Wednesday, January 13, 2010

eucralipse 13


Rei mengangkat tangannya. Merenung kelima-lima jarinya. Masih terasa-rasa kehangatan jemari wanita yang dipanggil Permaisuri Xera oleh Eury tadi. Rasa hatinya bercampur-baur sehingga dia sendiri tidak pasti apa yang dirasakannya pada ketika itu.

“Beta difahamkan kamu menyelamatkan Eury ketika serangan dari pihak Rexo. Betul ke?”

Rei kembali mengangkat mukanya. Kembali ke dunia nyatanya. Eury sudah pun melepaskan tangannya. Dan merenung sedang tunduk menyembah Raja Esqandar tika ini. Raja Esqandar merenung ke arah Eury dan dirinya dari atas takhta yang indah. Para pembesar yang hadir di ruang mengadap diam tanpa suara. Sekadar memerhatikan Rei dan Eury. Membuat spekulasi sendiri dalam diam.

“Ya, betul! Patik yang telah menyelamatkan Puteri Eury, tuanku...” Rei menjawab setelah mengangkat sembah. Senada sahaja suaranya. Peristiwa tadi masih menjadi tanda-tanya di benaknya.

“Biar beta berterus-terang dengan kamu. Beta tidak suka kamu berkawan rapat dengan Eury. Eury puteri Kerajaan Eucralipse, bakal pemerintah Eucralipse. Maka kamu tak layak untuk berkawan dengannya!”

“Tapi ayahanda...”

Raja Esqandar mengangkat tangan. Menyuruh Eury berhenti dari meneruskan kata-katanya.

“Setelah dinasihatkan oleh para penasihat diraja dan pembesar, beta masih juga tidak nampak sebarang sebab mengapa beta harus mengizinkan kamu mendekati Puteri Eury beta.”

“Ayahanda...”

Raja Esqandar berdehem seraya mencerunkan pandangannya. Eury kembali menundukkan kepala.

“Tapi memandangkan kamu sudah menyelamatkan Eury, dan kamu berjaya menimbulkan minat Eury kepada perkara-perkara yang 'membosankan' dirinya, maka beta memutuskan bahawa kamu boleh terus berkawan dengan Eury...”

Wajah Rei berkerut. Tidak menyangka semudah itu Raja Esqandar mempercayainya. Sangkanya dia perlu mengatakan sesuatu bagi mendapatkan kepercayaan serta keizinan untuk terus berkawan dengan Eury.

“Maksud tuanku?” Soal Rei. Mahu menamatkan segala persoalan yang berada di kepalanya.

“Setelah melihat kamu, entah mengapa beta rasa kamu tidak berniat jahat sehingga boleh mencederakan Puteri Eury.”

Rei ternganga. Kebingungan. Jika tadi dia kebingungan tatkala bersentuhan dengan Permaisuri Xera, namun kini dia kebingungan dengan reaksi Raja Esqandar yang berada di luar jangkaannya. Dan dia juga sedar akan sesuatu. Ekspresi wajah Raja Esqandar berubah ketika menatap wajahnya. Ketika dia dan Eury melangkah masuk ke kamar itu tadi dia berwajah bengis, dan sekarang wajahnya semakin lama semakin redup. Memandang ke arah dirinya seolah-olah ada 'sesuatu' antara mereka. Sesuatu yang dia sendiri tidak tahu. Mungkinkah?

“Eury ingat ayahanda tak suka pada Rei.” Ternyata Eury di sebelahnya juga berkerut-kerut wajahnya mendengar kata-kata tersebut.

“Setelah memikirkan kata-kata Puteri Eury, beta rasakan tidak adil untuk melayan seseorang yang telah menyelamatkan puteri beta dengan buruk. Maka dengan ini beta mengisytiharkan Reizu sebagai tutor peribadi Puteri Eury dan dia selayaknya dikurniakan dengan pingat keberanian serta...”

“Ampun tuanku, patik tak rasa patik layak menerima semua itu...” Bantah Rei.

“Rei, kamu layak menerimanya... Eury, bawa Rei bersiar-siar di istana kita. Mungkin kita boleh makan malam bersama nanti, setelah ayahanda selesai berbincang dengan pembesar-pembesar kita berkenaan pengurniaan pingat untuk para pahlawan Eucralipse. Termasuk pingat untuk Rei.”

Eury tersenyum girang.

“Terima kasih, ayahanda! Jom, Rei!”

Rei yang masih kebingungan bagaikan lembu dicucuk hidung, menurut sahaja ajakan Eury untuk meninggalkan kamar tersebut berserta sekalian yang ada di dalamnya. Raja Esqandar cuma tersenyum melihat gelagat mereka sehingga hilang dari pandangan.

“Beta suka lihat budak Rei tu... Entah mengapa, beta sendiri tak pasti. Apapun, beta mahu gerak-geri mereka diperhatikan, Altrun!”

Altrun menundukan kepalanya. Faham dengan perintah tersebut.

**************

Senyuman Permaisuri Xera lebar. Bayi yang dipangku di riba, dipandangnya dengan penuh kasih sayang. Anak mata bayinya yang membulat dan memandang tepat ke arahnya. Pipinya gebu kemerahan. Tubuhnya montel. Dan bibirnya yang kecil tidak lokek mengalunkan tawa setiap kali diagah. Permaisuri Xera menggeletek tubuh bayinya. Bayinya yang berusia 6 bulan itu ketawa menahan kegelian. Di telinga Permaisuri Xera, tawa puteranya seumpama melodi terindah di Segi dan seluruh semesta. Tiada yang dapat menandinginya. Maka dia tak henti-henti menggeletek puteranya itu hanya untuk mendengar irama yang akan menceriakan hari-harinya. Tidak cukup dengan itu, digomolnya pula puteranya itu sehingga puteranya memeluknya erat, menghantar isyarat agar dia berhenti berbuat demikian.

“Rhyss...”

Bahu Permaisuri Xera terasa disentuh. Wajah Permaisuri Eurika menjelma di pandangan sebaik sahaja dia menoleh ke sisi.

“Permaisuri Xera, kamu nampak diam sejak tadi. Ada sesuatu yang mengganggu fikiran kamu? Atau ada perkara yang membuatkan kamu tersinggung? Mungkin layanan dari pihak istana kami?” Soal Permaisuri Eurika. Ingin tahu.

Permaisuri mengeluh berat. Sejak tadi, semenjak kali pertama dia ternampak budak lelaki yang bersama Eury itu, dia terus hanyut dibuai kenangan. Kenangan bersama puteranya sewakti kecil. Sungguh, dia rindu untuk membelai puteranya seperti dahulu. Dengan bersusah-payah, dihadiahkan jua segaris senyuman buat bakal besannya.

“Permaisuri Eurika, tiada cacat-celanya layanan dari istana kamu. Cuma saya... Saya yang berasa kurang sihat.”

“Adakah kamu bimbang tentang Eury dan Esmet?”

Pintu bilik dibuka dari luar oleh dua orang pengawal. Perbualan mereka terhenti di situ. Eury melepasi daun pintu. Berlari-lari anak dengan senyuman terukir di bibirnya. Tumpuan Permaisuri Xera terarah kepada budak lelaki di belakang Eury yang kelihatan sedikit keliru dengan keadaan di sekelilingnya. Entah mengapa, Permaisuri Xera dapat merasakan bahawa budak lelaki yang berpakaian seperti orang kebanyakan tersebut adalah seseorang yang istimewa. Entah mengapa...

“Bonda, Permaisuri Xera, ini Eury perkenalkan Reizu... Dia la yang selamatkan Eury tempoh hari!” Kata Eury seraya melompat duduk di sebelah Permaisuri Eurika. Rei pula hanya berdiri di tempatnya. Memandang Permaisuri Eurika, Eury, Permaisuri Xera dan keadaan sekeliling di kamar itu secara silih berganti.

“Eury! Jaga tingkah-laku kamu! Dan tolong tunjukkan rasa hormat kamu pada Permaisuri Xera serta tunang kamu, Esmet! Apa kata ayahanda kamu bila...”

“Ayahanda tak kata apa-apapun tentang Rei. Malah ayahanda berterima kasih pada Rei. Dan yang paling penting, ayahanda kata Rei boleh jadi tutor Eury macam Encik Cronus dan Puan Arena.” Pintas Eury girang. Permaisuri Eurika mengerutkan dahinya. Pelik tatkala dengan reaksi suaminya berkenaan Rei.

“Bonda nak tahu, Rei ni pandai tau! Dia banyak tahu fasal... Sebab tu la ayahanda...”

Eury terus bercerita tanpa berhenti. Namun kata-kata yang keluar dari mulut Eury dirasakan seperti angin lalu sahaja di telinga Permaisuri Xera. Dia lebih tertarik untuk melihat budak lelaki yang diperkenalkan sebagai Reizu oleh Eury sebentar tadi. Dan yang paling menarik perhatiannya adalah anak mata Rei berwarna ungu yang bulat dan bersinar. Serasanya, mahu sahaja dia menyuruh tetamu Eury tersebut menanggalkan topengnya supaya dia dapat melihat wajah di sebalik topeng tersebut.

Seperti Permaisuri Xera, entah mengapa, Rei terasa berat hati untuk mengalih pandangannya ke arah lain selain dari wajah Permaisuri Xera. Dan rasa hangat pada kulit tangannya masih terasa-rasa sehingga saat itu. Hangat. Mendamaikan. Dan menyusup terus ke dalam hatinya.

**************

“Kerk!”

Pintu kayu dibuka. Berkeriut bunyinya. Raja Eriel menjenguk ke dalam. Tiada sesiapa di situ. Dia mengatur langkah. Masuk ke dalam bilik anaknya yang tersusun kemas. Ada sesuatu yang menarik-narik hatinya dan memaksa tubuhnya untuk menghampiri katil di tengah bilik. Matanya liar mencari benda yang menggamit-gamit kedatangannya ke situ. Semuanya dalam keadaan biasa. Semua perabot di situ tersusun dan terletak di tempat yang sama. Tiada yang berubah. Tiada yang baru.

Ketika dia mahu melangkah keluar, barulah dia sedar adanya sesuatu yang bersinar dari bawah tilam Kerk. Diseluknya tangan di situ. Kad hitam tanpa sebarang tulisan di atasnya. Dia berkerut dan mula tertanya-tanya fungsi kad tersebut.

Dan jantungnya bagaikan berhenti berdegup ketika terpandangkan lambang Kerajaan Eucralipse di setiap bucu kad.

“Ouch!” Raja Eriel mengaduh apabila ibu jarinya dicucuk oleh sesuatu yang tajam di situ. Dan tulisan yang berwarna keemasan yang muncul di situ seakan merampas seluruh udara yang ada. Dadanya terasa sesak.

“Kerk... Apa yang kau dah buat...?” Katanya dalam suara yang menggigil.

**************

“Bukankah kau patut berkongsi kegembiraanku ini, Egart?” Soal Rei dalam nada riang ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Eucralipse. Egart hanya mengangkat bahu. Tidak tahu sama ada dia patut menggalakkan atau melarang Rei saat itu.

“Aku rasa kau dah terlalu 'jauh' melakonkan watak Reizu, Kerk! Jika kau silap langkah semalam, jika Raja Esqandar bersangka buruk terhadap kau semalam, kau mungkin tak dapat keluar dari istananya hidup-hidup!”

“Hei! Relaks la, kawan! Semuanya baik-baik sahaja, kan? Aku selamat. Mereka tak curiga malah mereka berterima kasih kepada aku kerana sudah menyelamatkan Eury. Aku sudah mendapat kepercayaan pihak istana. Segala-galanya akan menjadi mudah selepas ini!”

Egart yang berjalan di belakang Kerk hanya mampu menggelengkan kepalanya. Perbualannya dengan Kerk beberapa hari lalu kembali segar di ingatan.

“Aku nampak kau melatih Eury semalam…”

Kerk yang sedang duduk di atas batu berpaling ke belakang. Memerhatikan Egart tegak berdiri di belakangnya. Namun seketika kemudian pandangannya dilemparkan kembali ke hadapan. Memerhatikan matahari yang hampir terbenam.

“Aku harap kau tak lupa janji kau terhadap Raja Eriel. Kau harus ingat misi kita ke sini...” Ujar Egart lagi apabila dilihatnya Kerk hanya membisu tanpa bahasa. Dia sudah hilang sabar dengan tindakan Kerk yang terus membisu.

“Usah dibahas benda yang tiada, Egart!”

“Aku nampak kau semakin rapat dengan Eury. Malah kau ajar dia cara menggunakan kuasanya.”

“Apa salahnya? Itu salah satu cara aku dapat rapat dengan dia.”

“Kau harus tahu, kau akan semakin susah untuk mengalahkan Eury jika Eury sudah bijak memanfaatkan kuasanya! ”

“Kau percayakan aku, Egart?”

“Aku sudah lama kenal dan berkhidmat untuk kau, Kerk! Kau bukan sedar anak kepada raja yang aku sembah. Kau juga adalah sahabatku. Sudah tentu aku percayakan kau...!”

“Jadi tolong percaya aku untuk kali ini...” Pinta Kerk tegas.

“Aku pun tahu kelemahan kau, Kerk...” Kata Egart penuh makna. Dia tahu dia patut menegur Kerk kerana Kerk dilihatnya seperti sudah lupa dengan misi mereka. Adakalanya pandangan yang dilemparkan oleh Kerk kepada Eury dilihatnya seperti mempunyai makna tersembunyi yang membuatkan dia takut untuk memikirkannya. Dia takut untuk memikirkan bahawa Kerk sudah jatuh cinta pada Eury dan melupakan tujuan asal penyamarannya di Eucralipse.

Kerk hanya ketawa mendengar sebaris ayat yang keluar dari mulut Egart.

“Kau tentu tau yang aku tak suka berlawan dengan orang yang lemah. Tak ada cabaran! Bagi aku pertarungan bukan sekadar kalah menang. Pertarungan perlu ada cabarannya.”

“Baguslah kalau macam tu!” Ujar Egart. Namun di dalam hati, Egart mencurigai isi hati Kerk.

Mengingatkan perbualan tersebut, Egart cuma punya dua kesimpulan sahaja terhadap tindakan Kerk waktu itu. Kerk memang bersungguh-sungguh menjalankan misi rahsianya atau dia memang sudah benar-benar kemaruk cinta dengan Eury dan mula menggemari nikmat kehidupan menjadi Rei berbanding Kerk.

“Sampai bila kau akan menipu Ayahanda kau, Kerk?” Tiba-tiba soalan itu terpacul di bibirnya. Kerk tersentak. Ditolehnya Egart di belakangnya.

“Sampai aku bertemu dengan apa yang aku mahukan. Aku mahu tahu segala-galanya tentang keadaan di sana.” Jawab Kerk. Ada banyak kemusykilan timbul di benaknya semenjak kali pertama dia menjejakkan kaki di Eucralipse.

“Aku takut dengan syak-wasangka ayahanda kau. Dia sudah mula perasan akan ketiadaan kau di tempat Menelaus atau di mana-mana tempat di Dark City!”

“Ayahanda aku hanya boleh menaruh syak. Tanpa bukti, dia tak punya apa-apa dan tidak boleh menuduh!”

“Kau mahu segalanya terbongkar baru kau mahu menghentikan segalanya ini?”

“Aku perlu menemukan apa yang kucari.”

“Apa sebenarnya yang kau cari?”

Kerk terdiam seraya meneruskan perjalanan. Terlalu banyak perkara yang perlu diselidikinya. Tentang dirinya. Tentang ayahandanya. Tentang asal kewujudan Dark City. Dan tentang segala-galanya. Dia mahu bukti, penjelasan, pandangan atau apa sahaja tentang segala yang dipercayainya. Kerana ada ketikanya, dia seakan tidak pasti dengan kepercayaannya selama ini. Dan pendiriannya yang satu sudah mula goyah. Sejak dia menjejakkan kaki ke Eucralipse. Sejak dia mengenali...

“Eury...? Itu sebenarnya yang kau cari, kan?” Tempelak Egart. Sekali lagi langkah Kerk terhenti. Muka Kerk merah padam.

“Aku sudah lama mencurigai kau, Kerk! Aku dapat merasakan bahawa kau sudah terpikat pada Eury. Misi menakluki Eucralipse hanya alasan semata-mata! Mungkin sekarang kau lebih suka menjadi Rei berbanding Kerk.”

“Tidak! Aku tak pernah misi kita. Aku tak pernah lupa asal-usulku!”

“Maaf, tapi aku tetap tidak boleh berhenti dari terus mencurigai kau!”

“Kalau begitu, ikut ke mana sahaja aku pergi. Intip gerak-geri aku... Dan kau akan tahu betapa dedikasinya aku terhadap misi kita! Aku akan buktikan yang aku tak punya perasaan walau sebesar hama sekalipun terhadap Eury.”

Egart merenung tajam ke arah Kerk. Menimbang-nimbang kebenaran kata-kata Kerk. Dia mahu percaya dengan kata-kata Kerk tapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya dari berbuat demikian..

Mereka kembali meneruskan perjalanan. Sebaik mereka melepasi tembok pemisah antara kawasan jajahan Eucralipse dan Dark City, ada sesuatu yang menghalang perjalanan mereka dan...

Bukkk...!

Kerk terhumban ke belakang. Mengenai sebatang pokok sebelum melurut jatuh ke tanah. Melihat penyerang Kerk, peluh dingin Egart segera merenik di dahi. Kakinya serta-merta menjadi lemah dan seketika kemudian dia melutut di situ. Memandang ke hadapan dengan wajah yang pucat.

2 comments:

tzaraz said...

aku tau..aku tau..
raja eriel yg serang kerk, kan?..

lagi lah eury!!

epy elina said...

hohoh...
btul2x..
aku pun rsa mcm tzaraz....
hmmm...
best2x...

Followers