Sunday, February 7, 2010

eucralipse 15



“Saya cintakan awak, Puteri Eury!”

Sekalian alam seperti berhenti bergerak. Tiada sebarang pergerakan terlihat di mataku. Tiada sebarang bunyi singgah di gegendang telingaku. Semua yang ada di sekelilingku terasa lenyap begitu sahaja. Yang ada cuma aku dan Rei.

“Saya cintakan awak sehingga saya terasa seperti saya sudah 'hilang' diri saya sendiri. Saya dah tak kenal siapa diri saya. Yang saya tahu, saya cintakan awak!”

Lidahku serta-merta menjadi kelu seribu bahasa. Pandangan mataku kaku pada seraut wajah Rei. Jelas dia bersungguh-sungguh dengan kata-katanya.

Aku tak bermimpi, kan?

Aku pandang sekeliling kami. Pemandangan dari puncak tertinggi Gunung Ocra sangat cantik. Dan dingin. Membandingkan alam realiti dan mimpi.

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Di bawah bulan purnama, berdiri Puteri Sayap Cinta dan Putera Bertopeng. Masing-masing kelu seribu bahasa. Cuma bertentangan mata untuk beberapa ketika. Seketika kemudian Puteri Sayap Cinta tertunduk malu. Tak berdaya menahan panahan anak mata berwarna ungu muda milik Putera Bertopeng.

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Di bawah Euristar, aku berdiri berhadapan dengan Rei. Masing-masing kelu seribu bahasa. Cuma bertentangan mata untuk beberapa ketika. Seketika kemudian aku tertunduk malu. Tak berdaya menahan panahan anak mata berwarna ungu muda milik Rei yang masih lagi menunggu reaksiku terhadap luahan hatinya..

“Wahai Putera Bertopeng, betul ke awak cintakan saya?” Soal Puteri Sayap Cinta perlahan.

“Rei, betul ke awak cintakan saya?” Soalku perlahan.

Putera Bertopeng menggaru kepalanya beberapa kali. Puteri Sayap Cinta tersenyum seraya menggerak-gerakkan kepaknya beberapa kali. Kepaknya kelihatan bersinar hasil pantulan cahaya sang rembulan.

Rei menggaru kepalanya beberapa kali. Aku tersenyum melihat gelagatnya. Serentak itu, kepak yang melekat di belakang badanku bergerak-gerak. Bulu burung Wret bersinar-sinar di bawah cahaya Euristar.

“Kenapa Puteri Sayap Cinta? Awak tak percaya yang saya cintakan awak?”

“Kenapa Eury? Awak tak percaya yang saya cintakan awak?”

“Saya percaya tapi saya nak awak buktikan yang awak cintakan saya...”

“Saya percaya tapi saya nak awak buktikan yang awak cintakan saya...”

Putera Bertopeng terdiam seketika. Mungkin mencari cara bagaimana hendak membuktikan betapa dalamnya cintanya terhadap Puteri Sayap Cinta. Seketika kemudian dia mendapat ilham. Kedua-dua tapak tangannya dirapatkan. Kemudian dia menepuk tangan beberapa kali dan menghasilkan satu irama.

Rei terdiam seketika. Mungkin mencari cara untuk membuktikan cintanya kepadaku. Dia memandang sekeliling kami. Seketika kemudian, dia tersenyum lebar. Kedua-dua tapak tangannya dirapatkan. Kemudian dia menepuk tangan beberapa kali dan menghasilkan satu irama.

Puteri Sayap Cinta memandang alam sekelilingnya. Sunyi sepi. Segala-galanya seakan-akan mati. Tiada sebarang bunyi ataupun gerakan terhasil. Tiada tiupan angin. Tiada bunyi unggas-unggas yang selalu menemaninya bertemu Putera Bertopeng pada malam ini. Pandangannya dialihkan kepada Putera Bertopeng. Putera Bertopeng tetap tenang. Atau dia menyembunyikan keresahannya di sebalik topeng tersebut?

Aku memandang alam di sekelilingku. Sunyi sepi. Segala-galanya seakan-akan mati. Tiada sebarang bunyi ataupun gerakan terhasil. Tiada tiupan angin. Tiada bunyi unggas-unggas. Keadaan tersebut membuatkan aku berasa takut. Dunia seakan-akan sudah tiba hari kiamatnya. Aku memandang Rei semula. Dia kelihatan tenang.

Belum sempat Puteri Sayap Cinta bersuara, dia terdengar bunyi bising di belakangnya. Dia segera berpaling. Dilihatnya pokok-pokok bergoyang-goyang. Tak lama kemudian kelihatan segerombolan kelip-kelip terbang ke arahnya. Pada mulanya Puteri Sayap Cinta menyangka yang kelip-kelip tersebut akan menyerangnya kerana jumlahnya berjuta-juta banyaknya. Namun ternyata sangkaan tidak berasas. Kelip-kelip itu langsung tidak menyerangnya. Bahkan cahaya yang dimilikinya menerangi suasana malam pertemuannya dengan Putera Bertopeng. Kelip-kelip tersebut mengelilinginya dan menghasilkan pelbagai bentuk.

Aku mahu membuka mulut untuk bertanya. Belum sempat aku berbuat demikian, aku terdengar bunyi bising di belakangku. Aku segera berpaling. Aku lihat pokok bergoyang-goyang. Seketika kemudian, kelihatan segerombolan kelip-kelip terbang ke arah aku dan Rei. Ada rasa takut timbul tatkala melihat jumlah kelip-kelip yang berjuta-juta jumlahnya itu. Sangkaku kelip-kelip tersebut akan menyerangku. Namun ternyata sangkaanku tidak berasas. Kelip-kelip itu langsung tidak menyerangku. Bahkan cahaya yang dimilikinya menerangi suasana malam pertemuanku dengan Rei. Kelip-kelip tersebut mengelilinginya dan menghasilkan pelbagai bentuk, memeriahkan suasana.

Tidak lama kemudian datang sekumpulan burung. Setiap seekor membawa sesuatu di paruhnya. Puteri Sayap Cinta mengecilkan matanya. Cuba melihat apa yang dibawa oleh burung-burung tersebut. Kelopak bunga? Kemudian burung-burung tersebut menjatuhkan kelopak-kelopak bunga yang dibawanya. Puteri Sayap Cinta tertawa riang sambil menadah tangannya.

Tidak lama kemudian, datang sekumpulan burung dan setiap satunya membawa sesuatu di paruh. Aku mengecilkan mata. Cuba melihat apa yang dibawa oleh burung-burung tersebut. Kelopak bunga? Soalku sendirian. Sampai di tempat kami berdiri, burung-burung tersebut menjatuhkan kelopak-kelopak bunga yang dibawanya. Bau wangi bunga menusuk ke hidung. Warna-warni kelopak bunga membuatkan aku terpaku. Tanpa dapat menyembunyikan rasa girang, aku tertawa sambil menadah tanganku. Kelopak bunga yang jatuh di tapak tangan aku bawa ke wajah. Rrose, bunga yang mengeluarkan cahaya dan bau wangi luar biasa yang hampir pupus dari bumi Eucralipse.

“Saya sanggup buat apa sahaja untuk menggembirakan hati awak. Sekarang awak tahu kan betapa cintanya saya terhadap awak, Puteri Sayap Cinta?”

“Saya sanggup buat apa sahaja untuk menggembirakan hati awak. Sekarang awak tahu kan betapa cintanya saya terhadap awak, Eury?”

Tika itulah aku sedar, apa yang dilakukan oleh Rei, situasi kami sekarang, adalah apa yang aku mimpikan hampir setiap malam! Bagaimana dan mengapa ia boleh berlaku demikian sangat sukar untuk aku jelaskan.

Rei mendekatkan tubuhnya kepadaku. Anak matanya yang berwarna ungu bersinar-sinar, mempersonakanku. Anak matanya jernih seperti kolam air. Dan di dasarnya, terbenam seribu satu macam rahsia.

“Saya cintakan awak, Eury... Terlalu cinta sehingga saya sendiri sukar untuk menggambarkannya apatah lagi mengukurnya... Bila saya kenal awak, saya rasa segala-galanya di sekeliling saya dah berubah... Saya seolah-olah 'sesat' dalam dunia yang dah bertahun-tahun saya diami. Satu-satunya yang saya tahu...”

Ayat Rei terhenti di situ. Dia maju setapak lagi ke hadapan. Kali ini dia betul-betul berdiri di hadapanku. Terlalu hampir sehingga hidungnya yang mancung hampir menyentuh ubun-ubunku.

Aku mendongak ke atas. Burung-burung masih menjatuhkan kelopak bunga yang cantik dan harum baunya. Seolah-olah hujan bunga sedang turun di bumi Eucralipse.

“Satu-satunya yang saya tahu, saya cintakan awak...” Perlahan ayat itu dibisikkan ke telingaku.

Pandanganku akhirnya jatuh ke wajah Rei. Rei kelihatan tenang. Dan tika dia menyatukan bibir kami, ada sesuatu yang lebih daripada 'kuasa elektrik' aku rasakan. Satu keyakinan.

Untuk seumur hidup ini, Rei adalah orang yang aku cari... Aku tak tahu dengan apa aku merasainya. Yang aku tahu, dia adalah jodoh yang telah ditakdirkan untukku...

************

“Kenapa kau halang Kerk pergi ke Eucralipse?”

Raja Eriel melepaskan keluhan yang berat.

“Aku halang Kerk dari ke sana adalah kerana aku tidak tahu asal keturunan Kerk!”

Dahi Menelaus berkerut. Tidak mengerti dengan pernyataan Raja Eriel tadi.

“Maksud kau?”

“Pernah kau lihat rantai yang dipakai oleh Kerk?”

“Tidak!” Menelaus pantas menjawab. Raja Eriel menganggukkan kepalanya.

“Memang tak ramai yang tahu akan kewujudan rantai tersebut. Kerk sentiasa menyembunyikan rantai tersebut di dalam bajunya. Sewaktu aku menemuinya dahulu, badan Kerk dipenuhi dengan kesan lebam, luka dan darah. Dan Kerk akan menangis serta meraung sebaik sahaja terpandangkan rantai tersebut. Tapi yang anehnya, rantai tersebut tidak boleh ditanggalkan dari leher Kerk. Seolah-olah rantai tersebut memang diciptakan untuk dirinya.”

Menelaus tergamam.

“Rantai apa yang tidak boleh ditanggalkan? Tak pernah aku dengar ada rantai sebegitu.” Soal Menelaus lambat-lambat.

Raja Eriel memandang Menelaus dengan wajah bimbang.

“Kau tahu tentang sebahagian daripada rantai Dewi Ayena dari Eucristar yang pecah ketika dia tercedera dan terjatuh di Eucralipse berkurun-kurun yang lalu? Serpihan rantai tersebut pecah kepada tiga bahagian.”

“Rantai milik Dewi Ayena? Oc-cra? Bukankah itu cuma mitos?”

“Tidak! Itu cerita benar yang sudah semakin dilupakan dan dianggap sebagai cerita mitos. Banyak cerita mitos yang disogokkan kepada kita mengenai Rantai Oc-cra. Rantai Oc-cra yang memberikan kuasa serta kelebihan yang tidak kita ketahui batasannya. Ada yang mengatakan satu serpihan Oc-cra sahaja mampu memusnahkan seluruh planet. Namun tiada sesiapa yang dapat memberi kepastian mengenainya.”

Tersandar Menelaus mendengar cerita Raja Eriel. Sangkanya, Rantai Oc-cra milik Dewi Ayena hanyalah cerita dongeng tanpa asas semata-mata!

“Ramai yang mencari serpihan Oc-cra kerana mereka berpendapat pemilik Oc-cra akan menjadi orang yang paling berkuasa. Satu daripada serpihan Oc-cra telah ditemui oleh raja Eucralipse dua abad yang lalu. Dan ia diwarisi secara turun-temurun oleh keturunan Eucris, menjadikan kerabat mereka berkuasa dan disegani. Dua lagi masih belum diketahui siapa pemiliknya. Ada yang khabar angin yang mengatakan salah satu daripadanya telah ditemui di Segi. Sebab itulah, puteri Eucralipse ditunangkan denga putera Segi. Bukan sekadar ingin mengeratkan hubungan kekeluargaan, bukan hanya untuk meluaskan kawasan jajahan. Tetapi untuk bergabung kuasa Oc-cra yang mereka miliki.” Cerita Raja Eriel.

“Macam mana dengan satu lagi serpihan Oc-cra?” Soal Menelaus dengan penuh minat.

“Satu lagi dikatakan telah jatuh ke tangan Dewa Kegelapan, yang bertanggungjawab menyerap segala jenis kejahatan dan kekejaman yang wujud di alam ini ke dalam Oc-cra. Tiada kesahihan mengenainya. Namun, jika cerita ini benar, kuasa jahat pemilik Oc-cra tersebut sangat-sangat menggerunkan dan langusng tidak dapat aku bayangkan.”

Raja Eriel berhenti seketika sebelum menyambung ayatnya.

“Dan buat pengetahuan kau, bukan semua orang yang memiliki Oc-cra dapat menggunakan kuasa Oc-cra tersebut. Hanya orang-orang tertentu, orang-orang yang telah terpilih dan yang telah ditakdirkan untuk memilikinya sahaja yang mampu menggunakan dan mengawal kuasa Oc-cra tersebut.”

“Jadi...”

“Kau masih tak faham, Menelaus? Kerk pemilik salah satu daripada serpihan rantai Oc-cra tersebut. Kerk adalah orang telah ditakdirkan untuk memiliki Oc-cra tersebut. Kuasa rantai tersebut mungkin telah meresap dalam tubuhnya dan menjadi sebahagian daripadanya. Kuasa yang cukup kuat untuk menunaikan apa jua keinginannya. Dia aset kepada kita. Masalahnya sekarang, aku tak tahu dari mana Kerk memperolehi rantai tersebut.”

Raja Eriel berjeda.

“Jika Kerk memakai rantai yang telah jatuh ke tangan Dewa Kegelapan, maka kuasa jahat yang telah meresap dalam tubuh Kerk akan membantu kita mengalahkan tentera Eucralipse. Namun Oc-cra yang telah dicemari dengan unsur dan darah Dewa Kejahatan mungkin payah untuk kita kawal keinginannya terhadap kemusnahan. Dan aku cuma berharap rantai Kerk tersebut bukan Oc-cra dari Dewa Kejahatan.”

“Rantai pemberian Dewa Ayena... Serpihan Eucristar yang memiliki kuasa tidak terbayang oleh kita... Eucristar yang menjadi nadi kepada seluruh kehidupan di galaksi kita ini...” Gumam Menelaus sendirian.

“Serpihan-serpihan Oc-cra mengenali antara satu sama lain. Mungkin juga akan saling mempengaruhi. Sebab tu aku menjauhkan Kerk daripada Eucralipse. Aku tak dapat bayangkan apa yang akan terjadi kepada misi kita jika Oc-cra milik Kerk dan Eury bersatu. Eury mungkin boleh mempergunakan Kerk! Sesuatu yang paling aku takuti.”

Raja Eriel meraup ubun-ubunnya. Jelas riak gelisah tergambar pada seraut wajahnya.

“Kerk tak sepatutnya ke Eucralipse! Aku berharap sangat sangkaan aku tidak benar...” Doa Raja Eriel.

Mulut Menelaus masih melopong. Masih memproses cerita yang baru disampaikan oleh Raja Eriel.

************

Suasana di sekelilingku berubah menjadi satu fenomena alam yang luar biasa. Cahaya Eucristar menyinari seluruh pelosok Eucralipse, dan mungkin di planet-planet yang lain. Cahaya Euristar terang namun tiada rasa panas terik sehingga memeritkan kulit tubuh. Suasana dingin dan nyaman. Udara yang kuhirup bersih dan segar daripada biasa.

Perlahan-lahan cahaya Eucristar di langit menjadi pudar dan akhirnya membentuk dua lingkaran cahaya, betul-betul di atas kepala kami.

Aku banyak mendengar cerita tentang cinta...

Menurut falsafah Raja Theseu, datukku yang telah lama mangkat, jatuh cinta adalah titik atau masa paling lemah bagi seseorang berketurunan Eucris seperti kami. Yang mana mereka yang bercinta akan bertindak di luar normal akal mereka. Cinta membuatkan seseorang mengikut rasa hati yang adakalanya kurang waras jika dirasionalkan oleh akal fikiran. Cinta membuatkan seseorang lemah dan boleh dimanipulasi mahupun dieksploitasi. Pada saat itu, peluang untuk menakluki seseorang yang khayal atau mabuk cinta adalah terbuka luas.

Cerita yang aku sendiri sukar untuk menentukan kebenarannya...

“Kau tahu Eury, cinta itu aneh. Unik. Jangan terkejut bila kau mungkin akan dapat mendengar suara hati atau degupan jantung kekasih kau suatu hari nanti...! Bila hati kau dan hatinya merasai cinta yang satu, bila jiwa kau dan jiwanya bersatu, bila nafas kau dan nafanya seiring, saat itu semuanya akan menjadi satu...”

Kata-kata Ellisa suatu ketika dahulu seperti bergema-gema di ruang pendengaranku kini.

Aku tak pernah percaya apa jua falsafah berkenaan cinta. Kerana aku tidak berminat. Mungkin kerana aku masih belum menemukan cintaku saat itu. Tapi kini...

“Kenapa awak suka sangat tarik rambut saya, Rhyss?” Satu suara halus menerpa ke gegendang telinga.

...ada sesuatu yang di luar akal logik terjadi ke atasku...

Aku mencelikkan mata. Bibir aku dan Rei masih bersentuhan. Rei masih memejamkan matanya. Menikmati cinta yang mekar di hati kami saat itu. Aku mengerling keadaan sekeliling. Cuma aku dan Rei sahaja di sini. Jadi, suara siapakah itu?

Putus asa mencari punca suara tersebut, aku kembali memejamkan mata. Mindaku kembali tertumpu kepada Rei dan... Dan mindaku kembali memasuki ke suatu ruang yang aku sendiri tidak tahu. Bagai ada satu lorong di hadapanku. Mendorong aku untuk berjalan dan terus berjalan hingga ke hujung lorong yang bercahaya terang.

Dua orang budak kelihatan. Lelaki dan perempuan. Berbaring di kawasan rumput yang hijau sambil memandang ke langit. Budak perempuan itu... aku kenal benar wajahnya... itu aku! Aku dengan sapa tu? Budak lelaki yang aku anggarkan berusia 6 tahun itu aku teliti wajahnya. Comel. Kulitnya cerah. Rambutnya lurus dan ikal di hujungnya. Anak matanya berwarna ungu. Pakaiannya bukan seperti orang kebanyakan. Perhiasannya mewah. Dan ada simbol Kerajaan Segi di pakaiannya.

“Apa yang kita buat di sini, Rhyss?”

Budak lelaki itu menoleh ke arah'ku'.

“Awak tahu, Eury... Ada dua benda yang saya paling suka tengok; Eucristar dan mata awak. Sebab kedua-duanya sama cantik! Tak mungkin saya akan melupakannya sampai bila-bila.”


'Aku' cuma diam.

“Betul kata awak. Awak dan Eucristar memang berkait rapat. Kalau awak sedih, merajuk, Eucristar pasti pudar cahayanya. Seluruh planet yang disinarinya akan berada dalam keadaan mendung, kelam... Dan kalau awak gembira, Eucristar akan bercahaya terang menyinari seluruh alam...”

Apa semua ni? Siapa Rhyss? Siapa budak lelaki tu? Kenapa dia bersama aku? Kenapa dia menuturkan ayat-ayat itu? Kenapa aku rasa aku macam pernah dengar aje ayat-ayat tu suatu ketika dulu?

Semakin lama semakin banyak suara-suara yang kedengaran di dalam kepalaku. Malah aku seakan-akan dapat 'melihat' setiap kejadian dengan jelas. Seperti aku sedang berada di tengah-tengah set penggambaran.

Seorang lelaki berwajah buruk dan bengis sedang mencengkam kedua-dua belah lengan budak lelaki yang bersamaku tadi. Budak lelaki yang 'aku' panggil Rhyss tadi.

“Lepaskan aku! Ke mana kau nak bawa aku ni?”

“Tanggalkan rantai tu!” Lelaki bengis itu menunding ke arah rantai di leher Rhyss.

“Tidak! Ini amanah Segi kepadaku!”

Rhyss ditampar sekuat hati lalu ditinggalkan di tengah hutan tebal itu.

Kenapa aku boleh 'melihat' dan berada di tempat ini sedangkan aku tak pernah ke sini apatah lagi mengalami peristiwa sebegini...

Rhyss menangis tak henti-henti. Seorang lelaki berwajah kusut menghampiri Rhyss. Wajahnya tampak penyayang. Mungkin dia orang baik-baik. Lelaki berwajah kusut itu memeluk Rhyss dengan penuh kasih sayang.

“Kasihan kamu. Kenapa kamu ditinggalkan sendirian di sini? Siapa nama kamu?”

Rhyss menggelengkan kepalanya. Dan dia masih menangis lagi.

“Mulai hari ini, kamu akan jadi anak beta. Beta namakan kamu Kerk...”

Kerk pulak? Tadi Rhyss!

Kejap!

Adakah Rhyss itu diambil dari singkatan dari nama Rhyss-Esmet? Tapi Rhyss-Esmet tu kan nama Esmet! Nama penuh Esmet yang baru aku ketahui baru-baru ini. Tapi muka budak ni langsung tak sama macam Esmet. Ya, sekarang baru aku ingat. Dulu aku selalu memanggil sebaris nama itu; Rhyss. Satu hari Rhyss tak datang ke istanaku. Tidak lagi datang bermain dan mengusik aku seperti selalu. Dan hal itu berlanjutan beberapa ketika. Sehinggalah satu hari, Permaisuri Xera membawa aku menemui puteranya. Wajah Rhyss berbeza dari wajah yang tersimpan kemas dalam kotak memoriku. Aku beranggapan ia mungkin disebabkan aku yang sudah lama tidak bertemu dengannya. Bila aku panggil dia Rhyss, dia mengamuk. Katanya, namanya Esmet. Dan dia bukan putera yang selalu bermain denganku dulu. Dia kasar, pembuli dan mementingkan diri sendiri; sikap yang berbeza dengan Rhyss yang aku kenali.

Bayangan lelaki berwajah kusut tadi muncul semula. Badannya sudah berisi dan wajahnya sudah dimamah usia. Dan wajahnya ceria tetapi cahaya di matanya masih suram. Dia menghampiri seorang budak lelaki yang seusia denganku. Wajah budak lelaki itu seiras dengan wajah Rhyss sewaktu kecil.

“Eucralipse matlamat kita, Kerk... Jangan sesekali kamu hampakan harapan ayahanda!”

Rei mengalihkan bibirnya dari dua ulas bibirku. Kesemua bayangan dan suara-suara yang muncul di ruang mindaku berlalu pergi sebaik sahaja kucupan aku dan Rei berakhir.

Adakah bayangan itu berpunca dari kucupan Rei? Adakah apa yang aku 'lihat' tadi memori Rei? Mungkinkah?

**************

Ellisa menerpa masuk ke pejabat ayahnya di istana rasmi Eucralipse. Ellisa menundukkan sedikit kepalanya secara tergesa-gesa. Melihatkan keadaan Ellisa, Altrun yang sedang berbincang dengan pembantunya, serta-merta menghentikan perbincangan mereka. Ada rasa pelik menjenah di hatinya.

“Kenapa Ellisa? Muka kamu nampak pucat.”

“Ayah... Eury... Puteri Eury dah hilang!”

Altrun segera bangun dari mejanya sebaik sahaja mendengar kata-kata Ellisa. Mendapatkan Ellisa yang sudah menangis ketakutan. Ellisa dipeluknya.

“Cuba cerita dengan ayah apa yang dah berlaku.” Pinta Altrun lembut.

“Eury nampak sedih ketika majlis berlangsung sebab Rei tak datang. Kemudian dia ke tingkat atas rumah. Saya... Saya kat bawah. Melayani tetamu. Tak lama kemudian, Eury dah tak ada. Saya cari dia di seluruh pelosok rumah tapi tak jumpa. Dia dah hilang! Mungkin juga diculik.”

Hati Altrun mula dilanda kebimbangan. Tugas menjaga Puteri Eury diletakkan di bawah tanggungjawabnya. Kehilangan satu-satunya pewaris takhta Eucralipse bererti kegagalannya dalam menjalankan tugas. Dan dia mungkin dipancung kerana kegagalan tersebut.

“Ellisa minta maaf, ayah! Ini semua salah Ellisa. Kalau la Ellisa tak buat permintaan bodoh tu. Kalau la Ellisa benarkan pengawal-pengawal ayah masuk ke dalam rumah kita, mungkin ini semua tak akan berlaku...”

“Bertenang Ellisa! Kita perlu bertenang untuk selesaikan masalah ini!”

“Kalau Raja Esqandar dan Permaisuri Eurika tahu...”

“Mereka tak perlu tahu buat masa ini! Berjanji dengan ayah, Ellisa! Berjanjilah yang kamu tak akan membuka mulut tentang kehilangan Puteri Eury!”

Dalam keadaan ketakutan, Ellisa mengangguk beberapa kali.

Altrun segera menggamit pembantunya yang setia berdiri di sudut biliknya.

“Arahkan pasukan khas keselamatan untuk mengesan lokasi Puteri Eury. Ingat, sesiapapun tak perlu tahu berkenaan hal ini!”

Pembantu Altrun mengangguk sebelum beredar dari situ.

“Ada sesiapa yang Ellisa syak? Orang yang mungkin bertanggungjawab terhadap kehilangan Puteri Eury.”

Belum sempat Ellisa membuka mulut, cahaya terang dari luar bangunan istana membuatkan dia dan ayahnya menoleh ke arah tingkap.

“Cahaya apa tu ayah?”

Mereka mendongak ke langit. Eucristar memancarkan sinarnya. Menerangi langit malam. Kemudian perlahan-lahan cahayanya pudar dan akhirnya membentuk dua lingkaran.

“Oc-cra...!” Ujar Altrun perlahan.

Ellisa masih ternganga dengan mata yang masih melekat pada dada langit.

**************

Siapa sebenarnya Rei? Apa kaitan antara Rei, Rhyss, Kerk, dan Putera Bertopeng? Kenapa semuanya menjurus ke arah Rei? Mengapa semuanya mempunyai wajah yang sama dengan Rei? Apa kaitannya pula dengan mimpi-mimpiku? Bayangan dan suara-suara tadi, adakah ianya datang dari memori Rei? Atau dari mana sebenarnya?

Kepalaku ligat berfikir. Persoalan demi persoalan muncul di benakku. Satu pun tak mampu untuk aku jawab. Aku perlu lakukan sesuatu untuk mencari kepastian!

“Rei, boleh saya minta sesuatu daripada awak?”

Rei bertanya dengan sepasang matanya. Mempersonakan. Hampir sahaja aku melupakan permintaanku yang satu itu.

“Boleh tak awak buka topeng awak tu? Saya nak tengok wajah sebenar awak!” Lancar sahaja aku menuturkannya. Rasa gugup aku benamkan jauh-jauh dalam diriku.

“Saya mungkin meminta sesuatu daripada awak sebagai balasannya.” Kata Rei.

“Apapun permintaan awak, saya setuju!”

Rei diam tanpa suara. Tidak memberi jawapan yang jelas terhadap permintaanku tadi.

Aku memberanikan diri untuk membuka topeng samarannya itu. Jari-jemari aku larikan di celah-celah rambutnya yang lurus dan berwarna keunguan tatkala terkena sinaran Eucralipse. Mataku tak lepas-lepas dari menatap sepasang mata Rei. Mencari riak serta cuba mengagak emosinya pada saat itu. Namun Rei tetap berlagak tenang. Tali halus itu aku ungkaikan. Topeng berwarna perak itu aku alihkan dari wajahnya, perlahan-lahan.

Dan aku terpegun di situ. Topeng di tangan terlepas dari peganganku. Aku tergamam dengan apa yang terhidang di hadapanku kini. Mataku terpaku pada wajahnya yang kacak dan sempurna. Kalaupun ada lelaki lain di alam semesta yang lebih kacak dan sempurna daripadanya, tetap aku akan mengatakan bahawa Rei yang paling kacak dan sempurna.

“Sama...” Itu sahaja yang mampu aku katakan. Itupun dalam nada yang sangat perlahan dan tersekat-sekat.

Wajah Rei... sama... seiras... dengan wajah Rhyss dan Kerk! Dan dia mengenakan kostum Putera Bertopeng pada malam ini. Rei adalah Rhyss. Rei juga adalah Kerk. Dan Rei juga adalah Putera Bertopeng.

Rei tenang memandangku.

“Sekarang giliran saya pula.”

“Apa... Apa permintaan awak?” Soalku.

“Ikut saya pergi ke satu tempat!”

**************

“Kau tak akan percaya dengan berita yang akan aku sampaikan ini, Rexo!”

Suara Menelaus bergema-gema di dalam istana Rexo di puncak Gunung Kegelapan.

“Menelaus, sahabatku... Berita apa yang ingin kau khabarkan? Tak sabar untuk aku mendengarnya!”

Rexo bangun dari singgahsananya. Mendepakan tangan, mengalu-alukan kedatangan Menelaus ke markasnya itu.

“Aku sudah tahu siapa yang...” Rexo mengisyaratkan supaya Menelaus berhenti dari meneruskan ayatnya. Matanya terarah ke tingkap istananya yang terbuka luas.

Cahaya Eucristar yang bersinar di langit malam dan menerangi seisi alam membuatkan kesemua yang ada di situ berlari ke arah tingkap. Sesetengahnya keluar dari bangunan istana tersebut untuk mendapatkan pemandangan yang lebih jelas.

Serta-merta tubuh Rexo menggigil.

“Oc-cra! Dua Oc-cra dah bersatu...!” Perlahan ayat itu dituturkan oleh Rexo. Matanya masih terbelalak melihat lingkaran cahaya yang terbentuk.

“Aku tak percaya... Sungguh aku tak percaya! Macam mana ini semua boleh berlaku?!” Jeritan Rexo bagaikan halilintar. Menggegarkan seisi istananya.

Dan cahaya terang tadi hilang begitu sahaja.

7 comments:

epy elina said...

hohohoho...
crta ni makin mnarik....
pnuh ngn kejutan...
adakah rei akan balas dendam ngn kerajaan eucralipse or melupakan demi cnta dia kpda eury...
apa yg akn brlaku jika 2 oc-cra dewi ayena brgabung...
best2x...
x sbr nak next n3...

Anonymous said...

best sngt..
xsbr nk taw ending nyer cm ne..
pape pon gud luck...

just me said...

bila rei nak tahu ibubapa kandung dia ?

Anonymous said...

tak sabar nak baca entry baru. good luck

Anonymous said...

best..best..x saba nk tau yg esmet tu sbnrnye bukn tunang eury...cepat2 bongkar kn rahsia tu...

tzaraz said...

wahaaaaa..ramai sih yg komen N3 kali nie!!..
eury...serius..aku tension tak sabar2 nak baca sambungan cite nie...
so harap kau sambung cepat cepat cepat...

mirae said...

Best Best Best!
Sangatt best!
Hebat la imaginasi Eury.
Serious best citer ni.
X sabar nak tunggu entry seterusnya.
Keep up the good work, Eury. Ahaha

Followers