Saturday, December 18, 2010

eucralipse 28 (end)


Semuanya tamat begitu sahaja pada hari itu...

Jetto mati di tangan Kerk. Kepalanya putus dipenggal oleh Kerk. Tubuhnya yang berwarna hitam mengeras sebelum berubah menjadi debu. Kematian Jetto disusuli dengan kematian kesemua tentera-tentera Dewa Kegelapan yang mana mereka berada di bawah pengaruh minda Jetto. Tubuh mereka rebah ke tanah, berubah menjadi berkeping-keping seperti tanah kering sebelum terbakar.

Esmet turut mati di hujung pedang Kerk setelah permainan mindanya gagal memperdayakan kami. Oc-cra Pemusnah di lehernya dihancurkan oleh Kerk. Awan gelap di langit berarak pergi sebaik sahaja Oc-cranya menjadi debu. Petanda terlepasnya kami dari cengkaman kuasa kejahatan.

Kematian Esmet membuatkan Rexo berang. Rexo telah melukakan dirinya sebelum melibas Kerk dengan pedangnya. Dengan bantuan Raja Eriel, aku telah membunuh Rexo sebelum dia sempat menghidupkan Jetto dengan darah Dewa Kegelapan yang mengalir dalam tubuhnya. Tubuh Rexo dan Esmet kami campak ke laut bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang buruk berlaku. Tubuh mereka bersemadi di situ.

Lima ribu tentera Rexo menjadi orang tawanan kami dengan mudah. Kehilangan pucuk pimpinan membuatkan mereka hilang arah tujuan.

Peperangan itu tamat di situ...

Kami namakan peristiwa tersebut sebagai Perang Merah, dicatat dan ditanda dalam buku sejarah juga dengan warna merah kerana ia menyaksikan bumi Eucralipse bermandikan darah.

Seramai 77 120 orang tentera kami terkorban di medan perang kerang mempertahankan Eucralipse. Mayat mereka kami kuburkan di kawasan khas di pinggir Eucralipse. Nama-nama mereka kami ukir di atas tugu peringatan. Baki tentera seramai 2 880 orang yang terselamat telah kami beri penghormatan serta ganjaran atas jasa-jasa mereka.

Egart patah beberapa tulang rusuk dan kaki dalam perang tersebut. Luka dan parut di tubuhnya melebihi bilangan jari untuk dikira. Sebatang gigi depan Egart patah ketika berlawan dengan salah seorang tentera Dewa Kegelapan. Wajah Egart tampak 'lucu' terutama ketika dia tersenyum menampakkan ruang kosong di barisan giginya. Walau bagaimanapun sayang Ellisa terhadap Egart tetap tidak berbelah bahagi. Mereka berkahwin sebaik sahaja Egart pulih dari kecederaannya, iaitu kira-kira 4 bulan selepas tamatnya Perang Merah, lebih awal dari apa yang kami jangkakan. Tidak lama kemudian Egart dianugerahkan pingat Pahlawan Terulung oleh ayahandaku dan dilantik sebagai Ketua Tentera yang baru bagi menggantikan Altrun yang telah bersara.

Ayahanda dengan murah hatinya telah menghadiahkan kawasan yang dahulunya digelar Dark City dan kawasan di timur Eucralipse kepada Raja Eriel. Raja Eriel membina sebuah istana kecil sebagai kediamannya di situ. Di dalamnya pula dibina sebuah taman yang indah sebagai tempat persemadian isterinya. Raja Eriel dengan sukarelanya mengajar anak-anak bangsawan serta sesiapa sahaja yang berminat untuk bermain senjata.

Lima tahun berlalu dalam sekelip mata. Eucralipse sudah pulih sepenuhnya dari kerosakan dan kesedihan yang ditinggalkan oleh Perang Merah. Kerajaan Eucralipse kembali menjadi kuasa terkuat dan digeruni seperti dahulu.

“Ada yang tak kena dengan cerita ni!” Satu suara menyampuk. Ceritaku terhenti. Mata bulat berwarna ungu jernih di hadapanku terkebil-kebil. Bibir merahnya yang kecil sedikit ke hadapan. Merajuk barangkali.

“Apa yang tak kena, Mizu?” Suara Ouna yang nyaring pula menyoal. Mizu menjeling marah ke arah Ouna. Ouna mencemikkan muka.

Aku menunggu jawapan Mizu. Begitu juga dengan Ouna.

“Semua orang ada kesudahan cerita mereka selepas Perang Merah berlaku tetapi tak diceritakan pun apa yang jadi pada pemilik Oc-cra Pelindung dan Hijau. Apa yang jadi pada mereka setelah pemilik Oc-cra Pelindung cedera? Tak akan la mereka ghaib begitu sahaja. Sebab tu la saya rasa cerita ni tak lengkap!”

Aku tersenyum mendengar jawapan Mizu. Dia memang kanak-kanak yang bijak. Walaupun baru berusia 4 tahun namun jelas kelihatan sifat kepimpinan dan kecerdikan akalnya. Ouna menggaru kepalanya.

“Ya, Ouna pun perasan tentang hal itu...”

Aku tersenyum lantas ingatanku mengimbas kembali kejadian pada hari 'itu' dan bersedia mengungkapkannya dengan kata-kata.

Pedang yang berlumuran dengan darah Rexo aku campak jauh-jauh. Langkah kakiku longlai menuju ke arah Kerk. Di sisinya aku terduduk. Kepalanya aku bawa ke pangkuan.

Pertempuran antara Eucralipse dan Rexo sudah tamat. Yang tinggal hanya pertarungan yang berlangsung dalam tubuh Kerk. Antara darahnya dan darah Rexo yang sedang meracuninya. 'Hadiah' terakhir Rexo sebelum nyawanya aku tamatkan.

Tubuh Kerk menggeletar. Dadanya berombak kencang. Nafasnya pendek-pendek dan kelihatan begitu payah sekali. Bibirnya pucat tidak berdarah. Warna tubuhnya sudah kebiruan. Darah merah bertompok hitam mengalir dari luka di belakang badannya. Matanya memandang sayu ke mataku.

“Kerk... Kita dah menang...”

Kerk tersenyum mendengar suara serakku. Dia cuba membalas kataku namun kudratnya tidak mengizinkan. Dia hanya mampu menggerakkan kepalanya sedikit; mengangguk. Senyuman nipis dihadiahkan buatku. Itupun begitu payah untuk diukirkannya. Tangisanku semakin rancak. Darah Rexo sudah sebati dengan darah Kerk. Memamah sistem pertahanan dirinya. Membunuh Kerk dalam diam dari dalam.

Tubuh Kerk aku peluk erat.

Tolong... Tolong jangan ambil Kerk dariku...

Tanpa Kerk...

TIDAK! Aku tak boleh fikir apa yang akan terjadi tanpa Kerk di sisiku...

Aku tak pernah mahukan apapun... Seumur hidup aku, aku tak pernah berasa adanya kekurangan... Bila Kerk muncul, aku hanya mahukan dia di setiap siang dan malamku, di setiap tawa dan hibaku...

Hanya dia...

Suasana hening membuatkan aku berasa aneh seketika. Terasa seperti tiada apa yang hidup dan bergerak ketika itu walaupun angin. Awan yang cerah berubah menjadi menjadi mendung serta-merta. Kegelapan menyelubungi bumi Eucralipse saat ini.

Mataku segera mencari wajah Kerk.

Tubuh Kerk kaku dan dingin dalam dakapanku. Pelukan aku renggangkan. Kelopak mata Kerk tertutup rapat. Bibirnya kering dan lebih pucat berbanding tadi. Seluruh tubuhnya berubah menjadi pucat dan dingin.

“Kerk! Awak tak boleh mati! Bukankah awak berjanji untuk menjaga saya?”

Tubuh Kerk aku goncang sekuat mungkin.

“Kerk! Bangun!”

Setitik demi setitik air mataku jatuh, mengeras di pipi sebelum jatuh ke muka Kerk. Titisan jernih berwarna hijau itu cair di kulit Kerk dan membasahi wajahnya. Kerk masih berkeadaan seperti tadi.

“Tidak!!!” Jeritku.

“Kerk! Jangan tinggalkan saya! Tolong jangan tinggalkan saya! Awak ada berjanji bukan, lepas perang ni tamat kita akan hidup bahagia bersama. Kotakan janji awak!”

Aku sudah seperti hilang akal. Menumbuk dan memukul-mukul dada dingin Kerk. Berharap ianya jantungnya kembali berdegup.

“Anakandaku...”

Pedang di tangan jatuh ke tangan. Raja Eriel melangkah lesu ke arahku sebelum terduduk di sisi Kerk. Memeriksa denyut jantung di dada Kerk. Merasai ketiadaan helaan nafas di hidung Kerk. Raja Eriel memejamkan matanya. Tangisan sedihnya berlangsung dalam sepi.

Di belakang Raja Eriel, kelihatan Ellisa memapah Egart menuju ke arah kami. Tergambar kesedihan pada wajah mereka.

Aku memandang kosong ke hadapan. Sekosong fikiranku kini.

“Dua buah Oc-cra lebih kuat dari sebuah Oc-cra.”

“Oc-cra punya banyak kelebihan yang tak tercapai dek akal kita.”

“Sebaik sahaja seseorang dapat menguasai Oc-cra seterusnya bergabung menjadi satu, Oc-cra akan menjadi sumber kekuatan dirinya.”

Kata-kata tersebut berulang-tayang di mindaku.

“Mungkin dah tiba masanya untuk tuan puteri membaca Kitab Oc-cra.”

“Bila pemilik Oc-cra mati, pemilik Oc-cra yang lain boleh mengambilalih kuasa Oc-cranya...”

“Isi Kitab Oc-cra hanya boleh diketahui oleh pemilik Oc-cra. Berkurun lamanya amanah itu patik pegang, kini Oc-cra sudah menemui tuannya. Tugas patik sudah selesai. Tanggungjawab tuan puteri pula untuk menyampaikannya kepada pemilik Oc-cra yang seterusnya.”

“Saya tak tahu pun awak boleh mengambilalih kesakitan orang lain.”

“Dua buah Oc-cra lebih kuat dari sebuah Oc-cra.”

“Menguasai Oc-cra dalam masa yang singkat sememangnya tugas yang berat. Patik akui perkara tersebut. Namun patik yakin tuan puteri boleh melakukannya dengan bantuan Kitab Oc-cra.”


“Apapun yang jadi, saya akan sentiasa di hadapan. Melindungi awak dari segala bahaya.”

“Saya cintakan awak, Eury... Lebih dari apa yang awak bayangkan... Lebih dari apa yang saya jangkakan...”


Saya pun cintakan awak, Kerk...

Oleh sebab itu, saya tak akan mengalah...


Baju Kerk aku koyakkan. Mencari rantai Oc-cra di dadanya dan meragutnya hingga putus. Kemudian giliran Oc-cra milikku pula.

“Apa yang kamu buat ni, Eury?”

Soalan Raja Eriel kubiarkan sepi tanpa jawapan. Kedua-dua Oc-cra aku lambung ke udara. Ianya terapung dan kemudiannya ligat berpusing di udara. Mulut Raja Eriel melopong melihat fenomena tersebut. Mata aku pejamkan. Memusatkan perhatian.

Secara jujurnya, aku tak tahu apa yang sedang aku lakukan ini. Aku hanya mengikut gerak hati dengan harapan Kerk akan hidup semula.

Pusingan kedua-dua Oc-cra menghasilkan satu cahaya terang, menyinari tubuh Kerk. Aku sentuh setiap luka pada tubuh Kerk. Darah pada luka berhenti mengalir. Luka-luka tersebut mengecil dan akhirnya hilang begitu sahaja. Perlahan-lahan wajah pucat Kerk kembali menjadi merah.

Tenaga yang terasa seperti diserap keluar membuatkan aku rebah di atas tubuh Kerk. Tubuhku terasa lesu tidak bermaya. Kedua-dua Oc-cra sudah jatuh di sisiku.

“Eury!” Raja Eriel menggoncang tubuhku.

“Eury! Kau okey ke?” Ellisa menerpa kepadaku. Membantu aku untuk duduk.

“Eury, kau... nampak pucat...”

Tanpa menghiraukan rasa sakit yang menyucuk tubuh, aku segera memberikan perhatian pada Kerk. Kerk kelihatan seperti sedang tidur nyenyak. Bezanya, tiada gerakan di dada Kerk. Dalam erti kata lain, Kerk masih tidak bernafas. Kerk sudah mati...

Mungkin aku dah terlambat...

Mungkin aku dah gagal untuk selamatkan Kerk...

Aku memeluk Kerk dan menangis lagi. Ellisa mengusap belakang tubuhku. Lama kami berkeadaan begitu. Cukup lama sehingga Ellisa berhenti menenangkan diriku. Mungkin tangannya sudah letih mengusap tubuh dan membelai rambutku.

Ada sesuatu yang hangat menyentuh pipiku. Menangkap sebutir air mata yang jatuh dari pipiku.

“Air mata awak jernih dan cantik. Tapi itu tak bermakna saya suka lihat air mata awak.”

Kepala yang kubenamkan di dada Kerk, aku angkat.

“Kerk?!”

Senyuman lemah Kerk menyambutku.

Raja Eriel, Ellisa dan Egart mengucap syukur. Dengan susah-payah, Kerk bangun dan duduk di hadapanku. Mataku masih buntang memandangnya. Masih tidak percaya dengan keajaiban yang berlaku di hadapan mataku kini.

“Eury, jangan besarkan lagi mata tu! Menakutkan la!”

Aku diam. Gagal memberi reaksi terhadap katanya.

“Eury! Saya hidup lagi la. Saya belum jadi hantu lagi tau!”

Kerk mencubit pipiku. Sakitnya mengembalikan aku ke dunia realiti.

“Kerk! Awak hidup! Saya berjaya!”

Tiada apa yang boleh aku lakukan pada saat itu selain memeluknya. Senyuman dan tawa silih berganti di bibirku sehinggakan aku terasa seperti akalku sudah hilang entah ke mana.

Kerk meleraikan pelukannya.

“Terima kasih kerana...”

Ayat Kerk tergantung di situ bila jari telunjukku melekat di bibirnya.

“Tak perlu ucapkan terima kasih. Awak akan buat perkara yang sama jika awak berada di tempat saya.”

Kerk tersenyum lagi lalu mengucup bibirku.

“Jadi mereka hidup bahagia untuk selamanya?”

“Ya, Ouna.”

Ouna bertepuk tangan. Gembira dengan pengakhiran cerita tersebut.

“Tapi, bonda...”

Pandanganku beralih pada Mizu. Memang susah nak puaskan hati puteraku yang seorang ini. Rasa ingin tahunya begitu tinggi.

“Bonda tak pernah sebut pun nama pemilik Oc-cra tu. Bonda cuma sebut pemilik Oc-cra Pelindung. Pemilik Oc-cra Hijau. Entah-entah mereka tu tak wujud tak? Cerita bonda tu hanya sekadar mitos, tak berasas sama sekali.”

Sepasang tangan dari belakang tubuhku hinggap di kepala Mizu. Mizu mengaduh kesakitan. Dengan muka mencuka dia memandang ke atas untuk melihat siapa yang mengetuk kepalanya.

“Ayahanda!”

“Raja Rhyss!”

Mizu dan Ouna pantas berdiri dan menunduk hormat. Melihat nenda-nendanya berdiri di belakang Kerk, Mizu dan Ouna menunduk hormat sekali lagi.

“Berani kamu tuduh bonda kamu mereka-reka cerita?” Suara garau dan serius Kerk membuatkan Mizu dan Ouna kecut perut. Mereka tunduk memandang rumput. Terketar-ketar kaki mereka menahan rasa takut. Ayahanda dan bondaku hanya ketawa melihat mereka. Raja Eries dan Permaisuri Xera hanya mengelengkan kepala melihat telatah cucunya.

“Mizu cuma bertanya. Ayahanda juga yang kata rasa ingin tahu itu adalah 'perasa' penting dalam mendapatkan ilmu. Keraguan pula adalah 'penghalang' yang mungkin juga 'petunjuk' ke jalan yang benar. Cerita bonda menimbulkan keraguan. Mizu syak ada butiran yang tak diceritakan oleh bonda. Jadi salahkah Mizu bertanya, ayahanda?”

Kerk berdehem. Ini bukan kali pertama kepetahan Mizu membuatkan kami hilang kata-kata.

Aku segera berdiri di sebelah Kerk. Menepuk-nepuk lengannya. Menghantar isyarat agar menutup mulut. Bagiku, Mizu masih terlalu kecil memahami kesemua cerita tentang Oc-cra dan sejarah kami. Biarlah pengetahuannya mengenai hal tersebut sejajar dengan peningkatan umurnya.

Kerk melutut di hadapan Mizu. Menyamakan aras matanya dengan Mizu. Pandangan mereka bertemu. Tangan Kerk memegang kedua-dua belah bahu Mizu.

“Mizu, kamu perlu belajar untuk berusaha keras dan bersabar untuk mendapatkan sesuatu. Sudah! Ayahanda tengok kamu dah lama sangat berehat. Sekarang ayahanda mahu kamu sambung berlatih menggunakan pedang dengan Ouna.”

Kerk mencampakkan pedang yang diperbuat daripada kayu kepada Mizu dan Ouna. Mereka pantas menyambutnya dengan wajah yang berkerut. Mizu menghunus pedang kayunya ke arah pedang kayu Ouna.

“Tengok! Mizu boleh mengalahkan Ouna dalam masa beberapa saat sahaja. Tak ada cabaran langsung!”

“Benarkah begitu, Putera Mizu?”

Egart dan Ellisa mampir ke arah kami. Ouna sudah berlari-lari anak mendapatkan Ellisa lantas memeluk Ellisa. Mulut kecilnya terkumat-kamit mengadu kenakalan Mizu pada Ellisa.

“Err... Betul! Dia berlawan macam perempuan!”

“Mungkin putera patut bertoleransi dengan Ouna. Seperti kata putera sebentar tadi, Ouna memang seorang perempuan. Walaupun ada semangat kepahlawanan dalam dirinya, namun dia tak dapat lari dari memiliki kelembutan seorang perempuan.”

Mizu berfikir seketika. Memandang Ouna yang bersembunyi di sebalik tubuh Ellisa dan kemudian memandang Egart semula. Dia melemparkan senyuman pada Egart.

“Saya dah faham sekarang! Mulai hari ini, saya akan layan Ouna seperti seorang budak perempuan yang punya sifat kepahlawanan.”

Kami hampir tertawa mendengar kata-kata Mizu. Mizu tunduk hormat kepada kami sebelum berlalu mendapatkan Ouna.

“Mizu!”

Mizu berpaling. Memandang Kerk dengan mata yang bersinar.

“Ayahanda rasa kamu lupa akan sesuatu.”

Mizu mengerutkan dahinya.

“Apa dia, ayahanda?”

Kerk membuka genggaman tangannya. Dua utas rantai Oc-cra kelihatan di situ.

“Bukankah kamu berjanji untuk menjaganya?”

“Ya. Maafkan saya, ayahanda! Saya berjanji tidak akan menanggalkanya lagi selepas ini.” Janji Mizu bersungguh-sungguh.

Selepas dua tahun Mizu dilahirkan, aku dan Kerk mendapat tahu bahawa Mizu adalah pemilik Oc-cra kami yang seterusnya. Walaupun agak aneh memandangkan mengikut sejarah seorang pemilik Oc-cra hanya boleh menguasai satu Oc-cra, namun Oc-cra Pelindung dan Oc-cra Hijau 'memberikan kerjasama' yang baik dengan Mizu setakat ini. Perkembangan Mizu dan Oc-cra tersebut berada di bawah pemerhatian dan penyelidikan kami buat masa ini.

“Melainkan?” Kerk cuba menduga ingatan Mizu.

“Melainkan saya jumpa seseorang yang boleh menguasainya seperti mana saya menggunakannya.”

“Bagus! Nah, sekarang ambil 'amanah' kamu ini kembali.”

Mizu tidak berjalan mendapatkan Kerk untuk mendapatkan Oc-cra di tangan Kerk, sebaliknya dia hanya menghulurkan tapak tangannya ke arah Kerk. Kedua-dua Oc-cra terapung di atas tapak tangan Kerk dan bergerak ke tapak tangan Mizu. Mizu mengenakan rantai tersebut ke lehernya sebelum berlari mendapatkan Ouna.

“Ouna, saya minta maaf. Awak masih nak berkawan dengan saya?”

Tangan dihulurkan pada Ouna. Teragak-agak Ouna menyambutnya. Sebentar kemudian aku lihat Mizu sudah berlari ke tengah taman bersama-sama Ouna.

“Putera Mizu akan jadi putera yang bijak satu hari nanti.” Puji Egart.

“Ya, jika kau tak terlalu berprotokol dengannya. Layan dia seperti kawan kau, Egart. Seperti mana kau berkawan denganku. Tetapi didiklah dia seperti anak atau anak didik kau yang terdiri dari kalangan rakyat biasa. Dia perlu banyak pengalaman serta diasah ketajaman mindanya untuk jadi raja yang bijak. Dia juga perlu kenal erti kesusahan untuk jadi raja yang adil.” Balas Kerk.

“Ooo... Aku tak ada masalah. Cuma ayahanda dan bonda kau mungkin akan susah hati melihat cucu kesayangan mereka dibuli oleh aku.”

Kerk dan Egart berbalas pandangan sebelum memandang ayahanda dan bondaku serta ayahanda dan bonda Kerk yang sudah duduk di tepi taman untuk menikmati hidangan petang mereka. Kerk ketawa kecil sebaik sahaja memahami maksud Egart. Nenda-nenda Mizu begitu menyayangi Mizu yang comel serta bijak. Apatah lagi dia merupakan satu-satunya pewaris takhta yang aku dan Kerk duduki sekarang ni.

“Mizu! Awak main tipu!”

Suara Ouna sayup-sayup kedengaran dari tengah taman. Mizu menjelirkan lidah. Berlari selaju yang mungkin sebaik sahaja Ouna mula mengejar. Sesi kejar-mengejar kemudiannya bertukar menjadi perlawanan pedang kayu pula. Egart dan Ellisa cuma ketawa melihat gelagat mereka tanpa minat untuk menghentikan 'pergaduhan kecil' Mizu dan Ouna.

Sepasang tangan melingkar di pinggangku. Kerk merapatkan mukanya ke pipiku.

“Terima kasih kerana menghadiahkan saya kebahagiaan ini. Semua ini tak mungkin dapat saya kecapi tanpa awak.” Bisik Kerk.

“Terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup saya. Tanpa kehadiran awak, tentunya saya masih tercari-cari sekeping hati saya yang dah awak curi semasa kita kecil dahulu.”

Mata kami bertatapan. Sebuah kucupan singgah di pipiku.

“Saya cintakan awak!”

“Saya juga.”

Kami bertatapan sekali lagi sebelum melemparkan pandangan ke hadapan; ke arah Mizu dan jajahan Eucralipse.

~ tamat ~

**** Eury ~ telah diingatkan utk buat Kerk hidup :))... TQ krn sudi baca cite eucralipse :)) Pada mulanya eucralipse sekadar cite ’lepas geram’ eury. Yelah, kdg2 bosan berpijak di bumi nyata, mahu ada kuasa utk merubah sesuatu. Alhamdulillah ada yang membaca dan minta ia disambung...Finally, eucralipse abis juga wpun ambil ms yg sangat lama... mana yang terkurang harap dimaafkan dan dikomen utk diperbaiki... TQs...

22 comments:

Nina Aziz said...

best!!!

epy elina said...

WAH...
dah abs....
crta yg mnrik...
thniah pnulis....

eija said...

dh tamat..
cite yg mnrik..
ari2 sy mnati ending dia..
truskn usaha utk berkarya..

tahniah!!

tzaraz said...

eury... WOW! aku tarik nafas lega. satu karya yang sangat menarik! great adventure! membacanya membuatkan aku merasakan seperti aku juga turut berada di sana bersama-sama mereka.

eury... thank you for sharing this magnificent piece with us! now..NEXT!!.. hehe

Anonymous said...

eury..thanks a lot for a wonderful piece...memang best saye bace cerite nih...jz so u know, story wif magic2 is sooooooo my thing :-)

mule2 tuh risau jugak kot2 eucralipse nih akan dibukukan ke...hape ke....saye bukannye ade kat Malaysia pon sekarang utk beli novel2 yg best nih...tu yg susah tuh...kebanyakan e-novel yg best from talented bloggers yg saye bace jarang dapat bace sampai habis tau....so thank you so much!!!!!!!!!!

Anonymous said...

yey....bestnye kak eury....
buatlah citer lain gak...
good luck - fighting
-geomaxrider-

Daniera said...

tahniah eury n thanks for completing this euraclipse. best sgt membaca :)

IVORYGINGER said...

tahniah la dpt bt ceta perang yg spt realiti. cam sy pun ada kat sn. hehehe... ;D
trskan usaha utk mnulis ceta ni lg ya. im waiting ur new story. ;D

Anonymous said...

eury.. sy mmg ikut cite ni... suke sgt.. mmg best! tahniah eury..

MizaEija said...

sari suntuk ngadap citer ni... two thumbs up for eury... best giler citer ni.... semput baca masa dorg ngh perang tu.trase cm diri sdiripun ade kt citu..hehehe...
tahniah eury.... ^__^v

che kriel said...

bestnye...suka laa kat kert tu...
puas hati baca crita ni..rasa mcm join perang skali...
tahniah eury!!!

che kriel said...

bestnye...suka laa kat kert tu...
puas hati baca crita ni..rasa mcm join perang skali...
tahniah eury!!!

AiKa said...

best sangat....

belle.talib said...

wah~~~
ske citer fantasi....
tak terlalu ganas (atau mungkin sy x bc part yg ganas?hehehe...)
best3x.
tahniah...^^

Aly said...

sangat best!

cuma ada part yang kena teliti pada nama yg mungkin tertukar
dan part perang tu ada kurang paham sikit
apapun, citer ni sangat-sangat best!
[=

Ai said...

bestX100.. sngt2.. hahaha yg penting happy ending!!

kak eury x nk buat smbungan ke.. buat kat putera mizu plak..

cadangan aje nih hahha..

Fa said...

aaa.....
BESTT!!!
Happy ending 4 eva!!
please... wat la lagi cite fantasi cam ni!! ni best...

Lula An-Nada said...

citer ni memakan masa 2 tahun nk abis mmg penat nk menuggu tp okla citer dia best lepas ni harap2 writer boleh cepat post en3 yg terbaru untuk tatapan pembaca

Bdakstar said...

Best cerita ni tak jemur baca ni pun terbuka laman harap dapat berkarya cerita fantasi yang lebih menarik lagi...do the best

Bdakstar said...

Best cerita ni tak jemur baca ni pun terbuka laman harap dapat berkarya cerita fantasi yang lebih menarik lagi...do the best

lisanna said...

Best sangat sangat... suka dan terhibur

lisanna said...

Best sangat sangat... suka dan terhibur

Followers