Tuesday, September 30, 2008

Cinta Origami

Bunyi jam dari telefon bimbit mengejutkan aku dari lena. Segera ku capai dan ku matikan dengan mata yang masih terpejam. Tak lama kemudian telefonku berbunyi lagi. Kali ini mesej pula yang masuk. Dengan malas aku menekan butang telefon bimbit dan membaca.

‘Dan, jangan lupa janji kita okey!’ Sender Airina. Aku check pula inbox. Ada tiga mesej yang belum dibuka dari Airina. Dalam keadaan mamai, aku membaca satu persatu mesej Airina. Mesej Airina yang mengingatkan aku tentang kelas kami pada pagi ini. Mesej Airina yang menyuruhku membawa buku-buku rujukan untuk menyiapkan tugasan kami selepas kelas tamat nanti. Mesej Airina yang mengingatkan aku tempat pertemuan kami selepas kelas kami berakhir nanti.

Aku menepuk dahi. Alamak...! Macam mana aku boleh lupa ni? Kembali teringat janji yang telah ku buat dengan Airina semalam. Dan kelas pagi yang aku dah ter‘tuang’... Jam di meja ku kerling. Pukul 11.30 pagi. Bermakna sudah lebih sejam Airina menungguku di kafe. Aku melompat turun dari katil. Terus mencapai tuala untuk mandi.

*******************************************************************************

Dari jauh aku sudah nampak Airina. Mukanya nampak seperti dia sedang kebosanan. Matanya asyik melilau. Mungkin mencari aku di celah-celah orang ramai yang mengunjungi kafe tersebut. Dan jari-jemarinya seperti biasa lincah melipat kertas-kertas kecil berwarna-warni yang sering dibawanya. Membentuknya menjadi objek. Sebaik sahaja terpandangkan aku, dia tersenyum lebar.

“Dik! Bagi akak teh tarik satu! Tarik panjang-panjang sikit ek! Pastu bagi roti canai kosong dua...” Jeritnya. Seperti biasa, Airina selalu tahu apa yang ku inginkan. Teh tarik dan roti kosong memang menjadi favouriteku jika berkunjung ke kedai mamak ini.

Senyuman Airina melegakan hatiku yang gundah. Gundah akan dimarahi oleh Airina akibat kelewatanku. Ahh... Airina tak kan marah padaku. Kalo dia marah pun, aku tahu bagaimana mahu memujuknya. Aku membalas senyuman Airina dan duduk di hadapannya.

“Dah lama sampai?”

Tanyaku sekadar berbahasa untuk memulakan perbualan pada pagi ini. Walhal aku tahu sudah lebih sejam Airina menungguku di situ. Airina jarang tidak menepati masa dan janji yang dibuatnya. Airina tersenyum manis. Jarang dia memasamkan mukanya di hadapanku. Jari-jemarinya menyudahkan lipatan origami burung jenjang yang terakhir. Mungkin dia baru sahaja belajar membuat origami burung jenjang ni. Cantik juga hasilnya! Kemudian kesemua origami burung jenjang itu dihulurkan kepadaku. Memang kebiasaannya begitu. Katanya dia sudah tidak punya tempat untuk menyimpan lipatan origami yang dibuatnya. Dan kini, origami buatan Airina mula membanjiri bilikku di kolej pula. Di celah buku-buku, di dalam laci, di rak buku, di bawah katil...

“Tak adalah... Saya baru aje sampai.” Kata Airina tanpa memandangku. Aku tahu Airina berbohong untuk menenangkan hatiku yang rawan. Lipatan burung jenjang pelbagai warna yang aku sambut tadi ku kira. Sepuluh semuanya. Air Horlicksnya pun sudah tinggal separuh gelas. Aku tersengih. Awak masih belum boleh membohongi saya, Airina...

“Sorry! Saya tertidur. Overslept... Malam tadi saya buat assignment Puan Raudah sampai pukul empat pagi...” Giliran aku pula berbohong. Walhal aku bergayut di telefon dengan Wardah sampai jam empat pagi tadi. Kebetulan Wardah tak ada kelas hari ni jadi dia rancak berbual itu ini denganku. Aku yang tak sedar diri ada kelas pagi ni, syok aje melayan dia. Sedar-sedar dah pukul empat pagi. Selepas solat Subuh barulah aku dapat melelapkan mata. Pastu aku tido mati. Sampai ter‘tuang’ kelas Prof. Omar pukul 8 pagi tadi. Adoi... Perbualan kami terhenti seketika apabila pekerja kedai mamak itu menghidangkan makanan yang ditempah tadi.

“It’s okey! Saya faham. Asssignment tu punya due date pun dah dekatkan... Don’t worry! Saya dah sainkan attendance awak tadi. Jom kita makan dulu.” Fuh! Lega... Ni yang buat aku semakin sayang dengan Airina ni... Dan hari itu hariku berjalan seperti biasa dengan kehadiran Airina di sisiku. Ceria dan menenangkan. Penuh dengan gelak ketawa Airina dan usikanku. Tak dapat aku bayangkan duniaku tanpa Airina. Tentu tidak menarik dan membosankan.

*******************************************************************************

Pertemuan pertama antara aku dan Airina berlaku kira-kira 3 tahun lepas. Di kafe berhampiran dengan fakulti kami. Aku masih ingat lagi, suasana di kafe begitu sesak sekali pada hari itu...

Aku kerling jam tangan. 12.30 tengah hari. Masa makan tengah hari. Pelajar-pelajar berebut-rebut membeli makanan di kafe yang berhampiran dengan bangunan fakulti. Mengisi perut sebelum memulakan pembelajaran sesi petang pula. Aku turut tidak ketinggalan. Namun aku tidak seghairah mereka memandangkan kelas sesi petangku bermula pada jam 4 petang, seperti yang diberitahu oleh kakitangan di bahagian pentadbiran tadi. Ah... Kenapa suka sangat buat kelas waktu petang? Mengantuk...!

Di celah-celah orang ramai itu, aku ternampak satu wajah yang benar-benar mencuri tumpuanku. Dia nampak begitu berbeza daripada pelajar-pelajar lain. Gadis itu berbaju kurung dan mengenakan tudung dengan warna yang sedondon dengan bajunya. Kulitnya putih bersih dan gayanya penuh dengan kelembutan. Betul-betul seperti bidadari yang ku impikan... Diakah gadis yang ku cari-cari selama ini? Keasyikanku memandangnya membuatkan aku alpa dan terlanggar seorang gadis.

“Woi! Buta ke apa?”

Terkulat-kulat aku memandang gadis yang ku langgar tanpa sengaja sebentar tadi. Gadis itu sibuk mengelap-ngelap muka dan bajunya yang basah dengan tisu. Dengan mata yang mencerlang, dia merenungku. Sebaik saja aku memandang wajahnya, aku terus tergamam. Cantik! Secantik gadis yang sudah hilang dari pandangan mataku kini. Cuma gadis di hadapanku kini tidak bertudung. Rambutnya di’highlight’ dengan warna perang dan dibiarkan terbang bebas. Dan seperti kebanyakan pelajar-pelajar, dia mengenakan jeans dan blaus ketat. Make-up di wajahnya nipis sahaja. Kalo dia berpakaian sopan tentu manis seperti gadis bertudung tadi tu... Agaknya dia berasal dari bandar yang rata-rata penduduknya telah hilang ciri-ciri ketimurannya. Tapi... Don’t judge the book from it’s cover! Ada gak yang orang kampung yang dah lupa daratan.

“Hello!” Dia memetik jarinya beberapa kali di hadapan mukaku. Mungkin dia geram melihatku yang langsung tiada reaksi. Aku malu sendirian. Pasti gadis di hadapanku ini sudah perasan yang aku asyik memerhatikannya dari atas sampai bawah sejak dari tadi.

“Can you at least say you’re sorry? You dah langgar I sampai I dah mandi air Coke, sekarang you tak nak cakap apa-apa? You ni tak ada adab atau bisu?” Soalnya lantang. Suaranya menarik perhatian beberapa orang pelajar di situ. Dua orang rakannya yang berdiri di belakangnya mula berbisik sesama sendiri.

“Oo… I’m really sorry! Saya tak perasan tadi. Awak nak saya ganti balik air Coke awak? Or… Can I get you something else?” Gadis itu menjeling. Tanda marah. Mukanya masam. Dia berpaling pada rakannya apabila terasa lengannya dicuit.

“Apa?” Soalnya kasar.

“Ai, dia tak sengaja tu! Let’s forgive and forget okey?” ujar salah seorang dari rakannya. Gadis itu pada mulanya ingin memprotes. Tidak bersetuju dengan pendapat rakannya. Namun apabila rakan-rakannya memujuk, barulah gadis itu mengangguk dan dia kembali mengalihkan pandangannya padaku.

“It’s okey! Saya maafkan awak. Lagipun awak tak sengaja. TAPI lain kali letak mata kat depan okey. Bukannya kat belakang atau kat lutut!”

Aku tersengih seraya mengangguk. Dan gadis itu terus berlalu apabila lengannya ditarik oleh rakan-rakannya. Mungkin rakannya takut gadis itu akan bertindak di luar dugaan memandangkan suaranya begitu lantang sewaktu menerima perkataan maaf dariku tadi.

“Garangnya pompuan kat sini… Harap-harap gadis berbaju kurung tadi tu tak macam tu…” Kataku sendirian.

*******************************************************************************

“Okey, saya nak tamatkan kelas setakat ini sahaja!” Kata-kata Prof. Muhaimin membuatkan aku manarik nafas lega. Seperti aku sudah terlepas dari hukuman gantung. Mahunya tidak, aku dah tak sanggup menahan mengantuk sejak mula-mula dia melangkah masuk ke dalam kelas dua jam lepas. Tersengguk-sengguk aku kat belakang kelas. Entah dia perasan entahkah tidak. Yang pastinya bukan aku aje yang buat kilang tahi mata. Ada tiga empat orang lagi yang se‘geng’ dengan aku. Nasib baik gadis yang aku suka tu ada dalam kelas ni. Dapat gak aku cuci mata. Melihat keindahan makhluk ciptaan Tuhan. Kalo tak, dah lama aku cabut balik. Tidur kat bilik lagi bagus. Aku pantas mengemaskan buku di atas meja.

“Tak sangka kita satu kelas!” Aku angkat kepala. Memandang seorang gadis yang berdiri di tepi mejaku. Macam pernah tengok aje pompuan ni... Aku mula menyelongkar kotak memoriku. Samar-samar. Tiada gambaran yang jelas tentang gadis di hadapanku ini.

“Awak ni...” Aku memejamkan mata seketika. Kononnya tengah cuba mengingatlah. Kerat jari kelingking, aku memang tak ingat kat mana aku pernah jumpa pompuan ni... Dia hanya tersenyum. Manis! Nasib aku tak ada penyakit kencing manis.

“Minggu lepas… Di kafe... Awak langgar saya... Air Coke tumpah... Awak ‘mandikan’ saya dengan air Coke… Remember?”

Perlahan-lahan ingatanku terhadapnya kembali. Aku pandang wajahnya. Lain sungguh! Hari tu gadis ni garang macam singa. Hari ni dah macam kucing aje...

“Hah! Ya… Baru saya teringat. Awaklah gadis yang saya langgar hari tu, kan? Napa? Awak tak puas hati lagi ke? Kalo awak tak puas hati lagi, saya boleh belikan awak air Coke yang baru. Jangan kata satu tin, satu dozen pun saya sanggup belikan...”

“No... No...! Bukan macam tu! Sebenarnya saya pun nak minta maaf. I wasn’t myself on that day. Itu yang saya angin semacam. Harap-harap awak tak simpan dendam pada saya…”

“Sudah tentu tidak. Saya yang bersalah. Sekali lagi saya minta maaf. Memang salah saya sebab berangan masa berjalan.” Kami berbalas senyuman.

”Nama saya Nurul Airina. But you can call me Ai @ Airin @ Airina or whatever. But not ‘woi’, ‘pompuan’ or what-so-ever yang tak sedap didengarlah…” Airina menghulurkan salam. Nak sambut ke tak, fikirku. Kalo sambut dosa. Bukan muhrim. Tapi kalo tak sambut, malu pulak minah ni. Ramai gak student yang masih belum keluar dari kelas dan curi-curi pandang ke arah kami.

“Nama saya Daniel Naim. Awak boleh panggil saya Dan...” Tangan Airina aku sambut juga akhirnya.

“Tak sangka awak pun amik Kejuruteraan Awam. Tapi yang peliknya, saya tak pernah pun tengok awak sebelum ni dalam kelas saya...”

“Actually, saya baru dapat tukar kampus. Sebelum ni saya belajar kat Sarawak. Baru sekarang saya dapat tukar ke sini...”

“Ooo... No wonder lah saya tak pernah tengok awak. Well, kalo awak perlukan bantuan apa-apa such as notes, awak boleh minta pada saya...”

“Sure... Thanks a lot! Susah gak belajar tanpa nota! Macam orang buta tanpa tongkat aje...”

Airina ketawa dengan perumpamaan yang aku buat. Persahabatan antara aku dan Airina bermula sejak hari tu. Ternyata berbaloi aku mengenali Airina. Airina seperti ‘kembar’ku. Saling melengkapi antara satu sama lain.

*******************************************************************************

“Dia tu satu course dan sekelas dengan kita ke?” Tanyaku pada suatu pagi. Ketika itu kami baru sahaja tamat kelas pertama untuk hari itu.

”Sapa?” Tanya Airina padaku semula. Aku memandangnya kemudian memandang ke arah gadis bertudung itu. Dia asyik berbual dengan kawan-kawannya. Mungkin membincangkan tajuk assignment yang baru sahaja diberikan oleh Puan Kamariah sebentar tadi. Airina melemparkan pandangan ke arah yang sama. Mencari-cari subjek yang ku maksudkan. Seketika kemudian dia memandangku semula.

”Maksud awak budak yang pakai tudung kuning tu ke?” Aku segera mengangguk. Airina tersenyum.

“Ooo... Wardah! Dia memang satu course dan satu kelas dengan kita. Napa? Berkenan ke?”

Aku diam. Cuma tersenyum sahaja mendengar serkap jarang dari Airina. Airina memang suka wat serkap jarang. Tapi biasanya serkap jarang Airina kena sasarannya. Sama seperti kali ini. Airina merenungku. Mengharapkan jawapan dariku. Perlahan-lahan aku menganggukkan kepala. Airina ketawa kecil. Kegembiraan kerana tekaannya tepat. Tiba-tiba Airina bangun dari kerusinya.

“Wardah! Daniel minat kat ko la...!” Jerit Airina. Satu kelas pandang Airina dan kemudian aku. Termasuklah si Wardah. Ya Allah! Malunya aku... Giler betullah budak Airina ni. Suka bertindak di luar jangkaan. Pantas aku tarik lengannya sehingga dia terduduk kembali.

“Woi! Tak payah lah wat announcement! Buatnya dia tu ada balak ke apa…” Bisikku marah. Airina tersengih aje. Nasib minah ni cun walaupun tersengih-sengih macam tu...

Wardah ku lihat tertunduk malu dan segera beredar dari situ bersama kawan-kawannya. Mungkin dia ada kelas lain yang perlu dihadiri. Atau mungkin dia malu setelah mendengar kata-kata Airina tadi. Tak pun dia meluat tengok aku... Melepas aku!

“Relaks, Dan! Wardah tu single and available lagi… Saya gerenti punya!” Kata Airina sambil mengenyitkan mata. Kalo ikut hati nak aje aku plaster mulut kecik minah ni! Macam mulut tempayan…

“Awak ni betul-betul dah malukan saya! Mana saya nak letak muka ni?” Airina angkat bahu.

“Dalam poket, dalam beg atau awak tak payah bawak muka awak datang kelas terus!” Ketawa Airina yang galak menambahkan kebenganganku. Dia dah malukan aku, pastu nak wat lawak tak jadi plak... Aku garu kepala yang tak gatal. Sengal betullah minah ni... Malu aku nak datang kelas macam ni.

“Patutnya awak berterima kasih pada saya. Bukan senang tau nak tarik perhatian minah kampung tu! Dari sem satu lagi abang-abang senior dan budak-budak fakulti kita try usha dia. Tapi satu pun tak jalan. Tapi awak beruntung... Sebab ada saya!”

“Apa untungnya ada awak?” Soal aku pelik. Selain dari membantu aku dari segi pelajaran dan membantu aku untuk memalukan diriku sendiri, aku tak nampak pun kelebihan aku berbanding budak lain dengan adanya Airina di sampingku.

“Wardah tu satu kolej dengan saya. Dia dok selang tiga bilik aje dari bilik saya...” Kata Airina sambil tersenyum-senyum.

Berkerut dahi aku memikirkan kaitan antara kolej budak Airina ni dengan Wardah dan minat aku untuk mengenali Wardah. Airina yang tadinya tersenyum penuh makna jadi bengang bila aku masih belum dapat menangkap butir bicaranya. Dicapainya test pad aku kat atas meja dan... Peek! Kepala aku diketuknya.

“Woi! Sakitlah! Jangan main kepala boleh tak?” jeritku. Aku raba kepala. Habis rambut ‘still standing’ aku. Dah jadi ‘still melepet’ plak dah!

“Dah awak tu ‘lampi’ a.k.a lambat pick-up sangat! Tu yang saya ketuk. Biar cepat sikit tangkap apa yang saya cakap.”

“Maksudnya apa?” Soalku bodoh. Aku tersengih bila Airina jengilkan mata. Mungkin geram sebab aku masih tak faham kata-katanya.

“Maksudnya... Saya bolehlah kenenkan awak dengan dia. Itupun kalo awak betul-betul nak kat dia la...”

“Nak! Nak! Nak!” Jawabku pantas. Orang dah offer, amik je la... Peluang tak datang berkali-kali...

“Amboi gelojohnya! Berapa ’pengeras’ @ upah awak nak bagi kat saya? Kalo saya minta awak belanja makan hari-hari, sanggup ke?”

“Sanggup! Awak bukan makan banyak mana pun... Maklumlah, orang kuat diet... Tapi... Mahu ke Wardah tu kat saya ni?”

Timbul keraguan di situ. Yelah... Sapalah aku ni kan... Hensem tu tak lah... Berbanding dengan dia yang cun dan digilai ramai. Sekali dia tak sudi nak berkawan dengan aku. Alahai... Malunya! Dah la hari-hari kena mengadap muka dia. Kami kan sekelas...

“In that case, saya tak bolehlah nak paksa dia! Ini negara demokrasi...”

Airina mengenyit mata kepadaku. Aku terpinga-pinga sendirian. Dia mencapai barang-barangnya dan terus keluar dari kelas.

“Belum cuba belum tahu...” Bisik hatiku. Mana tau Wardah boleh sangkut kat aku ni... Aku menyakinkan diri dan menguatkan semangatku. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam...

*******************************************************************************

Airina masih belum puas me‘lecture’ aku. Aku melemparkan pandangan ke arah tasik. Tenang. Mendamaikan. Ku perhatikan pula kanak-kanak yang leka bermain di taman permainan berhampiran. Ceria dan penuh gelak ketawa. Bila terasa ada tamparan di lengan, barulah aku mengalihkan pandangan. Memandang Airina yang sudah merah mukanya menahan marah.

“Dan, saya tak larang kalo awak nak bercinta sakan dengan Wardah in fact saya yang bantu awak dapatkan dia tapi please... Awak tak boleh ponteng kelas lagi. Awak dah banyak kali sangat ponteng! Lecturers dah mula suspek saya yang selalu tandatangankan untuk awak... Kalo kantoi, KO la kita berdua!”

Aku mengangguk-anggukkan kepala. Aku faham mesej yang cuba disampaikan oleh Airina. Memang wajar aku berterima kasih kepada Airina kerana bersusah-payah ‘menyatukan’ aku dan Wardah. Dan aku akui memang aku agak lalai menjalankan tanggungjawabku sebagai pelajar universiti sejak kebelakangan ini. Aku terlalu banyak menghabiskan masa ber‘dating’ dan bergayut dengan Wardah. Aku terlalu kepinginkan cinta dari Wardah. Hasilnya, hati Wardah berjaya ku perolehi. Ungkapan cinta dari Wardah telah ku perolehi beberapa hari lepas. Ungkapan yang ku tunggu-tunggu setelah hampir dua tahun berkawan dengannya. Dan ungkapan itu membuatkanku tidak tidur lena setiap malam. Ungkapan cinta Wardah membuatkan aku tersenyum sendirian seperti orang gila. Ahh... Aku benar-benar telah dilamun cinta bersamanya.

Masa-masa yang dahulunya banyak ku habiskan bersama Airina dan kawan-kawanku yang lain, tiada lagi. Aku mula menyalahgunakan kebaikan Airina. Airina ku gunakan untuk menutup segala ‘kekacauan’ yang aku lakukan. Aku kerahnya menyiapkan assignment-assignmentku, menandatangani kehadiranku, memberiku meniru kertas jawapannya ketika ujian dan macam-macam lagi. Aku tahu, ia tidak adil bagi Airina but what are friends for, right? Aku juga pernah membantunya dahulu. Menghiburkan hatinya ketika ditinggalkan oleh Aizat suatu ketika dahulu. Membantunya ketika tayar keretanya pancit. Malah pernah menjadi teman lelaki palsunya semata-mata untuk membuatkan Aizat cemburu. Sekarang sudah tiba masanya untuk dia pula membantuku.

“Awak tak macam ni dulu! Sepatutnya cinta membuatkan semangat awak semakin berkobar-kobar untuk belajar... Tapi apa yang saya lihat sebaliknya pula berlaku!”

“Airina, apa yang saya usahakan selama ini dah berhasil! Cinta Wardah milik saya juga akhirnya. Setahun selepas kita graduate, saya akan melamar dia menjadi isteri saya yang sah. Itu janji saya...”

Riak wajah Airina berubah menjadi keruh. Tiada senyuman di bibirnya. Dia seperti kecewa. Aku menjangkakan dia akan mengucapkan tahniah kepadaku kerana dia sendiri menyaksikan betapa bersungguhnya aku berusaha mendapatkan cinta Wardah yang satu itu. Mengapa ya...?

“Airina...” Panggilku apabila ku lihat Airina seperti mengelamun. Airina terkejut lalu memandangku. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menepuk-nepuk bahuku. Dia tersenyum tawar kepadaku.

“Tahniah! Saya gembira mendengarnya. Jangan lupa jemput saya makan nasi minyak nanti, ya!” Aku tersenyum lebar mendengar kata-katanya. Mana mungkin aku tidak mengajaknya. Dia kan match-maker kami. Malah aku berhasrat untuk menjadikannya pengapit sewaktu hari persandinganku nanti.

“Awak mesti datang. Tak lengkap majlis kahwin saya tanpa awak...”

Airina tersenyum. Aku membetulkan dudukku. Betul-betul mengadap Airina.

“Saya janji, lepas ni saya akan belajar bersungguh-sungguh. Saya tak kan ponteng kelas lagi. Saya tak kan suruh awak buat assignment saya lagi. Saya tak kan buat perangai lagi...”

“Kalo awak mungkir janji?” Duganya.

“Awak boleh sumpah saya jadi batu!”

“Tak nak lah! Saya nak sumpah awak jadi kereta Honda! Tak payah saya beli kereta lagi...!” Ujarnya sambil berseloroh. Kami ketawa keriangan. Sudah lama aku tidak melihat Airina ketawa sebegini.

*******************************************************************************

“Boleh tak Wardah tengok assignment awak, Dan... Wardah tak tau macam mana nak buat la...” Suara Wardah kedengaran manja di telingaku. Ahh... Orang kalo dah suka, yang pahit pun jadi manis. Yang busuk pun jadi wangi. Mungkin itulah situasi aku sekarang.

“Boleh, apa salahnya! Nanti saya bawa esok.”

“Okey! Terima kasih. Wardah kena letak phone sebab Wardah belum solat lagi. Jangan lupa bawa esok, okey! Minggu depan dah kena hantar assignment tu...”

“Okey! Bye...” Aku menekan butang merah di handphone. Serentak dengan itu aku terlihat Airina berjalan laju ke arahku. Hmm... Tepat pada masanya!

“Saya nak cakap something dengan awak...”

Itulah ayat yang pertama diungkapkan oleh Airina pada awal pertemuan kami kali ini. Aku simpan semula kata-kata yang ingin ku luahkan pada Airina. Muka Airina aku pandang. Mukanya serius. Sesekali berkerut-kerut. Seperti ada masalah berat yang dihadapinya. Aku mula meneka-neka perkara yang ingin dikatakannya.

“Apa dia?”

“Berkenaan dengan Wardah...”

Jantungku berdegup kencang apabila nama Wardah meluncur dari bibir Airina. Kenapa pula dengan Wardah? Baru sebentar tadi kami berbual.

“Napa pula dengan Wardah?” Pantas aku bertanya.

“Saya nampak dia keluar dengan Rahimi semalam. Mereka berpegangan tangan dan masuk dalam hotel. Ini bukan kali pertama. Dah banyak kali saya terserempak dengan mereka...”

Aku pantas menutup telinga. Tidak sanggup mendengar Airina memburuk-burukkan Wardah. Ini merupakan kali ketiga aku mendengar cerita memburukkan Wardah dari mulut Airina. Dua kali kami bergaduh besar gara-gara Airina mengatakan yang bukan-bukan tentang Wardah. Mustahil Wardah sanggup melakukan perkara tidak bermoral. Wardah gadis terpelajar yang tinggi ilmu agamanya. Airina masih meneruskan cerita karutnya tentang Wardah.

“Airina!” Jeritku. Airina tersentak. Kata-katanya terhenti.

“Jangan burukkan Wardah lagi! Dia gadis baik. Tuduhan awak terhadapnya terlalu berat.”

“Tapi saya tak bohong! Najwa, roommate saya boleh jadi saksi. Ini bukan kali pertama kami lihat mereka bersama, Daniel! Cuma baru kali ini saya berani berterus terang dengan awak tentang segala-galanya!”

“Saya tahu awak sengaja memburuk-burukkan Wardah! Awak cemburu sebab saya banyak habiskan masa dengan Wardah!”

“Demi Allah, Dan! Tak pernah terlintas di hati saya untuk memburukkan Wardah dan saya tak pernah cemburukan perhubungan awak dan dia!”

“Sudah! Saya tak mahu dengar lagi awak memburukkan Wardah. Dia bakal isteri saya dan ibu kepada anak-anak saya!”

“Daniel! Dengarlah kata-kata saya... Sekali pun awak tidak mempercayainya tapi sekurang-kurangnya ambillah tahu. Siasatlah, Dan! Buka mata hati dan minda awak. Nilailah semula Wardah awak tu...”

“Saya tak tahu apa yang dah merasuk fikiran awak sehingga awak sanggup memburuk-burukkan Wardah. Kalo awak tak boleh terima Wardah dan hubungan kami, okey! Fine... Saya rasa sampai sini sahaja persahabatan kita sebab kita dah tak sefahaman lagi...”

Aku meninggalkan Airina yang masih berdiri di situ. Hatiku terasa pedih kerana terpaksa memilih antara Airina dan Wardah. Namun aku nekad. Aku tidak akan percaya kata-kata Airina yang berunsurkan cemburu itu. Jeritan Airina tidak ku hiraukan. Aku lebih risaukan keadaan Wardah sekiranya dia mendengar cerita-cerita yang tidak baik mengenai dirinya.

*******************************************************************************

Perhubungan aku dengan Wardah sudah berlangsung hampir empat tahun. Kini kami sudah tamat pengajian dan mula memburu pekerjaan di ibu kota. Alhamdulillah... Rezekiku murah. Tak sampai tiga bulan aku menganggur, aku diterima bekerja di sebuah syarikat pembinaan. Wardah pula sudah dua kali bertukar pekerjaan kerana dia masih belum dapat pekerjaan yang bersesuaian dengan jurusan yang kami ambil.

Airina? Aku tidak tahu perkembangan terbaru Airina. Aku tidak lagi berhubungan dengan Airina setelah peristiwa petang itu. Aku yang memutuskan hubungan dengannya. Airina ada menghantar mesej dan menelefonku namun tidak pernah aku angkat. Bila bertemu aku cepat-cepat melarikan diri. Setelah pelbagai cara dilakukan, akhirnya Airina mengalah dan mula menjauhkan diri dariku. Tamat pengajian, Airina hilang begitu sahaja dari hidupku. Aku langsung tidak mencarinya. Aku tidak boleh menerima penghinaan yang dilemparkan oleh Airina teradap Wardah.

Wardah gadis kampung. Dididik dengan ajaran agama yang sempurna. Bapanya merupakan imam di kampung. Wardah tahu menjaga auratnya. Wardah bertudung, menutup auratnya dari dilihat orang lelaki-lelaki yang bukan muhrimnya. Wardah juga tidak pernah tinggal kewajipan solat lima waktunya. Bicaranya bagai mutiara-mutiara kata. Penuh kelembutan, sopan-santun dan maksud tersirat. Bagiku, Wardahlah yang paling layak menjadi permaisuri hidupku.

Airina berbeza sekali dengan Wardah. Airina dilahirkan dan dibesarkan di bandar. Didikan agamanya hanya setakat di sekolah rendah dan menengah. Solat lima waktunya adakalanya terabai. Airina kurang bijak menjaga auratnya. Airina senang mengenakan t-shirt ketat dan jeans ke mana-mana. Rambutnya yang panjang dan lurus, diwarnakan dan dibiarkan bebas dilihat oleh sesiapapun.

Bukanlah aku ingin membezakan Wardah dan Airina. Tetapi bagiku, Wardah lebih sesuai dijadikan isteri memandangkan asas agamanya kukuh boleh menambah saham dan potensiku untuk menuju ke pintu syurga. Wardah juga mudah dididik memandangkan dia tidak pernah membantah terutama dalam perkara-perkara berkaitan hukum agama. Wardah bijak membataskan pergaulannya dengan lelaki-lelaki bukan muhrimnya termasuklah aku. Tidak pernah sekalipun kami bersentuhan secara sengaja. Airina pula kontra kepada peribadi Wardah. Justeru itu aku nekad untuk menamatkan pencarian teman hidupku dan memutuskan hubunganku dengan Airina..

*******************************************************************************

Aku bergegas keluar dari rumah. Pintu rumah segera ku kunci. Sebaik sahaja pintu kereta ku buka, telefon bimbitku berbunyi. Wardah...

“Wardah, abang baru nak...”

“Abang! Wardah tak dapat tengok wayang dengan abang hari ni! Wardah kena kerja. Ada tender baru masuk!” Ujar Wardah lembut namun kedengaran agak tergesa-gesa. Aku menutup kembali pintu kereta.

“Hari ni kan hari Sabtu. Tak kan lah kena kerja pulak...” Setahu aku, pejabat Wardah cuma beroperasi lima hari seminggu.

“Ada tender baru masuk. Wardah budak baru, tak berani la nak bantah...” Aku segera mengerti bicara Wardah. Wardah baru sahaja bekerja di sebuah syarikat pembinaan di ibu kota. Sudah pasti prestasi kerjanya sedang dinilai dan diperhatikan. Namun tuntutan tugas Wardah kebelakangan ini sering benar mengganggu janji temu kami pada setiap hujung minggu. Pada hari-hari lain jarang sekali kami dapat bertemu memandang waktu kerjaku sering tidak menentu selesainya. Nampaknya tertunda lagi la perbincangan kami mengenai tarikh pertunangan kami. Hmm...

“Okey lah kalo macam tu. Kita jumpa lain kali aje. Take care okey...”

“Okey. Sayang abang. Bye!” Talian dimatikan. Aku tersenyum sendirian. Wardah tidak pernah gagal mengucapkan sayangnya padaku. Kasihku padanya juga semakin menggunung. Tiada siapa yang dapat menandinginya dalam hatiku.

Aku mengeluarkan tiket wayang dari poket seluarku. Memandangnya sejenak dan berkira-kira apa yang harus aku lakukan dengan tiket tersebut.

“Nampaknya aku sorang ajelah yang tengok cerita ni. Tiket lagi satu ni wat frame ajelah...” Kataku sendirian. Pintu kereta ku kunci semula. Lebih baik naik kenderaan awam... Hujung minggu biasanya jalan di Kuala Lumpur penuh sesak. Jika bersama Wardah, aku tidak kisah jika terperangkap dalam kesesakan sebegitu kerana masa-masa bersamanya la yang selalu ku nanti-nantikan. Antara sebab utama aku beli kereta pun adalah Wardah. Aku tak sanggup tengok Wardah berpanas, bersesak-sesak dan berhimpit-himpit menaiki kenderaan awam maka tahun pertama aku bekerja aku terus membeli kereta secara ansuran walaupun ada keperluan lain yang mendesak. Segalanya demi Wardah...

*******************************************************************************

Seperti yang kujangkakan, LRT sarat membawa penumpang. Aku segera menyelit di celah-celah orang ramai. Yes! Aku berjaya meloloskan diri... Aku mengelap peluh dengan sapu tangan. Panas. Dengan keadaan cuaca yang tak menentu dan keadaan LRT yang macam ‘ikan sardin dalam tin’, sudah cukup untuk membuatkanku rasa ‘terbakar’. Aku perhatikan kelompok manusia yang pelbagai di dalam LRT. Pelbagai bangsa. Pelbagai gaya dan ragam.

Aku tertarik untuk meneliti sepasang kekasih yang berdiri di suatu sudut LRT. Itupun setelah makcik-makcik yang berdiri di sebelahku mula mencemuh pasangan tersebut. Penumpang-penumpang dalam LRT itu juga mula memberikan pandangan kurang senang ke arah pasangan tersebut. Sungguh menjijikkan dan memualkan. Mereka bukan setakat berpegang tangan. Tangan si lelaki sudah mula berjalan ke tempat yang tidak sepatutnya. Sesekali si gadis menghadiahkan ciuman di pipi lelaki tersebut. Mereka seolah-olah tenggelam dalam dunia mereka sendiri. Langsung tidak mengendahkan pandangan orang di sekeliling mereka. Apa yang menyedihkan aku, si gadis memakai tudung. Perbuatannya akan membusukkan imej wanita bertudung di mata masyarakat. Perlukah pasangan bercinta meluahkan rasa cintanya dengan cara ‘terlarang’ sebegitu? Kenapa tidak kahwin sahaja?

Aku cuba membandingkan pasangan tersebut dengan Wardah dan aku. Aku dan Wardah juga bercinta, tetapi tak lah sampai begitu perlakuan kami. Aku cukup menghormati Wardah dan imejnya yang bertudung. Tidak pernah sekali pun aku menyentuhnya sekalipun memegang tangannya. Apatah lagi meragut kesuciannya... Aku menatang Wardah seperti minyak yang penuh. Aku mahu menjaga Wardah dan maruahnya sehinggalah masanya sudah tiba untuk aku berbuat lebih daripada sepatutnya. Bagiku, percintaan sebegitu adalah lebih manis dan akan bertambah manis setelah kami berkahwin kelak...

Sebaik sahaja pengumuman mengatakan LRT yang kami naiki sudah tiba di destinasinya, barulah pasangan tersebut meleraikan pelukan dan bersedia untuk turun. Aku mengamati wajah pasangan tersebut. Wajah gadis bertudung dan pasangannya yang sudah jelas kelihatan di kaca mataku membuatkan lutut aku menjadi lemah. Berkali-kali aku menggosokkan mata. Tak percaya... Tanpa sedar, aku mengikuti pasangan itu dari belakang.

“Wardah!” Jeritku lantang. Aku berdoa agar gadis di hadapanku tidak menoleh. Sekaligus menidakkan apa ku lihat sebentar tadi. Gadis itu menoleh. Sah! Itu memang Wardah. Di sebelahnya, Rahimi, senior kami ketika di UiTM. Muka Wardah pucat. Rahimi memandangku dengan tenang.

“Abang... Wardah...”

“Abang tak sangka Wardah sanggup tipu abang. Dan yang paling abang tak sangka Wardah sanggup melakukan perkara terkutuk tu di khalayak ramai!”

“Abang! Dengar dulu penjelasan Wardah...” Wardah menghampiriku dan cuba memegang tanganku. Aku pantas mengelak. Jijik untuk bersentuhan dengannya walhal itulah yang selalu aku impikan. Aku cuma melemparkan senyuman tawar apabila Wardah cuba juga menegakkan benang yang basah. Menafikan segala-gala yang ku lihat tadi. Wardah mula menggunakan air matanya untuk meraih simpatiku. Maaf Wardah, aku tak kan tertipu lagi...

“Ternyata Wardah bukanlah bidadari yang abang impikan selama ini. Hubungan kita setakat ini sahaja, Wardah! Selamat tinggal...”

Aku terus berlalu. Meninggalkan Wardah yang meraung memanggil namaku sambil ditenangkan oleh Rahimi. Hatiku bagai dirobek. Aku tahan air mataku dari mengalir. Aku lelaki. Tak seharusnya seorang lelaki menangis semata-mata kerana seorang gadis. Gadis yang entahkan ada entahkan tidak gadisnya lagi...

*******************************************************************************

Dah lebih tiga jam aku berjalan tanpa arah tujuan. Cuma mengikut sahaja ke mana arah kaki membawa jasadku ini. Bila terasa letih, aku akan duduk seketika. Memerhatikan keadaan sekeliling yang padaku semuanya nampak suram. Tidak bermaya. Seperti yang ku rasakan kini. Tenggelam matahari barulah aku balik ke rumah. Farhan, rakan serumahku tak berani menegurku apabila melihat mukaku yang masam. Dibiarkan sahaja aku berlalu masuk ke dalam bilik.

Tin Coke yang sudah tinggal separuh ku campak ke meja. Habis jatuh dan pecah semua barang di atas meja. Biar segalanya hancur! Air Coke tumpah di merata-rata tempat. Tiba-tiba pandanganku jatuh pada botol kaca yang berkecai di bawah meja. Botol kaca berbentuk bintang pemberian Airina ketika hari lahirku beberapa tahun lalu. Origami berbentuk bintang bertaburan. Ada juga yang sudah dibasahi air Coke.

“If you need me, I’ll always be there for you…”

Tiba-tiba ingatan terhadap Airina menerpa. Airina… Maafkan aku Airina... Betapa bodohnya aku kerana enggan mempercayai kata-katamu. Mataku dibutakan oleh kebaikan, kelembutan dan tudung yang dipakai oleh Wardah. Selama ini aku menyangkakan semua wanita bertudung itu baik, taat pada perintah Allah. Dan wanita yang tidak bertudung itu jahat, tidak berakhlak. Ternyata aku silap menilai keperibadian Wardah dan Airina.

Aku mula merindui Airina. Airina gadis lincah yang sudah lama tidak ku temui. Airina teman yang terbaik yang pernah aku ada. Sentiasa sabar dengan kerenahku, kelewatanku, kelalaianku, kekuranganku. Airina tetap sabar dan sentiasa tersenyum. Airina selalu prihatin dengan keperluanku. Bersama Airina, aku menjadi diriku. Aku tidak perlu kelihatan sempurna dalam segala hal kerana Airina sendiri tidak malu-malu menunjukkan kelemahannya. Kami masing-masing ada kelemahan dan kami saling melengkapi untuk menutup kelemahan-kelemahan kami. Airina... Di mana kau sekarang?

Bintang-bintang yang bertaburan aku kutip satu persatu. Salah satu bintang yang sudah basah terkena air Coke dan sudah hilang bentuknya menarik perhatianku. Terkerut mukaku melihat kesan dakwat pen yang terdapat pada bintang itu. Dengan cermat ku buka lipatannya. Terkejut aku dengan apa yang ku lihat. Aku pantas menyelongkar buku-buku di rak. Satu kotak yang penuh dengan hadiah pemberian Airina dan origami yang pelbagai bentuk turut ku keluarkan dari bawah katil. Origami pelbagai bentuk ku buka satu persatu. Hampir setiap satunya ada tulisan tangan Airina dan luahan hatinya…

“Pertemuan pertama dengan Daniel, 12 April 2003.”

“Daniel is my superman. He always there for me…”

“Daniel is funny. He really light up my days.”

“Aku mula mendalami ilmu agama kerana keperibadian Daniel.”

“Aku berjanji memperkenalkan Dan dengan Wardah.”

“Usaha aku berhasil! Aku senang melihat senyuman Dan.”

“Daniel dan Wardah bertambah rapat. Aku betul-betul rindukan saat-saat bersama Daniel.”

“Aku bukan gadis idaman Daniel-bertudung, beriman, sopan, lemah-lembut. Wardah gadis terbaik buat Daniel...”

“Adakah aku cemburu melihat Daniel dan Wardah?”

“Aku rasa aku sudah jatuh cinta pada Daniel.”

“Daniel, tidak layakkah aku menyintaimu?”

“Aku tak kan sesekali menyatakan cintaku kepadanya. Aku takut akan kehilangan Daniel buat selamanya.”

“Andai Daniel tau ‘wajah’ sebenar Wardah, apakah reaksinya?”

Ya Allah! Selama ini Airina mencintaiku? Mengapa baru kini aku mengetahui isi hatinya? Kenapa aku terlalu buta menilai layanan dan pengorbanan Airina selama ini? Mengapa aku terlalu bodoh menafsirkan bahasa cinta Airina? Mungkin bidadari yang selama ini ku cari bukan Wardah tetapi Airina... Mungkin bidadari yang ku cari selama ini berada di hadapan mataku... Ya Allah, berilah aku kesempatan untuk bertemunya lagi...

*******************************************************************************

Dua jam menunggu di hadapan pejabat Airina aku rasakan seperti dua tahun lamanya. Sekejap-sekejap aku duduk dalam kereta, sekejap-sekejap aku berdiri di sisi kereta. Bila terasa lenguh, aku mundar-mandir pula di situ. Orang yang lalu lalang mula pandang aku semacam. Aahh... Lantak mereka lah! Dalam kepala aku sibuk merangka-rangka ayat yang ingin aku tuturkan kepada Airina sebentar nanti.

Mahukah Airina memaafkan aku atas segala keterlanjuran kata-kataku? Atas segala perbuatan aku terhadapnya? Sudikah Airina menyambut huluran cinta dariku? Bagaimana jika aku sudah terlambat dan Airina sudah menjadi milik orang lain? Ahh... Kacau!

Tepat jam lima petang, aku lihat seorang demi seorang pekerja mula meninggalkan bangunan tersebut. Aku mencari-cari Airina. Tiada. Betul ke alamat yang si Najwa ni bagi? Entah-entah dia kelentong aku hidup-hidup tak?

Aku perhatikan lagi pekerja-pekerja yang keluar dari situ. Tiba-tiba mataku menangkap susuk tubuh seseorang. Berkali-kali aku menggosok mata. Demi Allah, jika tak kerana lesung pipit di kedua-dua belah pipinya yang kelihatan ketika dia ketawa bersama rakannya, tak mungkin aku dapat mengecam Airina. Airina kini sudah bertudung. Dia tidak lagi mengenakan baju dan seluar ketat sebaliknya kelihatan anggun berbaju kurung.Aku segera mengejar Airina dan rakannya yang semakin menjauh.

“Airina! Ai! Airina!” Jeritku lantang. Langkah Airina dan rakannya terhenti. Airina menoleh. Dia kelihatan terkejut apabila menyedari kehadiranku di situ. Rakannya mula menjauh. Memberi sedikit privasi untuk kami berbual.

“Daniel...” Ucapnya perlahan.

“Airina, saya nak minta maaf! Saya silap menilai Wardah. Ternyata dia bukan seperti yang saya bayangkan... Maafkan saya kerana tidak percaya kata-kata awak. Maafkan saya kerana gagal menghargai awak selama ini. Maafkan saya!” Airina tersenyum melihat wajahku yang bersungguh-sungguh mengucapkan maaf.

“Saya dah lama maafkan awak. Semua orang melakukan kesilapan termasuklah saya dan awak, Daniel...”

“Terima kasih, Airina...”

Aku mengeluarkan kotak baldu merah dari poket seluar. Aku buka kotak itu dan aku melutut di hadapan Airina. Airina tergamam. Drama sebabak yang kami lakonkan mula menarik perhatian orang ramai yang lalu-lalang di situ. Namun semua itu tidak ku endahkan.

“Saya harap saya masih belum terlambat. Airina, saya nak tamatkan kisah cinta origami kita ni... Sudi tak awak jadi isteri saya?”

Airina diam seribu bahasa. Kebisuan Airina membuatkan hatiku rawan. Kemudian aku lihat dia membuka tas tangannya dan mengeluarkan sesuatu. Origami berbentuk hati. Dihulurkan padaku. Aku menyambutnya dengan seribu pertanyaan. Aku buka lipatan demi lipatan origami tersebut. Di situ tertulis tiga patah perkataan yang sebelum ini aku anggap sudah tidak menjadi milikku lagi. Wajah Airina aku tatap. Kami berbalas senyuman. Terima kasih, Ya Allah... Terima kasih kerana memberi kesempatan kedua ini! Aku berjanji tidak akan mensia-siakannya lagi...

8 comments:

pink sapphire said...

menarik..don't judge the book by its cover ^_^

sepatu tinggi said...

buddy..saye ske giler citer nie..wat la citer yg besh2 lagi...go.go.go

aKu said...

best best best..
sgat mnarik..
next time bt lg cita best2!
:D

Anonymous said...

besz sesgt.....
keep it up..........

Anonymous said...

i just love your words.... memang best la beb... cepat2 habis kan ur novel and make new cerpen... sehari tak sah kalo tak singgah ur blog and read your cerpen and novels

Miss Yon Yi said...

huhuhu best ceta nie...
buat banyak2 lagi eh..

Anonymous said...

bwst citer nie.....
wat byk lg citer best!!!!

hanna_fankorean said...

aww..
cter die best2..
smpai nk nges ehh d;wtnyek..
t'hru l0rh..
ahaha

Followers