh dariku dengan kepala menunduk.

“Harumi...” Riku mendapatkanku. Membantu aku untuk berdiri. Aku terpaksa memegang dinding untuk berdiri tegak tanpa sokongan Riku. Kepalaku masih sakit.

“Terangkan pada mereka, Haru...”

Aku telan air liur.

“Tak apa. Aku ada. Terangkan pada mereka hal sebenar.” Senyuman Riku menyuntik keyakinan padaku.

“Cikgu Tamura beri kebenaran pada saya untuk pinjam buku-buku ni untuk dibaca. Sepatutnya tak mendatangkan apa-apa masalah sebab semua angel dah selesai menduduki peperiksaan.”

Surat kebenaran dari Cikgu Tamura aku tunjukkan pada mereka.

“Jelas bukan?” Soal Riku.

Sara dan Saki pantas mengangguk.

“Ada sesuatu yang patut kamu katakan, Sara? Saki?”

“Maafkan kami, Senior Riku.”

Riku menggelengkan kepala.

“Minta maaf pada Harumi.”

“Maafkan aku, Harumi!” Suara Sara dan Saki berpadu saat meminta maaf dariku. Pada pendengaran kasar, ayat itu kedengaran lembut namun aku tak dapat rasa keikhlasan dan rasa bersalah dalam intonasi dan gerak tubuh mereka.

Walau bagaimanapun, aku mengangguk. Menerima maaf dari mereka. Enggan meneruskan perbalahan.

“Kami pergi dulu, Senior Riku, Harumi!”

Sayup-sayup sahaja aku dengar suara mereka tatkala menyebut namaku.

Sara dan Saki cepat-cepat mengatur langkah untuk berlalu.

“Sara, Saki...”

Sara dan Saki, aku lihat seperti mahu berhenti degupan jantungnya tika itu.

“Aku akan pastikan kamu berdua tak akan tinggalkan kelas 4 tanpa kelulusan dari aku terlebih dahulu. Walaupun markah kamu 120%, kalaupun kamu dapat pujian dari seluruh tenaga pengajar Haven, kamu tak akan naik kelas selagi tak dapat kebenaran dari aku!”

Mata Sara dan Saki terbeliak.

“Tak akan la...” Rungut Saki. Sara buat muka tak percaya.

“Walaupun sukar untuk kamu percaya, tapi percayalah, aku boleh buat begitu. Malah aku boleh hidup kamu menderita di Haven.” Ugut Riku.

“Tapi, Senior Riku...”

“PERGI...!!!” Arah Riku keras.

Sara dan Saki hilang dari pandangan mataku saat itu juga.

“Haru...”

Riku segera mendapatkan aku.

“Kau tak apa-apa, kan?

Kepala yang masih terasa sakit aku usap.

“Kepala aku rasa nak pecah.”

Spontan Riku mengangkat tangan. Mahu memeriksa kepalaku. Aku seperti direnjat elektrik saat kulit tangan Riku menyentuh tanganku. Kami menarik tangan dan mula menjauhkan diri.

Situasi ‘aneh’ terjadi lagi. Darah panas naik ke pipi. Lidah kelu untuk berbicara. Masing-masing mengelak dari memandang satu sama lain. Situasi tidak keruan ini telah lama aku sedari tetapi waktu itu aku boleh mengatasinya. Namun bila Riku sendiri sudah merasainya saat kami berdakapan... Aku rasa hubungan aku dan Riku menjadi lebih pelik. Dekat tapi jauh. Mudah tetapi sukar untuk difahami.

“Er... Aku rasa tak ada yang serius, kan?”

Aku mengangguk walaupun tidak pasti. Sakit di kepalaku terasa semacam sakitnya. Imbangan tubuhku juga masih tak stabil.

“Aku...”

“Aku...”

Kami terdiam dan ketawa.

“Kau cakap dulu.” Pinta Riku.

“Aku ingat kau sibuk hari ni. Tak sangka aku akan jumpa kau di perpustakaan.”

“Aku mencari sesuatu.”

Riku melarikan anak matanya. Wajahnya keruh. Kedua-dua belah tangan dimasukkan ke dalam poket bajunya yang labuh. Bibirnya terkatup rapat. Sesekali dia mendengus seperti tidak puas hati dengan sesuatu perkara. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Sesuatu yang telah lama dilupakan. Sesuatu yang kembali semula dalam ingatannya. Sesuatu yang samar-samar, itu yang mengganggu fikirannya saat ini.

Hei, sejak bila pula aku pandai ‘membaca’ gerak-geri orang ni? Kepala terasa berdenyut lagi.

“Apa yang kau...” Hujung lidah aku gigit. Membatalkan niat untuk menyoal Riku dengan lebih lanjut benda yang dicarinya.

Wajah Riku cerah semula.

“Kelas dah habis, kan? Jom aku hantar kau balik.”

“Tak apa. Aku boleh balik sendiri. Kan kau ada kerja.”

Dahi Riku berkerut seketika memandangku.

“Boleh ke kau berjalan?”

Aku senyum dan garu kepala yang tak gatal. Sebelah tanganku masih tak lepas dari memegang dinding.

“Mungkin kau perlu berehat. Jom!”

Riku mencangkung di hadapanku dengan belakang badannya mengadapku.

Huh??

“Err... Riku?”

“Aku dukung kau ke The Hive. Cepat!”

“Tapi...” Aku cuba membantah. Tapi bila mataku bertentang mata dengan mataku, aku tahu aku tak punya pilihan lain selain menurut katanya.

Tangan aku letakkan ke bahunya. Kaki pula ke pinggangnya.

“Kalau aku berjalan ke The Hive, mungkin kita akan jadi buah mulut angel-angel yang lain. Jadi, aku akan terbang.”

Riku melonjak ke udara dan terbang meninggalkan bangunan perpustakaan dengan membawa aku di belakangnya. Dan Riku terbang lebih pantas dari mana-mana angel yang aku pernah lihat.

Aku mengeratkan pelukanku di leher Riku.

“Tutup mata dan jangan pandang bawah kalau kau takut!” Jerit Riku ketika kami berada tinggi di dada langit, melawan tiupan angin.

Tetapi bukan itu yang aku takutkan.

Rambutku menampar lembut pipiku.

Mata Riku ‘tersenyum’ bila melirik memandangku.

Bibir Riku mengukir senyuman yang jarang diberikan kepada angel lain.

Sentuhan Riku yang bagaikan arus elektrik pada kulitku.

Bau Riku...

Tangan kananku pantas mengetuk kepala. Apa kena dengan aku? Dah gila ke aku ni? Memaksa fikiran yang melayang kembali ke tanah semula.

Tapi, macam mana? Aku kan di udara sekarang!

Tanganku melekap di dada kini.

Aku takut dengan diriku sendiri... sekarang...

Kerana aku tak macam diriku sendiri bila bersamanya...

@~@~@~@~

Riku melompat turun dari bumbung. Berjalan dengan hujung kakinya sepantas mungkin menuju ke bangunan belakang Istana Kristal. Mengelak fairy mengawal dari menangkapnya.

“Aneh, bilangan fairy pengawal lagi sedikit dari yang aku bayangkan. Mungkin tiada sesiapa yang berani menceroboh istana.” Rungut Riku sendirian.

Dia bersembunyi di balik dinding dan cahaya lampu. Menunggu fairy pengawal yang membuat rondaan melepasinya. Sebaik sahaja mereka pergi, Riku berlari masuk ke dalam bangunan. Dia mula mengetuk dinding bangunan. Mencari dinding yang lompang bunyinya.

30 saat berlalu namun Riku masih gagal menemui apa yang dicarinya.

Mana ni? Aku pasti benar ia ada di sini.

29 saat.

25 saat.

20 saat.

Aku ada kurang 20 saat sebelum fairy pengawal datang.

Ketukk...!

Hah! Jumpa!

Tapi macam mana nak masuk bilik ni?

Sayap fairy pengawal semakin jelas di pendengaran.

Tak ada pintu atau tingkap untuk masuk ke bilik itu.

Dia sedar, kalau dia ditangkap, hukuman berat sedia menanti dirinya. Wajah bongkak Dewa Dai terbayang di mata. Dewa yang satu itu memang ternanti-nanti kejatuhan dirinya.

Riku memejamkan mata, memusatkan tumpuannya. Bayangan itu muncul. Dan Riku mula menolak bongkah-bongkah batu di hadapannya satu persatu; bongkah ketiga dari kanan, bongkah kedua di atas, kedua dari kiri dan bongkah yang betul-betul berada di hadapannya.

Riku melangkah setapak ke belakang apabila bongkah-bongkah dinding batu itu mula bergerak, menampakkan pintu yang mewah ukirannya. Spontan tapak tangan Riku meraba ukiran di pintu.

Pernah ke aku ke sini?

Suara fairy pengawal berbual sesama mereka membuatkan Riku cepat-cepat memulas tombol dan melangkah masuk ke bilik tersebut.

Fuh! Selamat...

Lampu di pintu terpasang secara automatik apabila kakinya memijak lantai bilik. Namun apa yang dilihat oleh Riku mengecewakannya. Bilik misteri itu tak ubah seperti bilik kosong yang sudah lama ditinggalkan. Riku mengitari bilik luas itu. Tiada apa-apa di situ. Cuma ada set kerusi dan meja kopi. Tiada sebarang barang istimewa disimpan di situ.

Pelik... Kenapa bilik ini disembunyikan? Tiada sebarang maklumat menerangkan tentang bilik ini di perpustakaan. Tidak terlakar bilik ini dalam pelan Istana Kristal. Bilik ini bilik apa sebenarnya?

Riku mengitari bilik itu sekali lagi. Secara tidak sengaja jarinya tersentuh tali-tali lutsinar yang berjurai tergantung secara bulat di tengah bilik. Lampu di pintu terpadam. Lampu di sekeliling tali-tali lutsinar menyala.

“Selamat datang, Kurogane!”

Riku terduduk di lantai.

“Ku... Kuro... gane?”

@~@~@~@~

Dewa Chiyo membuka pintu bilik. Tanpa meminta izin, dia terus melangkah masuk. Dia segera menghampiri Dewi Iva yang sedang didandan oleh dua fairy pembantunya.

“Masuk bilik peribadi dewi di tengah malam. Ini bukan macam sifat semulajadi kau, Chiyo!” Sindir Dewi Iva sambil melirik wajah Dewa Chiyo. Melihat wajah serius Dewa Chiyo, Dewi Iva berhenti dari mengukir senyum.

“Kamu boleh keluar sekarang.” Arah Dewi Iva. Fairy tersebut mengangguk seraya menghabiskan sentuhan terakhir mereka pada rambut Dewa Iva.

Dewa Chiyo menunggu dengan penuh sabar kedua-dua fairy tersebut keluar dan berada cukup jauh dari bilik Dewi Iva.

“Sesuatu dah berlaku.” Kata Dewa Chiyo pantas.

“Sesuatu seperti apa?”

Dewa Chiyo diam dan merenung tepat ke dalam mata Dewi Iva. Tiada suara dikeluarkan. Hanya isyarat mata. Dewi Iva mula mendengar suara hati Dewa Chiyo berkata-kata.

‘Lebih baik berbual begini. Dinding-dinding istana mungkin ada telinga tersembunyi.’

“Apa dah jadi, Chiyo? Ceritakan padaku.” Bisik Dewi Iva.

‘Riku dah masuk ke bilik itu.’

“Bukankah itu sesuatu yang baik?”

‘Baik jika dia dapat menerimanya. Kau lupa betapa teruknya keadaan dia selepas Dewa Arashi mangkat?’

“Dia sudah cukup besar. Dari pengamatan kau, aku yakin dia sudah boleh menerima hakikat tersebut.”

Dewa Chiyo mengeluh.

“Aku belum beritahu kau perkara yang lebih penting, Iva.” Kali ini Dewa Chiyo menggunakan suaranya untuk berkata-kata.

“Kau buat aku cemas, Chiyo.”

Dewa Chiyo diam lagi. Dewi Iva kembali memusatkan tumpuannya.

‘Setiap satu tindakan Riku akan memberi impak pada Haven selepas ini.’

Dewi Iva tersentap. Pandangannya jauh merenung ke depan. Memikirkan sesuatu. Dan bila membaca Dewa Chiyo yang berikutnya, tangannya pantas menekup mulut, menghalang jeritannya dari memecahkan kedamaian malam di Istana Kristal.

“Boleh kau berikan pandangan yang lebih jelas tentang perkara tu?” Pinta Dewi Iva cemas.

‘Itu saja yang boleh aku beritahu kau, Iva. Aku perlu jarak tertentu untuk membaca ramalan tersebut. Lagipun, tiada keputusan atau tindakan yang jelas. Riku masih keliru. Masih tercari-cari tindakan yang sepatutnya dilakukan.’

“Semuanya bergantung pada Riku. Kita hanya boleh berdoa.” Ujar Dewi Iva sedikit cemas dan hampa.

‘Apapun tindakan Riku, bukan dirinya yang diutamakannya sekarang. Dia merasakan ada seseorang yang lebih penting yang patut diselamatkan. Dia meletakkan dirinya di belakang semua yang ada di Haven.’

Dewi Iva mengeluh lantas memegang kepalanya. Bingung memikirkan kemungkinan yang tidak pasti.

‘Dia memang seperti yang kita ramalkan, kan?’

Dewi Iva semakin rasa terbeban mendengar ‘suara’ Dewa Chiyo.

Dewa Chiyo bersandar di kerusi. Jari-jemarinya bertaut. Pandangan jauh dilemparkan ke dada langit malam.

“Hari-hari di Haven akan semakin singkat sekarang.” Katanya.

@~@~@~@~

“Kalau aku... Hurm, maaf... Tapi aku sendiri berbelah bagi nak sokong siapa.” Kata Miyuki sewaktu datang ke pondokku di The Hive malam itu. Sakit kepalaku sudah beransur pergi.

“Hei, kau sepatutnya menyokong aku!” Kataku dengan suara yang agak tinggi. Ada sedikit rasa sesalku menceritakan apa yang berlaku siang tadi bila mendengar ayat pertama yang keluar dari mulut Miyuki.

Miyuki menampar bahuku.

“Tutup mata kau dan jangan bergerak! Kau akan merosakkan hail kerja aku nanti!” Marahnya.

Aku kembali menutup mata dan duduk diam di hadapannya. Aku tak pasti apa yang sedang dilakukan oleh Miyuki ketika ini. Yang aku tahu, malam ini Miyuki datang melawatku dengan membawa dua beg; besar dan kecil. Katanya dia ada tugasan dan meminta aku menolongnya. Walaupun aku berasa was-was pada mulanya, takut tak mampu untuk memberikan apa-apa bantuan, namun beberapa ketika kemudian aku mampu menarik nafas lega kerana Miyuki hanya memerlukan aku untuk duduk tegak seperti patung dan mengikut semua arahannya.

“Kan sepatutnya menyokong aku.” Aku kembali membangkitkan isu tadi.

“Ya, betul! Memang aku marah bila Senior Sara dan Saki buat kau macam tu. Mereka sepatutnya membantu kau memandangkan mereka sebaya dengan kau.”

Miyuki dan aku lebih senang ber‘aku-kau’ walaupun Miyuki muda dariku.

“Terima kasih kerana berfikiran begitu.”

“Tapi...”

“Tapi?” Laju aku menyoal.

“Tapi aku juga faham kenapa mereka begitu marah pada kau. Riku itu boleh dikatakan sebagai trainer idaman setiap angel di Haven. Riku popular, kacak, berbakat dan bijak. Sesiapa sahaja yang menjadi traineenya akan jadi angel harapan Haven. Siapa yang tak mahu berada di kedudukan tu, Haru.”

Angel Harapan adalah sekumpulan angel lepasan Kelas 5 yang cemerlang perkhidmatannya serta diberikan beberapa keistimewaan berbanding angel biasa. Tugasan yang diberikan kepada mereka pun berbeza sedikit dengan tugasan angel kelas biasa. Dengar kata tak ramai yang boleh mencapai tahap itu. Separuh dari angel harapan pernah menjadi trainee Riku. hebat, bukan?

“Ya, aku tahu. Walaupun kadang-kadang aku tak nak mengaku, tapi aku sedar yang aku mendatangkan macam-macam masalah pada Riku. Aku yang menyebabkan Riku rasa terbeban, sedih... Aku yang buat dia dihukum...”

Wajah sedih Riku tempoh hari bermain di ingatanku. Wajah Riku yang pucat tak berdarah. Tubuh lemah Riku dalam pelukanku seperti sudah kehilangan kekuatan untuk meneruskan hidupnya.

“Trainer bertanggungjawab sepenuhnya terhadap trainee mereka. Trainer yang gagal mengawal traineenya akan didenda. Tapi ada sesuatu yang buat aku pelik. Okey, untuk tamat pengajian, angel Kelas 5 perlu melatih seorang angel dari kelas 4 sehingga lulus dalam peperiksaan khas. Trainer tak boleh memilih traineenya. Tapi dalam kes kau, Riku memilih kau. Kau bukan angel Kelas 4. Riku tu tak nak tamatkan pengajian, ke?”

Aku terdiam seketika. Membenarkan kata-kata Miyuki.

“Hurm... Kalaulah aku boleh jawab kemusykilan kau tu...” Keluhku.

“Okey! Dah siap!” Kata Miyuki separuh menjerit.

Aku membuka mata dan melihat imejku di cermin.

Eh.... Aku ke tu? Kenapa aku nampak macam...

“Dalam kelas aku yang lepas, kami diajar untuk berpakaian dan bersolek seperti manusia. Kau tahu, bila kita di bumi, manusia akan mudah mengecam angel seperti kita. Walaupun sayap tak akan kelihatan, namun bentuk muka yang sempurna, sedikit pucat, hidung mancung, kulit licin, mata bulat, kurus, tinggi... Pendek kata, semua ciri-ciri yang ada pada kita akan buat manusia curiga dan rasa kita bukan macam mereka. Cikgu juga kata, lebih baik kita menyamar sebagai model. Kalau perlu kita boleh kata kita buat pembedahan plastik.”

“Pembedahan plastik? Apa tu?”

Mulut Miyuki herot ke tepi seperti sedang berfikir sebelum menjawab soalanku.

“Aku pun tak tahu. Tapi rasanya itu bukan sesuatu yang baik.”

“Oo... Yeke?”

Aku kembali merenung imej dalam cermin. Gaun yang dipakaikan oleh Miyuki padaku sangat cantik dan mewah dengan hiasan berbanding dengan pakaianku di Haven. Wajahku yang sudah disolek pun nampak lain benar.

“Kami pernah menyolek sesama sendiri sebagai latihan dalam kelas. Memang susah dan terpaksa disolek tebal semata-mata untuk menyembuyikan identiti kita. Tapi menyolek kau tak sesusah mana.”

Miyuki merenung lama wajahku sehingga aku jadi tak keruan.
“Oh, baru aku perasan! Kau tak sepucat angel yang lain, Haru! Kau lebih ‘berwarna’ berbanding kami.”

“Ha? Berwarna?” Terkejut dengan penggunaan perkataan berwarna dalam ayatnya.

Miyuki masih merenungku sambil menggelengkan kepalanya.

“Memang lain dari angel yang lain!” Ujar Miyuki seperti mengkagumiku. Aku hanya menjongketkan kening. Kurang faham apa yang dikatakannya.

“Kau baru sedar ke, Miyuki?”

Mata kami membulat.

“Itu suara Riku,kan?” Soal Miyuki.

Aku pantas mengangguk. Mencapai pakaianku di atas lantai. Tak sempat! Aku boleh dengar dengan jelas bunyi tapak kakinya menuju ke sini. Aku jadi tak keruan dan mula bergerak ke kiri dan ke kanan. Cuba menyembunyikan diri. Ah, pondok ini terlalu kecil untuk bersembunyi.

Riku muncul di muka pintu pondok.

“Harumi memang bukan angel biasa... Luar biasa tanpa dapat difahami oleh mana-mana angel yang bijak sekalipun,”

Dan Riku terlopong saat terlihat diriku tika itu.

Sunday, December 11, 2011

The Cold World 6




Teka-Teki


Tiada sesiapa tahu tentang asal kewujudan angel, Dewa-Dewi atau fairy. Bagaimana Haven boleh wujud pun tiada sesiapa yang tahu. Setidak-tidaknya perkara-perkara tersebut tidak terkandung dalam pengetahuanku.

Kepala aku kalih ke kanan.

Riku...

Riku tak pernah bercerita tentang sesuatu yang lebih daripada apa yang patut aku tahu. Kalau pun didesak, paling tidak Riku akan menjawab persoalanku dengan bahasa yang tidak aku fahami. Bahasa orang di Bumi.

“Dah sedia?”

Riku tersenyum seraya menganggukkan kepalanya.

“Sentiasa bersedia!” Jawab Riku.

“Mula!!” Jeritku. Kaki mula berlari sepantas mungkin, meninggalkan Riku di belakang.

Tanah lapang yang terletak di antara dua bukit berhampiran hutan simpan Haven bukanlah tempat yang sering dikunjungi oleh penduduk di Haven. Tak ramai yang tahu kewujudannya. Justeru itu, tempat ini menjadi tempat aku dan Riku. Tempat kami bergembira. Tempat kami meluahkan rasa sedih. Tempat kami melepaskan marah. Tempat kami bercerita. Tempat ini tempat kami. Setiap inci padang rumput yang hijau ini menyimpan cerita tentang kami.

Di sini, buat pertama kalinya aku bertemu dengan Riku.

“Kau menangis?” Suara nyaring di tepi telinga membuatkan aku terkejut. Air mata di pipi aku kesat.

Kepala aku dongakkan. Memandang budak lelaki yang menegurku.

Budak lelaki itu sangat... Cantik! Ya, itu perkataan pertama yang menucul dalam kepalaku sebaik sahaja terlihat akan dirinya. Wajahnya putih bersih dan halus. Rambutnya agak panjang, hitam pekat, kontra dengan warna kulitnya yang cerah itu. Hujung rambutnya sedikit kemerahan. Matanya bundar dan cantik, menawan sesiapa yang melihatnya. Hidungnya mancung. Bibirnya kemerahan dan sederhana besar, bersesuaian dengan saiz mukanya. Melihat wajah dan ketinggiannya, aku anggarkan dia seusia denganku.

Tanpa sedar, aku berhenti menangis. Rasa sedih dan sakit hati hilang serta-merta dengan kehadiran budak lelaki itu.

Budak lelaki itu memandangku dengan rasa hairan.

“Tempat ini... Tak ramai yang tahu tempat ini. dah bertahun-tahun aku ke sini. Tak pernah ada sesiapa yang pernah datang ke sini. Hari ni, kau orang pertama yang aku nampak di sini.” Ujarnya dengan dahi berkerut.

Aku masih memandangnya. Sedaya-upaya aku tahan kelopak mata dari berkelip. Masih tidak puas menatap wajah sempurnanya. Wajah budak lelaki itu masih tak berubah. Wajah terkejut itu bagaikan patung yang diukir untuk kekal statik sebegitu.

Sebenarnya aku sendiri tak tahu bagaimana aku boleh ke sini. Aku dimarahi dengan teruk di dalam kelas yang mengajar angel-angel seusiaku terbang. Aku satu-satunya angel yang tidak boleh terbang. Sayapku tidak bergerak. Cikgu mengatakan aku sengaja melawannya. Katanya, terbang adalah seperti bernafas. Mudah, tidak perlu dipaksa, tidak perlu diajar. Hampir setiap orang di Haven ini memarahiku; tenaga pengajar memarahiku kerana kedunguanku, kawan-kawan memarahiku kerana aku selalu menyebabkan mereka kalah dalam tugasan berkumpulan. Aku terlalu sedih dan kecewa dengan diriku sendiri. aku mahu ke tempat di mana aku diperlukan. Aku mahu lari dari semua yang menyakitkan diriku. Aku berlari dan berlari. Sedar-sedar sahaja aku sudah berada di tempat ini. Mungkin aku akan tersesat beberapa kali ketika mencari jalan pulang nanti.

Mungkin Haven bukan tempat yang sesuai buatku. Tapi... Selain Haven, di mana lagi angel sepertiku bolah tinggal?

Budak lelaki itu melutut di hadapanku. Hiasan di bajunya yang labuh hingga ke lutut berbunyi-bunyi ketika berlaga sesama sendiri. Dia menguis pipiku dengan hujung jarinya. Hujung jarinya dipandang lama. Ada setitis air mataku di situ.

“Ini air mata, kan?”

Aku diam.

“Air yang keluar dari mata dipanggil air mata. Air mata terhasil apabila seseorang itu ingin menzahirkan emosinya. Perasaan. Ya! Perasaan! Perasaan sedih, gembira...” Laju budak lelaki itu menuturkan ayat-ayatnya. Dia seperti sedang membentangkan teori yang dipelajarinya di dalam kelas.

“Tapi angel tak menangis. Walaupun angel dan manusia tak jauh berbeza, tapi angel tak boleh menangis. Sesedih mana pun, angel tak boleh menangis.”

Mata budak lelaki itu membulat. Dan segera berdiri.

“Siapa kau sebenarnya?!!” Jerkahnya.

Aku yang terkejut mendengar suaranya mula menangis semula. Teresak-esak dan kemudiannya sedikit meraung tanpa mempedulikan budak lelaki yang sudah kembali melutut di hadapanku.

“Maaf. Kau terkejut?”

Aku meraung lagi. Kenapa semua orang memarahi aku? Kenapa tak ada satu tempat pun dalam Haven ni yang memerlukan aku?

“Adakah kau pun mengecewakan orang di sekeliling kau?”

Aku tersentak. Air mataku berhenti di bahagian tengah pipi. Wajah budak lelaki itu aku pandang.

“Kalau kau bersedih kerana perkara sebegitu, percayalah aku tahu betapa sakit dan sedihnya kau ketika ini.”

“Adakah kau pun mengalami masalah yang sama seperti aku?” Suaraku serak ketika bertanya.

Budak lelaki itu mengeluh.

“Aku ke sini untuk menenangkan diri. Aku selalu duduk di bawah pokok ini. Berbicara dengan alam tentang masalahku kerana tak ada sesiapapun yang memahamiku ketika ini. Tapi hari ini tempat aku telah diambil oleh seorang angel yang menangis.”

Kami bertatapan buat seketika.

“Nama aku Riku.”

“Nama aku Harumi.”

Senyuman terukir di bibir kami.

Angin menderu dan membelai lembut pipiku tatkala aku melawan arah tiupannya. Rumput menghijau bergeser lembut di kaki di mana aku menjatuhkan langkahku. Mata aku pejamkan. Merasai kebebasan dalam setiap langkahku.

“Haru...!”

Aku ketawa. Riku tak pernah kalah dalam apa-apa perkara pun kecuali dalam acara larian.

“Oi, Haru! Cukup la tu! Aku mengaku kalah.” Jerit Riku di belakangku. Namun dia masih berlari. Cuma mendekatkan jarak antara kami.

“Tak mahu! Aku tahu kau akan ambil kesempatan kalau aku berhenti berlari sebelum tiba di garisan penamat.”

Garisan penamat bagi acara larian kami adalah sebuah batu besar di hujung padang rumput tersebut. Pernah beberapa kali Riku menyuruh aku berhenti berlari setelah dia mengaku kalah. Namun sebaik sahaja aku berhenti berlari, Riku enggan berhenti dan berlari hingga ke garisan penamat. Riku mengisytiharkan dirinya sebagai pemenang walaupun aku enggan mengakui kemenangannya itu.

“Aku mengaku kalah la!”

Aku menoleh ke belakang ketika cuba membalas katanya. Ketika itulah aku lihat Riku jatuh berguling di tanah. Aku segera berpatah balik. Mendapatkan Riku yang sudah bergulung seperti tenggiling di situ.

“Riku? Kau cedera?” Soalku cemas.

Riku masih bergulung, wajahnya bersembunyi di balik tangannya yang sasa. Mulutnya mengeluarkan bunyi yang tak dapat aku kategorikan. Adakah dia sedang mengerang kesakitan?

“Riku!”

Tanpa menunggu dan terus berteka-teki, kedua-dua tangannya aku tarik. Tangannya aku genggam erat. Tak mahu dia kembali menyembunyikan wajahnya. Wajah Riku terdedah kini. Riku yang aku sangkakan berada dalam kesakitan rupa-rupanya sedang menahan ketawa. Sebaik sahaja terpandangkan wajah cuakku, tawanya pecah. Bedekah-dekah membingitkan telingaku.

Lengannya aku tampar sekuat hati.

“Kau gelakkan aku, ya?!”

“Ya! Dan tidak!”

“Hah?” Jawapan Riku mengelirukanku.

“Aku gelakkan diri aku sendiri. tak sangka aku boleh jatuh berguling macam tu tadi. Rasa macam sedang melakukan aksi stunt pulak.”

Stunt? Hmmm... Ini bukan kali pertama Riku bercakap tentang sesuatu yang aku tak faham.

“Ini kali pertama aku jatuh. Haha...!”

Hah? Kali pertama? Biar betul! Bukankah kita akan selalu jatuh ketika belajar berjalan dan terbang? Nak-nak lagi angel seperti aku. Mungkin Riku memang dilahirkan sebagai angel yang genius!

“Muka risau kau memang kelakar, Harumi!”

Muncung aku tarik ke depan. Tawa Riku bergema lagi.

Selain mentertawakan aku, apa lagi yang menyeronokkan pada Riku? Kadang-kadang aku rasa macam diri aku ni badut peribadinya pula. Tapi...

Wajah sedih Riku tergambar di fikiran. Mata yang tak bercahaya... Mulut yang terkumat-kamit tanpa sebarang buah butir yang dapat aku fahami... Tubuh sasa Riku yang lemah dalam pelukanku...

Aku lebih rela jadi apapun sekalipun badut untuk membuatkan Riku sentiasa ceria. Melihat Riku gembira, menceriakan hatiku. Kesedihan Riku pula bagai menjerut leherku, menyesakkan nafasku dan menyusahkan hatiku.

Entah bila kalanya tawa Riku lenyap. Suasana di tanah lapang itu sunyi sahaja. Mana bunyi burung yang galak berkicauan sebentar tadi? Mana perginya deruan angin yang bertiup? Kesunyian itu membuatkan aku boleh mendengar bunyi jantungku dengan jelas.

Dan aku baru tersedar akan sesuatu tika itu. Aku duduk terlalu hampir dengan Riku, lebih hampir berbanding kebiasaannya. Dan tanganku masih menggengam tangan Riku. Aku segera melepaskan peganganku. Sepantas kilat Riku menangkap dan kembali menggenggam tanganku semula.

Mata Riku menikam sepasang mataku. Pandangannya tajam dan dalam. Seolah-olah cuba menyelam ke dasar hatiku.

Pandangan Riku menimbulkan rasa gerun dalam diriku. Perutku terasa berputar-putar seperti puting beliung tika itu. Beberapa saat kemudian rasa gerun itu berganti dengan rasa yang tidak dapat diterangkan dengan kata-kata. Rasa yang menghangatkan hati. Rasa yang membuatkan hati terasa kembang, berbunga-bunga. Rasa yang membuatkan aku gembira tanpa sebarang sebab yang pasti. Dan rasa yang dihantar melalui pandangan mata Riku ini juga membuatkan aku rasa takut. Rasa takut ianya akan berakhir...

Mata Riku berkelip. Menamatkan renungan tajamnya. Mataku berkelip beberapa kali.

Apa yang berlaku ni?

Riku berdehem beberapa kali.

“Aku kena pergi...” Suara Riku perlahan seperti sedang berbisik.

“Ke mana?” Soalku pantas.

“Ada tugasan yang belum selesai.”

“Adakah kau akan balik dalam keadaan... macam semalam?”

Bibir Riku tersungging sedikit ke atas. Tiada keikhlasan dalam senyumannya itu.

“Tak. Tugas ini tak seberat tugas semalam.”

“Ooo...”

Aku dan Riku terdiam beberapa ketika.

“Kau nak ikut?” Riku masih berbisik tika melontarkan soalannya.

Mataku membulat. Riku tak pernah mempelawa aku untuk mengikutnya ketika menjalankan tugas.

“Boleh ke?” Aku sudah tersenyum kini

Riku ketawa kecil. Tawaku mati. Ah, Riku bergurau!

“Maksud aku, kau nak jalan bersama aku ke? Bukankah kita menuju arah yang sama.”

Dahiku berkerut. Aku kena ke mana?

Pegangan kami lerai. Kepalaku diketuk oleh Riku.

“Kau lupa ke yang kau ada kelas tambahan?”

Ops...! Mulut aku tekup. Macam mana la aku boleh lupa? Patutlah aku disuruh macam kelas tambahan.

“Jom!”

Riku bangun. Menghulurkan tangan untuk membantu aku bangun. Namun aku bangun sendiri tanpa menyambut huluran tangannya.

“Kita lumba siapa yang tiba di kelas dulu!” Jeritku dan terus berlari meninggalkan Riku.

Dan cuba meninggalkan rasa yang menyesakkan dada dan rasa membuatkan jantungku berdegup kencang seperti mahu pecah.

“Haru! Tunggu aku!”

@~@~@~@~

“Kau lewat, Riku!” Tegur Tanaka sebaik sahaja Riku membuka pintu bilik yang menyimpan pelbagai dokumen penting di Istana Kristal. Bilik yang agak sempit itu terletak di bahagian belakang Istana Kristal. Namun kebanyakan dokumen yang bertindih-tindih di atas meja dan yang tersusun kemas di dalam almari kayu bukanlah dokumen yang penting. Dokumen-dokumen penting biasanya diletakkan di bawah jagaan individu tertentu.

Riku menutup pintu di belakangnya dan mula melangkah ke tengah bilik. Kelopak mata ditutup rapat. Kedua-dua belah tapak tangan ditadah. Beberapa saat kemudian sebuah buku berkulit tebal muncul di atas tapak tangannya. Riku membawa buku tersebut ke meja yang ada di situ.

“Kau sepatutnya datang ke sini sebaik sahaja tugas kau selesai.”

“Kalau ikutkan hati aku, aku tak mahu datang terus! Jejak kaki ke Istana Kristal ni pun aku tak mahu!” Bentak Riku.

Tanaka menghulurkan pen berdakwat keemasan.

Riku menyelak satu persatu muka surat buku tersebut. Mencari muka surat terakhir yang bertulis dakwat keemasan.

Saki.

Hiroki.

Tomashita.

Satsuki.

Kuroda.

Nanami.

Nama-nama tersebut bagaikan menari-nari di pandangan matanya. Setiap huruf dalam nama-nama tersebut bagaikan menikam-nikam jantungnya.

Penutup pen dibuka. Dan dia mula menulis.

Nombor 66.

Nama : Masaki

Umur ; 24 tahun

Jenis : Angel

Kelas : 5

Sebab dihapuskan : Menyebabkan kematian calon manusia yang berpotensi.

“Riku, kau dan aku akan jadi kawan baik suatu hari nanti.”

“Jangan buang masa dengan merindui aku. Aku akan kembali ke Haven dalam masa yang singkat.”

Riku memejam matanya rapat-rapat. Cuba menghalau pergi kenangannya bersama Masaki.

“Kau tahu apa rasanya membunuh mereka semua?”

Tanaka menggelengkan kepala.

“Rasanya seperti sedikit demi sedikit diri kau pergi bersama-sama mereka. Rasa sedih yang tak dapat digambarkan. Rasa sakit yang tak dapat diubati. Rasa marah. Rasa geram. Rasa bersalah. Rasa menyesal. semua rasa tersebut jika digabungkan akan membuatkan rasa perikemanusiaan dalam diri seseorang hilang sedikit demi sedikit, dan akhirnya lenyap begitu sahaja. Itu yang aku rasa, Tanaka. Dan aku hampir gila mennaggungnya.”

“Aku bersimpati mendengarnya. Tapi kau ada pilihan, kau tahu, kan?”

Riku diam. masih tenggelam dalam emosinya.

“Berapa ramai lagi yang harus aku bunuh, Tanaka?”

Tanaka mengangkat bahu.

“Semuanya bergantung pada Dewa Dai. Walaupun sidang meja Dewa-Dewi masih berkuasa, namun itu hanyalah sekadar teori sahaja. Hakikatnya Dewa Dai berkuasa penuh ke atas Haven tika ini. Segala katanya adalah arahan di Haven.”

Buku tebal ditutup. Sebentar kemudian buku tersebut ghaib dari pandangan mata. Pen diserahkan kembali pada Tanaka.

“Sila kembali ke posisi asal, tuan!” Kata Tanaka secara tiba-tiba. Riku tersentak dan segera memandang Tanaka.

“Saya tak sanggup lihat keadaan tuan. Roh dan jiwa tuan semakin terganggu dengan tugasan ini. Oleh itu saya merayu supaya tuan kembali ke posisi asal tuan!”

Riku mendengus.

“Aku bukan tuan kau lagi, Tanaka!”

Tanaka melutut.

“Tolonglah pertimbangkan permintaan saya ni, tuan! Sanggupkah tuan melihat Haven hancur?”

Riku berundur setapak ke belakang.

“Bangun, Tanaka! Kau kenal aku, Tanaka! Kau tahu keputusan aku tak akan berganjak sekalipun kau melutut sebegini. Jadi bangunlah...”

“Tapi itu takdir yang dah ditetapkan untuk tuan.”

Telinga Riku terasa panas dengan kenyataan Tanaka.

“Bukankah takdir juga yang telah menjadikan aku sebegini?!” Katanya berang.

Tanaka berdiri mengadap Riku.

“Tuan, saya percaya setiap yang berlaku itu ada hikmah yang tersembunyi. Takdir itu sudah tertulis buat tuan. Saya harap tuan tak lagi menafikannya.”

Riku menepuk meja.

“Berhenti cakap fasal takdir dan ramalan. Adakah takdir dan ramalan itu boleh buat Dewa Arashi bangkit dari makamnya dan kembali duduk di takhtanya? Tidak, kan?! Jadi berhenti dari bercakap tentang sesuatu yang meloyakan tekak aku! Takhta itu milik Dewa Arashi dan selamanya akan jadi milik dia kalau aku tak bunuh dia dengan tanganku sendiri! Faham?!!”

“Tuan, seluruh Haven berduka atas kemangkatan Dewa Arashi. Saya percaya tuan juga masih berkabung untuknya. Tetapi kita tak boleh selamanya begini! Haven memerlukan kebijaksanaan dan kelebihan yang tuan miliki untuk terus gemilang seperti mana yang pernah kita miliki ketika Dewa Arashi masih ada dulu!”

Riku tersengih.

“Kelebihan? Suatu ketika dahulu Dewa Arashi begitu bangga dan teruja dengan kelebihan yang aku miliki. Katanya Haven akan lebih makmur dengan adanya kelebihan aku. Siapa sangka, kelebihan aku ini juga yang telah membunuhnya.”

Dengan kata-kata itu, Riku berlalu pergi. Meninggalkan Tanaka yang masih tunduk memandang lantai. Kecewa pujukannya tidak berhasil.

@~@~@~@~

Riku berlegar-legar tanpa arah di dalam Istana Kristal. Entah berapa kali dia melalui lorong yang kelihatan sama sahaja di mana-mana jua kakinya melangkah. Istana Kristal terlalu luas untuk dia hafal setiap lorong dan bilik yang ada di situ.

Tangan kirinya digenggam dan diketuknya dinding batu di sepanjang perjalanannya. Entah mengapa dia berbuat demikian dia sendiri tak pasti. Namun perbuatannya itu sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa marah dan rasa tertekan yang dialaminya selepas berbicara dengan Tanaka sebentar tadi.

“Dewa Arashi mangkat sebelum masanya.”

“Dia tak sengaja.”

“Dewa Arashi mati di tangan anaknya sendiri?”

“Dia terlalu kecil.”

“Siapa yang harus menggantikan Dewa Arashi?”

“Dia masih belum mahir menggunakan kelebihannya.”

“Yang pasti bukan anaknya, kan? Aku tak nak berada di bawah pemerintahan orang yang dah bunuh ayahandanya sendiri!”

Riku tahu dan sedar, kematian Dewa Arashi menerima pelbagai reaksi dari penduduk di Haven. Apapun reaksi mereka, sama ada positif mahupun negatif, tetap menimbulkan rasa bersalah dan sedih yang tidak terhingga pada dirinya.

Tangan Riku berhenti mengetuk dinding. Dahinya berkerut.

Kenapa dinding di sini tak padu seperti dinding-dinding yang lain?

@~@~@~@~

“Harumi, sampai bila kamu nak berlagak macam budak bodoh? Adakah kamu betul-betul berusaha untuk mengingati dan memahami apa yang saya ajar?!”

Suara Cikgu Tamura bagaikan halilintar di telingaku walaupun suara itu hanyalah bergema dalam ingatanku.

“Siapa yang sudi jadi orang bodoh? Dia ingat aku sengaja ke buat-buat tak faham?” Rungutku sendirian.

Aku baru sahaja beberapa langkah meninggalkan perpustakaan tetapi tanganku terasa seperti mahu patah.

“Aku dah pinjam semua buku yang disebut dalam kelas. Harap-harap aku akan lulus dalam ujian akan datang!”

Buku yang lebih tinggi dari diriku sendiri menghalang penglihatanku. Menyukarkan aku untuk melihat apa yang ada di hadapanku. Namun itu tidak merisaukan aku kerana tiada sesiapa yang akan aku langgar memandangkan hanya aku sahaja yang berjalan di sekolah untuk para angel ini.

Pakk...!

Kakiku tersadung sesuatu. Adakah aku tersepak pasu bunga? Patung hiasan?

Aku tak sempat berfikir apa yang telah aku sepak atau kemungkinan ibu kakiku akan bengkak. Apa yang aku fikirkan adalah diriku yang sudah separuh terbang dan akhirnya terjelepuk di lantai. Sakitnya tak dapat aku gambarkan. Satu badanku terasa sengal.

Buku? Bukankah buku-bukuku yang tebal-tebal itu turut melayang ketika aku jatuh tadi? masalahnya, kenapa buku-buku tersebut langsung tak kelihatan di lantai? Sudah hilangkah graviti di Haven? Tetapi jika tiada graviti, masakan aku jatuh terjelepuk di lantai.

Perlahan-lahan kepala aku dongakkan ke atas.

Sunday, November 27, 2011

The Cold World 5



Jangka Hayat

Tiada sesiapa mengetahui jangka hayat seseorang; sama ada Dewa-Dewi, angel, fairy, mahupun manusia. Semua sedia maklum tiada seorang pun di Haven tahu mengenainya.

Renyai hujan masih enggan berhenti walaupun malam sudah melabuhkan tirainya. Lopak-lopak air kelihatan di mana-mana di permukaan tanah yang tidak rata permukaannya. Bunyi titisan hujan jatuh di atas bongkah-bongkah batu berbentuk segiempat dan oktagon menerbitkan sebuah alunan sepi. Tiga ekor burung gagak yang tadinya terbang berlegar-legar di langit sudah hilang entah ke mana.

Tiada sesiapa di situ pada ketika itu. Semua memilih untuk mengurungkan diri di dalam bangunan dan melakukan apa sahaja aktiviti yang menyeronokkan sementara menanti hujan teduh. Cuma ada seorang lelaki masih tetap melutut dan berteleku di satu sudut semenjak lewat petang tadi. Dia tetap tidak berganjak dari situ sekalipun pakaiannya sudah lencun dek air hujan. Sesekali dia menggenggam kedua-dua belah tangannya dengan kepala tertunduk. Adakalanya dia mendongak, memandang lama nisan tak bernyawa di hadapannya seolah-olah berbicara dalam sepinya suasana.

Riku melangkah keluar dari tempat persembunyiannya; di bawah pokok tidak jauh dari lelaki tersebut. Dia menghampiri lelaki tersebut bersama-sama sekaki payung lutsinar berwarna putih untuk melindunginya dari titisan hujan.

“Kata doktor dia diserang sakit jantung.” Ujar lelaki tersebut tanpa menoleh mahupun mendongak untuk melihat siapa yang berdiri di sebelahnya.

“Kaede. 28 tahun. Pengurus cawangan syarikat membuat peralatan elektrik terbesar, Syarikat M. Kacak. Sihat tubuh badan. Gemar bersukan. Calon yang sempurna, Masaki...” Ulas Riku. Matanya tertancap pada nisan berukir di hadapannya.

“Aku tak tahu macam mana manusia boleh percaya. Sakit jantung? Kematian mengejut?” Sinis Masaki menuturkan ayatnya. Dia tersengih tidak percaya di hujung ayatnya.

“Dalam dunia manusia, itu penerangan atas kematiannya.”

“Kita berdua tahu kan yang semua itu tidak benar! Atas kesilapan aku, dia ada di sini, di bawah kaki kau itu!” Masaki kini separuh merintih.

“Masaki, kawal diri kau.”

“Kau tak faham, Riku! Aku tak pernah gagal memanah. Dah beribu pasangan yang aku satukan tapi dia...?”

Suasana hening kembali. Hanya titisan hujan yang berkata-kata.

“Masaki...”

“Ya.”

“Kita perlu balik. Dah lama kau di sini.”

Masaki diam. Berfikir. Seketika kemudian dia mengangguk dan bangun. Dia memandang tepat wajah Riku. Riku menepuk-nepuk bahu Masaki. Masaki tersenyum lalu melangkah meninggalkan kawasan perkuburan. Cahaya terang di hujung jalan terasa seperti memanggil-manggilnya.

“Dewa-Dewi tentu dah tahu mengenai hal ini, kan?” Soal Masaki ketika mereka menyusuri laluan cahaya tersebut.

“Ya.”

“Apa kata mereka?” Tanya Masaki. Dalam hati dia berdoa kesalahan kali pertamanya itu diberi pengampunan.

“Mereka rasa itu satu kesilapan yang merugikan...”

“Dan?”

“Mereka tak mahu kan terus balik ke Haven.”

“Maksud kau?”

Laluan cahaya sudah sampai ke penghujungnya. Namun bukan gerbang pintu masuk yang menanti mereka di hujung laluan tersebut seperti yang disangkakan oleh Masaki. Berpusing-pusing tubuhnya memandang keadaan sekeliling. Matanya liar mencari sesuatu penanda bagi meneka di mana mereka berada saat itu. Tiada pokok. Tiada bangunan. Tiada fairy pekerja mahupun angel di mana-mana. Yang ada hanyalah kabus tebal yang membataskan pandangan.

Mereka berada di ruang kosong yang berkabus. Masaki mula panik. Dia tidak pernah ke tempat itu. Dia tidak pernah mendengar adanya tempat sebegitu.

“Dewa-Dewi berpendapat kau perlu menjalani satu sesi terapi untuk memulihkan semangat kau sebelum kau kembali ke Haven dan menjalankan tugas kau semula.” Suara Riku tidak bernada. Pandangan Riku tidak bercahaya. Penipuannya terasa bergema-gema dalam kepalanya.

Dahi Masaki berkerut.

“Tapi untuk berada lama aku perlu berada di sini?”

“Tak lama. Sampai kau betul-betul bersedia untuk menjalankan tugas kau semula. Selepas kau pulih, kau akan kembali ke Haven.”

Masaki tersenyum lega.

“Aku akan segera sembuh.”

Pandangan Riku kosong. Tiada apa dapat di pandangnya sekalipun Masaki berdiri di hadapannya.

“Aku dah bersedia.”

Riku mengeluh dalam diam.

“Sila ikut jalur cahaya itu.”

Masaki berpaling. Mencari cahaya yang dikatakan oleh Riku. Segaris senyuman terukir sebaik sahaja terpandang sejalur cahaya berwarna merah.

“Kau tak nak temankan aku? Aku pasti Dewa-Dewi tak akan marah. Lagipun itu tempat terapi aje, kan...”

“Maaf. Aku hanya boleh menunjukkan jalannya sahaja.”

“Malang bagi kau.” Masaki tersengih. Dan dia mula mengatur langkah. Sebelum dia membuka langkah keenam, dia berhenti dan berpaling.

“Terima kasih, Riku! Walaupun kita baru berkenalan beberapa hari, tapi aku gembira dan selesa berkawan dengan kau. Terima kasih juga kerana sudi mendengar masalah aku. Aku dapat rasakan yang kita akan jadi teman baik suatu hari nanti. Sampaikan salam aku pada Dewa-Dewi dan kawan-kawan angel yang lain. Kata pada mereka, aku akan kembali ke Haven dalam masa yang singkat. Jadi jangan buang masa untuk merindui aku!”

Masaki tersenyum dan mengenyitkan matanya. Langkah diatur semula. Dan tubuhnya mula hilang ditelan kabus tebal. Pandangan Riku masih terpaku di situ walaupun kelibat Masaki sudah tidak kelihatan.

Riku membongkokkan tubuhnya. Beberapa minit kemudia tubuh ditegakkan semula. Plat hitam bertulisan emas dikeluarkan dari kocek baju. Dipandang seketika sebelum dibaling tanpa arah sekuat hati.

“Sayonara, Masaki...”

Sayap hitam di belakang badan dikeluarkan. Dia mahu segera pergi dari situ.

“Tempat apa ni?! ARGHH..!!”

Riku melonjak ke udara.

“ARGHHH...!! TOLONG!!! SESIAPAPUN, TOLONG AKU!!! RIKU!!! TOLONG AKU!!”

Riku memejamkan matanya rapat-rapat dan terbang sepantas kilat meninggalkan tempat itu sambil memegang dada sebelah kiri. Dadanya terasa seperti mahu meletup tika itu.

Harumi... Aku nak jumpa Harumi! Aku harus jumpa Harumi! Hanya dia yang dapat mengurangkan rasa sakit ini...

@~@~@~@~

Tiada sesiapa yang tahu berapa jumlah sebenar Dewa-Dewi. Penduduk di Haven hanya diperkenalkan pada tiga orang Dewa Berkuasa. Dewa-Dewi dikatakan hidup berasingan dengan angel dan fairy. Pengetahuan umum mengenai Dewa-Dewi juga sangat sedikit.

Dewa Chiyo berhenti menulis sebaik sahaja pintu biliknya diselak. Dewi Iva menerpa masuk dan menghampiri Dewa Chiyo.

“Aku dengar Riku cedera.”

Dokumen yang agak berselerak disusun di sudut meja. Jari-jemari Dewa Chiyo bertaut. Dewi Iva dipandang.

“Khabar angin cepat tersebar. Tapi aku tak fikir kau dengar dari sesiapa. Dan kecederaan Riku bukan sesuatu yang bagus untuk disebarkan. Jemput duduk, Iva...” Katanya sambil tersengih.

“Chiyo...!” Dewi Iva mendengus geram. Punggung dihenyak di kerusi di hadapan Dewa Chiyo. Walaupun dia tahu Dewa Chiyo suka bergurau namun dia berharap dapat jawapan terhadap soalannya dengan cepat.

Dewa Chiyo berdehem beberapa kali. Kembali bersikap serius.

“Ya, betul. Riku cedera.”

“Parah?”

“Tidak. Anak panah itu cuma tergeser di bahunya. Tiada apa yang serius.”

Tegang di wajah jelita Dewi Iva kendur perlahan-lahan.

“Macam dengan dia?”

Wajah Dewa Chiyo berkerut.

“Kan aku dah beritahu, dia tak ada apa-apa.”

“Chiyo, kau faham maksud aku.”

Dewa Chiyo berfikir sejenak dan mulai mengerti maksud Dewi Iva.

“Dia baik. Setakat ini.”

“Kau pasti?”

Dewa Chiyo mengangguk.

“Aku boleh dengar dan lihat dengan jelas.”

Dewi Iva menarik nafas lega.

“Aku harap semuanya akan jadi baik sebelum sesuatu yang tak dijangka berlaku. Dai dah berubah. Dia semakin menakutkan.”

“Sebahagian dari diri aku tak salahkan dia.”

Dewa Iva menjeling dan menjegilkan matanya pada Dewa Chiyo. Dia sudah hilang segalanya. Yang ada hanyalah kesetiaan Dewa Chiyo yang sentiasa berpihak padanya. Dewa Chiyo yang baik hati, adil dan sentiasa rasional pertimbangannya, dia tak mahu kehilangan itu semua. Kerana Dewa Chiyo dia terasa boleh bernafas di dalam Istana Kristal. Tanpa Dewa Chiyo, tak dapat dibayangkan di mana dia akan berada saat itu.

“Chiyo...”

“Dia hanya perlu menerima apa yang ditakdirkan untuknya. Tapi seperti yang kita sedia maklum, tiada sesiapa yang dapat memaksa dia melakukan perkara tersebut. Semuanya bergantung pada dia.”

Dewi Iva membuang pandangannya ke sudut bilik.

“Kau patut jumpa dia sekali-sekala. Bukan aku tak sudi jadi orang perantara kau tapi bukankah lebih mudah melihatnya sendiri?”

Dewa Iva tunduk. Membenarkan kata-kata Dewa Chiyo dalam diam.

“Aku harap aku boleh buat begitu. Tapi rasanya aku tak mampu. Mungkin lebih baik begini. Aku tak mahu Dai mencederakan sesiapa yang aku sayang lagi.”

Mata dipejamkan rapat. Cuba membuang rasa sakit yang terasa menyucuk di hati.

@~@~@~@~

Aku tak jumpa Riku!

Walaupun kakiku dah naik lenguh mengitari Haven, namun aku masih gagal menjejakinya. Tiada sesiapa yang bertemu dengan Riku semenjak pagi.

Patut ke aku risau?

Matahari sudah pudar sinarnya. Sebentar lagi malam akan menjelma. Lupakah Riku pada rutin hariannya sejak setahun lalu?

Tanpa sedar, aku mundar-mandir di sekitar The Hive. Suasana sunyi di The Hive membuatkan fikiran aku semakin runsing. Kesunyian membuatkan aku berfikir yang bukan-bukan.

Riku...

Dan saat itu sesuatu yang laju menerpa ke arahku. Saat aku berpaling, Riku sudah berdiri tak jauh dariku.

“Harumi...” Suara Riku kedengaran lemah namun jelas di pendengaranku.

Aku segera mendapatkan Riku. Namun Riku sudah berdiri dengan kepala lututnya sebelum aku tiba di sisinya. Kepala ditundukkan. Cuba menyembunyikan wajahnya dariku.

“Riku?”

Aku melutut. Dengan penuh hati-hati, wajahnya aku angkat dengan kedua-dua belah tanganku.

“Riku?”

Lambat-lambat mata Riku mencari sepasang mataku Wajah Riku kelihatan letih dan sedih. Sinar di matanya hilang entah ke mana. Mulutnya tertutup rapat. Tetapi aku semacam dengar ada bunyi rintihan di situ. Dada Riku turun naik dengan pantas, sesekali bagaikan tersekat-sekat.

“Riku? Apa dah jadi?”

Riku tak menjawab. Sebaliknya dia menarik lenganku dan sebelum aku sempat berkelip, aku sudah berada dalam pelukan Riku. Riku tak menangis. Tak juga berkata apa-apa. Dia hanya memelukku dengan erat.

“Setiap kali kau pergi, mesti kau balik dalam keadaan macam ni. Kalau macam ni, aku tak izinkan kau pergi ke mana-mana lagi tanpa aku!” Kataku tegas.

Aku ternanti-nanti reaksi Riku namun hampa. Kehampaan itu memaksa aku untuk cuba meleraikan pelukannya untuk melihat wajahnya. Namun pelukan Riku pada tubuhku semakin erat. Wajahnya dibenamkan ke bahuku.

“Untuk seketika... Biarkan aku buat seketika dalam keadaan begini.”

Riku...


Apa sebenarnya yang kau rahsiakan dari aku? apa yang membuatkan kau menderita sebegini?

Saturday, November 19, 2011

The Cold World 4

Dewa-Dewi

“Di Bumi, manusia mengamalkan pelbagai corak pemerintahan. Demokrasi, diktator, monarki, republik, dan sebagainya.”

Aku mencatat apa yang dikatakan oleh Cikgu Kato. Dalam diam, aku menguap. Bosan... Kalau ada Riku, kan bagus!

Pandangan aku lemparkan ke luar kelas. Memerhatikan pokok-pokok yang merimbun daunnya. Haven sebuah dunia yang indah. Cuacanya, flora faunanya, landskapnya, penduduknya. Tetapi seperti ada yang tidak kena. Walaupun aku terlalu lembap untuk mengetahui dan menyedarinya, tapi aku tahu ada sesuatu yang tidak kena.

Seseorang pernah berkata begitu padaku. Tetapi siapa? Bukankah semua yang ada di Haven ni kagum dengan semua yang ada di Haven ni?

“Haven juga mempunyai sistem pemerintahan tersendiri. Dewa-Dewi merupakan ketua bagi kerajaan Haven. Mereka terdiri daripada beberapa orang Dewa-Dewi yang membentuk satu kumpulan yang dikenali sebagai Dewa-Dewi Berkuasa. Tiada sesiapa yang mengetahui jumlah sebenar anggota Dewa-Dewi Berkuasa. Cuma tiga Dewa-Dewi yang dicatat dalam sejarah dan buku-buku di Haven; Dewa Dai, Dewi Iva dan Dewa Chiyo. Mereka mempunyai kuasa mutlak di Haven. Semua tindakan mereka dilaksanakan setelah mendapat persetujuan kumpulan Dewa-Dewi Berkuasa yang lain. Sebagai rakyat atau pekerja, kita perlu berkhidmat sepenuh hati kepada mereka dan Haven.”

Satu-satunya khidmat yang ditawarkan oleh para angel di Haven untuk ketiga-tiga dewa-dewi kami adalah membuahkan rasa cinta di hati manusia di bumi. Kerana Dewa-Dewi Berkuasa tidak boleh meninggalkan Haven sesuka hati mereka.

Bumi...

Perkataan itu kulakar di atas kertas.

Bagaimana agaknya rupa bumi? Bagaimana agaknya keadaan di bumi?

“Mereka adalah keturunan dewa-dewi yang paling agung. Saya tahu apa yang kamu semua fikirkan; bagaimana agaknya rupa mereka? Apa bezanya mereka dengan kita semua? Apa yang mereka boleh lakukan? Apa yang boleh saya katakan...”

Cikgu Kato berjeda sebentar. Memandang setiap seorang yang berada di dalam kelas. Masing-masing memberi perhatian penuh padanya. Menunggu dengan penuh kesabaran. Kemudian dia tersenyum.

“Maaf... Tak semua orang boleh bertemu dengan mereka. Saya sendiri hanya mendengar cerita mengenai mereka melalui buku sahaja. Hanya orang yang berkepentingan sahaja yang dibenarkan berjumpa dengan mereka. Orang yang benar-benar penting ataupun orang yang benar-benar tak penting di Haven.”

Rakan sekelasku mula berbisik sesama sendiri.

“Jadi saya harap, kalau kamu berpeluang bertemu dengan mereka, kamu tergolong dalam kumpulan yang pertama; orang yang penting di Haven. Sebab orang yang tak berkepentingan dalam Haven bukan golongan yang boleh hidup lama dalam Haven.”

Aku tersentak.

Orang yang tak berkepentingan di Haven...

Papp! Papp! Papp!

Pembaris di tangan diketuk ke meja. Perhatian para pelajar kembali pada Cikgu Kato.

“Okey! Bertenang semua. Kita sambung balik pelajaran kita. Di bawah kumpulan Dewa-Dewi Berkuasa adalah Majlis Kehakiman Dewa-Angel, pentadbir, para cendiakawan, angel kelas 5 hingga kelas 1, dan fairy...”

Cikgu Kato terus larut dalam penerangannya. Tetapi perhatianku menerawang entah ke mana.

Orang yang tak berkepentingan di Haven...

Orang yang macam mana?

Macam aku ke?

“Orang yang tak berkepentingan dalam Haven bukan golongan yang boleh hidup lama dalam Haven.”

Apa maksud ayat Cikgu Kato tu?

@~@~@~@~

Pintu kayu yang diukir halus dengan tangan diketuk. Dia menunggu beberapa saat sebelum mendengar arahan menyuruhnya masuk. Pintu dibuka dan dia segera melangkah masuk. Bilik yang besar, kemas dan dihiasi dengan barangan mewah itu menarik perhatiannya untuk memandang. Kebanyakan barangan di situ berunsurkan kristal dan emas. Dewa yang hidup dalam kemewahan...

“Kagum?”

Riku sedikit terkejut. Kemunculan Dewa Chiyo secara tiba-tiba di belakangnya membuatkan dia terkejut. Riku segera menundukkan kepalanya, memberi hormat kepada Dewa Chiyo. Dewa Chiyo duduk di mejanya. Memerhatikan Riku dengan wajah tak beriak.

“Silakan duduk, Kurogane... Buat seperti kau berada di tempat kau.”

Ada pelbagai jenis kerusi di bilik itu. Pelbagai bentuk, warna. Riku memilih untuk duduk di kerusi berwarna hitam yang berbentuk empat segi. Tiada tempat untuk bersandar mahupn tempat untuk meletakkan tangan. Bibir Dewa Chiyo tersungging sedikit ke atas.

“Kurogane yang misteri...” Katanya.

“Maaf tuan, nama saya Riku. Bukan Kurogane.”

Kening Dewa Chiyo sedikit terangkat. Dewa Chiyo tersenyum.

“Oh, aku minta maaf! Aku selalu rasa yang nama tersebut sangat sesuai dengan kau, Riku.”

Riku mengerling ke belakang. Memandang sayapnya yang berwarna hitam.

“Tapi saya nama saya bukan Kurogane. Riku. Itu nama saya.” Ada ketegasan dalam kata-kata Riku.

“Baiklah, kalau itu kata kau. Tapi, boleh aku minta kau ingat nama gelaran itu?”

Walaupun permintaan Dewa Chiyo itu kedengaran aneh, namun Riku tetap mengangguk dan akur terhadap permintaan tersebut. Dewa Chiyo lebih peramah, suka tersenyum dan mesra berbanding Dewa-Dewi yang lain. Justeru itu Riku tidak berasa tegang jika bertemu sendirian dengannya.

“Tanaka mengarahkan saya bertemu tuan.” Riku membuka bicara terhadap kedatangannya ke situ.

“Aku dengar kau cedera. Jadi aku nak tengok keadaan kau.”

Riku tersentak. Selain Kina, Harumi, Kaze dan Ayumi, tiada sesiapa yang tahu kemalangan yang menimpanya. Dia yakin benar yang Kaze dan Ayumi tak akan membuka mulut untuk menceritakan kecuaian mereka pada umum terutamanya Dewa-Dewi. Harumi? Tak mungkin.

“Adakah kau cedera teruk?”

Riku menunjukkan bahunya yang sudah berbalut. Dewa Chiyo bangun dan memeriksa bahu Riku. Digerakkan bahu Riku ke atas dan ke bawah. Setelah berpuas hati, dia kembali ke tempat duduknya.

“Cuma kecederaan kecil. Terima kasih saya ucapkan atas keprihatinan Dewa Chiyo.”

Riku menundukkan kepala. Dewa Chiyo mengangguk-angukkan kepala. Bersetuju dengan kata-kata Riku.

“Terus-terang aku katakan aku terkejut bila mendengar berlaku kemalangan di Haven. Aku dan Dewa-Dewi yang lain sedaya-upaya memastikan Haven menjadi tempat tinggal yang selesa dan selamat untuk semua angel. Bila dengar ada kemalangan, aku fikir ia melibatkan pari-pari atau angel kelas bawah. Kau adalah orang terakhir yang aku fikirkan akan terlibat dalam kemalangan.”

Jari-jemari Dewa Chiyo bertaut. Memandang Riku tajam.

“Aku harap kau lebih berhati-hati.”

“Ya, sudah tentu saya akan lebih berhati-hati lain kali.”

Suasana hening seketika.

“Bagaimana dengan Haven?” Soal Dewa Chiyo.

Riku mengangkat wajah.

“Masih seperti dulu.”

“Benarkah? Alangkah bagusnya jika itu sebenarnya yang berlaku.” Dewa Chiyo memandang jauh melepasi jendela di biliknya. Merenung ke arah bandar Haven yang sentiasa sibuk di bawah Istana Kristal.

Dewa Chiyo diam dan termenung jauh. Suasana hening. Dingin sesekali terasa menjamah kulit. Riku sedar kata-katanya hanya mampu membohongi dirinya sendiri. Bukan Dewa Chiyo.

“Kau boleh keluar sekarang.”

Riku patuh pada arahan Dewa Chiyo.

Sebalik sahaja pintu di belakangnya tertutup, dia termenung seketika.

Wajah sedih Dewa Chiyo membuatkan Riku tertanya-tanya. Dia mahu bertanya. Namun sebahagian dari dirinya enggan mengambil tahu apa yang sebenarnya terjadi.

“Riku...”

@~@~@~@~

Riku tunduk. Langsung tidak berani memandang Dewa Dai dalam pakaian hitamnya seperti selalu. Dewa Dai tidak seperti Dewa Chiyo. Satu-satunya perkataan yang sesuai untuk menerangkan peribadi Dewa Dai adalah ‘menggerunkan’. Setiap kali bertemu dengan Dewa Dai dia terasa tegang. Rasa tertekan.

“Biar aku ringkaskan apa yang aku nak cakap. Aku tak suka dengan apa yang kau lakukan sekarang.”

Riku tunduk sebelum menjawab.

“Saya minta maaf kalau saya menimbulkan rasa tidak senang pada tuan. Apa yang boleh saya lakukan untuk menggembirakan tuan?”

Dewa Dai menjeling ke arah Riku.

“Kau tahu apa yang aku mahukan.”

Riku terdiam seraya mengetap gigi.

“Yang itu atas pilihan saya sendiri. Bukan tuan yang patut menentukannya.”

Giliran Dewa Dai pula mengancing giginya. Dia mundar-mandir dalam biliknya. Cuba meredakan api kemarahannya. Jarang permintaan atau arahannya diingkari. Oleh kerana dia ‘raja’ di Haven maka segala katanya harus dituruti oleh semua orang. Satu-satunya yang berani melawannya adalah lelaki di hadapannya itu.

“Ada tugas untuk kau.” Suara senada Dewa Dai kedengaran lagi.

Riku menadah tangan. Plat hitam bertulisan emas muncul di tapak tangannya. Serentak itu Riku mengeluh.

“Kenapa? Kau tak nak lakukan?” Sinis Dewa Dai bertanya. Riku diam dan melarikan pandangannya.

“Kumpulan Dewa-Dewi Berkuasa tak mahu dengar permintaan kau. Arahan ini untuk kebaikan Haven.”

“Kenapa mesti saya?”

“Kau fikir kau siapa nak ingkari perintah Dewa-Dewi?!!” Tempikan Dewa Dai bergema di segenap ruang bangunan Istana Kristal.

Riku masih dalam keadaan tenang. Langsung tidak terkesan dengan keberangan Dewa Dai yang sudah sampai ke puncaknya.

“Kau tahu apa akibatnya kalau kau ingkar, bukan?”

Riku mengetap gigi lagi.

“Kenapa? Menyesal? Aku dah halang kau. Jangan kata aku tak pernah ingatkan kau. Untuk jadi hebat, kau tak boleh rapat dengan sesiapa. Kerana ia akan jadi kelemahan kau.”

Riku berjalan pantas ke pintu.

“Sebelum matahari esok terbit, kerja tu perlu kau selesaikan.”

Riku mendengus dan menghempas pintu kayu tersebut sekuat hatinya.


*** 1st, sowi n3 lambat upload.
*** 2nd, Goddess dah ditukar pd Dewa-Dewi.

Thursday, November 10, 2011

The Cold World 3




The Angel

Kisah ini berlaku di Haven...

Haven adalah tempat tinggal bagi dewa-dewi, angel dan fairy.

Dewa-dewi adalah ‘raja’ dan pentadbir di Haven.

Fairy adalah pari-pari kecil yang ditugaskan untuk melakukan tugas-tugas remeh demi memastikan kelangsungan hidup angel dan dewa-dewi di Haven.



Angel adalah ‘jantung’ kepada Haven.

Tanpa angel, kewujudan Haven tidak bermakna sama sekali. Ini kerana Haven diciptakan untuk melahirkan rasa cinta, kasih dan sayang di hati manusia.

Dan tugas berat itu digalas oleh angel...

Aku merupakan salah seorang daripada angel yang ada di Haven. Tetapi aku langsung tak menepati kriteria untuk menjadi angel.

Aku tak boleh terbang...

Aku tidur di penghujung hari-hariku...

Aku perlu makan dan minum...

Aku tak punya deria yang tajam...

Aku langsung tak macam angel yang lain...

Aku tak layak digelar angel pun...

Sebab aku tak boleh memuaskan hati semua yang ada di Haven.

Disebabkan ‘kecacatan’ku, aku tak boleh berhenti dari menyakiti atau mencederakan sesiapa yang ada denganku...

SUPP...!

Sesuatu yang laju melintas di tepi telingaku. Serentak itu sesuatu yang berat menghempap tubuhku.

“Erk... Sakit!”

Dadaku terasa sesak. ‘Benda’ yang menindihku terasa berat dan membebankan. Spontan tanganku menolak untuk mengalihkan ‘benda’ tersebut.

“Arghh...!” Suara erangan Riku menampar gegendang telinga.

Aku duduk.

“Riku?”

Aku tergamam. Tangan kiri Riku memegang kejap bahu kanannya. Darah mulai keluar dari celah-celah jari runcing Riku. Berpusing-pusing kepalaku mencari benda yang melukakan Riku. Dan pandanganku terhenti pada sesuatu yang berwarna gangsa.

Anak panah?

Darah sudah mula membasahi sebahagian dari bajunya. Aku mula panik. Hujung gaun aku carik dan aku koyakkan lantas aku simpul ketat luka di bahu Riku. Cuba menghentikan pendarahannya. Wajah Riku sedikit kelat menahan sakit.

Adakah kami sedang diserang? Tapi kami di pusat Haven sekarang. Kalau kami diserang di sini, maksudnya musuh sudah hampir dapat menakluki Haven!

“Bertenang, Haru! Kita bukan diserang. Tiada musuh pun. Ini cuma salah faham. Dan luka aku tak teruk mana pun. Jadi, tolong bertenang.” Kata Riku panik.

Riku menarik aku ke sisinya.

“Haru, bertenang... Tarik nafas panjang-panjang.”

Aku akur pada permintaan Riku. Beberapa saat kemudian keadaanku semakin tenang.

“Gosh! Kau tak tahu betapa lajunya jantung kau berdegup tadi. Aku fikir jantung dah nak meletup.” Ujar Riku perlahan.

Riku berdiri. Menoleh ke sisi. Menunggu sesuatu. Perlahan-lahan aku dapat melihat susuk tubuh seseorang terbang ke arah kami. Seorang gadis.

“Maafkan saya! Maafkan saya! Saya tak sangka anak panah saya boleh pergi sejauh ini!” Kata gadis tersebut sebaik sahaja dia tiba di hadapan kami. Ini pertama kali aku bertemu dengan gadis itu.

“Ayumi. 16 tahun. Angel Kelas 3. Pelajar cemerlang. Naik kelas dalam masa kurang sebulan. Sangat mengkagumkan. Dan sekarang sedang menjalani kelas latihan memanah untuk jarak jauh. Sendirian.” Riku menyebut satu persatu maklumat mengenai gadis tersebut.

Umurnya muda 2 tahun dariku. Tapi dia sudah berada di Kelas 3 sedangkan aku masih di Kelas 1. Eh, tapi....

Gila! Kelas memanah? Lapangan sasar beratus kilometer dari tempat kami berdiri. Yang sebenarnya, berapa jauh jarak anak panah yang dilepaskan oleh Ayumi boleh pergi?

Ayumi seorang gadis yang manis dan cantik. Kurus, tinggi dan mempunyai bentuk badan yang menarik. Namun dia tampak bertenaga dan lincah dalam pergerakannya. Rambutnya lurus dan keperangan dipotong separas bahu. Sayapnya berwarna ungu cerah. Sama tonanya dengan gaun yang dipakai.

“Ya, saya Ayumi!”

Riku membetulkan bajunya. Sesuatu yang bersinar dan berwarna keemasan kelihatan dari balik jaketnya. Aku lihat mata Ayumi terbeliak dan dengan tak semena-mena, dia sudah melutut di depan Riku.

“Maafkan saya! Saya bersalah!.” Rayunya.

“Ayumi, kamu tahu kan bahawa latihan di lapangan sasar tidak boleh dilakukan tanpa pengawasan seseorang yang lebih senior dari kamu. Ini kerana kamu masih baru dan anak panah tersebut boleh membahayakan orang lain. Contohnya, apa yang berlaku sekarang.” Suara Riku tegas saat itu. aku tak pernah lihat Riku seserius itu.

Riku merenung ke atas sejenak.

“Siapa trainer kamu?!” Jerkah Riku tiba-tiba. Aku dan Ayumi terkejut.

“Aku!” Seorang angel, entah dari mana datangnya, muncul dalam sekelip mata dan berdiri di sebelah Ayumi. Riku bertentangan mata dengannya. Agak lama, sehingga aku menyangkakan yang mereka berbicara dengan menggunakan anak mata mereka sahaja.

Wajah Riku dan lelaki itu masam mencuka. Dari bahasa tubuh mereka, aku dapat mengagak yang hubungan mereka berdua tidak begitu baik.

“Kaze...”

Kaze tinggi dan berbadan lebih berisi serta lebih sasa berbanding Riku. Wajahnya garang dan berbentuk segi enam. Rambutnya keperangan. Sayapnya berwarna ungu gelap. Pandangan matanya menggerunkan aku. Aku melangkah setapak ke kiri, berlindung di sebalik tubuh Riku. Sesekali, aku mengintai untuk melihat mereka.

“Riku...”

Mereka merenung tajam ke arah satu sama lain lagi. Tulang rahang Riku timbul sekali-sekala. Dan aku seperti boleh mendengar bunyi giginya bergeser sesama sendiri akibat diketap kuat.

“Bangun, Ayumi!!” Arah Kaze lantang. Takut-takut, Ayumi bangun dan berdiri di sebelah Kaze.

“Kau biarkan dia berlatih tanpa pengawasan.”

“Kerana dia angel paling cemerlang di sini. Dia tak pernah menimbulkan masalah sehingga hari ini.”

“Anak panah dia hampir mengenai Haru!” Nada suara Riku naik setingkat lagi.

“Haru?” Kaze mencari wajahku. Dia merenung aku tajam.

“Itu tak sepatutnya berlaku. Setiap angel sepatutnya boleh menganggarkan bahaya yang berada di sekitarnya. Oleh sebab itu tak pernah ada kemalangan sebegini berlaku di Haven.” Seperti tadi, Kaze tetap bersahaja berkata-kata. Tenang.

“Tapi itu bukan bermakna kau boleh tinggalkan Ayumi dan pergi berpeleseran dengan kawan-kawan kau! Kau patut tahu apa akibatnya jika anak panah cinta menusuk tubuh angel!” Suara Riku naik lagi.

“Aku tahu. Tapi seperti yang aku cakap tadi, kalaupun anak panah itu tersasar, ia tak patut membahayakan sesiapa di Haven ini memandangkan semua yang ada di Haven punya radar yang boleh mengagak bahaya dan boleh mengelak.”

“Aku boleh...”

“Kalau kau berani...” Pintas Kaze. Seperti Riku, dia membiarkan ayatnya tergantung begitu sahaja. Memaksa aku memerah otak memikirkan sambungannya. Aku dan Ayumi berbalas pandangan. Kami mengukir senyuman kelat. Seperti aku, dia juga berada dalam keadaan takut.

Riku dan Kaze bertentangan mata lagi. Berbicara dengan anak mata masing-masing. Lagi.

“Aku rasa kita dah pun capai kata sepakat.” Sinis bunyi ayat Kaze.

Riku menggenggam kedua-dua belah tangannya. Mukanya merah padam.

“Mari pergi, Ayumi!” Ayumi akur dan berlalu pergi.

Kaze mula mengangkat tubuhnya di udara, bersiap sedia untuk kembali ke lapangan sasar bagi Kelas 3. Namun di luar jangkaanku, dia terbang mendapatkan aku. Berdiri terlalu hampir denganku; berdiri di antara aku dan Riku. Wajah Riku kelihatan berwaspada; bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kalau kau sudah jelak bertemankan Riku yang membosankan ini, kau boleh ikut aku. aku pasti boleh menjadikan kau angel yang bagus seperti Ayumi. Nampaknya Riku bukan pengajar atau kawan yang bagus!”

Kaze mengenyitkan matanya sebelum terbang meninggalkan aku. suasana di situ hening seketika. Aku mahupun Riku, tiada sesiapa yang mahu bersuara. Ruang langit lengang. Kebanyakan angel dan fairy sudah berada di tempat yang sepatutnya saat itu. Mujur... Kalau tidak pasti kejadian tadi menimbulkan kekecohan.

Bau darah menusuk ke hidung.

“Riku, bahu awak...”

“Tak ada apa yang perlu dibimbangkan.”

“Tapi darah...”

“Kau patut bimbang dengan kelas kau yang sudah bermula.”

Dan aku mula teringat akan kelasku yang hampir bermula.

“Argh, tidak! Lambat lagi!” Aku mula berlari meninggalkan Riku. Beberapa langkah dan aku menoleh semula.

“Jangan risau. Aku tak apa-apa.” Riku menyakinkanku.

Dan aku berlari tanpa menoleh lagi.

@~@~@~@~

“Cedera lagi?”

Riku mengangguk. Kina tersenyum.

“Kali ni, apa pula yang berlaku? Apa pula yang gagal dilakukannya?”

Kina sudah memulakan tugasnya. Mengumpul peralatan yang diperlukan sebelum duduk di hadapan Riku.

“Maaf...” Ujar Kina sambil mengisyaratkan Riku supaya membuka bajunya. Riku berkerut tatkala menggerakkan bahunya. Kina tersenyum dalam diam.

“Kau tak jawab lagi soalanku.”

Luka di bahu Riku dicuci dengan kapas. jarum dan benang diketepikan memandangkan luka Riku cuma luka yang tidak dalam.

“Ada salah faham. Kaze...”

“Saingan kau tu?”

“Tak payah la ingatkan aku betapa ‘baik’nya hubungan kami berdua.” Kata Riku tidak senang.

“Memang itu hakikatnya sejak dulu,kan?”

Riku menarik nafas panjang. Menahan pedih luka yang dilumur dengan ubat.

“Apa yang terjadi?”

“Dia biarkan traineenya berlatih memanah tanpa pengawasan.”

“Tak sepatutnya jadi masalah, kan?”

“Anak panahnya nyaris membunuh Haru!” Wajah Riku tegang tika itu. Wajah Kina kendur serta-merta.

“Oh, ya... Haru...” Ujarnya perlahan. Terasa seperti jarum halus menusuk hatinya.

“Kau kan tahu Haru bukan macam angel yang lain...”

“Angel yang lemah dalam segala hal...” Bersahaja saja Kina menyambung ayat Riku.

“Aku tak izinkan kau cakap begitu.”

“Tapi itu kebenarannya, Riku. Maka dengan itu Harumi jadi subjek kau, kan?”

Riku terdiam. Kepala ditundukkan. Kina sudah mula membalut bahu Riku.

“Dengar cakap aku, tinggalkan Harumi. Dia hanya akan menyekat kau dan kemajuan kau di Haven ni. dia akan menyusahkan kau. Kau angel paling baik di sini dan dia angel paling bodoh di sini! She can’t even fly! Angel apa yang tak boleh terbang? Bukankah terbang itu perkara semulajadi bagi angel.”

Riku merenung tajam wajah Kina yang sudah menyelesaikan kerjanya.

“Kina...”

Riku bangun dan mengambil bajunya.

“Aku tak rasa kau ada hak untuk menasihati aku. Apapun, terima kasih.”

Riku melangkah keluar dari bilik rawatan. Seseorang menerpa ke arahnya.

Tanaka.

Tanaka tunduk hormat.

“Salah seorang dari Dewa-Dewi ingin berjumpa dengan kau.”

Monday, November 7, 2011

The Cold World 2


The Haven

Aku terdengar satu demi satu kelopak bunga Ran dibuka di hujung lenaku. Dan aku seperti ternampak-nampak senyuman terukir di bibirnya sebaik sahaja dia terpandangkan wajahku. Wajah yang membelakangkan mentari samar-samar kelihatan.

“Selamat pagi, Haru...”

Aku menggeliat malas. Cahaya mentari yang memanah tepat ke mata. Aku kalih ke kiri. Kedua-dua belah tanganku menutup muka. Cuba menyembunyikan wajah dari sinaran mentari pagi. Riku sedaya-upaya mengalihkan tanganku.

“Riku...” Rengekku.

“Selamat pagi, Haru! Hari baru dah bermula.”

Aku kalih ke kanan pula.

“Haru...”

“Bagi aku tidur 10 minit lagi, boleh?” Pintaku.

Jemari runcing Riku pantas menjentik dahiku. Aku mengaduh sakit.

“Riku!”

Tawa Riku berpadu dengan kicauan burung-burung. Kicauan bertukar menjadi nyanyian merdu kini. ‘Loceng bangun pagi’ku.

“Walaupun aku suka lihat kau tidur tapi... Tak boleh, Haru... Kita akan terlambat nanti. Aku tahu kau tak suka jadi perhatian.” Kata Riku.

Aku mendengus. Kelopak mata kubuka. Wajah pertama yang kulihat saban pagi, dan wajah terakhir yang akan kutatap sebelum tidur; wajah Riku. Riku memberi isyarat mata; menyuruh aku segera bersiap. Aku jelir lidah.

Mahu tak mahu aku terpaksa bangun dan melompat turun dari bunga Ran. Kata-kata Riku ada benarnya. Seperti kata Riku, aku benci dengan ‘perhatian yang berlebihan’ yang diberikan oleh rakan-rakan dan gurunya sekiranya aku lewat masuk ke kelas.

Kakiku terjengket-jengket manakala tanganku pula aku depakan untuk mengimbangi tubuh ketika meniti dedaun yang lebar dan melata di permukaan air sungai. Seketika kemudian, tubuhku hilang di sebalik batu-batuan besar.

Aku terjerit kecil sebaik sahaja menyentuh air yang dingin. Riku ketawa lagi. baginya, ketakutan aku menyentuh air saban pagi adalah sesuatu yang lucu baginya.

“Kau pun tahu aku bukan seperti angel yang lain! Jadi kau dan yang lain-lain patut bertolak-ansur dengan aku!” Jeritku dari sebalik batu. Seketika kemudian kedengaran bunyi deburan air.

“Ya, aku tahu. Tapi aku rasa kau terlalu tamak.”

“Tamak?” Mataku terbeliak mendengar tuduhan Riku.

“Ya! Kau benci diskriminasi. Kau tak mahu dibezakan dengan angel yang lain. Tapi dalam sesetengah perkara seperti ini, kau mahu diberikan keistimewaan pula. Bukankah tamak namanya tu?” Jerit Riku.

“Tamak. Apa-apa aje la. ” Rungutku.

Usai berpakaian, aku melangkah ke arah Riku. Secawan madu dan sebiji epal dihulurkan oleh Riku.

Aku meneguk madu tersebut. Saban pagi, sebelum aku bangun dari tidur, Riku akan mengutip madu beberapa jenis bunga dari seluruh di Haven. Satu kemusykilan aku, di mana Riku mendapatkan buah epal saban hari kerana Haven tak punya pohon epal. Atau mungkin aku yang tidak mengetahui di mana pohon itu ditanam? Sesuatu yang enggan diberitahu padaku oleh Riku.

Tidak! Sebenarnya ada banyak benda yang dirahsiakan oleh Riku dariku.

“Kalau aku beritahu kau pun, tak ada gunanya! Hanya membebankan otak kau yang lembap tu aje!”

Itu jawapan yang diberikan oleh Riku setiap kali aku bertanya. Dan muncung aku akan ke depan setiap kali mendengar jawapannya. Berazam untuk merajuk berhari-hari dengannnya namun dengan mudahnya Riku dapat memujukku. Membawakan aku gula-gula kapas yang manis dan lembut seperti kepulan awan di langit. Ya, ya... Sudah tentu aku tak diberitahu dari mana dia mendapatkan gula-gula kapas tersebut.

Ada satu lagi soalan yang ingin aku tanyakan.

Kenapa angel yang lebih kelihatan seperti Dewa di mataku seperti Riku, ingin berkawan denganku? Kenapa pelajar cemerlang, kacak dan popular seperti Riku ingin berdampingan dengan aku, pelajar tercorot di Haven? Aku pasti Riku tak punya masalah untuk berkawan dengan sesiapapun.

Mulut Riku berdecit secara tiba-tiba.

Aku nampak Riku menggelengkan kepala. Apa hal pula ni? Sarapan sudah selesai kumakan.

Beberapa saat kemudian dia terbang ke The Hive, ‘rumah’ yang dibina khas untukku. Ada sesuatu yang dibawanya di tangan. Benda di tangannya dibaling ke mukaku.

“Kau patut pakai baju tebal. Cuaca Haven sekarang semakin sejuk berbanding dulu.”

Aku mengeluh. Baju tebal aku alihkan dari muka. Kenapa aku mesti berbeza dari semua angel yang lain? Kenapa dalam segala hal, aku berbeza dan adakalanya terpaksa diberi pengecualian atau keistimewaan?

Sebelum Riku sempat membebel, baju tebal tersebut aku kenakan ke tubuh. Menutupi sebahagian dari gaun separas lutut yang kupakai.

“Kenapa jadi begitu?”

Kami sudah mula bergerak ke pusat Haven, kawasan yang menjadi ‘nadi’ pada Haven kerana di situlah letakknya pusat pentadbiran, pendidilkan, bangunan perniagaan dan sebagainya.

Langkah Riku besar-besar dan penuh keyakinan. Riku bagus dalam apa jua hal. Aku terpaksa berlari-lari anak untuk menyaingi langkahnya.

“Maksud kau?” Soal Riku.

“Aku mungkin angel yang err... lembap, tapi aku masih dapat rasa yang Haven semakin sejuk sekarang.”

Walaupun matahari bersinar garang di langit, namun Haven semakin dingin. Seperti diselubungi salji. Bezanya, tiada salji putih yang jatuh dari langit.

Setahuku, Haven tidak pernah hujan, salji atau mengalami musim luruh. Haven cuma ada satu musim; panas.

Kepalaku terasa diketuk.

“Semua ni sebab angel yang lembap macam kau la!”

“Apa pula aku?!”

Riku berlari menjauhiku bila aku cuba untuk membalas dendam. Namun sepantas kilat juga dia sudah berada di sisiku. menolak bahuku dengan bahunya. Aku terdorong ke depan. Tangan sasa Riku memegang kejap lenganku, menghalang aku dari mencipta ‘kemalangan’ pertamaku pada hari ini.

“Kalau aku beritahu kau, aku terpaksa bunuh kau!”

Aku tersentak. Seketika kemudian aku tenang semula. Mana boleh bunuh angel! Angel hanya akan mati setelah semua manusia pupus. Itukan teorinya.

“Kau masih tak faham ke, Harumi?” Riku berbisik di telinga.

Aku menggeleng. Kedudukan wajah Riku yang terlalu hampir dengan wajahku membuatkan kepalaku terasa kosong. Dan ringan. Riku mengeluh kecil melihat jawapanku.

“Haven ni tempat apa, Haru?”

“Tempat Dewa-Dewi, angel dan fairy.”

“Apa tugas utama kita?” Soal Riku lagi.

“Mewujudkan cinta di kalangan manusia di dunia.”

Riku menatap wajahku. Lama. Cuba menyampaikan sesuatu mesej yang tidak aku fahami.

“Bila Haven ada ramai angel lembap macam kau, semakin kurang cinta diwujudkan di kalangan manusia maka semakin sejuk la cuaca di Haven. Faham?”

Aku anggukkan kepala.

“Haru...”

Riku aku pandang.

“Manusia yang tiada cinta di hatinya mengeluarkan aura dingin buat angel cinta seperti kita. Semakin ramai manusia sebegini, semakin dingin la Haven.”

“Dingin... Dunia yang dingin.”

Lambat-lambat Riku mengangguk. Aku menggeleng. Kalau manusia semakin hilang rasa cinta, apa jadi pada kami, angel cinta?

“Manusia yang tiada rasa cinta, kasih dan sayang akan memusnahkan antara satu sama lain. Berbunuhan. Dan akan pupus. Bila mereka pupus, kewujudan angel tak bererti lagi.” Bagai mengetahui apa yang aku fikirkan, Riku menyambung penerangannya.

“Jadi, aku sarankan pada kau supaya buat sesuatu pada otak kau yang lembap tu dan jadi angel yang paling bersinar di Haven! Faham?”

Muka cemberut aku pamerkan.

“Siapa yang ingin jadi lembap dan bodoh? Macam la aku ada pilihan...” Rungutku.

“Selamat pagi, Haru!” Sapaan Miyuki menutup perbincangan kami.

Kepala aku dongakkan. Memandang Miyuki yang terbang di udara. Miyuki adalah kawan baikku. Boleh dikatakan satu-satunya kawan baikku. Sayap Miyuki yang berwarna biru laut bergerak ke atas dan ke bawah. Di sisi Miyuki, Sora, kawan karib Miyuki. Seperti Miyuki, sayapnya juga berwarna biru. Bezanya, warna sayap Sora lebih gelap berbanding Miyuki.

Aku pernah dengar cerita-cerita tak berasas dari angel-angel yang suka bergosip. Kata mereka, setiap angel dilahirkan berpasangan. Setiap pasangan mempunyai tona warna sayap yang hampir sama. Biasanya pasangan yang mempunyai tona warna sayap yang sama akan berkawan baik kerana perwatakan dan minat mereka hampir sama.

Tapi aku tak pernah jumpa angel yang mempunyai warna sayap sepertiku...

Sora mengangkat tangan dan berbalas senyuman dengan Riku. Sora dan Riku rakan baik dan sekelas.

“Selamat pagi, Miyuki!” Balasku. Kami sudah semakin hampir dengan pusat pentadbiran dan pendidikan sekarang. Ruang langit sesak dengan angel-angel yang terbang ke sana-sini. Manakala jalan-jalan kelihatan lenggang. Cuma kelihatan beberapa angel pekerja yang sedang membersihkan jalan-jalan.

Di Haven, boleh dikatakan cuma aku dan Riku sahaja angel dewasa yang berjalan. Ini kerana angel yang masih kecil sahaja berjalan. Sebaik sahaja mereka menjangkau usia 8 tahun, bila sayap mereka sudah cukup besar dan kuat, mereka akan diajar untuk terbang. Dengan sayap, angel bergerak lebih pantas berbanding berjalan dengan menggunakan kaki. Maka ramai angel lebih suka terban dari berjalan.

Aku tak boleh terbang...

Kata Riku, mungkin sayapku yang bersinar di malam hari terlalu kecil untuk menampung tubuhku.

Disebabkan ‘kecacatan’ku itu, Riku sedaya-upaya untuk tidak menggunakan sayapnya selagi dia bersamaku.

“Jumpa di kelas, Miyuki!” Jeritku bila Miyuki dan Sora semakin menjauh.

Miyuki berhenti lalu menoleh.

“Mulai hari ni, aku akan naik ke kelas 2, Haru...”

Senyuman di bibirku lenyap. Kepala aku tundukkan. Seketika kemudian aku mendongak semula. dan tersenyum.

“Tahniah, Miyuki! Kau pasti akan jadi angel yang cantik dan bersinar!” Aku harus bergembira untuk Miyuki, kawan baikku.

Miyuki mengeyitkan matanya.

“Itu sudah pasti! Senang-senang aku akan datang ke The Hive kau. Nanti boleh la kita bercerita panjang! Aku pergi dulu, Haru!”

Aku memerhatikan mereka hingga hilang dari pandangan.

“Jangan risau, kau juga akan naik kelas seperti dia.”

Senyumanku tawar. Riku hanya ingin menyedapkan hatiku.

“Riku, kenapa aku jadi angel kalau aku tak boleh buat perkara-perkara asas yang angel boleh buat?” Soalanku kedengaran seperti keluhan di telingaku sendiri.

Wajah Riku kelihatan serius dan sedikit terganggu.

“Kerana kau lebih istimewa berbanding angel-angel yang lain. Asalkan kau yakn pada diri kau dan berusaha, aku pasti kau akan jadi angel yang paling cemerlang di sini!”

“Ya, aku harap apa yang kau katakan itu betul. Tapi aku tahu, kau cuma sekadar mahu menyedapkan hatiku...”

Entah kenapa suaraku kedengaran bergema-gema saat itu. Jantungku berdegup kencang. Badanku rasa semacam. Seperti ada sesuatu yang akan berlaku...

“Haru!!”

Serentak itu tubuhku rebah ke tanah. Sesuatu yang berat menindih tubuhku.

Sunday, October 30, 2011

The Cold World 1



Prolog

Aitakute...

Dia berlari. Berlari dan terus berlari. Dia mahu lari dari segala-galanya.

Aku nak jumpa dia...

Dia mahu lari dari hakikat itu juga...

Orang sekelilingi memandangnya seraya berbisik-bisik. Dalam zaman yang menggunapakai frasa ‘masa adalah duit’ ini perbuatannya bukan sesuatu yang luar biasa. Namun titisan jernih yang mula menuruni pipi membuatkan dirinya seperti magnet yang menarik seluruh perhatian manusia yang ada di situ.

Aitakute...!

Udara yang disedur masuk ke dalam rongga, ke dalam paru-paru terasa tersekat-sekat. Belakang tapak tangan melekap di bibir. Menghalang tangisan yang bila-bila masa sahaja akan pecah.

Air mata bergenang di birai mata diseka lagi.

Aku nak jumpa dia!

Batinnya menjerit sekuat hati.

Aku nak jumpa dia...

Aitakute...

Aku nak jumpa dia sangat-sangat!

Pandangannya kabur tika ini. Tidak jelas. Dia sendiri tidak pasti apa yang berlaku sekarang. Tidak pasti apa yang akan dilakukan selepas ini.

Satu-satunya perkara yang dia cukup pasti, jalan yang ditujunya sekarang adalah berbeza dengan jalan yang dilaluinya.

“Mya!”

Jalan yang berbeza dengan jalan yang diingini oleh si pemanggil.

“Mya!”

Hatinya hancur saat itu juga.

Seketika kemudian dunia di sekelilingnya bergegar dan terbalik dalam sekelip mata. Di pandangan matanya hanya kelihatan awan putih yang di langit yang membiru. Awan yang mengingatkan dirinya pada gula-gula kapas.

Aitakute...

Tapi aku tahu aku tak akan jumpa dia lagi. Kerana itu yang sepatutnya berlaku.

Air mata hangat mengalir turun sebelum semuanya menjadi gelap.


Wednesday, October 26, 2011

Katakan Dengan Indah Part 9



The thing that I forget... Should it be forgotten?

Kek keju yang dihidangkan oleh Mak Azah aku cuit dan aku suap ke mulut. Sejenak kemudian aku berhenti mengunyah. Ada sesuatu yang mengganggu benakku.

“Mak Azah...” Panggilku.

“Ya?” Mak Azah memandangku. Menanti ayat seterusnya dariku.

“Apa sebenarnya yang terjadi? Kenapa saya dimasukkan ke hospital? Macam mana... Kenapa...?” Terlalu banyak yang ingin aku tanyakan namun aku sendiri tidak jelas apa yang patut aku tanyakan atau apa yang ingin aku tahu. Kepala mula terasa berat dan sakit.

“Reen tak ingat?”

Kepala segera aku gelengkan. Perkara terakhir yang aku ingat... Di bilik pengetua. Tubuhku basah lencun dek air baja tahi lembu. Lapan orang budak. Kelab Petani Muda. Nerd. Pengetua. Cikgu Sufian. Community service.

Lepas itu... Aku balik rumah, kan? Dah aku basah lencun, dah tentu aku balik rumah. Kena mandi. Tukar baju. Lepas tu...

“Argh...!” Hujung jari segera mencari ubun-ubun kepala. Mata aku pejamkan. Menahan sakit kepala yang tanpa diundang datangnya.

“Reen! Kamu okey ke?”

Aku segera mengangguk. Aku kembali menyelongkar laci ingatan. Kosong. Tiada apa di situ. Hampa.

Entah apa yang jadi selepas itu. Yang aku tahu, sedar-sedar aje dari tidur, aku dah berada di hospital. Mak Azah menangis dan memeluk aku erat. Seolah-olah aku baru selamat dari bahaya. Mama pula tampar aku dan bagi amaran supaya aku tak mengulangi perbuatan bodoh aku.

Perbuatan bodoh iaitu... ????

Aku betul-betul tak tahu apa yang terjadi. Badan aku lemah dan sakit-sakit. Pergelangan tanganku berbalut. Aku perasan ada dua liang garisan luka di situ; seinci dari tempat aku mengenakan jam. Aku terpaksa makan ubat mengikut masa yang ditetapkan. Menjalani sesi kaunseling.

Jap!

Ada sesuatu yang disebut oleh kaunselor tersebut. Jururawat-jururawat di situ juga berbisik dan menyebut perkara yang sama di belakangku.

Cubaan bunuh diri. Bunuh diri...

Itu ke yang cuba aku buat?

Belakang tubuhku terasa diusap.

“Reen, perkara yang dah lepas tu biarkan aje berlalu. Mungkin ada hikmahnya kamu lupa. Dah tak payah ingat lagi. Masa yang dah berlalu kalau nak dikenang pun tak guna sebab tak apa yang boleh kita ubah. Masa yang kamu ada sekarang dan masa depan la yang penting dan perlu kamu fikirkan supaya kamu tak menyesal di kemudian hari. ”

“Mungkin...” Balasku sekadar mengambil hatinya.

Mak Azah tersenyum dan mula bercerita tentang kek keju buatannya. Beralih pula pada petua-petua untuk membuat kek yang lazat. Cerita tentang arnab peliharaan kami yang baru beranak. Fasal harga barang yang dah naik. Fasal ekonomi negara yang tak menentu. Tak mustahil cerita tentang pendudukan Jepun di tanah Melayu atau cerita Perang Dunia akan diulas dari perspektifnya jika dia berpeluang untuk duduk lebih lama di taman mini ini bersamaku. Aku tahu, sebenarnya Mak Azah ingin mengalih tumpuanku dari terus mengingati perkara yang aku lepa pada hari tersebut.

Betul-betul tak apa ke kalau aku tak ingat?

“Awak betul-betul tak ingat, ek?”

Wajah sedih budak lelaki berbaju pink itu menghiasi layar pandanganku.

“Sedihnya...”

Kenapa dia sedih?

Apa sebenarnya yang aku lupa?

Adakah aku terlupa sesuatu yang penting?

Sesuatu seperti...

Apa...?

@~@~@~@~

Pandangan dilemparkan ke hadapan. Merentasi bangunan pencakar langit yang menjadi sebutan satu dunia. Melepasi bangunan-banguna perniagaan. Melewati rumah-rumah kediaman yang pebagai jenis untuk semua golongan masyarakat. Dari beranda rumahnya, dia sepatutnya bisa melihat semuanya itu. Namun yang ada dalam fikirannya hanya seraut wajah. Dan mengingati seraut wajah itu menimbulkan kebimbangan di hatinya.

Tangan kiri diangkat separas mata. Lama matanya memandang ke situ. Ada warna merah dan kuning bercorak pada kain kasa. Rasa nyeri terasa menggigit tatkala tangan digerakkan. Namun sakit yang mencubit hati lebih terasa pedihnya.

“Kenapa dia tak ingat?”

Diam. Tiada sesiapa yang menjawab soalannya. Hatta suara hatinya juga membisu.

“Betul-betul tak ingat?”

Dia mengeluh berat. Lalu kepalanya mula menimbang-nimbang buruk baik perkara yang berlaku.

Mungkin lebih baik dia tak ingat. Start all over again. Mula balik di mana masanya terhenti. Supaya luka yang sudah mula menjadi parut tak berdarah kembali. Apa gunanya pun mengingati perkara yang buat kita sedih dan terasa nak mati?

Tetapi...

Kalau dia lupa... Aku...? Macam mana dengan aku? Bukankah aku hadir dalam masa-masanya yang ‘hilang’ itu? Aku akan dilupakan jua, kah?

Argh! Kusutnya fikiran!!

“Abang! Mak panggil makan!” Suara nyaring kedengaran.

“Kejap lagi!” Jawabnya.

Kepala disandarkan ke dinding. Mata di pejam rapat-rapat. Bunyi kenderaan atas aspal menjadi muzik latar tika itu.

“Abang!” Suara nyaring itu kedengaran lagi. Mulut dibuka. Mahu memarahi si adik yang tidak memahami kehendaknya.

“Mak...” Suara lirih si adik memadamkan amarah yang bertamu.

Dia bingkas bangun dan berlari masuk ke dalam rumah.

“Mak?!”

@~@~@~@~

“Aku dah jumpa tempat yang sesuai untuk kita bercuti!” Umum Tok Tok.

Loceng menandakan kelas pertama dah bermula sudah lama berbunyi. Tetapi kami masih berjalan dalam keadaan santai menuju ke kelas.

“Mana?” Soal Donna teruja.

“Genting.”

“Hek eleh! Bosannya! Cuba pergi Paris ke New York ke.”

“Kalau papa kau nak support kita orang, kita orang follow aje.” Hentam Tok Tok.

Donna mencemik. Semua orang tahu papa Donna pemurah dengan anak kesayangannya aje. Dengan orang lain papa Donna boleh disamakan dengan Haji Bakhil.

“Tempat lain tak ada?” Anna pula menyoal.

“Karambunai. Borneo ke. Tak payah pergi jauh-jauh. Malaysia ni pun kita tak abis round lagi. Kan, Reen?” Lian pandang aku. Tiga pasang mata lagi mengikut jejak langkahnya.

“Hmm...”

“Kau masih fikir fasal budak tu ke?” Soal Lian.

“Budak mana?” Tok Tok besarkan mata.

“Pinky-boy.” Jawab Anna.

“Wujud ke budak tu kat sekolah ni? Entah-entah budak dari sekolah lain. Datang sini menyamar dan curi barang. Mana la tahu, kan?”

“Aku tak rasa macam tu.” Mp3 aku keluarkan dari poket. Earphone aku sumbatkan ke telinga.

“Eh, ini mp3 kau yang budak misteri tu rampas, kan?”

Aku berhenti melangkah sebaik sahaja melintasi blok D.

Orang kata sekali kita dah bertemu dengan seseorang itu, kita akan bertemu dengannya lagi. Dan lagi. Nun di gelanggang bola keranjang bersebelahan dengan blok D, mataku dengan pantas menangkap kelibat budak lelaki berkemeja pink itu.

Donna, Anna, Lian dan Tok Tok berlaga sesama sendiri demi mengelak dari melanggar aku yang berada di hadapan mereka. Masing-masing merungut. Geram dengan tindakanku yang luar jangkaan mereka.

“Erk...! Budak lelaki berkemeja pink.” Kata Donna sebaik sahaja sedar ke mana perhatianku terarah.

“Aku dah kata budak tu wujud. Dia budak sekolah ni, kan?”

“Nampaknya dia ada masalah.” Ayat yang keluar dari mulut Anna kedengaran senada sahaja.

Budak lelaki itu berwajah masam. Cikgu Zakaria, guru disiplin sekolah bersuara nyaring memarahinya. Aku lihat Cikgu Zakaria menarik rambut budak lelaki itu yang panjang. Sesekali rotan di tangan digoyangkan ketika berkata-kata.

“Rambut panjang, berwarna pula tu! Kamu fikir kamu artis? Macam ni ke nak jadi tauladan pelajar? Saya tak tahu la macam mana kamu boleh dipilih jadi pengawas!”

Oh, isu rambut rupanya...

Seperti tahu dia sedang diperhatikan, budak lelaki itu menoleh ke kiri. Sebaik sahaja terpandang akan aku, dia tersenyum lantas melambaikan tangannya.

Erk, biar benar?

The Girls senyap di belakangku. Perhatian Cikgu Zakaria teralih pada aku dan The Girls yang lain.

“Aku rasa lebih baik kita blah cepat sebelum Cikgu Zakaria jadikan ita target dia pulak!” Aku dengar suara Lian. Aku juga dengar derap kaki mereka berlalu.

“Reen, buat apa lagi tu? Jom masuk kelas!” Tanganku terasa ditarik namun aku masih tak berganjak dari situ. Bukan aku tak mahu cuma aku tak boleh bergerak aje. Akhirnya aku tinggal sendirian di situ.

Cikgu Zakaria melangkah ke arahku dengan wajah bengis.

“Siapa benarkan kamu bawa mp3 ke sekolah?”

Earphone ditarik kasar dari telinga. Mp3 direntap dari tanganku. Matanya merenung tepat ke mataku.

“Qaireen Hafiya, ni bukan sekolah bapak awak jadi tolong jangan buat peraturan sendiri. Faham?! Benda ni saya terpaksa rampas.”

“Cikgu, bukan cikgu tengah marah saya ke tadi?”

Entah bila kalanya pinky-boy sudah berada di antara aku dan Cikgu Zakaria. Cikgu Zakaria mengalih pandangannya.

“Cikgu, kalau cikgu marah saya, cikgu boleh marah saya saja. Tak payah libatkan orang lain.”

Oit, dia ni memang sengaja nak buat cikgu ni marah ke?

Aku dapat rasakan kemarahan Cikgu Zakaria naik setakuk lagi. Dia mengeluarkan gunting dari poketnya dan...

Sapp...

Helaian rambut pinky-boy jatuh satu-persatu ke simen. Cikgu Zakaria mendengus sebelum berlalu pergi.

“Dah kena rampas...” Katanya perlahan. Tangan kanannya meraba kepalanya. Ditegakkan rambut depannya dengan kedua-dua tapak tangan. Seketika kemudian diratakan pula. Rambutnya yang dipotong pendek kelihatan lucu memandangkan ia tidak dipotong sama panjang.

“Hampeh punya orang tua! Tak fasal-fasal kena pergi kedai gunting... Alter balik.” Dia bersungut perlahan namun kedengaran jelas di telingaku.

Matanya mencari mataku. Dia tersenyum.

“Hai! Awal datang hari ni.”

Aku diam. Cara dia tegur aku seolah-olah kami sudah biasa bertegur-sapa.

“Dah breakfast?” Soalnya.

Terkebil-kebil mataku memandangnya. Kenapa aku masih berdiri di sini? Aku tak perlu berada di sini, kan? Aku mengulum senyum lagi bila terpandang gaya rambutnya yang baru.

“Tadi sarapan makan apa? Nasi goreng kampung? Bukan, bukan. Hurm, hari ni hari Rabu jadi sepatutnya makan roti bakar dengan mentega, kan?”

Aku tersentak. Macam mana dia tahu menu sarapan aku?

“Ada masalah dengan pembakar roti lagi ke? Kalau nak selamat, laraskan antara nombor 1 dan 2. Awak akan dapat roti bakar mengikut citarasa awak.”

Yang itu pun dia tahu?

“Mana kau tahu?” Soalku tak percaya.

Wajahnya berubah.

“Kau?” Soalnya kembali. Wajah dipalingkan ke sisi. Ada ‘rasa’ yang cuba disembunyikan dariku.

“Mana kau tahu?” Ulangku.

“Awak beritahu...” Jawabnya ringkas. Masih enggan menukar kata ganti diri yang digunakannya.

Dahiku berkerut. Bila masa pulak? Aku mula rasa tidak selesa berada di sisinya.

“Nak pergi mana?” Soalnya bila aku mula melangkah.

“Masuk kelas!” Jawabku keras.

“Kelas pertama kelas Sejarah. Kelas Cik Hafizah. Awakkan tak suka cikgu yang awak gelar Cikgu Kuntilanak tu?”

Aku berpaling.

“Okey! Cukup! Aku tak tahu siapa kau, dari mana kau datang atau apa yang kau nak dari aku. Tapi aku betul-betul rasa tak selesa dengan kau!”

“Ye ke?”

Aku berhenti lagi.

“Satu lagi, jangan ikut aku!”

Pinky-boy angkat kedua-dua belah tangan dan berhenti melangkah.

“Jumpa petang nanti!” Jeritannya sayup-sayup kedengaran.


*** Saya-Awak bunyinya sangat sopan... dan kedengaran ‘jauh’... korang setuju?

Followers