Tuesday, May 29, 2012

The Cold World 13


~ As We Kiss Goodbye… ~

“Ke Bumi?”

“Ya! Ke Bumi! Itu hukuman untuk kau.” Suara Dewa Dai jelas dan lantang lantaran tiada sesiapa yang bersuara.

Aku sedikit cemas. Panik. Takut. Teruja. Gembira pun ada. Segala macam rasa terasa mengongsi ruang hatiku. Cemas sebab aku tak tahu apa yang bakal aku hadapi di Bumi kelak. Tempat baru. Suasana baru. Orang baru. Pendek kata semuanya baru. Teruja kerana selama ini memang aku teringin untuk melihat Bumi. Menurut angel-angel yang lebih senior dariku, Bumi bukan sekadar tempat kami mempraktikkan apa yang kami pelajari di Haven. Bumi itu bagaikan tempat kami menghilangkan tekanan setelah sekian lama berada di Haven. Di Bumi sudah pasti kami diberi kelonggaran dari pelbagai aspek dan yang paling penting kami bebas dari pemerhatian ketat Dewa-Dewi. Rasa gembira bagaikan berbunga-bunga di hati. Siapa sangka aku akan mendahului angel-angel yang sebayaku untuk turun ke Bumi walhal aku berada di kelas bawah dari mereka. Pasti ada yang cemburu.

Yang lebih penting, yang buat aku betul-betul gembira, bila Dewa-Dewi mengambil keputusan bahawa hanya aku yang harus dihukum. Riku hanyalah mangsa yang langsung tidak bersalah.

Dan buat pertama kalinya aku dapat melihat Riku duduk sebaris dengan Dewa-Dewi yang lain. Memang di sini tempatnya. Patutlah Riku selalu kelihatan menonjol semasa dia berada di Haven; baik dari segi paras rupa, perwatakan, mahupun kebolehan. Tentu payah baginya untuk ‘menyamar’ menjadi angel yang lemah berbanding menjadi Dewa yang lebih serba-serbi.

Dewa Chiyo enggan turut serta dalam sesi ‘membacakan’ hukumanku ini. Pandangan kosong dilemparkan ke sudut dewan yang lenggang tanpa penghuni. Yang sarat hanyalah hiasan di dinding yang mewah. Dewa Chiyo nampak betul-betul sedang kebosanan.

Pandangan aku alih pula pada Dewi Iva. Seperti kali terakhir aku melihatnya dulu, dia langsung tidak memandang atau menoleh ke arahku. Pandangannya hanya terarah pada Dewa Dai. Sepertit tiada istilah jemu dalam kamus hidupnya untuk dia berbuat demikian.

“Kamu takut?” Dewa Dai seperti cuba mendugaku. Aku pantas menggeleng.

“Asalkan Dewa Riku tidak diapa-apakan, saya bersedia untuk terima apa sahaja hukuman.” Suaraku kedengaran garau sedikit kerana cuba menyembunyikan gigi yang menggelatuk akibat ketakutan.

Sesaat, untuk jangka masa hanya sesaat, aku dan Riku bertentangan mata. Dia cepat-cepat mengalihkan pandangan bila sedar aku sedang memandangnya. Mukanya mencuka. Dan kemudian aku terdengar dia mendengus. Mungkin marah bila namanya aku sebut.

“Kelak, hanya ada masa kau dan masa aku.”

Ayat Riku yang satu itu asyik berulang-ulang di ruang mindaku. Betullah seperti katanya. Sekarang hanya ada masa aku dan masanya. Tiada lagi ‘masa kami’. tempoh masa untuk bergembira, bermain-main dan membuang masa sudah tamat. Masing-masing perlu kembali ke kedudukan asal dan mainkan peranan yang telah ditetapkan. Dia dewa, putera mantan Raja Utama Haven, Dewa Arashi. Dia punya kedudukan yang perlu dipertahankan. Dia punya tanggungjawab yang perlu dijalankan. Tak lupa, dia punya reputasi untuk dijaga. Dia di tempat tertinggi di Haven. Aku pula hanya angel lemah dan bodoh yang tak punya kelayakan yang cukup baik untuk menjadi angel. Aku berada di kedudukan yang paling rendah di Haven.

Ah, betapa jauhnya jurang antara kami.... Macam manalah aku boleh terfikir untuk memiliki untuk diriku sendiri?

“Kau paling takut Riku diapa-apakan. Ketakutan yang tak pernah berubah.” Ayat itu lebih kedengaran seperti ayat penyata berbanding ayat pertanyaan.

Dalam diam aku membenarkan andaian Dewa Dai. Dalam masa yang sama aku memarahi diriku sendiri kerana sayangku pada Riku sedikitpun tidak berkurang sekalipun aku telah diperlakukan seperti barang mainannya.

“Apapun, Dewa-Dewi sudah bersidang dan telah menetapkan hukuman kau. Beberapa jam dari sekarang, kau akan berangkat ke Bumi!”

Aku tak mungkin akan lupakan senyuman paling manis yang dihadiahkan oleh Dewa Dai buat aku sebelum aku dibawa pergi oleh fairy pengawal. Senyuman seperti meraikan suatu kejayaan yang besar. Walaupun aku terlalu ingin tahu ‘cerita’ di sebalik senyuman manisnya itu, tapi aku kuburkan sahaja keinginanku itu kerana aku tahu aku tak mungkin akan mengetahuinya.

Aku mungkin tak akan menjejakkan kaki ke Haven... Lagi...

@~@~@~@~

Aku masih menggigil ketika dibawa menyusuri lorong kecil menuju ke perkarangan Istana Kristal. Pokok-pokok bunga yang merimbun daunnya ditanam di sepanjang lorong tersebut. Bunganya berwarna-warni serta mengeluarkan bau harum. Kepala aku dongakkan ke atas. Langit biru dan awan yang beropol-ropol menjadi hiasannya. Unggas menyanyi riang. Semuanya masih nampak berbeza sejak Riku meluahkan isi hatinya. Isi hati yang ternyata palsu. Riku mempergunakan aku untuk kembali ke kedudukan asalnya. Realiti itu aku pahatkan di ingatan dan hati. Tapi... mengapa hatiku payah benar untuk menerima hakikat itu?

Sedar dari lamunan, aku dapati aku sudah berada di tengah kawasan lapang yang menghijau yang entah di mana letaknya. Kabus tebal membataskan pandangan mata. Satu-satunya perkara yang membuatkan aku yakin aku masih berada di kawasan Istana Kristal adalah fairy pengawal yang masih setia di sisiku.

“Kamu semua boleh pergi.” Dewa Chiyo mengeluarkan arahan sebaik sahaja muncul dari balik kabus. Aku rasa lega sedikit apabila Dewa Chiyo berjalan beriringan denganku.

“Kamu nampak hebat di dalam sana tadi, Harumi!” Puji Dewa Chiyo. Aku tergelak dengan bibir yang menggeletar.

“Saya pura-pura berani aje tu! Hakikatnya saya sangat takut.”

Giliran Dewa Chiyo pula ketawa.

“Tapi kamu memang hebat. Bila lihat reaksi kamu yang berani tu, kami benar-benar rasa lega.”

Kami?

“Kami tahu kamu akan baik-baik sahaja ketika berada di Bumi. Walaupun kamu nampak lemah tetapi kamu punya kekuatan dalaman yang kuat. Kamu akan dapat menghadapi apa jua cabaran. Banyak potensi diri yang belum kamu temui. Itu penilaian yang kami buat ke atas kamu.”

“Terima kasih atas pujian itu walaupun saya tidak yakin saya punya kelebihan seperti itu.”

“Pertama, kamu harus yakin dengan diri sendiri. kedua, kamu harus bersikap terbuka dan sentiasa mencuba untuk tahu kemampuan diri. Ketiga, terima takdir kamu. Apa yang boleh aku lihat, takdir kamu sedang berubah-ubah setiap saat. Dan kamu adalah orang yang menjalani takdir kamu, bukannya orang menentukannya. Sikap kamu yang tidak yakin pada diri sendiri membuatkan orang lain memainkan peranan menentukan nasib hidup kamu. Seperti sekarang.”

Dahiku berkerut. Sebahagian dari katanya aku faham. Namun sebahagian lagi kabur.

“Bukankah ini hukuman yang harus saya jalani? Cara Dewa Chiyo bercakap seolah-olah saya ada pilihan lain selain dari dihantar ke Bumi.”

“Hidup ini segalanya bergantung kepada pilihan.”

Diam.

“Dewa Chiyo, apa maksud Dewa Dai bila dia kata ‘Kau paling takut Riku diapa-apakan. Ketakutan yang tak pernah berubah.’?”

Mata Dewa Chiyo bersinar-sinar tika ini bagai permata disinari cahaya mentari.

“Bagus! Kamu sangat peka, angel kecil!” Pujiannya membuatkan langkah kakiku terlompat sedikit akibat teruja.

Beberapa langkah yang kami ambil selepas itu berjalan dalam suasana hening. Laluan berdindingkan pokok-pokok melepasi kepala menyambut kedatangan kami. Maze of Mind tertulis di papan tanda yang dipakukan pada pohon yang paling besar di permulaan lorong.

“Kami, Dewa-Dewi punya kelebihan berbanding angel.  Kami kuat, lebih peka dan pantas berbanding angel. Selain itu, sesama Dewa-Dewi pun kami ada kelebihan yang lebih khusus.” Dewa Chiyo memulakan bicaranya.

Aku diam, cuba mencerna kata-katanya.

“Iva punya kelebihan mendengar perbualan minda, suara hati Dewa-Dewi yang lain.”

Mataku membayangkan Dewi Iva yang cantik dan sempurna tanpa cela. Dia lebih banyak menunduk dari memandang sesiapa yang ada di sekelilingnya. Mungkin suara hati Dewa-Dewi yang lain sudah cukup buatnya untuk ‘mengenali’ seseorang. Satu-satunya yang berbaloi untuk dipandang baginya adalah Dewa Riku.

“Iva juga boleh dengar kata hati kamu, Harumi. Pengecualian yang baru diketahuinya.” Aku terkejut mendengar ayat itu.

“Maksudnya?”

“Sebelum ini Iva tak mampu dengar suara hati angel. Hanya Dewa-Dewi sahaja. Tapi bila kamu masuk istana tempoh hari, dia dapat mendengar suara hati kamu dengan jelas.”

“Oh...” Adakah itu membuatkan dia enggan memandangku? Kerana aku tidak menyenangi dewa kesayangannya iaitu Dewa Dai? Kerana dia tahu betapa cintanya aku pada Riku? Mungkin dia sudah dianggap Riku seperti adik atau anak jadi dia membenci aku sebab aku cuba merampas Riku daripadanya.

“Dan Iva mahu aku tegaskan sekali lagi pada kamu bahawa dia tidak ada sekelumit rasa benci pun pada kamu.”

Aku tersentak bila Dewa Chiyo seperti mengetahui apa yang sedang aku fikirkan. Dewa Chiyo tersenyum melihat gelagatku yang seperti serba tidak kena selepas dia berjaya menduga apa yang sedang aku fikirkan.

“Aku pula boleh melihat ramalan masa depan sang peramal.”

Hah?

“Begini... Bila orang yang melihat masa depan itu mendapat ramalannya, aku juga akan dapat melihatnya. Bayangan masa depan akan datang padaku. Err... Mungkin seperti manusia menonton televisyen. Akan ada gambaran sebabak dari peristiwa masa depan. Ianya agak mengganggu pada mulanya bila imej yang dilihat oleh mata bertindih dengan gambaran masa depan yang terlayar di ruang mata dan fikiran. Tapi lama-kelamaan, aku dah jadi terbiasa. Tapi kebolehan aku ni terhad. Ia memerlukan jarak tertentu untuk embolehkan aku melihatnya. Adakalanya si peramal mencipta ‘dinding’. Itu juga membataskan apa yang aku lihat.”

Oh... Aku sangkaan Dewa Chiyo yang boleh melihat masa depan. Bukankah semalam dia kata... Ah, nampaknya aku tersilap!

“Dai... Hmm... Dai boleh mengesan ketakutan seseorang. Kelebihan yang sangat berguna untuk mendera seseorang sebenarnya.”

Terkebil-kebil aku memandang Dewa Chiyo. Kepalaku mula terasa seperti berpusing. Bukan kerana informasi baru yang aku dengari tetapi kerana laluan Maze Of Mind yang sedang kami lalui sekarang. Setiap lima langkah kami akan bertemu dengan 3 hingga 5 lorong yang perlu dipilih untuk dilalui.

“Jika tersilap pilih, kamu akan sesat dan terus berada di sini selamanya.” Amaran Dewa Chiyo membuatkan aku kecut perut. Mujur aku ditemani oleh Dewa Chiyo kerana di sentiasa menunjukkan aku lorong yang sepatutnya aku ambil.

“Dai sangat suka dengan kebolehannya itu. Ketakutan adalah titik kelemahan seseorang. Dengan mengetahui ketakutan seseorang, dia boleh memanipulasi seseorang. Kebolehan yang sangat berguna.”

Aku mengangguk setuju.

Adakah itu bermaksud dia sedang memanipulasi Dewa-Dewi, angel-angel dan fairy yang lain sekarang? Jika ya, memang ia satu kebolehan yang sangat berguna. Pasti semua orang takut untuk menentangnya dari segi fizikal mahupun kata-kata.

“Sebab tu aku berkali-kali ingatkan kamu supaya jangan percaya semua yang kamu lihat. Lihat dengan mata hati. Dunia ini lebih luas dan punya seribu satu macam kemungkinan daripada apa yang kamu bayangkan.”

Diam.

Maze of Mind seperti tidak ada jalan keluarnya. Setiap satu lorong kelihatan sama sahaja seperti lorong-lorong yang lain. Semua ni tak masuk akal. Sudah lama rasanya kami berjalan. Dan aku perasan kami melalui jalan yang sama berkali-kali walaupun Dewa Chiyo mengarahkan langkah kakiku ke lorong yang berlainan. Bukan mata kasar menjadi penentunya tetapi naluriku dapat rasakan bahawa kami berjalan di tempat yang sama, berkali-kali.

“Maze of Mind ini sebenarnya tak wujud,kan?”

“Ya.” Suara Dewa Chiyo tenang tanpa nada.

Aku terkejut mendengar jawapan Dewa Chiyo.

“Kalau Maze of Mind ini tak wujud, kenapa kita berada di sini?”

“Maze of Mind hanya wujud dalam fikiran mereka yang sedang keliru. Perasaan yang bercampur-baur untuk turun ke Bumi membuatkan kamu mewujudkan satu situasi untuk menangguhkan pemergian kamu ke sana. Selain itu, perasaan berat hati untuk meninggalkan Haven juga buat hati, minda dan jasad kamu mahu terus berada di sini. Maka kamu akan terus berada di sini selama mana yang kamu mahukan. Berpusing-pusing di tempat yang sama. Walaupun aku tunjukkan jalan, tetapi pilihan jalan itu sebenarnya kamu yang tentukan. Ini dunia khayalan ciptaan kamu.”

Aku semakin keliru.

“Ini tahap hukuman Dai yang pertama. Tak ramai yang dapat melepasi tahap ini kerana dibelenggu oleh fikiran mereka sendiri.”

Dewa chiyo menadah tangan. Seutas rantai silver muncul di atas tapak tangannya. Ada beberapa helai bulu sayap dewa-dewi dan angel pada talinya. Dipakaikan ke leherku.

“Aku harap dapat bertemu kamu di Haven lagi.” Sayu hatiku mendengar harapan Dewa Chiyo.

Tidak sukar kiranya membaca fikiran Dewa Dai kini. Dewa Dai sedang cuba menyingkirkan aku dari Haven. Hukuman ini hanya alas an untuk membenarkan hasratnya itu. Maze of Mind. Bumi. Tugas di Bumi. Dan entah apa lagi agaknya cabaran yang harus aku tempuhi. Dia tahu aku tak mungkin boleh melepasi syarat yang ditetapkan itu untuk kembali semula ke Haven. Janjinya untuk mengembalikan Riku ke posisi asal setelah aku menjalani hukumanku dengan jayanya mungkin sekadar janji kosong. Dewa Dai memang bijak memanipulasi aku sehingga aku setuju untuk menempuh semua ini.

Ada sesuatu terasa berada dalam tapak tanganku. Genggaman aku buka. Sebiji pil berwarna merah berada di situ.

“Pil ini akan membantu kamu di bumi kelak. Namun setiap kelebihan pasti ada kelemahannya. Bersedia untuk itu.”

Pil merah itu aku genggaman kuat-kuat bila sesuatu melintas dalam benakku.

“Dewa Chiyo.”

Dewa Chiyo menoleh ke arahku. Senyumannya lembut dan mesra.

“Dewa Chiyo sebenarnya tak ada di sini dengan saya,kan? Dewa Chiyo yang berdiri di hadapan saya ini hanyalah khayalan saya, kan?”

Dewa Chiyo menunduk sebentar sebelum menatap sepasang mataku.

“Ya!”

Air mata bergenang di tubir mata.

“Minda kamu mahukan aku menemani kamu, menenangkan kamu. Maka aku hantarkan ‘sebahagian’ diriku untuk kamu. Bercerita dengan kamu. Menenangkan kamu. Meyakinkan diri kamu. Namun itu tak bermakna apa yang aku kata dan pemberian itu adalah khayalan kamu belaka. Hanya kehadiran aku sahaja.”

Aku mula menangis tika ini. Rupanya aku hanya bercakap seorang diri sahaja sejak dari tadi. patutlah Dewa Chiyo sangat menjaga jarak antara kami sejak pertama kali dia muncul di sini tadi.

Maze of Mind hilang dari pandangan. Segalanya berwarna putih saat ini. Dan kosong. Tiada pokok. Tiada rumput. Tiada unggas. Tiada tanah mahupun lantai. Aku seperti berada di awangan kerana aku tidak nampak atas apa aku berpijak. Juga tidak nampak apa-apa di atasku. Badanku menggigil dengan hebat saat ini.

Kaki sudah tidak mampu untuk berdiri. Aku terduduk di ruangan kosong itu.

“Cari kekuatan kamu, Harumi. Buat keputusan dan keluar dari sini.”

Wajah Dewa Chiyo semakin kabur di pandanganku.

“Selamat jalan, Harumi...”

Dewa Chiyo hilang begitu sahaja bagai kabus tebal yang mengelilingi ku saat ini. Pil merah masih berada dalam genggamanku. Rantai pemberiannya masih tergantung di leherku. Tetapi aku keseorangan di sini sejak dari mula lagi.

Aku benar-benar keseorangan tika ini. Sunyi. Sendiri.

“Kerana ini adalah masa-masa kita bersama. Kelak, hanya ada masa kau dan masa aku. Waktu itu, aku mahu kau kenang masa-masa kita bersama ini.”

Riku....

Aku mahu Riku....

Aku mahu mengulangi semula masa-masa bersamanya. Walaupun itu semua hanyalah lakonan palsu Riku, aku tak peduli. Bagiku, itulah kebenarannya.

“Masa depan Riku di tangan kau. Kalau kau gagal melaksanakan tugas kau, mungkin Riku terpaksa memikul beban kesalahan kamu itu.”

Bisikan berbaur amaran dari Dewa Dai terngiang-ngiang di cuping telinga. Dewa Dai memang pandai memanipulasi ketakutan seseorang. Dia tahu aku tak akan bebankan apa jua kesusahan pada Riku.

Mata aku pejamkan rapat-rapat. Berharap segalanya hanyalah khayalan.

“Harumi…”

Riku?

“Harumi…”

Suara Riku sayup-sayup menampar telinga.

Aku nampak Riku dalam mindaku. Riku tersenyum mesra padaku. Menghulurkan tangannya. Bersedia untuk melindungiku dari segala bahaya yang mendatang. Sekelip mata aku sudah berada dalam pelukannya. Pelukan Riku hangat. Dia seperti wujud di hadapanku, bukan sekadar permainan minda.

“Riku, semua ni tak betul, kan? Semua khayalan aje, kan?”

Riku tak menjawab. Hanya mengemaskan pelukannya ke tubuhku.

“Masa kita dah tamat, Harumi. Sekarang hanya ada masa kau. Dan masa aku. Tiada lagi kita.”

“Kenapa tak boleh ada kita? Bukankah kita yang mencipta masa depan kita sendiri?” Bentakku.

“Tak boleh, Haru. Ada sesetengah perkara yang tak boleh diubah. Mahu tak mahu kita terpaksa menjalaninya untuk kelangsungan hidup.”

“Kerana kau angel yang paling canik dan istimewa yang pernah aku lihat, maka aku jatuh sayang pada kau.” Walaupun kata-kata yang diucapkan oleh Riku itu lahir dari mindaku sendiri, tetapi aku mahu percaya kata-kata itu datang dari mulut Riku sendiri.

Riku melonggarkan pelukannya. Mengangkat wajahku dengan jemarinya.

“Bukankah kita ada banyak kenangan bersama? Jadikan ia sebagai azimat untuk melalui hidup kau selepas ini.”

Kepala aku gelengkan.

“Kita tak akan bertemu lagi, kan?”

Riku diam lalu menundukkan kepalanya.

“Ini masa depan yang aku pilih untuk hidup. Ini yang terbaik. Aku harap kau dapat hidup bahagia dengan sebahagian dari diriku.”

Sebuah kucupan singgah di dahi. Belum sempat aku menikmatinya, kucupan hangat itu berubah menjadi dingin, sedingin ais sebelum ia hilang bersama kabus anganku. Bayangan Riku terliang-liuk seperti asap ditiup angin dan akhirnya lenyap dari pandangan.

Mata kubuka. Aku keseorang semula di sini. Ada air mata di hujung mata.

“Riku…”

Aku menangis lagi. Menangis dan terus menangis sehingga aku berasa terlalu penat untuk mengeluarkan air mata.

@~@~@~@~

Dewa Chiyo melurut sisi meja, dari bucu ke bucu yang stu lagi. Kemudian tangannya beralih pada kepala katil pula. Matanya tak lepas-lepas dari memerhatikan Riku yang sedang duduk di sofa dengan mata yang terpejam. Sabar menanti dewa yang muda daripadanya itu membuka mata. Tidak sabar mendengar bicara dari mulut Riku. Dia mahu penjelasan terhadap tindakan Riku. Hidup dengan penuh persoala bukan cara hidup yang disenanginya.

Mata Riku terbuka. Dewa Chiyo tak berlengah. Terus sahaja menerpa ke arah Riku. Mengambil tempat di sebelah Riku.

“Macam mana?” Soalan pertamanya disambut sepi oleh Riku. Dilihatnya Riku leka meneliti hujung jarinya. Ada sesuatu di situ. Sesuatu yang jernih, berkilauan dan hangat.

“Air mata Harumi.” Bisik Dewa Chiyo senafas. Wajah Riku tak beriak. Sinar di matanya sudah hilang sejak dia kembali ke Istana Kristal.

“Dia sudah melepasi Maze of Mindnya?”

“Dia akan melepasinya. Harumi angel yang tabah.” Jawab Riku. Riku bangun dari sofa. Bergerak ke pintu menghala ke balkoni biliknya. Dari situ di boleh melihat dengan jelas seluruh Haven.

“Ini keputusan muktamad kamu, bukan?”

“Ya.” Sepi.

“Kamu tak menyesal?”

“Ini masa depan yang saya pilih untuk dia.”

Dewa Chiyo tersengih.

“Bukankah dia berhak tentukan masa depannya?”

Mata Riku masih tertancap pada bangunan Ilmu di pusat Haven. Akademi di mana kesemua angel mendapat pendidikan mereka.

“Dewa Chiyo, tuan tahu di mana Zaman Kegelapan akan bermula?”

Dewa Chiyo menggeleng.

“Di pusat Ilmu. Ilmu buat kita jadi hebat, berani dan berkeyakinan. Tanpa ilmu, kita hanyalah jasad tanpa arah tujuan hidup. Maka Pusat Ilmu adalah tempat yang paling sesuai melancarkan serangan. Cendikiawan yang tidak berilmu atau yang sudah tersesat lebih merbahaya dari seribu pedang yang terhunus. Perang yang akan tejadi bukan perang fizikal. Ia lebih kepada perang minda. Lebih sukar untuk dikalahkan. Ia merebak bagaikan wabak penyakit. Sifat keji menguasai diri dan ini membuatkan mereka kehilangan diri sendiri.”

Berkerut-kerut muka Dewa Chiyo melihat apa yang terlayar di pandangan matanya.

“Harumi tidak boleh berada di sini. Dia boleh jadi kekuatan dan kelemahan. Saya tak mahu ambil risiko. Dewa Dai tak akan berhenti selagi saya tidak bersetuju untuk jadi sekutunya.”

Dewa Chiyo mengeluh seraya mengangguk perlahan-lahan. Faham kehendak hati Riku.

“Persoalannya, bolehkah seseorang tanpa sebahagian lagi dirinya?”

Pandangan Riku kosong ke hadapan.

“Aku dah cuba, Riku. Ianya sesuatu yang sukar. Dan menyeksakan adakalanya. Mujur dia sentiasa berada di hadapan mataku. Walaupun tidak memiliki, cukup sekadar mengetahui dia dalam keadaan baik-baik sahaja.”

Dewa Chiyo menepuk-nepuk bahu Riku.

“Apa yang kamu nak lakukan sekarang?” Soal Dewa Chiyo selepas beberapa ketika.

“Dapatkan kepercyaan Dewa-Dewi. Ubah peraturan gila di sini. Dan… tunggu dan lihat…”

“Ini tugas yang berat, Kurogane! Jika benar bagai diramalkan oleh Tirai Masa. Semuanya bergantung pada kamu wahai Kurogane, pemilik sayap hitam. Moga kamu menemui ‘kekuatan suci’ itu dan berjaya mempertahankan Haven.”

Pintu bilik dibuka. Fairy pelayan istana masuk lalu tunduk hormat.

“Dewi Rinako ingin bertemu dengan puteranya, Dewa Riku.”

Dewa Chiyo dan Riku berpandangan.

@~@~@~@~

Aku tidak tahu berada lama aku terbaring menangis sambil memeluk kakiku sendiri. Bila air mataku kering, perlahan-lahan aku bangun dan mula mengumpul kekuatan diri. Dan aku mula berjalan.

Aku dah bersedia untuk ke Bumi. Kalau ini yang terbaik buat Riku, kalau ini yang dah ditakdirkan buat aku, aku dengan rela hati akan turun ke Bumi dan laksanakan tugas yang diberikan.

Selepas berjalan tiga langkah ke hadapan, aku terjatuh dan terus menggelongsor menuruni lubang yang berkeluk-keluk bentuknya. Berpusing-pusing sehinggakan kepalaku pening dan sukar untuk menentukan antara realiti dan fantasi.

BUMM..!

Aku melanggar sesuatu yang sangat keras dan akhirnya terjatuh di atas sesuatu yang agak keras.

Gelap.

3 comments:

Lula An-Nada said...

omo....cepat sambung....makin menarik cerita ni...

yanadi said...

besnye..lme tgu n3 ni..nk lg...

tzaraz said...

puas!.. setelah sekian lama menunggu sambungan..
NEXT!!.. hehehe.. kau sihat eury??

Followers